Thursday, November 23, 2017

KHUTBAH JUMAAT - 4 RABI'UL AWWAL 1439 / 24 NOVEMBER 2017


FITNAH PEROSAK BANGSA DAN AGAMA

Khutbah Pertama

الْحَمْدُ لِلَّهِ الْقَائِلِ:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اجْتَنِبُوا كَثِيرًا مِّنَ الظَّنِّ إِنَّ بَعْضَ الظَّنِّ إِثْمٌ ۖ وَلَا تَجَسَّسُوا وَلَا يَغْتَب بَّعْضُكُم بَعْضًا ۚ أَيُحِبُّ أَحَدُكُمْ أَن يَأْكُلَ لَحْمَ أَخِيهِ مَيْتًا فَكَرِهْتُمُوهُ ۚ وَاتَّقُوا اللَّهَ ۚ إِنَّ اللَّهَ تَوَّابٌ رَّحِيمٌ ﴿١٢﴾ (سورة الحجرات اية ١٢)
أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا  مُحَمَّدًا  عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ.
اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَالتَّابِعِينَ لَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّينِ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَاعِبَادَ اللهِ، اتَّقُوا اللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنتُم مُّسْلِمُونَ. 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Saya menyeru kepada diri saya sendiri dan kepada sidang Jumaat sekalian, marilah sama-sama kita perbaiki diri dengan meningkatkan ketaqwaan kepada Allah s.w.t yakni dengan melakukan segala titah perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Sebelum meneruskan khutbah, saya ingin berpesan kepada sidang jamaah sekalian agar menumpukan perhatian dan jangan bercakap-cakap dan melakukan perbuatan sia-sia sewaktu khutbah disampaikan. Mudah-mudahan kita akan beroleh manfaat untuk kebaikan di dunia dan di akhirat. Mimbar Jumaat pada hari ini akan membicarakan tentang; "Fitnah Perosak Bangsa dan Agama".

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Menurut kamus dewan edisi yang keempat fitnah bermaksud tuduhan (khabar, kisah dan lain-lain) yang diada-adakan (dibuat-buat) untuk memburuk atau membencanakan seseorang. Ia juga boleh difahami sebagai tuduhan yang diada-adakan sama ada ia berbentuk gambar, tulisan, berita, perbualan dan sebagainya yang boleh menjatuhkan maruah dan harga diri seseorang, kumpulan, jamaah ataupun komuniti masyarakat itu sendiri. Ketika ini, kita berada di dalam zaman 'langit terbuka' di mana zaman yang mempunyai teknologi yang canggih dan ia membuka ruang yang sangat luas dalam kewujudan dan penyebaran fitnah. Tidak kira apa jua alatan canggih yang kita miliki sama ada telefon pintar, komputer, gadget mahupun alat-alat mudah alih yang lain, kita haruslah berwaspada dan harus sedar bahawa kita semua berada dalam bahaya fitnah.

Muslimin yang dirahmati Allah,

Penyebaran fitnah yang berlaku pada hari ini diibaratkan bagai "cendawan yang tumbuh selepas hujan'. Ia berlaku dengan amat pantas, cepat dan tanpa disangka ia boleh tersebar dengan sangat meluas tanpa kita sedari. Tambahan pula, cerita dan berita yang disampaikan itu diterima sepenuhnya tanpa diselidiki kesahihannya terlebih dahulu. Sikap ini amatlah ditegah dalam Islam. Firman Allah s.w.t dalam Surah Al-Hujurat Ayat 6:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِن جَاءَكُمْ فَاسِقٌ بِنَبَإٍ فَتَبَيَّنُوا أَن تُصِيبُوا قَوْمًا بِجَهَالَةٍ فَتُصْبِحُوا عَلَىٰ مَا فَعَلْتُمْ نَادِمِينَ ﴿٦﴾

Maksudnya: "Wahai orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan".

Berdasarkan ayat tersebut, wajib kita sebagai orang Islam untuk menghalusi dan memastikan segala berita yang disampaikan supaya berita yang diterima adalah berita yang benar lagi tepat. Sekiranya berita yang diterima itu tidak sahih maka wajib kita untuk menegur pemberi maklumat tersebut serta menasihatinya dan tidak menyebarkannya kepada orang lain. Manakala berita yang tidak pasti kesahihannya dan diragui kebenarannya hendaklah diabaikan dahulu tanpa terus menghukum atau terus menyebarkannya. Ini kerana, penyebaran berita sebegini akan mengakibatkan kecelaruan kepada masyarakat dan juga akan menimbulkan kekecohan. Firman Allah s.w.t dalam Surah An-Nir Ayat 19:

إِنَّ الَّذِينَ يُحِبُّونَ أَن تَشِيعَ الْفَاحِشَةُ فِي الَّذِينَ آمَنُوا لَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ فِي الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ ۚ وَاللَّهُ يَعْلَمُ وَأَنتُمْ لَا تَعْلَمُونَ ﴿١٩﴾

Maksudnya: "Sesungguhnya orang yang ingin agar (berita) perbuatan yang amat keji itu tersebar di kalangan orang yang beriman, bagi mereka azab yang pedih di dunia dan di akhirat. Dan Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui".

Muslimin yang dirahmati Allah sekalian,

Menabur fitnah dengan mengumpat dan sebagainya berlaku sama ada disedari atau tidak, ini kerana maklumat yang diterima tidak diselidiki dengan sebaiknya. Penabur fitnah pada hari ini telah lupa akan siksaan yang bakal menanti mereka sekiranya mereka masih belum lagi bertaubat. Sekiranya mereka masih lagi tidak insaf maka ingatlah bahawa janji-janji Allah pada penabur fitnah ini tidak pernah Allah s.w.t mungkiri. Ingatlah juga bahawa segala siksaan yang berat Allah telah sediakan untuk mereka yang masih gemar untuk melakukan fitnah. Sabda Rasulullah s.a.w daripada hadits Ibnu 'Abbas r.a:

إِنَّهُمَا لَيُعَذَّبَانِ وَمَا يُعَذَّبَانِ فِي كَبِيرٍ أَمَّا أَحَدُهُمَا فَكَانَ لَا يَسْتَتِرُ مِنْ الْبَوْلِ وَأَمَّا الْآخَرُ فَكَانَ يَمْشِي بِالنَّمِيمَةِ

Maksudnya: "Sesungguhnya mereka berdua (penabur fitnah dan pengumpat) diazab dan tidaklah mereka berdua diazab dengan dosa-dosa besar yang telah mereka lakukan tetapi disebabkan salah seorang mereka tidak dapat membersihkan air kencingnya (mengetoskan dengan sempurna) dan seorang lagi memecah belahkan masyarakat dengan berjalan menabur fitnah". (Hadits riwayat Al-Bukhari)

Sidang hadirin sekalian,

Kita hari ini berada di fasa akhir zaman, yang mana aktiviti penyebaran fitnah amat pesat berlaku dalam masyarakat kita. Mimbar yang mulia ini suka untuk mengulangi dan mengingatkan kembali kepada para jamaah sekalian bahawa natijah kepada fitnah ini amatlah besar kesannya kepada masyarakat dan secara tidak langsung akan meruntuhkan sesebuah negara terutamanya negara yang kita sayangi ini. Oleh yang demikian, ingin mimbar mengutarakan kesan-kesan buruk fitnah kepada umat Islam:

1. Fitnah antara individu iaitu menjatuhkan maruah individu tersebut, menyebabkan pertelagahan, rompakan, samun, berbunuhan antara sesuatu individu yang bertelagah.

2. Fitnah antara keluarga iaitu menyebabkan keluarga sukar untuk saling memahami antara satu sama lain, hubungan antara keluarga sentiasa dipengaruhi rasa tidak tenteram, dendam, tidak mesra, sering bertelagah, bergaduh. kekasaran, pukul memukul, bercerai antara suami isteri, kehilangan anak dan lain-lain.

3. Fitnah antara masyarakat iaitu masyarakat menjadi tidak muafakat, enggan bekerjasama dalam aktiviti kejiranan, sukarelawan, perbalahan antara komuniti, saling memburukkan antara pelbagai pihak, kemajuan masyarakat menjadi lembab, wujudnya jurang sosial yang luas, pergaduhan, kecurian, rompakan, pembakaran kawasan penduduk, persekitaran yang tidak tenteram, porak peranda dan lain-lain lagi.

Sidang Jumaat yang dikasihi sekalian,

Rasulullah s.a.w sering mengingatkan umatnya supaya menjaga adab dan akhlak kerana peribadi muslim yang baik melambangkan keagungan Islam di mata dunia. Islam itu adalah gambaran kesempurnaan segala perkara dalam kehidupan termasuk tingkah laku. Sebagai muslim yang beriman, kita perlu membersihkan hati serta fikiran dalam menilai sesuatu perkara kerana hati yang hitam akan membutakan segala kebaikan yang berada di depan mata. Kesannya sangat besar dan pelbagai masalah akan timbul andai kita membiarkan perkara ini menguasai hati dan fikiran kita.

Mengakhiri khutbah pada hari ini, mimbar menyeru kepada diri saya sendiri dan para jamaah sekalian supaya mengambil pengajaran daripada apa yang disampaikan tadi dan jangan sekali-kali terpedaya dan mudah percaya dengan fitnah dan khabar berita yang belum pasti kebenarannya. Marilah sama-sama kita berdoa agar negeri dan negara yang kita cintai ini bebas dari sebarang fitnah dan malapetaka dan akhirnya menjadi sebuah negara dan negeri yang baik dan mendapat keampunan dari Allah s.w.t.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بالقُرْآنِ العَظِيْمِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ، أَقُولُ قَوْلِي هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ الْأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالْأَمْوَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ، إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ.


Khutbah Kedua

الْحَمْدُ لِلَّهِ حَمْدًا كَثِيْرًا كَمَا أَمَرَ.  أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَاَشْهَدُ اَنَّ سَيِّدِيْنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ، اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدٍ وَعَلىَ آلــِهِ وَأَصْحَابِهِ اَجْمَعِيْنَ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله! اِتَّقُوْا اللهَ وَكُنُواْ مَعَ الصَّادِقِينَ. فَقَالَ اللهُ تَعَالَى:
أَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ ۚ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا ﴿٥٦﴾

Bermaksud: "Sesungguhnya Allah dan malaikat berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad s.a.w), wahai orang-orang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucaplah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya". (Surah Al-Ahzab Ayat 56)

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى آلِ سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيمَ وَبَارِكْ عَلى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ كَمَا بَارَكْتَ عَلَى آلِ سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيمَ فِي الْعَالَمِينَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ. 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Mimbar menyeru kepada sidang Jumaat sekalian, supaya kita bersama-sama memakmurkan rumah-rumah Allah dengan melakukan ibadah dan amal soleh secara istiqamah terutama solat fardhu berjamaah serta mendidik hati kita berasa risau dan resah apabila berjauhan dengan masjid. Semoga kita tergolong dalam kalangan orang yang cintakan masjid kerana tujuh golongan dijanjikan naungan Allah s.w.t di hari kiamat kelak antaranya sabda Rasulullah s.a.w:

وَرَجُلٌ قَلْبُهُ مُعَلَّقٌ فِي الْمَسَاجِدِ

Bermaksud: "Seorang yang hatinya selalu terikat pada masjid". (Hadits Muttafaqun 'alaih)

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ والْمُؤمِنَاتِ، وَأَصْلِحْ ذَاتَ بَيْنِهِمْ وَأَلِّفْ بَيْنَ قُلُوْبِهِمْ وَاجْعَلْ فِيْ قُلُوْبِهِمُ اْلإِيْمَانَ وَاْلحِكْمَةَ وَثَبِّتْهُمْ عَلَى مِلَّةِ رَسُوْلِ اللهِ.
اللَّهُمَّ أَعِزَّ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ، اللَّهُمَّ انْصُرِ الدُّعَاةَ وَالْمُجَاهِدِيْنَ،  اللَّهُمَّ انْصُرِ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ فِي سُوْرِيَا وَفِي فَلَسْطِينِ وَفِي مِيَنْمَر وَفِي كُلِّ مَكَانٍ وَفِي كُلِّ زَمَانٍ.  

Ya Allah, ampunilah seluruh kaum muslimin dan muslimat serta berilah rasa tanggungjawab dalam diri kami ini untuk melaksanakan perintah-Mu dan berikanlah kebencian kepada kami terhadap larangan-Mu. Ya Allah, didikkanlah diri kami ini untuk mendirikan solat fardhu secara berjamaah, mengeluarkan zakat dan bersifat dengan sifat-sifat mahmudah yang lain. Kurniakanlah kepada kami nikmat yang berpanjangan , kesihatan yang berkekalan, hati yang khusyuk serta penuh keikhlasan dalam melakukan amal kebaikan.

Ya Allah, berkatilah hidup hamba-Mu yang melaksanakan tuntutan zakat dan kurnikanlah rezeki yang berlipat ganda kepada para pewakaf serta sucikanlah harta dan jiwa mereka, kurniakanlah kekuatan dan kebijaksanaan serta keadilan kepada para pentadbir zakat, lindungilah golongan fuqara' dan masakin daripada kekufuran dan kefakiran yang berpanjangan.

Ya Allah, kurniakanlah sepenuh taufiq dan hidayah-Mu terhadap Raja kami, Duli Yang Maha mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Al-Marhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah al-Maghfurulahu dan Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan Tuanku Zara Salim serta kerabat dan seluruh rakyat jelata sekalian.

رَبَّنَا ءَاتنِاَ فِى الدُّنْياَ حَسَنَةً وَفِى الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.
عِبَادَ اللهِ، اِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِاْلعَدْلِ وَالأِحْسَانِ وَإِيْتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَاْلمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُوْنَ. فَاذْكُرُوْا اللهَ الْعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ وَاشْكُرُوْهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ وَلَذِكْرُاللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ. 

No comments:

Post a Comment