Friday, February 10, 2017

KHUTBAH JUMAAT - 13 JAMADIL AWAL 1438 / 10 FEBRUARI 2017


MENYANTUNI PERKARA KHILAFIAH

Khutbah Pertama

الْحَمْدُ لِلَّهِ الْقَائِلِ:
وَلَوْ شَاءَ رَبُّكَ لَجَعَلَ النَّاسَ أُمَّةً وَاحِدَةً ۖ وَلَا يَزَالُونَ مُخْتَلِفِينَ ﴿١١٨﴾ إِلَّا مَن رَّحِمَ رَبُّكَ ۚ وَلِذَ‌ٰلِكَ خَلَقَهُمْ ۗ وَتَمَّتْ كَلِمَةُ رَبِّكَ لَأَمْلَأَنَّ جَهَنَّمَ مِنَ الْجِنَّةِ وَالنَّاسِ أَجْمَعِينَ ﴿١١٩﴾

Bermaksud: "Dan kalaulah Tuhanmu (wahai Muhammad) mengkehendaki, tentulah Dia menjadikan manusia semuanya menurut agama yang satu. (Tetapi Dia tidak berbuat demikian) dan kerana itulah mereka terus menerus berselisihan. Tetapi orang yang telah diberi rahmat oleh Tuhamnu (mereka bersatu dalam agama Allah) dan untuk (perselisihan dan rahmat) itulah Allah menjadikan manusia. Dan dengan yang demikian sempurnalah janji Tuhanmu: Sesungguhnya Aku akan memenuhi neraka jahannam dengan sekalian jin dan manusia (yang berdosa)". (Surah Hud Ayat 118 dan 119)

أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَـٰهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا  مُحَمَّدًا  عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ. اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِينَ

أَمَّا بَعْدُ، فَيَاعِبَادَ اللهِ، اتَّقُوا اللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنتُم مُّسْلِمُونَ. 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Saya menyeru kepada diri saya  sendiri dan kepada sidang Jumaat sekalian, marilah sama-sama kita perbaiki diri dengan meningkatkan ketaqwaan kepada Allah s.w.t yakni dengan melakukan segala titah perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Sebelum meneruskan khutbah, saya ingin berpesan kepada sidang jamaah sekalian agar menumpukan perhatian dan jangan bercakap-cakap sewaktu khutbah disampaikan sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w:

إِذَا قُلْتَ لِصَاحِبِكَ يَوْمَ الْجُمُعَةِ أَنْصِتْ وَالْإِمَامُ يَخْطُبُ فَقَدْ لَغَوْتَ.

Bermaksud: "Jika kamu berkata kepada sahabat; kamu diam, semasa imam sedang berkhutbah pada hari Jumaat, maka kamu telah berkata yang lagho (berkata perkara yang sia-sia)". (Riwayat Imam Al-Bukhari dan Imam Muslim)

Mudah-mudahan kita akan beroleh manfaat untuk kebaikan di dunia dan di akhirat. Khutbah pada hari ini akan membicarakan tajuk, "Menyantuni Perkara Khilafiah".

Sidang hadirin yang berbahagia,

Islam membenarkan berlakunya khilaf dalam kalangan para mujtahid dalam perkara-perkara furu' yang tidak berkait dengan usul. Apabila berlaku khilaf tidak semestinya yang satu benar dan yang satu lagi salah. Abu Sa'id Al-Khudri r.a telah menceritakan bahawa;

"Dua orang lelaki keluar bermusafir (pada zaman Rasulullah s.a.w). Apabila masuk waktu solat, mereka tidak memiliki air untuk mengambil wudhuk, lalu mereka bertayammum dan mengerjakan solat. Namun, setelah itu mereka menemui air dan waktu solat masih ada. Maka salah seorang dari mereka mengambil wudhuk dan mengulangi solatnya, adapun yang seorang lagi tidak mengulangi solatnya. Tiba di Madinah, mereka datang merujuk kepada Rasulullah s.a.w dan menceritakan apa yang berlaku itu. Lalu Rasulullah s.a.w berkata kepada lelaki yang tidak mengulangi solatnya: "Apa yang kamu lakukan menepati As-Sunnah dan solat kamu adalah sah atau dikira bagi kamu". Kepada seorang lagi pula Rasulullah berkata kepadanya: "Bagi kamu pahala atau ganjaran dua kali". (Riwayat Imam Abu Dawud)

Kerana itu bagi Imam As-Suyuti, khilaf yang berlaku di antara mazhab-mazhab berlegar antara yang paling benar dan yang benar, bukan di antara yang benar dan yang salah. Oleh demikian, berdasarkan pandangan ini, apabila kita berpegang dengan suatu pandangan mazhab dalam masalah khilaf, kita hanya layak untuk berkata: Pada hemat saya inilah pandangan yang paling benar, adapun pandangan lain adalah benar. Tidak harus kita berkata: Bagi saya inilah sahaja pandangan yang benar, adapun pandangan lain adalah batil, mungkar, bid'ah atau salah.

Oleh demikian, setiap orang Islam hendaklah berlapang dada dan menerima kepelbagaian pandangan dalam Islam yang dikeluarkan oleh para ulamak mujtahid. Tidak menjadi kesalahan jika ia hendak mengkaji di antara semua pandangan ulamak dalam suatu masalah, mana yang paling tepat. Namun, hendaklah ia benar-benar memiliki kemampuan untuk berbuat demikian, di samping menjaga adab dengan para ulamak terdahulu serta meraikan adab-adab khilaf.

Sidang jamaah yang dirahmati Allah,

Namun. harus difahami juga bahawa bukan semua perkara harus berlaku khilaf. Khilaf hanya harus dalam masalah furu'. Adapun dalam masalah aqidah atau usul, tidak harus berlaku khilaf. Oleh demikian, apabila berlaku pertembungan antara aqidah Ahlus Sunnah Wal Jamaah dengan Muktazilah, Qodariyah, Syi'ah, Wahabi dan seumpamanya, orang Islam wajib berpegang dengan aqidah Ahlus Sunnah Wal Jamaah kerana ia adalah satu-satunya fahaman aqidah yang menepati Al-Quran dan As-Sunnah. Dalam suasana hari ini, umat Islam wajib menolak segala bentuk ideologi yang bertentangan dengan aqidah Islam seperti Sekular, Komunis, Sosialis, Liberalisme dan sebagainya kerana tidak harus berlaku perbezaan dalam pegangan aqidah dalam kalangan umat Islam.

Saudara kaum muslimin,

Dalam senarai kaedah-kaedah fiqhiyyah, terdapat satu kaedah yang menegaskan:

لَا يُنْكَرُ الْمُخْتَلِفُ فِيْهِ وَإِنَّمَا يُنْكَرُ الْمُجْمَعُ عَلَيْهِ

Bermaksud: "Tidak diingkari perkara yang dikhtilafkan, akan tetapi diingkari perkara yang diijmakkan".

Imam Al-Ghazali menegaskan dalam kitab Ihya' 'Ulumuddin: Tidak harus bagi seorang bermazhab Hanafi mengingkari seorang bermazhab As-Syafi'ie yang memakan dhab dan yang tidak dibacakan basmalah (ketika disembelih). Begitu juga, tidak harus seorang bermazhab As-Syafi'ie mengingkari seorang yang bermazhab Hanafi yang meminum nabiz yang tidak memabukkan.

Imam Nawawi berkata: Amalan-amalan dan ucapan-ucapan yang rumit yang tertakluk dengan ijtihad, tidak harus orang awam menceburinya dan tidak harus mereka mengingkarinya. Hal demikian hendaklah diserahkan kepada para ulamak. Para ulamak pula mereka hanya mengingkari atau menegah perkara yang telah diijmakkan. Adapun perkara yang dikhtilafkan, tidak ada keingkaran terhadapnya kerana menurut salah satu dari dua mazhab (berkenaan ijtihad) setiap mujtahid adalah benar. Pandangan ini adalah yang terpilih di sisi ramai para muhaqqiqin (penganalisis) atau kebanyakan mereka. Adapun menurut satu pandangan atau mazhab lagi yang benar satu sahaja dan yang salah tidak tertentu bagi kita dan dosa terangkat darinya.

Sidang Jumaat yang berbahagia,

Isu bid'ah akhir-akhir ini telah menggoncang kesatuan para pendokong Islam dalam menghadapi musuh-musuh mereka yang semakin hebat dan semakin licik mengatur serangan. Melakukan bid'ah sememangnya suatu kesalahan atau dosa dalam Islam. Tetapi harus diingat bahawa bukan bid'ah sahaja satu-satunya penyakit yang bakal merosakkan umat Islam. Di sana terdapat penyakit kufur, syirik, nifak, mungkar, dosa dan maksiat yang di mana penyakit-penyakit ini diulangi berpuluh kali oleh Allah s.w.t di dalam Al-Quran (malah juga As-Sunnah) berbanding dengan bid'ah yang disebut dalam beberapa hadits sahaja. Malah dewasa ini, mungkar dan maksiat menjadi masalah besar dalam masyarakat kita. Namun, terdapat sesetengah pihak cuba memalingkan perhatian kita dari memikirkan masalah besar tersebut kepada memikirkan persoalan bid'ah dalam hal-hal furu'. Para ulamak sepakat bahawa istilah bid'ah mengikut syarak hanya berlaku dalam masalah agama. Secara khususnya ia merungkai tida persoalan iaitu aqidah, ibadah serta halal dan haram.

Begitu juga, mereka sepakati bahawa perkara baru dalam agama yang direka-reka tanpa mempunyai sebarang asas atau asal usul dari syarak (sama ada dari Al-Quran, As-Sunnah, ijmak atau sebarang bentuk pendalilan yang muktabar di sisi ulamak), maka ia adalah bid'ah yang sesat. Ia dinamakan sebagai bid'ah hakikiyah yang disepakati ulamak bahawa ia haram dan tercela. Contohnya ialah:

Pertama: Dalam masalah aqidah, bid'ah Muktazilah, Jabariyah, Qodariyah. Pada hari ini dapat kita masukkan dalam bid'ah jenis ini: Islam Plural, Islam Liberal, Sekular, Sosialis dan sebagainya.

Kedua: Dalam masalah ibadah, memuja dan berdoa kepada kubur-kubur yang dianggap keramat, bernazar selain Allah.

Ketiga: Dalam masalah halal dan haram, menghalalkan riba, arak, judi, pelacuran, pendedahan aurat dan sebagainya.

Di sana terdapat bentuk bid'ah yang diikhtilafkan antara ulamak iaitu bid'ah yang dinamakan sebagai bid'ah idhofiyyah, ia suatu amalan terdapat asal usulnya dalam syarak, cuma kaifiyat dan cara pengamalannya sahaja ditambah dari yang disebutkan syarak. Kerana itu ia dinamakan idhofiyyah yang bermaksud sandaran atau tambahan. Contoh amalan yang termasuk dalam kategori bid'ah idhofiyyah ini antaranya berzikir dan berdoa selepas solat beramai-ramai, bersalam-salaman selepas solat, membaca tahlil beramai-ramai, tambahan saiyyidina dalam selawat dan lain-lain lagi.

Sidang Jumaat yang dimuliakan,

Mengakhiri khutbah pada hari ini, setiap muslim harus menerima hakikat bahawa amalan-amalan dalam bid'ah idhofiyyah tersebut menjadi medan khilaf dalam kalangan ulamak. Sebagaimana ditegaskan tadi, dalam masalah khilafiah kaum muslimin hendaklah berlapang dada sesama sendiri demi menjaga kesatuan Islam. Adalah lebih baik memberi tumpuan kepada membasmi gejala murtad, maksiat, mungkar dan bid'ah hakikiyah dari menyibukkan diri dengan bid'ah idhofiyyah yang pastinya tiada penyudahnya.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بالقُرْآنِ العَظِيْمِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ، أَقُولُ قَوْلِي هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ الْأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالْأَمْوَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ، إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ.


Khutbah Kedua


الْحَمْدُ لِلَّهِ حَمْدًا كَثِيْرًا كَمَا أَمَرَ.  اَشْهَدُ اَنْ لاَ إِلَـٰهَ اِلاَّ الله، وَاَشْهَدُ اَنَّ سَيِّدِيْنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ، اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدٍ وَعَلىَ آلــِهِ وَأَصْحَابِهِ اَجْمَعِيْنَ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله! اِتَّقُوْا اللهَ وَكُنُواْ مَعَ الصَّادِقِينَ. فَقَالَ اللهُ تَعَالَى:
أَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ ۚ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا ﴿٥٦﴾

Bermaksud: "Sesungguhnya Allah dan malaikat berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad s.a.w), wahai orang-orang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucaplah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya". (Surah Al-Ahzab: Ayat 56)

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَبَارِكْ عَلى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا بَارَكْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ فِي الْعَالَمِينَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ. 

Sidang hadirin yang berbahagia,

Mimbar tidak pernah berhenti menyeru, marilah sama-sama kita menunaikan solat-solat fardhu secara berjamaah. Sesungguhnya solat secara berjamaah itu adalah lebih baik daripada solat secara bersendirian sepertimana sabda Rasulullah s.a.w  yang diriwayatkan oelh Abu Hurairah r.a:

أَتَى النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ رَجُلٌ أَعْمَى. فَقَالَ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، إِنَّهُ لَيْسَ لِي قَائِدٌ يَقُودُنِي إِلَى الْمَسْجِدِ. فَسَأَلَ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنْ يُرَخِّصَ لَهُ، فَيُصَلِّيَ فِي بَيْتِهِ، فَرَخَّصَ لَهُ، فَلَمَّا وَلَّى دَعَاهُ. فَقَالَ: هَلْ تَسْمَعُ النِّدَاءَ بِالصَّلَاةِ؟ قَالَ: نَعَمْ. قَالَ: فَأَجِبْ.

Bermaksud: "Seorang lelaki buta menjumpai Nabi s.a.w. Dia berkata: Wahai Rasulullah, sungguh aku tidak memiliki seorang pengiring yang boleh mengiringiku berjalan ke masjid. Kemudia ia memohon kepada Rasulullah s.a.w agar diberikan keringanan sehingga dia boleh solat di rumahnya, lalu Nabi s.a.w membolehkannya. Ketika orang tersebut berpaling pergi, Nabi s.a.w memanggilnya dan berkata: Apakah kamu mendengar azan solat? Ia menjawab: Ya. Nabi s.a.w menjawab: Maka datanglah!". (Riwayat Imam Muslim)

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ والْمُؤمِنَاتِ، وَأَصْلِحْ ذَاتَ بَيْنِهِمْ وَأَلِّفْ بَيْنَ قُلُوْبِهِمْ وَاجْعَلْ فِيْ قُلُوْبِهِمُ اْلإِيْمَانَ وَاْلحِكْمَةَ وَثَبِّتْهُمْ عَلَى مِلَّةِ رَسُوْلِ اللهِ.
اَللَّهُمَّ أَعِزَّ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ، اَللَّهُمَّ انْصُرِ الدُّعَاةَ وَالْمُجَاهِدِيْنَ،   اَللَّهُمَّ انْصُرِ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ فِي كُلِّ مَكَانٍ وَفِي كُلِّ زَمَانٍ.  

Ya Allah, ampunilah seluruh kaum muslimin dan muslimat sama ada yang masih hidup ataupun yang telah meninggal dunia. Sesungguhnya Engkaulah Maha Mendengar, Maha Dekat dan Mengabulkan doa hamba-Mu. Ya Allah, Engkau berilah rasa tanggungjawab dalam diri kami ini untuk melaksanakan perintah-Mu dan berikanlah kebencian kepada kami terhadap larangan-Mu. Ya Allah, didikkanlah diri kami ini untuk mendirikan solat fardhu secara berjamaah, mengeluarkan zakat dan bersifat dengan sifat-sifat mahmudah yang lain. Kurniakanlah kepada kami nikmat yang berkekalan, hati yang khusyuk serta penuh keikhlasan dalam melakukan amal kebaikan.

Ya Allah, kurniakanlah sepenuh taufiq dan hidayah-Mu terhadap Raja kami, Duli Yang Maha mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Al-Marhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah al-Maghfurulahu dan Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan Tuanku Zara Salim serta kerabat dan seluruh rakyat jelata sekalian.

رَبَّنَا ءَاتنِاَ فِى الدُّنْياَ حَسَنَةً وَفِى الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.
عِبَادَ اللهِ، اِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِاْلعَدْلِ وَالأِحْسَانِ وَإِيْتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَاْلمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُوْنَ. فَاذْكُرُوْا اللهَ الْعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ وَاشْكُرُوْهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ وَلَذِكْرُاللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ. 


Teks asal khutbah ini boleh dimuat turun dari Google Drive. Klik sini - https://drive.google.com/open?id=0B_U6Muz3zhXMNUFxbW52cVZpYUE

No comments:

Post a Comment