Friday, March 24, 2017

KHUTBAH JUMAAT - 25 JAMADIL AKHIR 1438 / 24 MAC 2017


INTERGRITI MELONJAK KUALITI HIDUP

Khutbah Pertama

الْحَمْدُ لِلَّهِ الْقَائِلِ:
مِّنَ الْمُؤْمِنِينَ رِجَالٌ صَدَقُوا مَا عَاهَدُوا اللَّهَ عَلَيْهِ ۖ فَمِنْهُم مَّن قَضَىٰ نَحْبَهُ وَمِنْهُم مَّن يَنتَظِرُ ۖ وَمَا بَدَّلُوا تَبْدِيلًا ﴿٢٣﴾

Bermaksud: "Di antara orang yang beriman itu, ada lelaki yang bersikap benar menunaikan apa yang telah dijanjikannya kepada Allah, maka di antara mereka ada yang telah selesai menjalankan janjinya itu dan di antaranya ada yang menunggu giliran dan mereka pula tidak mengubah janji mereka itu sedikit pun". (Surah Al-Ahzab Ayat 23)

أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلا اللهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ. اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدٍ خَاتَمِ الْأَنْبِيَاءِ وَالْمُرْسَالِينَ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِينَ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَاعِبَادَ اللهِ، اتَّقُوا اللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنتُم مُّسْلِمُونَ. 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Saya menyeru kepada diri saya sendiri dan kepada sidang Jumaat sekalian, marilah sama-sama kita perbaiki diri dengan meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah s.w.t yakni dengan melakukan segala titah perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Sebelum meneruskan khutbah, saya ingin berpesan kepada sidang jamaah sekalian agar menumpukan perhatian dan jangan bercakap-cakap sewaktu khutbah disampaikan. Mudah-mudahan kita beroleh manfaat untuk kebaikan di dunia dan di akhirat. Khutbah pada hari ini akan membicarakan tajuk, "Integriti Melonjak Kualiti Hidup".

Sidang Jumaat yang berbahagia,

Integriti seseorang individu adalah manifestasi daripada keperibadian dan tingkah lakunya setelah mengharungi dan mengalami proses pendidikan, pelajaran dan sosialisasi yang agak panjang. Bila mana kita membicarakan soal integriti, maka akan tercetuslah pelbagai persepsi dan pendapat dalam kalangan kita terutamanya dalam kalangan penjawat awam. Isu penyalahgunaan kuasa, pecah amanah, rasuah, penyelewengan walaupun dilakukan segelintir individu sahaja, namun tempiasnya tetap terkena kepada keseluruhan penjawat awam yang lain.

Sekalipun elemen-elemen integriti untuk peningkatan kualiti kerja telah lama diterapkan ke dalam perkhidmatan awam melalui pelbagai program, peraturan, pekeliling dan kempen seperti piagam pelanggan, hari bertemu pelanggan, manual prosedur kerja dan fail meja, sistem pengurusan akauntabiliti dan berintegriti, kempen bersih cekap amanah, laporan perisytiharan harta dan program penerapan nilai-nilai Islam. Namun, segala dasar dan polisi berkaitan seolah-olah masih gagal dihayati dengan sepenuh hati. Bukankah Allah s.w.t ada menyatakan bahawa segala yang kita lakukan itu sentiasa diperhatikan dan dicatat. Firman Allah s.w.t dalam Surah At-Taubah Ayat 105:

وَقُلِ اعْمَلُوا فَسَيَرَى اللَّهُ عَمَلَكُمْ وَرَسُولُهُ وَالْمُؤْمِنُونَ ۖ وَسَتُرَدُّونَ إِلَىٰ عَالِمِ الْغَيْبِ وَالشَّهَادَةِ فَيُنَبِّئُكُم بِمَا كُنتُمْ تَعْمَلُونَ ﴿١٠٥﴾

Bermaksud: "Dan katakanlah: Beramallah kamu, maka Allah dan Rasul-Nya dan orang mukminin akan melihat apa yang kamu kerjakan dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) yang Mengetahui perkara-perkara yang ghaib dan yang nyata, kemudia Dia menerangkan kepada kamu apa yang kamu telah lakukan". 

Ayat ini menunjukkan kepada kita bahawa amalan integriti itu bermula dari dalam diri kita sendiri atas keyakinan bahawa segala apa yang kita lakukan tidak terlepas daripada pengetahuan Allah s.w.t. Sekiranya keyakinan ini ada pada setiap individu, maka tidak mungkin mereka sanggup melakukan perkara-perkara yang bertentangan dengan nilai-nilai integriti.

Sidang jamaah yang dimuliakan,

Penghayatan nilai integriti akan melonjak kualiti hidup seseorang itu kepada keutuhan akhlak, kewibawaan dan ketaqwaan manusia itu sendiri. Islam mengajar kita bagaimana untuk menghayati akhlak yang mulia dan terpuji yang diperjuangkan oleh baginda Rasulullah s.a.w sebagaimana yang telah diriwayatkan oleh Imam Ahmad daripada Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah s.a.w telah bersabda:

إنَّمَا بُعِثْتُ لِأُتَمِّمَ مَكَارِمَ الأَخْلاَقِ

Bermaksud: "Sesungguhnya aku diutus untuk menyempurnakan (manusia dengan) akhlak yang mulia".

Sehubungan itu sebagai seorang Islam, kita hendaklah benar-benar menghayati nilai-nilai integriti terutama sekali dalam pasukan keselamatan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM). Sebagai badan penguatkuasa yang utama di negara ini, menjadi tanggungjawab PDRM menzahirkan sifat-sifat integriti dalam melaksanakan tugas yang diamanahkan dengan penuh disiplin dan komited kerana ia merupakan tuntutan Islam. Sebaliknya, jika ia tidak dihayati dan diamalkan nescaya akan berleluasanya kemungkaran dan khianat sehingga boleh menyebabkan  kacau bilau dan huru hara sesebuah negara.

Sidang jamaah yang dirahmati Allah,

Dalam konteks kepimpinan yang berintegriti hari ini, kita boleh mengambil contoh kepimpinan Sultan Muhammad Al-Fateh dan tenteranya yang berjaya membuka Kota Konstantinopel. Sebenarnya, antara faktor besar yang menyumbang kejayaan tersebut adalah kesepaduan nilai integriti kepimpinan dan nilai integriti sepasukan yang cukup kental. Ini bertepatan dengan hadits yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad iaitu:

قَالَ حَدَّثَنِي عَبْدُ اللَّهِ بْنُ بِشْرٍ الْخَثْعَمِيُّ عَنْ أَبِيهِ أَنَّهُ سَمِعَ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ لَتُفْتَحَنَّ الْقُسْطَنْطِينِيَّةُ فَلَنِعْمَ الْأَمِيرُ أَمِيرُهَا وَلَنِعْمَ الْجَيْشُ ذَلِكَ الْجَيْشُ

Bermaksud: "Berkata Abdullah bin Bisyri Al-Khas'ami daripada bapanya yang telah mendengar Nabi s.a.w bersabda: Konstantinopel (kini Istanbul) akan dibuka (jatuh ke tangan tentera Islam), maka sebaik-baik raja adalah rajanya dan sebaik-baik tentera adalah tentera itu".

Tuntasnya, tugas pasukan polis bukan semata-mata menjaga keselamatan dan keamanan dari segi fizikal, tetapi mencakupi aspek yang lebih luas dari itu. Ini digariskan dalam lima matlamat maqasid syar'iyyah iaitu:

1. Menjaga Agama

2. Menjaga nyawa

3. Menjaga akal

4. Menjaga keturunan dan

5. Menjaga harta benda.

Oleh yang demikian, pada hemat mimbar setiap anggota polis perlu sentiasa berusaha memastikan kesemua matlamat syarak ini dapat dicapai. Jika penghayatan nilai-nilai integriti ini ditinggalkan, ia akan memberi kesan negatif yang cukup besar sehingga boleh berlakunya penyalahgunaan kuasa, penyelewengan dan gejala rasuah, mengancam keselamatan negara malah akan hilang keredhaan Allah s.w.t dan keberkatan rezeki.

Sidang Jumaat yang budiman,

Sempena memperingati Hari Polis ke-210, marilah kita bersama-sama mendoakan kesejahteraan seluruh warga PDRM dan pasukan keselamatan di negara ini berada di dalam rahmat dan perlindungan Allah jua. Semoga mereka dapat mencapai prestasi yang lebih cemerlang dan terus cekal berhadapan dengan apa jua cabaran yang mendatang. Mengakhiri khutbah pada hari ini, terdapat beberapa elemen penting yang dapat menerap dan memperkukuhkan penghayatan serta pembudayaan nilai-nilai intergriti dalam kehidupan kita, iaitu:

Pertama: Umat Islam hendaklah memantapkan pegangan iman dan menguatkan ketinggian sakhsiyyah bagi memastikan terus istiqamah dengan sifat-sifat mahmudah dan integriti dalam diri.

Kedua: Umat Islam hendaklah menekankan aspek asuhan dan pendidikan yang mempunyai nilai-nilai murni dan berintegriti bermula dari peringkat awal usia lagi dan

Ketiga: Penguatkuasaan undang-undang perlu terus dipergiatkan supaya masyarakat sedar akan kemudaratan pengabaian nilai-nilai integriti yang boleh mengancam keselamatan negara.

Firman Allah s.w.t dalam Surah An-Nisa' Ayat 58:

۞ إِنَّ اللَّهَ يَأْمُرُكُمْ أَن تُؤَدُّوا الْأَمَانَاتِ إِلَىٰ أَهْلِهَا وَإِذَا حَكَمْتُم بَيْنَ النَّاسِ أَن تَحْكُمُوا بِالْعَدْلِ ۚ إِنَّ اللَّهَ نِعِمَّا يَعِظُكُم بِهِ ۗ إِنَّ اللَّهَ كَانَ سَمِيعًا بَصِيرًا ﴿٥٨﴾

Bermaksud: "Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya) dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhan-Nya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat".

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بالقُرْآنِ العَظِيْمِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ، أَقُولُ قَوْلِي هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ الْأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالْأَمْوَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ، إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ.


Khutbah Kedua


الْحَمْدُ لِلَّهِ حَمْدًا كَثِيْرًا كَمَا أَمَرَ.  اَشْهَدُ اَنْ لاَ إِلَـٰهَ اِلاَّ الله، وَاَشْهَدُ اَنَّ سَيِّدِيْنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ، اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدٍ وَعَلىَ آلــِهِ وَأَصْحَابِهِ اَجْمَعِيْنَ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله! اِتَّقُوْا اللهَ وَكُنُواْ مَعَ الصَّادِقِينَ. فَقَالَ اللهُ تَعَالَى:
أَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ ۚ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا ﴿٥٦﴾

Bermaksud: "Sesungguhnya Allah dan malaikat berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad s.a.w), wahai orang-orang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucaplah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya". (Surah Al-Ahzab: Ayat 56)

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَبَارِكْ عَلى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا بَارَكْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ فِي الْعَالَمِينَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ. 

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ والْمُؤمِنَاتِ، وَأَصْلِحْ ذَاتَ بَيْنِهِمْ وَأَلِّفْ بَيْنَ قُلُوْبِهِمْ وَاجْعَلْ فِيْ قُلُوْبِهِمُ اْلإِيْمَانَ وَاْلحِكْمَةَ وَثَبِّتْهُمْ عَلَى مِلَّةِ رَسُوْلِ اللهِ.
اَللَّهُمَّ أَعِزَّ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ، اَللَّهُمَّ انْصُرِ الدُّعَاةَ وَالْمُجَاهِدِيْنَ،   اَللَّهُمَّ انْصُرِ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ فِي كُلِّ مَكَانٍ وَفِي كُلِّ زَمَانٍ.  

Ya Allah, ampunilah seluruh kaum muslimin dan muslimat serta berilah rasa tanggungjawab dalam diri kami ini untuk melaksanakan perintah-Mu dan berikanlah kebencian kepada kami terhadap larangan-Mu. Ya Allah, didikkanlah diri kami ini untuk mendirikan solat fardhu secara berjamaah, mengeluarkan zakat dan bersifat dengan sifat-sifat mahmudah yang lain. Kurniakanlah kepada kami nikmat yang berpanjangan , kesihatan yang berkekalan, hati yang khusyuk serta penuh keikhlasan dalam melakukan amal kebaikan.

Ya Allah, bantulah saudara-saudara kami yang berkhidmat di dalam pasukan Polis Diraja Malaysia. Anugerahilah mereka kesungguhan untuk menunaikan amanah mempertahankan kedaulatan negara. Hiasilah diri mereka dengan akhlak yang sempurna. Jauhilah mereka daripada pengkhianatan dan pencabulan terhadap kedaulatan negara.

Ya Allah, kurniakanlah sepenuh taufiq dan hidayah-Mu terhadap Raja kami, Duli Yang Maha mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Al-Marhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah al-Maghfurulahu dan Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan Tuanku Zara Salim serta kerabat dan seluruh rakyat jelata sekalian.

رَبَّنَا ءَاتنِاَ فِى الدُّنْياَ حَسَنَةً وَفِى الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.
عِبَادَ اللهِ، اِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِاْلعَدْلِ وَالأِحْسَانِ وَإِيْتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَاْلمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُوْنَ. فَاذْكُرُوْا اللهَ الْعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ وَاشْكُرُوْهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ وَلَذِكْرُاللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ. 


Teks asal khutbah ini boleh dimuat turun dari Laman Web Rasmi Jabatan Agama Islam Perak. Klik sini - http://jaipk.perak.gov.my/component/phocadownload/category/58-mac-2017

No comments:

Post a Comment