Thursday, June 22, 2017

KHUTBAH JUMAAT - 28 RAMADHAN 1438 / 23 JUN 2017


MENGGILAP AKHIR RAMADHAN

Khutbah Pertama

الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي وَفَّقَ عِبَادَهُ الْمُؤْمِنِيْنَ لِأَدَاءِ الْأَعْمَالِ الصَّالِحَاتِ. أَشْهَدُ اَنْ لآ إِلَــهَ اِلاَّ اللهُ شَهَادَةَ أَرْجُوْ بِهَا رَفِيْعَ الدَّرَجَاتِ، وَأَشْهَدُ اَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ صَاحِبُ الْآيَاتِ وَالْمُعْجِزَاتِ. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّينِ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَاعِبَادَ اللهِ، اتَّقُوا اللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنتُم مُّسْلِمُونَ. قَالَ اللهُ تَعَالَى: 
وَالَّذِينَ جَاهَدُوا فِينَا لَنَهْدِيَنَّهُمْ سُبُلَنَا ۚ وَإِنَّ اللَّهَ لَمَعَ الْمُحْسِنِينَ ﴿٦٩﴾

Bermaksud: "Dan orang yang berusaha bersungguh-sungguh (mencari keredhaan) Kami maka pasti akan ditunjuki mereka jalan-jalan yang menyampaikan kepada maksudnya. Dan sesungguhnya Allah sentiasa bersama orang yang kekal melakukan kebaikan". (Surah Al-'Ankabut Ayat 69)

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Saya menyeru kepada diri saya sendiri dan kepada sidang Jumaat sekalian, marilah sama-sama kita perbaiki diri dengan meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah s.w.t yakni dengan melakukan segala titah perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Sebelum meneruskan khutbah, saya ingin berpesan kepada sidang jamaah sekalian agar menumpukan perhatian dan jangan bercakap-cakap sewaktu khutbah disampaikan. Mudah-mudahan kita akan beroleh manfaat untuk kebaikan di dunia dan di akhirat.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Masa berlalu begitu pantas tanpa disedari kita telah pun berada di penghujung bulan Ramadhan. Bermakna beberapa hari lagi akan bergemalah takbir kemenangan yang bakal dilaungkan oleh seluruh umat Islam. Namun! Satu perkara yang perlu kita sedar ialah Ramadhan masih belum berakhir, pun begitu umat Islam dilihat sudah pun mula mengubah rentak dan watak lakunya. Dulu di awal Ramadhan masjid dan surau penuh dengan kunjungan manusia, sama-sama menunaikan solat secara berjamaah tetapi sejak akhir-akhir ini suasana bertukar menjadi agak lengang dan sepi. Kalau dulu kita banyak menghabiskan masa berzikir, bertasbih, berselawat dan membaca Al-Quran, kini kita lebih banyak memperuntukkan waktu ke pasar raya dan pusat-pusat membeli belah. Dalam masa yang sama kita juga mendengar radio dan menonton televisyen sudah mula mengalunkan lagu-lagu raya, kaum wanita sibuk dengan segala macam resepi kuih muih dan anak-anak muda dihangatkan pula oleh media elektronik dan media cetak dengan pelbagai hiburan dan tayangan filem yang istimewa. Hasilnya, Ramadhan yang sepatutnya dipenuhi dengan amal dan ibadat khususnya pada 10 hari terakhir ini telah pun dilupakan dan dipinggirkan. Kerana yang kita nampak sekarang bukan lagi Ramadhan tetapi anak bulan Syawal atau disebut sebagai 'Eidul Fitri. Jadi berpuasanya kita hari ini tidak ubah seperti puasanya kanak-kanak kecil yang berpuasa tetapi matlamatnya adalah raya, bukan lagi berpuasa untuk mencapai sifat taqwa dan bukan lagi berpuasa yang tujuannya untuk membebaskan diri dari lilitan hawa nafsu. Justeru itu, marilah kita tukar budaya dan tradisi yang telah lama mendarah dalam kalangan kita. Marilah kita sama-sama gilap kembali sinar Ramadhan yang hampir luntur kilauannya. Kalau boleh biar amalan yang di akhir-akhir ini lebih baik dari amalan yang kita lakukan di permulaannya.

Sidang hadirin yang berbahagia,

Jika kita merujuk kepada sirah Rasulullah s.a.w sendiri, pada 10 malam terakhir Ramadhan baginda s.a.w lebih bersungguh-sungguh beribadah. Ketika itu, segala bentuk aktiviti keduniaan dikurangkan, segala urusan yang melibatkan hubungan sesama manusia dihadkan, malah yang menjadi tumpuan ialah amalan atau ibadah yang berbentuk khususiyah. Hal ini dapat kita lihat melalui hadist yang diriwayatkam oelh Imam Al-Bukhari daripada Saiyidatina 'Aisyah radhiyAllahu 'anha:

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَجْتَهِدُ فِي الْعَشْرِ الْأَوَاخِرِ مَا لَا يَجْتَهِدُ فِي غَيْرِهِ

Bermaksud: "Adalah Rasulullah s.a.w bersungguh-sungguh pada sepuluh akhir Ramadhan berbanding hari-hari sebelumnya".

Dan dalam satu hadits yang lain pula berbunyi:

كَانَ يَعْتَكِفُ الْعَشْرَ الْأَوَاخِرَ مِنْ رَمَضَانَ حَتَّى تَوَفَّاهُ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ

Bermaksud: "Adalah Nabi s.a.w beriktikaf (memutuskan hubungan dengan dunia) pada 10 hari terakhir dalam bulan Ramadhan. Amalan tersebut berterusan pada setiap kali menjelangnya Ramadhan sehinggalah baginda kembali kepada Allah". (Hadits riwayat Imam Muslim)

Sidang jamaah yang dimuliakan,

Begitulah sikap yang ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w dalam mendidik umatnya supaya pandai menghargai dan merebut peluang yang ada di dalam bulan Ramadhan al-Mubarak. Contoh teladan tersebut telah diikuti dan dihayati sepenuhnya oleh para sahabat, tabi'in serta mereka yang tahu betapa kehidupan di akhirat itu jauh lebih baik dan kekal berbanding kehidupan di dunia ini.

Dengan penjelasan tersebut mari kita menilai kembali. Merenung dan menghitung apakah kita termasuk dalam kalangan mereka yang dapat menghidupkan akhir Ramadhan ini dengan sebaik mungkin atau kita juga tersenarai salah seorang dari penyumbang kepada usaha memudarkan sinar keagungan Ramadhan itu sendiri. Sebab dulu kitalah antara orang yang pertama yang datang ke masjid dan surau bersama-sama menunaikan solat fardhu, sama-sama menunaikan solat tarawih, berselawat dan berdoa tetapi bila tiba akhir Ramadhan masjid dan surau mula jauh dari pandangan kita, solat yang dulunya dilakukan secara berjamaah kini hanya dikerjakan bersendirian bahkan lebih malang dari itu apabila ada di antara kita yang langsung mengabaikan solat fardhu. Begitu juga kalau dulu di awal Ramadhan kitalah orang yang pernah berazam, bercita-cita untuk menjadi hamba Allah yang taat kepada agamanya tetapi kini semangat yang pernah kita suarakan itu sudah tidak terasa lagi kehangatannya bahkan telah tercicir jauh pada pertengahan Ramadhan yang lalu dan cuba kita ingat kembali kalau dulu kita boleh mendisiplinkan diri kita dengan membaca Al-Quran, berzikir, bertafakur dan berselawat ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w tetapi kini Al-Quran sudah kembali ke tempat asalnya. Waktu berzikir sudah diganti dengan kekalutan menyediakan persiapan raya, waktu bertafakur sudah tidak mendapat ruang, tidak ada lagi masa untuk mengenang siksa kubur, tidak ada waktu lagi untuk kita kenang hari pembalasan kerana semua itu secara tidak sedar telah dihiasi dengan keseronokan, hiburan dan gelak ketawa ahli keluarga.

Saudara kaum muslimin,

Sekali lagi mari kita nilai apakah situasi yang digambarkan tadi berlaku pada diri kita, sekiranya ia berlaku maka apakah kita sedar. Sekiranya kita sedar maka apakah pula tindakan yang akan kita ambil atau kita hanya mengangguk-angguk kepala apabila diperingatkan tapi bila kita pulang ke rumah kita lupa dan kita terus dengan budaya lama kita. Apa yang paling dibimbangi ialah budaya "raya sebelum habis puasa ini" akan diwarisi pula oleh generasi kita yang akan datang kerana itulah amalan yang kita pamerkan kepada mereka hari ini. Oleh itu kita masih belum terlambat, marilah kita sama-sama penuhkan kembali masjid dan surau di sekitar kita. Kita meriahkan semula suasana akhir Ramadhan ini dengan lebih cemerlang dan ceria. Teruskan membaca Al-Quran, teruskan berzikir, teruskan berselawat dan tingkatkan amalan. Jadikanlah Ramadhan yang berbaki ini jangan sekali-kali kita penuhi dengan program yang melalaikan. Jangan sekali-kali Ramadhan yang semakin berakhir ini kita cemarkan dengan melakukan maksiat terhadap Allah. Kita tidak mahu amalan yang kita lakukan di awal dan pertengahan Ramadhan dahulu lenyap begitu sahaja disebabkan kecuaian dan kealpaan kita di akhir Ramadhan ini.

Tegasnya, kita yang hadir hari ini, yang sama-sama mendengar jangan hanya sekadar mendengar. Yang paling penting adalah kesedaran dan susulan dari kesedaran itulah yang akan menghasilkan perubahan. Namun, kalau selepas dari perbicaraan ini suasana masih kekal seperti sedia kala malah bertambah lupa kita kepada Allah dan semakin hilang selera kita untuk beramal maka itu bererti kita tidak faham dengan apa yang dikatakan dan kita sebenarnya tidak mahu menilai betapa akhir Ramadhan ini cukup tinggi nilainya di sisi Allah s.w.t. Firman Allah s.w.t dalam Surah Taha Ayat 124:

وَمَنْ أَعْرَضَ عَن ذِكْرِي فَإِنَّ لَهُ مَعِيشَةً ضَنكًا وَنَحْشُرُهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ أَعْمَىٰ ﴿١٢٤﴾

Bermaksud: "Dan sesiapa yang berpaling ingkar dari ingatan dan petunjuk-Ku, maka sesungguhnya adalah baginya kehidupan yang sempit dan kami akan himpunkan dia pada hari kiamat dalam keadaan buta".

Sidang Jumaat yang dimuliakan,

Akhir sekali saya ingin nyatakan, tidak salah kita menanti kedatangan Syawal dengan persiapan yang terbaik tetapi jangan sampai kita letakkan Ramadhan hanya berada di tapak kaki kita. Tidak salah kita menyambut 'Eidul Fitri dengan suasana gembira dan ceria tetapi ingatlah kegembiraan yang melampaui batas adalah tanda-tanda bagi orang yang membesarkan dunia dan nafsu, bukan membesarkan Allah s.w.t.

Seperkara yang tidak boleh dilupakan, mimbar mengingatkan kewajipan zakat fitrah. Pastikan zakat fitrah ditunaikan sebelum solat sunat 'Eidul Fitri dilaksanakan. Sabda Rasulullah s.a.w:

فَرَضَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ زَكَاةَ الْفِطْرِ طُهْرَةً لِلصَّائِمِ مِنْ اللَّغْوِ وَالرَّفَثِ وَطُعْمَةً لِلْمَسَاكِينِ

Bermaksud: "Rasulullah s.a.w mewajibkan zakat fitrah sebagai pencuci dosa bagi orang yany berpuasa dari percakapan yang sia-sia dan keji dan juga sebagai makanan bagi orang yang miskin". (Hadits riwayat Imam Abu Daud)

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بالقُرْآنِ العَظِيْمِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ، أَقُولُ قَوْلِي هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ الْأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالْأَمْوَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ، إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ.


Khutbah Kedua

الْحَمْدُ لِلَّهِ حَمْدًا كَثِيْرًا كَمَا أَمَرَ.  أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَاَشْهَدُ اَنَّ سَيِّدِيْنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ، اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدٍ وَعَلىَ آلــِهِ وَأَصْحَابِهِ اَجْمَعِيْنَ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله! اِتَّقُوْا اللهَ وَكُنُواْ مَعَ الصَّادِقِينَ. فَقَالَ اللهُ تَعَالَى:
أَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ ۚ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا ﴿٥٦﴾

Bermaksud: "Sesungguhnya Allah dan malaikat berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad s.a.w), wahai orang-orang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucaplah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya". (Surah Al-Ahzab Ayat 56)

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى آلِ سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيمَ وَبَارِكْ عَلى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ كَمَا بَارَكْتَ عَلَى آلِ سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيمَ فِي الْعَالَمِينَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ. 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Mimbar menyeru kepada sidang Jumaat sekalian, marilah sama-sama kita merebut peluang yang ada bagi memakmurkan rumah-rumah Allah dengan melakukan ibadah dan amal soleh secara istiqamah terutama solat fardhu berjamaah serta mendidik hati kita berasa risau dan resah apabila berjauhan dengan masjid. Semoga kita tergolong dalam kalangan orang yang mendapat perlindungan Allah s.w.t di hari kiamat kelak seperti mana sabda Rasulullah s.a.w:

وَرَجُلٌ قَلْبُهُ مُعَلَّقٌ فِي الْمَسَاجِدِ

Bermaksud: "Seorang yang hatinya selalu terikat pada masjid". (Hadits riwayat Imam Al-Bukhari)

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ والْمُؤمِنَاتِ، وَأَصْلِحْ ذَاتَ بَيْنِهِمْ وَأَلِّفْ بَيْنَ قُلُوْبِهِمْ وَاجْعَلْ فِيْ قُلُوْبِهِمُ اْلإِيْمَانَ وَاْلحِكْمَةَ وَثَبِّتْهُمْ عَلَى مِلَّةِ رَسُوْلِ اللهِ.
اللَّهُمَّ أَعِزَّ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ، اللَّهُمَّ انْصُرِ الدُّعَاةَ وَالْمُجَاهِدِيْنَ،  اللَّهُمَّ انْصُرِ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ فِي كُلِّ مَكَانٍ وَفِي كُلِّ زَمَانٍ.  

Ya Allah, ampunilah seluruh kaum muslimin dan muslimat serta berilah rasa tanggungjawab dalam diri kami ini untuk melaksanakan perintah-Mu dan berikanlah kebencian kepada kami terhadap larangan-Mu. Ya Allah, didikkanlah diri kami ini untuk mendirikan solat fardhu secara berjamaah, mengeluarkan zakat dan bersifat dengan sifat-sifat mahmudah yang lain. Kurniakanlah kepada kami nikmat yang berpanjangan , kesihatan yang berkekalan, hati yang khusyuk serta penuh keikhlasan dalam melakukan amal kebaikan.

اللَّهُمَّ أَحِلَّ عَلَيْنَا شَهْرَ رَمَضَانَ بِالْأَمْنِ وَالْإِيْمَانِ وَالسَّلَامَةِ وَالْإِسلَامِ وَالتَّوْفِيْقِ لِمَا تُحِبُّ وَتَرْضَى. اللَّهُمَّ أَعِنَّا فِيْهِ عَلَى الصِّيَامِ وَالْقِيَامِ. اللَّهُمَّ سَلِّمْنَا لِرَمَضَانَ وَسَلِّمْهُ لَنَا وَتَسَلَّمْهُ مِنَّا مُتَقَبَّلًا.

Allahumma, ya Allah, untuk-Mu ya Allah di atas segala kemudahan bagi kami berpuasa di bulan Ramadhan ini dan mendirikan solat malam serta kami membaca kitab suci-Mu yang tiada kebatilan di dalamnya. Jadikanlah kami termasuk dalam golongan orang yang berpuasa dan menunaikan ibadah di bulan ini yang penuh keberkatan dan pengharapan.

Ya Allah, kurniakanlah sepenuh taufiq dan hidayah-Mu terhadap Raja kami, Duli Yang Maha mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Al-Marhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah al-Maghfurulahu dan Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan Tuanku Zara Salim serta kerabat dan seluruh rakyat jelata sekalian.

رَبَّنَا ءَاتنِاَ فِى الدُّنْياَ حَسَنَةً وَفِى الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.
عِبَادَ اللهِ، اِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِاْلعَدْلِ وَالأِحْسَانِ وَإِيْتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَاْلمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُوْنَ. فَاذْكُرُوْا اللهَ الْعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ وَاشْكُرُوْهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ وَلَذِكْرُاللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ. 

No comments:

Post a Comment