Friday, February 24, 2017

KHUTBAH JUMAAT TUAN GURU PRESIDEN PAS - 27 JAMADIL AWAL 1438 / 24 FEBRUARI 2017


KEWAJIBAN MENUNAIKAN AMANAH

الْحَمْدُ لِلَّهِ الْذِي أَرْسَلَ رَسُولَهُ بِالْهُدَىٰ وَدِينِ الْحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّينِ كُلِّهِ ۚ وَلَوْ كَرِهَ الْمُشْرِكُونَ. أَشْهَدُ أَن لَّا إِلَهَ إِلَّا ٱللَّهُ وَحْدَهُۥ لَا شَرِيكَ لَهُ، لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ. وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا  عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ، أَرْسَلَهُ اللهُ بَشِيْرًا وَنَذِيْرًا بَيْنَ يَدَيِ السَّاعَةِ، فَأَدَّى الْأَمَنَةَ، وَبَلَّغَ الرِّسَالَةَ، وَنَصَحَ لِلْأُمَّةَ وَجَاهَدَ فِى اللهِ حَقَّ جِهَادِهِ. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ أَشْرَفِ الْأَنْبِيَاءِ الْمُرْسَلِينَ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِينَ وَالتَّابِعِيْنَ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ. 
أَمَّا بَعْدُ:
فَيَاعِبَادَ اللهِ، اِتَّقُوْا اللهَ، وَتَزَوَّدُوا فَإِنَّ خَيْرَ الزَّادِ التَّقْوَى، فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ.

Wahai hamba-hamba Allah, bertaqwalah kamu kepada Allah dengan mengikut segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Carilah bekalan, maka sesungguhnya sebaik-baik bekalan ialah bertaqwa kepada Allah. Maka sesungguhnya berjayalah orang-orang yang bertaqwa.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Marilah kita mendengar perintah Allah s.w.t di dalam Al-Quranul Karim:

۞ إِنَّ اللَّهَ يَأْمُرُكُمْ أَن تُؤَدُّوا الْأَمَانَاتِ إِلَىٰ أَهْلِهَا وَإِذَا حَكَمْتُم بَيْنَ النَّاسِ أَن تَحْكُمُوا بِالْعَدْلِ ۚ إِنَّ اللَّهَ نِعِمَّا يَعِظُكُم بِهِ ۗ إِنَّ اللَّهَ كَانَ سَمِيعًا بَصِيرًا ﴿٥٨﴾ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَطِيعُوا اللَّهَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ وَأُولِي الْأَمْرِ مِنكُمْ ۖ فَإِن تَنَازَعْتُمْ فِي شَيْءٍ فَرُدُّوهُ إِلَى اللَّهِ وَالرَّسُولِ إِن كُنتُمْ تُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ ۚ ذَ‌ٰلِكَ خَيْرٌ وَأَحْسَنُ تَأْوِيلًا ﴿٥٩﴾ (Surah An-Nisa' : 58 - 59)

(Maksudnya): Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhanNya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat. Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada "Ulil-Amri" (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya - jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya.

Allah s.w.t menugaskan kepada hamba-Nya suatu tugas yang dinamakan amanah, tugas yang sangat besar yang disebut oleh Allah s.w.t betapa besarnya tugas amanah ini.

إِنَّا عَرَضْنَا الْأَمَانَةَ عَلَى السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ وَالْجِبَالِ فَأَبَيْنَ أَن يَحْمِلْنَهَا وَأَشْفَقْنَ مِنْهَا وَحَمَلَهَا الْإِنسَانُ ۖ إِنَّهُ كَانَ ظَلُومًا جَهُولًا ﴿٧٢﴾ (Surah Al-Ahzab : 72)

(Maksudnya): Sesungguhnya Kami telah kemukakan tanggungjawab amanah (Kami) kepada langit dan bumi serta gunung-ganang (untuk memikulnya), maka mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakannya (kerana tidak ada pada mereka persediaan untuk memikulnya); dan (pada ketika itu) manusia (dengan persediaan yang ada padanya) sanggup memikulnya. (Ingatlah) sesungguhnya tabiat kebanyakan manusia adalah suka melakukan kezaliman dan suka pula membuat perkara-perkara yang tidak patut dikerjakan.

Apakah yang dimaksudkan dengan amanah itu? Para ulamak menyatakan amanah itu adalah syari'at atau hukum atau peraturan Allah s.w.t. Apabila Allah s.w.t menyatakan janji-Nya, barangsiapa yang melaksanakan hukum dan syari'at-Nya dengan betul di alam dunia ini balasannya syurga di hari akhirat dengan pahala yang berlipat kali ganda, suatu kelebihan yang sangat besar.

Ingat! Barangsiapa yang mengkhianati atau tidak menunaikannya akan dihumban ke dalam neraka. Ini menyebabkan langit, bumi, bukit bukau dan gunung ganang yang besar itu gementar, tidak bersedia untuk memikulnya. Makhluk manusia ditetapkan oleh Allah s.w.t untuk menerima amanah melaksanakan syari'at. Mengapa? Kerana manusia bersifat dengan sifat yang tidak ada pada makhluk-makhluk yang lain. Manusia punya jasad (tubuh badan), akal fikiran dan roh yang berbeza dengan malaikat, jin, kayu, batu dan binatang. Dengan sifat ada pada diri manusia itu, maka manusia layak menerima amanah itu.

Itulah ketetapan Allah s.w.t. Maka Allah s.w.t melantik rasul-rasul 'alaihimus solatu wassalam untuk mengajar dan memimpin manusia menjadi contoh dan tauladan. Diturunkan kitab, berakhir dengan Al-Quranul Karim dan Nabi akhir zaman, Muhammad s.a.w. Dibuktikan apabila syari'at Allah s.w.t dilaksanakan oleh Rasulullah s.a.w, disambung oleh para sahabat radhiAllahu 'anhum, menjadikan keadilan Allah s.w.t wujud di atas muka bumi.

Mana-mana negeri yang dimasuki oleh Islam, rakyat yang dizalimi, ditindas dan dianiaya menerima kedatangan Islam. Mereka berada dalam keadaan aman dan baik, tidak ada tindas menindas di antara satu sama lain, tidak berani melakukan kejahatan kerana syari'at Allah s.w.t berasaskan dua perkara yang penting iaitu beriman kepada Allah dan beriman kepada hari akhirat.

Beriman kepada Allah menjadikan tidak ada manusia sama ada raja, pemimpin, rakyat, ulamak, jahil mengatasi hukum Allah s.w.t. Semua manusia tunduk di bawah hukum Allah s.w.t, termasuk Nabi Muhammad s.a.w yang menyatakan beberapa hari sebelum kewafatannya: "Sesiapa daripada kalangan kamu yang aku malukan dia sila balas, sesiapa yang dirinya aku zalimi sila balas, sesiapa yang aku ambil hartanya sila beritahu aku untuk aku gantikan hartanya".

Dalam peristiwa yang lain menyebut:

وَاللَّهِ لَوْ كَانَتْ فَاطِمَةُ بِنْتُ مُحَمَّدٍ لَقَطَعْتُ يَدَهَا. [رواه أحمد]

(Maksudnya): Demi Allah, sekiranya puteri (anak perempuan) kesayanganku Fatimah binti Muhammad mencuri, nescaya aku hukum potong tangannya.

Beriman kepada Allah s.w.t menjadikan tiada siapa yang boleh lepas daripada hukum sekiranya melakukan kezaliman, kejahatan dan penipuan. Manakala beriman kepada hari akhirat pula, tidak ada siapa yang boleh melepaskan diri kerana kehidupan manusia itu bukan di alam dunia ini sahaja, akan disoal di dalam kuburnya, dibangkitkan semula, dihisab dan dikira amalannya serta dibicarakan pada hari kiamat. Tidak ada siapa yang boleh melepaskan diri jika melakukan kesalahan sekiranya dia tidak bertaubat. Syari'at Allah s.w.t mewujudkan keamanan dan keadilan yang sebenarnya.

Bagaimana untuk melaksanakan syari'at Allah s.w.t, mestilah menunaikan amanah. Rakyat mestilah memilih pemimpin-pemimpin yang melaksanakan syari'at Allah s.w.t, bukan memilih pemimpin kerana duitnya atau kekayaannya atau hartanya atau dunianya. Sekiranya rakyat memilih pemimpin bukan kerana syari'at Allah s.w.t, rakyat itu khianat dan akan dihumban ke dalam neraka seperti amaran Allah s.w.t.

Pemimpin yang dipilih juga wajib melaksanakan syari'at Allah s.w.t. Sekiranya pemimpin itu meninggalkan kewajipan melaksanakan syari'at Allah s.w.t, pemimpin itu akan dihumban ke dalam neraka sekiranya dia tidak bertaubat.

Para ulamak diwajibkan memelihara ilmu Allah s.w.t dalam kitab Allah dan ajaran Rasulullah s.a.w, tidak boleh khianat sekali-kali. Inilah jaminan Islam, satu ajaran yang menjamin kebaikan kepada seluruh manusia yang sangat menakutkan musuh-musuh Islam. Hari ini musuh-musuh Islam takut jika sekiranya syari'at dilaksanakan. Maka umat Islamlah yang menjadi umat yang kuat, hebat dan mulia serta boleh memimpin dunia. Mereka tidak mahu umat Islam memimpin dunia. Maka ditipu dan dijahilkan umat Islam dengan berbagai-bagai cara.

Marilah kita insaf dan sedar betapa kewajipan kita menunaikan amanah syari'at Allah s.w.t.

أَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
إِنَّا أَنزَلْنَا إِلَيْكَ الْكِتَابَ بِالْحَقِّ لِتَحْكُمَ بَيْنَ النَّاسِ بِمَا أَرَاكَ اللَّهُ ۚ وَلَا تَكُن لِّلْخَائِنِينَ خَصِيمًا ﴿١٠٥﴾ (Surah An-Nisa' : 105)

(Maksudnya): Sesungguhnya Kami menurunkan kepadamu (wahai Muhammad) Kitab (Al-Quran) dengan membawa kebenaran, supaya engkau menghukum di antara manusia menurut apa yang Allah telah tunjukkan kepadamu (melalui wahyuNya); dan janganlah engkau menjadi pembela bagi orang-orang yang khianat.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي الْكِتَابِ وَالسُنَّةِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِالآيَاتِ وَالْحِكْمَةِ، أَقُولُ قَوْلِى هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ.


Teks asal khutbah ini boleh dimuat turun dari Google Drive. Klik sini - https://drive.google.com/open?id=0B_U6Muz3zhXMaU9MUnlCVzJQYUE

No comments:

Post a Comment