Friday, June 9, 2017

KHUTBAH JUMAAT TUAN GURU PRESIDEN PAS -14 RAMADHAN 1438 / 9 JUN 2017


TUNTUTAN AL-QURANUL KARIM

ٱلْحَمْدُ لِلَّهِ الْوَاحِدِ الْأَحَدٌ، اللَّهُ الصَّمَدُ، لَمْ يَلِدْ وَلَمْ يُولَدْ، وَلَمْ يَكُنْ لَهُ كُفُوًا أَحَدٌ. أَشْهَدُ أَن لَّا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ. وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُ اللهُ وَرَسُولُهُ، أَرْسَلَهُ اللهُ بَشِيْرًا وَنَذِيْرًا بَيْنَ يَدَيِ السَّاعَةِ، فَأَدَّى الْأَمَنَةَ، وَبَلَّغَ الرِّسَالَةَ، وَنَصَحَ الْأُمَّةَ وَجَاهَدَ فِى اللهِ حَقَّ جِهَادِهِ حَتَّى اَتَاهُ الْيَقِيْنَ. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلَى حَبِيبِنَا وَشَفِيعِنَا وَإِمَامِنَا وَقُدْوَتِنَا وَأُسْوَتِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ سَارَ عَلَى نَهْجِهِ إِلَى يَوْمِ الدِّينِ.
أَمَّا بَعْدُ:
فَيَاعِبَادَ اللهِ، اتَّقُوا اللَّهَ. فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ. وَتَزَوَّدُوا فَإِنَّ خَيْرَ الزَّادِ التَّقْوَى.
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنتُم مُّسْلِمُونَ ﴿١٠٢﴾ [سورة آل عمران : ١٠٢]

Wahai hamba-hamba Allah, bertaqwalah kamu kepada Allah dengan mengikut segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Maka sesungguhnya berjayalah orang-orang yang bertaqwa kepada Allah. Carilah bekalan, maka sesungguhnya sebaik-baik bekalan adalah bertaqwa kepada Allah.

Wahai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwanya dan jangan sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan kamu adalah orang-orang Islam.

Saudaraku muslimin yang dirahmati Allah,

Kita berada di dalam bulan Ramadhan, satu bulan yang sangat mulia di sisi Allah s.w.t, penghulu kepada segala bulan. Fadhilat yang paling besar pada bulan Ramadhan, ia adalah bulan yang diturunkan padanya Al-Quran:

شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِي أُنزِلَ فِيهِ الْقُرْآنُ هُدًى لِّلنَّاسِ وَبَيِّنَاتٍ مِّنَ الْهُدَىٰ وَالْفُرْقَانِ ۚ [سورة البقرة : ١٨٥]

(Maksudnya:) Bulan Ramadhan, bulan yang di dalamnya diturunkan (permulaan) Al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeza (antara yang hak dan yang batil).

Akan tetapi yang lebih besar daripada itu adalah kita sebagai umat Islam perlu mengetahui apakah tuntutan-tuntutan dan kewajipan-kewajipan Al-Quran ke atas diri kita sebagai orang-orang Islam.

Yang pertama adalah kita mestilah mempelajari dan membacanya. Firman Allah di dalam Al-Quranul Karim:

فَاقْرَءُوا مَا تَيَسَّرَ مِنَ الْقُرْآنِ ۚ [سورة المزمل : ٢٠]

(Maksudnya:) Oleh itu bacalah mana-mana yang mudah kamu dapat membacanya dari Al-Quran.

Pada bulan Ramadhan ini, di antara amalan yang tidak ditinggalkan oleh Nabi s.a.w adalah membaca Al-Quranul Karim di hadapan Jibril. Jibril mendengarnya, kemudian Jibril pula membacanya dan Nabi s.a.w mendengarnya. Mereka bertadarus Al-Quranul Karim.

Yang kedua adalah memahami dan mendalaminya. Bukan sahaja tanggung jawab umat Islam perlu membaca dan mempelajari Al-Quran dengan sebaik-baik bacaan, tetapi mereka juga mesti memahami dan mendalami Al-Quran dengan mempelajari isi-isi yang terkandung di dalamnya. Firman Allah Ta'ala:

أَفَلَا يَتَدَبَّرُونَ الْقُرْآنَ أَمْ عَلَىٰ قُلُوبٍ أَقْفَالُهَا ﴿٢٤﴾ [سورة محمد : ٢٤]

(Maksudnya:) Maka adakah mereka sengaja tidak berusaha memahami serta memikirkan isi Al-Quran? Atau telah ada di atas hati mereka kunci penutup (yang menghalangnya daripada menerima ajaran Al-Quran)?

Ayat ini Allah s.w.t menyatakan dalam bentuk soalan tanpa ada jawapan. Jawapannya adalah pada diri kita semua. Kita jangan jadi seperti orang-orang kafir yang dilaknat oleh Allah s.w.t yang membelakangkan ajaran Al-Quran, sebaliknya kita mestilah menjadi orang-orang yang beriman yang mendalami dan memahami apa yang terkandung di dalam Al-Quranul Karim.

Yang ketiga adalah menghafal Al-Quranul Karim walaupun satu Ayat atau satu Surah yang pendek. Allah s.w.t berfirman di dalam Al-Quranul Karim:

إِنَّا نَحْنُ نَزَّلْنَا الذِّكْرَ وَإِنَّا لَهُ لَحَافِظُونَ ﴿٩﴾ [سورة الحجر : ٩]

(Maksudnya:) Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan Al-Quran, dan Kamilah yang memelihara dan menjaganya.

Al-Quranul Karim yang menjadi mukjizat yang paling besar yang dikurniakan oleh Allah s.w.t ke atas Nabi s.a.w. Ia dipelihara dan dijaga oleh Allah s.w.t daripada dipesongkan Ayat-Ayatnya dan hukum hakam yang terkandung di dalamnya, tidak seperti kitab-kitab di zaman dahulu. Allah s.w.t boleh untuk menjaga Al-Quranul Karim kerana Dia adalah Tuhan yang paling berkuasa, tetapi di antara cara Allah s.w.t menjaga dan memelihara Al-Quranul Karim adalah dengan melahirkan dalam kalangan umat ini orang yang menghafalnya, memahami dan mempelajarinya dan melaksanakan hukum hakam yang terkandung di dalamnya.

Yang keempat adalah menyebarkan kandungan yang terdapat di dalamnya. Tanggung jawab umat Islam bukan sahaja untuk membaca, mempelajari, memahami dan seterusnya menghafal Al-Quran, tetapi tanggung jawab mereka juga adalah untuk menyebarkan ajaran-ajaran yang terkandung di dalam Al-Quranul Karim yang menjadi sumber utama kepada agama Islam yang diturunkan oleh Allah s.w.t ke atas Nabi s.a.w. Firman Allah Ta'ala:

وَمَنْ أَحْسَنُ قَوْلًا مِّمَّن دَعَا إِلَى اللَّهِ وَعَمِلَ صَالِحًا وَقَالَ إِنَّنِي مِنَ الْمُسْلِمِينَ ﴿٣٣﴾ [سورة فصلت : ٣٣]

(Maksudnya:) Dan tidak ada yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada (mengesakan dan mematuhi perintah) Allah, serta ia sendiri mengerjakan amal yang soleh, sambil berkata: Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang Islam (yang berserah bulat-bulat kepada Allah)!

Berdakwah menyeru manusia kepada agama Allah s.w.t dan ajaran Al-Quranul Karim adalah tanggung jawab semua umat Islam tanpa mengira siapa mereka, lelaki atau perempuan, selagi mana dia adalah orang Islam, maka tanggung jawab untuk berdakwah dan menyeru manusia lain kepada agama Allah s.w.t.

Yang terakhirnya adalah mempertahankan ajaran-ajaran yang terkandung di dalam Al-Quranul Karim. Firman Allah Ta'ala:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا هَلْ أَدُلُّكُمْ عَلَىٰ تِجَارَةٍ تُنجِيكُم مِّنْ عَذَابٍ أَلِيمٍ ﴿١٠﴾ تُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَرَسُولِهِ وَتُجَاهِدُونَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ بِأَمْوَالِكُمْ وَأَنفُسِكُمْ ۚ ذَ‌ٰلِكُمْ خَيْرٌ لَّكُمْ إِن كُنتُمْ تَعْلَمُونَ ﴿١١﴾ [سورة الصف : ١١-١٠]

(Maksudnya:) Wahai orang-orang yang beriman! Mahukah Aku tunjukkan sesuatu perniagaan yang boleh menyelamatkan kamu dari azab seksa yang tidak terperi sakitnya? Iaitu, kamu beriman kepada Allah dan rasul-Nya, serta kamu berjuang membela dan menegakkan agama Allah dengan harta benda dan diri kamu; yang demikian itulah yang lebih baik bagi kamu, jika kamu hendak mengetahui (hakikat yang sebenarnya).

Tanggung jawab dan kewajipan umat Islam mestilah mempertahankan ajaran-ajaran yang terkandung di dalam Al-Quranul Karim. Ajaran yang berkait dengan aqidah, ajaran yang berkait dengan syariat hukum hakam, ajaran yang berkait dengan akhlak dan adab mestilah dipertahankan oleh umat Islam. Lebih-lebih lagi kita hidup di zaman yang sangat mencabar ini, di zaman ajaran-ajaran Al-Quran ditinggalkan satu persatu, sebagaimana amaran yang dinyatakan oleh Nabi s.a.w:

لَيُنْقَضَنَّ عُرَى الْإِسْلَامِ عُرْوَةً عُرْوَةً فَكُلَّمَا انْتَقَضَتْ عُرْوَةٌ تَشَبَّثَ النَّاسُ بِالَّتِي تَلِيهَا وَأَوَّلُهُنَّ نَقْضًا الْحُكْمُ وَآخِرُهُنَّ الصَّلَاةُ

(Maksudnya:) Demi sesungguhnya simpulan yang mengikat setiap ajaran Islam akan dirungkai (dirombak) satu demi satu (satu selepas satu). Maka setiap kali satu ikatan dirungkai, nescaya orang ramai terpaksa bergantung dengan ikatan simpulan yang masih ada lagi. Maka yang mula-mula dirungkai ialah perkara hukum (Allah) dan yang paling akhirnya ialah sembahyang.

Nabi s.a.w menyatakan di dalam hadits ini akan berlaku di akhir zaman ajaran-ajaran yang terkandung di dalam Al-Quranul Karim akan dirungkai satu persatu. Al-Quran mengajar kepada umat Islam untuk berhukum dengan hukum hakam jenayah Islam - hudud dan qisas. Tetapi pada hari ini ajaran ini dirungkai. Kebanyakan negara-negara umat Islam pada hari ini tidak melaksanakan hukum hakam jenayah Islam.

Al-Quran mengajar kepada umat Islam bahawa Islam dan politik tidak boleh dipisahkan. Di dalam Al-Quran menyatakan bagaimana para anbiya' alaihimus solatu wassalam bukan sahaja mengajar manusia supaya bersembahyang, berpuasa dan melakukan ibadat kepada Allah s.w.t, tetapi dalam masa yang sama mereka juga berpolitik. Nabi Sulaiman dan Nabi Daud alaihimas salam menjadi pemerintah berhukum dengan syariat Allah di atas muka bumi. Nabi Yusuf alaihis salam menjadi menteri yang mengurus kewangan di negara Mesir pada ketika itu. Nabi Musa alaihis salam berjumpa dengan Firaun, menegurnya supaya tidak berlaku zalim kepada Bani Israil. Nabi kita Muhammad s.a.w berhijrah ke Madinah, menubuhkan kerajaan Islam di Madinah dan menjadi ketua negara Islam.

Tetapi ajaran politik di dalam Islam pada hari ini ditinggalkan. Al-Quranul Karim mengajar umat Islam supaya berhukum dengan syariat Allah s.w.t secara keseluruhannya.

إِنِ الْحُكْمُ إِلَّا لِلَّهِ ۚ أَمَرَ أَلَّا تَعْبُدُوا إِلَّا إِيَّاهُ ۚ [سورة يوسف : ٤٠]

(Maksudnya:) Sebenarnya hukum (yang menentukan amal ibadat) hanyalah bagi Allah. Ia memerintahkan supaya kamu jangan menyembah melainkan Dia.

Tetapi pada hari ini kita melihat bagaimana umat Islam mengambil sistem-sistem untuk mengurus kehidupan mereka sama ada dalam perkara yang berkait dengan politik, ekonomi, undang-undang dan lain-lain lagi daripada ciptaan-ciptaan dan rekaan-rekaan manusia.

Justeru menjadi kewajipan kepada umat Islam terhadap Al-Quranul Karim, bukan sahaja untuk membacanya, bukan sahaja untuk menghafalnya, bukan sahaja untuk memahaminya, dan bukan sahaja untuk menyebarkan ajarannya, tetapi menjadi tanggung jawab kepada mereka untuk mempertahankannya, berjuang dan berjihad pada jalan Allah s.w.t supaya ajaran Al-Quran ini kembali berdaulat dan dijadikan sebagai hukum utama kepada umat Islam di dalam kehidupan mereka.

Marilah di atas semangat berada di dalam bulan Ramadhan ini kita meletakkan keazaman di dalam diri kita untuk kita mempertahankan dan memperjuangkan ajaran-ajaran yang terkandung di dalam Al-Quranul Karim sehingga ianya kembali dilaksanakan di atas muka bumi Allah s.w.t ini.

لَوْ أَنزَلْنَا هَـٰذَا الْقُرْآنَ عَلَىٰ جَبَلٍ لَّرَأَيْتَهُ خَاشِعًا مُّتَصَدِّعًا مِّنْ خَشْيَةِ اللَّهِ ۚ وَتِلْكَ الْأَمْثَالُ نَضْرِبُهَا لِلنَّاسِ لَعَلَّهُمْ يَتَفَكَّرُونَ ﴿٢١﴾ [سورة الحشر : ٢١]

(Maksudnya:) Sekiranya Kami turunkan Al-Quran ini ke atas sebuah gunung, nescaya engkau melihat gunung itu khusyuk serta pecah belah kerana takut kepada Allah. Dan (ingatlah), misal-misal perbandingan ini Kami kemukakan kepada umat manusia, supaya mereka memikirkannya.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بالقُرْآنِ العَظِيْمِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ.
أَقُولُ قَوْلِي هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ، إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ.


Teks asal khutbah ini boleh dimuat turun dari sini.

No comments:

Post a Comment