bersama kepimpinan ulamak




Kempen Tambah Keahlian Baharu





Friday, February 24, 2017

KHUTBAH JUMAAT - 27 JAMADIL AWAL 1438 / 24 FEBRUARI 2017


AL-QURAN MEMBINA GENERASI UMMAH

Khutbah Pertama

الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي ضَاعَفَ الْأُجُوْرَ بِتِلَاوَةِ الْقُرْءَانِ وَأَسْعَدَ مَنْ فِيْ الْقُبُوْرِ بِقِرَاءَةِ الْقُرْءَانِ وَأَسْكَنَ صُدُوْرَ الْمُؤْمِنِيْنَ بِتِلَاوَةِ الْقُرْءَانِ وَيُشْفِعُ يَوْمَ الْحَشْرِ مَنْ قَرَاءَ الْقُرْءَانِ. أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا  مُحَمَّدًا  عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ. اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلىَ عَبْدِكَ وَرَسُلِكَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِينَ.
 أَمَّا بَعْدُ، فَيَاعِبَادَ اللهِ، اتَّقُوا اللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنتُم مُّسْلِمُونَ. 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Saya menyeru kepada diri saya sendiri dan kepada sidang Jumaat sekalian, marilah sama-sama kita perbaiki diri dengan meningkatkan ketaqwaan kepada Allah s.w.t yakni dengan melakukan segala titah perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Sebelum meneruskan khutbah, saya ingin berpesan kepada sidang jamaah sekalian agar menumpukan perhatian dan jangan bercakap-cakap sewaktu khutbah disampaikan. Mudah-mudahan kita akan beroleh manfaat untuk kebaikan di dunia dan di akhirat. Khutbah hari ini akan membicarakan tajuk, "Al-Quran Membina Generasi Ummah".

Muslimin yang dirahmati Allah,

Selari dengan perlembagaan persekutuan yang memperuntukkan Islam sebagai agama persekutuan, pihak pemerintah telah membuktikan keperihatinannya di dalam meningkatkan syi'ar Islam dan mendaulatkan Al-Quran melalui penganjuran majlis tilawah dan menghafaz Al-Quran. Secara ringkasnya mimbar yang mulia ini ingin menyatakan bahawa antara objektif penganjuran ini ialah ingin meningkatkan kesedaran yang mendalam terhadap penghayatan Islam secara menyeluruh dalam kalangan umat Islam. Dalam hal ini, bagi mengekalkan Al-Quran dalam kehidupan kita, ianya perlu dijaga dengan sentiasa membaca dan menghafaz serta memahami isi kandungannya agar berada di dalam jiwa dan hati setiap muslim. Firman Allah s.w.t dalam Surah Al-Hijr Ayat 9:

إِنَّا نَحْنُ نَزَّلْنَا الذِّكْرَ وَإِنَّا لَهُ لَحَافِظُونَ ﴿٩﴾

Bermaksud: "Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan Al-Quran dan Kamilah yang memelihara dan menjaganya".

Rasulullah s.a.w menggesa umatnya agar sentiasa membaca Al-Quran dan mendalami dari segi bacaannya. Oleh kerana itulah kita dapati para sahabat radhiAllahu 'anhum seperti Utsman bin 'Affan, Zaid bin Tsabit, Ibnu Mas'ud, Ubai bin Ka'ab dan lain-lain lagi. mereka ini sentiasa membaca Al-Quran dan mengkhatamkannya setiap hari Jumaat. Begitu juga amalan tradisi orang tua kita dahulu, mewajibkan pendidikan Al-Quran kepada anak-anak.

Anak-anak tidak dibenarkan keluar rumah selagi tidak membaca Al-Quran dan mereka mengamalkan pembacaan Al-Quran setiap malam selepas waktu maghrib secara beramai-ramai. Budaya dan amalan suci murni ini membuktikan mereka sangat mengambil berat tentang pembacaan dan pendidikan Al-Quran demi membina generasi Al-Quran.

Saudara kaum muslimin,

Persoalan di sini, siapakah yang dimaksudkan dengan generasi Al-Quran? Secara ringkasnya mimbar ingin menyatakan bahawa generasi Al-Quran merupakan generasi yang faham agama yang tidak tenggelam dalam arus kemewahan dan kebendaan. Generasi ini dibimbing oleh Al-Quran dan dididik dengan nilai kemuliaan dan budi pekerti yang luhur yang terkandung dalam ajaran Islam. Mereka sebagai pembina tamaddun yang mampu menghayati kerohanian Islam secara dinamik dan positif.

Mereka adalah generasi yang berjaya membentuk dan menanam unsur-unsur takut kepada Allah, membina jiwa berani, merdeka dan bebas, matang dalam memberikan buah fikiran dan membuat keputusan, sentiasa melahirkan idea-idea yang bernas dan membina. Pemikiran yang bersifat menyeluruh akan membentuk minda yang sempurna dan bijaksana di samping memantapkan keimanan. Minda yang positif bersikap tidak putus asa terhadap rahmat Allah, tidak sombong dan tidak lupa diri apabila diberi kejayaan kerana meyakini itu adalah dari Allah s.w.t. Inilah minda Quranic. Minda yang mempengaruhi pembentukan akhlak yang tinggi, melahirkan semangat pengorbanan dan tidak pentingkan diri sendiri.

Generasi ini juga akan menguruskan perubahan yang berlaku dalam masyarakat kita berasaskan kepada pembangunan insan dan roh Islam. Allah s.w.t memberi gambaran yang jelas sebagaimana firman-Nya di dalam Surah Ibrahim Ayat 1:

الٓرٓ ۚۚ كِتَابٌ أَنزَلْنَاهُ إِلَيْكَ لِتُخْرِجَ النَّاسَ مِنَ الظُّلُمَاتِ إِلَى النُّورِ بِإِذْنِ رَبِّهِمْ إِلَىٰ صِرَاطِ الْعَزِيزِ الْحَمِيدِ ﴿١﴾

Bermaksud: "Alif Lam Ra, ini ialah kitab (Al-Quran) Kami turunkan dia kepadamu (wahai Muhammad), supaya engkau mengeluarkan umat manusia seluruhnya dari gelap gelita kufur kepada cahaya iman dengan izin Tuhan mereka ke jalan Allah yang Maha Kuasa lagi Maha Terpuji".

Saudara kaum muslimin yang berbahagia,

Bagaimanakah untuk membina generasi ini? Berdasarkan kepada beberapa kajian generasi ini dibina melalui didikan dan tarbiah yang mengetengahkan konsep lima 'M' iaitu:

Pertama: Membaca Al-Quran pada setiap masa. Banyak hadits-hadits yang menjelaskan kedudukan mereka yang sentiasa membaca Al-Quran begitu tinggi dan mulia di sisi Allah s.w.t. Mereka yang menjadikan Al-Quran sebagai bacaan utama setiap masa akan diberi ganjaran pahala oleh Allah s.w.t. Setiap huruf yang dibaca akan diberi ganjaran sebanyak sepuluh pahala. Sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w:

مَنْ قَرَأَ حَرْفًا مِنْ كِتَابِ اللَّهِ فَلَهُ بِهِ حَسَنَةٌ وَالْحَسَنَةُ بِعَشْرِ أَمْثَالِهَا لَا أَقُولُ (الٓمٓ) حَرْفٌ وَلَكِنْ أَلِفٌ حَرْفٌ وَلَامٌ حَرْفٌ وَمِيمٌ حَرْفٌ

Bermaksud: "Sesiapa yang membaca satu huruf dari Al-Quran, maka baginya diberi sepuluh pahala dan ditambah sepuluh lagi kebajikan seumpamanya, tidak aku katakan (alif, lam, mim) itu satu huruf akan tetapi alif satu huruf dan lam satu huruf dan mim satu huruf". (Hadits riwayat Imam At-Tirmidzi)

Kedua: Menghafaz Al-Quran bagi membina kekuatan minda dan membentuk benteng ketahanan rohani yang tinggi serta terpancar nur cahaya Ilahi di dalam diri seseorang penghafaz Al-Quran. Ia dibuktikan melalui sabda Rasulullah s.a.w:

إِنَّ لِلَّهِ أَهْلِينَ مِنْ النَّاسِ قَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ مَنْ هُمْ قَالَ هُمْ أَهْلُ الْقُرْآنِ أَهْلُ اللَّهِ وَخَاصَّتُهُ

Bermaksud: "Sesungguhnya Allah s.w.t memiliki kerabat-kerabat-Nya dalam kalangan manusia. Lalu mereka bertanya: Siapakah mereka ya Rasulullah? Jawab baginda: Mereka adalah ahli Al-Quran, merekalah kerabat Allah dan orang pilihan-Nya". (Riwayat Imam Ibnu Majah)

Ketiga: Memahami dan menguasai Al-Quran dengan sebaik mungkin untuk dijadikan sumber rujukan dan pedoman utama segenap bidang kehidupan. Rasulullah s.aw bersabda:

مَنْ قَرَأَ الْقُرْآنَ وَاسْتَظْهَرَهُ فَأَحَلَّ حَلَالَهُ وَحَرَّمَ حَرَامَهُ أَدْخَلَهُ اللَّهُ بِهِ الْجَنَّةَ وَشَفَّعَهُ فِي عَشْرَةٍ مِنْ أَهْلِ بَيْتِهِ كُلُّهُمْ قَدْ وَجَبَتْ لَهُ النَّارُ

Bermaksud: "Sesiapa membaca Al-Quran dan mengamalkannya, menghalalkan yang halal dan mengharamkan yang haram, maka Allah s.w.t memasukkannya ke dalam syurga dan dia boleh memberi syafa'at sepuluh orang keluarganya yang sudah pasti masuk neraka". (Hadits riwayat Imam At-Tirmidzi)

Keempat: Menghayati idea-idea dan pengajaran baik yang terkandung dalam Al-Quran.

Kelima: Mempelajari keindahan dan ketinggian Kalamullah yang tiada tolok bandingnya di dalam Al-Quran.

Sidang hadirin yang dirahmati Allah,

Dalam merealisasikan generasi Al-Quran ini, maka sudah pasti ianya tidak dapat dipisahkan dengan tuntutan keilmuan Al-Quran di dalam kehidupan. Tuntutan ini merangkumi segenap sudut keilmuan sama ada dari sudut aqidah, syari'at dan akhlak khususnya dalam menangani pelbagai permasalahan, cabaran semasa untuk mencapai kehidupan dan kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat.

Justeru, sebagai umat Islam yang beriman, mimbar yang mulia ini menyeru marilah sama-sama kita memprogramkan keilmuan Al-Quran terutamanya dalam keluarga kita, dengan memperuntukkan masa seperti selepas solat maghrib sebagai waktu membaca, mempelajari dan mentadabbur Al-Quran. Mengambil usaha dengan menghantar anak-anak ke kelas pengajian Al-Quran sama ada di surau dan masjid atau di kelas yang telah disediakan. Di samping itu mempelajari Al-Quran juga boleh dilakukan dengan cara mendengar bacaan di radio atau di media-media elektronik dan sebagainya. Alhamdulillah, saat ini peranan guru-guru Al-Quran dalam masyarakat sangat diberi perhatian dan sokongan oleh pihak pemerintah dengan gaji, elaun dan insentif yang disalurkan melalui agensi-agensi yang tertentu.

Sidang jamaah yang budiman,

Bersempena dengan Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran peringkat Negeri Perak 1438 hijrah bersamaan 2017 masihi yang akan berlangsung pada 27 Februari 2017 (Isnin) bermula jam 9.00 pagi dan pada 28 Februari 2017 (Selasa) pula bermula jam 9.00 malam bertempat di Aman Jaya Convention Centre, Casuarina @ Meru, Ipoh. Mimbar menyeru para jamaah sekalian untuk sama-sama menghadiri majlis tersebut bagi mendengar dan menghayati ayat-ayat suci Al-Quran yang akan diperdengarkan oleh para qari dan qariah. Semoga dengan kehadiran kita ke majlis tersebut akan menyerikan lagi dan mendapat rahmat dari Allah s.w.t. Mengakhiri khutbah pada minggu ini marilah sama-sama kita merenung firman Allah s.w.t dalam Surah Al-Isra' Ayat 45:

وَإِذَا قَرَأْتَ الْقُرْآنَ جَعَلْنَا بَيْنَكَ وَبَيْنَ الَّذِينَ لَا يُؤْمِنُونَ بِالْآخِرَةِ حِجَابًا مَّسْتُورًا ﴿٤٥﴾

Bermaksud: "Dan apabila engkau membaca Al-Quran (wahai Muhammad), Kami jadikan perasaan ingkar dan hasad dengki orang yang tidak beriman kepada hari akhirat itu sebagai dinding yang tidak dapat dilihat, menyekat mereka daripada memahami bacaanmu".

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بالقُرْآنِ العَظِيْمِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ، أَقُولُ قَوْلِي هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ الْأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالْأَمْوَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ، إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ.


Khutbah Kedua


الْحَمْدُ لِلَّهِ حَمْدًا كَثِيْرًا كَمَا أَمَرَ.  اَشْهَدُ اَنْ لاَ إِلَـٰهَ اِلاَّ الله، وَاَشْهَدُ اَنَّ سَيِّدِيْنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ، اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدٍ وَعَلىَ آلــِهِ وَأَصْحَابِهِ اَجْمَعِيْنَ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله! اِتَّقُوْا اللهَ وَكُنُواْ مَعَ الصَّادِقِينَ. فَقَالَ اللهُ تَعَالَى:
أَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ ۚ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا ﴿٥٦﴾

Bermaksud: "Sesungguhnya Allah dan malaikat berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad s.a.w), wahai orang-orang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucaplah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya". (Surah Al-Ahzab: Ayat 56)

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَبَارِكْ عَلى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا بَارَكْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ فِي الْعَالَمِينَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ. 

Sidang hadirin yang berbahagia,

Mimbar tidak pernah berhenti menyeru, marilah sama-sama kita menunaikan solat-solat fardhu secara berjamaah sepertimana sabda Rasulullah s.a.w  yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a:

أَتَى النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ رَجُلٌ أَعْمَى. فَقَالَ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، إِنَّهُ لَيْسَ لِي قَائِدٌ يَقُودُنِي إِلَى الْمَسْجِدِ. فَسَأَلَ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنْ يُرَخِّصَ لَهُ، فَيُصَلِّيَ فِي بَيْتِهِ، فَرَخَّصَ لَهُ، فَلَمَّا وَلَّى دَعَاهُ. فَقَالَ: هَلْ تَسْمَعُ النِّدَاءَ بِالصَّلَاةِ؟ قَالَ: نَعَمْ. قَالَ: فَأَجِبْ.

Bermaksud: "Seorang lelaki buta menjumpai Nabi s.a.w. Dia berkata: Wahai Rasulullah, sungguh aku tidak memiliki seorang pengiring yang boleh mengiringiku berjalan ke masjid. Kemudia ia memohon kepada Rasulullah s.a.w agar diberikan keringanan sehingga dia boleh solat di rumahnya, lalu Nabi s.a.w membolehkannya. Ketika orang tersebut berpaling pergi, Nabi s.a.w memanggilnya dan berkata: Apakah kamu mendengar azan solat? Ia menjawab: Ya. Nabi s.a.w menjawab: Maka datangilah!". (Riwayat Imam Muslim)

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ والْمُؤمِنَاتِ، وَأَصْلِحْ ذَاتَ بَيْنِهِمْ وَأَلِّفْ بَيْنَ قُلُوْبِهِمْ وَاجْعَلْ فِيْ قُلُوْبِهِمُ اْلإِيْمَانَ وَاْلحِكْمَةَ وَثَبِّتْهُمْ عَلَى مِلَّةِ رَسُوْلِ اللهِ.
اَللَّهُمَّ أَعِزَّ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ، اَللَّهُمَّ انْصُرِ الدُّعَاةَ وَالْمُجَاهِدِيْنَ،   اَللَّهُمَّ انْصُرِ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ فِي كُلِّ مَكَانٍ وَفِي كُلِّ زَمَانٍ.  

Ya Allah, ampunilah seluruh kaum muslimin dan muslimat sama ada yang masih hidup ataupun yang telah meninggal dunia. Sesungguhnya Engkaulah Maha Mendengar, Maha Dekat dan Mengabulkan doa hamba-Mu. Ya Allah, Engkau berilah rasa tanggungjawab dalam diri kami ini untuk melaksanakan perintah-Mu dan berikanlah kebencian kepada kami terhadap larangan-Mu. Ya Allah, didikkanlah diri kami ini untuk mendirikan solat fardhu secara berjamaah, mengeluarkan zakat dan bersifat dengan sifat-sifat mahmudah yang lain. Kurniakanlah kepada kami nikmat yang berkekalan, hati yang khusyuk serta penuh keikhlasan dalam melakukan amal kebaikan.

Ya Allah, kurniakanlah sepenuh taufiq dan hidayah-Mu terhadap Raja kami, Duli Yang Maha mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Al-Marhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah al-Maghfurulahu dan Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan Tuanku Zara Salim serta kerabat dan seluruh rakyat jelata sekalian.

رَبَّنَا ءَاتنِاَ فِى الدُّنْياَ حَسَنَةً وَفِى الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.
عِبَادَ اللهِ، اِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِاْلعَدْلِ وَالأِحْسَانِ وَإِيْتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَاْلمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُوْنَ. فَاذْكُرُوْا اللهَ الْعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ وَاشْكُرُوْهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ وَلَذِكْرُاللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ. 


Teks asal khutbah ini boleh dimuat turun dari Google Drive. Klik sini - https://drive.google.com/open?id=0B_U6Muz3zhXMb04yRzJDMnZUNk0

No comments:

Post a Comment

KULIAH SETIAP SABTU




KULIAH SETIAP AHAD MINGGU KEDUA