Friday, August 4, 2017

KHUTBAH JUMAAT - 11 ZULQAEDAH 1438 / 4 OGOS 2017


TUNTUTAN IBADAH KORBAN

Khutbah Pertama

الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي خَلَقَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ وَجَعَلَ الظُّلُمَاتِ وَالنُّورَ ۖ ثُمَّ الَّذِينَ كَفَرُوا بِرَبِّهِمْ يَعْدِلُونَ.
أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا  وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدًا  عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ.
اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَالتَّابِعِيْنَ لَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَاعِبَادَ اللهِ! اتَّقُوْا اللهَ، وَاعْلَمُواْ أَنَّ اللهَ مَعَ الْمُتَّقِيْنَ. 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Saya menyeru kepada diri sendiri dan kepada sidang Jumaat sekalian, marilah sama-sama kita perbaiki diri dengan meningkatkan ketaqwaan kepada Allah s.w.t yakni dengan melakukan segala titah perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Sebelum meneruskan khutbah, saya ingin berpesan kepada sidang jamaah sekalian agar menumpukan perhatian dan jangan bercakap-cakap dan melakukan perbuatan sia-sia sewaktu khutbah disampaikan. Mudah-mudahan kita akan beroleh manfaat untuk kebaikan di dunia dan di akhirat. Mimbar Jumaat pada hari ini akan membicarakan tentang; "Tuntutan Ibadah Korban".

Sidang Jumaat yang dimuliakan Allah sekalian,

Amalan korban  menjadi satu ibadah tahunan bagi masyarakat Islam khususnya di Malaysia yang melakukan penyembelihan korban sama ada dilakukan di masjid, surau, balai raya, padang awam, taman perumahan atau rumah persendirian. Pelbagai cara dan kaedah dilakukan oleh masyarakat awam dalam melaksanakan penyembelihan korban sebagai menzahirkan tanda syukur kepada Allah atas segala nikmat kurniaan-Nya.

Salah satu amal ibadah yang disunatkan pada musim haji ialah ibadah korban. Waktu penyembelihannya bermula sebaik sahaja selesai menunaikan sembahyang sunat 'Eidul Adha sehingga terbenam matahari pada hari tasyrik iaitu 13 Zulhijjah. Ibadah korban disyariatkan oleh agama Islam bermula pada tahun kedua hijrah dan korban yang hanya dibolehkan ialah binatang ternakan seperti unta, lembu, kerbau dan kambing. Firman Allah s.w.t dalam Surah Al-Hajj Ayat 36:

وَالْبُدْنَ جَعَلْنَاهَا لَكُم مِّن شَعَائِرِ اللَّهِ لَكُمْ فِيهَا خَيْرٌ ۖ فَاذْكُرُوا اسْمَ اللَّهِ عَلَيْهَا صَوَافَّ ۖ فَإِذَا وَجَبَتْ جُنُوبُهَا فَكُلُوا مِنْهَا وَأَطْعِمُوا الْقَانِعَ وَالْمُعْتَرَّ ۚ كَذَ‌ٰلِكَ سَخَّرْنَاهَا لَكُمْ لَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ ﴿٣٦﴾

Bermaksud: "Dan Kami jadikan unta sebahagian dari syiar agama Allah untuk kamu; pada menyembelih unta tersebut ada kebaikan bagi kamu; oleh itu sebutlah nama Allah ketika menyembelihnya ketika terikat; maka apabila ia tumbang, makanlah sebahagian daripadanya, dan beri makanlah kepada orang yang tidak meminta dan yang meminta. Demikianlah Kami mudahkan dia untuk kamu supaya kamu bersyukur".

Sidang Jumaat yang berbahagia,

Menurut pandangan jumhur ulamak, hukum melaksanakan ibadah korban adalah sunat muakkad bagi individu yang berkemampuan. Pandangan ulamak mazhab As-Syaf'ie adalah sunat bagi setiap orang sekali dalam seumur hidup. Menurut pandangan yang masyhur dalam kalangan ulamak mazhab Al-Maliki adalah makruh meninggalkannya bagi mereka yang mampu. Manakala bagi mereka yang berniat untuk melakukan korban nazar maka hukum melaksanakannya adalah wajib.

Islam mensyariatkan ibadah korban itu sebagai salah satu cara mendekatkan diri kepada Allah s.w.t sebagaimana yang sering kita iqrarkan dalam sembahyang iaitu:

إِنَّ صَلَاتِي وَنُسُكِي وَمَحْيَايَ وَمَمَاتِي لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ

Bermaksud: "Sesungguhnya sembahyangku, ibadahku, hidupku dan matiku adalah untuk berbakti kepada Allah Tuhan pentadbir sekalian alam".

Ibadah korban juga merupakan lambang kehambaan dan kerendahan hati kepada Allah s.w.t serta tanda ketaatan terhadap setiap perintah-Nya. Perintah-Nya untuk melaksanakan ibadah korban telah dirakamkan dalam Surah Al-Kautsar Ayat yang kedua. Firman Allah:

فَصَلِّ لِرَبِّكَ وَانْحَرْ ﴿٢﴾

Bermaksud: "Oleh itu, kerjakanlah sembahyang kerana Tuhanmu semata-mata dan sembelihlah korban".

Saudara kaum muslimin,

Ibadah korban merupakan antara amalan yang amat disukai oleh Rasulullah s.a.w. Baginda sentiasa menggalakkan sahabat-sahabat untuk melakukan ibadah korban memandangkan ianya mempunyai banyak hikmah dan kelebihan-kelebihan yang memberi kebaikan kepada diri kita, agama dan masyarakat. Oleh yang demikian, sebagai umat Islam yang mampu seharusnya mengambil iktibar terhadap galakan Rasulullah s.a.w kepada sahabat-sahabat baginda untuk berbuat demikian. Sabda Rasulullah s.a.w yang diriwayatkan oleh Saiyidatina 'Aisyah radhiAllahu 'anha:

مَا عَمِلَ آدَمِيٌّ مِنْ عَمَلٍ يَوْمَ النَّحْرِ أَحَبَّ إِلَى اللَّهِ مِنْ إِهْرَاقِ الدَّمِ إِنَّهَا لَتَأْتِي يَوْمَ الْقِيَامَةِ بِقُرُونِهَا وَأَشْعَارِهَا وَأَظْلَافِهَا وَأَنَّ الدَّمَ لَيَقَعُ مِنْ اللَّهِ بِمَكَانٍ قَبْلَ أَنْ يَقَعَ مِنْ الْأَرْضِ فَطِيبُوا بِهَا نَفْسًا

Bermaksud: "Tidak ada amalan yang dilakukan oleh manusia pada hari raya korban yang lebih disukai Allah dari mengalirnya darah (menyembelih korban). Sesungguhnya ia akan datang pada hari kiamat nanti dengan tanduk-tanduknya, kuku-kuku dan bulu-bulunya (dan diletakkan di atas timbangan amal). Dan sesungguhnya darah binatang korban itu mendapat kedudukan di sisi Allah di suatu tempat yang tinggi sebelum ia jatuh di atas bumi. Oleh itu, ikhlaskanlah hati kamu ketika berkorban itu". (Hadits riwayat Imam At-Termidzi)

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Hikmah Allah mensyariatkan korban kepada mereka yang mampu ini bertujuan mendidik jiwa hamba-Nya supaya menjauhkan diri daripada sifat terlalu sayangkan harta dan untuk mengikis sifat kedekut, kikir, bakhil dengan harta yang Allah kurniakan kepada hamba-Nya yang dapat mencapai nikmat kesenangan dunia yang sementara. Sebahagian harta kesenangan dunia yang dikecapi ini mestilah dikongsi bersama dengan golongan fakir miskin ataupun golongan yang kurang bernasib baik agar kita memahami keperitan yang mereka alami. Seharusnya umat Islam mengambil berat terhadap nasib saudara seIslamnya lebih-lebih lagi kepada mereka yang memerlukan bantuan saudara-saudaranya. Sabda Rasulullah s.a.w yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a:

مَنْ كَانَ لَهُ سَعَةٌ وَلَمْ يُضَحِّ فَلَا يَقْرَبَنَّ مُصَلَّانَا

Bermaksud: "Barangsiapa yang mempunyai kelapangan (mampu) untuk berkorban tetapi dia tidak berkorban, maka janganlah dia datang mendekati tempat kami bersembahyang ini". (Hadits riwayat Imam Al-Bani)

Selain daripada itu, melalui ibadah korban ini Islam turut menyemai dan menanam sifat terpuji iaitu dengan meneladani akhlak Nabi Ibrahim a.s yang taat perintah Allah s.w.t walaupun terpaksa mengorbankan anaknya Ismail a.s. Baginda berdua berserah kepada Allah dengan sepenuh keikhlasan untuk melaksanakan perintah-Nya. Walaupun semasa perjalanan menuju ke tempat penyembelihan baginda berdua digoda oleh syaitan yang berusaha menggoyahkan keyakinan mereka, namun mereka tetap teguh dalam melaksanakan perintah Allah, bahkan melempari syaitan yang menggoda niat mereka itu.

Hakikat ini menyedarkan kita bahawa seorang muslim yang mengaku beriman, tidak akan dibiarkan merasai kemanisan iman tanpa diuji oleh Allah s.w.t sedangkan para nabi pun tidak luput daripada ujian Allah, inikan pula kita sebagai manusia biasa yang sering dinodai dosa. Maka sebagai hamba Allah yang mengaku beriman, sepatutnya kita mentaati segala perintah-Nya walaupun kita ditimpa ujian.

Kaum muslimin yang dimuliakan,

Bersempena musim 'Eidul Adha yang akan menjelang hampir sebulan lagi, marilah sama-sama kita mengambil cakna tentang beberapa hukum berkaitan dengan ibadah korban ini supaya ibadah tersebut diterima dan diberkati oleh Allah s.w.t. Antara hukum yang sering menjadi persoalan masyarakat tentang ibadah korban ialah berkenaan status hukum daging korban, pembahagian daging korban, syarat sah ibadah tersebut dan sebagainya.

Pada tahun 2013, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah mengeluarkan beberapa garis panduan ibadah korban untuk rujukan umat Islam dalam melaksanakan tuntutan besar tersebut. Kandungan tersebut meliputi individu yang dituntut untuk melaksanakannya, syarat sah haiwan ternakan untuk korban, syarat penyembelih haiwan korban, syarat sah sembelihan, perkara sunat dan makruh ketika ibadah korban, cara menyembelih dan sebagainya.

Antara perkara yang wajib menjadi perhatian sidang Jumaat ialah berkaitan agihan daging korban. Beberapa urusan berkaitan dengannya hendaklah diputuskan melalui jawatankuasa yang dibentuk untuk memudahkan pengagihan kepada pihak-pihak yang telah dikenal pasti seperti yang berikut:

1. Memastikan daging korban cukup untuk diagihkan kepada pihak-pihak yang telah disenaraikan.
2. Menyediakan senarai penerima daging korban mengikut keutamaan.
3. Mengutamakan golongan fakir dan miskin yang telah dikenal pasti status mereka.
4. Mengagihkan daging korban kepada mereka yang tinggal di kawasan terpencil.
5. Menyediakan container sejuk beku (jika perlu) untuk menempatkan daging korban sebelum ia diagihkan ke kawasan pendalaman.
6. Mengagihkan daging korban kepada golongan yang berada sekiranya terdapat lebihan daging korban tersebut.

Sidang Jumaat sekalian,

Pada kesempatan ini, mimbar suka untuk mengingatkan para pembekal dan peniaga daging binatang korban supaya menguruskan ibadah korban ini dengan mematuhi syarak dan menjadi peniaga yang jujur dalam menjalankan perniagaan. Mimbar berpesan supaya peniaga tidak memanipulasi dan menaikkan harga jualan binatang korban terlalu tinggi sehingga membebankan umat Islam untuk memenuhi tuntutan ibadah tersebut. Usahlah kita menjadi orang yang suka menangguk di air yang keruh atau menahan lukah di pergentingan.

Tindakan para pembekal dan peniaga yang gemar menaikkan harga yang melampau itu adalah sikap yang tidak bertanggung jawab dan jelas bertentangan dengan prinsip jual beli dalam Islam. Islam melarang keras peniaga mengambil keuntungan melampau dan berlebih-lebihan sehingga membebankan pengguna. Keuntungan sememangnya menjadi sasaran setiap peniaga tetapi sewajarnya kita ingat keberkatan dan keredhaan Allah dalam mencari rezeki Allah yang halal dan hasil yang berkat itu adalah perkara yang mustahak kerana Allah akan mengurniakan keuntungan yang berpanjangan bagi mereka yang jujur dalam berniaga. Sabda Rasulullah s.a.w yang diriwayatkan oleh Rifa'ah bin Rafik r.a:

يَا مَعْشَرَ التُّجَّارِ فَاسْتَجَابُوا لِرَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَرَفَعُوا أَعْنَاقَهُمْ وَأَبْصَارَهُمْ إِلَيْهِ فَقَالَ إِنَّ التُّجَّارَ يُبْعَثُونَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ فُجَّارًا إِلَّا مَنْ اتَّقَى اللَّهَ وَبَرَّ وَصَدَقَ

Bermaksud: "Wahai para pedagang! Lalu mereka menyambut seruan Rasulullah s.a.w dan mengangkat leher dan pandangan mereka kepada baginda, lalu baginda bersabda: Sesungguhnya para pedagang akan dibangkitkan pada hari kiamat sebagai orang-orang yang berdosa kecuali yang bertaqwa kepada Allah, berbuat baik serta jujur". (Hadits riwayat Imam At-Termidzi)

Muslimin yang dirahmati Allah,

Memandangkan ibadah korban itu mempunyai hikmah dan kelebihan yang amat banyak, maka sudah sewajarnya kita merebut peluang ini dengan melakukan korban yang pada hari raya nanti. Sama-samalah kita berdoa semoga dimurahkan rezeki dan dapat melakukan ibadah korban. Mudah-mudahan segala amal kebaikan yang kita lakukan di atas dasar keikhlasan dan keimanan itu akan diterima Allah s.w.t dan mendapat ganjaran pahala yang berlipat ganda. Firman Allah s.w.t dalam Surah Al-Hajj Ayat 37:

لَن يَنَالَ اللَّهَ لُحُومُهَا وَلَا دِمَاؤُهَا وَلَـٰكِن يَنَالُهُ التَّقْوَىٰ مِنكُمْ ۚ كَذَ‌ٰلِكَ سَخَّرَهَا لَكُمْ لِتُكَبِّرُوا اللَّهَ عَلَىٰ مَا هَدَاكُمْ ۗ وَبَشِّرِ الْمُحْسِنِينَ ﴿٣٧﴾

Bermaksud: "Daging dan darah binatang korban itu tidak akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepadanya ialah ketaqwaan kamu. Demikianlah Dia memudahkan binatang itu bagi kamu supaya kamu mengagungkan Allah atas pentunjuk-Nya kepadamu. Dan sampaikanlah berita gembira kepada orang yang berusaha supaya baik amalannya".

Sidang Jumaat sekalian,

Mengakhiri khutbah pada minggu ini marilah sama-sama kita menghayati intipati khutbah yang telah disampaikan, antaranya:

Pertama: Menyemai dan menanamkan sifat terpuji dan nilai-nilai murni dalam diri dengan meneladani kesabaran Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail 'alaihimas sholatu wassalam dan sifat mengutamakan ketaatan dan rasa cinta kepada Allah s.w.t.

Kedua: Melatih dan membentuk kaum muslimin supaya sanggup berkorban sebahagian rezeki dan nikmat kurniaan Allah.

Ketiga: Memupuk sikap peduli dan prihatin terhadap masyarakat iaitu dengan mengagihkan sebahagian daging korban itu sebagai makanan atau meluaskan rezeki orang-orang fakir miskin.

Keempat: Mengambil kesempatan di atas kesusahan orang lain adalah perkara yang amat ditegah di dalam Islam.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بالقُرْآنِ العَظِيْمِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ، أَقُولُ قَوْلِي هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ الْأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالْأَمْوَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ، إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ.


Khutbah Kedua

الْحَمْدُ لِلَّهِ حَمْدًا كَثِيْرًا كَمَا أَمَرَ.  أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَاَشْهَدُ اَنَّ سَيِّدِيْنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ، اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدٍ وَعَلىَ آلــِهِ وَأَصْحَابِهِ اَجْمَعِيْنَ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله! اِتَّقُوْا اللهَ وَكُنُواْ مَعَ الصَّادِقِينَ. فَقَالَ اللهُ تَعَالَى:
أَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ ۚ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا ﴿٥٦﴾

Bermaksud: "Sesungguhnya Allah dan malaikat berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad s.a.w), wahai orang-orang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucaplah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya". (Surah Al-Ahzab Ayat 56)

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى آلِ سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيمَ وَبَارِكْ عَلى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ كَمَا بَارَكْتَ عَلَى آلِ سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيمَ فِي الْعَالَمِينَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ. 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Mimbar menyeru kepada sidang Jumaat sekalian, marilah sama-sama kita merebut peluang yang ada bagi memakmurkan rumah-rumah Allah dengan melakukan ibadah dan amal soleh secara istiqamah terutama solat fardhu berjamaah serta mendidik hati kita berasa risau dan resah apabila berjauhan dengan masjid. Semoga kita tergolong dalam kalangan orang yang mendapat perlindungan Allah s.w.t di hari kiamat kelak seperti mana sabda Rasulullah s.a.w:

وَرَجُلٌ قَلْبُهُ مُعَلَّقٌ فِي الْمَسَاجِدِ

Bermaksud: "Seorang yang hatinya selalu terikat pada masjid". (Hadits riwayat Imam Al-Bukhari)

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ والْمُؤمِنَاتِ، وَأَصْلِحْ ذَاتَ بَيْنِهِمْ وَأَلِّفْ بَيْنَ قُلُوْبِهِمْ وَاجْعَلْ فِيْ قُلُوْبِهِمُ اْلإِيْمَانَ وَاْلحِكْمَةَ وَثَبِّتْهُمْ عَلَى مِلَّةِ رَسُوْلِ اللهِ.
اللَّهُمَّ أَعِزَّ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ، اللَّهُمَّ انْصُرِ الدُّعَاةَ وَالْمُجَاهِدِيْنَ،  اللَّهُمَّ انْصُرِ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ فِي كُلِّ مَكَانٍ وَفِي كُلِّ زَمَانٍ.  

Ya Allah, ampunilah seluruh kaum muslimin dan muslimat serta berilah rasa tanggungjawab dalam diri kami ini untuk melaksanakan perintah-Mu dan berikanlah kebencian kepada kami terhadap larangan-Mu. Ya Allah, didikkanlah diri kami ini untuk mendirikan solat fardhu secara berjamaah, mengeluarkan zakat dan bersifat dengan sifat-sifat mahmudah yang lain. Kurniakanlah kepada kami nikmat yang berpanjangan , kesihatan yang berkekalan, hati yang khusyuk serta penuh keikhlasan dalam melakukan amal kebaikan.

Ya Allah, kurniakanlah sepenuh taufiq dan hidayah-Mu terhadap Raja kami, Duli Yang Maha mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Al-Marhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah al-Maghfurulahu dan Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan Tuanku Zara Salim serta kerabat dan seluruh rakyat jelata sekalian.

رَبَّنَا ءَاتنِاَ فِى الدُّنْياَ حَسَنَةً وَفِى الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.
عِبَادَ اللهِ، اِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِاْلعَدْلِ وَالأِحْسَانِ وَإِيْتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَاْلمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُوْنَ. فَاذْكُرُوْا اللهَ الْعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ وَاشْكُرُوْهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ وَلَذِكْرُاللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ. 

No comments:

Post a Comment