bersama kepimpinan ulamak




Sedang Berlangsung Sekarang




Ucapan Eidul Fitri 1438 Dari Dewan Ulamak PAS Negeri Perak




Ucapan Eidul Fitri 1438 Dari Dewan Ulamak PAS Negeri Perak




Thursday, June 22, 2017

KHUTBAH HARI RAYA AIDILFITRI 1438 HIJRIAH / 2017 MASIHI


“BERHARI RAYA, BERKASIH SAYANG”

Khutbah Pertama

اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ،
اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ،
اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ وَلِلَّهِ الْحَمْدُ.
اللهُ أَكْبَرُ كَبِيرًا، وَالْحَمْدُ لِلَّهِ كَثِيرًا، وَسُبْحَانَ اللهِ بُكْرَةً وَأَصِيلًا.
الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي وَفَّقَنَا لِعِبَادَتِهِ وَجَعَلَ هَذَا الْيَوْمَ فَرْحًا لِعِبَادِهِ الْمُتَّقِيْنَ الَّذِيْنَ فَازُواْ بِصِيَامِ رَمَضَانَ وَقِيَامِهِ.
أَشْهَدُ اَنْ لاَ إِلَــهَ اِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لاَشَرِيْكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ اَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ.
اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِينَ وَتَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّينِ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَا أَيُّهَا الْمُسْلِمُوْنَ!  اُوْصِيْكُمْ وَنَفْسِي بِتَقْوَى اللهِ حَيْثُ قَالَ اللهُ تَعَالَى فِي كِتَابهِ الْعَزِيْزِ: يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنتُم مُّسْلِمُونَ ﴿١٠٢﴾ (سورة آل عمران ايات 102) 

Wahai Kaum Muslimin, Wahai Orang Yang Telah Berpuasa, Wahai Orang Yang Telah Mendirikan Malam-Malam Ramadan,

Marilah kita bersama memanjatkan rasa syukur yang tidak terhingga, membasahi lidah dengan kalimah Alhamdulillah, kerana Dia-lah Allah yang memberi hidayah, tanpanya kita tersesat. Dia-lah yang memberi kita makan, tanpanya kita kelaparan. Dia-lah yang menjamin keselamatan kita, tanpanya kita dalam keadaan berbahaya. Dia-lah yang menjadikan Hari Raya Aidilfitri sebagai kegembiraan dunia bagi orang yang menunaikan ibadah puasa dalam bulan Ramadan. Sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a.:

لِلصَّائِمِ فَرْحَتَانِ فَرْحَةٌ عِنْدَ فِطْرِهِ وَفَرْحَةٌ عِنْدَ لِقَاءِ رَبِّهِ

Bermaksud: “Bagi orang yang berpuasa itu dua kegembiraan iaitu kegembiraan ketika berbuka dan kegembiraan ketika bertemu dengan Tuhannya”. [Hadith Riwayat Imam Muslim dan Imam Ahmad]

Mimbar ingin berpesan kepada semua jemaah sekalian agar menunggu sehingga selesai khutbah bagi menyempurnakan Solat Sunat Aidilfitri kita.

اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ وَلِلَّهِ الْحَمْدُ،

Telah berakhir bulan Ramadan, bulan puasa, bulan kesabaran dan bulan pengampunan. Kini, menjelang bulan Syawal hari menyambut kemenangan, hari meraikan kegembiraan bagi seluruh umat Islam. Umat Islam telah dianugerahkan dua Hari Raya iaitu Aidilfitri dan Aidiladha. Keduanya mengandungi pengertian kegembiraan atas kepayahan dan pengorbanan yang telah dilalui.

Sejarah hari raya dalam Islam bermula apabila Rasulullah SAW berhijrah ke Madinah. Baginda mendapati ada dua hari raya yang disambut oleh bangsa Arab pada masa itu. Apabila Rasulullah bertanya kepada mereka apakah dua hari raya itu, mereka segera menjawab bahawa dua hari raya yang mereka sambut itu adalah perayaan yang diwarisi secara turun temurun daripada datuk nenek mereka. Hadith riwayat Anas bin Malik menyebut:-

قَدِمَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الْمَدِينَةَ وَلَهُمْ يَوْمَانِ يَلْعَبُونَ فِيهِمَا فَقَالَ مَا هَذَانِ الْيَوْمَانِ قَالُوا كُنَّا نَلْعَبُ فِيهِمَا فِي الْجَاهِلِيَّةِ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِنَّ اللَّهَ قَدْ أَبْدَلَكُمْ بِهِمَا خَيْرًا مِنْهُمَا يَوْمَ الْأَضْحَى وَيَوْمَ الْفِطْرِ

Bermaksud: “Ketika Rasulullah SAW tiba di Madinah Baginda mendapati terdapat dua hari raya yang penduduk Madinah bergembira padanya. Maka baginda bertanya apakah dua hari ini?. Maka mereka menjawab: selama ini kami bergembira padanya semenjak zaman jahiliah. Maka sabda Rasulullah SAW Sesungguhnya Allah telah menggantikan bagi kamu kedua hari ini dengan yang lebih baik iaitu Hari Aidiladha dan Hari Aidilfitri”. [Sunan Abi Daud: 1134]

اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ وَلِلَّهِ الْحَمْدُ،

Sidang Hadirin Hadirat Yang Dirahmati Allah,

Aidilfitri adalah perayaan ibadah. Perayaan yang disyariatkan oleh Allah SWT ke atas umat Nabi Muhammad SAW. Meraikannya adalah wajib dan dilarang berpuasa kepada sesiapa sahaja. Antara tuntutan dalam perayaan Aidilfitri adalah:

1. Bertakbir, bertahmid dan bertasbih dengan suara yang kuat di tempat terbuka mahupun di masjid dan surau bermula terbenam matahari hari akhir Ramadan sehingga solat sunat hari raya. Firman Allah SWT dalam Surah Al-Baqarah ayat 185:

... وَلِتُكْمِلُوا الْعِدَّةَ وَلِتُكَبِّرُوا اللَّهَ عَلَىٰ مَا هَدَاكُمْ وَلَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ ﴿١٨٥﴾

Bermaksud: “… Dan supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan) dan supaya kamu membesarkan Allah (bertakbir) kerana mendapat petunjuk-Nya dan supaya kamu bersyukur”.

2. Sunat mandi dan makan sedikit sebelum keluar menunaikan Solat Hari Raya.
3. Sunat mengerjakan Solat Sunat Hari Raya dan mendengar khutbahnya.
4. Sunat mengucapkan ucapan tahniah seperti تَقَبَّلَ اللهُ مِنَّا وَمِنْكُمْ

Manakala larangan pula antaranya:

1. Menghabiskan masa dengan perkara sia-sia seperti melampau melayani
gajet seperti telefon, tablet dan lain-lain.
2. Berhibur dengan melanggar batasan agama.
3. Berpakaian tidak menutup aurat atau mencolok mata.
4. Bergaul bebas antara lelaki dan wanita yang bukan mahram.
5. Membazir makanan dan minuman.

اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ وَلِلَّهِ الْحَمْدُ،

Sidang Jemaah Muslimin Muslimat Yang Dirahmati Allah,

Sempena meraikan hari raya ini, marilah sama-sama kita meningkatkan kasih sayang sesama Muslim serta menjauhi sengketa berpanjangan. Hayatilah sifat sebenar Muslim yang sentiasa berkasih sayang kerana Islam adalah agama kasih sayang. Firman Allah SWT dalam Surah Al-Hujurat ayat 10:

إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ إِخْوَةٌ فَأَصْلِحُوا بَيْنَ أَخَوَيْكُمْ ۚ وَاتَّقُوا اللَّهَ لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُونَ ﴿١٠﴾

Bermaksud: “Sebenarnya orang yang beriman itu bersaudara maka damaikanlah di antara dua saudara kamu itu; dan bertakwalah kepada Allah agar kamu beroleh rahmat”.

Firman Allah SWT dalam Surah Al-Anfal ayat 46:

وَأَطِيعُوا اللَّهَ وَرَسُولَهُ وَلَا تَنَازَعُوا فَتَفْشَلُوا وَتَذْهَبَ رِيحُكُمْ ۖ وَاصْبِرُوا ۚ إِنَّ اللَّهَ مَعَ الصَّابِرِينَ ﴿٤٦﴾

Bermaksud: “Dan taatlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya dan janganlah kamu berbantah-bantahan; kalau tidak nescaya kamu menjadi lemah semangat dan hilang kekuatan kamu dan sabarlah (menghadapi segala kesukaran dengan cekal hati); sesungguhnya Allah berserta orang yang sabar”.

Juga sabda Nabi-Nya SAW:

الرَّاحِمُونَ يَرْحَمُهُمْ الرَّحْمَنُ ارْحَمُوا مَنْ فِي الْأَرْضِ يَرْحَمْكُمْ مَنْ فِي السَّمَاءِ

Bermaksud: “Orang yang penyayang akan disayangi Allah Yang Maha Penyayang. Sayangilah siapa yang ada di atas muka bumi, nescaya kalian akan disayangi oleh siapa yang ada di langit”. [Hadith riwayat Imam At-Tirmidzi dari Abdullah bin ‘Amr dan dinilai hasan sahih oleh Imam At-Tirmidzi]

Untuk memotivasi sifat saling menyayangi sesama Muslim, selain dengan menjelaskan hak dan kewajiban di antara mereka, Nabi kita Muhammad SAW juga membuat sebuah perumpamaan yang sangat indah, tentang bagaimana seharusnya kaum Muslimin berkasih sayang di antara mereka. Sabda Rasulullah SAW:

مَثَلُ الْمُؤْمِنِينَ فِي تَوَادِّهِمْ وَتَرَاحُمِهِمْ وَتَعَاطُفِهِمْ مَثَلُ الْجَسَدِ إِذَا اشْتَكَى مِنْهُ عُضْوٌ تَدَاعَى لَهُ سَائِرُ الْجَسَدِ بِالسَّهَرِ وَالْحُمَّى

Bermaksud: "Perumpamaan orang Mukminin dalam cinta-mencintai dan sayang-menyayangi seperti satu tubuh. Jika salah satu anggota tubuhnya sakit, maka seluruh anggota tubuh yang lain juga turut merasa sakit". [Hadith riwayat Imam Al-Bukhari dan Imam Muslim daripada An-Nu’man bin Basyir]

Bahkan Islam juga menerangkan kasih sayang boleh menjadi pengantara jalan menuju syurga. Sabda Nabi SAW:

لَا تَدْخُلُونَ الْجَنَّةَ حَتَّى تُؤْمِنُوا وَلَا تُؤْمِنُوا حَتَّى تَحَابُّوا أَوَلَا أَدُلُّكُمْ عَلَى شَيْءٍ إِذَا فَعَلْتُمُوهُ تَحَابَبْتُمْ أَفْشُوا السَّلَامَ بَيْنَكُمْ

Bermaksud: “Kamu tidak akan masuk syurga hingga kamu beriman. Dan kamu tidak akan beriman hingga kamu saling mencintai. Mahukah kamu aku tunjukkan tentang sesuatu yang jika kamu praktikkan nescaya kamu akan saling mencintai? Sebarkanlah salam di antara kamu”. [Hadith riwayat Imam AlBukhari dari Abu Hurairah r.a.]

Namun, berkasih sayang sesama Muslim tidak pada perkara yang menyalahi syariat. Kasih sayang sesama Muslim juga, tidak membawa maksud membenci, memusuhi mahupun memerangi bukan Islam secara sembarangan. Islam menolak sikap melampau dalam apa sahaja tindakan mahupun pemikiran.

Firman Allah SWT dalam Surah Al-Maidah ayat 87:

... وَلَا تَعْتَدُوا ۚ إِنَّ اللَّهَ لَا يُحِبُّ الْمُعْتَدِينَ ﴿٨٧﴾

Bermaksud: “… Janganlah kamu melampaui batas, kerana Allah tidak menyukai orang yang melampaui batas”.

Perbuatan melampau seperti penganut agama lain yang membuat provokasi mestilah dihalang demi terus memelihara keharmonian pelbagai kaum dan pelbagai anutan agama dalam negara kita. Menghormati Islam sebagai Agama Persekutuan harus difahami oleh mereka agar tidak ada lagi cubaan mengadakan program-program seperti Sambutan 50 Tahun Jerusalem Jubilee 1967. Mereka juga harus menghentikan promosi hak asasi secara salah seperti LGBT, hak menukar agama secara bebas dan seumpamanya. Umat Islam sentiasa bersikap baik selagimana agama dan amalan kita tidak dihina. Kata Profesor Hamka di dalam novel Ghirah Dan Cemburu: ‘Jika diam saat agamamu dihina, gantikanlah bajumu dengan kain kafan’.  Firman Allah SWT dalam Surah Al-Mumtahanah ayat 8:

لَّا يَنْهَاكُمُ اللَّهُ عَنِ الَّذِينَ لَمْ يُقَاتِلُوكُمْ فِي الدِّينِ وَلَمْ يُخْرِجُوكُم مِّن دِيَارِكُمْ أَن تَبَرُّوهُمْ وَتُقْسِطُوا إِلَيْهِمْ ۚ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُقْسِطِينَ ﴿٨﴾

Bemaksud: “Allah tidak melarang kamu berbuat baik dan berlaku adil terhadap orang (kafir) yang tidak memerangimu dalam urusan agama dan tidak mengusir kamu dari kampung halaman. Sesungguhnya Allah mencintai orang yang berlaku adil”.

اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ وَلِلَّهِ الْحَمْدُ،

Muslimin Muslimat Yang Berbahagia,

Oleh itu, sempena hari yang berbahagia ini, marilah kita berkasih sayang menjalin persaudaraan demi mendapat redha Allah. Berkasih sayang demi mengembalikan kegemilangan Islam, berkasih sayang demi menjamin keharmonian dan keamanan negara kita khasnya, juga negara Islam seluruhnya.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بالقُرْآنِ العَظِيْمِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ، أَقُولُ قَوْلِي هَذَا وَأَسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ، فَاسْتَغْفِرُوْهُ، فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ.


Khutbah Kedua

الْحَمْدُ للهِ صَدَقَ وَعْدَهُ، وَنَصَرَ عَبْدَهُ، وَأَعَزَّ جُنْدَهُ، وَهَزَمَ الْأَحْزَابَ وَحْدَهُ. 
أَشْهَدُ اَنْ لاَ إِلَــهَ اِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لاَشَرِيْكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ اَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ. اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ عَبْدِكَ وَرَسُلِكَ سَيِّدِنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِينَ

أَمَّا بَعْدُ، فَيَا أَيُّهَا الْمُسْلِمُوْنَ! اِتَّقُوْا اللهَ وَأَطِيْعُوْهُ وَاعْلَمُواْ أَنَّ اللهَ يُحِبُّ الْمُتَّقِيْنَ. قَالَ اللهُ تَعَالَى:
وَأَعِدُّوا لَهُم مَّا اسْتَطَعْتُم مِّن قُوَّةٍ وَمِن رِّبَاطِ الْخَيْلِ تُرْهِبُونَ بِهِ عَدُوَّ اللَّهِ وَعَدُوَّكُمْ وَآخَرِينَ مِن دُونِهِمْ لَا تَعْلَمُونَهُمُ اللَّهُ يَعْلَمُهُمْ ۚ وَمَا تُنفِقُوا مِن شَيْءٍ فِي سَبِيلِ اللَّهِ يُوَفَّ إِلَيْكُمْ وَأَنتُمْ لَا تُظْلَمُونَ ﴿٦٠﴾

Bermaksud: "Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan dan dari pasukan-pasukan berkuda yang lengkap sedia untuk menggerunkan dengan persediaan itu, musuh Allah dan musuh kamu serta musuh-musuh yang lain dari mereka yang kamu tidak mengetahuinya; sedang Allah mengetahuinya dan apa sahaja yang kamu belanjakan pada jalan Allah akan disempurnakan balasannya kepada kamu dan kamu tidak akan dianiaya”. (Surah Al-Anfal Ayat 60)

Sidang Hadirin Dan Hadirat Yang Dirahmati Allah,

Seharusnya, kehangatan menyambut Aidilfitri tidak melalaikan kita untuk sama-sama bermuhasabah tentang hasil tarbiah Ramadan yang baru berlalu. Sekiranya kerja-kerja duniawi kita akan sentiasa tertanya-tanya hasilnya seperti pokok yang ditanam telah berbuah atau belum, perniagaan yang dijalankan dapat untung atau rugi, rumah yang dibina sudah siap atau terbengkalai. Begitulah juga dengan tarbiah Ramadan mesti kita tanya sama ada berjaya untuk melahirkan kita sebagai hamba Tuhan atau hanya setakat menjadi hamba Ramadan sahaja.

Teruskanlah amalan soleh, teruskanlah memohon semoga Allah menerima semua amalan yang kita lakukan sepanjang Ramadan dan teruskanlah memohon agar semua dosa kita terampun dengan janji rahmat Allah yang lebih luas pada Ramadan yang lalu.

Bangunkanlah kekuatan persaudaraan sesama Muslim agar Islam kembali kuat dan gemilang. Binalah budaya ilmu untuk mengembalikan ketamadunan Islam yang telah menjadi sejarah. Persediaan inilah yang lebih baik bagi kita menghadapi musuh yang berterusan cuba melemahkan Islam.

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ والْمُؤمِنَاتِ، وَأَصْلِحْ ذَاتَ بَيْنِهِمْ وَأَلِّفْ بَيْنَ قُلُوْبِهِمْ وَاجْعَلْ فِيْ قُلُوْبِهِمُ اْلإِيْمَانَ وَاْلحِكْمَةَ وَثَبِّتْهُمْ عَلَى مِلَّةِ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى اللهِ عَلَيهِ وَسَلَّمرَبَّنَا اغْفِرْ لَنَا وَلِإِخْوَانِنَا الَّذِينَ سَبَقُونَا بِالْإِيمَانِ وَلَا تَجْعَلْ فِي قُلُوبِنَا غِلًّا لِّلَّذِينَ آمَنُوا رَبَّنَا إِنَّكَ رَءُوفٌ رَّحِيمٌ. 
اللَّهُمَّ أَعِزَّ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ، اَللَّهُمَّ انْصُرِ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ، وَأَذِلَّ الشِّرْكَ وَاْلُمشْرِكِيْنَ، وَالنِّفَاقَ وَالْمُنَافِقِيْنَ، وَالْظُّلْمَ وَالظَّالِمِيْنَ، وَانْصُرْنَا عَلَى هَؤُلٓاءِ الَّذِيْنَ يُقَاتِلُوْنَنَا وَيَصُدُّنَنَـا عَنْ سَبِيْلِكَ.
اللَّهُمَّ إِنَّا نَجْعَلُكَ فِي نُحُوْرِأَعْدَائِنَا وَنَعُوْذُبِكَ مِنْ شُرُوْرِهِمْ، اللّهُمَّ بَدِّدْ شَمْلَهُمْ وَفَرِّقْ جَمْعَهُمْ وَشَتِّتْ كَلِمَتَهُمْ وَزَلْزِلْ أَقْدَامَهُمْ وَقِلَّ عَدَدَهُمْ وَسِلاحَهُمْ وَسَلِّطْ عَلَيْهِمْ كَلْبًا مِنْ كِلاِبكَ يَاقَهَّارُ يَاجَبَّارُ يَامُنْتَقِمُ، يا الله، يَا الله، يَا الله، يَا رَبَّ الْعَالَمِينَ، اللَّهُمَّ يَا مُنْزِلَ الكِتَابِ وَ يَا مُجْرِيَ السَّحَابِ وَ يَاهَازِمَ الأحْزَابِ اِهْزِمْهُمْ وَانْصُرْنَا عَلَيْهِمْ. اللَّهُمَّ انْصُرِ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ وَالْمُجَاهِدِيْنَ فِي بِلَادِنَا هَذَا وَفِي فَلَسْطِينِ وفِي سُوْرِيَا وَفِي قَطَرْ وَفِي يَمَنْ وَفِي مِيَنْمَرْ وَفِي كُلِّ مَكَانٍ.
اللَّهُمَّ أَصْلِحْ سُلْطَانَنَا السُّلْطَانُ نَزْرِين معزالدين شاه ابن المرحوم سلطان أزلن محب الدين شاه المغفورله وَكَذَلِكَ راج فرمايسوري فيراق دار الرضوان توانكو زَارَ سَالِم. كَمَا نَسْأَلُكَ اللَّهُمَّ أَنْ تُصْلِحَ أَئِمَّتَنَا وَوُلَاتَ أُمُوْرِنَا، وَاجْعَلْ وِلَايَتَنَا فِيْمَنْ خَافَكَ وَاتَّقَاكَ يَا رَبَّ الْعَالَمِيْنَ.
رَبَّنَا ءَاتنِاَ فِى الدُّنْياَ حَسَنَةً وَفِى الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ، وَصَلَّى الله عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِيْنَ، وَالْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِيْنَ.
عِبَادَ اللهِ، اِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِاْلعَدْلِ وَالأِحْسَانِ وَإِيْتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَاْلمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُوْنَ. فَاذْكُرُوْا اللهَ الْعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ وَاشْكُرُوْهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ وَلَذِكْرُاللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ. 

اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ وَلِلَّهِ الْحَمْدُ.


Teks asal khutbah ini boleh dimuat turun dari sini.

No comments:

Post a Comment

KULIAH SETIAP AHAD MINGGU KEDUA




Kempen Tiga B