Friday, August 25, 2017

KHUTBAH JUMAAT - 3 ZULHIJJAH 1438 / 25 OGOS 2017


TUNTUTAN FARDHU HAJI

Khutbah Pertama

الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي وَهَبَ لِيْ عَلَى الْكِبَرِ إِسْمَاعِيلَ وَإِسْحَاقَ ۚ إِنَّ رَبِّي لَسَمِيعُ الدُّعَاءِ.
أَشْهَدُ اَنْ لاَ إِلَــهَ اِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لاَشَرِيْكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ اَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ.
اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَالتَّابِعِينَ لَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّينِ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَاعِبَادَ اللهِ! اتَّقُوْا اللهَ وَأَطِيْعُوْهُ، لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ.  

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Saya menyeru kepada diri sendiri dan kepada sidang Jumaat sekalian, marilah sama-sama kita perbaiki diri dengan meningkatkan ketaqwaan kepada Allah s.w.t yakni dengan melakukan segala titah perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Sebelum meneruskan khutbah, saya ingin berpesan kepada sidang jamaah sekalian agar menumpukan perhatian dan jangan bercakap-cakap dan melakukan perbuatan sia-sia sewaktu khutbah disampaikan. Mudah-mudahan kita akan beroleh manfaat untuk kebaikan di dunia dan di akhirat. Mimbar Jumaat pada hari ini akan membicarakan tentang; "Tuntutan Fardhu Haji".

Sidang Jumaat yang dimuliakan Allah sekalian,

Bertuah dan beruntunglah umat Islam yang terpilih mengerjakan ibadah haji kerana menjadi tetamu Allah s.w.t untuk menyempurnakan ibadah haji yang diwajibkan ke atas umat Islam yang cukup syarat. Sebagaimana firman Allah s.w.t dalam Al-Hajj Ayat 27:

وَأَذِّن فِي النَّاسِ بِالْحَجِّ يَأْتُوكَ رِجَالًا وَعَلَىٰ كُلِّ ضَامِرٍ يَأْتِينَ مِن كُلِّ فَجٍّ عَمِيقٍ ﴿٢٧﴾

Maksudnya: "Dan serulah umat manusia untuk mengerjakan haji, mereka akan datang ke rumah Tuhanmu dengan berjalan kaki, dan dengan menunggang berjenis-jenis unta, yang datangnya dari berbagai jalan dan ceruk rantau yang jauh".

Menurut tafsir Ibnu Katsir ayat di atas menunjukkan perintah menunaikan haji bagi umat Islam sama ada berjalan kaki mahupun menunggang kenderaan. Kebanyakan ulamak berpendapat berjalan kaki lebih afdhal. Manakala sebahagian yang lain berpendapat menunggang kenderaan lebih afdhal kerana Rasulullah s.a.w mengerjakan haji dengan menunggang unta. Di dalam tafsir Pimpinan Ar-Rahman disebut menunggang unta yang kurus disebabkan menempuh perjalanan yang jauh.

Masa untuk mengerjakan ibadah haji juga telah ditentukan Allah Ta'ala sebagaimana firman-Nya dalam Surah Al-Baqarah Ayat 197:

الْحَجُّ أَشْهُرٌ مَّعْلُومَاتٌ ۚ فَمَن فَرَضَ فِيهِنَّ الْحَجَّ فَلَا رَفَثَ وَلَا فُسُوقَ وَلَا جِدَالَ فِي الْحَجِّ ۗ وَمَا تَفْعَلُوا مِنْ خَيْرٍ يَعْلَمْهُ اللَّهُ ۗ وَتَزَوَّدُوا فَإِنَّ خَيْرَ الزَّادِ التَّقْوَىٰ ۚ وَاتَّقُونِ يَا أُولِي الْأَلْبَابِ ﴿١٩٧﴾

Bermaksud: "(Musim) haji adalah beberapa bulan yang termaklum. Maka sesiapa yang berniat mengerjakan ibadah haji itu, maka tidak boleh mencampuri isteri, dan tidak boleh membuat maksiat, dan tidak boleh bertengkar, dalam masa mengerjakan ibadah haji. Dan apa jua kebaikan yang kamu kerjakan diketahui oleh Allah dan berbekallah, sesungguhnya sebaik-baik bekal adalah taqwa; dan bertaqwalah kepada-Ku wahai orang-orang yang berakal".

Saudara kaum muslimin,

Allah s.w.t dan Rasul-Nya menjanjikan kelebihan dan manfaat yang banyak dari perintah ibadah haji. Firman Allah s.w.t dalam Surah Al-Hajj Ayat 28:

لِّيَشْهَدُوا مَنَافِعَ لَهُمْ وَيَذْكُرُوا اسْمَ اللَّهِ فِي أَيَّامٍ مَّعْلُومَاتٍ ... ﴿٢٨﴾

Bermaksud: "Supaya mereka menyaksikan (mendapat) berbagai faedah bagi mereka, serta memperingati dan menyebut nama Allah, pada hari-hari yang tertentu...".

Sebagaimana kitab tafsir Pimpinan Ar-Rahman menyebutkan: "Orang yang mengerjakan ibadah haji bukan sahaja dapat menyempurnakan rukun Islamnya yang kelima tetapi juga banyak faedah yang akan diperolehi".

Selain daripada dapat menyempurnakan rukun Islam kelima, para jamaah haji dapat menyempurnakan pelbagai perintah Allah dengan kesungguhan seperti tawaf, sa'ie, melontar jamrah, bergunting atau bercukur dan sebagainya. Para jamaah haji juga dapat berhadapan dengan Baitullahil Haram di Makkatul Mukarramah dan mengunjungi makam Rasulullah s.a.w di Madinatul Munawwarah. Selain itu, mereka juga dapat menyaksikan tempat-tempat bersejarah terutamanya yang berkaitan dengan Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail 'alaihimas salam.

Mereka juga akan beroleh banyak pengalaman dan bertambah sahabat serta kenalan dari kalangan umat Islam yang datang berhimpun di tanah suci setiap tahun dari serata dunia. Sebenarnya ibadah haji itu antara lain, merupakan  perhimpunan tahunan umat Islam yang bertujuan menyatu padukan umat Islam sedunia supaya bekerjasama dalam apa jua bidang dalam mengembangkan Islam dari sudut ekonomi, pelajaran, kebudayaan dan segala yang berkaitan dengan kehidupan.

Sidang Jumaat sekalian,

Para jamaah haji juga dikehendaki mengerjakan haji sepertimana yang dibimbing oleh Rasulullah s.a.w. Sabda Rasulullah s.a.w daripada Jabir bin 'Abdillah:

خُذُوْا عَنِّيْ مَنَاسِكَكُمْ

Bermaksud: "Ambillah dariku manasik kamu (cara mengerjakan haji)". (Riwayat Imam Ahmad dan Imam Muslim)

Antara kaifiyat mengerjakan ibadah haji adalah memelihara larangan ketika ihram iaitu larangan bercampur dengan isteri termasuk juga segala yang menimbulkan nafsu berahi, larangan berbuat maksiat, larangan berkaitan pakaian dan wangi-wangian, larangan memotong rambut atau kuku, larangan memotong, mencabut atau merosakkan tumbuhan, larangan memburu binatang buruan, larangan berkahwin, muqaddimah persetubuhan apatah lagi persetubuhan suami isteri.

Perkara larangan sedemikian mempunyai hikmah dan faedahnya kepada orang yang mengerjakan ibadah haji, antaranya bagi mentaati perintah Allah s.w.t dan Rasul-Nya dalam syariat Islam, tanda pengabdian seorang hamba kepada Allah s.w.t yang Maha Kuasa, menjaga kesempurnaan ibadah haji bagi mendapatkan redha Allah s.w.t serta memperolehi haji yang mabrur.

Sidang Jumaat yang berbahagia,

Ketahuilah, bahawa ibadah haji itu terbahagi kepada 4 tahap, iaitu:

1. Haji mabrur: Haji paling tinggi dan istimewa, sempurna syarat, rukun, diampuni segala dosa dan mendapat balasan syurga.
2. Haji makhsus: Haji yang dilakukan orang tertentu yang sempurna segala syarat dan rukunnya serta diampun segala dosa.
3. Haji maqbul: Haji yang sah dan diterima Allah s.w.t mencukupi syarat dan rukunnya dan akan mendapat ganjaran pahala.
4. Haji mardud: Haji yang tidak diterima oleh Allah s.w.t kerana kekurangan syarat, rukun dan sebab lainnya.

Haji mabrur merupakan haji paling tinggi dan istimewa. Ia hanya akan dicapai melalui usaha yang ikhlas, bersungguh-sungguh dan pengorbanan. Ingatlah, sesungguhnya amal yang afdhal ialah haji yang mabrur, kerana ketika Rasulullah s.a.w ditanya seorang sahabat, sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah:

أَيُّ الْعَمَلِ أَفْضَلُ ؟ قَالَ : « الْإِيْمَانُ بِاللهِ » ، قَالَ : ثُمَّ مَاذَا ؟ قَالَ : « ثُمَّ الْجِهَادُ فِي سَبِيْلِ اللهِ » ، قَالَ : ثُمَّ مَاذَا ؟ قَالَ : « ثُمَّ حَجٌّ مَبْرُوْرٌ »

Bermaksud: "Amalan manakah yang lebih afdhal (yang lebih utama)? Maka sabda baginda: Beriman kepada Allah. Kemudian baginda ditanya lagi: Selepas itu apa? Baginda menjawab: Berjihad di jalan Allah. Kemudian baginda ditanya lagi: Selepas itu apa? Baginda menjawab pula: Haji yang mabrur". (Hadits riwayat Ibnu Hibban)

Sabda Rasulullah s.a.w dalam sebuah hadits lagi yang diriwayatkan daripada Saiyidanita 'Aisyah radhiAllahu 'anha:

يَا رَسُولَ اللَّهِ أَلَا نَغْزُو وَنُجَاهِدُ مَعَكُمْ فَقَالَ لَكِنَّ أَحْسَنَ الْجِهَادِ وَأَجْمَلَهُ الْحَجُّ حَجٌّ مَبْرُورٌ

Bermaksud: "Ya Rasulullah! Bolehkah kami ikut berperang dan berjihad bersamamu? Maka sabda Rasulullah s.a.w: Bagi kamu (wanita) sebaik-baik jihad ialah haji yang mabrur". (Hadits riwayat Imam Al-Bukhari)

Dalam sebuah hadits yang diriwayatkan daripada 'Abdullah bin Mas'ud, Rasulullah s.a.w bersabda:

لَيْسَ لِلْحَجَّةِ الْمَبْرُورَةِ ثَوَابٌ دُونَ الْجَنَّةِ

Bermaksud: "Haji yang mabrur itu tiadalah baginya balasan melainkan syurga". (Hadits riwayat Imam Ahmad)

Oleh itu, kita berdoa agar semua yang mengerjakan haji pada tahun ini dipermudahkan segala urusan dan dikurniakan haji yang mabrur.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Demikianlah, kelebihan dan keutamaan ibadah haji yang disyariatkan dalam Islam. Ibadah yang sangat istimewa, kerana itu beruntunglah mereka yang telah menunaikannya. Beruntunglah juga mereka yang telah berniat serta berazam untuk mengerjakannya.

Sebaliknya, rugilah mereka yang telah cukup syarat tetapi tidak mahu mengerjakan ibadah haji ke tanah suci Makkatul Mukaramah sehingga diancam dengan mati sia-sia sebagaimana matinya orang yahudi atau nasrani, sabda Rasulullah s.a.w daripada 'Abdul Rahman bin Sabit:

مَنْ مَاتَ وَلَمْ يَحُجَّ حَجَّةَ الإِسْلاَمِ ، لَمْ يَمْنَعْهُ مَرَضٌ حَابِسٌ ، أَوْ حَاجَةٌ ظَاهِرَةٌ ، أَوْ سُلْطَانٌ جَائِرٌ ، فَلْيَمُتْ عَلَى أَيِّ حَالٍ شَاءَ ، يَهُودِيًّا ، أَوْ نَصْرَانِيًّا

Bermaksud: "Sesiapa yang mati tanpa menunaikan haji sedangkan tiada yang menghalangnya dari sakit, atau penguasa yang zalim atau tiada bekalan dan kenderaan, maka matilah dengan keadaan yang dia suka sama ada yahudi atau nasrani". (Hadits riwayat Ibnu Abi Syaibah)

Mudah-mudahan kita dan ahli keluarga serta umat Islam tidak termasuk golongan ini, kerana sengaja tidak melaksanakan ibadah haji, padahal telah mencukupi syarat dan rukunnya merupakan dosa yang besar. Firman Allah s.w.t dalam Surah Ali 'Imran Ayat 97:

فِيهِ آيَاتٌ بَيِّنَاتٌ مَّقَامُ إِبْرَاهِيمَ ۖ وَمَن دَخَلَهُ كَانَ آمِنًا ۗ وَلِلَّهِ عَلَى النَّاسِ حِجُّ الْبَيْتِ مَنِ اسْتَطَاعَ إِلَيْهِ سَبِيلًا ۚ وَمَن كَفَرَ فَإِنَّ اللَّهَ غَنِيٌّ عَنِ الْعَالَمِينَ ﴿٩٧﴾

Bermaksud: "Di situ ada tanda-tanda keterangan yang nyata (yang menunjukkan kemuliannya; di antaranya ialah) maqam Nabi Ibrahim. Dan sesiapa yang masuk ke dalamnya, aman tenteramlah dia. Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadah haji dengan mengunjungi Baitullah, iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya. Dan sesiapa yang kufur (ingkar kewajipan ibadah haji itu), maka sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak berhajatkan sesuatu pun) dari sekalian makhluk".

Kepada yang belum menunaikan haji tanamkan azam dan berusaha bersungguh-sungguh agar dapat menunaikannya pada masa akan datang. Kepada pemuda pemudi elakkan pembaziran membeli barang yang tidak perlu sebaliknya menyimpan bermula waktu muda agar dapat menunaikan haji pada usia muda.

Kesimpulannya ibadah haji menjadi petunjuk jelas bahawa pusingan kehidupan manusia akan berakhir dengan menemui Allah. Kunci pusingan akhir hidup kita terletak kepada ketaqwaan dan memiliki keikhlasan dan pengorbanan tinggi dalam mentauhidkan Allah dengan mematuhi segala perintah-Nya sepertimana yang ditunjukkan oleh Nabi Muhammad s.a.w dalam perlaksanaan ibadah haji.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بالقُرْآنِ العَظِيْمِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ، أَقُولُ قَوْلِي هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ الْأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالْأَمْوَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ، إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ.


Khutbah Kedua

الْحَمْدُ لِلَّهِ حَمْدًا كَثِيْرًا كَمَا أَمَرَ.  أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَاَشْهَدُ اَنَّ سَيِّدِيْنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ، اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدٍ وَعَلىَ آلــِهِ وَأَصْحَابِهِ اَجْمَعِيْنَ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله! اِتَّقُوْا اللهَ وَكُنُواْ مَعَ الصَّادِقِينَ. فَقَالَ اللهُ تَعَالَى:
أَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ ۚ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا ﴿٥٦﴾

Bermaksud: "Sesungguhnya Allah dan malaikat berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad s.a.w), wahai orang-orang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucaplah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya". (Surah Al-Ahzab Ayat 56)

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى آلِ سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيمَ وَبَارِكْ عَلى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ كَمَا بَارَكْتَ عَلَى آلِ سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيمَ فِي الْعَالَمِينَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ. 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Mimbar menyeru kepada sidang Jumaat sekalian, marilah sama-sama kita merebut peluang yang ada bagi memakmurkan rumah-rumah Allah dengan melakukan ibadah dan amal soleh secara istiqamah terutama solat fardhu berjamaah serta mendidik hati kita berasa risau dan resah apabila berjauhan dengan masjid. Semoga kita tergolong dalam kalangan orang yang mendapat perlindungan Allah s.w.t di hari kiamat kelak seperti mana sabda Rasulullah s.a.w:

وَرَجُلٌ قَلْبُهُ مُعَلَّقٌ فِي الْمَسَاجِدِ

Bermaksud: "Seorang yang hatinya selalu terikat pada masjid". (Hadits Muttafaqun 'alaih)

Mimbar juga mengambil kesempatan pada hari Jumaat dan bulan Zulhijjah yang mulia ini, untuk menyeru pada jamaah sekalian agar melipat gandakan amal ibadah seperti berpuasa sunat pada 10 hari pertama dalam bulan Zulhijjah, membaca Al-Quran, memperbanyakkan zikir dan doa serta bersedekah, beristighfar dan sebagainya. Firman Allah Jalla wa 'Ala dalam Surah Al-Fajr Ayat 1 hingga 4:

وَالْفَجْرِ ﴿١﴾ وَلَيَالٍ عَشْرٍ ﴿٢﴾ وَالشَّفْعِ وَالْوَتْرِ ﴿٣﴾ وَاللَّيْلِ إِذَا يَسْرِ ﴿٤﴾

Bermaksud: "Demi waktu fajar; dan malam yang sepuluh (yang mempunyai kelebihan di sisi Allah); dan bilangan yang genap serta yang ganjil; dan malam apabila ia berlalu".

Sabda Rasulullah s.a.w yang diriwayatkan oleh 'Abdullah bin 'Abbas:

مَا مِنْ أَيَّامٍ الْعَمَلُ الصَّالِحُ فِيهِنَّ أَحَبُّ إِلَى اللَّهِ مِنْ هَذِهِ الْأَيَّامِ الْعَشْرِ فَقَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ وَلَا الْجِهَادُ فِي سَبِيلِ اللَّهِ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَلَا الْجِهَادُ فِي سَبِيلِ اللَّهِ إِلَّا رَجُلٌ خَرَجَ بِنَفْسِهِ وَمَالِهِ فَلَمْ يَرْجِعْ مِنْ ذَلِكَ بِشَيْءٍ

Bermaksud: "Tidak ada hari-hari amalan soleh padanya paling disukai oleh Allah lebih daripada sepuluh hari ini (awal Zulhijjah). Maka sahabat bertanya; Apakah lebihnya amalan itu jika dibandingkan dengan jihad di jalan Allah? Maka Nabi menjawab: Sekalipun jihad di jalan Allah (tidak dapat dibandingkan dengan amalan soleh pada sepuluh hari ini) kecuali seseorang itu keluar dengan dirinya dan hartanya dan tidak pulang (mati syahid)". (Hadits riwayat Imam Termidzi)

Mafhumnya, setiap amalan soleh yang kita lakukan pada sepuluh hari pertama dalam bulan Zulhijjah, akan digandakan pahalanya oleh Allah s.w.t.

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ والْمُؤمِنَاتِ، وَأَصْلِحْ ذَاتَ بَيْنِهِمْ وَأَلِّفْ بَيْنَ قُلُوْبِهِمْ وَاجْعَلْ فِيْ قُلُوْبِهِمُ اْلإِيْمَانَ وَاْلحِكْمَةَ وَثَبِّتْهُمْ عَلَى مِلَّةِ رَسُوْلِ اللهِ.
اللَّهُمَّ أَعِزَّ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ، اللَّهُمَّ انْصُرِ الدُّعَاةَ وَالْمُجَاهِدِيْنَ،  اللَّهُمَّ انْصُرِ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ فِي كُلِّ مَكَانٍ وَفِي كُلِّ زَمَانٍ.  

Ya Allah, ampunilah seluruh kaum muslimin dan muslimat serta berilah rasa tanggungjawab dalam diri kami ini untuk melaksanakan perintah-Mu dan berikanlah kebencian kepada kami terhadap larangan-Mu. Ya Allah, didikkanlah diri kami ini untuk mendirikan solat fardhu secara berjamaah, mengeluarkan zakat dan bersifat dengan sifat-sifat mahmudah yang lain. Kurniakanlah kepada kami nikmat yang berpanjangan , kesihatan yang berkekalan, hati yang khusyuk serta penuh keikhlasan dalam melakukan amal kebaikan.

Ya Allah, kurniakanlah sepenuh taufiq dan hidayah-Mu terhadap Raja kami, Duli Yang Maha mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Al-Marhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah al-Maghfurulahu dan Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan Tuanku Zara Salim serta kerabat dan seluruh rakyat jelata sekalian.

رَبَّنَا ءَاتنِاَ فِى الدُّنْياَ حَسَنَةً وَفِى الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.
عِبَادَ اللهِ، اِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِاْلعَدْلِ وَالأِحْسَانِ وَإِيْتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَاْلمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُوْنَ. فَاذْكُرُوْا اللهَ الْعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ وَاشْكُرُوْهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ وَلَذِكْرُاللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ. 

No comments:

Post a Comment