Friday, August 18, 2017

KHUTBAH JUMAAT - 25 ZULQAEDAH 1438 / 18 OGOS 2017


PELIHARA NASAB, SELAMATKAN ZURIAT

Khutbah Pertama

الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي لَمْ يَتَّخِذْ وَلَدًا وَلَمْ يَكُن لَّهُ شَرِيكٌ فِي الْمُلْكِ وَلَمْ يَكُن لَّهُ وَلِيٌّ مِّنَ الذُّلِّ ۖ وَكَبِّرْهُ تَكْبِيرًا.
أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا  مُحَمَّدًا  عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ.
اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّينِ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَاعِبَادَ اللهِ، اتَّقُوا اللَّهَ! اتَّقُوْا اللهَ وَأَطِيْعُوْهُ لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُوْنَ. 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Saya menyeru kepada diri sendiri dan kepada sidang Jumaat sekalian, marilah sama-sama kita perbaiki diri dengan meningkatkan ketaqwaan kepada Allah s.w.t yakni dengan melakukan segala titah perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Sebelum meneruskan khutbah, saya ingin berpesan kepada sidang jamaah sekalian agar menumpukan perhatian dan jangan bercakap-cakap dan melakukan perbuatan sia-sia sewaktu khutbah disampaikan. Mudah-mudahan kita akan beroleh manfaat untuk kebaikan di dunia dan di akhirat. Mimbar Jumaat pada hari ini akan membicarakan tentang; "Pelihara Nasab, Selamatkan Zuriat".

Sidang Jumaat yang dimuliakan Allah sekalian,

Islam menganjurkan umatnya supaya berkahwin dan membina keluarga bahagia berlandaskan syariat. Selain itu ianya bertujuan supaya mengukuhkan kasih sayang dan belas ihsan sesama ahli keluarga dengan menunaikan tanggungjawab sebagai seorang suami, isteri dan anak dalam sebuah rumah tangga. Oleh kerana itu, Allah mencegah jalan ke arah zina seperti mana firman Allah s.w.t dalam Surah Al-Israk Ayat 32:

وَلَا تَقْرَبُوا الزِّنَا ۖ إِنَّهُ كَانَ فَاحِشَةً وَسَاءَ سَبِيلًا ﴿٣٢﴾

Maksudnya: "Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan)".

Ayat ini menegaskan bahawa zina adalah perbuatan keji, dan semua jalan yang boleh membawa kepada zina adalah diharamkan sama sekali.

Saudara kaum muslimin,

Pada 27 Julai 2017 yang lalu, mahkamah rayuan telah memutuskan bahawa Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) boleh membenarkan permohonan anak tidak sah taraf untuk dibinkan atau dibintikan bapa biologinya. Pihak mahkamah rayuan memutuskan mana-mana anak yang dikandung semasa luar nikah, boleh dibinkan kepada nama bapa mereka dan fatwa yang dikeluarkan oleh Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan bagi Hal-Ehwal Agama Islam Malaysia, tidak mempunyai kuasa undang-undang. Keputusan tersebut telah mencetuskan kecelaruan dalam kalangan masyarakat Islam dan majoriti mufti di negeri masing-masing melahirkan rasa bimbang isu ini akan menyebabkan masalah yang lebih besar iaitu zina akan berleluasa.

Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Perak - Nombor 6 Seksyen 2 Bab Tafsiran yang diwartakan pada tahun 2004 telah menyatakan: Definisi anak tidak sah taraf iaitu dilahirkan di luar nikah dan bukan anak daripada persetubuhan syubhah.

Keputusan Muzakarah Fatwa Kebangsaan yang bersidang pada 10 Jun 2003 bagi membincangkan mengenai anak tidak sah taraf telah memutuskan seperti berikut:

1. Anak tidak sah taraf ialah: Anak yang dilahirkan di luar nikah sama ada akibat zina atau rogol dan dia bukan daripada persetubuhan syubhah atau bukan daripada anak perhambaan.

2. Anak dilahirkan kurang dari 6 bulan 2 lahzah (saat) mengikut takwim qomariah daripada tarikh persetubuhan.

Anak tidak sah taraf tidak boleh dinasabkan kepada lelaki yang menyebabkan kelahirannya atau kepada sesiapa yang mengaku menjadi bapa kepada anak tersebut. Oleh itu mereka tidak boleh memberi pusaka dan mempusakai, tidak menjadi mahram dan tidak boleh menjadi wali.

Sabda Rasulullah s.a.w yang dirieayatkan oleh Abu Hurairah berbunyi:

الْوَلَدُ لِلْفِرَاشِ وَلِلْعَاهِرِ الْحَجَرُ

Bermaksud: "Anak itu haknya (lelaki) yang memiliki tempat tidur dan bagi yang tidak berzina dan tidak mempunyai hak apa pun (ke atas anak tersebut)". (Hadits riwayat Imam Bukhari dan Imam Muslim)

Sabda Rasulullah s.a.w dalam sebuah hadits lagi yang diriwayatkan daripada Abdullah bin Amru:

أَيُّمَا رَجُلٍ عَاهَرَ بِحُرَّةٍ أَوْ أَمَةٍ فَالْوَلَدُ وَلَدُ زِنَا لَا يَرِثُ وَلَا يُورَثُ

Bermaksud: "Sesiapa sahaja yang menzinai wanita merdeka atau hamba sahaya maka anaknya adalah anak zina, tidak mewarisi dan mewariskan". (Hadits riwayat Imam At-Termidzi)

Sidang Jumaat sekalian,

Memelihara keturunan adalah menjadi satu daripada matlamat Islam atau maqasid syariah. Dan perkahwinan menjadi laluan utama ke arah memelihara keturunan. Dalam erti kata yang lain, perkahwinan bukan sekadar memberikan kenikmatan atau keseronokan zahir dan batin, tetapi sebagai saluran untuk mendapatkan zuriat dan menyambung keturunan yang sah.

Firman Allah s.w.t dalam Surah An-Nisa' Ayat pertama:

يَا أَيُّهَا النَّاسُ اتَّقُوا رَبَّكُمُ الَّذِي خَلَقَكُم مِّن نَّفْسٍ وَاحِدَةٍ وَخَلَقَ مِنْهَا زَوْجَهَا وَبَثَّ مِنْهُمَا رِجَالًا كَثِيرًا وَنِسَاءً ۚ... ﴿١﴾ 

Bermaksud: "Wahai sekalian manusia! Bertaqwalah kepada Tuhan kamu yang telah menjadikan kamu (bermula) dari diri yang satu (Adam) dan yang menjadikan daripada (Adam) itu pasangannya (isterinya Hawa) dan juga yang membiakkan dari keduanya zuriat keturunan lelaki dan perempuan yang ramai...".

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Walaupun agama menganjurkan kita supaya meramaikan zuriat dan keturunan, namun perlu diingat dan ditegaskan di sini bahawa caranya bukanlah dengan melakukan zina atau hubungan seks haram. Anak hasil zina adalah anak tidak sah taraf dan begitulah seterusnya dari satu keturunan ke keturunan berikutnya.

Al-Imam Ibnu Rasyid menyebut dalam kitab Bidayatul Mujtahid dan Al-Imam Ibnu Qudamah dalam kitab Al-Mughni menyatakan jumhur ulamak bersikap bahawa anak-anak zina tidak dinasabkan kepada bapa biologinya.

Kaum muslimin yang dimuliakan,

Sekiranya anak tidak sah taraf dibin atau dibintikan kepada bapa biologinya, maka ia boleh mengundang masalah yang lebih besar lagi antaranya ialah:

Pertama: Perkahwinan anak tidak sah taraf yang berwalikan bapa biologinya adalah tidak sah. Kesannya berlaku kerosakan dalam sistem keluarga kerana melakukan penzinaan berterusan akibat akad nikah yang tidak sah.

Kedua: Kelahiran anak tidak sah taraf akan berleluasa dalam masyarakat.

Ketiga: Akan melahirkan umat yang celaru keturunannya.

Keempat: Anak tidak sah taraf akan menuntut hak sama seperti mana anak sah taraf dalam perwalian, harta pusaka dan sebagainya yang boleh menimbulkan kerosakan yang lebih besar.

Kelima: Dari segi pewarisan harta pusaka bahawa anak tidak sah taraf tidak berhak mewarisi harta pusaka bapanya yang tidak sah taraf dan hanya boleh mewarisi harta pusaka ibunya sahaja. Begitu juga sebaliknya, bapanya tidak berhak mewarisi pusaka anaknya yang tidak sah taraf.

Sidang Jumaat sekalian,

Islam sebagai agama pelengkap kepada manusia telah menggariskan panduan hidup kepada manusia. Jika sesebuah negara mempunyai undang-undang tersendiri, maka lebih-lebih lagi Islam memandu manusia sebagai cara hidup. Solusi kepada permasalahan sosial ini perlu dikembalikan kepada ajaran Islam.

Marilah kita berusaha memperkasakan syariat Allah di bumi Malaysia walaupun menerima tentangan hebat daripada pelbagai sudut. Sebagai umat Islam wajarlah kita menyokong usaha ke arah memperkasakan syariat demi memartabatkan syiar Islam dengan membendung kebejatan sosial yang kian membarah. Perundangan Islam itu juga bertujuan mendisiplinkan umat Islam supaya berfikir terlebih dahulu sebelum melakukan sebarang tindakan, selain mendahulukan hukum syarak daripada logik akal.

Firman Allah s.w.t dalah At-Tolaq Ayat yang pertama:

وَتِلْكَ حُدُودُ اللَّهِ ۚ وَمَن يَتَعَدَّ حُدُودَ اللَّهِ فَقَدْ ظَلَمَ نَفْسَهُ ۚ

Bermaksud: "... dan itulah aturan-aturan hukum Allah (maka janganlah kamu melanggarnya) dan sesiapa yang melanggar aturan-aturan Allah maka sesungguhnya dia telah berlaku zalim kepada dirinya..."

Firman Allah dalam Surah Al-Maidah Ayat 50:

أَفَحُكْمَ الْجَاهِلِيَّةِ يَبْغُونَ ۚ وَمَنْ أَحْسَنُ مِنَ اللَّهِ حُكْمًا لِّقَوْمٍ يُوقِنُونَ ﴿٥٠﴾

Bermaksud: "Sesudah itu, patutkah mereka berkehendak lagi kepada hukum-hukum jahiliyyah? Padahal kepada orang-orang yang penuh keyakinan tidak ada sesiapa yang boleh membuat hukum yang lebih baik dari Allah".

Muslimin yang dirahmati Allah,

Anak luar nikah yang dilahirkan juga tidak diminta untuk dilahirkan demikian dan mereka tidak menanggung dosa kedua ibu bapanya. Penetapan nasab kanak-kanak bagi menentukan  sama ada sah taraf atau tidak bukan bertujuan menghukum anak itu atas dosa yang dilakukan oleh ibu bapanya tetapi demi menjaga kesucian dan keutuhan keturunan sebagaimana dirumuskan oleh ulamak mengikut maqasid syariah.

Oleh itu, mimbar ingin menasihatkan umat Islam agar tidak memandang serong terhadap anak-anak tidak sah taraf yang sama sekali tidak mewarisi dosa ibu atau bapanya. Justeru, umat Islam digesa untuk tidak mengetepikan hukum syarak semata-mata berdasarkan stigma dan kesan psikologi terhadap anak tidak sah taraf.

Muslimin yang dirahmati Allah sekalian, 

Mengakhiri khutbah minggu ini, mimbar Jumaat ingin menegaskan:

Pertama: Umat Islam hendaklah menyedari bahawa implikasi anak tidak sah taraf apabila berleluasa akan menimbulkan kesan yang amat buruk kepada keturunan dan kesejahteraan masyarakat.

Kedua: Umat Islam wajib kembali kepada petunjuk Al-Quran dan As-Sunnah dengan menghayati isi kandungannya dan diaplikasikan dalam melayari kehidupan.

Ketiga: Umat Islam hendaklah memelihara nasab atau keturunan dengan mengelakkan diri daripada perkara-perkara yang membawa kepada kecelaruan nasab dan keturunan.

Keempat: Umat Islam hendaklah menjauhi penzinaan bagi memastikan keturunan yang sah taraf.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بالقُرْآنِ العَظِيْمِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ، أَقُولُ قَوْلِي هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ الْأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالْأَمْوَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ، إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ.


Khutbah Kedua

الْحَمْدُ لِلَّهِ حَمْدًا كَثِيْرًا كَمَا أَمَرَ.  أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَاَشْهَدُ اَنَّ سَيِّدِيْنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ، اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدٍ وَعَلىَ آلــِهِ وَأَصْحَابِهِ اَجْمَعِيْنَ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله! اِتَّقُوْا اللهَ وَكُنُواْ مَعَ الصَّادِقِينَ. فَقَالَ اللهُ تَعَالَى:
أَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ ۚ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا ﴿٥٦﴾

Bermaksud: "Sesungguhnya Allah dan malaikat berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad s.a.w), wahai orang-orang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucaplah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya". (Surah Al-Ahzab Ayat 56)

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى آلِ سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيمَ وَبَارِكْ عَلى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ كَمَا بَارَكْتَ عَلَى آلِ سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيمَ فِي الْعَالَمِينَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ. 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Mimbar menyeru kepada sidang Jumaat sekalian, marilah sama-sama kita merebut peluang yang ada bagi memakmurkan rumah-rumah Allah dengan melakukan ibadah dan amal soleh secara istiqamah terutama solat fardhu berjamaah serta mendidik hati kita berasa risau dan resah apabila berjauhan dengan masjid. Semoga kita tergolong dalam kalangan orang yang mendapat perlindungan Allah s.w.t di hari kiamat kelak seperti mana sabda Rasulullah s.a.w:

وَرَجُلٌ قَلْبُهُ مُعَلَّقٌ فِي الْمَسَاجِدِ

Bermaksud: "Seorang yang hatinya selalu terikat pada masjid". (Hadits riwayat Imam Al-Bukhari)

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ والْمُؤمِنَاتِ، وَأَصْلِحْ ذَاتَ بَيْنِهِمْ وَأَلِّفْ بَيْنَ قُلُوْبِهِمْ وَاجْعَلْ فِيْ قُلُوْبِهِمُ اْلإِيْمَانَ وَاْلحِكْمَةَ وَثَبِّتْهُمْ عَلَى مِلَّةِ رَسُوْلِ اللهِ.
اللَّهُمَّ أَعِزَّ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ، اللَّهُمَّ انْصُرِ الدُّعَاةَ وَالْمُجَاهِدِيْنَ،  اللَّهُمَّ انْصُرِ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ فِي كُلِّ مَكَانٍ وَفِي كُلِّ زَمَانٍ.  

Ya Allah, ampunilah seluruh kaum muslimin dan muslimat serta berilah rasa tanggungjawab dalam diri kami ini untuk melaksanakan perintah-Mu dan berikanlah kebencian kepada kami terhadap larangan-Mu. Ya Allah, didikkanlah diri kami ini untuk mendirikan solat fardhu secara berjamaah, mengeluarkan zakat dan bersifat dengan sifat-sifat mahmudah yang lain. Kurniakanlah kepada kami nikmat yang berpanjangan , kesihatan yang berkekalan, hati yang khusyuk serta penuh keikhlasan dalam melakukan amal kebaikan.

Ya Allah, kurniakanlah sepenuh taufiq dan hidayah-Mu terhadap Raja kami, Duli Yang Maha mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Al-Marhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah al-Maghfurulahu dan Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan Tuanku Zara Salim serta kerabat dan seluruh rakyat jelata sekalian.

رَبَّنَا ءَاتنِاَ فِى الدُّنْياَ حَسَنَةً وَفِى الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.
عِبَادَ اللهِ، اِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِاْلعَدْلِ وَالأِحْسَانِ وَإِيْتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَاْلمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُوْنَ. فَاذْكُرُوْا اللهَ الْعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ وَاشْكُرُوْهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ وَلَذِكْرُاللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ. 

No comments:

Post a Comment