Friday, June 23, 2017

KHUTBAH 'EIDUL FITRI TUAN GURU PRESIDEN PAS - 1438 / 2017


"WAJIB BERJUANG MENEGAKKAN HUKUM ALLAH"

Khutbah Pertama

اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ كَبِيْرًا.
وَالْحَمْدُ لِلَّهِ كَثِيرًا وَسُبْحَانَ اللهِ بُكْرَةً وَأَصِيلًا. نَحْمَدُهُ سُبْحَانَهُ وَتَعَالَى حَمْدًا يُوَافِي نِعَمَهُ وَيُكَافِئُ مَزِدَهُ. يَا رَبَّنَا لَكَ الْحَمْدُ كَمَا يَنْبَغِي لِجَلَالِ وَجْهِكَ وَعَظِيْمِ سُلْطَانِكَ.
أَشْهَدُ أَن لَّا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ. وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُ اللهُ وَرَسُولُهُ، الْبَدْرُ الدُّجَىٰ وَالسِّرَاجُ الْمُنِيرِ.
اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلَى سَيِّدِنَا وَحَبِيبِنَا مُحَمَّدٍ، نَبِيِّ ٱلرَّحْمَةِ الْمُهْدَاةِ وَالنِّعْمَةِ الْمُسْدَاةِ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ وَمَنْ تَبِعَهُۥ وَنَصَرَهُ وَوَالَاهُ.
أَمَّا بَعْدُ.
فَيَاعِبَادَ اللهِ، اِتَّقُوْا اللهَ، وَتَزَوَّدُوا فَإِنَّ خَيْرَ الزَّادِ التَّقْوَى. فَاتَّقُواْ اللهَ يَا أُولِي الْأَلْبَابِ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُوْنَ. 

Wahai hamba-hamba Allah! Bertaqwalah kepada Allah dengan mengikut segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya dan carilah bekalan, maka sesungguhnya sebaik-baik bekalan itu adalah bertaqwa kepada Allah. Maka bertaqwalah kepada Allah wahai mereka yang mempunyai akal fikiran supaya kamu berjaya di dunia dan di akhirat.

Muslimin dan muslimat yang dikasihi!

Alhamdulillah, bersyukur kepada Allah kerana dapat bersama sebulan Ramadhan menjadi tetamu Allah, dihidangkan makanan jasad, akal dan roh, membina diri menjadi beriman yang sempurna dan bertaqwa.

Hari ini kita menyambut hari raya kerana sudah menunaikan ibadah puasa, salah satu daripada rukun Islam. Yang terpentingnya adakah kita telah mencapai tujuan berpuasa yang telah ditetapkan oleh Allah dengan firman-Nya:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِن قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ ﴿١٨٣﴾ [سورة البقرة : ١٨٣]

(Maksudnya): Wahai orang-orang yang beriman! Telah diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.

Al-Quran telah menafsir sifat-sifat orang yang bertaqwa dalam Ayat-Ayat yang banyak. Di antaranya firman Allah:

الٓمٓ ﴿١﴾ ذَ‌ٰلِكَ الْكِتَابُ لَا رَيْبَ ۛ فِيهِ ۛ هُدًى لِّلْمُتَّقِينَ ﴿٢﴾ [سورة البقرة : ٢ - ١]

(Maksudnya): Alif, Lam, Mim. Kitab (Al-Quran) ini tidak ada syak lagi menjadi petunjuk kepada orang-orang yang bertaqwa.

Kitab Al-Quran inilah menjadi petunjuk ke jalan yang betul yang diminta dalam bacaan Al-Fatihah yang menjadi rukun semua sembahyang, sama ada yang wajib atau sunat, termasuk sembahyang jenazah yang tidak ada ruku' dan sujud. Inilah dia tujuan doa daripada surah Al-Fatihah itu:

اهْدِنَا الصِّرَاطَ الْمُسْتَقِيمَ ﴿٦﴾ [سورة الفاتحة : ٦]

(Maksudnya): Tunjukkanlah kepada kami jalan yang betul.

Jalan yang betul itu berada bersama dengan Al-Quran mengikut cara yang diajar dan ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w yang dipilih Allah kepada seluruh manusia. Perkara ini hanyalah diterima dan diamalkan oleh orang-orang yang bertaqwa sahaja. Mereka yang menjadikan Al-Quran itu petunjuk kepada semua perkara dalam urusan kehidupannya, sama ada perkara ibadat berhubung dengan Allah dan juga urusan yang berhubung kehidupan di dunia semuanya. Tidaklah menjadikan Al-Quran itu petunjuk dalam sebahagian urusannya sahaja atau memilih sebahagian dan menolak sebahagian, adalah orang yang tidak cukup sempurna sifat taqwanya.

Allah telah memberi amaran yang sangat keras kepada kaum Bani Israil yang tidak menerima semua perkara daripadakitab Allah supaya menjadi pengajaran kepada kita semua, iaitu firman Allah:

... أَفَتُؤْمِنُونَ بِبَعْضِ الْكِتَابِ وَتَكْفُرُونَ بِبَعْضٍ ۚ فَمَا جَزَاءُ مَن يَفْعَلُ ذَ‌ٰلِكَ مِنكُمْ إِلَّا خِزْيٌ فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا ۖ وَيَوْمَ الْقِيَامَةِ يُرَدُّونَ إِلَىٰ أَشَدِّ الْعَذَابِ ۗ وَمَا اللَّهُ بِغَافِلٍ عَمَّا تَعْمَلُونَ ﴿٨٥﴾ أُولَـٰئِكَ الَّذِينَ اشْتَرَوُا الْحَيَاةَ الدُّنْيَا بِالْآخِرَةِ ۖ فَلَا يُخَفَّفُ عَنْهُمُ الْعَذَابُ وَلَا هُمْ يُنصَرُونَ ﴿٨٦﴾ [سورة البقرة : ٨٦ - ٨٥]

(Maksudnya): Adakah kamu beriman (percaya) kepada sebahagian daripada kitab dan kamu kufur (tidak percaya) kepada sebahagian yang lain, maka tidak ada balasan bagi mereka berbuat begitu melainkan kekecewaan hidup di dunia dan pada hari akhirat nanti dimasukkan ke dalam azab yang sangat menyakitkan (di dalam neraka) dan Allah tidak lalai daripada apa yang telah kamu lakukan. Mereka itu ialah orang-orang yang membeli kehidupan dunia sahaja dengan membayar (meninggalkan bekalan) kehidupan di hari akhirat. Maka tidaklah diringankan daripada mereka azab (neraka dan azab di dunia) dan Allah tidak memberi pertolongan kepada mereka.

Muslimin muslimat yang dirahmati Allah!

Hari ini kita sedang berusaha supaya hukum Allah yang ada di dalam Al-Quran yang diajar oleh Rasulullah s.a.w supaya diamalkan semula sehingga sepenuhnya kerana telah dibuang oleh penjajah yang telah menjatuhkan kerajaan Islam di tanah air kita ini. Walaupun kita telah berjaya meletakkan di dalam perlembagaan melalui rundingan bahawa Islam adalah agama bagi negara, tetapi di dalam perlembagaan itu juga masih ada halangan-halangan yang menyekat kuasa hukum Islam. Di antaranya ialah perkara yang disebut Akta 355 daripada perlembagaan negara yang menjadikan mahkamah syariah bagi orang-orang Islam disekat kuasanya.

Melalui perbincangan oleh mereka yang sedar dan insaf, sekarang kita telah berjaya membuat persetujuan meminda perkara (355) ini bagi memecahkan halangan. Tetapi masih ada orang-orang yang mempertahankan warisan penjajah ini daripada orang-orang yang bukan Islam yang tidak mengenang jasa kita memberi hak kerakyatan bersama kita, dan hak kebebasan mengikut agama mereka, sepatutnya mereka tidak mencampuri urusan agama Islam dan ada juga di kalangan orang-orang yang mengaku Islam bersama mereka kerana semata-mata untuk mendapat sokongan kemenangan di dunia sehingga meninggalkan ajaran agamanya.

Rang undang-undang 355 hanyalah sekadar memperkenalkan mahkamah syariah dengan cara Islam yang berbeza dengan yang lain kerana menunjukkan cara yang lebih baik dan adil dan hanyalah memperkenalkan sedikit hukuman Islam mengikut Al-Quran dan hadits yang tidak menyiksa, tetapi mendidik penjenayah supaya sedar dan insaf dan menyedarkan masyarakat supaya berakhlak mulia, belum lagi sampai kepada hukuman yang berat juga berbeza dengan undang-undang manusia. Hanyalah sekadar menunjukkan cara mahkamah syariah dan undang-undang yang ringan mereka menentang juga. Ini menunjukkan sebenarnya mereka sengaja mahu bermusuh terhadap umat Islam.

Ini adalah ujian Allah kepada orang Islam di negara kita ini, sejauh manakah kepercayaan kita kepada syariat Islam. Ingatlah firman Allah di dalam Al-Quran:

وَأَنِ احْكُم بَيْنَهُم بِمَا أَنزَلَ اللَّهُ وَلَا تَتَّبِعْ أَهْوَاءَهُمْ وَاحْذَرْهُمْ أَن يَفْتِنُوكَ عَن بَعْضِ مَا أَنزَلَ اللَّهُ إِلَيْكَ ۖ فَإِن تَوَلَّوْا فَاعْلَمْ أَنَّمَا يُرِيدُ اللَّهُ أَن يُصِيبَهُم بِبَعْضِ ذُنُوبِهِمْ ۗ وَإِنَّ كَثِيرًا مِّنَ النَّاسِ لَفَاسِقُونَ ﴿٤٩﴾ أَفَحُكْمَ الْجَاهِلِيَّةِ يَبْغُونَ ۚ وَمَنْ أَحْسَنُ مِنَ اللَّهِ حُكْمًا لِّقَوْمٍ يُوقِنُونَ ﴿٥٠﴾ [سورة المائدة : ٥٠ - ٤٩]

(Maksudnya): Dan hendaklah kamu berhukum di kalangan kamu dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah, dan jangan sekali-kali kamu mengikut segala kemahuan hawa nafsu mereka, dan berwaspadalah kamu daripada tipu daya mereka supaya kamu meninggalkan sebahagian daripada apa-apa yang telah diturunkan oleh Allah kepada kamu, maka jika sekiranya mereka berpaling, maka ketahuilah bahawa Allah hendak mengenakan kepada mereka sebahagian daripada dosa-dosa mereka. Dan sesungguhnya ramai kalangan manusia itu menjadi orang-orang yang fasik. Adakah mereka mahukan hukuman jahiliyyah, padahal siapakah yang lebih baik hukumannya daripada Allah dari segi hukumnya kepada orang-orang yang yakin (percaya).

Muslimin muslimat yang dirahmati Allah!

Umat Islam wajib bersatu dengan tali Allah iaitu agama Islam dengan berpegang kepada ajarannya, meninggikannya. Lupakan perbalahan sesama sendiri dalam perkara cabang.

Mengadakan mahkamah syariah adalah perintah Al-Quran dan ajaran Rasulullah s.a.w. Mahkamah syariah sudah ada pada namanya sahaja, tetapi kuasanya berhukum dengan syariat Allah disekat dan dihalang oleh penjajah Inggeris dahulu. Maka wajib kepada kita semua bersatu membuang segala sekatan itu dan haram bersama mereka yang menentang dan menghalang usaha ini. Melaksanakan hukum Allah juga menjadi sebahagian daripada iman dan amal soleh yang wajib kerana termasuk dalam perkara amar ma'aruf dan nahi mungkar yang disebut oleh Allah menjadi syarat mendapat rahmat-Nya. Firman Allah:

وَالْمُؤْمِنُونَ وَالْمُؤْمِنَاتُ بَعْضُهُمْ أَوْلِيَاءُ بَعْضٍ ۚ يَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ وَيُقِيمُونَ الصَّلَاةَ وَيُؤْتُونَ الزَّكَاةَ وَيُطِيعُونَ اللَّهَ وَرَسُولَهُ ۚ أُولَـٰئِكَ سَيَرْحَمُهُمُ اللَّهُ ۗ إِنَّ اللَّهَ عَزِيزٌ حَكِيمٌ ﴿٧١﴾ [سورة التوبة : ٧١]

(Maksudnya): Dan orang-orang beriman lelaki dan perempuan hendaklah bertolong menolong bersama-sama menyuruh kepada yang baik dan mencegah kemungkaran, mendirikan sembahyang, menunaikan zakat dan mentaati Allah dan Rasul-Nya, mereka itulah orang-orang yang mendapat rahmat Allah dan sesungguhnya Allah itu Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.

Muslimin muslimat yang dirahmati Allah!

Bulan Ramadhan, Allah telah mendidik kita dengan ibadah puasa dengan meninggalkan makan minum dan kemahuan nafsu yang dihalalkan di waktu siang hari pada bulan-bulan yang lain. Tujuannya supaya kita sedar betapa kehidupan kita menjadi manusia dengan adanya akal fikiran mencari ilmu dan pengalaman hidup dan rezeki harta dan kemudahan adalah pemberian Allah, kita adalah hamba-hamba-Nya, maka hendaklah memperhambakan diri kepada-Nya menandakan kesyukuran kepada-Nya. Firman Allah:

يَا أَيُّهَا النَّاسُ اعْبُدُوا رَبَّكُمُ الَّذِي خَلَقَكُمْ وَالَّذِينَ مِن قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ ﴿٢١﴾ الَّذِي جَعَلَ لَكُمُ الْأَرْضَ فِرَاشًا وَالسَّمَاءَ بِنَاءً وَأَنزَلَ مِنَ السَّمَاءِ مَاءً فَأَخْرَجَ بِهِ مِنَ الثَّمَرَاتِ رِزْقًا لَّكُمْ ۖ فَلَا تَجْعَلُوا لِلَّهِ أَندَادًا وَأَنتُمْ تَعْلَمُونَ ﴿٢٢﴾ [سورة البقرة : ٢٢ - ٢١]

(Maksudnya): Wahai manusia, sembahlah (perhambakan diri kamu) kepada Tuhan yang telah menjadikan kamu dan orang-orang yang lebih dahulu daripada kamu supaya kamu bertaqwa. Dialah yang telah menjadikan bumi untuk kamu seperti hamparan yang tetap dan menjadikan langit seperti binaan, lalu Dia menurunkan daripada langit itu air hujan, maka keluar daripadanya buah-buahan yang menjadi rezeki kepada kamu. Maka janganlah kamu jadikan bersama Allah itu sekutu-sekutu yang sama seperti-Nya dalam keadaan kamu mengetahuinya.

 Muslimin muslimat yang dikasihi!

Di antara ibadah yang melatih atau mengajar supaya bertaqwa adalah ibadah puasa sehingga melawan kemahuan hawa nafsu yang menjadi rukun hidup di atas dunia kerana perintah Allah. Adalah menjadi hikmah yang besar pula Allah menurunkan Al-Quran di bulan Ramadhan, jangan sekali-kali kita menyekutukan Allah pada petunjuk-Nya di dalam Al-Quran kerana diharamkan juga seperti menyekutukan-Nya pada ibadah sembahyang, puasa, haji dan lain-lain.

Allah juga telah mentakdirkan berlakunya peperangan Badar Kubra di bulan Ramadhan, apabila Rasulullah s.a.w dan para sahabatnya radhiAllahu 'anhum terpaksa menghadapi musuh Islam yang memeranginya di bulan Ramadhan. Allah juga memilih bulan Ramadhan Makkah Al-Mukarramah dibebaskan daripada musuh Islam yang dinamakan Fathu Makkah. Ini menunjukkan betapa wajibnya kita berjuang menegakkan hukum Allah.

Di hari yang mulia ini juga kita bertakbir memuliakan Allah dan mengulangi peristiwa Ahzab dengan menyebut:

وَهَزَمَ الْأَحْزَابَ وَحْدَهُ

(Maksudnya): Dan Allah membinasakan kumpulan Ahzab dalam keadaan-Nya Maha Esa.

Allah yang Maha Esa telah mengalahkan barisan pakatan kumpulan kafir musyrikin, golongan ahli kitab (yahudi) dan orang-orang munafik yang berjuang menghalang Islam itu supaya ditinggikan dan berusaha menghapuskan Islam dengan berbagai tipu daya. Ia mengingatkan kita pada hari ini juga adanya kumpulan Ahzab campuran musyrikin, ahli kitab dan orang-orang munafik yang mengaku Islam.

Tindakan Rasulullah s.a.w memilih cara maaf dan damai menyebabkan akhirnya mereka yang bermusuh itu menerima Islam. Inilah petunjuk Allah di dalam Al-Quran:

ادْعُ إِلَىٰ سَبِيلِ رَبِّكَ بِالْحِكْمَةِ وَالْمَوْعِظَةِ الْحَسَنَةِ ۖ وَجَادِلْهُم بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ ۚ إِنَّ رَبَّكَ هُوَ أَعْلَمُ بِمَن ضَلَّ عَن سَبِيلِهِ ۖ وَهُوَ أَعْلَمُ بِالْمُهْتَدِينَ ﴿١٢٥﴾ [سورة النحل : ١٢٥]

(Maksudnya): Berdakwahlah (serukan) kepada jalan Tuhanmu (Islam) dengan kebijaksanaan dan nasihat yang baik, dan berhujjah dengan mereka dengan cara yang terbaik. Sesungguhnya Tuhan kamu lebih mengetahui sesiapa yang terus sesat daripada jalan-Nya dan Dia juga lebih mengetahui orang-orang yang mendapat hidayah-Nya.

Muslimin muslimat yang dirahmati Allah!

Marilah kita menyambut hari raya setelah ibadah puasa dengan semangat yang kuat bertaqwa kepada Allah, dengan bukti percaya semua petunjuk Al-Quran dan bersatu menentang semua pihak yang menentang atau bermusuh dengan usaha menegakkan hukum Islam, yang terkini adalah rang undang-undang 355 yang menjadi pembuka pintu kepada semua negeri bagi kembali kepada hukum Islam mengikut kemampuan masing-masing. Lupakan segala perbalahan kita dengan menghadapi musuh yang sebenar, kerana yang menjadi musuh kita adalah yang menentang Islam secara terbuka atau bersembunyi dengan berbagai tipu dan fitnah.

أَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
إِنَّا أَنزَلْنَا إِلَيْكَ الْكِتَابَ بِالْحَقِّ لِتَحْكُمَ بَيْنَ النَّاسِ بِمَا أَرَاكَ اللَّهُ ۚ وَلَا تَكُن لِّلْخَائِنِينَ خَصِيمًا ﴿١٠٥﴾ [سورة النساء : ١٠٥]

(Maksudnya): Sesungguhnya Kami telah turunkan kepadamu kitab (Al-Quran) supaya kamu menghukum manusia dengan apa yang telah dinyatakan oleh Allah, dan janganlah kamu menjadi pembela kepada orang-orang yang khianat.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي الْكِتَابِ وَالسُنَّةِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِالآيَاتِ وَالْحِكْمَةِ، أَقُولُ قَوْلِى هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ.


Khutbah Kedua

اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ وَلِلَّهِ الْحَمْدُ. أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا  عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ، اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ وَمَنْ تَبِعَهُ وَنَصَرَهُ وَوَلَاهُ. أَمَّا بَعْدُ، 
فَيَاعِبَادَ الله، اُوْصِيْكُمْ وَاِيّايَ بِتَقْوَى اللهِ فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَوَتَزَوَّدُوا فَإِنَّ خَيْرَ الزَّادِ التَّقْوَى.

Muslimin dan Muslimat sekalian!

Marilah pada Hari Raya ini kita merasakan betapa besarnya nikmat Iman dan Islam yang dikurniakan kepada kita oleh Allah s.a.w. Dan hanya kematian di dalam Iman dan Islam sahaja yang diredhai oleh Allah sebagaimana firman-Nya:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنتُم مُّسْلِمُونَ ﴿١٠٢﴾ [سورة آل عمران : ١٠٢]   

Maksudnya: "Wahai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa dan janganlah kamu mati melainkan kamu di dalam keadaan beragama Islam." 

Pada hari ini juga hendaklah kita ingat betapa besarnya nikmat persaudaraan Islam yang dianjurkan di dalam Islam. Tanda iman seseorang ialah dia kasih kepada saudara seagama dengannya sebagaimana dia kasih kepada dirinya sendiri. Sabda Rasulullah s.a.w :

لَا يُؤْمِنُ أَحَدُكُمْ حَتَّى يُحِبَّ لِأَخِيْهِ مَا يُحِبُّ لِنَفْسِهِ

(Maksudnya): "Tidak beriman seseorang kamu sehingga dia kasih kepada saudaranya sebagaimana kasihnya kepada dirinya sendiri."

Sehubungan itu hendaklah lahir di dalam hati setiap orang Islam perasaan sedih terhadap bala bencana dan kesusahan yang menimpa umat Islam di serata dunia. Samada mereka yang ditimpa gempa bumi, dilanda peperangan, kemiskinan dan kebuluran di negara-negara Afrika, dan umat Islam yang sedang dijajah, dizalimi dan dibunuh serta ditindas seperti yang sedang berlaku di Palestin, Mesir, Syria, Iraq, Selatan Thailand, Rohinghya dan sebagainya.

Jika tidak mampu membantu mereka dengan wang ringgit dan tenaga, sekurang-kurangnya melalui doa san munajat kepada Allah supaya Allah memberi pertolongan kepada mereka dan membebaskan mereka daripada penderitaan dan kezaliman manusia yang dihadapi mereka.

Muslimin dan Muslimat sekalian!

Pada hari yang mulia dan penuh barakah ini marilah kita membanyakkan ucapan selawat dan salam ke atas Nabi Muhammad s.a.w yang telah menyampaikan Islam kepada kita setelah melalui berbagai bentuk jihad dan pengorbanan. Tanda kasih kita kepada baginda dirakamkan melalui ucapan selawat dan salam sebagai mematuhi perintah Allah di dalam Al-Quran:

إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ ۚ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا ﴿٥٦﴾ [سورة الأحزاب : ٥٦]

(Maksudnya): "Sesungguhnya Allah dan para Malaikat-Nya sentiasa berselawat ke atas Nabi, maka wahai yang orang-orang beriman ucapkan selawat dan salam ke atasnya dengan sesungguh-sungguhnya." 

اللَّهُمَّ صَلِّى عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ ، كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيمَ ، وَبَارِكْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ ، كَمَا بَارَكْتَ عَلَى سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيمَ ، فِي الْعَالَمِيْنَ إِنَّكَ حَمِيْدٌ مَجِيْدٌ. اَللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُؤْمِنِيْنَ والْمُؤمِنَاتِ ، وَ الْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ الْأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالْأَمْوَاتِ. رَبَّنَا اغْفِرْ لَنَا ذُنُوْبَنَا وَذُنُوْبَ وَالِدِيْنَا وَارْحمْهُمْ كَمَا رَبَّوْنَا صِغَرًا. رَبَّنَا اغْفِرْ لَنَا وَلِإِخْوَانِنَا الَّذِينَ سَبَقُونَا بِالْإِيمَانِ وَلَا تَجْعَلْ فِي قُلُوبِنَا غِلًّا لِّلَّذِينَ آمَنُوا رَبَّنَا إِنَّكَ رَءُوفٌ رَّحِيمٌ.
اَللَّهُمَّ أَعِزَّ الْإِسْلاَمَ وَالْمُسْلِمِيْنَ ، وَأَذِلَّ الشِّرْكَ وَالْمُشْرِكِيْنَ ، وَالنِّفَاقَ وَالْمُنَافِقِيْنَ وَالظُّلْمَ وَالظَّالِمِيْنَ. اللهم إِنَّا نَجْعَلُكَ فِي أَعْدَآئِنَا وَنَعُوْذُ بِكَ مِنْ شُرُوْرِهِمْ ، اللهم رُدَّ كَيْدَهُمْ فِي نُحُوْرِهِمْ. اَللَّهُمَّ بَدِّدْ شَمْلَهُمْ وَفَرِّقْ جَمْعَهُمْ ، وَزَلْزِلْ أَقْدَامَهُمْ ، وَسَلِّطْ عَلَيْهِمْ كَلْبًا مِنْ كِلاَبِكَ.
اللهم انْصُرْ إِخْوِنَنَا الْمُجَاهِدِيْنَ وَالْمُسْتَضْعَفِينَ فِى فَلَسْطِيْنَ ، وَفِى غَزَّةِ ، وَفِى سُورِيَا ، وَفِى الْعِرَاقِ ، وَفِى كَشْمِيْر ، وَفِى جَنُوْبِ تَايْلَنْد ، وَفِى كُلِّ مَكَانٍ. اللهم قَوِّ عَزَائِمَهُمْ ، وَاجْمَعْ كَلِمَتَهُمْ ، وَثَبِّتْ أَقْدَاهُمْ ، وَانْصُرْهُمْ عَلَى أَعْدِائِهِمْ.
اللهم أَتِ أَنْفُسَنَا تَقْوَاهَا ، وَزَكِّهَا أَنْتَ خَيْرُ مَنْ زَكَّاهَا ، أَنْتَ وَلِيُّهَا وَمَوْلَاهَا. اللهم أَرِنَا الْحَقَّ حَقًّا وَارْزُقْنَا اتِّبَاعَهُ ، وَأَرِنَا الْبَاطِلَ بَاطِلاً وَارْزُقْنَا اجْتِنَابَهُ.
اَللَّهُمَّ وَفِّقْ سُلطان نزرين مُعِزُّالدِّين شاه ابن المرحوم سلطان أزلن مُحِبُّ الدِّين شاه اَلْمَغْفُور لَهُ بِمَا تُحِبُّ وَتَرْضَاهُ.
اللهم أَصْلِحْ سُلْطَانَنَا ، وَأَئِمَّتَنَا وَوُلاَةَ أُمُوْرِنَا ، وَاجْعَلْ وِلاَيَتِنَا فِى مَنْ خَافَكَ وَاتَّقَاكَ يَا رَبَّ الْعَالَمِيْنَ. رَبَّنَا ظَلَمْنَا أَنفُسَنَا وَإِن لَّمْ تَغْفِرْ لَنَا وَتَرْحَمْنَا لَنَكُونَنَّ مِنَ الْخَاسِرِينَ. رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا. رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ. وَصَلَّ اللهُ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ وَسَلَّمْ. وَالْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِيْنَ.
اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ، وَلِلَّهِ الْحَمدِ.


Teks asal khutbah ini boleh juga dimuat turun dari sini.

No comments:

Post a Comment