Friday, February 10, 2017

KHUTBAH JUMAAT TUAN GURU PRESIDEN PAS - 13 JAMADIL AWAL 1438 / 10 FEBRUARI 2017


KEJADIAN MANUSIA DIKEMBALIKAN KEPADA ALLAH

الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي لَمْ يَتَّخِذْ وَلَدًا وَلَمْ يَكُن لَّهُ شَرِيكٌ فِي الْمُلْكِ وَلَمْ يَكُن لَّهُ وَلِيٌّ مِّنَ الذُّلِّ ۖ وَكَبِّرْهُ تَكْبِيرًا. أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ. وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ، وَالْبَدْرُ الدُّجَىٰ، وَالسِّرَاجُ الْمُنِيرُ. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلَى حَبِيبِنَا وَشَفِيعِنَا وَإِمَامِنَا وَقُدْوَتِنَا مُحَمَّدٍ، ٱلرَّحْمَةِ  الْمُهْدَاةِ وَالنِّعْمَةِ الْمُسْدَاةِ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ وَمَنْ تَبِعَهُۥ وَنَصَرَهُ وَوَالَاهُ.
أَمَّا بَعْدُ:
فَيَاعِبَادَ اللهِ، اِتَّقُوْا اللهَ، وَتَزَوَّدُوا فَإِنَّ خَيْرَ الزَّادِ التَّقْوَى، فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ.

Wahai hamba-hamba Allah, bertaqwalah kamu kepada Allah dengan mengikut segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Carilah bekalan, maka sesungguhnya sebaik-baik bekalan ialah bertaqwa kepada Allah. Maka sesungguhnya berjaya dan selamatlah orang-orang yang bertaqwa.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Marilah kita memberi jawapan kepada solan Allah s.w.t yang disebut di dalam Al-Quranul Karim:

كَيْفَ تَكْفُرُونَ بِاللَّهِ وَكُنتُمْ أَمْوَاتًا فَأَحْيَاكُمْ ۖ ثُمَّ يُمِيتُكُمْ ثُمَّ يُحْيِيكُمْ ثُمَّ إِلَيْهِ تُرْجَعُونَ ﴿٢٨﴾ (Surah Al-Baqarah: 28)

(Maksudnya): Bagaimana kamu tergamak kufur (mengingkari) Allah padahal kamu dahulunya mati (belum lahir), kemudian Dia menghidupkan kamu; setelah itu Dia mematikan kamu, kemudian Dia menghidupkan kamu pula (pada hari akhirat); akhirnya kamu dikembalikan kepadaNya (untuk diberi balasan bagi segala yang kamu kerjakan).

Itulah riwayat hidup kejadian manusia yang perlu diimani, bukan sahaja diketahui, yang bermula daripada tiada langsung, kemudian Allah s.w.t mengadakan di alam dunia ini dengan kejadian yang istimewa, berbeza dengan makhluk-makhluk yang lain, berbeza dengan malaikat, berbeza dengan jin dan syaitan, berbeza dengan binatang, berbeza dengan kayu dan batu. Manusia dikurniakan jasad, diberi roh, diberi nyawa dan diberi akal fikiran, serta boleh bergerak ke sana ke mari.

قُلْ هُوَ الَّذِي أَنشَأَكُمْ وَجَعَلَ لَكُمُ السَّمْعَ وَالْأَبْصَارَ وَالْأَفْئِدَةَ ۖ قَلِيلًا مَّا تَشْكُرُونَ ﴿٢٣﴾ قُلْ هُوَ الَّذِي ذَرَأَكُمْ فِي الْأَرْضِ وَإِلَيْهِ تُحْشَرُونَ ﴿٢٤﴾ وَيَقُولُونَ مَتَىٰ هَـٰذَا الْوَعْدُ إِن كُنتُمْ صَادِقِينَ ﴿٢٥﴾ قُلْ إِنَّمَا الْعِلْمُ عِندَ اللَّهِ وَإِنَّمَا أَنَا نَذِيرٌ مُّبِينٌ ﴿٢٦﴾ (Surah Al-Mulk: 23 - 26)

(Maksudnya): Katakanlah (wahai Muhammad): "Allah yang menciptakan kamu (dari tiada kepada ada), dan mengadakan bagi kamu pendengaran dan penglihatan serta hati (untuk kamu bersyukur, tetapi) amatlah sedikit kamu bersyukur". Katakanlah lagi: "Dia lah yang mengembangkan kamu di bumi, dan kepadaNyalah kamu akan dihimpunkan". Dan mereka (yang ingkar) berkata: "Bilakah datangnya (hari kiamat) yang dijanjikan itu, jika betul kamu orang-orang yang benar?" Katakanlah (wahai Muhammad): "Sesungguhnya ilmu pengetahuan (tentang masa kedatangannya) hanya ada pada sisi Allah, dan sesungguhnya aku hanyalah seorang Rasul pemberi ingatan dan amaran yang terang nyata".

Allah s.w.t mengingatkan kita betapa kejadian kita di atas muka bumi ini adalah nikmat daripada Allah s.w.t yang mewajibkan kita bersyukur kepada-Nya. Dijadikan kita makhluk yang istimewa, boleh mendengar, boleh melihat, boleh berfikir dan berbagai kemampuan yang ada pada manusia yang tidak ada pada makhluk yang lain, membolehkan manusia yang dilibatkan di atas muka bumi yang penuh dengan kejadian-kejadian Allah s.w.t. Yang boleh mentadbir bumi hanya manusia, bukannya makhluk malaikat, walaupun malaikat itu sangat taat kepada Allah s.w.t.

وَإِذْ قَالَ رَبُّكَ لِلْمَلَائِكَةِ إِنِّي جَاعِلٌ فِي الْأَرْضِ خَلِيفَةً ۖ قَالُوا أَتَجْعَلُ فِيهَا مَن يُفْسِدُ فِيهَا وَيَسْفِكُ الدِّمَاءَ وَنَحْنُ نُسَبِّحُ بِحَمْدِكَ وَنُقَدِّسُ لَكَ ۖ قَالَ إِنِّي أَعْلَمُ مَا لَا تَعْلَمُونَ ﴿٣٠﴾

(Maksudnya): Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada malaikat; "Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi". Mereka bertanya (tentang hikmat ketetapan Tuhan itu dengan berkata): "Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal kami sentiasa bertasbih dengan memujiMu dan mensucikanMu?". Tuhan berfirman: "Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya".

Hanya kejadian manusia dengan sifat-sifat yang ada pada mereka boleh bertugas di atas muka bumi. Kejadian malaikat tidak boleh dan tidak mungkin bertugas di atas muka bumi.

Itulah kelebihan manusia yang dikurniakan oleh Allah s.w.t. Bagi membantu manusia, Allah s.w.t melantik rasul-rasul 'alaihimus solatu wassalam, nabi-nabi dan para ulamak yang memelihara ajaran Allah, petunjuk daripada Allah s.w.t yang disimpan di dalam kitab Allah yang berakhir dengan Al-Quranul Karim yang dibawa oleh nabi akhir zaman, Muhammad s.a.w.

Malangnya terlalu ramai dalam kalangan manusia, bukan sahaja melantik tuhan-tuhan yang lain daripada Allah s.w.t, bahkan mereka mengadakan peraturan-peraturan dan undang-undang sendiri dalam perkara yang tidak diizinkan oleh Allah s.w.t.

أَمْ لَهُمْ شُرَكَاءُ شَرَعُوا لَهُم مِّنَ الدِّينِ مَا لَمْ يَأْذَن بِهِ اللَّهُ ۚ... ﴿٢١﴾ (Surah As-Syura: 21)

(Maksudnya): Patutkah mereka mempunyai sekutu-sekutu yang menentukan - mana-mana bahagian dari agama mereka - sebarang undang-undang yang tidak diizinkan oleh Allah?

Di sana terlalu banyak perkara yang diizin oleh Allah s.w.t. Manusia boleh menggunakan akal fikiran, ilmu dan kajian yang terlalu banyak melimpah ruah di atas muka bumi. Tetapi di sana ada perkara yang tidak mungkin difikir oleh akal manusia yang lemah. Dalam perkara yang lemah inilah Allah s.w.t meletakkan nas dan keterangan yang nyata serta sempadan supaya manusia tidak melanggarnya sehingga merosakkan diri mereka sendiri, merosakkan makhluk-makhluk yang lain, merosakkan muka bumi ini apabila manusia melakukan perkara yang tidak diizinkan oleh Allah s.w.t dan melanggar sempadan Allah s.w.t.

Maka Allah s.w.t memberi amaran dengan keburukan yang berlaku di dalam dunia hari ini.

ظَهَرَ الْفَسَادُ فِي الْبَرِّ وَالْبَحْرِ بِمَا كَسَبَتْ أَيْدِي النَّاسِ لِيُذِيقَهُم بَعْضَ الَّذِي عَمِلُوا لَعَلَّهُمْ يَرْجِعُونَ ﴿٤١﴾ (Surah Ar-Rum: 41)

(Maksudnya): Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).

Allah s.w.t menunjukkan bukan sahaja musim yang tidak menentu, cuaca yang tidak menentu, hujan ribut yang tidak menentu, berlaku penyakit-penyakit yang tidak menentu, berlakunya kadar jenayah dan huru-hara di seluruh pelusuk dunia. Puncanya kerana manusia merosakkan alam dan diri mereka dengan meninggalkan Islam dan petunjuk Allah s.w.t.

Ingatlah bahawa kejadian manusia itu akan dikembalikan kepada Allah s.w.t untuk dibicarakan. Maka bahagialah mereka yang beribadat dan menunaikan perintah Allah s.w.t serta celakalah mereka yang derhaka dan kufur menentang Allah s.w.t, celaka di dunia dan celaka di hari akhirat.

أَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
أَفَحَسِبْتُمْ أَنَّمَا خَلَقْنَاكُمْ عَبَثًا وَأَنَّكُمْ إِلَيْنَا لَا تُرْجَعُونَ ﴿١١٥﴾ (Surah Al-Mukminun: 115)

(Maksudnya): Maka adakah patut kamu menyangka bahawa Kami hanya menciptakan kamu (dari tiada kepada ada) sahaja dengan tiada sebarang hikmah pada ciptaan itu? Dan kamu (menyangka pula) tidak akan dikembalikan kepada Kami?

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي الْكِتَابِ وَالسُنَّةِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِالآيَاتِ وَالْحِكْمَةِ، أَقُولُ قَوْلِى هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ.


Teks asal khutbah ini boleh dimuat turun dari Google Drive. Klik sini - https://drive.google.com/open?id=0B_U6Muz3zhXMUGhoUWhGR3NXaUk


No comments:

Post a Comment