Friday, October 13, 2017

KHUTBAH JUMAAT - 16 MUHARAM 1439 / 6 OKTOBER 2017


ANAK-ANAK AMANAH ALLAH

Khutbah Pertama

الْحَمْدُ لِلَّهِ الْقَائِلِ:
يَرْفَعِ اللَّهُ الَّذِينَ آمَنُوا مِنكُمْ وَالَّذِينَ أُوتُوا الْعِلْمَ دَرَجَاتٍ ۚ وَاللَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ خَبِيرٌ
﴿سورة المجادلة اية ١١﴾
أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا  وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدًا  عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّينِ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَاعِبَادَ اللهِ، اتَّقُوا اللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنتُم مُّسْلِمُونَ.  

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Saya menyeru kepada diri saya sendiri dan kepada sidang Jumaat sekalian, marilah sama-sama kita perbaiki diri dengan meningkatkan ketaqwaan kepada Allah s.w.t yakni dengan melakukan segala titah perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Sebelum meneruskan khutbah, saya ingin berpesan kepada sidang jamaah sekalian agar menumpukan perhatian dan jangan bercakap-cakap dan melakukan perbuatan sia-sia sewaktu khutbah disampaikan. Mudah-mudahan kita akan beroleh manfaat untuk kebaikan di dunia dan di akhirat. Mimbar Jumaat pada hari ini akan membicarakan tentang; "Anak-Anak Amanah Allah".

Bersempena dengan musim peperiksaan ini, mimbar ingin menyeru marilah sama-sama kita merenung kembali peranan kita sebagai ibu dan bapa kepada anak-anak yang kita cintai. Anak-anak kita pada hari ini hendaklah menjadikan Islam sebagai pegangan hidup mereka supaya mereka berada di landasan yang betul dalam menjalani hidup mereka sebagai muslim yang diredhai oleh Allah s.w.t. Untuk itu, marilah kita sama-sama menghayati firman Allah s.w.t dalam Surah At-Tahrim Ayat 6:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا قُوا أَنفُسَكُمْ وَأَهْلِيكُمْ نَارًا وَقُودُهَا النَّاسُ وَالْحِجَارَةُ عَلَيْهَا مَلَائِكَةٌ غِلَاظٌ شِدَادٌ لَّا يَعْصُونَ اللَّهَ مَا أَمَرَهُمْ وَيَفْعَلُونَ مَا يُؤْمَرُونَ ﴿٦﴾

Bermaksud: "Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan bakarannya manusia dan batu (berhala); neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkannya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan".

Berdasarkan Ayat yang saya bacakan tadi, membuktikan bahawa mendidik anak-anak adalah tanggungjawab dan kewajipan yang paling utama dan perlu dilaksanakan dengan sebaik mungkin dan ianya adalah berdosa sekiranya kewajipan tersebut diabaikan oleh ibu dan bapa.

Muslimin yang dihormati,

Imam Ibnul Qoyyim menyatakan: "Ibu dan bapa akan ditanya terlebih dahulu pada hari kiamat tentang tanggungjawab terhadap anak-anak mereka sebelum Allah menyoal balas anak-anak akan tanggungjawab mereka terhadap ibu-bapa mereka pula". Kerana keduanya saling bertanggungjawab antara satu sama lain. Sabda Rasulullah s.a.w daripada Ibnu 'Umar r.a, hadits yang berbunyi:

كُلُّكُمْ رَاعٍ وَكُلُّكُمْ مَسْئُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ الْإِمَامُ رَاعٍ وَمَسْئُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ وَالرَّجُلُ رَاعٍ فِي أَهْلِهِ وَهُوَ مَسْئُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ وَالْمَرْأَةُ رَاعِيَةٌ فِي بَيْتِ زَوْجِهَا وَمَسْئُولَةٌ عَنْ رَعِيَّتِهَا وَالْخَادِمُ رَاعٍ فِي مَالِ سَيِّدِهِ وَمَسْئُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ

Bermaksud: "Setiap seorang daripada kamu adalah seorang pemimpin dan setiap pemimpin akan bertanggungjawab ke atasnya. Seorang imam adalah pemimpin dan akan bertanggungjawab ke atasnya. Dan seorang lelaki adalah pemimpin keluarganya dan dia akan bertanggungjawab ke atasnya. Dan seorang wanita adalah pemimpin dalam rumah suaminya dan dia akan bertanggungjawab terhadapnya. Dan seorang hamba juga merupakan pemimpin ladang tuannya dan dia juga akan bertanggungjawab ke atasnya".

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah sekalian,

Anak-anak adalah amanah dari Allah, mereka merupakan aset kepada kita sebagai ibu dan bapa dan tidak lupa juga sebagai permata kepada negara. Anak-anak ini haruslah dicorakkan serta dididik dengan ilmu yang bermanfaat dan janganlah pula diterapkan dengan perkara-perkara yang akan merosakkan kehidupan mereka. Tidak dinafikan bahawa pada hari ini, mereka memerlukan kepada ilmu-ilmu dan pendedahan yang lebih tinggi berbanding dengan keperluan ibu bapa pada masa dahulu. Akan tetapi, setiap tingkah laku mereka haruslah dipantau dengan ketat agar mereka ini tidak terjerumus ke dalam lembah kehancuran yang akan mengakibatkan keruntuhan akidah dan akhlak mereka. Saiyidina 'Ali r.a pernah mengungkapkan: "Didiklah anak kamu sesuai dengan zamannya, kerana mereka hidup bukan pada zaman kamu".

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah sekalian,

Sekiranya ibu bapa mengabaikan pendidikan anak-anak mereka sewaktu mereka masih kecil dengan tidak mengambil berat hal ehwal mereka, membiarkan kemahuan mereka dipenuhi tanpa dikawal, tidak diajar dengan adab dan akhlak, tidak pernah mengambil berat soal amalan fardhu seperti solat, puasa dan sebagainya, membiarkan anak-anak keluar masuk rumah tanpa pengawasan dan tidak mengambil tahu dengan siapakah anak-anak kita berkawan serta tidak mengambil kisah tentang pelajaran anak-anak; sekiranya ini yang kita lakukan, mana mungkin anak-anak kita akan mencapai kejayaan dalam bidang pendidikan dan dalam bidang agama?

Jangan sampai di suatu masa kelak setelah ibu bapa meningkat usia dan beransur tua, anak-anak akan menempelak kembali ibu bapa dengan kata-kata yang tidak sewajarnya. Janganlah pula kita risaukan kegagalan anak-anak kita dalam bidang akademik melebihi risaunya kita akan kegagalan anak-anak dalam soal agama. Sebaiknya adalah keseimbangan antara bidang agama dan akademik.

Sidang Jumaat sekalian,

Sehubungan itu, mimbar ingin mengajak sidang Jumaat sekalian bermuhasabah kembali agar dapat mengembalikan fungsi pertanggungjawaban terhadap kepentingan pelajaran anak-anak terutama peperiksaan besar seperti PT3, SPM, STAM yang sedang dan bakal kunjung tiba tidak lama lagi.

Tidak lupa juga kepada mahasiswa yang sedang melanjutkan pelajaran mereka di menara gading, moga-moga Allah mengurniakan keputusan yang cemerlang dan moga Allah akan mempermudahkan urusan mereka dalam memperkukuhkan syiar Islam di bumi Allah ini. Firman Allah s.w.t dalam Surah Ali 'Imran Ayat 159:

... فَإِذَا عَزَمْتَ فَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ ۚ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُتَوَكِّلِينَ ﴿١٥٩﴾

Bermaksud: "Kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah berusaha untuk membuat sesuatu), maka bertawakkallah kepada Allah. Sesungguhnya Allah mengasihi orang yang bertawakkal kepada-Nya".

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah sekalian,

Pakar-pakar pendidikan sama ada di barat mahupun di timur telah bersepakat dengan menyatakan bahawa sokongan dan kerjasama daripada ibu dan bapa dalam membantu kejayaan anak-anak mereka amatlah diperlukan. Sikap ibu bapa yang sentiasa teruja dalam memastikan kejayaan anak-anak mereka perlulah diterapkan. Terdapat beberapa langkah yang boleh dijadikan sebagai panduan kepada ibu dan bapa, antaranya:

1. Ibu bapa hendaklah memastikan anak-anak mereka sentiasa mengulangkaji pelajaran. Janganlah dibiarkan anak-anak leka bermain hingga mereka lupa dengan pelajaran.

2. Sentiasa memberikan semangat dan galakan serta motivasi kepada anak-anak.

3. Memastikan anak-anak melakukan ibadah-ibadah yang wajib seperti solat dan sentiasa memperbanyakkan ibadat sunat dan memperbanyakkan doa.

4. Memberikan makanan dan minuman yang baik serta berkhasiat supaya dapat memberikan kesihatan yang baik kepada anak-anak dalam menghadapi peperiksaan.

5. Doa yang tidak putus-putus dari ibu dan bapa kerana doa mereka sentiasa akan dikabulkan oleh Allah s.w.t.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بالقُرْآنِ العَظِيْمِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ، أَقُولُ قَوْلِي هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ الْأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالْأَمْوَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ، إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ.


Khutbah Kedua

الْحَمْدُ لِلَّهِ حَمْدًا كَثِيْرًا كَمَا أَمَرَ.  أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَاَشْهَدُ اَنَّ سَيِّدِيْنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ، اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدٍ وَعَلىَ آلــِهِ وَأَصْحَابِهِ اَجْمَعِيْنَ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله! اِتَّقُوْا اللهَ وَكُنُواْ مَعَ الصَّادِقِينَ. فَقَالَ اللهُ تَعَالَى:
أَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ ۚ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا ﴿٥٦﴾

Bermaksud: "Sesungguhnya Allah dan malaikat berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad s.a.w), wahai orang-orang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucaplah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya". (Surah Al-Ahzab Ayat 56)

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى آلِ سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيمَ وَبَارِكْ عَلى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ كَمَا بَارَكْتَ عَلَى آلِ سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيمَ فِي الْعَالَمِينَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ. 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Mimbar menyeru kepada sidang Jumaat sekalian, marilah sama-sama kita merebut peluang yang ada bagi memakmurkan rumah-rumah Allah dengan melakukan ibadah dan amal soleh secara istiqamah terutama solat fardhu berjamaah serta mendidik hati kita berasa risau dan resah apabila berjauhan dengan masjid. Semoga kita tergolong dalam kalangan orang yang mendapat perlindungan Allah s.w.t di hari kiamat kelak seperti mana sabda Rasulullah s.a.w:

وَرَجُلٌ قَلْبُهُ مُعَلَّقٌ فِي الْمَسَاجِدِ

Bermaksud: "Seorang yang hatinya selalu terikat pada masjid". (Hadits Muttafaqun 'alaih)

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ والْمُؤمِنَاتِ، وَأَصْلِحْ ذَاتَ بَيْنِهِمْ وَأَلِّفْ بَيْنَ قُلُوْبِهِمْ وَاجْعَلْ فِيْ قُلُوْبِهِمُ اْلإِيْمَانَ وَاْلحِكْمَةَ وَثَبِّتْهُمْ عَلَى مِلَّةِ رَسُوْلِ اللهِ.
اللَّهُمَّ أَعِزَّ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ، اللَّهُمَّ انْصُرِ الدُّعَاةَ وَالْمُجَاهِدِيْنَ،  اللَّهُمَّ انْصُرِ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ فِي كُلِّ مَكَانٍ وَفِي كُلِّ زَمَانٍ.  

Ya Allah, ampunilah seluruh kaum muslimin dan muslimat serta berilah rasa tanggungjawab dalam diri kami ini untuk melaksanakan perintah-Mu dan berikanlah kebencian kepada kami terhadap larangan-Mu. Ya Allah, didikkanlah diri kami ini untuk mendirikan solat fardhu secara berjamaah, mengeluarkan zakat dan bersifat dengan sifat-sifat mahmudah yang lain. Kurniakanlah kepada kami nikmat yang berpanjangan , kesihatan yang berkekalan, hati yang khusyuk serta penuh keikhlasan dalam melakukan amal kebaikan.

Ya Allah, berkatilah hidup hamba-Mu yang melaksanakan tuntutan zakat dan kurnikanlah rezeki yang berlipat ganda kepada para pewakaf serta sucikanlah harta dan jiwa mereka, kurniakanlah kekuatan dan kebijaksanaan serta keadilan kepada para pentadbir zakat, lindungilah golongan fuqara' dan masakin daripada kekufuran dan kefakiran yang berpanjangan.

Ya Allah, kurniakanlah sepenuh taufiq dan hidayah-Mu terhadap Raja kami, Duli Yang Maha mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Al-Marhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah al-Maghfurulahu dan Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan Tuanku Zara Salim serta kerabat dan seluruh rakyat jelata sekalian.

رَبَّنَا ءَاتنِاَ فِى الدُّنْياَ حَسَنَةً وَفِى الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.
عِبَادَ اللهِ، اِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِاْلعَدْلِ وَالأِحْسَانِ وَإِيْتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَاْلمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُوْنَ. فَاذْكُرُوْا اللهَ الْعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ وَاشْكُرُوْهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ وَلَذِكْرُاللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ. 

No comments:

Post a Comment