Friday, November 3, 2017

KHUTBAH JUMAAT - 14 SAFAR 1439 / 3 NOVEMBER 2017


KEPIMPINAN MEMBAWA KEBERKATAN NEGERI

Khutbah Pertama

الْحَمْدُ لِلَّهِ الْقَائِلِ:
الَّذِينَ إِن مَّكَّنَّاهُمْ فِي الْأَرْضِ أَقَامُوا الصَّلَاةَ وَآتَوُا الزَّكَاةَ وَأَمَرُوا بِالْمَعْرُوفِ وَنَهَوْا عَنِ الْمُنكَرِ ۗ وَلِلَّهِ عَاقِبَةُ الْأُمُورِ ﴿٤١﴾ (سورة الحج اية ٤١)

أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا  مُحَمَّدًا  عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ.
اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَالتَّابِعِينَ لَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّينِ.

أَمَّا بَعْدُ، فَيَاعِبَادَ اللهِ، اتَّقُوا اللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنتُم مُّسْلِمُونَ. 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Saya menyeru kepada diri saya sendiri dan kepada sidang Jumaat sekalian, marilah sama-sama kita perbaiki diri dengan meningkatkan ketaqwaan kepada Allah s.w.t yakni dengan melakukan segala titah perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Sebelum meneruskan khutbah, saya ingin berpesan kepada sidang jamaah sekalian agar menumpukan perhatian dan jangan bercakap-cakap dan melakukan perbuatan sia-sia sewaktu khutbah disampaikan. Mudah-mudahan kita akan beroleh manfaat untuk kebaikan di dunia dan di akhirat. Mimbar Jumaat pada hari ini akan membicarakan tentang; "Kepimpinan Membawa Keberkatan Negeri".

Kaum muslimin rahimakumullah,

Bersempena ulang tahun Hari Keputeraan Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan bagi tahun 2017 ini, sebagai rakyat negeri Perak marilah bersama-sama kita memohon ke hadrat Allah s.w.t semoga Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Mu'izzuddin Shah Ibni Al-Marhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah al-Maghfurulahu berada dalam 'inayah, taufik-Nya, juga dikurniakan kesihatan, ke'afiatan serta kesejahteraan. Kita juga memohon agar negeri Perak yang kita cintai ini dianugerahkan keamanan, kemajuan, kestabilan dan ketenteraman sepanjang masa. Kita juga mendoakan semoga rakyat negeri Perak, hidup dalam keadaan harmoni, bahagia dan bersatu-padu, manakala para pemimpin pula sentiasa tunduk, patuh dan taat kepada Allah s.w.t dan Rasul-Nya, dalam usaha membangunkan negeri dengan menjadikan Al-Quran dan As-Sunnah sebagai sumber rujukan utama dalam menyediakan dasar pemerintahan dan pentadbiran negeri.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Sejarah membuktikan umat Islam pernah dipimpin oleh sebilangan sultan yang cemerlang dan hebat. Antara nama-nama besar yang mahsyur adalah Khalifah 'Umar Abdul Aziz yang terkenal dengan keadilan dan kezuhudannya, Khalifah Harun Ar-Rasyid yang terkenal dengan keadilan dan kegemilangan bidang ilmu.

Sultan Solahuddin Al-Ayyubi yang terkenal dengan keadilan dan pembebasan kota Baitul Muqaddis, dan Sultan Muhammad Al-Fateh yang terkenal dengan keadilan dan kejayaan membuka Kota Konstantinopel. Nabi Muhammad s.a.w pernah bersabda:

عَنْ عَبْدِ اللهِ بْنِ بِشْرٍ الْخَثْعَمِي عَنْ أَبِيْهِ أَنَّهُ سَمِعَ النَّبِيَ يَقُوْلُ : لَتُفْتَحُنَّ الْقَسْطَنْطِيْنِيَّةُ، فَلَنِعْمَ الْأَمِيْرُ أَمِيْرُهَا، وَلَنِعْمَ الْجَيْشُ ذَلِكَ الْجَيْشُ

Maksudnya: "Daripada Abdillah bin Bishrin daripada bapanya bahawa dia mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: Akan dibuka kota Konstantinopel, sebaik-baik raja adalah rajanya dan sebaik-baik tentera adalah tenteranya". (Disahihkan oleh Al-Hakim dan Az-Zahibi)

Berdasarkan kepada hadits tersebut, raja dan tentera yang berjaya membuka Konstantinopel adalah hasil gabungan antara raja dan rakyat yang melaksanakan tanggungjawab mereka dengan berkesan.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Kepimpinan merupakan perkara penting dalam kehidupan umat Islam. Justeru, Islam memberikan panduan terbaik dalam menentukan sifat, ciri dan kriteria kepimpinan. Sifat dan kriteria yang perlu ada pada setiap pemimpin yang berwibawa menurut panduan Islam, antaranya:

1. Mempunyai keimanan dan ketaqwaan kepada Allah s.w.t serta berakhlak mulia.

2. Mempunyai ilmu pengetahuan dan daya pemikiran yang tinggi di samping pengetahuan yang luas. Rakyat negeri Perak amat beruntung dianugerahkan seorang sultan yang berpendidikan tinggi dan luas pemikirannya. Buah fikiran baginda sering dijadikan panduan dalam menentukan dasar-dasar pentadbiran negeri Perak dan Malaysia amnya.

3. Mengetahui peranan, akan tanggungjawabnya sebagai seorang pemimpin dan sedia tunduk kepada hukum agama dan hukum budaya masyarakatnya.

4. Watak dan peribadi pemimpin yang berwibawa adalah dengan melihat dan menganggap bahawa jawatan bukan suatu keistimewaan, tetapi merupakan suatu tanggungjawab yang amat berat.

Sidang Jumaat sekalian,

Firman Allah s.w.t di dalam Surah Al-A'araf Ayat 96:

وَلَوْ أَنَّ أَهْلَ الْقُرَىٰ آمَنُوا وَاتَّقَوْا لَفَتَحْنَا عَلَيْهِم بَرَكَاتٍ مِّنَ السَّمَاءِ وَالْأَرْضِ وَلَـٰكِن كَذَّبُوا فَأَخَذْنَاهُم بِمَا كَانُوا يَكْسِبُونَ ﴿٩٦﴾

Maksudnya: "Dan (Tuhan berfirman lagi): Sekiranya penduduk negeri itu beriman serta bertaqwa, tentulah Kami (Allah s.w.t) akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (rasul Kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab siksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan (kerjakan)".

Oleh yang demikian para pemimpin, yakni umarak, ulamak dan rakyat hendaklah saling bertaut akrab dalam kerjasama, persefahaman serta tindakan. Pemimpin mesti bersikap jujur dalam setiap kepimpinan dan tindakannya. Manakala rakyat mesti bersikap taat kepada pemimpinnya, selagi mana tidak diperintahkan untuk melakukan perkara-perkara yang menderhakai Allah, sebagaimana firman Allah s.w.t di dalam Al-Quran Surah An-Nisa' Ayat 59:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَطِيعُوا اللَّهَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ وَأُولِي الْأَمْرِ مِنكُمْ ۖ ... ﴿٥٩﴾

Maksudnya: "Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah s.w.t dan taatlah kamu kepada Rasulullah s.a.w dan kepada ulil amri (orang yang berkuasa) di kalangan kamu...".

Menurut tafsir Al-Maraghi, ayat ini memberi pengertian agar mentaati Allah s.w.t dengan melaksanakan pengajaran Al-Quran dan mentaati Rasulullah s.a.w kerana baginda yang memberi penjelasan kepada manusia tentang segala hal yang diturunkan kepada manusia. Mentaati ulil amri iaitu kepada raja, pemegang kuasa, ulamak, umarak, pemimpin tentera, termasuklah semua pemimpin dan tokoh yang menjadi tumpuan masyarakat dalam mengurus keperluan dan kemaslahatan umum. Apabila pemimpin mengeluarkan sesuatu arahan, wajib ditaati, dengan syarat mereka memiliki sifat-sifat amanah, tidak menentang Allah s.w.t dan Rasul-Nya.

Rasulullah s.a.w bersabda daripada hadits yang diriwayatkan oleh Abdullah ibni Umar:

السَّمْعُ وَالطَّاعَةُ عَلَى الْمَرْءِ الْمُسْلِمِ فِيمَا أَحَبَّ وَكَرِهَ مَا لَمْ يُؤْمَرْ بِمَعْصِيَةٍ فَإِنْ أُمِرَ بِمَعْصِيَةٍ فَلَا سَمْعَ عَلَيْهِ وَلَا طَاعَةَ

Maksudnya: "Setiap orang Islam wajib mendengar dan taat perintah ketua atau pemimpinnya, sama ada perintah itu mereka sukai atau tidak, selagi perintah itu tidak menyuruh supaya berbuat maksiat. Jika perintah itu menyuruh mereka berbuat maksiat, maka tidak perlu mendengar atau tidak perlu taat". (Hadits riwayat Imam At-Tirmidzi)

Umat melayu terkenal sebagai bangsa yang sangat menghormati raja-raja mereka. Istana mempunyai lengkok bahasanya yang tersendiri melambangkan ketinggian adat dan budi pekerti rakyat terhadap raja-raja. Oleh itu, sewajarnya budaya ini dikekalkan. Teguran dan nasihat hendaklah disampaikan dengan cara yang berhikmah dan berhemah. Budaya baru yang lebih banyak menentang dan mengkritik secara terbuka terhadap institusi raja, dibimbangi akan lebih membawa kesan yang negatif berbanding positif terhadap keharmonian dan kestabilan negara.

Muslimin yang dihormati sekalian,

Sultan yang berwibawa dan mendapat kerjasama serta taat setia daripada pemimpin dan rakyat akan melahirkan sebuah masyarakat yang harmoni, maju dan berjaya serta diberkati oleh Allah s.w.t. Marilah kita lakukan apa yang lebih  baik daripada hari ini, bulan ini atau tahun ini untuk masa depan yang lebih berjaya dan cemerlang di dunia dan akhirat. Semoga kita akan menjadi umat contoh yang berjaya dan terbaik, yakni khoiro ummah yang disebutkan oleh Allah s.w.t di dalam Al-Quran. Jadilah rakyat yang mempunyai ketaatan dan kesetiaan kerana ia akan membawa kepada perpaduan dan kekuatan umat dan negara, insyaAllah.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بالقُرْآنِ العَظِيْمِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ، أَقُولُ قَوْلِي هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ الْأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالْأَمْوَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ، إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ.


Khutbah Kedua

الْحَمْدُ لِلَّهِ حَمْدًا كَثِيْرًا كَمَا أَمَرَ.  أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَاَشْهَدُ اَنَّ سَيِّدِيْنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ، اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدٍ وَعَلىَ آلــِهِ وَأَصْحَابِهِ اَجْمَعِيْنَ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله! اِتَّقُوْا اللهَ وَكُنُواْ مَعَ الصَّادِقِينَ. فَقَالَ اللهُ تَعَالَى:
أَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ ۚ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا ﴿٥٦﴾

Bermaksud: "Sesungguhnya Allah dan malaikat berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad s.a.w), wahai orang-orang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucaplah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya". (Surah Al-Ahzab Ayat 56)

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى آلِ سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيمَ وَبَارِكْ عَلى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ كَمَا بَارَكْتَ عَلَى آلِ سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيمَ فِي الْعَالَمِينَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ. 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Mimbar menyeru kepada sidang Jumaat sekalian, marilah sama-sama kita merebut peluang yang ada bagi memakmurkan rumah-rumah Allah dengan melakukan ibadah dan amal soleh secara istiqamah terutama solat fardhu berjamaah serta mendidik hati kita berasa risau dan resah apabila berjauhan dengan masjid. Semoga kita tergolong dalam kalangan orang yang cintakan masjid . Antaranya sabda Rasulullah s.a.w:

صَلَاةُ الْجَمَاعَةِ أَفْضَلُ مِنْ صَلَاةِ الْفَذِّ بِسَبْعٍ وَعِشْرِينَ دَرَجَةً

Bermaksud: "Solat berjamaah itu lebih afdhal daripada solat bersendirian dengan dua puluh tujuh kali ganda". (Hadits riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ والْمُؤمِنَاتِ، وَأَصْلِحْ ذَاتَ بَيْنِهِمْ وَأَلِّفْ بَيْنَ قُلُوْبِهِمْ وَاجْعَلْ فِيْ قُلُوْبِهِمُ اْلإِيْمَانَ وَاْلحِكْمَةَ وَثَبِّتْهُمْ عَلَى مِلَّةِ رَسُوْلِ اللهِ.
اللَّهُمَّ أَعِزَّ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ، اللَّهُمَّ انْصُرِ الدُّعَاةَ وَالْمُجَاهِدِيْنَ،  اللَّهُمَّ انْصُرِ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ فِي كُلِّ مَكَانٍ وَفِي كُلِّ زَمَانٍ.  

Ya Allah, ampunilah seluruh kaum muslimin dan muslimat serta berilah rasa tanggungjawab dalam diri kami ini untuk melaksanakan perintah-Mu dan berikanlah kebencian kepada kami terhadap larangan-Mu. Ya Allah, didikkanlah diri kami ini untuk mendirikan solat fardhu secara berjamaah, mengeluarkan zakat dan bersifat dengan sifat-sifat mahmudah yang lain. Kurniakanlah kepada kami nikmat yang berpanjangan , kesihatan yang berkekalan, hati yang khusyuk serta penuh keikhlasan dalam melakukan amal kebaikan.

Ya Allah, berkatilah hidup hamba-Mu yang melaksanakan tuntutan zakat dan kurnikanlah rezeki yang berlipat ganda kepada para pewakaf serta sucikanlah harta dan jiwa mereka, kurniakanlah kekuatan dan kebijaksanaan serta keadilan kepada para pentadbir zakat, lindungilah golongan fuqara' dan masakin daripada kekufuran dan kefakiran yang berpanjangan.

Ya Allah, kurniakanlah sepenuh taufiq dan hidayah-Mu terhadap Raja kami, Duli Yang Maha mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Al-Marhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah al-Maghfurulahu dan Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan Tuanku Zara Salim serta kerabat dan seluruh rakyat jelata sekalian.

رَبَّنَا ءَاتنِاَ فِى الدُّنْياَ حَسَنَةً وَفِى الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.
عِبَادَ اللهِ، اِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِاْلعَدْلِ وَالأِحْسَانِ وَإِيْتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَاْلمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُوْنَ. فَاذْكُرُوْا اللهَ الْعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ وَاشْكُرُوْهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ وَلَذِكْرُاللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ. 

No comments:

Post a Comment