Friday, January 6, 2017

KHUTBAH JUMAAT - 7 RABIUL AKHIR 1438 / 6 JANUARI 2017


TAHUN BARU, DEMI ISLAM


Khutbah Pertama


الْحَمْدُ لِلَّهِ الْذِي نَحْمَدُهُ وَنَسْتَعِينُهُ وَنَسْتَغْفِرُهُ، وَنَعُوذُ بِاللهِ مِنْ شُرُورِ أَنْفُسِنَا وَمِنْ سَيِّئَاتِ أَعْمَالِنَا، مَنْ يَهْدِهِ اللهُ فَلَا مُضِلَّ لَهُ، وَمَنْ يُضْلِلْ فَلَا هَادِيَ لَهُ. اَشْهَدُ اَنْ لاَ ِالــهَ اِلاَّ الله وَحْدَهُ لاَشَرِيْكَ لَهُ، وَاَشْهَدُ اَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ، اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ  وَبَارِكْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلىَ الــِهِ وَصَحْبِهِ اَجْمَعِيْنَ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله! اِتَّقُوْا الله اُوْصِيْكُمْ وَاِيـَّايَ بِتَقْوَى الله فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ.


Sidang Jumaat yang dirahmati Allah sekalian,

Saya menyeru kepada diri saya sendiri dan kepada sidang Jumaat sekalian, marilah sama-sama kita perbaiki diri dengan meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah سبحانه وتعالى yakni dengan melakukan segala titah perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Sebelum memulakan khutbah, saya ingin berpesan kepada sidang jamaah sekalian agar menumpukan perhatian terhadap khutbah yang akan disampaikan. Mudah-mudahan kita akan beroleh manfaat untuk kebaikan di dunia dan di akhirat. Khutbah pada hari ini akan membicarakan tajuk, "Tahun Baru, Demi Islam".

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah sekalian,

Peredaran masa berlalu begitu pantas. Seminggu kini dirasa seperti seharian, setahun pula seperti sebulan. Masa semalam walaupun seperti baru berlalu, namun ia hanyalah sebuah kenangan. Benarlah seperti kata hukamak, masa yang paling jauh adalah masa yang berlalu, sedangkan masa yang paling hampir adalah kematian. Apatah lagi jika masa berlalu dengan sia-sia, tanpa usaha mahupun amalan.

Kita sekarang sudah berada pada minggu pertama tahun baru 2017. Tahun yang baru sahaja membuka tirainya. Setiap tahun baru, lazimnya kebanyakan orang menyambut kehadiran tahun baru dengan pelbagai rentak dan ragam. Ada yang bersorak gembira tanpa tujuan dan haluan, mengikut apa saja program kepuasan nafsu dan keseronokan syaitan. Sambutan tahun baru dianggap pesta maksiat yang bebas tanpa agama yang menjadi ikutan. Sebahagian yang lain pula memilih program keagamaan yang memberi ingatan dan keinsafan. Tahun baru disambut dengan kesederhanaan dan kesedaran menuruti perintah Tuhan. Moga Allah melindungi negara kita dari segala mala petaka dan ujian dengan pemeliharaan yang berterusan.

Sidang hadirin yang berbahagia,

Tahun baru lazimnya disambut dengan pelbagai azam dan tekad baru. Azam untuk memperbaiki diri, azam untuk melonjak ke tahap yang lebih baik. Tahun baru juga bagi segelintir manusia merupakan peristiwa yang penting dan bermakna dalam sejarah hidup sama ada akan meninggalkan kesan yang positif atau kesan yang negatif sepanjang tahun yang dilalui.

Apa pun tanggapan yang diberikan, mimbar ingin menyatakan bahawa setiap perkara baharu yang datang menuntut perubahan yang lebih baik bagi diri seseorang supaya dapat membaiki kehidupan. Apatah lagi sebagai seorang muslim yang memang sudah mempunyai matlamat hidup yang jelas demi mendapat keredhaan Ilahi dengan membanyakkan amal soleh dan meninggalkan segala larangan-Nya. Firman Allah سبحانه وتعالى di dalam Surah An-Nahl Ayat 97:


مَنْ عَمِلَ صَالِحًا مِّن ذَكَرٍ أَوْ أُنثَىٰ وَهُوَ مُؤْمِنٌ فَلَنُحْيِيَنَّهُ حَيَاةً طَيِّبَةً ۖ وَلَنَجْزِيَنَّهُمْ أَجْرَهُم بِأَحْسَنِ مَا كَانُوا يَعْمَلُونَ ﴿٩٧﴾


Bermaksud: "Sesiapa beramal soleh dari lelaki atau perempuan, sedang ia beriman, maka sesungguhnya Kami akan menghidupkan dia dengan kehidupan yang baik dan sesungguhnya Kami akan membalas mereka akan pahala mereka dengan balasan yang lebih baik dari apa yang mereka telah kerjakan".

Kaum muslimin yang dirahmati Allah sekalian,

Hari yang baru pada hakikatnya mengurangkan umur kita sehari. Tahun yang baru pada hakikatnya mengurangkan umur kita setahun. Semakin hari, dunia semakin menjauhi kita manakala liang lahad menggamit mesra. Sudah tentu kita semakin menghampiri suatu destinasi yang abadi iaitu alam kegelapan, alam penzahiran kebenaran janji Tuhan. Alam tiada pengharapan melainkan dengan amalan yang telah dilaksanakan sepanjang masa kehidupan. Berapa ramai penghuninya yang merayu agar dianugerahkan masa yang baru demi satu pengharapan. Gara-gara leka dan alpa dengan kehidupan dunia dan kemewahan yang penuh tipu daya dan nafsu dan syaitan.

Sebahagian manusia yang mahu berfikir, Al-Quran sentiasa memberi panduan serta gambaran tentang realiti kehidupan d dunia ini semata-mata sebahagian medan ujian dan mainan (tipu daya). Firman Allah سبحانه وتعالى dalam Surah Al-Kahf Ayat 45 dan 46:


وَاضْرِبْ لَهُم مَّثَلَ الْحَيَاةِ الدُّنْيَا كَمَاءٍ أَنزَلْنَاهُ مِنَ السَّمَاءِ فَاخْتَلَطَ بِهِ نَبَاتُ الْأَرْضِ فَأَصْبَحَ هَشِيمًا تَذْرُوهُ الرِّيَاحُ ۗ وَكَانَ اللَّهُ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ مُّقْتَدِرًا ﴿٤٥﴾ الْمَالُ وَالْبَنُونَ زِينَةُ الْحَيَاةِ الدُّنْيَا ۖ وَالْبَاقِيَاتُ الصَّالِحَاتُ خَيْرٌ عِندَ رَبِّكَ ثَوَابًا وَخَيْرٌ أَمَلًا ﴿٤٦﴾


Bermaksud: "Kamu kemukakanlah kepada mereka misal (perbandingan); kehidupan dunia ini samalah seperti air yang Kami turunkan dari langit, lalu bercampur baurlah tanaman di bumi antara satu sama lain dan kembang suburlah ia disebabkan air itu, kemudian menjadilah ia kering hancur ditiup angin dan ingatlah Allah Maha Berkuasa atas tiap-tiap sesuatu. Harta benda dan anak pinak itu hanyalah perhiasan hidup di dunia dan amal-amal soleh yang kekal faedahnya itu lebih baik pada sisi Tuhanmu sebagai pahala balasan dan lebih baik sebagai asas yang memberi harapan".

Sidang jamaah yang dimuliakan,

Dalam kita mendepani tahun baru 2017 ini juga, umat Islam seharusnya menginsafi segala kesalahan dan kesilapan yang lalu agar menjadi pengajaran dan tidak berterusan mengulangi kesilapan. Umat Islam perlu mengurangkan sengketa dan pertelingkahan yang merugikan. Umat Islam mesti terus maju kehadapan, membina ketamadunan melalui kekuatan ilmu dipandu oleh Al-Quran dan As-Sunnah.

Umat Islam mesti mendahulukan Islam sebagai keutamaan dalam setiap tindakan sama ada mengikuti perintah mahupun menjauhi larangan. Usaha dakwah mesti berjalan berterusan kerana Islam adalah agama untuk seluruh umat manusia tanpa mengira bangsa atau keturunan.

Jadikan tahun ini tahun kecemerlangan, tahun Islam kembali diangkat menjadi pembina ketamadunan dan diangkat menjadi agama pilihan manusia keseluruhannya. Masjid dan surau haruslah menjadi medan utama perpaduan dan keharmonian. Jauhi sikap ego, bermusuhan, melampau dalam politik kepartian serta menjadikan masjid dan surau tempat mengambil keuntungan agama dan kehidupan.

Sidang Jumaat yang berbahagia,

Mimbar juga ingin menyatakan pesanan sesuai seperti mana kehendak Allah dan Rasul pilihan. Firman Allah سبحانه وتعالى dalam Surah Az-Zariyat Ayat 55:

وَذَكِّرْ فَإِنَّ الذِّكْرَىٰ تَنفَعُ الْمُؤْمِنِينَ ﴿٥٥﴾

Bermaksud: "Dan berilah peringatan kerana peringatan itu memberi manfaat kepada orang beriman".

Antara kekurangan dan kelemahan umat Islam pada akhir zaman, kita tidak lagi menjadi contoh dan ikutan disebabkan akhlak umat Islam itu sendiri tidak lagi dipandu Al-Quran dan As-Sunnah. Isu akhlak, disiplin, integriti umat Islam semakin jauh ketinggalan. Marilah sama-sama kita membuat pembetulan.

Sebagai pemimpin atau pihak yang diamanahkan kuasa dan jawatan, jauhi rasuah, salah guna kuasa dalam setiap tindakan kerana tindakan anda sentiasa menjadi perhatian. Lebih malang jika berterusan menjadi ikutan. Pemimpin yang adil bukan saja akan mendapat ganjaran di hari pembalasan, malahan akan menjadi lambang kepimpinan Islam yang dipandu Al-Quran dan As-Sunnah. Islam dipandang mulia sejajar tindakan yang menepati peraturan dan ajaran.

Sebagai peniaga, jadikan jujur dan amanah sebagai keutamaan kerana itulah sunnah Rasul dalam pengurusan perniagaan. Hentikan penipuan sama ada dalam bentuk tersembunyi mahupun terang-terangan. Peniaga muslim sepatutnya mempunyai sifat ehsan disamping mengambil keuntungan bukannya menaikkan harga asalkan cepat memperoleh keuntungan dan kekayaan. Sikap yang berbeza ditunjukkan oleh peniaga muslim pasti menaikkan imej Islam di mata masyarakat, manakala sikap buruk tidak lain menambah salah faham dan kebencian terhadap Islam.

Sebagai pasangan dalam perkahwinan, jadikan sabar sebagai kekuatan dalam ikatan perkahwinan. Statistik perceraian dalam kalangan pasangan umat Islam saban tahun meningkat dan semakin membimbangkan. Para suami, jalankan tanggungjawab sebagai ketua keluarga. Lakukan setiap pekerjaan dengan tekun dan bersungguh-sungguh. Para isteri, jauhi sikap gemar mencari kesalahan pasangan, terlalu mendesak atas keinginan kemewahan serta kurang mentaati suami dalam setiap keputusan. Redha atas setiap ujian dan muhasabah diri untuk mencari jalan penyelesaian. Kepada yang ingin berpoligami, buatlah permohonan yang sah melalui mahkamah syari'ah seluruh negeri kerana terlalu banyak kebaikan yang akan diperolehi pasangan yang membuat permohonan yang sah berbanding kahwin lari. Benar seperti pepatah melayu mengatakan, "bersusah-susah dahulu bersenang-senang kemudian".

Sidang hadirin yang diberkati Allah,

Sebagai masyarakat muslim pula, mari kita tingkatkan akhlak dan integriti seharian kita, umat Islam mesti menjadi contoh ikutan, agar Islam dipandang mulia seterusnya dakwah berterusan bergerak melalui tindakan mahupun lisan para penceramah yang budiman. Tidakkah kita malu apabila rakyat Jepun lebih dikenali dengan tata susila dan kesopanan, tidakkah kita malu apabila mereka lebih terkenal dengan disiplin menepati masa? Tidakkah kita malu mereka jauh lebih sopan ketika memandu di jalanan? Sedangkan mereka hidup mereka tanpa iman kepada Tuhan Yang Esa.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بالقُرْآنِ العَظِيْمِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ، أَقُولُ قَوْلِي هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ الْأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالْأَمْوَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ، إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ.


Khutbah Kedua

الْحَمْدُ لِلَّهِ حَمْدًا كَثِيْرًا كَمَا أَمَرَ.  اَشْهَدُ اَنْ لاَ ِالــهَ اِلاَّ الله، وَاَشْهَدُ اَنَّ سَيِّدِيْنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ، اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدٍ وَعَلىَ آلــِهِ وَأَصْحَابِهِ اَجْمَعِيْنَ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله! اِتَّقُوْا اللهَ وَكُنُواْ مَعَ الصَّادِقِينَ.
أَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ ۚ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا ﴿٥٦﴾

Bermaksud: "Sesungguhnya Allah dan malaikat berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad SAW), wahai orang-orang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucaplah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya". (Surah Al-Ahzab: Ayat 56)

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَبَارِكْ عَلى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا بَارَكْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ فِي الْعَالَمِينَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ. 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Mimbar tidak pernah berhenti menyeru, marilah sama-sama kita menunaikan solat-solat fardhu secara berjamaah. Sesungguhnya solat secara berjamaah itu adalah lebih baik daripada solat secara bersendirian sepertimana sabda Rasulullah صلى الله عليه وسلم :

عَنْ ابْنِ عُمَرَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُمَا أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ صَلَاةُ الْجَمَاعَةِ أَفْضَلُ مِنْ صَلَاةِ الْفَذِّ بِسَبْعٍ وَعِشْرِينَ دَرَجَةً.

Bermaksud: "Daripada 'Abdullah bin 'Umar رضي الله عنهما, telah menceritakan bahawa Rasulullah صلى الله عليه وسلم pernah bersabda: Solat berjamaah lebih utama dua puluh tujuh bahagian daripada solat bersendirian". (Muttafaqun 'alaih)

Sabda Rasulullah صلى الله عليه وسلم :

وَلَوْ يَعْلَمُونَ مَا فِي الْعَتَمَةِ وَالصُّبْحِ لَأَتَوْهُمَا وَلَوْ حَبْوًا

Bermaksud: "Seandainya mereka mengetahui apa yang terkandung dalam Solatul 'Atamah (yakni solat Isyak) dan Subuh, nescaya mereka akan mendatanginya meskipun dengan merangkak". (Hadith riwayat Al-Bukhari)

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ والْمُؤمِنَاتِ، وَأَصْلِحْ ذَاتَ بَيْنِهِمْ وَأَلِّفْ بَيْنَ قُلُوْبِهِمْ وَاجْعَلْ فِيْ قُلُوْبِهِمُ اْلإِيْمَانَ وَاْلحِكْمَةَ وَثَبِّتْهُمْ عَلَى مِلَّةِ رَسُوْلِ اللهِ.
اَللَّهُمَّ أَعِزَّ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ، اَللَّهُمَّ انْصُرِ الدُّعَاةَ وَالْمُجَاهِدِيْنَ،   اَللَّهُمَّ انْصُرِ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ فِي كُلِّ مَكَانٍ وَفِي كُلِّ زَمَانٍ.  

Ya Allah, bantulah saudara Islam kami di Palestin, Syria, Myanmar dan negara umat Islam yang lain. Ya Allah, saudara kami itu dalam keadaan lemah maka kuatkanlah, mereka itu lapar maka kenyangkanlah, aurat mereka dicemari maka tutupkanlah, mereka dizalimi maka bantulah, bantulah segala kekurangan mereka, permudahkanlah segala urusan mereka. Tepatkanlah lemparan serangan mereka kepada musuh-musuh-Mu ya Allah يَا ذَاالْجَلَالِ وَالْإِكْرَامِ.

Ya Allah, berkatilah hidup hamba-Mu yang melaksanakan tuntutan zakat dan kurniakanlah rezeki yang berlipat ganda kepada para pewakaf serta sucikanlah harta dan jiwa mereka, kurniakanlah ketaqwaan dan kebijaksanaan serta keadilan kepada para pentadbir zakat, lindungilah golongan fuqara dan masakin daripada kekufuran dan kefakiran yang berpanjangan.

Ya Allah, kurniakanlah sepenuh taufiq dan hidayah-Mu terhadap Raja kami, Duli Yang Maha mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Al-Marhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah al-Maghfurulahu dan Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan Tuanku Zara Salim serta kerabat dan seluruh rakyat jelata sekalian.

رَبَّنَا ءَاتنِاَ فِى الدُّنْياَ حَسَنَةً وَفِى الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.
عِبَادَ اللهِ، اِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِاْلعَدْلِ وَالأِحْسَانِ وَإِيْتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَاْلمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُوْنَ. فَاذْكُرُوْا اللهَ الْعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ وَاشْكُرُوْهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ وَلَذِكْرُاللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ. 


Teks asal khutbah ini boleh juga dimuat turun dari laman Google Drive. Klik sini - https://drive.google.com/open?id=0B_U6Muz3zhXMaHdsb2VQYW9DdGs

No comments:

Post a Comment