Friday, April 21, 2017

KHUTBAH JUMAAT - 24 REJAB 1438 / 21 APRIL 2017


ISRAK DAN MIKRAJ MENGUJI KEIMANAN

Khutbah Pertama

الْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِيْنَ، عَالِمُ الْغَيْبِ وَالشَّهَادَةِ وَهُوَ الْعَزِيْزُ الْحَكِيْمُ، وَيَقُوْلُ فِيْ كِتَابِهِ الْعَزِيْزِ:
وَدَّ كَثِيرٌ مِّنْ أَهْلِ الْكِتَابِ لَوْ يَرُدُّونَكُم مِّن بَعْدِ إِيمَانِكُمْ كُفَّارًا حَسَدًا مِّنْ عِندِ أَنفُسِهِم مِّن بَعْدِ مَا تَبَيَّنَ لَهُمُ الْحَقُّ ۖ فَاعْفُوا وَاصْفَحُوا حَتَّىٰ يَأْتِيَ اللَّهُ بِأَمْرِهِ ۗ إِنَّ اللَّهَ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ ﴿١٠٩﴾

Bermaksud: "Banyak di antara ahli kItab (yahudi dan nasrani) suka kalaulah kiranya mereka dapat mengembalikan kamu menjadi kafir setelah kamu beriman kerana dengki yang timbul dari diri mereka sendiri, sesudah nyata kepada mereka kebenaran (Nabi Muhammad s.a.w). Oleh itu, maafkanlah dan biarkanlah oleh kamu (akan mereka), sehingga Allah datangkan perintah-Nya. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu". (Surah Al-Baqarah Ayat 109)

اَشْهَدُ اَنْ لاَ إِلَــهَ اِلاَّ الله وَحْدَهُ لاَشَرِيْكَ لَهُ، وَاَشْهَدُ اَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ، اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلىَ آلــِهِ وَصَحْبِهِ اَجْمَعِيْنَ. 
أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله! اِتَّقُوْا الله حَقَّ تُقَاتِهِ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنتُم مُّسْلِمُونَ. 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Saya menyeru kepada diri saya sendiri dan kepada sidang Jumaat sekalian, marilah sama-sama kita perbaiki diri dengan meningkatkan ketaqwaan kepada Allah s.w.t yakni dengan melakukan segala titah perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Sebelum meneruskan khutbah, saya ingin berpesan kepada sidang jamaah sekalian agar menumpukan perhatian dan jangan bercakap-cakap sewaktu khutbah disampaikan. Mudah-mudahan kita beroleh manfaat untuk kebaikan di dunia dan di akhirat. Khutbah pada hari ini akan membicarakan tajuk, "Israk Dan Mikraj Menguji Keimanan".

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Kita kini sedang berada di bulan Rejab yang telah mencatatkan suatu peristiwa penting di mana pada tanggal 27 Rejab tahun kesebelas selepas kenabian Rasulullah s.a.w telah berlaku peristiwa Israk dan Mikraj, di mana ia merupakan satu bukti tentang kebesaran, kekuasaan dan kehebatan Allah s.w.t dalam memperjalankan diri Rasulullah s.a.w dari Masjidil Haram, Makkah ke Masjidil Aqsa, Palestin dan seterusnya Nabi s.a.w diangkat ke langit untuk bertemu dengan Allah s.w.t.

Peristiwa ini menguji tentang keimanan dan keyakinan umat Islam terhadap kekuasaan Allah serta bukti kebenaran kenabian Nabi s.a.w kerana bagi pandangan orang yang tidak beriman atau tipis imannya mereka menyatakan bahawa peristiwa Israk dan Mikraj tidak mungkin akan berlaku dan tidak mempercayainya. Tetapi, bagi orang yang benar-benar beriman kepada Allah dan Rasul-Nya, mereka tetap percaya dengan penuh keimanan dan keyakinan serta memperakukan kebenaran peristiwa tersebut seperti yang dilakukan oleh Saiyidina Abu Bakar As-Siddiq dalam mempercayai Allah dan Rasul-Nya sehingga beliau digelar 'As-Siddiq' yang membawa maksud orang yang benar.

Sidang Jumaat yang dimuliakan,

Peristiwa ini berlaku sebelum hijrah baginda ke Madinah. Baginda sentiasa mendapat tentangan serta penganiayaan dari kaumnya. Namun, baginda tetap bersabar dan tabah menghadapinya, baginda tidak bertindak balas, malahan mendoakan kaumnya agar sentiasa diberi petunjuk oleh Allah s.w.t dengan doanya seperti berikut:

اللَّهُمَّ اهْدِ قَوْمِي فَإِنَّهُمْ لَا يَعْلَمُوْنَ

Bermaksud: "Wahai Tuhanku! Berikanlah petunjuk kepada kaumku sesungguhnya mereka tidak mengetahui". (Hadits riwayat Imam Al-Baihaqi)

Justeru, umat Islam hendaklah bersungguh-sungguh dalam setiap pekerjaan apatah lagi dalam usaha dakwah bagi meningkatkan syi'ar Islam di muka bumi. Kesungguhan Nabi s.a.w dijadikan pengajaran sebagai panduan dalam menjalani kehidupan sebagai muslim yang teguh berpegang dengan prinsip-prinsip Islam. Sebagaimana firman Allah s.w.t dalam Surah Muhammad Ayat 35:

فَلَا تَهِنُوا وَتَدْعُوا إِلَى السَّلْمِ وَأَنتُمُ الْأَعْلَوْنَ وَاللَّهُ مَعَكُمْ وَلَن يَتِرَكُمْ أَعْمَالَكُمْ ﴿٣٥﴾

Bermaksud: "(Apabila kamu telah mengetahui bahawa orang kafir itu dihampakan amalannya dan disiksakan oleh Tuhan) maka janganlah kamu (wahai orang beriman!) merasa lemah dan mengajak (musuh yang menceroboh) untuk berdamai, padahal kamulah orang yang tertinggi keadaannya, lagi pula Allah bersama-sama kamu (untuk membela kamu mencapai kemenangan) dan Dia tidak sekali-kali akan mengurangkan (pahala) amal-amal kamu".

Sidang Jumaat yang berbahagia,

Sepakat para ulamak menegaskan bahawa sesungguhnya peristiwa Israk dan Mikraj itu adalah mukjizat yang disebut secara jelas di dalam Al-Quran. Berlaku dalam satu malam dan dalam keadaan diri baginda sedar berserta dengan jasad dan roh bukannya melalui roh sahaja. Firman Allah s.w.t dalam Surah Al-Israk Ayat 1:

سُبْحَانَ الَّذِي أَسْرَىٰ بِعَبْدِهِ لَيْلًا مِّنَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ إِلَى الْمَسْجِدِ الْأَقْصَى الَّذِي بَارَكْنَا حَوْلَهُ لِنُرِيَهُ مِنْ آيَاتِنَا ۚ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْبَصِيرُ ﴿١﴾

Bermaksud: "Maha Suci Allah yang telah menperjalankan hamba-Nya pada malam hari dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa yang Kami berkati sekelilingnya untuk diperlihatkan kepadanya tanda-tanda kekuasaan Kami. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui".

Demikianlah peristiwa Israk dan Mikraj yang merupakan satu ujian dalam proses pemisahan antara orang yang benar-benar beriman atau mereka yang tipis imannya dan yang kufur ingkar terhadap Allah dan Rasul-Nya. Peristiwa ini juga memperlihatkan ramai yang sebelumnya menyatakan keimanan kepada Rasul telah menjadi murtad setelah mendengar penjelasan baginda tentang peristiwa Israk dan Mikraj ini.

Saudara kaum muslimin,

Ketika malam Israk dan Mikraj, Nabi dibawa oleh malaikat Jibril dari Masjidil Haram, Makkah ke Masjidil Aqsa, di Palestin. Dalam perjalanan, Nabi s.a.w dibawa singgah tiga tempat penting iaitu Toyyibah (Madinah), Tursina (tempat munajat Nabi Musa a.s) dan Baitu Laham (tempat kelahiran Nabi Isa a.s). Persinggahan terakhir dalam Israk adalah Masjidil Aqsa yang merupakan masjid ketiga terpenting dan juga menjadi kiblat pertama umat Islam. Nabi s.a.w dilantik menjadi imam kepada seluruh anbiya' semasa solat sunat di Baitul Muqaddis. Malangnya kini, ia dikuasai oleh zionis yang terdiri dari gabungan penganut yahudi dan kristian yang memusuhi Islam.

Kita sedang menyaksikan kekejaman golongan zionis terhadap umat Islam di negara-negara Islam seperti Palestin, Syria dan lain-lain. Mereka setiap saat diburu, dibom dan dibunuh dengan kejam oleh rejim zionis yang kejam. Perbuatan tersebut dilakukan terhadap umat Islam bertujuan bukan sekadar untuk membunuh umat Islam, namun juga bertujuan memaksa Islam tunduk dan ikut kemahuan mereka serta mahu menghancurkan Islam dari muka bumi. Golongan ini tidak akan senang selagi mana mereka melihat adanya umat Islam dan agama Islam. Ini telah dijelaskan oleh Allah s.w.t dalam Surah Al-Baqarah Ayat 120:

وَلَن تَرْضَىٰ عَنكَ الْيَهُودُ وَلَا النَّصَارَىٰ حَتَّىٰ تَتَّبِعَ مِلَّتَهُمْ ۗ ... ﴿١٢٠﴾

Bermaksud: "Orang yahudi dan nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (wahai Muhammad) sehingga engkau menurut agama mereka (yang telah terpesong itu)...".

Sidang hadirin yang dimuliakan,

Bersempena memperingati peristiwa Israk dan Mikraj pada kali ini, diharap dapat memberi kesedaran kepada seluruh umat Islam bahawa Amerika Syarikat yang mengaku dirinya sebagai polis dunia atau pengaman dunia tidak boleh diharapkan untuk membela nasib umat Islam. Mereka juga bersekongkol bersama zionis bagi menghalalkan tindakan membunuh penduduk Islam di wilayah Palestin dan secara bersama mengumumkan Baitul Muqaddis (bumi Israk yang penuh dengan keberkatan) sebagai ibu kota kepada negara haram yahudi.

Semakin hari, tanah umat Islam Palestin semakin banyak dirampas. Umat Islam dihalau dari negara mereka sendiri dan menjadi pelarian di negara jiran yang sudi menumpangkan mereka. Umat Islam Ghaza dipagar tanpa diberi hak yang sepatutnya menjalani kehidupan seharian dengan lebih selesa. Zionis bukan sahaja telah melanggar hak kemanusiaan, tetapi ia memberi kesan yang cukup besar terutamanya ke atas Masjidil Aqsa yang merupakan kiblat pertama umat Islam dan sejarah Israk baginda s.a.w.

Kita mengharapkan negara-negara Islam yang kuat dapat bergabung tenaga, wang ringgit dan kekuatan ketenteraan bagi melindungi negara-negara lemah seperti Palestin. Negara Islam sepatutnya tidak lagi mementingkan negara sendiri dengan meninggalkan kepentingan negara lain. Negara Islam sewajarnya mempunyai kekuatan ketenteraan sekurang-kurangnya menyamai kekuatan NATO sebagai pasukan ketenteraan yang digeruni. Umat Islam sudah begitu lama ditindas dan dinafikan hak oleh kuasa-kuasa besar dunia.

Sebagai umat Islam pula, kita hendaklah sentiasa tegas mengutuk dan mengecam sekeras-kerasnya kekejaman dan tindakan jahat yang dilakukan oleh rejim zionis, selain memberi sumbangan, bantuan dan tajaan bagi meringankan beban yang ditanggung oleh mereka umat Islam.

Selain itu. kita sama-sama berdoa semoga Allah s.w.t segera mendatangkan bantuan dan penyelesaian kepada isu ini agar ia tidak terus berpanjangan. Kita tidak sanggup lagi melihat setiap saat umat Islam diburu dan dibunuh dengan kejam tanpa peri kemanusiaan seolah-olah nyawa umat Islam tiada bernilai. Firman Allah s.w.t dalam Surah Al-Israk Ayat 60:

... وَمَا جَعَلْنَا الرُّؤْيَا الَّتِي أَرَيْنَاكَ إِلَّا فِتْنَةً لِّلنَّاسِ وَالشَّجَرَةَ الْمَلْعُونَةَ فِي الْقُرْآنِ ۚ وَنُخَوِّفُهُمْ فَمَا يَزِيدُهُمْ إِلَّا طُغْيَانًا كَبِيرًا ﴿٦٠﴾

Bermaksud: "Dan tiadalah Kami jadikan mimpi yang telah Kami perlihatkan kepadamu melainkan sebagai ujian bagi manusia dan pokok yang dilaknat di dalam Al-Quran dan Kami hendak menakuti mereka, tetapi semuanya itu tidak menambahkan mereka melainkan dengan kekufuran yang melampau-lampau".

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بالقُرْآنِ العَظِيْمِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ، أَقُولُ قَوْلِي هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ الْأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالْأَمْوَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ، إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ.


Khutbah Kedua


الْحَمْدُ لِلَّهِ حَمْدًا كَثِيْرًا كَمَا أَمَرَ.  أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَاَشْهَدُ اَنَّ سَيِّدِيْنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ، اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدٍ وَعَلىَ آلــِهِ وَأَصْحَابِهِ اَجْمَعِيْنَ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله! اِتَّقُوْا اللهَ وَكُنُواْ مَعَ الصَّادِقِينَ. فَقَالَ اللهُ تَعَالَى:
أَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ ۚ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا ﴿٥٦﴾

Bermaksud: "Sesungguhnya Allah dan malaikat berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad s.a.w), wahai orang-orang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucaplah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya". (Surah Al-Ahzab: Ayat 56)

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَبَارِكْ عَلى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا بَارَكْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ فِي الْعَالَمِينَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ. 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Israk dan Mikraj adalah mukjizat yang juga mempunyai pengajaran yang wajar diambil perhatian oleh umat Islam. Masjid adalah institusi yang wajar diambil perhatian untuk dijadikan pusat ibadah, pusat ilmu, pusat aktiviti kemasyarakatan. Masjid hendaklah dimuliakan pada kedudukan sewajarnya. Jauhi mengambil kesempatan dengan penyelewengan, jauhi persengketaan, penularan fahaman politik kepartian yang sempit dan seumpamanya. Masjid adalah lambang hubungan kesucian iaitu hubungan manusia dengan Tuhannya dengan segala bentuk ibadah yang dituntut terutamanya solat.

Peliharalah solat, terutamanya solat fardhu 5 waktu. Solatlah di masjid kerana ia sebaik-baik tempat di samping pelbagai kebaikan lain yang akan diperolehi seperti yang kita telah maklumi. Solat berjamaah mengajar kita berdisiplin dan sentiasa menepati masa. Apatah lagi solat yang paling afdhal adalah berjamaah dan pada awal waktu.

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ والْمُؤمِنَاتِ، وَأَصْلِحْ ذَاتَ بَيْنِهِمْ وَأَلِّفْ بَيْنَ قُلُوْبِهِمْ وَاجْعَلْ فِيْ قُلُوْبِهِمُ اْلإِيْمَانَ وَاْلحِكْمَةَ وَثَبِّتْهُمْ عَلَى مِلَّةِ رَسُوْلِ اللهِ.
اَللَّهُمَّ أَعِزَّ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ، اَللَّهُمَّ انْصُرِ الدُّعَاةَ وَالْمُجَاهِدِيْنَ،   اَللَّهُمَّ انْصُرِ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ فِي كُلِّ مَكَانٍ وَفِي كُلِّ زَمَانٍ.  

Ya Allah, ampunilah seluruh kaum muslimin dan muslimat serta berilah rasa tanggungjawab dalam diri kami ini untuk melaksanakan perintah-Mu dan berikanlah kebencian kepada kami terhadap larangan-Mu. Ya Allah, didikkanlah diri kami ini untuk mendirikan solat fardhu secara berjamaah, mengeluarkan zakat dan bersifat dengan sifat-sifat mahmudah yang lain. Kurniakanlah kepada kami nikmat yang berpanjangan , kesihatan yang berkekalan, hati yang khusyuk serta penuh keikhlasan dalam melakukan amal kebaikan.

Ya Allah, kurniakanlah sepenuh taufiq dan hidayah-Mu terhadap Raja kami, Duli Yang Maha mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Al-Marhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah al-Maghfurulahu dan Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan Tuanku Zara Salim serta kerabat dan seluruh rakyat jelata sekalian.

رَبَّنَا ءَاتنِاَ فِى الدُّنْياَ حَسَنَةً وَفِى الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.
عِبَادَ اللهِ، اِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِاْلعَدْلِ وَالأِحْسَانِ وَإِيْتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَاْلمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُوْنَ. فَاذْكُرُوْا اللهَ الْعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ وَاشْكُرُوْهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ وَلَذِكْرُاللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ. 


Teks asal khutbah ini boleh dimuat turun dari Laman Web Rasmi Jabatan Agama Islam Perak. Klik sini - http://jaipk.perak.gov.my/component/phocadownload/category/59-april-2017

Thursday, April 13, 2017

KHUTBAH JUMAAT - 17 REJAB 1438 / 14 APRIL 2017


PEMUDA HEBAT NEGARA SEJAHTERA

Khutbah Pertama

إِنَّ الْحَمْدُ لِلَّهِ الْذِي نَحْمَدُهُ وَنَسْتَعِينُهُ وَنَسْتَغْفِرُهُ، وَنَعُوذُ بِاللهِ مِنْ شُرُورِ أَنْفُسِنَا وَمِنْ سَيِّئَاتِ أَعْمَالِنَا، مَنْ يَهْدِهِ اللهُ فَلَا مُضِلَّ لَهُ، وَمَنْ يُضْلِلْ فَلَا هَادِيَ لَهُ. اَشْهَدُ اَنْ لاَ إِلَــهَ اِلاَّ الله وَحْدَهُ لاَشَرِيْكَ لَهُ، وَاَشْهَدُ اَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ، اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلىَ آلــِهِ وَأَصْحَابِهِ اَجْمَعِيْنَ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله! اتَّقُوا اللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنتُم مُّسْلِمُونَ. قَالَ اللهُ تَعَالَى:
نَّحْنُ نَقُصُّ عَلَيْكَ نَبَأَهُم بِالْحَقِّ ۚ إِنَّهُمْ فِتْيَةٌ آمَنُوا بِرَبِّهِمْ وَزِدْنَاهُمْ هُدًى ﴿١٣﴾ وَرَبَطْنَا عَلَىٰ قُلُوبِهِمْ إِذْ قَامُوا فَقَالُوا رَبُّنَا رَبُّ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ لَن نَّدْعُوَ مِن دُونِهِ إِلَـٰهًا ۖ لَّقَدْ قُلْنَا إِذًا شَطَطًا ﴿١٤﴾ 

Bermaksud: "Kami ceritakan kepadamu hal mereka dengan benar, sesungguhnya mereka itu pemuda yang beriman kepada Tuhan mereka dan Kami tambahi mereka dengan hidayah petunjuk. Dan Kami kuatkan hati mereka semasa mereka bangun lalu berkata: Tuhan kami ialah Tuhan yang menciptakan dan mentadbirkan langit dan bumi, kami tidak akan menyembah tuhan yang lain selain-Nya, jika tidak bermakna kami memperkatakan sesuatu yang jauh dari kebenaran". (Surah Al-Khaf Ayat 13-14)

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Saya menyeru kepada diri saya sendiri dan kepada sidang Jumaat sekalian, marilah sama-sama kita perbaiki diri dengan meningkatkkan ketaqwaan kepada Allah s.w.t yakni dengan melakukan segala titah perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Sebelum meneruskan khutbah, saya ingin berpesan kepada sidang jamaah sekalian agar menumpukan perhatian dan jangan bercakap-cakap sewaktu khutbah disampaikan. Mudah-mudahan kita akan beroleh manfaat untuk kebaikan di dunia dan di akhirat. Khutbah pada hari ini akan membicarakan tajuk, "Pemuda Hebat Negara Sejahtera".

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Sejak akhir-akhir ini, kita sering mendapat berita-berita yang negatif tentang generasi muda. Kes-kes salah laku jenayah sivil, jenayah syariah, masalah disiplin, masalah adab yang sering dikaitkan dengan mereka. Hal ini menyebabkan kerisauan dan keresahan ibu bapa pada hari ini. Generasi muda hari ini adalah penentu masa depan negara. Menurut Professor Doktor Yusuf Al-Qardhawi, seorang sarjana dan pemikir Islam yang tersohor masakini berkata: "Apabila kita hendak melihat keadaan masa hadapan, lihatlah generasi muda pada hari ini, sekiranya golongan muda pada hari ini adalah dari kalangan yang berakhlak dan berhemah tinggi, sudah pasti negara kita masa akan datang adalah negara yang aman makmur "Baldatun Toiyibatun Wa Robbun Ghofur". Akan tetapi jika keadaan adalah sebaliknya, maka bersedialah untuk berhadapan dengan kemungkinan buruk yang akan berlaku".

Sidang jamaah yang berbahagia,

Dalam usaha kita mencari jalan untuk membina dan membangunkan generasi muda hari ini, ia perlu mendapat perhatian yang serius dari semua pihak sama ada dari kerajaan mahupun rakyat. Namun begitu, jangan usaha itu hanya ala kadar sahaja seperti melepaskan batuk di tangga atau berbentuk tindakan secara bermusim.

Ingatlah, bahawa peranan dan tanggungjawab belia pada hari ini adalah sangat penting dalam menjana pembangunan negara, bangsa dan agama. Peranan belia pada hari ini bukan sekadar membina kerjaya atau melakukan aktiviti-aktiviti untuk memenuhi masa lapang dan hobi sahaja tetapi golongan belia sepatutnya turut sama menyumbang idea, masa dan tenaga ke arah pembangunan modal insan supaya menjadi bangsa dan agama yang dihormati dan disegani di persada dunia.

Orang muda Islam hari ini sepatutnya bukan lagi hanya menjadi penonton atau pemain simpanan sahaja, tetapi haruslah bersiap sedia untuk menjadi pemain uatama dalam membawa umat untuk memimpin tamadun dunia dan menjadi umat contoh, terutamanya ketika imej agama Islam yang digambarkan dalam keadaan buruk. Gambaran buruk imej Islam hari ini semestinya diperbetulkan melalui kekuatan ilmu, iman, akhlak, kekuatan peribadi, intelek, ekonomi, pemikiran dan kebudayaan generasi muda pada hari ini.

Sidang hadirin yang dimuliakan,

Peranan generasi muda sememangnya terserlah dalam sejarah manusia itu sendiri. Golongan muda seharusnya menjadi pencetus kepada kebangkitan dan menjadi penggerak kepada arus perdana perubahan masyarakat. Dalam sejarah perkembangan Islam, sejak ia bermula bertapak di Makkah sehingga berkembang ke Madinah, golongan mudalah yang banyak memainkan peranan utama seperti sahabat Rasulullah s.a.w yang setia berjuang dan berjihad menegakkan kalimah Allah di muka bumi ini.

Jika kita melihat nama-nama besar seperti Saiyidina Utsman, Saiyidina 'Ali, 'Abdurrahman bin Auf, Ibnu Zubair, Ibnu Abbas dan ramai lagi sahabat-sahabat yang menjadi pendokong utama dan jentera pemuda penggerak pembinaan ketamadunan Islam. Sejarah juga pernah menyaksikan kehebatan Usamah bin Zaid, walaupun masih berusia 17 tahun tetapi mampu memimpin satu bala tentera untuk menyerang kerajaan Rom. Begitu juga kehebatan Muhammad Al-Fateh yang telah membuka Kota Konstantinopel (Istanbul) ketika usianya masih 21 tahun.

Begitu juga kisah "Ashabul Ukhdud", seorang kanak-kanak yang mempertahankan aqidahnya dengan menolak paksaan ahli sihir raja, supaya mengakui bahawa raja adalah tuhan. Namun, telah dilakukan beberapa kali percubaan untuk membunuhnya dengan menolaknya dari bukit yang tinggi dan melemparkannya ke laut, semuanya tidak berjaya sehinggalah kanak-kanak itu sendiri mencadangkan supaya dipanggil pemanah yang mahir dengan syarat melafazkan "Bismillahi Robbil Ghulam", yang bermaksud "Dengan nama Allah, Tuhan kanak-kanak itu", pada ketika melepaskan anak panahnya barulah ia menemui ajalnya. Tiba-tiba orang ramai yang berkumpul menyaksikan peristiwa tersebut dan melaungkan "Kami Beriman Dengan Tuhan Kanak-Kanak Itu".

Ringkasnya, peranan utama warga muda muslim hari ini ialah:

1. Menjadi hamba Allah yang bertaqwa di atas muka bumi ini.

2. Bertanggungjawab membina dan membangun diri dari segi intelektual, rohani, jasmani dan emosi.

3. Menjadi penyeru kepada kebaikan iaitu menjadikan gaya hidup yang sihat yang berteraskan Islam sebagai satu cara hidup.

4. Mencegah dan menghalang segala kemaksiatan dan amalan yang bertentangan dengan syariat Islam.

5. Menjadi pencetus, penggerak dan pembina tamadun Islam yang unggul, dihormati dan disegani masyarakat dunia.

Saudara kaum muslimin,

Dalam dunia yang serba moden dan kemajuan dunia global tanpa sempadan hari ini, banyak berlaku kebanjiran budaya negatif yang melanda negara di seluruh dunia. Pemuda hari ini bukan sahaja terdedah kepada masalah penyalah gunaan dadah yang semakin meruncing, tetapi mereka juga semakin diresapi budaya hedonisme iaitu berhibur secara keterlaluan, terjebak dalam perzinaan dan melakukan seks bebas, ketagihan dadah dan rokok, judi, arak, bahan porno (lucah) dan banyak lagi penyakit sosial yang amat membimbangkan kita.

Mana mungkin generasi muda yang mengamalkan gaya hidup sebegini mampu untuk memikul amanah sebagai pemimpin yang mengurus dan mentadbir serta menjamin kedaulatan negara dan kesucian agama Islam? Tentunya kegusaran ini turut dirasa dan dikongsi oleh semua generasi pewaris hari ini. Justeru, marilah kita sama-sama berganding bahu, bekerjasama dan bertanggung jawab membina anak bangsa kita dengan acuan dan cara hidup sihat yang berteraskan ajaran Islam yang suci ini. Firman Allah s.w.t dalam Surah At-Tahrim Ayat 6:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا قُوا أَنفُسَكُمْ وَأَهْلِيكُمْ نَارًا وَقُودُهَا النَّاسُ وَالْحِجَارَةُ عَلَيْهَا مَلَائِكَةٌ غِلَاظٌ شِدَادٌ لَّا يَعْصُونَ اللَّهَ مَا أَمَرَهُمْ وَيَفْعَلُونَ مَا يُؤْمَرُونَ ﴿٦﴾

Bermaksud: "Wahai orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari api neraka yang bahan bakarnya manusia dan batu, penjaganya malaikat-malaikat yang keras kasar, tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkan-Nya kepada mereka dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan".

Sidang jamaah yang budiman,

Mengakhiri khutbah Jumaat pada hari ini, mari kita mengambil pengajaran untuk dijadikan pedoman dalam kehidupan, antaranya:

1. Pemuda Islam hendaklah meningkatkan iman, akhlak dan peribadi mulia kerana ianya merupakan aset penting dan penyelamat kepada sesebuah negara.

2. Ibu bapa dan pemimpin masyarakat hendaklah berusaha meningkatkan imej dan keperibadian para pemuda dengan menyediakan pendidikan dan bimbingan yang sempurna.

3. Pemuda Islam hendaklah menjauhkan diri daripada aktiviti-aktiviti yang kurang sihat seperti budaya berhibur berlebihan, berpoya-poya, pergaulan bebas, ajaran sesat dan gerakan ekstrim yang boleh menghancurkan remaja pada masa depan.

4. Pemuda hari ini hendaklah mendekatkan diri dengan institusi-institusi Islam seperti masjid dan surau serta berusaha melibatkan diri dalam pengimarahannya.

5. Masyarakat dan pemimpin perlu mendekati pemuda dengan membimbing dan menaruh kepercayaan kepada belia untuk melaksanakan aktiviti-aktiviti yang positif untuk membangunkan agama dan masyarakat.

Firman Allah s.w.t dalam Surah Al-Kahf Ayat 10:

إِذْ أَوَى الْفِتْيَةُ إِلَى الْكَهْفِ فَقَالُوا رَبَّنَا آتِنَا مِن لَّدُنكَ رَحْمَةً وَهَيِّئْ لَنَا مِنْ أَمْرِنَا رَشَدًا ﴿١٠﴾

Bermaksud: "Ingatlah ketika serombongan orang muda pergi ke gua, lalu mereka berdoa: Wahai Tuhan kami! Kurniakanlah kami rahmat dari sisi-Mu dan berilah kemudahan-kemudahan serta pimpinan kepada kami untuk keselamatan agama kami".

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بالقُرْآنِ العَظِيْمِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ، أَقُولُ قَوْلِي هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ الْأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالْأَمْوَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ، إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ.


Khutbah Kedua


الْحَمْدُ لِلَّهِ حَمْدًا كَثِيْرًا كَمَا أَمَرَ.  أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَاَشْهَدُ اَنَّ سَيِّدِيْنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ، اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدٍ وَعَلىَ آلــِهِ وَأَصْحَابِهِ اَجْمَعِيْنَ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله! اِتَّقُوْا اللهَ وَكُنُواْ مَعَ الصَّادِقِينَ. فَقَالَ اللهُ تَعَالَى:
أَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ ۚ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا ﴿٥٦﴾

Bermaksud: "Sesungguhnya Allah dan malaikat berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad s.a.w), wahai orang-orang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucaplah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya". (Surah Al-Ahzab: Ayat 56)

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَبَارِكْ عَلى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا بَارَكْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ فِي الْعَالَمِينَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ. 

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ والْمُؤمِنَاتِ، وَأَصْلِحْ ذَاتَ بَيْنِهِمْ وَأَلِّفْ بَيْنَ قُلُوْبِهِمْ وَاجْعَلْ فِيْ قُلُوْبِهِمُ اْلإِيْمَانَ وَاْلحِكْمَةَ وَثَبِّتْهُمْ عَلَى مِلَّةِ رَسُوْلِ اللهِ.
اَللَّهُمَّ أَعِزَّ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ، اَللَّهُمَّ انْصُرِ الدُّعَاةَ وَالْمُجَاهِدِيْنَ،   اَللَّهُمَّ انْصُرِ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ فِي كُلِّ مَكَانٍ وَفِي كُلِّ زَمَانٍ.  

Ya Allah, ampunilah seluruh kaum muslimin dan muslimat serta berilah rasa tanggungjawab dalam diri kami ini untuk melaksanakan perintah-Mu dan berikanlah kebencian kepada kami terhadap larangan-Mu. Ya Allah, didikkanlah diri kami ini untuk mendirikan solat fardhu secara berjamaah, mengeluarkan zakat dan bersifat dengan sifat-sifat mahmudah yang lain. Kurniakanlah kepada kami nikmat yang berpanjangan , kesihatan yang berkekalan, hati yang khusyuk serta penuh keikhlasan dalam melakukan amal kebaikan.

Ya Allah, kurniakanlah sepenuh taufiq dan hidayah-Mu terhadap Raja kami, Duli Yang Maha mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Al-Marhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah al-Maghfurulahu dan Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan Tuanku Zara Salim serta kerabat dan seluruh rakyat jelata sekalian.

رَبَّنَا ءَاتنِاَ فِى الدُّنْياَ حَسَنَةً وَفِى الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.
عِبَادَ اللهِ، اِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِاْلعَدْلِ وَالأِحْسَانِ وَإِيْتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَاْلمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُوْنَ. فَاذْكُرُوْا اللهَ الْعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ وَاشْكُرُوْهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ وَلَذِكْرُاللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ. 


Teks asal khutbah ini boleh dimuat turun dari Laman Web Rasmi Jabatan Agama Islam Perak. Klik sini - http://jaipk.perak.gov.my/component/phocadownload/category/59-april-2017