Friday, December 1, 2017

KHUTBAH JUMAAT - 12 RABI'UL AWWAL 1439 / 1 DISEMBER 2017


SEMARAKKAN CINTA RASULULLAH S.A.W

Khutbah Pertama

الْحَمْدُ لِلَّهِ الْقَائِلِ:
مَّن يُطِعِ الرَّسُولَ فَقَدْ أَطَاعَ اللَّهَ ۖ وَمَن تَوَلَّىٰ فَمَا أَرْسَلْنَاكَ عَلَيْهِمْ حَفِيظًا ﴿٨٠﴾ (سورة النساء اية ٨٠)
أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا  مُحَمَّدًا  عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ.
اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَالتَّابِعِينَ لَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّينِ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَاعِبَادَ اللهِ، اتَّقُوا اللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنتُم مُّسْلِمُونَ. 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Saya menyeru kepada diri saya sendiri dan kepada sidang Jumaat sekalian, marilah sama-sama kita perbaiki diri dengan meningkatkan ketaqwaan kepada Allah s.w.t yakni dengan melakukan segala titah perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Sebelum meneruskan khutbah, saya ingin berpesan kepada sidang jamaah sekalian agar menumpukan perhatian dan jangan bercakap-cakap dan melakukan perbuatan sia-sia sewaktu khutbah disampaikan. Mudah-mudahan kita akan beroleh manfaat untuk kebaikan di dunia dan di akhirat. Mimbar Jumaat pada hari ini akan membicarakan tentang; "Semarakkan Cinta Rasulullah S.a.w".

Kaum muslimin rahimakumullah,

Manusia terbaik adalah manusia yang mempunyai sifat-sifat terpuji. Manakala manusia yang paling buruk adalah manusia yang bersifat keji. Oleh itu, didik dan latihlah diri menjadi insan yang baik dan terpuji dengan meningkatkan keimanan dan ketaqwaan kepada Allah s.w.t, dalam erti kata lain melaksanakan apa yang diperintahkan dan meninggalkan apa yang dilarang-Nya. Sesungguhnya kesudahan yang baik bagi orang yang bertaqwa kepada Allah s.w.t.

Sidang Jumaat yang berbahagia,

Sudah menjadi tradisi setiap tahun, apabila tanggal 12 Rabi'ul Awwal, umat Islam seluruh dunia akan menyambut dan memperingati hari ulang tahun kelahiran Nabi Muhammad s.a.w. Tujuannya adalah untuk memahami sejarah perjuangan dan dakwah baginda selama 23 tahun menyebarkan agama Islam. Ia adalah sangat penting dan sangat dituntut dalam kerangka mencintai dan mentaati Rasulullah s.a.w. Ini diterangkan oleh Allah s.w.t dalam firman-Nya dalam Surah Al-Ahzab Ayat 21:

لَّقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِّمَن كَانَ يَرْجُو اللَّهَ وَالْيَوْمَ الْآخِرَ وَذَكَرَ اللَّهَ كَثِيرًا ﴿٢١﴾

Maksudnya: "Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu (iaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan dia banyak menyebut Allah".

Rasulullah s.a.w menjadi contoh yang terbaik buat kita semua kerana baginda adalah manusia yang dipilih oleh Allah untuk melaksanakan tanggungjawabnya kepada agama Islam. Rasulullah s.a.w menjadi contoh dalam kehidupan kita kerana peribadi baginda lengkap dan sempurna. Dalam erti kata lain, sekiranya kita sebagai seorang pemimpin, baginda juga seorang pemimpin. Jika kita seorang panglima tentera, baginda juga memimpin bala tenteranya. Jika kita seorang ketua rumah tangga, baginda juga seorang ketua keluarga yang hebat. Jika kita seorang guru, baginda juga seorang guru yang mampu mengajar dengan baik. Jika kita seorang peniaga, baginda juga seorang peniaga yang jujur dan jika kita seorang pendakwah, baginda juga berdakwah menyampaikan Islam kepada manusia.

Saudara muslimin yang dirahmati Allah sekalian,

Bagi umat Islam, tiada suatu nikmat lain yang lebih besar daripada kelahiran dan pengutusan junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w ke alam ini. Ini kerana, bermula detik kelahiran baginda s.a.w pada tanggal 12 Rabi'ul Awwal tahun Gajah bersamaan 20 April tahun 571 masihi, seribu satu macam perubahan berlaku kepada kehidupan manusia. Daripada penyembahan berhala bertukar kepada mengabdikan diri kepada Allah s.w.t. Daripada sibuk berperang sesama sendiri kepada menyibukkan diri dengan ibadah-ibadah yang dituntut. Daripada bergelumang dengan dosa dan perbuatan keji jahiliyah bertukar kepada berpegang dengan nilai-nilai murni dalam Islam.

Justeru, majlis sambutan Maulidur Rasul adalah salah satu cara untuk menzahirkan kecintaan kepada Nabi Muhammad s.a.w, apatah lagi mencintai baginda sa.w. Hal ini ditegaskan oleh Rasulullah s.a.w dalam sabdanya dari Anas bin Malik r.a:

ثَلَاثٌ مَنْ كُنَّ فِيهِ وَجَدَ بِهِنَّ حَلَاوَةَ الْإِيمَانِ مَنْ كَانَ اللَّهُ وَرَسُولُهُ أَحَبَّ إِلَيْهِ مِمَّا سِوَاهُمَا وَأَنْ يُحِبَّ الْمَرْءَ لَا يُحِبُّهُ إِلَّا لِلَّهِ وَأَنْ يَكْرَهَ أَنْ يَعُودَ فِي الْكُفْرِ بَعْدَ أَنْ أَنْقَذَهُ اللَّهُ مِنْهُ كَمَا يَكْرَهُ أَنْ يُقْذَفَ فِي النَّارِ

Maksudnya: "Tiga perkara, barangsiapa yang memilikinya, dia telah mendapati dengan tiga perkara itu kemanisan iman. (Iaitu) cinta kepada Allah dan Rasul-Nya lebih daripada segalanya. Kedua, tidak menyintai seseorang melainkan kerana Allah dan takut kembali kepada kekufuran setelah Allah menyelamatkannya seperti dia benci untuk dilemparkan dalam api neraka yang panas". (Hadits riwayat Imam Muslim)

Dengan errti kata lain, kecintaan kepada Allah s.w.t berkait rapat dengan kecintaan kepada Nabi Muhammad s.a.w. Ini selaras dengan firman Allah s.w.t dalam Surah Ali-Imran Ayat 31:

قُلْ إِن كُنتُمْ تُحِبُّونَ اللَّهَ فَاتَّبِعُونِي يُحْبِبْكُمُ اللَّهُ وَيَغْفِرْ لَكُمْ ذُنُوبَكُمْ ۗ وَاللَّهُ غَفُورٌ رَّحِيمٌ ﴿٣١﴾

Maksudnya: "Katakanlah; Jika kamu (benar-benar) mencintai Allah, ikutilah aku, nescaya Allah mengasihi dan mengampuni dosa-dosamu. Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang".

Dalam hal yang demikian, kita sebagai umatnya mestilah meletakkan kecintaan terhadap baginda di puncak rasa cinta. Ia membawa erti bahawa umat Islam mestilah patuh dan taat menurut segala sunnah Rasulullah s.a.w dan tidak melakukan penyelewengan terhadap aturan kehidupan sebenar seperti yang digariskannya. Ini adalah satu perintah yang manfaatnya semata-mata untuk kepentingan manusia itu sendiri. Hal ini sejajar dengan apa yang dijelaskan oleh Allah s.w.t dalam firman-Nya dalam Surah Ali-Imran Ayat 132:

وَأَطِيعُوا اللَّهَ وَالرَّسُولَ لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُونَ ﴿١٣٢﴾

Maksudnya: "Dan taatlah Allah dan Rasul, supaya kamu diberi rahmat".

Para jamaah yang mulia sekalian,

Kecintaan adalah neraca kecenderungan terhadap sesuatu. Kecintaanlah yang menyebabkan seseorang membenarkan dan mengikuti sesuatu yang dicintainya. Ini membawa maksud, apabila kita meletakkan rasa cinta dan kasih sayang kepada Rasulullah s.a.w di puncak, kita akan tertarik kepada akhlak dan peribadi Rasulullah s.a.w. Keadaan ini akan mendorong kita untuk mengambil tahu secara mendalam tentang diri baginda s.a.w yang meliputi segala perkara kehidupan peribadi, keluarga, hubungan sesama muslim dan lain-lain lagi. Dari situ juga akan timbul juga minat dan kesungguhan untuk mengikuti segala tingkah laku dan sunnah Rasulullah s.a.w.

Muslimin yang dihormati,

Kecintaan seseorang hamba kepada Allah s.w.t dan Rasulullah s.a.w adalah dengan mengikuti segala arahan dan perintahnya. Manakala kecintaan Allah s.w.t kepada para hamba-Nya ialah dengan memberikan limpahan keampunan dan pelbagai ganjaran lain menurut peraturan dan undang-undang-Nya. Firman Allah s.w.t dalam Surah An-Nisa' Ayat 69:

وَمَن يُطِعِ اللَّهَ وَالرَّسُولَ فَأُولَـٰئِكَ مَعَ الَّذِينَ أَنْعَمَ اللَّهُ عَلَيْهِم مِّنَ النَّبِيِّينَ وَالصِّدِّيقِينَ وَالشُّهَدَاءِ وَالصَّالِحِينَ ۚ وَحَسُنَ أُولَـٰئِكَ رَفِيقًا ﴿٦٩﴾

Maksudnya: "Dan barangsiapa yang mentaati Allah dan Rasul-Nya, mereka itu akan bersama-sama dengan orang-orang yang dianugerahi nikmat oleh Allah, iaitu; nabi-nabi, para shodiqin, orang-orang yang mati syahid, dan orang-orang soleh. Dan mereka itulah teman yang sebaik-baiknya".

Akhir-akhir ini, umat Islam semakin menjauhi sunnah Nabi s.a.w terutama berkaitan persaudaraan sesama muslim. Akibat terlalu meletakkan kebenaran atas keyakinan masing-masing, umat Islam terus bertelagah hingga kepada perkara-perkara kecil yang sepatutnya boleh berlapang dada. Slogan berlapang dada pada perselisihan dan bersatu padu pada yang disepakati semakin lama semakin luntur ditelan zaman. Slogan kembali kepada sunnah dengan kaedah yang tidak sesuai menyebabkan semakin banyak perpecahan berbanding apa yang dicita-citakan. Umat Islam semakin hari semakin lemah, semakin berpecah demi kepentingan kumpulan dan peribadi bukan lagi kepentingan menjunjung perintah Nabi s.a.w yang mengutamakan perpaduan ummah.

Umat Islam juga semakin menjauhi sunnah Nabi s.a.w dari sudut akhlak yang diperjuangkan baginda s.a.w. Penggunaan kata-kata kesar, keji mengeji, kata mengata sudah menjadi kebiasaan apatah lagi dengan media baru yang canggih dan pantas. Ini belum lagi mengambil kira akhlak berkaitan kebersihan, menjaga alam sekitar, akhlak ketika memandu, akhlak ketika bercakap dengan orang lain juga akhlak ketika berdakwah. Mimbar ingin mengajak kita kembali menghayati sunnah Nabi s.a.w pada perkara penting yang dapat mengembalikan kegemilangan Islam sepertimana yang pernah dibina oleh Nabi s.a.w dan kemodenan diteruskan oleh para sahabat baginda radhiAllahu 'anhum.

Mengakhiri khutbah Jumaat pada hari ini, mimbar ingin menjelaskan bahawa sebaik-baik yang ada di dunia ini adalah keimanan yang benar, akhlak yang terpuji, akal yang sihat, fizikal yang kuat dan rezeki yang halal dan mencukupi serta memuaskan. Sehubungan itu, bersempena perayaan Maulidur Rasul pada tahun ini, umat Islam haruslah bangkit mempertahankan kesucian Islam dan umatnya kembali berpegang dengan ajaran Al-Quran, sunnah Rasulullah s.a.w. Sesungguhnya tiada jalan pintas untuk masuk ke syurga Allah dan moga-moga kita semua berjaya sebagai umat yang dihormati dan disegani serta mengikut segala ketetapan agama dan peraturan syariat Islam.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بالقُرْآنِ العَظِيْمِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ، أَقُولُ قَوْلِي هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ الْأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالْأَمْوَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ، إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ.


Khutbah Kedua

الْحَمْدُ لِلَّهِ حَمْدًا كَثِيْرًا كَمَا أَمَرَ.  أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَاَشْهَدُ اَنَّ سَيِّدِيْنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ، اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدٍ وَعَلىَ آلــِهِ وَأَصْحَابِهِ اَجْمَعِيْنَ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله! اِتَّقُوْا اللهَ وَكُنُواْ مَعَ الصَّادِقِينَ. فَقَالَ اللهُ تَعَالَى:
أَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ ۚ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا ﴿٥٦﴾

Bermaksud: "Sesungguhnya Allah dan malaikat berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad s.a.w), wahai orang-orang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucaplah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya". (Surah Al-Ahzab Ayat 56)

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى آلِ سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيمَ وَبَارِكْ عَلى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ كَمَا بَارَكْتَ عَلَى آلِ سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيمَ فِي الْعَالَمِينَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ. 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Mimbar menyeru kepada sidang Jumaat sekalian, supaya kita bersama-sama memakmurkan rumah-rumah Allah dengan melakukan ibadah dan amal soleh secara istiqamah terutama solat fardhu berjamaah serta mendidik hati kita berasa risau dan resah apabila berjauhan dengan masjid. Semoga kita tergolong dalam kalangan orang yang cintakan masjid. Antara sabda Rasulullah s.a.w daripada Ibnu Umar r.a :

صَلَاةُ الْجَمَاعَةِ أَفْضَلُ مِنْ صَلَاةِ الْفَذِّ بِسَبْعٍ وَعِشْرِينَ دَرَجَةً.

Bermaksud: "Solat berjamaah itu lebih afdhal daripada solat bersendirian dengan dua ouluh tujuh kali ganda". (Hadits Muttafaqun 'alaih)

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ والْمُؤمِنَاتِ، وَأَصْلِحْ ذَاتَ بَيْنِهِمْ وَأَلِّفْ بَيْنَ قُلُوْبِهِمْ وَاجْعَلْ فِيْ قُلُوْبِهِمُ اْلإِيْمَانَ وَاْلحِكْمَةَ وَثَبِّتْهُمْ عَلَى مِلَّةِ رَسُوْلِ اللهِ.
اللَّهُمَّ أَعِزَّ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ، اللَّهُمَّ انْصُرِ الدُّعَاةَ وَالْمُجَاهِدِيْنَ،  اللَّهُمَّ انْصُرِ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ فِي سُوْرِيَا وَفِي فَلَسْطِينِ وَفِي مِيَنْمَر وَفِي كُلِّ مَكَانٍ وَفِي كُلِّ زَمَانٍ.  

Ya Allah, ampunilah seluruh kaum muslimin dan muslimat serta berilah rasa tanggungjawab dalam diri kami ini untuk melaksanakan perintah-Mu dan berikanlah kebencian kepada kami terhadap larangan-Mu. Ya Allah, didikkanlah diri kami ini untuk mendirikan solat fardhu secara berjamaah, mengeluarkan zakat dan bersifat dengan sifat-sifat mahmudah yang lain. Kurniakanlah kepada kami nikmat yang berpanjangan , kesihatan yang berkekalan, hati yang khusyuk serta penuh keikhlasan dalam melakukan amal kebaikan.

Ya Allah, berkatilah hidup hamba-Mu yang melaksanakan tuntutan zakat dan kurnikanlah rezeki yang berlipat ganda kepada para pewakaf serta sucikanlah harta dan jiwa mereka, kurniakanlah kekuatan dan kebijaksanaan serta keadilan kepada para pentadbir zakat, lindungilah golongan fuqara' dan masakin daripada kekufuran dan kefakiran yang berpanjangan.

Ya Allah, kurniakanlah sepenuh taufiq dan hidayah-Mu terhadap Raja kami, Duli Yang Maha mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Al-Marhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah al-Maghfurulahu dan Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan Tuanku Zara Salim serta kerabat dan seluruh rakyat jelata sekalian.

رَبَّنَا ءَاتنِاَ فِى الدُّنْياَ حَسَنَةً وَفِى الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.
عِبَادَ اللهِ، اِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِاْلعَدْلِ وَالأِحْسَانِ وَإِيْتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَاْلمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُوْنَ. فَاذْكُرُوْا اللهَ الْعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ وَاشْكُرُوْهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ وَلَذِكْرُاللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ. 

No comments:

Post a Comment