Tuesday, August 29, 2017

KHUTBAH JUMAAT - 10 ZULHIJJAH 1438 / 1 SEPTEMBER 2017


KELEBIHAN IBADAH KORBAN

Khutbah Pertama

الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي خَلَقَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ وَجَعَلَ الظُّلُمَاتِ وَالنُّورَ ۖ ثُمَّ الَّذِينَ كَفَرُوا بِرَبِّهِمْ يَعْدِلُونَ.
أَشْهَدُ اَنْ لاَ إِلَــهَ اِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لاَشَرِيْكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ اَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ.
اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَالتَّابِعِينَ لَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّينِ.

أَمَّا بَعْدُ، فَيَاعِبَادَ اللهِ، اِتَّقُوْا اللهَ! وَاعْلَمُوْا أَنَّ اللهَ مَعَ الْمُتَّقِيْنَ.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Saya menyeru kepada diri sendiri dan kepada sidang Jumaat sekalian, marilah sama-sama kita perbaiki diri dengan meningkatkan ketaqwaan kepada Allah s.w.t yakni dengan melakukan segala titah perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Sebelum meneruskan khutbah, saya ingin berpesan kepada sidang jamaah sekalian agar menumpukan perhatian dan jangan bercakap-cakap dan melakukan perbuatan sia-sia sewaktu khutbah disampaikan. Mudah-mudahan kita akan beroleh manfaat untuk kebaikan di dunia dan di akhirat. Mimbar Jumaat pada hari ini akan membicarakan tentang; "Kelebihan Ibadah Korban".

Sidang Jumaat yang dimuliakan Allah sekalian,

Pada hari ini Jumaat yang mulia ini, kita diserikan lagi dengan sambutan 'Eidul Adha, hari yang disyariatkan oleh Islam kepada umatnya untuk bergembira. Dalam suasana kegembiraan kita menyambut 'Eidul Adha ini, Islam mensyariatkan kepada kita supaya melakukan sembelihan korban sebagai salah satu cara kita merayakan 'Eidul Adha. Pensyariatan ini disebut secara jelas di dalam Surah Al-Kautsar Ayat 1 hingga 2:

إِنَّا أَعْطَيْنَاكَ الْكَوْثَرَ ﴿١﴾ فَصَلِّ لِرَبِّكَ وَانْحَرْ ﴿٢﴾

Bermaksud: "Sesungguhnya Kami telah mengurniakan kepadamu (wahai Muhammad) kebaikan yang banyak (di dunia dan di akhirat). Oleh itu, kerjakanlah sembahyang kerana Tuhanmu semata-mata dan sembelihlah korban (sebagai tanda bersyukur)".

Saudara kaum muslimin,

Waktu penyembelihannya bermula sebaik sahaja selesai sembahyang sunat 'Eildul Adha sehingga terbenam matahari pada hari tasyrik iaitu 13 Zulhijjah. Ibadah korban disyariatkan oleh agama Islam bermula pada tahun kedua hijrah dan korban yang hanya dibolehkan ialah binatang ternakan seperti unta, lembu, kerbau dan kambing. Firman Allah s.w.t dalam Surah Al-Hajj Ayat 36:

وَالْبُدْنَ جَعَلْنَاهَا لَكُم مِّن شَعَائِرِ اللَّهِ لَكُمْ فِيهَا خَيْرٌ ۖ فَاذْكُرُوا اسْمَ اللَّهِ عَلَيْهَا صَوَافَّ ۖ فَإِذَا وَجَبَتْ جُنُوبُهَا فَكُلُوا مِنْهَا وَأَطْعِمُوا الْقَانِعَ وَالْمُعْتَرَّ ۚ كَذَ‌ٰلِكَ سَخَّرْنَاهَا لَكُمْ لَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ ﴿٣٦﴾

Bermaksud: "Dan Kami jadikan unta sebahagian dari syiar agama Allah untuk kamu; pada menyembelih unta tersebut ada kebaikan bagi kamu; oleh itu sebutlah nama Allah ketika menyembelihnya ketika terikat; maka apabila ia tumbang, makanlah sebahagian daripadanya, dan beri makanlah kepada orang yang tidak meminta dan yang meminta. Demikianlah Kami mudahkan dia untuk kamu supaya kamu bersyukur".

Sidang Jumaat yang berbahagia,

Menurut pandangan jumhur ulamak, hukum melaksanakan ibadah korban adalah sunat muakkad bagi individu yang berkemampuan. Pandangan ulamak mazhab As-Syafi'e adalah sunat bagi setiap orang sekali dalam seumur hidup. Menurut pandangan yang masyhur dalam kalangan ulamak mazhab Al-Maliki adalah makruh meninggalkannya bagi mereka yang mampu. Manakala bagi mereka yang berniat melakukan korban nazar maka hukum melaksanakannya adalah wajib.

Sesungguhnya amalan ibadah korban itu merupakan salah satu cara untuk kita menunjukkan rasa syukur kepada Allah s.w.t. Bersyukur atas segala nikmat yang dilimpahi kepada kita. Ini kerana, nikmat harta yang kita miliki, dikorbankan sedikit untuk melakukan amalan ibadah korban. Hasilnya pula diagih-agihkan kepada pelbagai golongan masyarakat Islam. Mereka yang mendapat hasil korban ini pula dimanfaatkan pula untuk diri mereka, ahli keluarga dan sebagainya. Hal ini bermakna, ibadah korban itu bukan sahaja memberi manfaat kepada orang yang berkorban, bahkan turut dikongsi bersama dengan orang lain. Al-Imam Ahmad mengatakan, ibadah korban itu lebih afdhal (lebih utama) daripada sedekah kerana besarnya fadhilat dan kelebihan yang ada padanya.

Di sepanjang hayat Rasulullah s.a.w, baginda melakukan ibadah korban untuk dirinya dan keluarganya pada setiap tahun. Inilah sunnah baginda yang seharusnya kita ikuti dan amalkan. Amalan ibadah korban inilah merupakan amalan yang disukai oleh Allah s.w.t untuk dilakukan pada hari nahar iaitu hari raya korban.

Sabda Rasulullah s.a.w yang diriwayatkan Saiyidatina 'Aisyah radhiAllahu 'anha:

مَا عَمِلَ آدَمِيٌّ مِنْ عَمَلٍ يَوْمَ النَّحْرِ أَحَبَّ إِلَى اللَّهِ مِنْ إِهْرَاقِ الدَّمِ إِنَّهَا لَتَأْتِي يَوْمَ الْقِيَامَةِ بِقُرُونِهَا وَأَشْعَارِهَا وَأَظْلَافِهَا وَأَنَّ الدَّمَ لَيَقَعُ مِنْ اللَّهِ بِمَكَانٍ قَبْلَ أَنْ يَقَعَ مِنْ الْأَرْضِ فَطِيبُوا بِهَا نَفْسًا

Bermaksud: "Tidak ada amalan yang dilakukan oleh manusia pada hari raya korban yang lebih disukai Allah dari mengalirnya darah (menyembelih korban). Sesungguhnya ia akan datang pada hari kiamat nanti dengan tanduk-tanduknya, kuku-kuku dan bulu-bulunya (dan diletakkan di atas timbangan amal). Dan sesungguhnya darah binatang korban itu mendapat kedudukan di sisi Allah di suatu tempat yang tinggi sebelum ia jatuh di atas bumi. Oleh itu, ikhlaskanlah hati kamu ketika berkorban itu". (Hadits riwayat Imam At-Termidzi)

Saudara kaum muslimin,

Ingatlah wahai sidang hadirin sekalian, dalam kita mengejar nikmat, mengumpul harta kekayaan, sibuk bekerja memenuhi tuntutan kehidupan dunia, seharusnya kita sedar bahawa tuntutan kehidupan akhirat itu mesti juga kita kejar dan penuhi. Bagi yang bekemampuan dan memiliki kelebihan harta dan wang ringgit, lakukanlah ibadah korban ini. Sabda Rasulullah s.a.w yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a:

مَنْ كَانَ لَهُ سَعَةٌ وَلَمْ يُضَحِّ فَلَا يَقْرَبَنَّ مُصَلَّانَا

Bermaksud: "Barangsiapa yang mempunyai kelapangan (mampu) untuk berkorban tetapi dia tidak berkorban, maka janganlah dia datang mendekati tempat kami bersembahyang ini". (Hadits riwayat Imam Ahmad dan Al-Baihaqi)

Mudah-mudahan, ikhlasnya kita melakukan ibadah korban itu menjadikan kita hamba Allah s.w.t yang beriman dan bertaqwa kepada-Nya. Firman Allah di dalam Surah Al-Maidah Ayat 9:

وَعَدَ اللَّهُ الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ ۙ لَهُم مَّغْفِرَةٌ وَأَجْرٌ عَظِيمٌ ﴿٩﴾

Bermaksud: "Allah menjanjikan kepada orang-orang yang beriman dan beramal soleh, mereka akan beroleh keampunan dan pahala yang besar".

Dalam kita merayakan 'Eidul Adha, janganlah kita lupa dengan nasib saudara seIslam kita dari etnik Rohingya yang ditindas di sana. Kerjakanlah ibadah korban selagi mana kita diberi kesempatan untuk merasai nikmat kemakmuran dan dilimpahi kesenangan. Saudara Rohingya kita di sana telah pun terkorban kerana mencintai agama mereka dan mereka tidak lagi mampu untuk mengerjakan ibadah korban. Namun, penghayatan korban dan erti pengorbanan telah dinikmati oleh mereka kerana taqwa telah mendorong mereka sanggup mengorbankan diri kerana mempertahankan akidah. Itulah matlamat tertinggi ibadah korban. Firman Allah s.w.t dalam Surah Al-Hajj Ayat 37:

لَن يَنَالَ اللَّهَ لُحُومُهَا وَلَا دِمَاؤُهَا وَلَـٰكِن يَنَالُهُ التَّقْوَىٰ مِنكُمْ ۚ كَذَ‌ٰلِكَ سَخَّرَهَا لَكُمْ لِتُكَبِّرُوا اللَّهَ عَلَىٰ مَا هَدَاكُمْ ۗ وَبَشِّرِ الْمُحْسِنِينَ ﴿٣٧﴾

Bermaksud: "Daging dan darah binatang korban itu tidak akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepadanya ialah ketaqwaan kamu. Demikianlah Dia memudahkan binatang itu bagi kamu supaya kamu mengagungkan Allah atas pentunjuk-Nya kepadamu. Dan sampaikanlah berita gembira kepada orang yang berusaha supaya baik amalannya".


بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بالقُرْآنِ العَظِيْمِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ، أَقُولُ قَوْلِي هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ الْأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالْأَمْوَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ، إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ.


Khutbah Kedua

الْحَمْدُ لِلَّهِ حَمْدًا كَثِيْرًا كَمَا أَمَرَ.  أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَاَشْهَدُ اَنَّ سَيِّدِيْنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ، اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدٍ وَعَلىَ آلــِهِ وَأَصْحَابِهِ اَجْمَعِيْنَ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله! اِتَّقُوْا اللهَ وَكُنُواْ مَعَ الصَّادِقِينَ. فَقَالَ اللهُ تَعَالَى:
أَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ ۚ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا ﴿٥٦﴾

Bermaksud: "Sesungguhnya Allah dan malaikat berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad s.a.w), wahai orang-orang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucaplah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya". (Surah Al-Ahzab Ayat 56)

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى آلِ سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيمَ وَبَارِكْ عَلى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ كَمَا بَارَكْتَ عَلَى آلِ سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيمَ فِي الْعَالَمِينَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ. 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Mimbar menyeru kepada sidang Jumaat sekalian, marilah sama-sama kita merebut peluang yang ada bagi memakmurkan rumah-rumah Allah dengan melakukan ibadah dan amal soleh secara istiqamah terutama solat fardhu berjamaah serta mendidik hati kita berasa risau dan resah apabila berjauhan dengan masjid. Semoga kita tergolong dalam kalangan orang yang mendapat perlindungan Allah s.w.t di hari kiamat kelak seperti mana sabda Rasulullah s.a.w:

وَرَجُلٌ قَلْبُهُ مُعَلَّقٌ فِي الْمَسَاجِدِ

Bermaksud: "Seorang yang hatinya selalu terikat pada masjid". (Hadits riwayat Imam Al-Bukhari)

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ والْمُؤمِنَاتِ، وَأَصْلِحْ ذَاتَ بَيْنِهِمْ وَأَلِّفْ بَيْنَ قُلُوْبِهِمْ وَاجْعَلْ فِيْ قُلُوْبِهِمُ اْلإِيْمَانَ وَاْلحِكْمَةَ وَثَبِّتْهُمْ عَلَى مِلَّةِ رَسُوْلِ اللهِ.
اللَّهُمَّ أَعِزَّ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ، اللَّهُمَّ انْصُرِ الدُّعَاةَ وَالْمُجَاهِدِيْنَ،  اللَّهُمَّ انْصُرِ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ فِي كُلِّ مَكَانٍ وَفِي كُلِّ زَمَانٍ.  

Ya Allah, ampunilah seluruh kaum muslimin dan muslimat serta berilah rasa tanggungjawab dalam diri kami ini untuk melaksanakan perintah-Mu dan berikanlah kebencian kepada kami terhadap larangan-Mu. Ya Allah, didikkanlah diri kami ini untuk mendirikan solat fardhu secara berjamaah, mengeluarkan zakat dan bersifat dengan sifat-sifat mahmudah yang lain. Kurniakanlah kepada kami nikmat yang berpanjangan , kesihatan yang berkekalan, hati yang khusyuk serta penuh keikhlasan dalam melakukan amal kebaikan.

Ya Allah, kurniakanlah sepenuh taufiq dan hidayah-Mu terhadap Raja kami, Duli Yang Maha mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Al-Marhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah al-Maghfurulahu dan Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan Tuanku Zara Salim serta kerabat dan seluruh rakyat jelata sekalian.

رَبَّنَا ءَاتنِاَ فِى الدُّنْياَ حَسَنَةً وَفِى الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.
عِبَادَ اللهِ، اِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِاْلعَدْلِ وَالأِحْسَانِ وَإِيْتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَاْلمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُوْنَ. فَاذْكُرُوْا اللهَ الْعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ وَاشْكُرُوْهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ وَلَذِكْرُاللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ. 


No comments:

Post a Comment