Friday, June 9, 2017

KHUTBAH JUMAAT - 14 RAMADHAN 1438 / 9 JUN 2017


AL-QURAN MUKJIZAT SEPANJANG ZAMAN

Khutbah Pertama

إِنَّ الْحَمْدُ لِلَّهِ الْذِي نَحْمَدُهُ وَنَسْتَعِينُهُ وَنَسْتَغْفِرُهُ، وَنَعُوذُ بِاللهِ مِنْ شُرُورِ أَنْفُسِنَا وَمِنْ سَيِّئَاتِ أَعْمَالِنَا، مَنْ يَهْدِهِ اللهُ فَلَا مُضِلَّ لَهُ، وَمَنْ يُضْلِلْ فَلَا هَادِيَ لَهُ.
أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا  عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ. اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِينَ
أَمَّا بَعْدُ، فَيَاعِبَادَ اللهِ، اتَّقُوا اللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنتُم مُّسْلِمُونَ. 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Saya menyeru kepada diri saya sendiri dan kepada sidang Jumaat sekalian, marilah sama-sama kita perbaiki diri dengan meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah s.w.t yakni dengan melakukan segala titah perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Sebelum meneruskan khutbah, saya ingin berpesan kepada sidang jamaah sekalian agar menumpukan perhatian dan jangan bercakap-cakap sewaktu khutbah disampaikan. Mudah-mudahan kita akan beroleh manfaat untuk kebaikan di dunia dan di akhirat.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

17 Ramadhan merupakan suatu tarikh yang amat bermakna kepada kita iaitu sambutan Nuzul Quran. Kalam Allah s.w.t yang berupa mukjizat diturunkan melalui perantaraan malaikat Jibril alaihissalam kepada Nabi Muhammad s.a.w, dikira sebagai ibadah dengan membacanya, bermula dari Surah Al-Fatihah dan berakhir dengan Surah An-Nas berjumlah 114 Surah dan 6236 Ayat.

Penurunan Al-Quran secara sekaligus dari Luh Mahfuz ke Baitul 'Izzah di langit dunia, berlaku pada malam Al-Qadar. Al-Quran seterusnya diturunkan secara berperingkat kepada Rasulullah s.a.w mengikut ketetapan dan perintah Allah dalam jangka masa lebih kurang 23 tahun, manakala Taurat, Zabur dan Injil diturunkan secara sekaligus kepada nabi-nabi terdahulu. Firman Allah s.w.t dalam Surah Al-Qadr Ayat 1:

إِنَّا أَنزَلْنَاهُ فِي لَيْلَةِ الْقَدْرِ ﴿١﴾

Bermaksud: "Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada malam Lailatul Qadr".

Sidang Jumaat yang berbahagia,

Al-Quran merupakan mukjizat. Para ulamak mengkategorikan mukjizat kepada dua jenis iaitu mukjizat hissi dan maknawi. Menurut Imam An-Nawawi, Al-Quran dikategorikan sebagai mukjizat maknawi kerana ia bukan sekadar berlaku dan dirasai oleh Nabi s.a.w dan para sahabat malahan dapat dinikmati kemukjizatannya oleh umat manusia seluruhnya sampai hari kiamat. Al-Quran juga disebut sebagai mukjizat terbesar anugerah kepada umat Muhammad s.a.w.

Di antara mukjizat Al-Quran adalah kehebatan bahasanya, keindahan ayatnya dan kebenaran isi kandungannya. Mukjizat ini menjadikan Al-Quran tidak mampu ditandingi oleh mana-mana kitab lain. Cabaran Allah terhadap manusia dari zaman berzaman tidak akan pernah dapat ditandingi sehingga ke hari ini. Firman Allah s.w.t dalam Surah Al-Baqarah Ayat 23 dan 24:

وَإِن كُنتُمْ فِي رَيْبٍ مِّمَّا نَزَّلْنَا عَلَىٰ عَبْدِنَا فَأْتُوا بِسُورَةٍ مِّن مِّثْلِهِ وَادْعُوا شُهَدَاءَكُم مِّن دُونِ اللَّهِ إِن كُنتُمْ صَادِقِينَ ﴿٢٣﴾ فَإِن لَّمْ تَفْعَلُوا وَلَن تَفْعَلُوا فَاتَّقُوا النَّارَ الَّتِي وَقُودُهَا النَّاسُ وَالْحِجَارَةُ ۖ أُعِدَّتْ لِلْكَافِرِينَ ﴿٢٤﴾

Bermaksud: "Dan kalau kamu ada menaruh syak tentang apa yang Kami turunkan kepada hamba Kami (Muhammad), maka cubalah buat dan datangkanlah satu surah yang sebanding dengan Al-Quran itu dan panggillah orang yang kamu percaya yang boleh menolong kamu selain dari Allah, jika betul kamu orang yang benar. Maka kalau kamu tidak dapat membuatnya dan sudah tentu kamu tidak akan dapat membuatnya, maka peliharalah diri kamu dari api neraka yang bahan-bahan bakarannya; manusia dan batu-batu (berhala), (iaitu neraka) yang disediakan untuk orang-orang kafir".

Sidang hadirin yang dimuliakan,

Al-Quran telah terbukti berjaya membentuk para sahabat menjadi generasi Al-Quran yang unggul (جِيْلُ الْقُرْآنِ الْفَرِيْد) di bawah pentarbiyahan secara langsung oleh Rasulullah s.a.w. Generasi ini telah membawa panji-panji kebenaran Islam sehingga dikecapi oleh umat manusia sejagat. Generasi ini berjaya membebaskan manusia daripada perhambaan sesama makhluk kepada pengabdian sepenuhnya kepada Allah s.w.t. Generasi ini telah berjaya mengeluarkan segala bentuk penindasan dan kezaliman sistem ciptaan manusia kepada keadilan Islam.

Al-Quran adalah petunjuk bagi manusia dan pembeza antara kebenaran dan kebatilan. Firman Allah s.w.t dalam Surah Al-Baqarah Ayat 185:

شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِي أُنزِلَ فِيهِ الْقُرْآنُ هُدًى لِّلنَّاسِ وَبَيِّنَاتٍ مِّنَ الْهُدَىٰ وَالْفُرْقَانِ ۚ... ﴿١٨٥﴾

Bermaksud: "Bulan Ramadhan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan perbezaan (antara yang benar dan yang salah)".

Al-Quran memberi petunjuk perkara yang disuruh mahupun yang dilarang, yang halal mahupun yang haram, akhlak mulia mahupun yang buruk serta kisah teladan mahupun sempadan. Al-Quran mengajar perkara yang kecil seperti etika berpakaian sehinggalah urusan yang penting seperti pemerintahan negara hatta kepada menyembah Tuhan Yang Esa. Al-Quran juga mengangkat darjat pengamalnya seperti sabda Nabi s.a.w:

خَيْرُكُمْ مَنْ تَعَلَّمَ الْقُرْآنَ وَعَلَّمَهُ

Bermaksud: "Sebaik-baik kalian adalah orang yang belajar Al-Quran dan mengajarkannya". (Hadits riwayat Imam Al-Bukhari dan Imam Muslim)

Antara kegagalan umat Islam pada hari ini adalah berpunca kurang memberi perhatian kepada tadabbur (menghayati) Al-Quran. Ini menyebabkan kita ketinggalan dan gagal menjadi umat yang hebat. Imam Ibnu Katsir menjelaskan di antara kategori manusia yang meninggalkan Al-Quran seperti berikut:

1. Tidak membaca Al-Quran dan tidak mahu mendengarkannya
2. Ragu-ragu dengan ajaran Al-Quran
3. Tidak mengkaji dan memahami Al-Quran
4. Tidak membenarkan isi kandungan Al-Quran
5. Tidak mengamalkan ajaran Al-Quran
6. Berpaling daripada Al-Quran kepada yang lain

Saudara kaum muslimin,

Untuk mengembalikan kegemilangan ummah ini, tidak dapat tidak kita mesti kembali mendaulatkan Al-Quran sebagai rujukan utama dalam segenap bidang kehidupan. Al-Quran bukan sahaja menjadi rujukan ibadah bahkan menjadi rujukan dalam mencapai kejayaan kehidupan duniawi mahupun ukhrawi. Dalam sejarah kehidupan manusia, kita mendapati begitu ramai saintis yang berjaya membuat penemuan baru hasil mengkaji Al-Quran dan berapa ramai pemikir yang berjaya menemui pelbagai teori hasil menekuni Al-Quran.

Al-Quran terbukti telah berjaya membina ketamadunan berlandaskann ilmu pengetahuan yang terkandung di dalamnya. Sejarah silam telah membuktikan kehebatan sarjana Islam seperti Ibnu Sina, Ibnu Khaldun, Al-Jabbar, Ibnu Al-Haitam, Al-Khawarizmi dan ramai lagi. Mereka menjadi hebat kerana kesungguhan mereka mengkaji ilmu bersumberkan Al-Quran. Umat Islam kini boleh menelusuri jalan yang dirintis oleh mereka dalam bidang ilmu. Ambillah ilmu Al-Quran yang pasti benar dan pasti menghasilkan kejayaan. Firman Allah s.w.t dalam Surah Al-Mujadalah Ayat 11:

... يَرْفَعِ اللَّهُ الَّذِينَ آمَنُوا مِنكُمْ وَالَّذِينَ أُوتُوا الْعِلْمَ دَرَجَاتٍ ۚ وَاللَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ خَبِيرٌ ﴿١١﴾

Bermaksud: "... supaya Allah meninggikan darjat orang yang beriman di antara kamu dan orang yang diberi ilmu pengetahuan (dalam kalangan kamu). Dan (ingatlah) Allah Maha Mendalam pengetahuan-Nya tentang apa yang kamu lakukan".

Sidang jamaah yang dirahmati Allah,

Satu lagi gejala yang menimpa umat Islam kini adalah kehilangan kekuatan satu ummah yang dapat memelihara kepentingan umat Islam sepertimana yang ditonjolkan oleh generasi awal Islam. Negara-negara Islam bergerak sendirian tanpa ada kesatuan yang kukuh sepertimana yang dimiliki negara-negara barat. Maka tidak hairanlah kita melihat di merata tempat umat Islam ditindas dan dibunuh tanpa ada pembelaan yang sewajarnya. Kembalikan kekuatan Islam sebagaimana saranan dalam firman Allah s.w.t dalam Surah Ali-'Imran Ayat 103:

وَاعْتَصِمُوا بِحَبْلِ اللَّهِ جَمِيعًا وَلَا تَفَرَّقُوا ۚ وَاذْكُرُوا نِعْمَتَ اللَّهِ عَلَيْكُمْ إِذْ كُنتُمْ أَعْدَاءً فَأَلَّفَ بَيْنَ قُلُوبِكُمْ فَأَصْبَحْتُم بِنِعْمَتِهِ إِخْوَانًا وَكُنتُمْ عَلَىٰ شَفَا حُفْرَةٍ مِّنَ النَّارِ فَأَنقَذَكُم مِّنْهَا ۗ كَذَ‌ٰلِكَ يُبَيِّنُ اللَّهُ لَكُمْ آيَاتِهِ لَعَلَّكُمْ تَهْتَدُونَ ﴿١٠٣﴾

Bermaksud: "Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam) dan janganlah kamu bercerai-berai dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyyah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang Islam yang bersaudara. Dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliyyah), lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu Ayat-Ayat keterangan-Nya supaya kamu mendapat petunjuk hidayah-Nya".

Umat Islam mesti bersatu pada jalan Allah demi mengembalikan kekuatan Islam. Penyatuan yang ikhlas kerana Allah. Umat Islam secara bersama haruslah mengembeling tenaga menguatkan ekonomi dan segala kekuatan ummah demi mencapai tujuan tersebut. Bersatu pada perkara disepakati, berlapang dada pada perkara yang dikhilafi.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Bulan Ramadhan adalah peluang terbaik bagi kita untuk menjadi ahli Al-Quran. Apa yang penting, tingkatkan tadabbur Al-Quran di setiap Ramadhan yang kita lalui dan bakal kita tinggalkan. Daripada hanya mendengar bacaan Al-Quran kepada membacanya dengan penuh keimanan. Daripada membaca kepada mengkaji dan memahami. Daripada memahami kepada membenarkannya. Daripada membenarkannya kepada mengamalkannya dan mengutamakannya daripada segala yang lain.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بالقُرْآنِ العَظِيْمِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ، أَقُولُ قَوْلِي هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ الْأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالْأَمْوَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ، إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ.


Khutbah Kedua

الْحَمْدُ لِلَّهِ حَمْدًا كَثِيْرًا كَمَا أَمَرَ.  أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَاَشْهَدُ اَنَّ سَيِّدِيْنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ، اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدٍ وَعَلىَ آلــِهِ وَأَصْحَابِهِ اَجْمَعِيْنَ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله! اِتَّقُوْا اللهَ وَكُنُواْ مَعَ الصَّادِقِينَ. فَقَالَ اللهُ تَعَالَى:
أَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ ۚ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا ﴿٥٦﴾

Bermaksud: "Sesungguhnya Allah dan malaikat berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad s.a.w), wahai orang-orang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucaplah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya". (Surah Al-Ahzab: Ayat 56)

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَبَارِكْ عَلى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا بَارَكْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ فِي الْعَالَمِينَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ. 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Mimbar menyeru kepada sidang Jumaat sekalian, marilah sama-sama kita merebut peluang yang ada bagi memakmurkan rumah-rumah Allah dengan melakukan ibadah dan amal soleh secara istiqamah terutama solat fardhu berjamaah serta mendidik hati kita berasa risau dan resah apabila berjauhan dengan masjid. Semoga kita tergolong dalam kalangan orang yang mendapat perlindungan Allah s.w.t di hari kiamat kelak seperti mana sabda Rasulullah s.a.w:

وَرَجُلٌ قَلْبُهُ مُعَلَّقٌ فِي الْمَسَاجِدِ

Bermaksud: "Seorang yang hatinya selalu terikat pada masjid". (Hadits riwayat Imam Al-Bukhari)

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ والْمُؤمِنَاتِ، وَأَصْلِحْ ذَاتَ بَيْنِهِمْ وَأَلِّفْ بَيْنَ قُلُوْبِهِمْ وَاجْعَلْ فِيْ قُلُوْبِهِمُ اْلإِيْمَانَ وَاْلحِكْمَةَ وَثَبِّتْهُمْ عَلَى مِلَّةِ رَسُوْلِ اللهِ.
اَللَّهُمَّ أَعِزَّ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ، اَللَّهُمَّ انْصُرِ الدُّعَاةَ وَالْمُجَاهِدِيْنَ،   اَللَّهُمَّ انْصُرِ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ فِي كُلِّ مَكَانٍ وَفِي كُلِّ زَمَانٍ.  

Ya Allah, ampunilah seluruh kaum muslimin dan muslimat serta berilah rasa tanggungjawab dalam diri kami ini untuk melaksanakan perintah-Mu dan berikanlah kebencian kepada kami terhadap larangan-Mu. Ya Allah, didikkanlah diri kami ini untuk mendirikan solat fardhu secara berjamaah, mengeluarkan zakat dan bersifat dengan sifat-sifat mahmudah yang lain. Kurniakanlah kepada kami nikmat yang berpanjangan , kesihatan yang berkekalan, hati yang khusyuk serta penuh keikhlasan dalam melakukan amal kebaikan.

Ya Allah, kurniakanlah sepenuh taufiq dan hidayah-Mu terhadap Raja kami, Duli Yang Maha mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Al-Marhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah al-Maghfurulahu dan Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan Tuanku Zara Salim serta kerabat dan seluruh rakyat jelata sekalian.

رَبَّنَا ءَاتنِاَ فِى الدُّنْياَ حَسَنَةً وَفِى الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.
عِبَادَ اللهِ، اِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِاْلعَدْلِ وَالأِحْسَانِ وَإِيْتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَاْلمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُوْنَ. فَاذْكُرُوْا اللهَ الْعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ وَاشْكُرُوْهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ وَلَذِكْرُاللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ. 

No comments:

Post a Comment