bersama kepimpinan ulamak




Sedang Berlangsung Sekarang




Ucapan Eidul Fitri 1438 Dari Dewan Ulamak PAS Negeri Perak




Ucapan Eidul Fitri 1438 Dari Dewan Ulamak PAS Negeri Perak




Friday, May 26, 2017

KHUTBAH JUMAAT - 29 SYA'ABAN 1438 / 26 MEI 2017


RAMADHAN YANG DINANTI

Khutbah Pertama

الْحَمْدُ لِلَّهِ الْقَائِلِ:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِن قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ ﴿١٨٣﴾
أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلا اللهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ. 
اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَرِكْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ خَاتَمِ الْأَنْبِيَاءِ وَالْمُرْسَالِينَ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِينَ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله! اِتَّقُوْا الله اُوْصِيْكُمْ وَاِيـَّايَ بِتَقْوَى الله وَطَاعَتِهِ لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُوْنَ. 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Saya menyeru kepada diri saya sendiri dan kepada sidang Jumaat sekalian, marilah sama-sama kita perbaiki diri dengan meningkatkan ketaqwaan kepada Allah s.w.t yakni dengan melakukan segala titah perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Sebelum meneruskan khutbah, saya ingin berpesan kepada sidang jamaah sekalian agar menumpukan perhatian dan jangan bercakap-cakap sewaktu khutbah disampaikan. Mudah-mudahan kita akan beroleh manfaat untuk kebaikan di dunia dan di akhirat.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Kini kita berada di akhir bulan Syaaban. InshaAllah, esok kita akan menyambut bulan Ramadhan. Detik akhir Syaaban adalah proses pecutan terakhir menghadapi bulan Ramadhan. Bulan yang mulia ini merupakan peluang kita untuk mendekatkan diri kepada Allah s.w.t dan juga sebagai ruang yang besar untuk kita memohon maghfirah yang diluaskan oleh Allah s.w.t ketika Ramadhan. Rasulullah s.a.w telah mengajar umatnya untuk menantikan kehadiran bulan Ramadhan dan mengharapkan ketibaannya dengan penuh kegembiraan. Nabi s.a.w seringkali mengulang-ulang mengkhabarkan kelebihan Ramadhan dan peluang yang disediakan oleh Allah s.w.t kepada para sahabat. Sabda Rasulullah s.a.w:

إِذَا دَخَلَ رَمَضَانُ فُتِّحَتْ أَبْوَابُ الْجَنَّةِ وَغُلِّقَتْ أَبْوَابُ جَهَنَّمَ وَسُلْسِلَتْ الشَّيَاطِينُ

Bermaksud: "Apabila masuknya bulan Ramadhan, terbukalah pintu-pintu syurga, tertutuplah pintu-pintu neraka dam dibelenggu syaitan-syaitan". (Hadits riwayat Imam Al-Bukhari)

Begitu juga, Rasulullah s.a.w memberi galakan kepada para sahabat untuk menanti dan mengharapkan kehadiran Ramadhan. Baginda menyebut-nyebut kelebihan bulan Ramadhan yang menimbulkan kerinduan para sahabat terhadap bulan yang mulia ini.

Rasulullah s.a.w pernah bersabda:

إِنَّ فِي الْجَنَّةِ بَابًا يُقَالُ لَهُ الرَّيَّانُ يَدْخُلُ مِنْهُ الصَّائِمُونَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ لَا يَدْخُلُ مِنْهُ أَحَدٌ غَيْرُهُمْ يُقَالُ أَيْنَ الصَّائِمُونَ فَيَقُومُونَ لَا يَدْخُلُ مِنْهُ أَحَدٌ غَيْرُهُمْ فَإِذَا دَخَلُوا أُغْلِقَ فَلَمْ يَدْخُلْ مِنْهُ أَحَدٌ

Bermaksud: "Di dalam syurga mempunyai sebuah pintu yang digelarkan Ar-Raiyyan. Orang yang berpuasa akan memasuki syurga melaluinya pada hari kiamat. Tidak akan masuk ke dalamnya seorang pun melainkan mereka sahaja. Dipanggil: Siapakah orang yang berpuasa? Lalu orang yang berpuasa pun bangun. Tidak ada yang memasuki syurga melaluinya selain dari mereka. Apabila mereka semua telah masuk, ia ditutup. Maka tidak ada lagi yang akan masuk melaluinya walaupun seorang". (Hadits riwayat Imam Al-Bukhari)

Sidang Jumaat yang berbahagia,

Berdasarkan kepada Ayat-Ayat Al-Quran dan Hadits Rasulullah s.a.w menunjukkan bahawa bulan Ramadhan mempunyai banyak kelebihan berbanding dengan bulan-bulan yang lain, antaranya kerana difardhu padanya ibadah puasa. Firman Allah s.w.t di dalam Surah Al-Baqarah Ayat 183:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِن قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ ﴿١٨٣﴾

Bermaksud: "Wahai orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang yang terdahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa".

Persoalan besar timbul di sini bagaimanakah caranya untuk kita menyambut kedatangan bulan yang mulia ini dan melakukan ibadah puasa? Mimbar yang mulia ini ingin menyatakan bahawa sebenarnya terlalu banyak persediaan yang patut kita lakukan menjelang Ramadhan. Antaranya ialah:

Pertama: Memantapkan ilmu agama terutama berkaitan ibadah puasa. Ibadah tanpa ilmu adalah sia-sia. Ramai orang yang berpuasa tanpa ilmu yang mencukupi, dibimbangi ibadah yang diharapkan mendapat pahala sebaliknya hanya mendapat lapar dan dahaga semata-mata. Menjelang Ramadhan, kita diseru meluangkan masa menuntut ilmu agama. Perkara yang perlu diberi keutamaan ialah berkaitan dengan ibadah puasa seperti rukun, syarat sah, perkara yang membatalkan puasa, adab dan juga akhlak orang berpuasa. Hal ini begitu penting untuk mendapat kesempurnaan ibadah puasa.

Kedua: Memperbanyakkan taubat dan memohon keampunan. Manusia yang bergelumang dengan dosa pasti menghadapi kesukaran untuk melaksanakan ibadah. Memohon keampunan Allah s.w.t dengan penuh keikhlasan dan pengharapan agar dikurniakan kekuatan untuk melaksanakan ibadah dalam bulan Ramadhan sama ada yang wajib mahupun yang sunat dengan lebih konsisten. Firman Allah s.w.t dalam Surah 'Ali-Imran Ayat 133:

۞ وَسَارِعُوا إِلَىٰ مَغْفِرَةٍ مِّن رَّبِّكُمْ وَجَنَّةٍ عَرْضُهَا السَّمَاوَاتُ وَالْأَرْضُ أُعِدَّتْ لِلْمُتَّقِينَ ﴿١٣٣﴾

Bermaksud: "Dan bersegeralah kamu kepada keampunan dari Tuhan kamu dan syurga yang luasnya seluas segala langit dan bumi disediakan bagi orang yang bertaqwa".

Fahamilah konsep taubat yang sebenar. Antara syarat taubat yang digariskan Imam Al-Ghazali adalah bersungguh-sungguh meninggalkan perbuatan dosa, kembalikan hak kepada yang sepatutnya. Allah s.w.t tidak menerima taubat hamba yang mengambil hak orang lain sehingga dikembalikan.

Ketiga: Menjaga dan memelihara kesihatan mental dan fizikal. Kesihatan tubuh badan yang baik membuahkan kesempurnaan ibadah puasa. Kecerdasan akal dan kecergasan anggota badan diperlukan kerana ibadah pada bulan Ramadhan kebiasaannnya dilalui dengan kesukaran dan kepayahan. Puasa memerlukan kita menahan lapar dan dahaga sekitar 13 ke 14 jam. Manakala solat malam (tarawih dan lain-lain) memerlukan kita berdiri pada tempoh yang panjang.

Namun, jangan dilupakan bahawa menjaga kesihatan berkait rapat dengan memelihara kebersihan. Kerap kali kita mendengar penyakit yang merebak akibat persekitaran yang kotor. Utamakan kebersihan, kata-kata hukamak, "الْعَقْلُ السِّلِيْمُ فِي الْجِسْمِ السِّلِيْمِ" bermaksud: "Akal Yang Cerdas Terletak Pada Badan Yang Cergas".

Keempat: Banyakkan berdoa agar dipanjangkan usia sehingga bertemu dan mendapat kelebihan Ramadhan. Para salafussoleh sentiasa berdoa selama enam bulan sebelum ketibaan bulan Ramadhan untuk menyatakan kerinduan mereka terhadap Ramadhan. Antara doa mereka adalah:

اللَّهُمَّ بَلِّغْنَا رَمَضَانَ وَبَارِكْ لَنَ فِيْهِ

Bermaksud: "Ya Allah, pertemukanlah kami dengan Ramadhan dan berkatilah kami di dalam bulan Ramadhan".

Kelima: Memperbanyak menyebut hal berkaitan kelebihan dan kemuliaan Ramadhan sebagai rangsangan dan semangat. Manusia secara fitrahnya memerlukan peringatan dan motivasi untuk berlumba-lumba mengerjakan sesuatu. Oleh itu, memperbanyak menyebut kelebihan Ramadhan dapat meningkatkan semangat kita untuk bersungguh-sungguh melaksanakan ibadah dalam bulan ramadhan. Antara kemurahan Allah s.w.t dalam bulan Ramadhan adalah keampunan dan penghapusan daripada dosa. Sabda Rasulullah s.a.w:

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يَقُولُ الصَّلَوَاتُ الْخَمْسُ وَالْجُمْعَةُ إِلَى الْجُمْعَةِ وَرَمَضَانُ إِلَى رَمَضَانَ مُكَفِّرَاتٌ مَا بَيْنَهُنَّ إِذَا اجْتَنَبَ الْكَبَائِرَ

Bermaksud: "Daripada Abu Hurairah r.a, Rasulullah s.a.w bersabda: Solat lima waktu, Jumaat hingga Jumaat dan Ramadhan hingga Ramadhan adalah penghapus dosa antara keduanya selagi mana menjauhi dosa-dosa besar". (Hadits riwayat Imam Muslim)

Percayalah bahawa kita adalah makhluk ciptaan Allah yang tidak dapat lari daripada melakukan kesalahan sama ada dosa besar atau kecil. Sebagai makhluk ciptaan-Nya, maka Allah s.w.t Maha Mengetahui cara dan kaedah yang sesuai untuk mengampuni dan mempertingkatkan iman manusia. Selari dengan kelemahan makhluk itu, maka Allah menawarkan kepada umat Islam bulan Ramadhan dengan keampunan dan pahala yang berganda serta mengembalikan fitrah kesucian manusia dari dosa dan noda. Rasulullah s.a.w bersabda:

مَنْ صَامَ رَمَضَانَ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ

Bermaksud: "Barangsiapa yang berpuasa Ramadhan dengan penuh keimanan dan mengharapkan ganjaran pahala nescaya diampunkan baginya segala dosa yang terdahulu". (Hadits riwayat Imam Al-Bukhari)

Sidang hadirin yang dimuliakan,

Menjelang Ramadhan yang bakal tiba besok, para jamaah dan umat Islam sekalian diseru memberi tumpuan merebut tawaran daripada Allah s.a.w kerana ia sangat menguntungkan dunia dan akhirat, berbeza dengan promosi-promosi komersial yang hanya memberi keuntungan keduniaan. Yakinlah, ibadah puasa yang dilakukan dengan sempurna pasti mampu mengawal nafsu dan dapat mendidik jiwa menjadi lebih tenang dan membentuk diri menjadi seorang hamba yang bertaqwa kepada Allah s.w.t. Ingatlah, puasa bukan sahaja menahan diri dari keinginan makan dan minum malahan mestilah memelihara mata daripada melihat perkara-perkara yang diharamkan, telinga daripada mendengar umpatan, lidah daripada menuturkan fitnah dan cacian, tangan daripada melakukan dosa dan permusuhan, kemaluan daripada melakukan kemaksiatan dan kaki daripada melangkah ke arah kejahatan dan kemungkaran. Sabda Rasulullah s.a.w:

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ لَمْ يَدَعْ قَوْلَ الزُّورِ وَالْعَمَلَ بِهِ فَلَيْسَ لِلَّهِ حَاجَةٌ فِي أَنْ يَدَعَ طَعَامَهُ وَشَرَابَهُ

Bermaksud: "Daripada Abu Hurairah r.a, Rasulullah s.a.w bersabda: Barangsiapa yang tidak meninggalkan perkataan dusta dan mengerjakan pekerjaan dusta, maka Allah tidak berhajat kepadanya meninggalkan lapar dan dahaga (puasanya tertolak)". (Hadits riwayat Imam Al-Bukhari)

Mengakhiri khutbah pada minggu ini mimbar menyeru marilah kita sama-sama menyambut kehadiran Ramadhan kali ini dengan penuh ketaqwaan dan membuat persiapan dengan sebaik mungkin. Ambillah kesempatan apa yang telah Allah s.w.t janjikan sepanjang bulan Ramadhan dengan menjana kekuatan jati diri kita untuk beribadah kepada-Nya. Bulan barokah ini merupakan anugerah Allah s.w.t kepada hamba-Nya yang hanya datang setahun sekali. Penuhilah ruang dan masa dengan melakukan perkara-perkara kebaikan kerana mungkin bagi tahun mendatang kita tidak merasainya lagi. Marilah sama-sama kita merenung firman Allah s.w.t dalam Surah An-Nahl Ayat 97:

مَنْ عَمِلَ صَالِحًا مِّن ذَكَرٍ أَوْ أُنثَىٰ وَهُوَ مُؤْمِنٌ فَلَنُحْيِيَنَّهُ حَيَاةً طَيِّبَةً ۖ وَلَنَجْزِيَنَّهُمْ أَجْرَهُم بِأَحْسَنِ مَا كَانُوا يَعْمَلُونَ ﴿٩٧﴾

Bermaksud: "Sesiapa yang beramal soleh dari lelaki atau perempuan sedang dia beriman, maka sungguh Kami akan menghidupkan dia dengan kehidupan yang baik dan sesungguhnya Kami akan membalas mereka dengan pahala yang lebih baik dari apa yang mereka kerjakan".


بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بالقُرْآنِ العَظِيْمِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ، أَقُولُ قَوْلِي هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ الْأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالْأَمْوَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ، إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ.


Khutbah Kedua

الْحَمْدُ لِلَّهِ حَمْدًا كَثِيْرًا كَمَا أَمَرَ.  أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَاَشْهَدُ اَنَّ سَيِّدِيْنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ، اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدٍ وَعَلىَ آلــِهِ وَأَصْحَابِهِ اَجْمَعِيْنَ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله! اِتَّقُوْا اللهَ وَكُنُواْ مَعَ الصَّادِقِينَ. فَقَالَ اللهُ تَعَالَى:
أَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ ۚ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا ﴿٥٦﴾

Bermaksud: "Sesungguhnya Allah dan malaikat berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad s.a.w), wahai orang-orang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucaplah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya". (Surah Al-Ahzab: Ayat 56)

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَبَارِكْ عَلى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا بَارَكْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ فِي الْعَالَمِينَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ. 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Mimbar menyeru kepada sidang Jumaat sekalian, marilah sama-sama kita merebut peluang yang ada bagi memakmurkan rumah-rumah Allah dengan melakukan ibadah dan amal soleh secara istiqamah terutama solat fardhu berjamaah serta mendidik hati kita berasa risau dan resah apabila berjauhan dengan masjid. Semoga kita tergolong dalam kalangan orang yang mendapat perlindungan Allah s.w.t di hari kiamat kelak seperti mana sabda Rasulullah s.a.w:

وَرَجُلٌ قَلْبُهُ مُعَلَّقٌ فِي الْمَسَاجِدِ

Bermaksud: "Seorang yang hatinya selalu terikat pada masjid". (Hadits riwayat Imam Al-Bukhari)

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ والْمُؤمِنَاتِ، وَأَصْلِحْ ذَاتَ بَيْنِهِمْ وَأَلِّفْ بَيْنَ قُلُوْبِهِمْ وَاجْعَلْ فِيْ قُلُوْبِهِمُ اْلإِيْمَانَ وَاْلحِكْمَةَ وَثَبِّتْهُمْ عَلَى مِلَّةِ رَسُوْلِ اللهِ.
اَللَّهُمَّ أَعِزَّ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ، اَللَّهُمَّ انْصُرِ الدُّعَاةَ وَالْمُجَاهِدِيْنَ،   اَللَّهُمَّ انْصُرِ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ فِي كُلِّ مَكَانٍ وَفِي كُلِّ زَمَانٍ.  

Ya Allah, ampunilah seluruh kaum muslimin dan muslimat serta berilah rasa tanggungjawab dalam diri kami ini untuk melaksanakan perintah-Mu dan berikanlah kebencian kepada kami terhadap larangan-Mu. Ya Allah, didikkanlah diri kami ini untuk mendirikan solat fardhu secara berjamaah, mengeluarkan zakat dan bersifat dengan sifat-sifat mahmudah yang lain. Kurniakanlah kepada kami nikmat yang berpanjangan , kesihatan yang berkekalan, hati yang khusyuk serta penuh keikhlasan dalam melakukan amal kebaikan.

Ya Allah, kurniakanlah sepenuh taufiq dan hidayah-Mu terhadap Raja kami, Duli Yang Maha mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Al-Marhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah al-Maghfurulahu dan Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan Tuanku Zara Salim serta kerabat dan seluruh rakyat jelata sekalian.

رَبَّنَا ءَاتنِاَ فِى الدُّنْياَ حَسَنَةً وَفِى الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.
عِبَادَ اللهِ، اِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِاْلعَدْلِ وَالأِحْسَانِ وَإِيْتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَاْلمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُوْنَ. فَاذْكُرُوْا اللهَ الْعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ وَاشْكُرُوْهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ وَلَذِكْرُاللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ. 


Friday, May 19, 2017

KHUTBAH JUMAAT - 22 SYA'ABAN 1438 / 19 MEI 2017


KESATUAN KUNCI KEKUATAN UMMAH

Khutbah Pertama

الْحَمْدُ لِلَّهِ الْقَائِلِ:
وَمَا كَانَ النَّاسُ إِلَّا أُمَّةً وَاحِدَةً فَاخْتَلَفُوا ۚ وَلَوْلَا كَلِمَةٌ سَبَقَتْ مِن رَّبِّكَ لَقُضِيَ بَيْنَهُمْ فِيمَا فِيهِ يَخْتَلِفُونَ ﴿١٩﴾

Bermaksud: "Dan tidaklah manusia pada mulanya melainkan umat yang satu, kemudian mereka berselisih. Dan kalaulah tidak kerana ketetapan yang telah terdahulu dari Tuhanmu, tentulah telah diputuskan hukuman di antara mereka mengenai apa yang mereka perselisihkan itu". (Surah Yunus Ayat 19)

اَشْهَدُ اَنْ لاَ إِلَــهَ اِلاَّ الله وَحْدَهُ لاَشَرِيْكَ لَهُ، وَاَشْهَدُ اَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ.
اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَرِكْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ خَاتَمِ الْأَنْبِيَاءِ وَالْمُرْسَالِينَ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِينَ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله! اِتَّقُوْا الله اُوْصِيْكُمْ وَاِيـَّايَ بِتَقْوَى الله وَطَاعَتِهِ فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Saya menyeru kepada diri saya sendiri dan kepada sidang Jumaat sekalian, marilah sama-sama kita perbaiki diri dengan meningkatkan ketaqwaan kepada Allah s.w.t yakni dengan melakukan segala titah perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Sebelum meneruskan khutbah, saya ingin berpesan kepada sidang jamaah sekalian agar menumpukan perhatian dan jangan bercakap-cakap sewaktu khutbah disampaikan. Mudah-mudahan kita akan beroleh manfaat untuk kebaikan di dunia dan di akhirat.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Umat Islam hari ini berhadapan dengan pelbagai rintangan di saat dunia semakin mengenjak usianya seperti yang telah dijelaskan oleh Allah s.w.t dan Rasulullah s.a.w. Saban hari, golongan yang membenci Islam terus menjalankan perancangan untuk menghapuskan Islam. Usaha mereka ini bukan sahaja terbatas kepada tindakan berbentuk ketenteraan, malah dalam bentuk pengaruh terhadap perlakuan dan cara hidup umat Islam.

Di samping itu, umat Islam juga tidak terlepas dari usaha mensabotaj agama mereka sendiri. Apa yang membimbangkan mimbar, situasi ini lebih berbahaya kerana menjadi duri dalam daging yang merosakkan kewibawaan pegangan ahlus sunnah wal jama'ah secara senyap-senyap dan halus. Bagi menghalang ancaman ini menjadi lebih serius, umat Islam perlulah menghindarkan daripada melakukan perkara-perkara yang boleh menggugat kesatuan ummah yang menjadi dasar hidup ahlus sunnah wal jama'ah di negara ini.

Ingatlah, jika umat Islam mulai hilang erti dan rasa "umat yang satu", maka akan lahirlah suasana tegang, membangkitkan pertelingkahan dan mencetuskan perpecahan yang amat ketara sekali. Bukankah Allah s.w.t telah mengutuskan para rasul-Nya seorang demi seorang sejak dari Nabi Adam 'alaihissalam, Nabi Nuh 'alaihissalam sehinggalah kepada nabi terakhir Muhammad s.a.w untuk menyampaikan ajaran Allah dan memberi penjelasan berkaitan masalah perselisihan di antara sesama manusia melalui Al-Quran yang membawa kebenaran.

Sidang Jumaat yang berbahagia,

Krisis nilai di kalangan umat Islam pada hari ini sememangnya perlu diberi perhatian mendalam. Alangkah baiknya jika kita sentiasa terdorong kepada jalan kebaikan sesuai dengan ketinggian Islam yang lengkap dalam memandu kehidupan. Adapun perselisihan bukan sahaja menyingkap kejahilan diri, malah membongkar perasaan dengki sehingga terhijab daripada mendapat hidayah Allah s.w.t dalam menerima kebenaran untuk menyelesaikan permasalahan. Firman Allah s.w.t dalam Surah Ali-Imran Ayat 86:

كَيْفَ يَهْدِي اللَّهُ قَوْمًا كَفَرُوا بَعْدَ إِيمَانِهِمْ وَشَهِدُوا أَنَّ الرَّسُولَ حَقٌّ وَجَاءَهُمُ الْبَيِّنَاتُ ۚ وَاللَّهُ لَا يَهْدِي الْقَوْمَ الظَّالِمِينَ ﴿٨٦﴾

Bermaksud: "Bagaimana Allah akan memberi petunjuk hidayah kepada sesuatu kaum yang kufur ingkar sesudah mereka beriman dan juga sesudah mereka menyaksikan bahawa Rasulullah (Nabi Muhammad) itu adalah benar dan telah datang pula kepada mereka keterangan-keterangan yang jelas nyata. Dan (ingatlah), Allah tidak akan memberikan petunjuk hidayah-Nya kepada kaum yang zalim".

Oleh itu, bukanlah sesuatu yang pelik jika manusia suka berselisih faham kecuali mereka yang dikurniakan rahmat oleh Allah s.w.t. Ini dijelaskan sendiri oleh Allah s.w.t dalam Surah Hud Ayat 118 dan 119:

وَلَوْ شَاءَ رَبُّكَ لَجَعَلَ النَّاسَ أُمَّةً وَاحِدَةً ۖ وَلَا يَزَالُونَ مُخْتَلِفِينَ ﴿١١٨﴾ إِلَّا مَن رَّحِمَ رَبُّكَ ۚ وَلِذَ‌ٰلِكَ خَلَقَهُمْ ۗ وَتَمَّتْ كَلِمَةُ رَبِّكَ لَأَمْلَأَنَّ جَهَنَّمَ مِنَ الْجِنَّةِ وَالنَّاسِ أَجْمَعِينَ ﴿١١٩﴾

Bermaksud: "Dan kalaulah Tuhanmu (wahai Muhammad) menghendaki, tentulah Dia menjadikan umat manusia semuanya menurut agama yang satu. (Tetapi Dia tidak berbuat demikian) dan kerana itulah mereka terus-menerus berselisihan. Tetapi orang yang telah diberi rahmat oleh Tuhanmu (mereka bersatu di dalam agama Allah) dan untuk (perselisihan dan rahmat) itulah Allah menjadikan manusia. Dan dengan yang demikian sempurnalah janji Tuhanmu: Sesungguhnya Aku akan memenuhi neraka jahannam dengan sekalian jin dan manusia (yang berdosa)".

Sesungguhnya kesan perselisihan antara manusia akan menyebabkan lahirnya pelbagai aliran dan pegangan hidup yang baharu. Justeru, rahmat Allah s..w.t sahaja dapat menyelamatkan kita dari kesan negatif perselisihan dan membawa kepada kesatuan ummah di atas jalan yang diredhai Allah s.w.t.

Sidang hadirin yang dirahmati Allah,

Islam bukanlah agama perselisihan dan perpecahan, malah Islam amat menganjurkan nilai kasih sayang sesama manusia. Untuk itu, umat Islam perlulah menghindarkan diri daripada melakukan perkara-perkara yang boleh merosakkan kesucian nama Islam dan mencari jalan yang penuh berhikmah dan kebijaksanaan untuk mencari penyelesaian atas apa-apa permasalahan umat yang berlaku.

Lantaran itu, Islam menganjurkan umatnya supaya hidup dalam satu jamaah, bermuafakat, bertoleransi serta mendokong prinsip kedamaian. Manusia sebagai khalifah memikul tugas berat dalam memakmurkan dunia ini berlandaskan prinsip-prinsip yang telah digariskan dalam Islam. Justeru, Islam sama sekali melarang kezaliman, pencerobohan, pengkhianatan, penindasan, pembunuhan serta pemusnahan harta benda.

Menurut Ibnul Qayyim rahimahullah; Sesungguhnya syariat agama Islam itu ditegakkan atas dasar kebijaksanaan dan kemashlahatan, maka setiap persoalan hidup yang keluar daripada batas-batas keadilan dan kebijaksanaan akan membawa kepada ketidak adilan dan keburukan, kekejaman dan permasalahan lain, maka yang demikian bukanlah dari syariat Allah, meskipun dengan secara takwil, sebab syariat adalah keadilan Allah ke atas hamba-Nya dan rahmat serta kasih sayang Allah kepada hamba-Nya.

Melihat kepada ancaman-ancaman yang dihadapi umat Islam hari ini, mimbar ingin menyimpulkan bahawa umat Islam perlu segera memperbetulkan kefahaman terhadap pegangan ahlus sunnah wal jama'ah supaya kewibawaan Islam sebagai satu Ad-Din yang suci dapat terus dipertahankan. Paling penting kita perlu mengetahui dengan sejelas-jelasnya bahawa kesatuan merupakan kunci kekuatan ummah.

Sidang Jumaat yang dimuliakan,

Mengakhiri khutbah pada hari ini, mimbar ingin mengajak sidang Jumaat sekalian untuk menghayati intipati khutbah yang disampaikan sebagai pedoman di dalam kehidupan kita. Antaranya:

Pertama: Kesatuan ummah dan menghentikan perselisihan sesama umat Islam kunci utama kekuatan ummah dan ahlus sunnah wal jama'ah.

Kedua: Kesatuan ummah meleburkan sifat taksub dalam kalangan masyarakat Islam.

Ketiga: Konsep persaudaraan yang berteraskan ikatan rabbani menjadi asas dan instrumen yang efektif kepada perpaduan umat Islam.

Firman Allah s.w.t dalam Surah Al-Anbiya' Ayat 92 dan 93:

إِنَّ هَـٰذِهِ أُمَّتُكُمْ أُمَّةً وَاحِدَةً وَأَنَا رَبُّكُمْ فَاعْبُدُونِ ﴿٩٢﴾ وَتَقَطَّعُوا أَمْرَهُم بَيْنَهُمْ ۖ كُلٌّ إِلَيْنَا رَاجِعُونَ ﴿٩٣﴾

Bermaksud: "Sesungguhnya agama Islam inilah agama kamu, agama yang satu asas pokoknya dan Akulah Tuhan kamu, maka sembahlah kamu akan Daku. (Kebanyakan manusia masih berselisihan) dan berpecah belah dalam agama mereka, (ingatlah) mereka semuanya akan kembali kepada Kami (untuk menerima balasan)".

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بالقُرْآنِ العَظِيْمِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ، أَقُولُ قَوْلِي هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ الْأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالْأَمْوَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ، إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ.


Khutbah Kedua


الْحَمْدُ لِلَّهِ حَمْدًا كَثِيْرًا كَمَا أَمَرَ.  أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَاَشْهَدُ اَنَّ سَيِّدِيْنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ، اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدٍ وَعَلىَ آلــِهِ وَأَصْحَابِهِ اَجْمَعِيْنَ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله! اِتَّقُوْا اللهَ وَكُنُواْ مَعَ الصَّادِقِينَ. فَقَالَ اللهُ تَعَالَى:
أَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ ۚ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا ﴿٥٦﴾

Bermaksud: "Sesungguhnya Allah dan malaikat berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad s.a.w), wahai orang-orang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucaplah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya". (Surah Al-Ahzab: Ayat 56)

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَبَارِكْ عَلى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا بَارَكْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ فِي الْعَالَمِينَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ. 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Mimbar menyeru kepada sidang Jumaat sekalian, marilah sama-sama kita merebut peluang yang ada bagi memakmurkan rumah-rumah Allah dengan melakukan ibadah dan amal soleh secara istiqamah terutama solat fardhu berjamaah serta mendidik hati kita berasa risau dan resah apabila berjauhan dengan masjid. Semoga kita tergolong dalam kalangan orang yang mendapat perlindungan Allah s.w.t di hari kiamat kelak seperti mana sabda Rasulullah s.a.w:

وَرَجُلٌ قَلْبُهُ مُعَلَّقٌ فِي الْمَسَاجِدِ

Bermaksud: "Seorang yang hatinya selalu terikat pada masjid". (Hadits riwayat Imam Al-Bukhari)

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ والْمُؤمِنَاتِ، وَأَصْلِحْ ذَاتَ بَيْنِهِمْ وَأَلِّفْ بَيْنَ قُلُوْبِهِمْ وَاجْعَلْ فِيْ قُلُوْبِهِمُ اْلإِيْمَانَ وَاْلحِكْمَةَ وَثَبِّتْهُمْ عَلَى مِلَّةِ رَسُوْلِ اللهِ.
اَللَّهُمَّ أَعِزَّ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ، اَللَّهُمَّ انْصُرِ الدُّعَاةَ وَالْمُجَاهِدِيْنَ،   اَللَّهُمَّ انْصُرِ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ فِي كُلِّ مَكَانٍ وَفِي كُلِّ زَمَانٍ.  

Ya Allah, ampunilah seluruh kaum muslimin dan muslimat serta berilah rasa tanggungjawab dalam diri kami ini untuk melaksanakan perintah-Mu dan berikanlah kebencian kepada kami terhadap larangan-Mu. Ya Allah, didikkanlah diri kami ini untuk mendirikan solat fardhu secara berjamaah, mengeluarkan zakat dan bersifat dengan sifat-sifat mahmudah yang lain. Kurniakanlah kepada kami nikmat yang berpanjangan , kesihatan yang berkekalan, hati yang khusyuk serta penuh keikhlasan dalam melakukan amal kebaikan.

Ya Allah, kurniakanlah sepenuh taufiq dan hidayah-Mu terhadap Raja kami, Duli Yang Maha mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Al-Marhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah al-Maghfurulahu dan Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan Tuanku Zara Salim serta kerabat dan seluruh rakyat jelata sekalian.

رَبَّنَا ءَاتنِاَ فِى الدُّنْياَ حَسَنَةً وَفِى الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.
عِبَادَ اللهِ، اِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِاْلعَدْلِ وَالأِحْسَانِ وَإِيْتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَاْلمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُوْنَ. فَاذْكُرُوْا اللهَ الْعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ وَاشْكُرُوْهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ وَلَذِكْرُاللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ. 

Teks asal khutbah ini boleh dimuat turun dari Laman Web Rasmi Jabatan Agama Islam Perak. Klik sini - http://jaipk.perak.gov.my/component/phocadownload/category/60-mei-2017#


KULIAH SETIAP AHAD MINGGU KEDUA




Kempen Tiga B