Friday, October 6, 2017

KHUTBAH JUMAAT - 16 MUHARAM 1439 / 6 OKTOBER 2017


KEWAJIPAN MENJAUHI AMALAN RASUAH

Khutbah Pertama

الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي عَلَّمَ وَأَنْعَمَ، وَهَدَانَا بِالْقُرْأَنِ لِلَّتِيْ هِيَ أَقْوَمُ.
أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ ذُوْ الْفَضْلِ الْعَظِيْمِ وَالْعَطَاءِ الْعَمِيْمِ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا  مُحَمَّدًا  عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ الْمُصْطَفَى الْكَرِيْمُ.
اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ سَارَ عَلَى نَهْجِهِمُ الْقَوِيْمُ وَسَلِّمُ تَسْلِيْمًا.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَاعِبَادَ اللهِ، اِتَّقُوْا اللهَ، اُوْصِيْكُمْ وَاِيّايَ بِتَقْوَى اللهِ وَطَاعَتِهِ فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ. 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah

Saya menyeru kepada diri saya sendiri dan kepada sidang Jumaat sekalian, marilah sama-sama kita perbaiki diri dengan meningkatkan ketaqwaan kepada Allah s.w.t yakni dengan melakukan segala titah perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Sebelum meneruskan khutbah, saya ingin berpesan kepada sidang jamaah sekalian agar menumpukan perhatian dan jangan bercakap-cakap dan melakukan perbuatan sia-sia sewaktu khutbah disampaikan. Mudah-mudahan kita akan beroleh manfaat untuk kebaikan di dunia dan di akhirat. Sempena sambutan hari ulangtahun penubuhan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang ke-50, mimbar Jumaat pada hari ini akan membicarakan tentang: "Kewajipan Menjauhi Amalan Rasuah".

Sidang Jumaat yang dimuliakan Allah sekalian,

Amalan rasuah boleh membinasakan sesebuah negara mahupun sesebuah tamadun bangsa itu sendiri. Rasuah yang berleluasa boleh menghakis sistem keadilan dan nilai-nilai murni, menindas rakyat serta menggugat pemerintahan secara demokratik. Di samping itu, jenayah rasuah juga akan melahirkan keperibadian yang buruk lagi hina kerana rela menggadai maruah agama dan umat Islam demi mengejar wang ringgit, pekerjaan, jawatan, pangkat, hadiah dan sebagainya.

Rasuah dalam perspektif hukum Islam adalah haram dan tergolong dalam dosa-dosa besar berdasarkan firman Allah s.w.t dalam Surah Al-Baqarah, Ayat 188:

وَلَا تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُم بَيْنَكُم بِالْبَاطِلِ وَتُدْلُوا بِهَا إِلَى الْحُكَّامِ لِتَأْكُلُوا فَرِيقًا مِّنْ أَمْوَالِ النَّاسِ بِالْإِثْمِ وَأَنتُمْ تَعْلَمُونَ ﴿١٨٨﴾

Bermaksud: "Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah, dan janganlah kami menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian daripada harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya)".

Daripada 'Abdullah bin 'Amru r.a, sabda Rasulullah s.a.w dalam sebuah hadits:

الرَّاشِي وَالْمُرْتَشِي فِي النَّارِ

Bermaksud: "Pemberi rasuah dan penerima rasuah akan masuk ke dalam neraka". (Hadits riwayat At-Tabrani)

Dalam sebuah hadits yang lain sabda Rasulullah s.a.w yang diriwayatkan daripada Tsauban r.a berbunyi:

أَنَّ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لُعِنَ الرَّاشِيْ وَالْمُرْتَشِيْ وَالرَّائِشَ

Bermaksud: "Rasulullah s.a.w telah melaknat pemberi rasuah, penerima rasuah dan yang menjadi orang perantaraannya".

Muslimin yang dikasihi Allah sekalian,

Statistik Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada tahun 2016, menunjukkan sebanyak 939 tangkapan telah dibuat dan 265 telah dituduh  berbanding tahun 2015 sebanyak 841 tangkapan dan 223 dituduh. Angka ini menunjukkan seolah-olah tiada pengakhirannya. Apa yang menakutkan dan membimbangkan kita ialah mereka yang melakukan rasuah atau bersubahat adalah dianggap sebagai perompak harta rakyat. Berdasarkan pemerhatian mimbar, besar pangkat seseorang maka besarlah peluang untuk merompak harta rakyat dan semakin licik pula untuk melepaskan diri dari disabitkan dengan jenayah rasuah.

Persoalan besar timbul ialah mengapa amalan najis rasuah berlaku? Berdasarkan pemerhatian, punca-punca menyebabkan berlakunya rasuah ialah bernafsu besar atau sifat tamak haloba, mengamalkan cara hidup mewah, ingin cepat kaya, terpengaruh dengan gaya hidup serta terikut-ikut dengan rakan-rakan sekerja, mahu mengekalkan kuasa atau merebut kuasa yang hilang dan tidak bersyukur.

Sidang Jumaat yang dimuliakan,

Sama ada disedari atau tidak bahawa mereka yang terlibat dengan jenayah ini sebenarnya mengakibatkan beberapa kesan buruk seperti menyebabkan tiadanya kualiti dalam produk atau perkhidmatan yang diberikan, pembahagian kekayaan negara tertumpu kepada orang tertentu sahaja, meningkatkan kadar inflasi dan kezaliman terus berleluasa dalam masyarakat. Dengan demikian golongan yang paling malang dan rugi ialah golongan yang berpenat lelah mencari rezeki yang halal menggunakan tulang empat kerat seperti para petani, penoreh getah, penarik beca dan kumpulan dhaif dan lain-lain golongan yang tidak terlibat secara langsung dengan pengurusan harta negara.

Kerugian atau ketirisan akibat rasuah setiap tahun mencecah jutaan ringgit, ia bukannya seringgit atau nilai yang kecil tetapi ia adalah satu kerugian yang amat besar. Ia adalah harta rakyat yang tidak halal buat sesiapa pun yang melakukannya walaupun cuba disucikan dengan membina sejuta rumah anak yatim atau maahad tahfiz sekalipun. Jika keadaan amalan jenayah jijik rasuah ini terus meningkat, maka amat dikhuatiri akan mengancam kestabilan politik, ekonomi, lebih-lebih lagi keselamatan negara.

Perbuatan rasuah meningkatkan penganiayaan dan pencabulan terhadap hak asasi manusia sehingga menzalimi orang lain, dan Allah s.w.t telah mengingatkan akan azab yang keras sepertimana firman Allah s.w.t dalam Surah Al-Buruj Ayat 10:

إِنَّ الَّذِينَ فَتَنُوا الْمُؤْمِنِينَ وَالْمُؤْمِنَاتِ ثُمَّ لَمْ يَتُوبُوا فَلَهُمْ عَذَابُ جَهَنَّمَ وَلَهُمْ عَذَابُ الْحَرِيقِ ﴿١٠﴾

Bermaksud: "Sesungguhnya orang-orang yang menimpakan bencana untuk memesongkan orang-orang lelaki yang beriman dan orang-orang perempuan yang beriman, kemudian mereka tidak bertaubat, maka mereka akan beroleh azab neraka jahannam (kerana perbuatan buruk itu), dan mereka akan beroleh lagi azab api yang membakar (kerana mereka tidak bertaubat)".

Sidang hadirin yang dirahmati Allah sekalian,

Mereka yang terlibat dengan jenayah rasuah ini akan dikutuk oleh Allah s.w.t dan dihumban ke dalam api neraka. Besar kemungkinan juga harta mereka yang terlibat dengan rasuah ini akan diwarisi oleh baka atau keturunan mereka. Dalam sebuah hadits yang diriwayatkan daripada 'Abdullah bin 'Abbas r.a berkata bahawa Rasulullah s.a.w bersabda:

أَيُّمَا عَبْدٍ نَبَتَ لَحْمُهُ مِنْ سُحْتٍ فَالنَّارُ أَوْلَى بِهِ

Bermaksud: "Mana-mana daging yang tumbuh dari sumber yang diusahakan dengan jalan yang haram, maka nerakalah yang layak baginya".

Berdasarkan hadits ini, nyata terdapat kaitan kuat bahawa hasil pendapatan mereka yang bergelumang dengan jenayah rasuah ini berkemungkinan besar akan diwarisi pula oleh anak-pinak mereka jika kita tidak mengambil berat atau meneliti dari sumber makanan hasil yang kita perolehi itu sama ada dari sumber yang halal atau yang haram.

Rasuah juga boleh mengakibatkan tertolaknya solat dan doa kita. Alangkah ruginya kita disebabkan perbuatan rasuah, ibadat dan doa kita menjadi sia-sia, bahkan menjauhkan kita daripada mendapat rahmat Allah s.w.t. Lebih membimbangkan lagi, jika sekiranya kita tidak segera membanteras penyakit rasuah ini, nescaya boleh menyebabkan berlakunya pelbagai malapetaka dan bencana, akibat kemurkaan Allah s.w.t sebagaimana peringatan-Nya dalam Surah Ar-Rum Ayat 41:

ظَهَرَ الْفَسَادُ فِي الْبَرِّ وَالْبَحْرِ بِمَا كَسَبَتْ أَيْدِي النَّاسِ لِيُذِيقَهُم بَعْضَ الَّذِي عَمِلُوا لَعَلَّهُمْ يَرْجِعُونَ ﴿٤١﴾

Bermaksud: "Telah timbul pelbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat)".

Sidang kaum muslimin,

Pengamal, penyalahguna kuasa dan mereka yang bersubahat dengan rasuah adalah pengkhianat negara. Apa yang nyata, kadar celik huruf dan celik akal di kalangan rakyat negara ini semakin tinggi tetapi mereka yang terlibat gagal membuat penilaian dengan waras tentang isu-isu rasuah di negara ini. Oleh itu, mimbar pada kali ini menyeru semua pihak sama-sama berusaha untuk memerangi jenayah rasuah dalam negara kita secara serius demi melahirkan urus tadbir yang baik dalam perkhidmatan kerajaan mahupun swasta. Ini selaras dengan tuntutan syarak dan hasrat kerajaan untuk meningkatkan keberkesanan sistem penyampaian dalam perkhidmatan.

Setiap individu perlu membina keimanan dan ketaqwaan kepada Allah dalam mengharungi persaingan hidup untuk mengelakkan diri daripada terjebak dengan aktiviti haram seperti perbuatan rasuah. Kekuatan taqwa dan keimanan kepada Allah s.w.t dapat memberi jalan keluar kepada kita daripada kesusahan dan diberi kurniaan rezeki daripada sumber halal yang tidak disangka-sangka.

Islam menggalakkan umatnya bekerja dan berusaha kerana kerja dan usaha itu dianggap sebagai ibadah di sisi Allah s.w.t. Untuk menjadikan pekerjaan itu sebagai satu ibadah, setiap orang perlu memastikan bahawa mereka tidak melakukan pekerjaan yang mengandungi unsur maksiat seperti rasuah dan penyelewengan harta . Harta halal dan yang mencukupi membolehkan manusia merasa selamat dan selesa. Sekiranya tidak dikendalikan dengan baik ia hanya menjadi sebagai perhiasan hidup di dunia semata-mata. Firman Allah Jalla wa 'Ala dalam Surah An-Nisa' Ayat 29 dan 30:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُم بَيْنَكُم بِالْبَاطِلِ إِلَّا أَن تَكُونَ تِجَارَةً عَن تَرَاضٍ مِّنكُمْ ۚ وَلَا تَقْتُلُوا أَنفُسَكُمْ ۚ إِنَّ اللَّهَ كَانَ بِكُمْ رَحِيمًا ﴿٢٩﴾ وَمَن يَفْعَلْ ذَ‌ٰلِكَ عُدْوَانًا وَظُلْمًا فَسَوْفَ نُصْلِيهِ نَارًا ۚ وَكَانَ ذَ‌ٰلِكَ عَلَى اللَّهِ يَسِيرًا ﴿٣٠﴾

Bermaksud: "Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu makan (menggunakan) harta-harta sesama kamu dengan jalan yang batil (tipu, judi dan sebagainya), kecuali dengan (jalan) perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu, dan janganlah kamu berbunuh-bunuhan sesama sendiri. Sesungguhnya Allah sentiasa mengasihani kamu. Dan sesiapa berbuat demikian dengan menceroboh dan aniaya, maka Kami akan masukkan dia ke dalam neraka, yang demikian itu adalah mudah bagi Allah".

Para tetamu Allah yang diberkati,

Mengakhiri khutbah pada hari ini, marilah kita hayati beberapa kesimpulan sebagai renungan dan bekalan kita bersama:

Pertama: Menjamin kesinambungan sesuatu keturunan kekal dalam keadaan insan yang beriman dan berintergriti.

Kedua: Meningkatkan martabat dan intergriti organisasi serta warga pengurusan.

Ketiga: Meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap pemimpin yang berani memerangi rasuah.

Keempat: Membuktikan bahawa amalan ibadah-ibadah khusus seperti solat, puasa, berzakat dan haji yang diamalkan telah berjaya mencegah dirinya terlibat dengan najis rasuah.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بالقُرْآنِ العَظِيْمِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ، أَقُولُ قَوْلِي هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ الْأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالْأَمْوَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ، إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ.


Khutbah Kedua

الْحَمْدُ لِلَّهِ حَمْدًا كَثِيْرًا كَمَا أَمَرَ.  أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَاَشْهَدُ اَنَّ سَيِّدِيْنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ، اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدٍ وَعَلىَ آلــِهِ وَأَصْحَابِهِ اَجْمَعِيْنَ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله! اِتَّقُوْا اللهَ وَكُنُواْ مَعَ الصَّادِقِينَ. فَقَالَ اللهُ تَعَالَى:
أَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ ۚ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا ﴿٥٦﴾

Bermaksud: "Sesungguhnya Allah dan malaikat berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad s.a.w), wahai orang-orang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucaplah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya". (Surah Al-Ahzab Ayat 56)

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى آلِ سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيمَ وَبَارِكْ عَلى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ كَمَا بَارَكْتَ عَلَى آلِ سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيمَ فِي الْعَالَمِينَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ. 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Mimbar menyeru kepada sidang Jumaat sekalian, marilah sama-sama kita merebut peluang yang ada bagi memakmurkan rumah-rumah Allah dengan melakukan ibadah dan amal soleh secara istiqamah terutama solat fardhu berjamaah serta mendidik hati kita berasa risau dan resah apabila berjauhan dengan masjid. Semoga kita tergolong dalam kalangan orang yang mendapat perlindungan Allah s.w.t di hari kiamat kelak seperti mana sabda Rasulullah s.a.w:

وَرَجُلٌ قَلْبُهُ مُعَلَّقٌ فِي الْمَسَاجِدِ

Bermaksud: "Seorang yang hatinya selalu terikat pada masjid". (Hadits Muttafaqun 'alaih)

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ والْمُؤمِنَاتِ، وَأَصْلِحْ ذَاتَ بَيْنِهِمْ وَأَلِّفْ بَيْنَ قُلُوْبِهِمْ وَاجْعَلْ فِيْ قُلُوْبِهِمُ اْلإِيْمَانَ وَاْلحِكْمَةَ وَثَبِّتْهُمْ عَلَى مِلَّةِ رَسُوْلِ اللهِ.
اللَّهُمَّ أَعِزَّ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ، اللَّهُمَّ انْصُرِ الدُّعَاةَ وَالْمُجَاهِدِيْنَ،  اللَّهُمَّ انْصُرِ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ فِي كُلِّ مَكَانٍ وَفِي كُلِّ زَمَانٍ.  

Ya Allah, ampunilah seluruh kaum muslimin dan muslimat serta berilah rasa tanggungjawab dalam diri kami ini untuk melaksanakan perintah-Mu dan berikanlah kebencian kepada kami terhadap larangan-Mu. Ya Allah, didikkanlah diri kami ini untuk mendirikan solat fardhu secara berjamaah, mengeluarkan zakat dan bersifat dengan sifat-sifat mahmudah yang lain. Kurniakanlah kepada kami nikmat yang berpanjangan , kesihatan yang berkekalan, hati yang khusyuk serta penuh keikhlasan dalam melakukan amal kebaikan.

Ya Allah, berkatilah hidup hamba-Mu yang melaksanakan tuntutan zakat dan kurnikanlah rezeki yang berlipat ganda kepada para pewakaf serta sucikanlah harta dan jiwa mereka, kurniakanlah kekuatan dan kebijaksanaan serta keadilan kepada para pentadbir zakat, lindungilah golongan fuqara' dan masakin daripada kekufuran dan kefakiran yang berpanjangan.

Ya Allah, kurniakanlah sepenuh taufiq dan hidayah-Mu terhadap Raja kami, Duli Yang Maha mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Al-Marhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah al-Maghfurulahu dan Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan Tuanku Zara Salim serta kerabat dan seluruh rakyat jelata sekalian.

رَبَّنَا ءَاتنِاَ فِى الدُّنْياَ حَسَنَةً وَفِى الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.
عِبَادَ اللهِ، اِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِاْلعَدْلِ وَالأِحْسَانِ وَإِيْتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَاْلمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُوْنَ. فَاذْكُرُوْا اللهَ الْعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ وَاشْكُرُوْهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ وَلَذِكْرُاللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ. 

No comments:

Post a Comment