Thursday, February 2, 2017

KHUTBAH JUMAAT - 6 JAMADIL AWAL 1438 / 3 FEBRUARI 2017


AQIDAH DIJULANG UMMAH SEJAHTERA

Khutbah Pertama

الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي نَوَّرَ قُلُوْبَنَا بِالْهُدَى وَالْيَقِيْنِ وَالتَّوْحِيْدِ وَالَّذِيْ أَرْحَمَنَا بِالْمَغْفِرَةِ وَالسَّعِيْدِ. اَشْهَدُ اَنْ لاَ ِالــهَ اِلاَّ الله وَحْدَهُ لاَشَرِيْكَ لَهُ، وَاَشْهَدُ اَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ. اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا وَمَوْلَانَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ وَسَلِّمْ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَاعِبَادَ اللهِ، اتَّقُوا اللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنتُم مُّسْلِمُونَ. 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Saya menyeru kepada diri saya sendiri dan kepada sidang Jumaat sekalian, marilah sama-sama kita memperbaiki diri dengan meningkatkan ketaqwaan kepada Allah s.w.t yakni dengan melakukan segala titah perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Sebelum meneruskan khutbah, saya ingin berpesan kepada sidang jamaah sekalian agar menumpukan perhatian dan jangan bercakap-cakap sewaktu khutbah disampaikan sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w:

إِذَا قُلْتَ لِصَاحِبِكَ يَوْمَ الْجُمُعَةِ أَنْصِتْ وَالْإِمَامُ يَخْطُبُ فَقَدْ لَغَوْتَ.

Bermaksud: "Jika kamu berkata kepada sahabat; kamu diam, semasa imam sedang berkhutbah pada hari Jumaat, maka kamu telah berkata yang lagho (berkata perkara yang sia-sia)". (Riwayat Imam Al-Bukhari dan Imam Muslim)

Mudah-mudahan kita akan beroleh manfaat untuk kebaikan di dunia dan di akhirat. Khutbah pada hari ini akan membicarakan tajuk, "Aqidah Dijulang Ummah Sejahtera".

Sidang hadirin yang dirahmati Allah,

Aqidah tauhid merupakan asas yang menjadi kriteria utama bagi umat Islam. Ia telah menjadi asas kepada pembangunan tamaddun Islam sejak dari zaman baginda Nabi Muhammad s.a.w hingga ke hari ini melalui pelbagai peringkat perkembangan. Pada hari ini, terdapat fenomena di mana sebahagian daripada masyarakat Islam yang kurang jelas dalam melihat peranan aqidah malah lebih cenderung pula menerima ilmu aqidah sebagai ilmu yang bersifat teori semata-mata. Akibatnya, peranan dan nilai praktikal ilmu aqidah tidak terserlah dalam aktiviti kehidupan harian. Walaupun nilai ilmu meningkat, namun nilai adab dan akhlaknya merosot. Fenomena ini menyumbang kepada tersebarnya ajaran sesat dan menyeleweng serta muncul fahaman melampau dalam aqidah yang menghalang pembangunan tamaddun.

Sidang jamaah yang budiman,

Aqidah merupakan keyakinan diri muslim kepada Allah s.w.t yang menjadi tunjang keimanan. Bahkan ia menjadi tenaga utama di peringkat dalaman yang bertindak mencetus, memotivasi dan menggerakkan seluruh keupayaan mental dan fizikal manusia ke arah melaksanakan seluruh perintah Allah s.w.t dalam kehidupan. Hal ini adalah sesuai dengan fitrah kejadian manusia sebagai makhluk yang boleh dipimpin dari dalam dirinya sendiri. Abu Hurairah r.a menyatakan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda:

كُلُّ مَوْلُودٍ يُولَدُ عَلَى الْفِطْرَةِ فَأَبَوَاهُ يُهَوِّدَانِهِ أَوْ يُنَصِّرَانِهِ أَوْ يُمَجِّسَانِهِ كَمَثَلِ الْبَهِيمَةِ تُنْتَجُ الْبَهِيمَةَ هَلْ تَرَى فِيهَا جَدْعَاءَ؟

Bermaksud: "Setiap anak itu dilahirkan dalam keadaan fitrah. Kedua ibu bapanyalah yang membuatnya menjadi seorang yahudi atau nasrani atau majusi. Sebagaimana seekor binatang melahirkan seekor anak tanpa cacat, apakah kamu merasakan terdapat yang terpotong hidungnya?" (Riwayat Imam Al-Bukhari dan Imam Muslim)

Fitrah di sini ialah Islam yang diasaskan oleh pegangan aqidah menerusi syahadah bahawa tiada tuhan melainkan Allah s.w.t dan Nabi Muhammad s.a.w adalah pesuruh-Nya. Kalimah ini membawa satu makna yang sangat dalam iaitu hanya Allah s.w.t yang mengisi tempat utama di dalam segenap kehidupan, tindakan dan pemikiran setiap muslim, di mana segala kehebatan ilmu pengetahuan, kebijaksanaan dan sejarah tamaddun Islam terkandung di dalam kalimah yang mulia ini. Firman Allah s.w.t di dalam Surah Fushsilat Ayat 53:

سَنُرِيهِمْ آيَاتِنَا فِي الْآفَاقِ وَفِي أَنفُسِهِمْ حَتَّىٰ يَتَبَيَّنَ لَهُمْ أَنَّهُ الْحَقُّ ۗ أَوَلَمْ يَكْفِ بِرَبِّكَ أَنَّهُ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ شَهِيدٌ ﴿٥٣﴾

Bermaksud: "Kami akan perlihatkan kepada mereka tanda-tanda kekuasaan Kami di merata-rata tempat (dalam alam yang terbentang luas ini) dan pada diri mereka sendiri, sehingga ternyata jelas kepada mereka bahawa Al-Quran adalah benar. Belumkah ternyata kepada mereka kebenaran itu dan belumkah cukup (bagi mereka) bahawa Tuhanmu Mengetahui dan Menyaksikan tiap-tiap sesuatu?".

Saudara kaum muslimin yang berbahagia,

Menyedari hakikat ini, adalah sangat penting untuk kita meletakkan soal aqidah sebagai satu keutamaan dalam seluruh aktiviti kehidupan diri, keluarga dan masyarakat. Setiap mukmin telah diajar bahawa Allah s.w.t bersifat iradah dan iradah Allah s.w.t adalah kehendak yang muktamad dan mengatasi kehendak manusia. Lantaran itu, manusia telah ditunjukkan oleh ayat suci Al-Quran tentang apa kehendak yang diingini oleh Allah s.w.t di pentas dunia ini.

Jelasnya, aqidah mampu merangsang dan memotivasi seseorang muslim untuk melakukan amalan baik dan mulia dalam hidupnya. Aqidah yang tersemat kukuh dalam diri individu muslim akan menggerakkan seluruh anggota pancainderanya untuk menterjemahkan secara praktikal seluruh ajaran Allah s.w.t yang diyakininya sebagai benar dan perlu dihayatinya dalam kehidupan. Apa yang dikatakan iman atau aqidah bukan sekadar kepercayaan yang pasif, tetapi adalah suatu tenaga utama yang menggerakkan manusia agar melakukan amalan-amalan mulia selari dengan kehendak Allah s.w.t bersandarkan keterangan Al-Quran dan hadits baginda s.a.w.

Natijahnya, akan lahir manusia yang optimis, tegas, tabah, berfikiran terbuka, berpandangan jauh dan berkeyakinan dalam hidup. Keyakinan kepada Allah s.w.t akan menjadikannya insan yang mengambil kira soal dosa atau pahala, halal atau haram dan neraka atau syurga dalam berfikir dan bertindak. Sesuatu keputusan yang dibuat atau tindakan yang dilakukannya adalah berasaskan keyakinan diri terhadap prinsip-prinsip aqidah yang dipegangnya.

Selain itu, aqidah juga telah menyumbang kepada wujudnya pembudayaan ilmu dalam sebuah masyarakat. Perbincangan tentang budaya ilmu melibatkan hal-hal yang merujuk kepada budaya mementingkan segala kegiatan dan tindakan yang berteraskan kepada ilmu dalam kehidupan manusia. Budaya ini amat ditekankan dalam ajaran Islam. Justeru, kejayaan umat Islam silam pada zaman kegemilangannya dalam aspek memperkukuhkan budaya ilmu dalam masyarakat, membolehkan mereka membina sebuah peradaban dunia yang tiada tandingannya dalam sejarah kemanusiaan secara global. Hal ini jelas terkandung dalam Surah Al-'Alaq Ayat 1 hingga 5 yang merupakan wahyu pertama:

اقْرَأْ بِاسْمِ رَبِّكَ الَّذِي خَلَقَ ﴿١﴾ خَلَقَ الْإِنسَانَ مِنْ عَلَقٍ ﴿٢﴾ اقْرَأْ وَرَبُّكَ الْأَكْرَمُ ﴿٣﴾ الَّذِي عَلَّمَ بِالْقَلَمِ ﴿٤﴾ عَلَّمَ الْإِنسَانَ مَا لَمْ يَعْلَمْ ﴿٥﴾

Bermaksud: "Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk), Dia menciptakan manusia dari sebuku darah beku, bacalah dan Tuhanmu yang Maha Pemurah, yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan, Dia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya".

Sidang hadirin yang dirahmati Allah,

Aqidah yang benar berupaya melahirkan masyarakat harmoni yang hidup dalam keadaan aman dan sentosa. Bahkan aqidah yang menjadi pegangan setiap individu menjadi faktor untuk mendorong mereka menghargai hak orang lain seperti hak jiran, tetamu dan hak bagi semua orang termasuk hak setiap ahli keluarga sepertimana hadits yang diriwayatkan oleh Imam Al-Bukhari dan Imam Muslim:

مَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ فَلْيَقُلْ خَيْرًا أَوْ لِيَصْمُتْ وَمَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ فَلَا يُؤْذِ جَارَهُ وَمَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ فَلْيُكْرِمْ ضَيْفَهُ.

Bermaksud: "Sesiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat, maka ia hendaklah berkata-kata dengan sesuatu perkataan yang baik atau berdiam diri, sesiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat, maka ia hendaklah memuliakan jirannya dan sesiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat, maka ia hendaklah memuliakan tetamunya".

Berdasarkan pengajaran hadits ini, ternyata orang yang beriman tidak akan berkata-kata perkara yang yang bohong apatah lagi yang mengandungi fitnah, bahkan mampu menyanggah perkara yang tidak benar kerana meyakini kekuasaan Allah s.w.t dan pembalasan hari akhirat. Inilah satu bentuk kekuatan dalam mengekalkan keharmonian di dalam masyarakat sekeliling.

Saudara kaum muslimin,

Mengakhiri khutbah pada hari ini, marilah kita bersama-sama bersatu dalam memperkukuhkan aqidah Ahlus Sunnah Wal Jamaah bagi meneruskan kesinambungan kecemerlangan generasi Islam yang terdahulu. Mudah-mudahan dengan kesatuan tersebut kita mampu untuk menangkis sebarang ancaman terhadap aqidah yang pelbagai bentuk demi menjaga umat Islam daripada berpecah.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بالقُرْآنِ العَظِيْمِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ، أَقُولُ قَوْلِي هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ الْأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالْأَمْوَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ، إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ.


Khutbah Kedua


الْحَمْدُ لِلَّهِ حَمْدًا كَثِيْرًا كَمَا أَمَرَ.  اَشْهَدُ اَنْ لاَ ِالــهَ اِلاَّ الله، وَاَشْهَدُ اَنَّ سَيِّدِيْنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ، اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدٍ وَعَلىَ آلــِهِ وَأَصْحَابِهِ اَجْمَعِيْنَ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله! اِتَّقُوْا اللهَ وَكُنُواْ مَعَ الصَّادِقِينَ.
أَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ ۚ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا ﴿٥٦﴾

Bermaksud: "Sesungguhnya Allah dan malaikat berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad s.a.w), wahai orang-orang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucaplah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya". (Surah Al-Ahzab: Ayat 56)

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَبَارِكْ عَلى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا بَارَكْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ فِي الْعَالَمِينَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ. 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Mimbar tidak pernah berhenti menyeru, marilah sama-sama kita menunaikan solat-solat fardhu secara berjamaah. Sesungguhnya solat secara berjamaah itu adalah lebih baik daripada solat secara bersendirian sepertimana sabda Rasulullah s.a.w :

مَنْ صَلَّى الْعِشَاءَ فِي جَمَاعَةٍ فَكَأَنَّمَا قَامَ نِصْفَ اللَّيْلِ وَمَنْ صَلَّى الصُّبْحَ فِي جَمَاعَةٍ فَكَأَنَّمَا صَلَّى اللَّيْلَ كُلَّهُ.

Bermaksud: "Sesiapa solat Isyak secara berjamaah maka dia seperti melakukan solat separuh malam dan sesiapa melakukan solat Subuh secara berjamaah maka dia seperti melaksanakan solat sepanjang malam". (Riwayat Imam Muslim)

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ والْمُؤمِنَاتِ، وَأَصْلِحْ ذَاتَ بَيْنِهِمْ وَأَلِّفْ بَيْنَ قُلُوْبِهِمْ وَاجْعَلْ فِيْ قُلُوْبِهِمُ اْلإِيْمَانَ وَاْلحِكْمَةَ وَثَبِّتْهُمْ عَلَى مِلَّةِ رَسُوْلِ اللهِ.
اَللَّهُمَّ أَعِزَّ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ، اَللَّهُمَّ انْصُرِ الدُّعَاةَ وَالْمُجَاهِدِيْنَ،   اَللَّهُمَّ انْصُرِ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ فِي كُلِّ مَكَانٍ وَفِي كُلِّ زَمَانٍ.  

Ya Allah, ampunilah seluruh kaum muslimin dan muslimat sama ada yang masih hidup ataupun yang telah meninggal dunia. Sesungguhnya Engkaulah Maha Mendengar, Maha Dekat dan Mengabulkan doa hamba-Mu. Ya Allah, Engkau berilah rasa tanggungjawab dalam diri kami ini untuk melaksanakan perintah-Mu dan berikanlah kebencian kepada kami terhadap larangan-Mu. Ya Allah, didikkanlah diri kami ini untuk mendirikan solat fardhu secara berjamaah, mengeluarkan zakat dan bersifat dengan sifat-sifat mahmudah yang lain. Kurniakanlah kepada kami nikmat yang berkekalan, hati yang khusyuk serta penuh keikhlasan dalam melakukan amal kebaikan.

Ya Allah, kurniakanlah sepenuh taufiq dan hidayah-Mu terhadap Raja kami, Duli Yang Maha mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Al-Marhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah al-Maghfurulahu dan Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan Tuanku Zara Salim serta kerabat dan seluruh rakyat jelata sekalian.

رَبَّنَا ءَاتنِاَ فِى الدُّنْياَ حَسَنَةً وَفِى الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.
عِبَادَ اللهِ، اِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِاْلعَدْلِ وَالأِحْسَانِ وَإِيْتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَاْلمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُوْنَ. فَاذْكُرُوْا اللهَ الْعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ وَاشْكُرُوْهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ وَلَذِكْرُاللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ. 


Teks asal khutbah ini boleh dimuat turun dari Google Drive. Klik sini - https://drive.google.com/open?id=0B_U6Muz3zhXMcnhiVmw1aTZxNE0

No comments:

Post a Comment