Friday, August 25, 2017

KHUTBAH JUMAAT TUAN GURU PRESIDEN PAS - 3 ZULHIJJAH 1438 / 25 OGOS 2017


HAJI LAMBANG PERSAUDARAAN ISLAM

الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي أَنزَلَ عَلَىٰ عَبْدِهِ الْكِتَابَ وَلَمْ يَجْعَل لَّهُ عِوَجًا. أَشْهَدُ اَنْ لاَ إِلَــهَ اِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لاَشَرِيْكَ لَهُ، لَهُ الْأَسْمَاءُ الْحُسْنَى وَالصِّفَاتُ الْعُلَى. وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا  مُحَمَّدًا  عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ، الرَّحْمَةُ الْمُهْدَاةُ وَالْبَدْرُ الدُّجَىٰ. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلَى حَبِيبِنَا وَشَفِيعِنَا وَإِمَامِنَا وَقُدْوَتِنَا مُحَمَّدٍ، وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنِ اهْتَدَىٰ.
أَمَّا بَعْدُ:
أَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

الْحَجُّ أَشْهُرٌ مَّعْلُومَاتٌ ۚ فَمَن فَرَضَ فِيهِنَّ الْحَجَّ فَلَا رَفَثَ وَلَا فُسُوقَ وَلَا جِدَالَ فِي الْحَجِّ ۗ وَمَا تَفْعَلُوا مِنْ خَيْرٍ يَعْلَمْهُ اللَّهُ ۗ وَتَزَوَّدُوا فَإِنَّ خَيْرَ الزَّادِ التَّقْوَىٰ ۚ وَاتَّقُونِ يَا أُولِي الْأَلْبَابِ ﴿١٩٧﴾ [سورة البقرة : ١٩٧] 

Firman Allah (maksudnya): (Musim) haji adalah beberapa bulan yang dimaklumi, barangsiapa yang menetapkan niatnya dalam bulan itu akan mengerjakan haji, maka tidak boleh rafas, berbuat fasik dan berbantah-batahan di dalam masa mengerjakan haji. Dan apa yang kamu kerjakan berupa kebaikan, nescaya Allah mengetahuinya. Berbekallah, dan sesungguhnya sebaik-baik bekal adalah taqwa dan bertaqwalah kepada-Ku wahai orang-orang yang berakal.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Kita berada di musim haji sejak bulan Syawal dan Zulqaedah sehingga 13 Zulhijjah. Umat Islam yang datang daripada seluruh pelusuk dunia berhimpun di Makkatul Mukarramah, menghabiskan harta, mengorbankan tenaga, menunaikan ibadat roh, jasad dan harta benda, menjadi salah satu rukun Islam, rukun yang diseru oleh Nabi Ibrahim a.s sejak ribuan tahun yang lalu setelah membuka ka'abah, membina ka'abah dan merasmikannya. Allah Ta'ala berfirman:

وَأَذِّن فِي النَّاسِ بِالْحَجِّ يَأْتُوكَ رِجَالًا وَعَلَىٰ كُلِّ ضَامِرٍ يَأْتِينَ مِن كُلِّ فَجٍّ عَمِيقٍ ﴿٢٧﴾ [سورة الحج : ٢٧] 

(Maksudnya): Dan serukanlah umat manusia untuk mengerjakan ibadat Haji, nescaya mereka akan datang ke (rumah Tuhan) mu dengan berjalan kaki, dan dengan menunggang berjenis-jenis unta yang kurus yang datangnya dari berbagai-bagai jalan (dan ceruk rantau) yang jauh.

Ibrahim adalah bapa nabi-nabi yang dipuja oleh penganut berbagai-bagai agama, bukan sahaja orang Islam. Ibrahim adalah seorang Islam.

مَا كَانَ إِبْرَاهِيمُ يَهُودِيًّا وَلَا نَصْرَانِيًّا وَلَـٰكِن كَانَ حَنِيفًا مُّسْلِمًا وَمَا كَانَ مِنَ الْمُشْرِكِينَ ﴿٦٧﴾ [سورة آل عمران : ٦٧] 

(Maksudnya): Bukanlah Nabi Ibrahim itu seorang pemeluk agama Yahudi, dan bukanlah ia seorang pemeluk agama Kristian, tetapi ia seorang yang tetap di atas dasar Tauhid sebagai seorang Muslim (yang taat dan berserah bulat-bulat kepada Allah), dan ia pula bukanlah dari orang-orang musyrik.

Selepas peninggalan Ibrahim a.s, orang-orang arab berhimpun di Makkah mengerjakan haji dengan menyembah berhala bertawaf dalam keadaan bertelanjang mengerjakan maksiat. Kedatangan Nabi Muhammad s.a.w membetulkan keadaan, membetulkan akidah, membetulkan amalan dengan menyeru semula umat Islam dari seluruh pelusuk dunia berhimpun di Makkatul Mukarramah, suatu perhimpunan yang sangat besar yang melambangkan persaudaraan Islam dan persaudaraan kemanusiaan.

Seseorang yang mengerjakan haji bercampur dengan saudara-saudaranya yang seagama yang berbagai perangai, ada yang lembut dan ada yang terlalu keras dan kasar. Mereka diperintah bersabar dalam perhimpunan haji itu menghadapi saudara-saudara mereka yang kasar semasa beribadat kepada Allah s.w.t untuk melambangkan persaudaraan. Sama sahaja di antara pemimpin, raja, orang besar dan rakyat biasa, di antara yang kaya dan miskin, yang berpangkat besat dan rendah, sama sahaja di hadapan Allah s.w.t. Tanpa mengira bangsa dan keturunan. Ketika menunaikan ibadat haji Nabi s.a.w menyatakan:

كُلُّكُمُ مِنْ آدَمَ وَآدَمُ مِنْ تُرَابٍ لَا فَضْلَ لِعَرَبِيٍّ عَلَى عَجَمِيٍّ وَلَا لِأَبْيَضَ عَلَى أَسْوَدَ إِلَّا بِالتَّقْوَى

(Maksudnya): Tiap-tiap kamu daripada Adam, dan Adam dijadikan daripada tanah. Tidak ada kelebihan di antara orang arab dan bukan arab, di antara orang yang berkulit putih dengan berkulit hitam melainkan taqwa.

Taqwa adalah ukuran kemuliaan di sisi Allah s.w.t, pangkat di sisi Allah dan darjat di sisi Allah s.w.t.

Ibadat haji menghimpunkan manusia untuk ditarbiah, untuk diajar dan dididik supaya mereka bersabar dan bersaudara. Sekiranya mereka dapat menunaikan haji dengan betul dengan adab-adab akan mendapat pahala yang sangat besar.

الْحَجُّ الْمَبْرُورُ لَيْسَ لَهُ جَزَاءٌ إِلَّا الْجَنَّةُ.  [رواه احمد]

(Maksudnya): Haji yang mabrur (haji yang diterima) itu tidak ada balasan melainkan syurga.

Saudara-saudara kita yang menunaikan ibadat haji itu adalah wakil daripada seluruh umat Islam dalam perhimpunan dan persidangan umat Islam yang menghimpunkan semua kalangan.

Kita berada di bulan yang sangat mulia. Marilah kita hayati bulan yang mulia ini.

أَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَـٰنِ الرَّحِيمِ
وَالْعَصْرِ ﴿١﴾ إِنَّ الْإِنسَانَ لَفِي خُسْرٍ ﴿٢﴾ إِلَّا الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ وَتَوَاصَوْا بِالْحَقِّ وَتَوَاصَوْا بِالصَّبْرِ ﴿٣﴾

(Maksudnya): Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي الْكِتَابِ وَالسُنَّةِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِالآيَاتِ وَالْحِكْمَةِ، أَقُولُ قَوْلِى هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ.


Teks asal khutbah ini boleh dimuat turun dari sini.

No comments:

Post a Comment