bersama kepimpinan ulamak




Kempen Tambah Keahlian Baharu





Thursday, November 24, 2016

KHUTBAH JUMAAT - 25 SAFAR 1438 / 25 NOVEMBER 2016


KEWAJIBAN KITA MEMBELA MUSLIM ROHINGYA

Khutbah Pertama


الْحَمْدُ لِلَّهِ الْقَائِلِ:
وَلَوْ شَاءَ اللَّهُ لَجَعَلَكُمْ أُمَّةً وَاحِدَةً وَلَـٰكِن يُضِلُّ مَن يَشَاءُ وَيَهْدِي مَن يَشَاءُ ۚ وَلَتُسْأَلُنَّ عَمَّا كُنتُمْ تَعْمَلُونَ ﴿٩٣﴾
اَشْهَدُ اَنْ لاَ ِالــهَ اِلاَّ الله وَحْدَهُ لاَشَرِيْكَ لَهُ، وَاَشْهَدُ اَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ، اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلىَ الــِهِ وَصَحْبِهِ اَجْمَعِيْنَ. أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله! اِتَّقُوْا الله اُوْصِيْكُمْ وَاِيـَّايَ بِتَقْوَى الله فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ.

Muslimin yang dirahmati Allah,

Saya berpesan kepada diri saya sendiri dan kepada sidang jamaah sekalian, marilah kita bertaqwa kepada Allah سبحانه وتعالى dengaan melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Allah سبحانه وتعالى berfirman di dalam Surah Al-Nahl Ayat 128: 

إِنَّ اللَّهَ مَعَ الَّذِينَ اتَّقَوْا وَالَّذِينَ هُمْ مُحْسِنُونَ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah bersama orang-orang yang bertakwa dan mereka yang berbuat ihsan.”

Sebelum meneruskan khutbah, saya ingin berpesan kepada sidang Jumaat sekalian agar menumpukan perhatian terhadap khutbah yang bakal disampaikan. Mudah-mudahan kita tergolong dalam kalangan orang yang mendapat kejayaan di dunia dan di akhirat. Mimbar pada hari ini akan membicarakan khutbah yang bertajuk, “Kewajiban Kita Membela Muslim Rohingya”.

Muslimin yang dirahmati Allah,

Di zaman yang penuh ujian dan cubaan ini kita perlu mengingatkan tentang hakikat ajaran Islam yang sangat mendasar, iaitu wajibnya saling menolong di antara kaum muslimin, dan wajibnya membela umat yang dizalimi dan tertindas. 

Apabila kita memiliki kemampuan untuk membela maka kita wajib membela. Allah سبحانه وتعالى berfirman di dalam Surah Al-Anfal Ayat 72: 

وَإِنِ اسْتَنْصَرُوكُمْ فِي الدِّينِ فَعَلَيْكُمُ النَّصْرُ إِلَّا عَلَى قَوْمٍ بَيْنَكُمْ وَبَيْنَهُمْ مِيثَاقٌ وَاللَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ بَصِيرٌ ﴿٧٢﴾

Bermaksud: “Dan jika mereka meminta pertolongan kepadamu dalam agama maka kamu wajib menolongnya, kecuali atas kaum yang terdapat perjanjian antara kamu dan mereka. Sedangkan Allah melihat apa yang kamu kerjakan”. 

Justeru, jika kita tidak saling menolong, jika kita nafsi-nafsi maka Allah menjadikan kita lemah dan hina dan kekufuran bermaharajalela. Allah berfirman dalam Surah Al-Anfal pada ayat seterusnya iaitu Ayat 73: 

وَالَّذِينَ كَفَرُوا بَعْضُهُمْ أَوْلِيَاءُ بَعْضٍ إِلَّا تَفْعَلُوهُ تَكُنْ فِتْنَةٌ فِي الْأَرْضِ وَفَسَادٌ كَبِيرٌ ﴿٧٣﴾

Bermaksud: “Dan orang kafir itu sebahagian mereka menolong sebahagian yang lain, maka jika kalian tidak melakukannya (saling menolong dalam agama) maka akan ada fitnah di muka bumi dan kerosakan yang besar”. 

Sebahagian ulamak menyebut bahawa fitnah di sini adalah fitnah perang, pembunuhan terhadap muslim, pengusiran, dan penangkapan. Sedangkan kerosakan yang besar adalah munculnya syirik di permukaan bumi.

Muslimin yang dirahmati Allah sekalian,

Orang muslim selalu berkongsi rasa dengan saudaranya, sedih kerana sedihnya, senang kerana senangnya. Orang muslim tidak membiarkan saudaranya, tidak membiarkannya, tidak memperdulikannya, tidak menyerahkannya kepada musuh. Tetapi wajib peduli, memperhatikan nasibnya, membelanya dan menolongnya. Nabi صلى الله عليه وسلم bersabda:

مَا مِنِ امْرِئٍ يَخْذُلُ مُسْلِمًا فِي مَوْطِنٍ يُنْتَقَصُ فِيهِ مِنْ عِرْضِهِ وَيُنْتَهَكُ فِيهِ مِنْ حُرْمَتِهِ إِلَّا خَذَلَهُ اللَّهُ فِي مَوْطِنٍ يُحِبُّ فِيهِ نُصْرَتَهُ، وَمَا مِنِ امْرِئٍ يَنْصُرُ مُسْلِمًا فِي مَوْطِنٍ يُنْتَقَصُ فِيهِ مِنْ عِرْضِهِ وَيُنْتَهَكُ فِيهِ مِنْ حُرْمَتِهِ إِلَّا نَصَرَهُ اللَّهُ فِي مَوْطِنٍ يُحِبُّ فِيهِ نُصْرَتَهُ

Bermaksud: “Tidak ada seorang yang membiarkan seorang muslim di tempat dia dihinakan kehormatannya, dan dilanggar kemuliaannya (hak-haknya), melainkan Allah pasti menghinakannya di tempat yang dia ingin mendapatkan pertolongan. Dan tidak ada seorang yang menolong seorang muslim di tempat dia dihinakan kehormatannya dan dilanggar kemuliaannya (hak-haknya) melainkan Allah pasti menolongnya di ketika dan tempat yang mana dia amat memerlukan pertolongan”.  (HR. Abu Daud, Thabrani dalam al-Ausath, dihasankan sanadnya oleh Haitsami)

Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda lagi:

المُسْلِمُ أَخُو المُسْلِمِ، لَا يَخُونُهُ وَلَا يَكْذِبُهُ وَلَا يَخْذُلُهُ

Bermaksud: “Orang muslim itu saudara muslim lainnya, tidak mengkhianatinya, tidak mendustainya dan tidak menghinakannya”. (HR Termidzi)

Seterusnya baginda صلى الله عليه وسلم bersabda lagi:

الْمُسْلِمُونَ تَتَكَافَأُ دِمَاؤُهُمْ. يَسْعَى بِذِمَّتِهِمْ أَدْنَاهُمْ، وَيُجِيرُ عَلَيْهِمْ أَقْصَاهُمْ، وَهُمْ يَدٌ عَلَى مَنْ سِوَاهُمْ

Bermaksud: “Orang muslim itu nilai darahnya sama (dalam qishah dan diyat), yang paling rendah yang dapat berjalan membawa tanggungan mereka, dan yang paling rendah melindungi (memberikan perlindungan) ke atas mereka. Tangan mereka berada di atas tangan saudaranya”. (HR. Abu Daud, shahih)

Muslimin yang dirahmati Allah sekalian, 

Ketahuilah bahawa kita sangat-terlambat, sebab tidak ada akses berita tentang saudara kita umat Islam Rohingnya, bahkan banyak akses berita yang menyatakan bahawa berita penyiksaan itu fitnah dan kurang dipercayai, atau di sebalik bahawa itu adalah kerana kesalahan umat Islam, sehingga kita pun tidak mampu berbuat-apa-apa, padahal ironinya penindasan itu sudah berlangsung selama 228 tahun yang lalu, namun kita baru percaya setelah hampir dua juta muslim Rohingnya hidup di luar negerinya, dan lebih dari 500,000 mati dibunuh. Oleh kerana itu, pembelaan di tingkat pertama ini adalah memberikan informasi yang benar tentang kezaliman yang mereka alami.

Berikut ini adalah ringkasan dari tragedi yang dihadapi oleh umat Islam di sana oleh pemerintah teroris Burma: 

Pertama: Penghapusan kewarganegaraan atau etnik Rohingya Muslim di Arakan berdasarkan undang-undang yang mereka buat  tahun 1982 M. Mereka dianggap orang asing ibarat pelarian di negara mereka sendiri yakni di Burma atau Myanmar setelah tahun 1824 (tahun masuknya penjajah Inggeris ke Burma) meskipun fakta dan sejarah mendustakan dakwaan itu.

Muslimin yang dirahmati Allah sekalian,

Ketahuilah bahawa Islam masuk Arakan sejak abad pertama Hijriyyah, zaman sahabat Nabi صلى الله عليه وسلم 1400 tahun yang lalu. Islam masuk dibawa oleh para pedagang Arab pimpinan Waqqash bin Malik  dan sejumlah tokoh tabi’in.

Kemudian gelombang kedua, Islam dibawa  oleh para pedagang Arab Muslim pada abad kedua Hijriyah, tahun 172 H/788 M di masa Khalifah Harun al-Rasyid. Mereka singgah di Pelabuhan Akyab Ibukota Arakan. Umat Islam terus berkembang di Arakan hingga berdirilah Kerajaan Islam oleh Sultan Sulaiman Syah dan berlanjutan hingga 3, 5 abad lamanya (1430-1784 M), dipimpin oleh 48 raja Islam, dan berakhir dengan Raja Sulaiman Syah.  Kemudian kerajaan Islam runtuh oleh serbuan kaum Buddha tahun 1784 M. Sejak ketika itulah sampai ke hari ini umat Islam ditindas dan diperlakukan seperti haiwan.

Kedua: Mengetatkan sistem keselamatan terhadap Muslim yang mahu keluar dalam perjalanan baik di dalam negeri  mahupun di luar negeri.

Ketiga: Penangkapan dan penyiksaan Muslim di kem-kem tahanan tanpa soal bicara. 

Keempat: Memaksa umat Islam untuk melakukan kerja sebagai buruh paksa tanpa upah, seperti pembinaan jalan, penggalian parit di daerah pergunungan di Burma. 

Kelima: Pengusiran umat Islam dan memberi penempatan kaum Buddha di rumah-rumah mereka. 

Keenam: Menyita harta wakaf-wakaf umat Islam dan hasil pertanian mereka.

Ketujuh: Memeras kekayaan umat Islam, dan mencegah mereka dari mengimport dan mengeksport atau melakukan kegiatan perdagangan.

Kelapan: Menghalangi umat Islam untuk menjadi ahli pejabat atau pegawai di pemerintahan, dan sebahagian kecil dari mereka yang telah mendapatkan kedudukan dalam masa penjajahan Inggeris dulu dipaksa untuk mengundurkan diri dari pekerjaan mereka.

Kesembilan: Menghalang dan merintangi anak-anak Muslim dari melanjutkan pendidikan di sekolah-sekolah, dan universiti negeri. 

Kesepuluh: Melarang umat Islam untuk berkolaborasi dalam muktamar dan konferensi Islam antarabangsa (OIC).

Demikianlah, sidang Jumaat yang dimuliakan,

Semoga apa yang mimbar sampaikan pada hari ini menyedarkan hati kita tentang kewajipan kita terhadap saudara kita yang lama kita lupakan dan dizalimi oleh orang-orang yang zalim.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بالقُرْآنِ العَظِيْمِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ، أَقُولُ قَوْلِي هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ الْأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالْأَمْوَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ، إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ.


Khutbah Kedua

الْحَمْدُ لِلَّهِ الْذِي نَحْمَدُهُ وَنَسْتَعِينُهُ وَنَسْتَغْفِرُهُ، وَنُؤْمِنُ بِهِ وَنَتَوَكَّلُ عَلَيْهِ، وَنَعُوذُ بِاللهِ مِنْ شُرُورِ أَنْفُسِنَا وَمِنْ سَيِّئَاتِ أَعْمَالِنَا، مَنْ يَهْدِهِ اللهُ فَلَا مُضِلَّ لَهُ، وَمَنْ يُضْلِلْ فَلَا هَادِيَ لَهُ.
أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا  وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدًا  عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَاعِبَادَ اللهِ، اِتَّقُوْا اللهَ وَكُنُواْ مَعَ الصَّادِقِينَ. 

Sidang hadirin yang dirahmati Allah,

Ketahuilah bahawa kezaliman yang dirasakan oleh umat Islam Rohingnya adalah kezaliman yang ditimpakan kepada kita. Kita semua dizalimi. Maka mari bersemangat untuk berdoa bagi kita dan bagi muslim Rohingnya sebab kita semua mazlum yakni orang-orang yang teraniaya dan doa orang yang teraniaya amat makbul di sisi Allah. Nabi صلى الله عليه وسلم bersabda yang bermaksud: “Tiga orang doanya tidak ditolak; Orang yang puasa hingga berbuka, imam yang adil dan doa orang yang dizalimi yang Allah mengangkatnya di atas awan dan dibukakan untuknya pintu-pintu langit. Lalu Allah berkata kepadanya: Demi Kemulian-Ku dan keagungan-Ku, Aku pasti akan menolongnya walau kemudian”. (HR Ahmad)

Ketahuilah bahawa kezaliman tidak akan kekal, pasti ianya akan lenyap dan hancur. Allah سبحانه وتعالى berfirman dalam Surah Yusuf Ayat 21:

... وَاللَّهُ غَالِبٌ عَلَى أَمْرِهِ وَلَكِنَّ أَكْثَرَ النَّاسِ لَا يَعْلَمُونَ ﴿٢١﴾

Bermaksud: “Allah berkuasa terhadap urusan-Nya, tetapi kebanyakan manusia tiada mengetahuinya”.

أَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ ۚ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا ﴿٥٦﴾

Bermaksud: Sesungguhnya Allah dan malaikat berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad SAW), wahai orang-orang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucaplah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya. (Surah Al-Ahzab: Ayat 56)

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Marilah kita bersama-sama berselawat dan berdoa untuk kita dan saudara kita umat Islam khususnya umat Islam Rohingnya.

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَبَارِكْ عَلى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا بَارَكْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ فِي الْعَالَمِينَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ.
وَارْضَ اللَّهُمَّ عَنِ الْأَرْبَعَةِ الْحُلَفَاءِ الرَّشِدِينَ، سَادَاتِنَا أَبِى بَكْرٍ وَعُمَرَ وَعُثْمَانَ وَعَلِيِّ بْنِ أَبِى طَالِبٍ، وَعَنْ أَزْوَاجِ نَبِيِّنَا الْمُطَهَّرَاتِ مِنَ الْأَدْنَاسِ، وَعَنْ أَهْلِ بَيْتِهِ وَقَرَابَتِهِ وَسَائِرِ الصَّحَابَةِ وَالتَّابِعِينَ وَمَنْ تَبِعَهُمْ إِلَى يَوْمِ الدِّينِ، وَارْضَ عَنَّا بِرَحْمَتِكَ يَا أَرْحَمَ الرَّحِمِينَ.
اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ والْمُؤمِنَاتِ، وَأَصْلِحْ ذَاتَ بَيْنِهِمْ وَأَلِّفْ بَيْنَ قُلُوْبِهِمْ وَاجْعَلْ فِيْ قُلُوْبِهِمُ اْلإِيْمَانَ وَاْلحِكْمَةَ وَثَبِّتْهُمْ عَلَى مِلَّةِ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى اللهِ عَلَيهِ وَسَلَّم.  اَللَّهُمَّ أَعِزَّ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ، اَللَّهُمَّ انْصُرِ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ فِي بِلَادِنَا هَذَا وَفِي رُوْهِيغيَا وفِي الْعِرَاقِ وَفِي فَلَسْطِينِ وَفِي كُلِّ مَكَانٍ وَفِي كُلِّ زَمَانٍ، اَللَّهُمَّ دَمِّرِ اْلكَفَرَةَ وَاْلُمشْرِكِيْنَ وَأَهْلِكْ أَعْدَائَكَ أَعْدَاءَ الدِّيْنِ.
 اَللَّهُمَّ بَدِّدْ شَمْلَهُمْ وَفَرِّقْ جَمْعَهُمْ وَزَلْزِلْ أَقْدَامَهُمْ وَسَلِّطْ عَلَيْهِمْ كَلْبًا مِنْ كِلاَبِكَ. اَللَّهُمَّ يَا مُنْزِلَ اْلكِتَابِ وَيَا مُجْرِيَ السَّحَابِ وَيَا هَازِمَ الأَحْزَابِ إِهْزِمْهُمْ وَانْصُرْنَا عَلَيْهِمْ، بِقُدْرَتِكَ وَقُوَّتِكَ يَا رَبَّ الْعَالَمِينَ.

Ya Allah! Muliakanlah Islam dan pendukung-pendukungnya, bantulah Islam dan perkembangannya, bantulah pendakwah-pendakwah Islam dan para mujahidinnya. Ya Allah, hancurkanlah kekufuran serta golongan munafik dan musyrikin, binasakanlah musuh-musuh agamamu dan segala sekutunya, engkau eratkanlah hubungan kami sesama Islam. Elakkan kami dari permusuhan yang boleh menyebabkan terlerainya persaudaraan Islam.

Ya Allah, kurniakanlah sepenuh taufiq dan hidayah-Mu terhadap Raja kami, Duli Yang Maha mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Al-Marhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah al-Maghfurulahu dan Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan Tuanku Zara Salim serta kerabat dan seluruh rakyat jelata sekalian.

رَبَّنَا ءَاتنِاَ فِى الدُّنْياَ حَسَنَةً وَفِى الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ، رَبَّنَا لَا تُزِغْ قُلُوبَنَا بَعْدَ إِذْ هَدَيْتَنَا وَهَبْ لَنَا مِنْ لَدُنْكَ رَحْمَةً إِنَّكَ أَنْتَ الْوَهَّابُ، ظَلَمْنَا أَنْفُسَنَا وَإِنْ لَمْ تَغْفِرْ لَنَا وَتَرْحَمْنَا لَنَكُونَنَّ مِنَ الْخَاسِرِينَ.
عِبَادَ اللهِ، اِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِاْلعَدْلِ وَالأِحْسَانِ وَإِيْتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَاْلمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُوْنَ. فَاذْكُرُوْا اللهَ الْعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ وَاشْكُرُوْهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ وَلَذِكْرُاللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ. 


Teks asal khutbah ini boleh diumuat turun dari laman Google Drive. Klik sini.

Friday, November 11, 2016

KHUTBAH JUMAAT - 11 SAFAR 1438 / 11 NOVEMBER 2016


ADA APA DENGAN BENCANA?

Khutbah Pertama


الْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِيْنَ، خَلَقَ الْكَوْنَ بِقُدْرَتِهِ، وَدَبَّرَ الْأُمُوْرَ بِحِكْمَتِهِ. أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا  وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدًا  عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ. اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدٍ خَاتَمِ الْأَنْبِيَاءِ وَالْمُرْسَالِينَ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أًجْمَعِينَ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَا أَيُّهَا الْمُسْلِمُوْنَ، اِتَّقُوْا اللهَ! اُوْصِيْكُمْ وَاِيّايَ بِتَقْوَى اللهِ وَطَاعَتِهِ فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ.   

Muslimin yang dirahmati Allah,

Saya berpesan kepada diri saya sendiri dan kepada sidang jamaah sekalian, marilah kita bertaqwa kepada Allah سبحانه وتعالى dengaan melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Sebelum meneruskan khutbah, saya ingin berpesan kepada sidang Jumaat sekalian agar menumpukan perhatian terhadap khutbah yang bakal disampaikan. Mudah-mudahan kita tergolong dalam kalangan orang yang mendapat kejayaan di dunia dan di akhirat. Mimbar pada hari ini akan membicarakan khutbah yang bertajuk, "Ada Apa Dengan Bencana?"

Hadirin yang dirahmati Allah,

Al-Quran telah membahagikan bencana kepada dua kategori iaitu bencana alam dan bencana bukan alam. Mari kita renung kategori bencana alam antaranya: 

1. Gempa bumi yang telah mengenai kaum Nabi Syu'aib عليه السلام dalam Surah Al-A'araf Ayat 90 dan 91:

وَقَالَ الْمَلَأُ الَّذِينَ كَفَرُوا مِن قَوْمِهِ لَئِنِ اتَّبَعْتُمْ شُعَيْبًا إِنَّكُمْ إِذًا لَّخَاسِرُونَ ﴿٩٠﴾ فَأَخَذَتْهُمُ الرَّجْفَةُ فَأَصْبَحُوا فِي دَارِهِمْ جَاثِمِينَ ﴿٩١﴾

Bermaksud: "Dan berkatalah pula ketua-ketua yang kafir daripada kaum Nabi Syu'aib (kepada orang ramai); Sesungguhnya jika kamu mengikut Syu'aib nescaya kamu dengan perbuatan yang demikian menjadilah orang yang rugi. Maka mereka dibinasakan oleh gempa, lalu menjadilah mereka mayat-mayat yang tersungkur di tempat masing-masing".

2. Bencana banjir. Allah سبحانه وتعالى berfirman dalam Surah Al-'Ankabut Ayat 14:

وَلَقَدْ أَرْسَلْنَا نُوحًا إِلَىٰ قَوْمِهِ فَلَبِثَ فِيهِمْ أَلْفَ سَنَةٍ إِلَّا خَمْسِينَ عَامًا فَأَخَذَهُمُ الطُّوفَانُ وَهُمْ ظَالِمُونَ ﴿١٤﴾

Bermaksud: "Dan sesungguhnya Kami telah mengutus Nabi Nuh kepada kaumnya, maka tinggallah dia dalam kalangan mereka selama sembilan ratus lima puluh tahun , akhirnya mereka dibinasakan oleh taufan (banjir) sedang mereka berkeadaan zalim (dengan kufur derhaka)".

3. Tsunami dinyatakan dalam Surah At-Takwir Ayat 6:

وَإِذَا الْبِحَارُ سُجِّرَتْ ﴿٦﴾

Bermaksud: "Dan apabila lautan meluap-luap bercampur baur".

Dalam Surah berikutnya Allah سبحانه وتعالى berfirman lagi dalam Surah Al-Infitar Ayat 3:

وَإِذَا الْبِحَارُ فُجِّرَتْ ﴿٣﴾

Bermaksud:  "Dan apabila lautan pecah bercampur baur".

4. Kemarau pula Allah سبحانه وتعالى menyatakan mengenainya pada zaman Nabi Yusuf عليه السلام  dalam Surah Yusuf Ayat 48:

ثُمَّ يَأْتِي مِن بَعْدِ ذَ‌ٰلِكَ سَبْعٌ شِدَادٌ يَأْكُلْنَ مَا قَدَّمْتُمْ لَهُنَّ إِلَّا قَلِيلًا مِّمَّا تُحْصِنُونَ ﴿٤٨﴾

Bermaksud: "Kemudian akan datang selepas tempoh itu, tujuh tahun kemarau yang besar, yang akan menghabiskan makanan yang kamu sediakan baginya kecuali sedikit daripada apa yang kamu simpan (untuk dijadikan benih)".

Sidang jamaah yang berbahagia,

Al-Quran juga menyentuh mengenai bencana bukan alam seperti berikut: 

1. Kesengajaan atau kejahatan manusia berdasarkan Surah Ar-Rum Ayat 41:

ظَهَرَ الْفَسَادُ فِي الْبَرِّ وَالْبَحْرِ بِمَا كَسَبَتْ أَيْدِي النَّاسِ لِيُذِيقَهُم بَعْضَ الَّذِي عَمِلُوا لَعَلَّهُمْ يَرْجِعُونَ ﴿٤١﴾

Bermaksud: "Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia, (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian daripada balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat)".

2. Wabak penyakit. Ia telah dijelaskan di dalam Surah Al-A'araf Ayat 133:

فَأَرْسَلْنَا عَلَيْهِمُ الطُّوفَانَ وَالْجَرَادَ وَالْقُمَّلَ وَالضَّفَادِعَ وَالدَّمَ آيَاتٍ مُّفَصَّلَاتٍ فَاسْتَكْبَرُوا وَكَانُوا قَوْمًا مُّجْرِمِينَ ﴿١٣٣﴾

Bermaksud: "Kami pun menghantarkan kepada mereka taufan, belalang, kutu, katak dan darah, sebagai tanda-tanda bukti jelas nyata, maka mereka juga tetap berlaku sombong takbur dan menjadi kaum yang menderhaka".

3. Keganasan pula di dalam Surah Al-Maidah Ayat 33:

إِنَّمَا جَزَاءُ الَّذِينَ يُحَارِبُونَ اللَّهَ وَرَسُولَهُ وَيَسْعَوْنَ فِي الْأَرْضِ فَسَادًا أَن يُقَتَّلُوا أَوْ يُصَلَّبُوا أَوْ تُقَطَّعَ أَيْدِيهِمْ وَأَرْجُلُهُم مِّنْ خِلَافٍ أَوْ يُنفَوْا مِنَ الْأَرْضِ ۚ ذَ‌ٰلِكَ لَهُمْ خِزْيٌ فِي الدُّنْيَا ۖ وَلَهُمْ فِي الْآخِرَةِ عَذَابٌ عَظِيمٌ ﴿٣٣﴾

Bermaksud: "Hanyasanya balasan orang yang memerangi Allah dan rasul-Nya serta melakukan bencana kerosakan di muka bumi ialah dengan balasan bunuh (kalau mereka membunuh sahaja dengan tidak merampas) atau dipalang (kalau mereka membunuh dan merampas) atau dipotong tangan dan kaki mereka bersilang (kalau mereka merampas sahaja) atau dibuang negeri (kalau mereka hanya mengganggu ketenteraman awam). Hukuman yang demikian itu adalah suatu kehinaan di dunia bagi mereka dan di akhirat kelak mereka beroleh azab siksa yang amat besar".

Saudara kaum muslimin,

Bumi Malaysia juga tidak terlepas ditimpa bencana besar antaranya rusuhan kaum 13 Mei 1969 yang telah menggugat keharmonian perpaduan negara akibat perbalahan politik. Tambahan pula, banjir pada tahun penghujung 2014 adalah yang terburuk dalam sejarah banjir di Malaysia dengan mencatatkan lebih 300,000 orang dipindahkan. Gempa bumi di gunung Kinabalu pada 5 Jun 2015 pula mengorbankan 18 orang pendaki. Dengan rentetan dan siri bencana yang tidak disangka yang telah menyebabkan banyak nyawa yang hilang serta kerugian harta benda. Oleh itu, kerajaan telah menubuhkan agensi pengurusan bencana negara di bawah Jabatan Perdana Menteri hasil daripada keputusan jamaah menteri dalam mesyuaratnya pada 26 Ogos 2015 untuk meningkatkan kesiap siagaan dalam menghadapi bencana yang bakal berlaku.

Sidang Jumaat yang dimuliakan,

Pada pertengahan bulan September yang lalu, fenomena air pasang besar turut berlaku di negara kita. Sebanyak empat buah negeri menerima kesan daripada fenomena ini. Hakikatnya fenomena air pasang besar ini akan berlaku setiap bulan. Namun begitu, apa yang membimbangkan kita apabila ia berlaku dengan peningkatan paras air laut yang tinggi. Ini menyebabkan berlakunya banjir terutamanya di kawasan-kawasan berhampiran laut dan pantai.

Ramalan daripada Jabatan Hidrologi, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) juga menunjukkan fenomena air pasang besar yang begitu ekstrim ini akan berlaku lagi pada pertengahan bulan Oktober dan November. Keadaan ini dibimbangi akan menjadi lebih buruk jika berlaku pertembungan dengan musim tengkujuh yang turut diramal bermula pada bulan November hingga Januari 2017.

Oleh itu, Malaysia telah mengambil inisiatif bagi mendidik rakyat dan masyarakat supaya sentiasa bersedia jika berlaku apa-apa bencana termasuk dari segi perpindahan ke pusat pemindahan, persediaan sebelum menghadapi bencana dan sebagainya. Segala persiapan perlu bermula dari peringkat akar umbi supaya pengurusan bencana dapat dilaksanakan dengan lebih teratur dan lancar. Manakala agensi-agensi keselamatan serta NGO perlu membuat persiapan rapi bagi memberi perkhidmatan semasa bencana.

Saudara kaum muslimin yang dihormati sekalian,

Apabila berbicara tentang bencana, ingatlah! Bahawa yang paling dahsyat apabila tibanya kiamat. Firman Allah سبحانه وتعالى dalam Surah Al-Zalzalah Ayat 1 hingga 8:

إِذَا زُلْزِلَتِ الْأَرْضُ زِلْزَالَهَا ﴿١﴾ وَأَخْرَجَتِ الْأَرْضُ أَثْقَالَهَا ﴿٢﴾ وَقَالَ الْإِنسَانُ مَا لَهَا ﴿٣﴾ يَوْمَئِذٍ تُحَدِّثُ أَخْبَارَهَا ﴿٤﴾ بِأَنَّ رَبَّكَ أَوْحَىٰ لَهَا ﴿٥﴾ يَوْمَئِذٍ يَصْدُرُ النَّاسُ أَشْتَاتًا لِّيُرَوْا أَعْمَالَهُمْ ﴿٦﴾ فَمَن يَعْمَلْ مِثْقَالَ ذَرَّةٍ خَيْرًا يَرَهُ ﴿٧﴾ وَمَن يَعْمَلْ مِثْقَالَ ذَرَّةٍ شَرًّا يَرَهُ ﴿٨﴾ 

Bermaksud: "Apabila bumi digegarkan dengan gegaran yang sedahsyat-dahsyatnya. Serta bumi itu mengeluarkan segala isinya. Dan berkatalah manusia (dengan perasaan gerun); Apa yang sudah terjadi kepada bumi? Pada hari itu bumi pun menceritakan khabar beritanya. Bahawa Tuhanmu telah memerintahkannya (berlaku demikian). Pada hari itu manusia akan keluar berselerak (dari kubur masing-masing) untuk diperlihatkan kepada mereka (balasan) amal-amal mereka. Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam suratan amalnya). Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam suratan amalnya)".

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بالقُرْآنِ العَظِيْمِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ، أَقُولُ قَوْلِي هَذَا وَأَسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ، فَاسْتَغْفِرُوْهُ، فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ.



Khutbah Kedua

الْحَمْدُ لِلَّهِ حَمْدًا كَثِيْرًا كَمَا أَمَرَ. اَشْهَدُ اَنْ لاَ ِالــهَ اِلاَّ الله وَحْدَهُ لاَشَرِيْكَ لَهُ، وَاَشْهَدُ اَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ. اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ عَبْدِكَ وَرَسُلِكَ سَيِّدِنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أًجْمَعِينَ
أَمَّا بَعْدُ، فَيَاعِبَادَ اللهِ، اِتَّقُوْا اللهَ وَكُنُواْ مَعَ الصَّادِقِينَ. فَقَالَ اللهُ تَعَالَى
أَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ ۚ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا ﴿٥٦﴾

Bermaksud: "Sesungguhnya Allah dan malaikat berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad SAW), wahai orang-orang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucaplah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya". (Surah Al-Ahzab: Ayat 56)

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَبَارِكْ عَلى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا بَارَكْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ فِي الْعَالَمِينَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ. 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Mimbar menyeru marilah sama-sama kita menunaikan solat-solat fardhu secara berjamaah. Sesungguhnya solat secara berjamaah itu adalah lebih baik daripada solat solat secara bersendirian sepertimana sabda Rasulullah صلى الله عليه وسلم :

عَنْ ابْنِ عُمَرَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُمَا أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ صَلَاةُ الْجَمَاعَةِ أَفْضَلُ مِنْ صَلَاةِ الْفَذِّ بِسَبْعٍ وَعِشْرِينَ دَرَجَةً.

Bermaksud: "Daripada 'Abdullah bin 'Umar رضي الله عنهما, telah menceritakan bahawa Rasulullah صلى الله عليه وسلم pernah bersabda: Solat berjamaah lebih utama dua puluh tujuh bahagian daripada solat bersendirian". (Muttafaqun 'alaih)

Sabda Rasulullah صلى الله عليه وسلم :

وَلَوْ يَعْلَمُونَ مَا فِي الْعَتَمَةِ وَالصُّبْحِ لَأَتَوْهُمَا وَلَوْ حَبْوًا

Bermaksud: "Seandainya mereka mengetahui apa yang terkandung dalam Solatul 'Atamah (yakni solat Isyak) dan Subuh, nescaya mereka akan mendatanginya meskipun dengan merangkak". (Hadith riwayat Al-Bukhari)

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ والْمُؤمِنَاتِ، وَأَصْلِحْ ذَاتَ بَيْنِهِمْ وَأَلِّفْ بَيْنَ قُلُوْبِهِمْ وَاجْعَلْ فِيْ قُلُوْبِهِمُ اْلإِيْمَانَ وَاْلحِكْمَةَ وَثَبِّتْهُمْ عَلَى مِلَّةِ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى اللهِ عَلَيهِ وَسَلَّم.
اَللَّهُمَّ أَعِزَّ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ، اَللَّهُمَّ انْصُرِ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ، اَللَّهُمَّ انْصُرِ الدُّعَاةَ وَالْمُجَاهِدِيْنَ. اَللَّهُمَّ انْصُرِ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ فِي كُلِّ مَكَانٍ وَفِي كُلِّ زَمَانٍ. 

Ya Allah, bukakanlah hati kami untuk melaksanakan ibadat zakat sebagaimana yang telah Engkau fardhukan. Berkatilah hidup hamba-Mu yang melaksanakan tuntutan zakat dan para pewakaf yang telah menginfaqkan harta mereka ke jalan-Mu. Sucikanlah harta dan jiwa mereka, lindungilah golongan fuqara dan masakin daripada kekufuran dan kefakiran yang berpanjangan.

Ya Allah, kurniakanlah sepenuh taufiq dan hidayah-Mu terhadap Raja kami, Duli Yang Maha mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Al-Marhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah al-Maghfurulahu dan Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan Tuanku Zara Salim serta kerabat dan seluruh rakyat jelata sekalian.

رَبَّنَا ءَاتنِاَ فِى الدُّنْياَ حَسَنَةً وَفِى الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.
عِبَادَ اللهِ، اِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِاْلعَدْلِ وَالأِحْسَانِ وَإِيْتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَاْلمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُوْنَ. فَاذْكُرُوْا اللهَ الْعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ وَاشْكُرُوْهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ وَلَذِكْرُاللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ. 


Teks asal khutbah ini boleh juga dimuat turun dari laman sesawang Google Drive. Klik sini.

Friday, November 4, 2016

KHUTBAH JUMAAT - 4 SAFAR 1438 / 4 NOVEMBER 2016



RAJA MEMAYUNGI RAKYAT

Khutbah Pertama

الْحَمْدُ لِلَّهِ الْقَائِلِ:
الَّذِينَ إِن مَّكَّنَّاهُمْ فِي الْأَرْضِ أَقَامُوا الصَّلَاةَ وَآتَوُا الزَّكَاةَ وَأَمَرُوا بِالْمَعْرُوفِ وَنَهَوْا عَنِ الْمُنكَرِ ۗ وَلِلَّهِ عَاقِبَةُ الْأُمُورِ ﴿٤١﴾

Bermaksud: "Mereka yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar dan bagi Allah jualah kesudahan segala urusan". (Surah Al-Hajj Ayat 41)

أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، لَهُ إِقْرَارًا بِهِ وَتَوْحِيْدًا، وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا  عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ. اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدٍ خَاتَمِ الْأَنْبِيَاءِ وَالْمُرْسَالِينَ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أًجْمَعِينَ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَاعِبَادَ اللهِ! اِتَّقُوْا اللهَ اُوْصِيْكُمْ وَاِيّايَ بِتَقْوَى اللهِ وَطَاعَتِهِ  لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُوْنَ.  

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Saya berpesan kepada diri saya sendiri dan kepada sidang jamaah sekalian, marilah sama-sama kita meningkatkan ketaqwaan kepada Allah سبحانه وتعالى dengan melaksanakan segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Sebelum meneruskan khutbah, saya ingin berpesan kepada sidang Jumaat sekalian agar menumpukan perhatian terhadap khutbah yang bakal disampaikan. Mudah-mudahan kita sentiasa berada di dalam rahmat serta mendapat perlindungan Allah سبحانه وتعالى di dunia mahupun di akhirat. Mimbar pada hari ini akan membicarakan khutbah yang bertajuk "Raja Memayungi Rakyat".

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Setiap hari Jumaat minggu pertama bulan November setiap tahun telah ditetapkan bagi sambutan keputeraan Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan. Hari keputeraan ini bukanlah semata-mata hari bagi meraikan individu raja atau sultan yang memerintah sesebuah negeri. Lebih jauh dari itu ianya melambangkan kesetiaan dan kasih sayang rakyat jelata terhadap institusi kesultanan yang menaungi serta memayungi mereka. Institusi kesultanan itu, bukan sekadar satu cermin lama untuk melihat satu institusi yang telah tua. Sebaliknya, institusi kesultanan itu tidak kan usang, malah tetap diterima oleh rakyat jelata dari segi peranan dan relevannya di era moden ini, kekal menjadi lambang kebesaran bangsa melayu khususnya dan warga Malaysia keseluruhannya.

Al-Marhum Sultan Azlan Muhibuddin Syah pernah mengungkapkan mutiara kata tatkala menerima penganugerahan persuratan (kehormat) oleh Universiti Malaya dalam tahun 1979, bahawa negara Malaysia adalah berteraskan kepada sejarah melayu, evolusi politik melayu, nasionalisme melayu yang hidup subur dalam kepulauan melayu yang mempunyai sejarah kebudayaan melayu.

Sidang hadirin yang dimuliakan,

Semenjak abad kedua hinggalah ke abad lima belas, kerajaan melayu telah wujud di rantau ini, merangkumi kawasan dan wilayah selatan Thailand, Langkasuka, Kedah Tua, Kalimantan Timur, Sriwijaya, Majapahit hingga kepada kegemilangan Kerajaan Melayu Islam Melaka. Pada hari ini, tiga negara di dunia masih dikuasai oleh pemerintahan melayu, sebuah kesultanan d Brunei, sebuah republik di Indonesia serta sebuah kerajaan raja berperlembagaan di Malaysia. Sesungguhnya kehadiran raja-raja melayu itu merupakan institusi negara-bangsa, institusi berkerajaan dan bernegara yang mempertahankan ketuanan melayu.

Saudara kaum muslimin yang berbahagia,

Tanggal 28 Mei 2014, dewan negeri Perak telah mencapai kata sepakat menamakan Sultan Nazrin Syah sebagai sultan Perak ke-35 dengan gelaran Sultan Nazrin Mu'izzuddin Syah bermaksud pemerkasa agama. Ini menunjukkan bahawa agama Islam adalah merupakan identiti yang tidak dapat dipisahkan dengan raja-raja melayu dan raja melayu menjunjung satu tanggungjawab besar sebagai penjaga terhadap agama Islam. Ini juga disusuli dengan lafaz sumpah jawatan yang mengandungi kalimah berikut:

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَـٰنِ الرَّحِيمِ

Adalah kita Raja Nazrin Syah Ibni Al-Marhum Sultan Azlan Syah bersumpah dengan وَتَاللهِ - وَبِاللهِ - وَاللهِ - bahawa kita mengaku memerintah negeri Perak Darul Ridzuan dan sekalian takluk jajahannya menurut perlembagaan negeri Perak dengan adil mengikut hukum Allah.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Raja wajib menjunjung menjunjung amanah pemerintahan dengan melaksanakan keadilan untuk kesejahteraan rakyat mengikut hukum yang telah ditetapkan oleh Allah. Sifat adil memerlukan raja memberi payung naungan secara saksama kepada semua lapisan rakyat termasuk yang menganut agama-agama lain. Agama-agama lain telah diamalkan di bumi ini sebelum dan selepas kedatangan Islam. Tidak pernah ada sejarah yang mencatatkan bahawa pemerintahan Islam memaksa penganut agama lain bagi menerima Islam. Namun sebaliknya, sejarah telah membuktikan ribuan umat Islam yang dipaksa, dianiaya dan dibunuh kerana berpegang teguh dengan ajaran Islam. Allah سبحانه وتعالى berfirman dalam Surah An-Nisa' Ayat 58 dan 59:

۞ إِنَّ اللَّهَ يَأْمُرُكُمْ أَن تُؤَدُّوا الْأَمَانَاتِ إِلَىٰ أَهْلِهَا وَإِذَا حَكَمْتُم بَيْنَ النَّاسِ أَن تَحْكُمُوا بِالْعَدْلِ ۚ إِنَّ اللَّهَ نِعِمَّا يَعِظُكُم بِهِ ۗ إِنَّ اللَّهَ كَانَ سَمِيعًا بَصِيرًا ﴿٥٨﴾ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَطِيعُوا اللَّهَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ وَأُولِي الْأَمْرِ مِنكُمْ ۖ فَإِن تَنَازَعْتُمْ فِي شَيْءٍ فَرُدُّوهُ إِلَى اللَّهِ وَالرَّسُولِ إِن كُنتُمْ تُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ ۚ ذَ‌ٰلِكَ خَيْرٌ وَأَحْسَنُ تَأْوِيلًا ﴿٥٩﴾

Bermaksud: "Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada yang berhak menerimanya dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, hendaklah kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar lagi sentiasa Melihat. Wahai orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada Ulil Amri (orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (kitab) Allah dan (As-Sunnah) rasul-Nya jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu) dan lebih elok pula kesudahannya".

Sidang kaum muslimin yang dirahmati Allah,

Daulat dan darjat seseorang raja tidaklah ibarat pipis datang melayang, tidaklah ibarat bulat datang bergolek. Kedudukan dan darjat turut disertai dengan peranan dan tanggungjawab. Oleh itu adalah menjadi tanggungjawab raja-raja melukiskan secantik gambaran, mewarnakan akan institusi kesultanan hingga disegani lagi dihormati, dimuliakan lagi berdaulat. Ianya akan hanya tercapai dengan memperlihatkan contoh teladan yang baik lagi luhur melalui perlakuan yang beradab lagi bersopan, baik secara perkataan mahupun secara perbuatan.

Muslimin yang berbahagia,

Sebagai raja yang berperlembagaan, pihak-pihak di sekeliling raja juga amat penting dan berpengaruh. Pernah suatu masa kerajaan Melaka merupakan simbol kegemilangan tamaddun melayu yang tercatat dalam sejarah. Malang sekali, kegemilangan Melaka tidak kekal selamanya. Kini ia tinggal sebagai cermin lama untuk memperlihatkan wajah tua. Setelah berada di singgahsana kejayaan, pelbagai kepincangan berlaku. Kepincangan yang menjejaskan keharmonian rakyat dan menggugat kestabilan negara. Ianya berpunca dari kalangan para pembesar yang memiliki kuasa dan pengaruh yang dikuasai hasad dengki, tamak haloba dan kepentingan diri. Raja menjadi leka setelah dipagari oleh individu yang tidak memiliki kekuatan sejati. Budaya mengampu menjadi subur. Kebenaran tidak dihargai. Lalu raja mendapat nasihat yang salah. Maka tenggelamlah keadilan dalam arus kepura-puraan. Apabila rakyat mentafsirkan takhta mengamalkan sikap "beraja di mata bersultan di hati", maka terputuslah talian kesetiaan di antara raja dengan rakyat dan terungkailah ikatan perpaduan di antara rakyat sesama rakyat. Raja dan rakyat semakin terpisah. Rakyat pula berpecah belah berdasarkan kesetiaan kekelompokkan. Fikiran dan tenaga lebih terhala untuk menjatuhkan sesama sendiri. Urusan negara, urusan bangsa makin tersisih. Akhirnya takhta jatuh, bumi hilang, bangsa tergadai.

Telah tercatat dalam hikayat, betapa Hang Nadim dihukum bunuh kerana kepintaran menyembahkan cadangan untuk menangani masalah serangan "todak" di Singapura. Raja disembahkan nasihat yang salah dari kalangan pembesar istana yang memagari raja. Para pembesar yang memiliki kepentingan, bersifat cemburu dan iri hati, para pembesar yang tidak mempunyai kekuatan lalu gentar kepada insan yang lebih pintar. Kisah Hang Nadim perlu direnung. Pemikir dan ilmuan tidak mungkin lahir dan dewasa dalam budaya pemerintahan dan alam kehidupan sedemikian. Mungkin kisah Hang Nadim masih berlaku. Berapa ramai lagi cerdik pandai bangsa yang telah tersingkir kerana kepintaran, kerana kelainan pandangan, kerana perbezaan pendapat, kerana keberanian menzahirkan yang benar, baik di desa dan di kota, di bilik darjah dan di dewan kuliah, dalam kalangan pengurus dan dalam kalangan pentadbir.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بالقُرْآنِ العَظِيْمِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ، أَقُولُ قَوْلِي هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ الْأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالْأَمْوَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ، إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ.


Khutbah Kedua

الْحَمْدُ لِلَّهِ الْقَائِلِ:
قُلِ اللَّهُمَّ مَالِكَ الْمُلْكِ تُؤْتِي الْمُلْكَ مَن تَشَاءُ وَتَنزِعُ الْمُلْكَ مِمَّن تَشَاءُ وَتُعِزُّ مَن تَشَاءُ وَتُذِلُّ مَن تَشَاءُ ۖ بِيَدِكَ الْخَيْرُ ۖ إِنَّكَ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ ﴿٢٦﴾

Bermaksud: "Katakanlah (wahai Muhammad); Wahai Tuhan yang Mempunyai Kuasa Pemerintahan! Engkaulah yang memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau Kehendaki, dan Engkaul;ah yang Mencabut kuasa pemerintahan dari sesiapa yang Engkau Kehendaki. Engkaulah juga yang Memuliakan sesiapa yang Engkau Kehendaki dan Engkaulah yang Menghina seiapa yang Engkau Kehendaki. Dalam Kekuasaan Engkaulah sahaja adanya segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu". (Surah Ali-'Imran Ayat 26)

اَشْهَدُ اَنْ لاَ ِالــهَ اِلاَّ الله وَحْدَهُ لاَشَرِيْكَ لَهُ، وَاَشْهَدُ اَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ، اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلىَ الــِهِ وَصَحْبِهِ اَجْمَعِيْنَ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَاعِبَادَ اللهِ، اِتَّقُوْا اللهَ وَكُنُواْ مَعَ الصَّادِقِينَ. 

Saudara kaum muslimin yang dimuliakan,

Hubungan raja-raja dan rakyat terikat dengan satu perjanjian yang sudah termeterai. Tun Seri Lanang telah mengungkapkan kata-kata berikut dalam As-Sulalatus Salatin:

Maka sembah Demang Lebar Daun, "Tuanku, segala anak cucu patik sedia akan jadi hambalah ke bawah duli Yang Dipertuan. Hendaklah ia diperbaiki oleh anak cucu tuan hamba. Syahadan jikalau ia berdosa besar, besar dosanya sekalipun jangan ia difadhihatkan dan dinista dengan kata-kata jahat-jahat. Jikalau besar dosanya dibunuh, itu pun jikalau patut pada hukum syar'ie."

Demikian perjanjian yang dijadikan magna carta bangsa melayu. Ikatan perakuan hubungan antara raja dengan rakyat yang wajar dijadikan pedoman akan hubungan pemimpin dengan yang dipimpin di dalam budaya melayu. Bahawa bangsa itu sama sekali tidak harus dinista, jauh sekali dihina oleh pemimpin. Malah pemimpin bertanggung jawab untuk memperbaiki kesejahteraan hidup yang dipimpin.

Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Syah seawal tahun 1980, ketika menerima ijazah kehormat doktor undang-undang dari Universiti Sains Malaysia telah memperingatkan bahawa selagi rakyat menaruh keprcayaan terhadap raja dan menghormati institusi beraka, selama itulah takhta tidak akan dipindahkan dari istana ke muzium.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Mimbar menyeru marilah sama-sama kita menunaikan solat-solat fardhu secara berjamaah. Sesungguhnya solat secara berjamaah itu adalah lebih baik daripada solat solat secara bersendirian sepertimana sabda Rasulullah صلى الله عليه وسلم :

عَنْ ابْنِ عُمَرَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُمَا أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ صَلَاةُ الْجَمَاعَةِ أَفْضَلُ مِنْ صَلَاةِ الْفَذِّ بِسَبْعٍ وَعِشْرِينَ دَرَجَةً.

Bermaksud: "Daripada 'Abdullah bin 'Umar رضي الله عنهما, telah menceritakan bahawa Rasulullah صلى الله عليه وسلم pernah bersabda: Solat berjamaah lebih utama dua puluh tujuh bahagian daripada solat bersendirian". (Muttafaqun 'alaih)

Sabda Rasulullah صلى الله عليه وسلم :

وَلَوْ يَعْلَمُونَ مَا فِي الْعَتَمَةِ وَالصُّبْحِ لَأَتَوْهُمَا وَلَوْ حَبْوًا

Bermaksud: "Seandainya mereka mengetahui apa yang terkandung dalam Solatul 'Atamah (yakni solat Isyak) dan Subuh, nescaya mereka akan mendatanginya meskipun dengan merangkak". (Hadith riwayat Al-Bukhari)
أَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ ۚ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا ﴿٥٦﴾

Bermaksud: "Sesungguhnya Allah dan malaikat berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad SAW), wahai orang-orang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucaplah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya". (Surah Al-Ahzab: Ayat 56)

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَبَارِكْ عَلى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا بَارَكْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ فِي الْعَالَمِينَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ. 

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ والْمُؤمِنَاتِ، وَأَصْلِحْ ذَاتَ بَيْنِهِمْ وَأَلِّفْ بَيْنَ قُلُوْبِهِمْ وَاجْعَلْ فِيْ قُلُوْبِهِمُ اْلإِيْمَانَ وَاْلحِكْمَةَ وَثَبِّتْهُمْ عَلَى مِلَّةِ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى اللهِ عَلَيهِ وَسَلَّم.

Ya Allah, Ya Rahman Ya Rahim, kurniakanlah sepenuh taufiq dan hidayah-Mu terhadap Raja kami, Duli Yang Maha mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Al-Marhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah al-Maghfurulahu dan Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan Tuanku Zara Salim serta kerabat dan seluruh rakyat jelata sekalian. Kurniakanlah kebijaksanaan kepada baginda dalam membuat keputusan dan tindakan.

Ya Allah, bantulah sultan dan raja pemerintah kami membentengi agama-Mu di negeri ini. Kurniakanlah kepada baginda sekalian penasihat-penasihat yang jujur lagi amanah. Tundukkanlah hati baginda sekalian agar lebih tawadhuk dan merendah diri serta sentiasa mendampingi dan memahami isi hati rakyat jelata. Demi Allah, kami rakyat jelata mengikat janji setia akan menjadi tulang belakang kepada duli-duli tuanku selama mana baginda sekalian mendapati kami dalam mempertahankan agama Islam di bumi bertuah ini.

رَبَّنَا ءَاتنِاَ فِى الدُّنْياَ حَسَنَةً وَفِى الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.
عِبَادَ اللهِ، اِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِاْلعَدْلِ وَالأِحْسَانِ وَإِيْتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَاْلمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُوْنَ. فَاذْكُرُوْا اللهَ الْعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ وَاشْكُرُوْهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ وَلَذِكْرُاللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ. 


Teks asal khutbah ini boleh juga dimuat turun dari laman sesawang Google Drive. Klik sini.

KULIAH SETIAP SABTU




KULIAH SETIAP AHAD MINGGU KEDUA