Friday, September 22, 2017

KHUTBAH JUMAAT - 1 MUHARAM 1439 / 22 SEPTEMBER 2017

HIJRAH DAN PENGORBANAN

Khutbah Pertama

الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي اَنْعَمَنَا بِنِعْمَةِ الْحُرِّيَةِ وَالْإِسْتِقْلَالِ، نَحْمَدُهُ سُبْحَانَهُ وَنَشْكُرُهُ وَنَسْأَلُهُ الْعِظَّةَ وَالْإِعْتِبَرَ، وَنَعُوذُ بِاللهِ مِنْ شُرُورِ أَنْفُسِنَا وَمِنْ سَيِّئَاتِ أَعْمَالِنَا، مَنْ يَهْدِهِ اللهُ فَلَا مُضِلَّ لَهُ، وَمَنْ يُضْلِلْ فَلَا هَادِيَ لَهُ. أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا  عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ. 
اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ، وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَالتَّابِعِينَ لَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّينِ. 
أَمَّا بَعْدُ، فَيَاعِبَادَ اللهِ، اِتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنتُم مُّسْلِمُونَ. 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Saya menyeru kepada diri saya sendiri dan kepada sidang Jumaat sekalian, marilah sama-sama kita perbaiki diri dengan meningkatkan ketaqwaan kepada Allah s.w.t yakni dengan melakukan segala titah perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Sebelum meneruskan khutbah, saya ingin berpesan kepada sidang jamaah sekalian agar menumpukan perhatian dan jangan bercakap-cakap dan melakukan perbuatan sia-sia sewaktu khutbah disampaikan. Mudah-mudahan kita akan beroleh manfaat untuk kebaikan di dunia dan di akhirat. Mimbar Jumaat pada hari ini akan membicarakan tentang; "Hijrah dan Pengorbanan".

Sidang Jumaat sekalian,

Hijrah bukanlah semata-mata permulaan takwim bagi umat Islam tetapi lebih merupakan langkah pertama ke arah pembebasan daripada kezaliman dan penindasan, kepada keadilan dan kebebasan, daripada kehidupan jahiliyyah kepada kehidupan yang bertamadun dan diredhai Allah. Daripada umat yang hanya dihina dan sentiasa mengalah kepada umat yang digeruni, gagah dan bermaruah. Hijrah Rasulullah s.a.w dan para sahabat bukan bermatlamat melarikan diri dari tanah air tercinta tetapi merupakan satu pengorbanan yang besar bagi membentuk sebuah negara. Firman Allah s.w.t dalam Surah Al-Anfal Ayat 72:

إِنَّ الَّذِينَ آمَنُوا وَهَاجَرُوا وَجَاهَدُوا بِأَمْوَالِهِمْ وَأَنفُسِهِمْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ وَالَّذِينَ آوَوا وَّنَصَرُوا أُولَـٰئِكَ بَعْضُهُمْ أَوْلِيَاءُ بَعْضٍ ۚ وَالَّذِينَ آمَنُوا وَلَمْ يُهَاجِرُوا مَا لَكُم مِّن وَلَايَتِهِم مِّن شَيْءٍ حَتَّىٰ يُهَاجِرُوا ۚ وَإِنِ اسْتَنصَرُوكُمْ فِي الدِّينِ فَعَلَيْكُمُ النَّصْرُ إِلَّا عَلَىٰ قَوْمٍ بَيْنَكُمْ وَبَيْنَهُم مِّيثَاقٌ ۗ وَاللَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ بَصِيرٌ ﴿٧٢﴾

Bermaksud: "Sesungguhnya orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad dengan harta dan jiwanya pada jalan Allah dan orang yang memberikan tempat kediaman dan pertolongan (kepada orang Muhajirin), mereka itu satu sama lain lindung melindungi. Dan (terhadap) orang yang beriman, tetapi belum berhijrah, maka tidak ada kewajipan sedikit pun atasmu melindungi mereka, sebelum mereka berhijrah. (Akan tetapi) jika mereka meminta pertolongan kepadamu dalam (urusan pembelaan) agama, maka kamu wajib memberikan pertolongan kecuali terhadap kaum yang telah ada perjanjian antara kamu dengan mereka. Dan Allah Maha Melihat apa yang kamu kerjakan".

Muslimin yang dirahmati Allah s.w.t sekalian,

Allah s.w.t menggambarkan sifat umat Islam yang sanggup berkorban dengan berhijrah dan berjihad harta benda dan nyawa, di samping yang tidak berhijrah pula, sanggup memberikan pertolongan dan tempat tinggal kepada saudaranya yang berhijrah. Umat Islam mestilah saling bantu membantu dan saling lindung melindungi sesama mereka apabila berhadapan dengan orang kafir. Umat Islam mestilah membantu saudaranya apabila diminta pertolongan terutamanya dalam memerangi orang kafir kecuali jika terdapat perjanjian dan perdamaian antara mereka selama mana perjanjian tersebut tidak dicabuli. Terlalu banyak ruang hijrah yang boleh kita laksanakan pada hari ini. Sabda Rasulullah s.a.w dalam hadits daripada 'Aisyah radhiAllahu 'anha:

سُئِلَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ الْهِجْرَةِ فَقَالَ لَا هِجْرَةَ بَعْدَ الْفَتْحِ وَلَكِنْ جِهَادٌ وَنِيَّةٌ وَإِذَا اسْتُنْفِرْتُمْ فَانْفِرُوا

Bermaksud: "Rasulullah s.a.w ditanya tentang hijrah maka sabda baginda: Tidak ada lagi hijrah selepas pembukaan kota Makkah tetapi ia hanyalah jihad dan niat. Apabila kamu diajak berjihad maka lakukanlah". (Hadits riwayat Imam Muslim)

Sidang Jumaat sekalian,

Dunia hari ini memerlukan kita berhijrah dengan melakukan jihad membantu saudara kita sama ada dengan harta dan kudrat kita. Negara Islam seharusnya saling melindungi antara satu sama lain dan menentang pencabulan musuh Islam ke atas negara Islam. Negara Islam tidak sewajarnya berbalah sesama sendiri dan khianat kepada negara Islam yang lain sebagaimana yang dilakukan oleh negara-negara arab yang lain itu terhadap Syria, Palestin dan negara Islam yang lain. Tidak lupa juga kepada saudara seagama iaitu etnik Rohingya di Myanmar yang memerlukan pembelaan dan bantuan yang sewajarnya dari negara-negara Islam yang lain.

Jika dilihat pada hari ini, banyak negara bukan Islam yang cuba untuk memberikan bantuan kepada negara-negara Islam yang sedang dilanda bencana dan peperangan, akan tetapi umat Islam haruslah berhati-hati dalam menerima bantuan agar mereka tidak termakan budi dengan jasa yang telah diberikan oleh mereka. Ini kerana, bantuan tersebut hanyalah untuk mengaburi matlamat sebenar mereka yang hanya untuk mendapatkan khazanah serta menjayakan impian mereka untuk menguasai negara-negara Islam.

Muslimin yang dihormati,

Umat Islam haruslah berhijrah dalam semua perkara supaya ia lebih berkesan dan dapat memberikan impak kepada masyarakat dan negara. Ia bukanlah hanya dibuktikan dengan nyanyian, bacaan sajak serta syair, akan tetapi kita seharusnya menggunakan ruang dan peluang yang telah dikurniakan oleh Allah s.w.t untuk mempertingkatkan kemajuan diri serta menjadikan insan yang lebih baik daripada sebelumnya.

Dalam masa yang sama, saudara kita di seluruh dunia ketika ini sedang berjuang untuk meneruskan kehidupan mereka sebagai hamba di bumi Allah s.w.t ini. Umat Islam harus berhijrah dengan meninggalkan kehidupan yang penuh dengan hiburan dan kelekaan ini kepada kehidupan yang lebih bermakna dalam membangunkan dan menyelesaikan masalah umat Islam dan dunia Islam seluruhnya, agar dunia akan menghormati kita serta mencontohi sikap dan nilai-nilai kita sebagai orang Islam. Malangnya kita masih leka dalam mengejar harta, pangkat, kuasa dan kesenangan dunia dengan mengabaikan bekalan akhirat. Malah setelah segalanya kita perolehi sedikit pun tidak kita gunakan untuk mencari redha Allah s.w.t.

Sidang Jumaat sekalian,

Marilah sama-sama kita untuk berhijrah sebelum kita dihijrahkan oleh Allah s.w.t dari dunia yang fana ini kepada tempat yang kekal abadi yang sememangnya bukan milik kita. Setiap muslim bukan sahaja bertanggungjawab dalam membangunkan dunia ini tetapi kita turut bertanggungjawab agar setiap pembangunan yang dibuat selaras dengan tuntutan Allah dan mengutamakan agama Allah. Kita tidak dipertanggung jawabkan terhadap hasil dan kejayaan yang dimiliki, tetapi kita dipersoalkan mengenai usaha yang kita lakukan terhadapnya. Firman Allah s.w.t dalam Surah An-Nisa' Ayat 100:

۞ وَمَن يُهَاجِرْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ يَجِدْ فِي الْأَرْضِ مُرَاغَمًا كَثِيرًا وَسَعَةً ۚ وَمَن يَخْرُجْ مِن بَيْتِهِ مُهَاجِرًا إِلَى اللَّهِ وَرَسُولِهِ ثُمَّ يُدْرِكْهُ الْمَوْتُ فَقَدْ وَقَعَ أَجْرُهُ عَلَى اللَّهِ ۗ وَكَانَ اللَّهُ غَفُورًا رَّحِيمًا ﴿١٠٠﴾

Bermaksud: "Barangsiapa berhijrah di jalan Allah, nescaya mereka mendapati di muka bumi ini tempat hijrah yang luas dan rezeki yang banyak. Barangsiapa keluar dari rumahnya dengan maksud berhijrah kepada Allah dan Rasul-Nya, kemudian kematian menimpanya (sebelum sampai ke tempat yang dituju), maka sungguh telah tetap pahalanya di sisi Allah. Dan adalah Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang".

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بالقُرْآنِ العَظِيْمِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ، أَقُولُ قَوْلِي هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ الْأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالْأَمْوَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ، إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ.

Khutbah Kedua

الْحَمْدُ لِلَّهِ حَمْدًا كَثِيْرًا كَمَا أَمَرَ.  أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَاَشْهَدُ اَنَّ سَيِّدِيْنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ، اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدٍ وَعَلىَ آلــِهِ وَأَصْحَابِهِ اَجْمَعِيْنَ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله! اِتَّقُوْا اللهَ وَكُنُواْ مَعَ الصَّادِقِينَ. فَقَالَ اللهُ تَعَالَى:
أَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ ۚ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا ﴿٥٦﴾

Bermaksud: "Sesungguhnya Allah dan malaikat berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad s.a.w), wahai orang-orang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucaplah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya". (Surah Al-Ahzab Ayat 56)

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى آلِ سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيمَ وَبَارِكْ عَلى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ كَمَا بَارَكْتَ عَلَى آلِ سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيمَ فِي الْعَالَمِينَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ. 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Mimbar menyeru kepada sidang Jumaat sekalian, marilah sama-sama kita merebut peluang yang ada bagi memakmurkan rumah-rumah Allah dengan melakukan ibadah dan amal soleh secara istiqamah terutama solat fardhu berjamaah serta mendidik hati kita berasa risau dan resah apabila berjauhan dengan masjid. Semoga kita tergolong dalam kalangan orang yang mendapat perlindungan Allah s.w.t di hari kiamat kelak seperti mana sabda Rasulullah s.a.w:

وَرَجُلٌ قَلْبُهُ مُعَلَّقٌ فِي الْمَسَاجِدِ

Bermaksud: "Seorang yang hatinya selalu terikat pada masjid". (Hadits Muttafaqun 'alaih)

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ والْمُؤمِنَاتِ، وَأَصْلِحْ ذَاتَ بَيْنِهِمْ وَأَلِّفْ بَيْنَ قُلُوْبِهِمْ وَاجْعَلْ فِيْ قُلُوْبِهِمُ اْلإِيْمَانَ وَاْلحِكْمَةَ وَثَبِّتْهُمْ عَلَى مِلَّةِ رَسُوْلِ اللهِ.
اللَّهُمَّ أَعِزَّ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ، اللَّهُمَّ انْصُرِ الدُّعَاةَ وَالْمُجَاهِدِيْنَ،  اللَّهُمَّ انْصُرِ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ فِي كُلِّ مَكَانٍ وَفِي كُلِّ زَمَانٍ.  

Ya Allah, ampunilah seluruh kaum muslimin dan muslimat serta berilah rasa tanggungjawab dalam diri kami ini untuk melaksanakan perintah-Mu dan berikanlah kebencian kepada kami terhadap larangan-Mu. Ya Allah, didikkanlah diri kami ini untuk mendirikan solat fardhu secara berjamaah, mengeluarkan zakat dan bersifat dengan sifat-sifat mahmudah yang lain. Kurniakanlah kepada kami nikmat yang berpanjangan , kesihatan yang berkekalan, hati yang khusyuk serta penuh keikhlasan dalam melakukan amal kebaikan.

Ya Allah, berkatilah hidup hamba-Mu yang melaksanakan tuntutan zakat dan kurnikanlah rezeki yang berlipat ganda kepada para pewakaf serta sucikanlah harta dan jiwa mereka, kurniakanlah kekuatan dan kebijaksanaan serta keadilan kepada para pentadbir zakat, lindungilah golongan fuqara' dan masakin daripada kekufuran dan kefakiran yang berpanjangan.

Ya Allah, kurniakanlah sepenuh taufiq dan hidayah-Mu terhadap Raja kami, Duli Yang Maha mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Al-Marhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah al-Maghfurulahu dan Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan Tuanku Zara Salim serta kerabat dan seluruh rakyat jelata sekalian.

رَبَّنَا ءَاتنِاَ فِى الدُّنْياَ حَسَنَةً وَفِى الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.
عِبَادَ اللهِ، اِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِاْلعَدْلِ وَالأِحْسَانِ وَإِيْتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَاْلمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُوْنَ. فَاذْكُرُوْا اللهَ الْعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ وَاشْكُرُوْهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ وَلَذِكْرُاللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ. 

Friday, September 15, 2017

KHUTBAH JUMAAT - 24 ZULHIJJAH 1438 / 15 SEPTEMBER 2017

MEMELIHARA AGAMA MEMPERKASA NEGARA

Khutbah Pertama

الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي عَلَّمَ وَأَنْعَمَ، وَهَدَانَا بِالْقُرْأَنِ لِلَّتِيْ هِيَ أَقْوَمُ.
أَشْهَدُ اَنْ لاَ إِلَــهَ اِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لاَشَرِيْكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ اَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ.
اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَالتَّابِعِينَ لَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّينِ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَاعِبَادَ اللهِ! اِتَّقُوْا اللهَ يَا أُوْلِي الْأَلْبَابِ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُوْنَ. 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Saya menyeru kepada diri saya sendiri dan kepada sidang Jumaat sekalian, marilah sama-sama kita perbaiki diri dengan meningkatkan ketaqwaan kepada Allah s.w.t yakni dengan melakukan segala titah perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Sebelum meneruskan khutbah, saya ingin berpesan kepada sidang jamaah sekalian agar menumpukan perhatian dan jangan bercakap-cakap dan melakukan perbuatan sia-sia sewaktu khutbah disampaikan. Mudah-mudahan kita akan beroleh manfaat untuk kebaikan di dunia dan di akhirat. Mimbar Jumaat pada hari ini akan membicarakan tentang; "Memelihara Agama Memperkasa Negara".

Sidang Jumaat yang dimuliakan Allah sekalian,

Tarikh 16 September 1963 telah menjadi lipatan sejarah yang penting kepada tanah air kita. Pada tarikh tersebut, Persekutuan Tanah Melayu, Sabah, Sarawak dan Singapura telah diisytiharkan sebagai sebuah negara yang diberi nama Malaysia. Justeru, tarikh tersebut dirai dan disambut setiap tahun sempena memperingati detik bersejarah tersebut. Menelusuri penghayatan Hari Malaysia ini, mimbar ingin menekankan aspek yang perlu kita tekuni sebagai peringatan kita bersama.

Sebagai hamba Allah s.w.t, kita wajib bersyukur kepada-Nya yang telah mengurniakan nikmat keamanan, perpaduan dan kemakmuran kepada negara kita. Malah, kepada-Nya jualah kita memohon agar nikmat keamanan ini berkekalan sehingga ke generasi akan datang.

Muslimin yang dikasihi Allah sekalian,

Bagi muslim yang benar-benar bertaqwa kepada Allah s.w.t, tentunya nikmat ini menjadi cita-cita dan harapan untuk dikecapi di dunia lebih-lebih lagi di akhirat. Inilah hasil iman dan taqwa yang disemai dalam jiwa mereka yang sentiasa menghayati Al-Quran dan Sunnah Nabi Muhammad s.a.w. Firman Allah s.w.t dalam Surah An-Nahl Ayat 30:

۞ وَقِيلَ لِلَّذِينَ اتَّقَوْا مَاذَا أَنزَلَ رَبُّكُمْ ۚ قَالُوا خَيْرًا ۗ لِّلَّذِينَ أَحْسَنُوا فِي هَـٰذِهِ الدُّنْيَا حَسَنَةٌ ۚ وَلَدَارُ الْآخِرَةِ خَيْرٌ ۚ وَلَنِعْمَ دَارُ الْمُتَّقِينَ ﴿٣٠﴾

Bermaksud: "Dan ditanya kepada orang yang bertaqwa; Apakah yang diturunkan oleh Tuhanmu? Mereka menjawab: Kebaikan. Bagi orang yang berbuat baik di dunia ini, (mereka) beroleh balasan yang baik, dan balasan di akhirat itu lebih baik lagi; dan negeri akhirat itu sebaik-baik negeri bagi orang yang bertaqwa".

Menurut Iman Ibnu Katsir rahimahullah, kebaikan yang dimaksudkan oleh Ayat tersebut ialah rahmat dan keberkatan bagi sesiapa yang menuruti dan beriman dengan Allah. Menerusi Ayat ini juga, Allah s.w.t telah menzahirkan janji dan memberikan jaminan kepada hamba-hamba-Nya yang beramal soleh di atas muka bumi ini bahawa mereka bakal dikurniakan kebaikan di dunia dan di akhirat.

Sidang Jumaat yang dimuliakan,

Setiap manusia di dunia ini mesti mempunyai perasaan cintakan negara. Lantaran itu, perasaan cinta dan kasih kepada tanah air adalah merupakan fitrah dan anugerah yang Allah s.w.t kurniakan kepada para hamba-Nya. Ia bukanlah sesuatu yang bertentangan dengan ajaran Islam. Malah sifat cintakan tanah air ini turut dizahirkan oleh baginda Rasulullah s.a.w. Dalam sebuah hadits yang diriwayatkan daripada Abu Hamid Al-Ansari r.a, beliau berkata:

أَقْبَلْنَا مَعَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مِنْ غَزْوَةِ تَبُوكَ حَتَّى إِذَا أَشْرَفْنَا عَلَى الْمَدِينَةِ قَالَ هَذِهِ طَابَةُ وَهَذَا أُحُدٌ جَبَلٌ يُحِبُّنَا وَنُحِبُّهُ

Bermaksud: "Kami pulang bersama Nabi Muhammad s.a.w daripada peperangan Tabuk sehinggalah ketika kami sampai di Madinah, lalu baginda bersabda: Inilah (kota) yang baik. Dan ini adalah gunung Uhud iaitu gunung yang mencintai kita dan kita juga mencintainya". (Hadits riwayat Imam Al-Bukhari)

Rakaman peristiwa ini menunjukkan bahawa peranan negara serta tanah air sebagai asas kepada pembangunan dan perkembangan dakwah Islam adalah sangat besar. Lantas fizikal bumi itu turut menjadi tumpuan kasih dan cinta. Sehubungan itu, seharusnya kita sebagai umat Islam menginsafi perkara ini dan bersama-sama memelihara keamanan dan ketenteraman negara kita supaya usaha memastikan kesinambungan Islam di tanah air tercinta ini akan terpelihara.

Sidang hadirin yang dirahmati Allah sekalian,

Pembentukan negara Malaysia yang merdeka telah melalui satu tempoh yang lama. Ia suatu tempoh yang telah disifatkan matang dan kita selaku warga negaranya perlu membuat muhasabah dan penilaian terhadap pencapaian negara. Ini penting bagi menentukan apakah perkara yang perlu diperbaiki, diperkasa dan diraih pada hari yang mendatang.

Tiada negara yang inginkan kemunduran. Semuanya memasang impian untuk mencapai kemajuan teknologi, kemampanan ekonomi, sistem pendidikan yang tersusun, kehidupan sosial yang lebih baik dan kegemilangan tamadun. Termasuklah negara yang kita cintai ini. Soalnya, apakah tindakan kita dalam menentukan piawaian kemajuan dan kemodenan tersebut? Budaya dan komuniti manakah yang menjadi ikutan kita? Ilmu dan sejarah manakah yang perlu kita warisi kepada generasi kemudian? Dalam menghadapi situasi yang semakin mencabar ini, Rasulullah s.a.w telah memberikan ingatan dan panduan kepada kita menerusi hadits yang diriwayatkan daripada Abu Sa'id Al-Khudri r.a, sabda Rasulullah s.a.w:

لَتَتَّبِعُنَّ سَنَنَ مَنْ قَبْلَكُمْ شِبْرًا بِشِبْرٍ وَذِرَاعًا بِذِرَاعٍ، حَتَّى لَوْ سَلَكُوا جُحْرَ ضَبٍّ لَسَلَكْتُمُوهُ. قُلْنَا: يَا رَسُولَ اللَّهِ، الْيَهُودَ وَالنَّصَارَى؟ قَالَ: فَمَنْ؟

Bermaksud: "Sesungguhnya, kalian benar-benar akan mengikuti tradisi (kebiasaan) orang-orang sebelum kamu, sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta, sehingga sekiranya mereka masuk ke dalam lubang biawak pun, kalian pasti akan mengikuti mereka. Kami (para sahabat) bertanya: Wahai Rasulullah, apakah mereka itu yahudi dan nasrani? Jawab baginda: Siapa lagi jika bukan mereka?". (Hadits riwayat Imam Al-Bukhari dan Muslim)

Jelas menerusi hadits tersebut, apa yang dinyatakan oleh Nabi Muhammad s.a.w memperlihatkan kebenarannya pada hari ini. Masyarakat kita cenderung mengamalkan budaya dan cara hidup barat. Mereka berfikir, bertutur, berpakaian, bergerak dan hidup seperti apa yang telah diiklankan oleh yahudi dan nasrani. Perkara ini bukanlah petanda yang baik, malah ia perlu dibendung dan dikawal agar ia tidak berleluasa dan berkembang sehingga menghakis identiti asal kita. Bukanlah bermaksud kita tidak boleh mengambil kebaikan yang ada, namun kita perlu rasional dan selari dengan tuntutan syariat Islam.

Sidang kaum muslimin,

Peranan dan tanggung jawab membangunkan negara digalas oleh umat Islam sama ada pemimpin ataupun rakyat biasa. Masing-masing dikurniakan oleh Allah s.w.t kemampuan yang berbeza-beza. Usaha ini akan menjadi pincang seandainya satu pihak hanya mengharapkan pihak yang lain untuk melakukannya sedangkan mereka tidak melakukan apa-apa. Firman Allah s.w.t dalam Surah Ali Imran Ayat 104:

وَلْتَكُن مِّنكُمْ أُمَّةٌ يَدْعُونَ إِلَى الْخَيْرِ وَيَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ ۚ وَأُولَـٰئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ ﴿١٠٤﴾

Bermaksud: "Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru kepada kebajikan, dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah. Dan mereka yang demikian ialah orang-orang yang berjaya".

Janganlah kita berasa selesa dan tenggelam dengan nikmat yang ada sehingga ia menjadikan kita langsung tidak berusaha untuk memelihara agama dan memperkukuhkan negara. Siapakah lagi yang akan memikirkan nasib negara ini untuk 50 atau 100 tahun akan datang? Adakah umat ketika itu semakin dekat dengan Allah s.w.t atau sebaliknya? Mudah-mudahan Allah s.w.t memberikan kesedaran dan dan kekuatan kepada kita untuk memikul tanggung jawab ini sebelum segalanya terlambat.

Para tetamu Allah yang diberkati,

Mengakhiri khutbah pada hari ini, marilah kita hayati beberapa kesimpulan sebagai renungan dan bekalan kita bersama:

Pertama: Umat Islam hendaklah berusaha menjauhi perselisihan dan perbalahan yang tidak menguntungkan agama dan negara.

Kedua: Usaha untuk mencapai kemajuan dan tamadun negara hendaklah berteraskan ajaran serta prinsip-prinsip Islam.

Ketiga: Semua pihak hendaklah berusaha serta berperanan dalam membangunkan negara melalui usaha mengajak kepada yang ma'aruf dan mencegah kemungkaran.

Firman Allah s.w.t dalam Surah An-Nahl Ayat 97:

مَنْ عَمِلَ صَالِحًا مِّن ذَكَرٍ أَوْ أُنثَىٰ وَهُوَ مُؤْمِنٌ فَلَنُحْيِيَنَّهُ حَيَاةً طَيِّبَةً ۖ وَلَنَجْزِيَنَّهُمْ أَجْرَهُم بِأَحْسَنِ مَا كَانُوا يَعْمَلُونَ ﴿٩٧﴾

Bermaksud: "Sesiapa yang beramal soleh, dari lelaki atau perempuan sedang ia beriman, maka sungguh Kami akan menghidupkan dia dengan kehidupan yang baik dan sesungguhnya Kami akan membalas mereka dengan pahala yang lebih baik dari apa yang mereka telah kerjakan".

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بالقُرْآنِ العَظِيْمِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ، أَقُولُ قَوْلِي هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ الْأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالْأَمْوَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ، إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ.

Khutbah Kedua

الْحَمْدُ لِلَّهِ حَمْدًا كَثِيْرًا كَمَا أَمَرَ.  أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَاَشْهَدُ اَنَّ سَيِّدِيْنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ، اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدٍ وَعَلىَ آلــِهِ وَأَصْحَابِهِ اَجْمَعِيْنَ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله! اِتَّقُوْا اللهَ وَكُنُواْ مَعَ الصَّادِقِينَ. فَقَالَ اللهُ تَعَالَى:
أَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ ۚ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا ﴿٥٦﴾

Bermaksud: "Sesungguhnya Allah dan malaikat berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad s.a.w), wahai orang-orang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucaplah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya". (Surah Al-Ahzab Ayat 56)

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى آلِ سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيمَ وَبَارِكْ عَلى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ كَمَا بَارَكْتَ عَلَى آلِ سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيمَ فِي الْعَالَمِينَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ. 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Mimbar menyeru kepada sidang Jumaat sekalian, marilah sama-sama kita merebut peluang yang ada bagi memakmurkan rumah-rumah Allah dengan melakukan ibadah dan amal soleh secara istiqamah terutama solat fardhu berjamaah serta mendidik hati kita berasa risau dan resah apabila berjauhan dengan masjid. Semoga kita tergolong dalam kalangan orang yang mendapat perlindungan Allah s.w.t di hari kiamat kelak seperti mana sabda Rasulullah s.a.w:

وَرَجُلٌ قَلْبُهُ مُعَلَّقٌ فِي الْمَسَاجِدِ

Bermaksud: "Seorang yang hatinya selalu terikat pada masjid". (Hadits Muttafaqun 'alaih)

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ والْمُؤمِنَاتِ، وَأَصْلِحْ ذَاتَ بَيْنِهِمْ وَأَلِّفْ بَيْنَ قُلُوْبِهِمْ وَاجْعَلْ فِيْ قُلُوْبِهِمُ اْلإِيْمَانَ وَاْلحِكْمَةَ وَثَبِّتْهُمْ عَلَى مِلَّةِ رَسُوْلِ اللهِ.
اللَّهُمَّ أَعِزَّ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ، اللَّهُمَّ انْصُرِ الدُّعَاةَ وَالْمُجَاهِدِيْنَ،  اللَّهُمَّ انْصُرِ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ فِي كُلِّ مَكَانٍ وَفِي كُلِّ زَمَانٍ.  

Ya Allah, ampunilah seluruh kaum muslimin dan muslimat serta berilah rasa tanggungjawab dalam diri kami ini untuk melaksanakan perintah-Mu dan berikanlah kebencian kepada kami terhadap larangan-Mu. Ya Allah, didikkanlah diri kami ini untuk mendirikan solat fardhu secara berjamaah, mengeluarkan zakat dan bersifat dengan sifat-sifat mahmudah yang lain. Kurniakanlah kepada kami nikmat yang berpanjangan , kesihatan yang berkekalan, hati yang khusyuk serta penuh keikhlasan dalam melakukan amal kebaikan.

Ya Allah, berkatilah hidup hamba-Mu yang melaksanakan tuntutan zakat dan kurnikanlah rezeki yang berlipat ganda kepada para pewakaf serta sucikanlah harta dan jiwa mereka, kurniakanlah kekuatan dan kebijaksanaan serta keadilan kepada para pentadbir zakat, lindungilah golongan fuqara' dan masakin daripada kekufuran dan kefakiran yang berpanjangan.

Ya Allah, kurniakanlah sepenuh taufiq dan hidayah-Mu terhadap Raja kami, Duli Yang Maha mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Al-Marhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah al-Maghfurulahu dan Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan Tuanku Zara Salim serta kerabat dan seluruh rakyat jelata sekalian.

رَبَّنَا ءَاتنِاَ فِى الدُّنْياَ حَسَنَةً وَفِى الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.
عِبَادَ اللهِ، اِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِاْلعَدْلِ وَالأِحْسَانِ وَإِيْتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَاْلمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُوْنَ. فَاذْكُرُوْا اللهَ الْعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ وَاشْكُرُوْهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ وَلَذِكْرُاللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ. 

Friday, September 8, 2017

KHUTBAH JUMAAT TUAN GURU PRESIDEN PAS - 8 SEPTEMBER 2017M / 17 ZULHIJJAH 1438H

PENYELEWENGAN UMAT

الْحَمْدُ لِلَّهِ الْذِي نَحْمَدُهُ وَنَسْتَعِينُهُ وَنَسْتَغْفِرُهُ، وَنَعُوذُ بِاللهِ مِنْ شُرُورِ أَنْفُسِنَا وَمِنْ سَيِّئَاتِ أَعْمَالِنَا، مَنْ يَهْدِهِ اللهُ فَلَا مُضِلَّ لَهُ، وَمَنْ يُضْلِلْ فَلَا هَادِيَ لَهُ. أَشْهَدُ أَن لَّا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ. وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ، الْمَبْعُوْثُ رَحْمَةً لِلْعَالَمِيْنَ. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلَى حَبِيبِنَا وَشَفِيعِنَا وَإِمَامِنَا وَقُدْوَتِنَا مُحَمَّدٍ، الْأَشْرَفِ الْأَنْبِيَاءِ الْمُرْسَلِينَ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِينَ وَالتَّابِعِيْنَ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ.  

أَمَّا بَعْدُ:
فَيَاعِبَادَ اللهِ، اِتَّقُوْا اللهَ، وَتَزَوَّدُوا فَإِنَّ خَيْرَ الزَّادِ التَّقْوَى، فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ.

Wahai hamba-hamba Allah,

Bertaqwalah kamu kepada Allah dengan mengikut segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Carilah bekalan, maka sesungguhnya sebaik-baik bekalan itu adalah bertaqwa. maka demi sesungguhnya berjayalah orang-orang yang bertaqwa kepada Allah.

Sidang jumaat yang dirahmati Allah,

Marilah kita mendengar dan memahami wasiat Rasulullah s.a.w ketika menunaikan haji wada' (haji selamat tinggal) dalam satu wasiat yang panjang. Di antaranya yang terpenting daripadanya adalah sabdanya:

لَا تَرْجِعُوا بَعْدِي كُفَّارًا يَضْرِبُ بَعْضُكُمْ رِقَابَ بَعْضٍ. [رواه البخاري]

(Maksudnya): Jangan kamu menyeleweng (menjadi kufur) selepas aku wafat, nanti kamu akan memancung leher (berperang) di antara satu sama lain.

Kita sedang menyaksikan benarnya berlaku apa yang telah diberi amaran oleh Rasulullah s.a.w, terutamanya di negara-negara orang arab sendiri yang sebangsa dengan Nabi s.a.w. Al-Quran diturunkan dengan bahasa mereka, sepatutnya merekalah yang paling memahami Al-Quran dan memahami hadits-hadits Nabi s.a.w. Tetapi apabila mereka meninggalkan Al-Quran dan ajaran Nabi s.a.w, mereka kembali semula ke zaman jahiliyyah. Mereka berperang dan berbunuh di antara satu sama lain.

Sebenarnya apa yang disebut oleh Rasulullah s.a.w adalah firman Allah Ta'ala:

وَلَا تَكُونُوا كَالَّذِينَ تَفَرَّقُوا وَاخْتَلَفُوا مِن بَعْدِ مَا جَاءَهُمُ الْبَيِّنَاتُ ۚ وَأُولَـٰئِكَ لَهُمْ عَذَابٌ عَظِيمٌ ﴿١٠٥﴾ [سورة آل عمران : ١٠٥]

(Maksudnya): Dan janganlah kamu menjadi seperti orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang telah berceri-berai dan berselisihan (dalam agama mereka) sesudah datang kepada mereka keterangan-keterangan yang jelas nyata (yang dibawa oleh Nabi-nabi Allah), Dan mereka yang bersifat demikian, akan beroleh azab seksa yang besar.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي الْكِتَابِ وَالسُنَّةِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِالآيَاتِ وَالْحِكْمَةِ، أَقُولُ قَوْلِى هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ.

Teks asal khutbah ini boleh dimuat turun dari sini.

KHUTBAH JUMAAT JABATAN KEMAJUAN ISLAM MALAYSIA - 8 SEPTEMBER 2017M / 17 ZULHIJJAH 1438H

PAYUNG NEGARA

Khutbah Pertama

الْحَمْدُ لِلَّهِ، الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي مَنْ عَلَيْنَا بِنِعْمَةِ الْأَمْنِ وَالْإِسْتِقْرَارِ، أَحْمَدُهُ سُبْحَانَهُ وَاشْكُرُهُ وَأَسْأَلُهُ الْعِظَّةَ وَالْإِعْتِبَارَأَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ الْقَائِلِ: وَكُلُّ شَيْءٍ عِنْدَهُ بِمِقْدَارٍ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا وَنَبِيَّنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ دَعَا إِلَى اللهِ بِحِكْمَةٍ وَاقْتِدَارٍ، وَصَلِّ اللهُ عَلَيْهِ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ مَا تَعَاقَبَ الْلَيْلُ وَالنَّهَارُ. 
أَمَّا بَعْدُ، فَأُصِيْكُمْ وَنَفْسِي بِتَقْوَى اللهِ. قَالَ اللهُ تَعَالَى:
قُلِ اللَّهُمَّ مَالِكَ الْمُلْكِ تُؤْتِي الْمُلْكَ مَن تَشَاءُ وَتَنزِعُ الْمُلْكَ مِمَّن تَشَاءُ وَتُعِزُّ مَن تَشَاءُ وَتُذِلُّ مَن تَشَاءُ ۖ بِيَدِكَ الْخَيْرُ ۖ إِنَّكَ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ ﴿٢٦﴾ [سورة آل عمران : ٢٦]

Sidang jamaah yang dirahmati Allah sekalian,

Saya berpesan kepada diri saya dan menyeru sidang Jumaat yang dikasihi sekalian, marilah sama-sama kita meningkatkan ketakwaan kepada Allah s.w.t dengan bersungguh-sungguh melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kehidupan ini mendapat keberkatan di dunia dan di akhirat. Khutbah hari ini akan membicarakan tajuk: “Payung Negara”.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Islam telah menggariskan beberapa ciri penting dalam sesebuah negara yang merangkumi aspek keimanan, keadilan dan kebijaksanaan pemerintah. Islam juga perlu menjadi tonggak yang akan menetapkan akidah negara dan kepimpinannya yang tertinggi, di sampingnya Syura (Musyawarah) dan nasihat yang memelihara hak rakyat dan pemimpin.

Islam juga meletakkan syarat agama, ilmu dan akhlak, kemampuan jasad, akal dan roh menjadikannya lebih sempurna daripada teori ciptaan manusia. Firman Allah s.w.t menceritakan tentang kaum Bani Israil yang mendesak Nabi pada zaman itu supaya memilih seorang raja (pemimpin), setelah mereka hidup merempat beberapa abad kerana kesilapan meninggalkan Kitab Allah (Taurat). Firman Allah s.w.t dalam Surah Al-Baqarah Ayat 247:

وَقَالَ لَهُمْ نَبِيُّهُمْ إِنَّ اللَّهَ قَدْ بَعَثَ لَكُمْ طَالُوتَ مَلِكًا ۚ قَالُوا أَنَّىٰ يَكُونُ لَهُ الْمُلْكُ عَلَيْنَا وَنَحْنُ أَحَقُّ بِالْمُلْكِ مِنْهُ وَلَمْ يُؤْتَ سَعَةً مِّنَ الْمَالِ ۚ قَالَ إِنَّ اللَّهَ اصْطَفَاهُ عَلَيْكُمْ وَزَادَهُ بَسْطَةً فِي الْعِلْمِ وَالْجِسْمِ ۖ وَاللَّهُ يُؤْتِي مُلْكَهُ مَن يَشَاءُ ۚ وَاللَّهُ وَاسِعٌ عَلِيمٌ ﴿٢٤٧﴾

Maksudnya: “Dan Nabi mereka pula berkata kepada mereka: Bahawasanya Allah telah melantik Talut menjadi raja bagi kamu. Mereka menjawab: Bagaimana dia mendapat kuasa memerintah kami sedangkan kami lebih berhak dengan kuasa pemerintahan itu daripadanya, dan ia pula tidak diberi keluasan harta kekayaan? Nabi mereka berkata: Sesungguhnya Allah telah memilihnya menjadi raja kamu, dan telah mengurniakannya kelebihan dalam ilmu dan kegagahan tubuh. Dan Allah memberikan kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya; dan Allah Maha Luas rahmatnya dan pengurniaan-Nya, lagi meliputi ilmu-Nya” .

Berdasarkan ayat ini, sebahagian ulama menghuraikan bahawa “kelebihan dalam ilmu” di sini dengan maksud penguasaan pelbagai ilmu khususnya keupayaan mengurus dan mentadbir negara dengan kebijaksanaan dan gagasan yang sempurna kerana pemerintah yang berilmu akan berada di hadapan, memimpin negara bagi mengelakkan kerosakan dan kepincangan yang merugikan umat, bangsa dan negara, manakala “kegagahan tubuh” maksudnya mampu mewujudkan dan melaksanakan segala gagasan, perancangan dan dapat mentadbir negara dengan baik dan sempurna. Dengan kedua asas inilah akan sempurna tanggungjawab mengurus kerajaan. Jika salah satunya tidak ada, maka sukar bagi ketua negara mengurus kerajaan. Misalnya jika kuat tubuhnya, namun gagasannya lemah, maka akan terjadi kekacauan dan kekuasaan tanpa kebijaksanaan. Demikian juga jika gagasannya kuat, namun tidak mampu mewujud dan  melaksanakannya, maka gagasan tersebut tidak memberi apa-apa faedah. Justeru, ilmu, kekuatan rohani dan jasmani merupakan antara elemen utama yang perlu ada dalam diri seseorang pemerintah negara.

Jika dilihat kepada lipatan sejarah, rakyat sangat mentaati raja mereka tanpa berbelah bahagi sehingga agama yang dianuti oleh raja turut menjadi ikutan bagi sekalian rakyat jelata. Sehubungan itu, institusi beraja bertanggungjawab dalam memelihara kesucian agama khususnya agama Islam sebagai agama Persekutuan di Malaysia.

Sidang Jumaat yang dimuliakan,

Islam adalah agama yang sempurna, menjadi petunjuk kepada seluruh manusia sepanjang zaman dan tempat dalam semua keadaan, kerana Islam ini datang daripada Allah Pencipta Alam Yang Maha Penyayang lagi Maha Bijaksana.

Islam mengharamkan perhambaan terhadap rakyat dan pemimpin yang berlagak menjadi Tuhan. Allah Azza wa Jalla telah mengutuskan Rasul terakhir yang menjadi petunjuk dan pemberi amaran. Apabila manusia menolak petunjuk ini, maka merekalah yang menjadi sebab berlakunya kerosakan di seluruh alam. Firman Allah SWT dalam Surah Ar-Ruum Ayat 41:

ظَهَرَ الْفَسَادُ فِي الْبَرِّ وَالْبَحْرِ بِمَا كَسَبَتْ أَيْدِي النَّاسِ لِيُذِيقَهُم بَعْضَ الَّذِي عَمِلُوا لَعَلَّهُمْ يَرْجِعُونَ ﴿٤١﴾

Maksudnya: “Telah timbul pelbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan buruk mereka, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).” 

Keadilan merupakan aspek utama dalam menunaikan pemerintahan yang menjadi suruhan dan pertanggungjawaban oleh Allah kepada wakil-Nya di muka bumi bagi menjalankan amanah kekhalifahan. Rasulullah SAW telah menunjukkan qudwah supaya menegakkan Islam yang penuh adil kepada seluruh manusia. Firman Allah s.w.t dalam Surah Al-Ahzab Ayat 21:

لَّقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِّمَن كَانَ يَرْجُو اللَّهَ وَالْيَوْمَ الْآخِرَ وَذَكَرَ اللَّهَ كَثِيرًا ﴿٢١﴾

Maksudnya: “Sesungguhnya, adalah bagimu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan keredhaan Allah dan balasan baik hari akhirat, serta ia pula menyebut dan banyak mengingati Allah.” 

Raja dan Sultan, selaku ketua agama juga bertindak sebagai penerus kepimpinan Rasulullah dalam melaksanakan perintah-perintah Allah s.w.t di tengah-tengah masyarakat dan negara. Memelihara dan mengembangkan agama ini termasuk tugas ketua negara dari segi keagamaan. Sebagai ketua agama, baginda perlu memastikan segala bentuk perundangan yang terkandung dalam al-Quran dan al-Sunnah terpelihara dan dilaksanakan mengikut lunas-lunas yang telah ditetapkan oleh syara’. Hal ini bertepatan dengan kedudukan agama Islam sebagai agama negara sebagaimana yang termaktub dalam Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan. Dalam konteks ini, maka hubungan antara Sultan dengan para ulama mesti berada pada tahap yang terbaik. Para ulama dirujuk dalam banyak hal lebih-lebih lagi dalam urusan yang melibatkan hal ehwal agama Islam bagi mengelakkan timbulnya fitnah atau kekeliruan dalam kalangan rakyat. Hal ini sesuai dengan perintah Allah s.w.t dalam al-Quran dalam Surah Al-Nahl Ayat 43:

... فَاسْأَلُوا أَهْلَ الذِّكْرِ إِن كُنتُمْ لَا تَعْلَمُونَ ﴿٤٣﴾

Maksudnya: “Oleh itu bertanyalah kamu kepada orang yang berpengetahuan agama jika kamu tidak mengetahui.” 

Sidang Jumaat yang dimuliakan,

Institusi Raja di bumi ini telah berakar umbi lebih enam abad yang lalu. Sistem berkerajaan dan bernegara berpayungkan Raja mempunyai landasan sejarah dan tradisinya yang tersendiri. Pemerintahan beraja sejak awal mencerminkan amalan kesederhanaan, berperanan sebagai perekat sosial yang telah berjaya menyatukan warga. Konsep rakyat di negeri Melayu Beraja pada zaman silam hidup di bawah payung naungan dan berpaksikan Raja. Amalan kesaksamaan terhadap rakyat pelbagai agama, pelbagai kaum, pelbagai budaya, pelbagai bahasa, merupakan sebahagian daripada sifat dan citra Raja Melayu.

Keprihatinan Raja-Raja dalam perkara-perkara berkaitan agama Islam, Bahasa Kebangsaan, perpaduan warga, kebebasan kehakiman, rasuah, salah guna kuasa dan pelbagai lagi, tercetus daripada hasrat untuk memastikan negara terus stabil dan aman, warga terus sejahtera dan makmur. 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah s.w.t,

Rakyat pula mempunyai tanggungjawab yang sangat besar kepada Raja iaitu menumpahkan taat setia, menghormati dan menghargai institusi Yang di-Pertuan Agong serta menanamkan rasa cinta terhadap negara. Raja diibaratkan seperti 'pohon' yang memayungi rakyat dengan cara memimpin, melindungi dan menjaga kebajikan. Manakala rakyat pula diumpamakan seperti 'akar' yang bertanggungjawab menumpahkan taat setia kepada raja dan tidak sesekali menderhaka selagi mana mereka taat kepada Allah s.w.t dan Rasul, serta tidak menjurus kepada perkara kemaksiatan. Rakyat juga perlu memelihara keamanan dan keharmonian negara sebagai tanda mendukung dan menyokong kepemimpinan Yang di-Pertuan Agong memerintah negara ini.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah s.w.t,

Mengakhiri khutbah pada hari ini, terdapat beberapa intipati yang boleh diambil pengajaran bersama;

Pertama: Yang di-Pertuan Agong adalah payung kepada kesejahteraan agama dan kemakmuran negara.

Kedua: Hubungan yang baik antara Yang di-Pertuan Agong dengan para ulama memastikan kepemimpinan baginda berada dalam landasan yang diredhai syara’.

Ketiga: Menjadi tanggungjawab kepada seluruh rakyat dalam menumpahkan taat dan setianya kepada pemerintahan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong selagi mana patuh kepada Allah s.w.t dan tidak bertentangan dengan syara’.

أَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ.
وَجَعَلْنَاهُمْ أَئِمَّةً يَهْدُونَ بِأَمْرِنَا وَأَوْحَيْنَا إِلَيْهِمْ فِعْلَ الْخَيْرَاتِ وَإِقَامَ الصَّلَاةِ وَإِيتَاءَ الزَّكَاةِ ۖ وَكَانُوا لَنَا عَابِدِينَ ﴿٧٣﴾

Maksudnya: “Dan Kami jadikan mereka ketua-ketua ikutan, yang memimpin dengan perintah Kami, dan Kami wahyukan kepada mereka supaya mengerjakan kebaikan, dan mendirikan sembahyang, serta memberi zakat; dan mereka pula sentiasa beribadat kepada Kami”. (Surah Al-Anbiya' Ayat 73)

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بالقُرْآنِ العَظِيْمِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ، أَقُولُ قَوْلِي هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ الْأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالْأَمْوَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ، إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ

Khutbah Kedua

الْحَمْدُ لِلَّهِ حَمْدًا كَمَا أَمَرَ،  أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، إقْرَارً بِرُبُوْبِيَّتِهِ وَإِرْغَامًا لِّمَنْ جَحَدَ بِهِ وَكَفَرَ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ سَيِّدُ الْجَنِّ وَالْبَشَرِ. اللَّهُمَّ فَصَلِّ وَسَلِّمْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ الْمُصَابِيْحِ الْغُرَارِ.أَمَّا بَعْدُ، فَيَا أَيُّهَا النَّاس! اتَّقُوْا اللهَ فِيْمَا أَمَرَ، وَانْتَهُوْا عَمَّا نَهَاكُمْ عَنْهُ وَحَذَّرَ. وَاعْلَمُوْا أَنَّ اللهَ أَمَرَكُمْ بِأَمْرٍ بَدَأَ فِيْهِ بِنَفْسِهِ وَثَنَّى بِمَلآئِكَتِهِ الْمُسَبِّحَةِ بِقُدْسِهِ. فَقَالَ اللهُ تَعَالَى وَلَمْ يَزَلْ قَائِلًا عَلِيْمًا: ﴿إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ ۚ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا﴾
اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى آلِ سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيمَ وَبَارِكْ عَلى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ كَمَا بَارَكْتَ عَلَى آلِ سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيمَ فِي الْعَالَمِينَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ. 
وَارْضَ اللَّهُمَّ عَنِ الْأَرْبَعَةِ الْحُلَفَاءِ الرَّشِدِينَ، سَادَاتِنَا أَبِى بَكْرٍ وَعُمَرَ وَعُثْمَانَ وَعَلِيِّ بْنِ أَبِى طَالِبٍ، وَعَنْ أَزْوَاجِ نَبِيِّنَا الْمُطَهَّرَاتِ مِنَ الْأَدْنَاسِ، وَعَنْ أَهْلِ بَيْتِهِ وَقَرَابَتِهِ وَسَائِرِ الصَّحَابَةِ الْأَكْرَمِيْنَ، وَالتَّابِعِينَ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّينِ، وَارْضَ عَنَّا بِرَحْمَتِكَ يَا أَرْحَمَ الرَّحِمِينَ.
اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ والْمُؤمِنَاتِ، الأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالْأَمْوَات، وَأَلِّفْ بَيْنَ قُلُوْبِهِمْ وَأَصْلِحْ ذَاتَ بَيْنِهِمْ، وَانْصُرْهُمْ عَلَى عَدُوِّكَ وَعَدُوِّهِمْ. اللَّهُمَّ انْصُرْ سَلَاطِيْنَ الْمُسْلِمِينَ وَأَيِّدْهُمْ بِالتَّقْوَى وَالتَّوْفِيقِ إِلَى يَوْمِ الدِّينِ، وَأَعْلِ كَلِمَةَ الْمُوَحِّدِينَ، وَأَدِمْ لَهُمُ الْعِزَّةَ وَالتَّمْكِينِ. اللَّهُمَّ اهْدِنَا سُبُلَ السَّلَامِ وَأَخْرِجْنَا مِنَ الظُّلُمَاتِ إِلَى النُّورِ، وَجَنِّبْنَا الْفَوَاحِشَ مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَنَ.
اللَّهُمَّ أَنْزِلِ الرَّحْمَةَ وَالسَّكِيْنَةَ وَالسَّلَامَةَ وَالْعَافِيَةَ عَلَى عَبْدِكَ الْحَارِسِ لِشَرِيْعَتِكَ مَلِكِنَا: كباوه دولي يغ مها موليا سري فادوك بكيندا يغ دفرتوان أكوغ كليما بلس سلطان محمد كليما وَعَلىَ كُلِّ قَرَابَتِهِ أَجْمَعِينَ.
أَصْلَحَ اللهُ مُلْكَهُ وَإِحْسَانَهُ وَفَيَّضَ لَهُ عَدْلَهُ وَبَلَّغَهُ مِنَ الْخَيْرِ مَا شَاءَهُ.  أَدِمِ الشَّرْعَ الشَّريفَ لَهُ وَلِوُزَرَائِهِ سَبِيلًا وَمِنْهَاجًا. وَارْزُقْهُمُ التَّوْفِيقَ لِكُلِّ خَيْرٍ وَاجْعَلْهُمْ سِرَاجًا وَّهَّجًا. اللَّهُمَّ اجْعَلْ مَالِيزِيَا وَسَائِرَ بِلَادِ الْمُسْلِمِينَ طَيِّبَةً آمِنَةً مُّطْمَئِنَّةً رَّخِيَّةً. اللَّهُمَّ سَلِّمْ بِلَادِنَا مِنَ الْمُفْسِدينَ وَطَهِّرْهَا مَنَ الْمُتَطَرِّفِيْنَ وَوَفِّقْنَا جَمِيْعًا لِّطَاعَتِكَ وَطَاعَةِ رَسُوْلِكَ مُحَمَّدٍ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَطَاعَةِ مَنْ أَمَرْتَنَا بِطَاعَتِهِ.

Ya Allah, kami memohon agar dengan rahmat dan perlindungan Mu, negara kami ini dan seluruh rakyatnya dikekalkan dalam keamanan dan kesejahteraan. Tanamkanlah rasa kasih sayang dan kekalkanlah perpaduan di kalangan kami. Semoga dengannya kami sentiasa hidup aman damai, sejahtera dan selamat sepanjang zaman.

رَبَّنَا لَا تُزِغْ قُلُوبَنَا بَعْدَ إِذْ هَدَيْتَنَا وَهَبْ لَنَا مِنْ لَدُنْكَ رَحْمَةً إِنَّكَ أَنْتَ الْوَهَّابُ، رَبَّنَا ءَاتنِاَ فِى الدُّنْياَ حَسَنَةً وَفِى الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.
عِبَادَ اللهِ، اِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِاْلعَدْلِ وَالأِحْسَانِ وَإِيْتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَاْلمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُوْنَ. فَاذْكُرُوْا اللهَ الْعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ وَاشْكُرُوْهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ وَلَذِكْرُاللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ. 

KHUTBAH JUMAAT - 17 ZULHIJJAH 1438 / 8 SEPTEMBER 2017

KEMERDEKAAN HAKIKI

Khutbah Pertama

الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي اَنْعَمَنَا بِنِعْمَةِ الْحُرِّيَةِ وَالْإِسْتِقْلَالِ، نَحْمَدُهُ وَنَسْأَلُهُ الْعِظَّةَ وَالْإِعْتِبَرَ، وَنَعُوذُ بِاللهِ مِنْ شُرُورِ أَنْفُسِنَا وَمِنْ سَيِّئَاتِ أَعْمَالِنَا، مَنْ يَهْدِهِ اللهُ فَلَا مُضِلَّ لَهُ، وَمَنْ يُضْلِلْ فَلَا هَادِيَ لَهُ. أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا  عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ. 
اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ، وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَالتَّابِعِينَ لَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّينِ. 
أَمَّا بَعْدُ، فَيَاعِبَادَ اللهِ، اِتَّقُوْا اللهَ! وَاعْلَمُوْا أَنَّ اللهَ مَعَ الْمُتَّقِيْنَ.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Saya menyeru kepada diri saya sendiri dan kepada sidang Jumaat sekalian, marilah sama-sama kita perbaiki diri dengan meningkatkan ketaqwaan kepada Allah s.w.t yakni dengan melakukan segala titah perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Sebelum meneruskan khutbah, saya ingin berpesan kepada sidang jamaah sekalian agar menumpukan perhatian dan jangan bercakap-cakap dan melakukan perbuatan sia-sia sewaktu khutbah disampaikan. Mudah-mudahan kita akan beroleh manfaat untuk kebaikan di dunia dan di akhirat. Mimbar Jumaat pada hari ini akan membicarakan tentang; "Kemerdekaan Hakiki".

Sidang Jumaat yang dimuliakan Allah sekalian,

Pada minggu yang lalu kita seluruh rakyat Malaysia telah menyambut ulang tahun kemerdekaan pada tanggal 31 Ogos, kemudian akan disusuli pula dengan sambutan Hari Malaysia pada 16 September nanti. Tarikh keramat yang saban tahun diraikan ini merupakan satu nikmat yang amat besar dan wajib disyukuri dan dihayati. Penghayatan terhadap nikmat kemerdekaan ini perlu ditonjolkan bukan setakat dizahirkan melalui perbuatan malah dijiwai berdasarkan landasan syariat yang telah digariskan oleh Allah s.w.t dan dilaksanakan oleh Rasulullah s.a.w sebagai satu model yang lengkap dan sempurna.

Tidak dapat dinafikan lagi dari fakta-fakta sejarah, darah orang Islamlah yang paling banyak mengalir dan membasahi bumi ini demi menuntut kemerdekaan negara dari penjajahan Portugis, Belanda, Jepun, Komunis dan sehinggalah British yang bersetuju memberi kemerdekaan kepada negara ini dengan beberapa cagaran yang harus dibayar. Tatkala di dalam perjuangan jihad mereka pun, mereka telah dituduh sebagai penderhaka dan penggugat keamanan. Nama-nama seperti Dato' Bahaman, Mat Kilau, Pawang Nong, Teh Ibrahim, Haji Mat Wahid, Mat Lela, Tok Gajah, Haji Abdul Rahman Limbong, Tok Janggut atau lebih awal seperti Dato' Maharaja Lela dan Dol Said yang sangat-sangat digeruni oleh penjajah.

Saudara kaum muslimin,

Sudah tentu dorongan semangat jihad menjadi pemangkin utama kepada penentangan terhadap penjajahan barat ini yang membawa sekali misi keagamaan mereka. Ayat-Ayat jihad menjadi wirid harian mereka. Firman Allah s.w.t dalam Surah At-Taubah Ayat 111:

۞ إِنَّ اللَّهَ اشْتَرَىٰ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ أَنفُسَهُمْ وَأَمْوَالَهُم بِأَنَّ لَهُمُ الْجَنَّةَ ۚ يُقَاتِلُونَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ فَيَقْتُلُونَ وَيُقْتَلُونَ ۖ وَعْدًا عَلَيْهِ حَقًّا فِي التَّوْرَاةِ وَالْإِنجِيلِ وَالْقُرْآنِ ۚ وَمَنْ أَوْفَىٰ بِعَهْدِهِ مِنَ اللَّهِ ۚ فَاسْتَبْشِرُوا بِبَيْعِكُمُ الَّذِي بَايَعْتُم بِهِ ۚ وَذَ‌ٰلِكَ هُوَ الْفَوْزُ الْعَظِيمُ ﴿١١١﴾

Bermaksud: "Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang yang beriman akan jiwa dan harta benda mereka dengan (balasan), bahawa mereka akan beroleh syurga, mereka berjuang pada jalan Allah; (maka) di antara mereka ada yang membunuh dan terbunuh. Sebagai janji yang benar dari Allah di dalam Taurat, Injil dan Al-Quran; dan siapakah lagi yang lebih menyempurnakan janjinya daripada Allah? Oleh itu, bergembiralah dengan jualan yang kamu jalankan jual belinya itu, dan (ketahuilah bahawa) jual beli (yang seperti itu) ialah kemenangan yang besar".

Sidang Jumaat yang berbahagia,

Maka pejuang-pejuang ini berhak untuk menentukan masa depan negara ini selepas kemerdekaan dicapai demi kelangsungan zuriat mereka menyambung kesinambungan untuk mengimarahkan ibu pertiwi yang mulia ini mengikut kehendak Allah. Secara logik mudahnya, mereka sekali-kali tidak akan redha untuk menerima sistem-sistem yang ditinggalkan oleh penjajah dan dipaksa kepada zuriat keturunan mereka sedangkan mereka sanggup mati demi menghalau penjajah-penjajah ini.

Namun apakan daya, atas kelicikan penjajah barat maka kemerdekaan dianugerahkan dalam keadaan kita dipaksa tolak ansur dari sudut kerakyatan, di samping mengekalkan beberapa keistimewaan yang terhad kepada kuasa raja-raja melayu dan agama Islam, manakala bahasa melayu dan beberapa dasar lagi digubal sebagai wahana perpaduan rakyat dan mewujudkan ekonomi seimbang selepas diajar dengan pengalaman pahit rusuhan antara kaum. Rasulullah s.a.w sering menunjukkan sifat yang cintakan negara sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w yang diriwayatkan oleh Ibnu 'Abbas r.a:

عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لِمَكَّةَ مَا أَطْيَبَكِ مِنْ بَلَدٍ وَأَحَبَّكِ إِلَيَّ وَلَوْلَا أَنَّ قَوْمِي أَخْرَجُونِي مِنْكِ مَا سَكَنْتُ غَيْرَكِ

Bermaksud: "Dari Ibnu 'Abbas r.a dia berkata Rasulullah bersabda kepada negeri Makkah: Alangkah baiknya engkau dari negeri yang ada dan engkau adalah yang paling aku cintai, kalau bukan lantaran kaumku mengusirku darimu, aku tidak akan tinggal di negeri selainmu". (Hadits riwayat At-Tirmidzi)

Saudara kaum muslimin,

Meneliti susur galur perkembangan semasa sebelum sambutan kemerdekaan ke 60, segala yang melibatkan asas kepada perlembagaan negara dan kontrak sosial telah mula dipertikaikan. Ini termasuklah kedudukan orang melayu sebagai peribumi, hak-hak keistimewaan orang melayu, undang-undang syariah, konsep federalisme persekutuan, penjanjian Malaysia 1963 yang melibatkan penyertaan Sabah dan Sarawak ke dalam Malaysia dan sebagainya.

Perkembangan ini sepatutnya menuntut kepada generasi muda kembali menekuni sejarah menggali hasrat sebenar pejuang-pejuang terdahulu menagih kemerdekaan dari penjajah sehingga mengorbankan nyawa. Pejuang-pejuang yang tidak didendang dan tidak tertulis nama mereka sudah tentu ramai bilangannya. Hayatilah bahawa perjuangan mereka adalah jihad suci membersihkan bumi ini dari segala bentuk kebejatan apa jua aktiviti yang melawan kehendak Allah dan berusaha mengekalkan tanah air ini sebagai rantau Islam. Belajarlah dari sejarah yang tertulis bukan dari tingkap sejarah yang dikuak jendelanya oleh penjajah.

Kaum muslimin yang dikasihi Allah,

Umat Islam wajib mempunyai sifat jujur dan amanah demi menggalas tanggungjawab pejuangan bangsa yang ditinggalkan oleh generasi terdahulu. Segala dasar masa depan yang dirangka mestilah selaras dengan inspirasi pejuang kemerdekaan iaitu memartabatkan Islam sebagai rujukan utama negara. Model ekonomi baru negara yang telah bermula sejak tahun 2010 hendaklah dipacu dengan penuh telus. Kita seharusnya berfikir bagaimana agenda Islam dalam memperkukuhkan susuk tubuh negara menjadi agenda utama khususnya Transformasi Nasional 2050. Firman Allah s.w.t dalam Surah Al-Hajj Ayat 41:

الَّذِينَ إِن مَّكَّنَّاهُمْ فِي الْأَرْضِ أَقَامُوا الصَّلَاةَ وَآتَوُا الزَّكَاةَ وَأَمَرُوا بِالْمَعْرُوفِ وَنَهَوْا عَنِ الْمُنكَرِ ۗ وَلِلَّهِ عَاقِبَةُ الْأُمُورِ ﴿٤١﴾

Bermaksud: "Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan kepada mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar. Dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan".

Semoga kemerdekaan kali ini membuka minda pemuda pemudi untuk mengejar kemerdekaan yang sebenar iaitu bebas dan berdaulat, mengatur urusan negara mengikut kehendak dan citarasa berpandukan Islam, bukan tersekat dan terperangkap dalam acuan, kehendak, sistem dan percaturan orang lain.