bersama kepimpinan ulamak




Program Terdekat




Friday, October 28, 2016

KHUTBAH JUMAAT - 27 MUHARRAM 1438 / 28 OKTOBER 2016


PERANAN IBU BAPA TERHADAP KECEMERLANGAN ANAK-ANAK

Khutbah Pertama

الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي شَرَحَ صُدُوْرَنَا لِلْإِسْلَامِ، وَشَرَّفْنَا أُمَّةً خَيْرَ الْأَنَامِ. اَشْهَدُ اَنْ لاَ ِالــهَ اِلاَّ الله وَحْدَهُ لاَشَرِيْكَ لَهُ، وَاَشْهَدُ اَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ، اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلىَ الــِهِ وَصَحْبِهِ اَجْمَعِيْنَ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله! اِتَّقُوْا الله اُوْصِيْكُمْ وَاِيـَّايَ بِتَقْوَى الله فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Mimbar yang mulia ini mengulangi pesanan taqwa untuk diri saya dan sidang jamaah sekalian, dengan kita melakukan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Pesanan ini sangat penting untuk diulang-ulang dan dihayati khususnya di zaman kita yang begitu mudah lupa kepada Allah. Bahkan hubungan kita lebih rapat dengan Facebook, What'sapp, Televisyen dan sebagainya berbanding solat, pembacaan Al-Quran, zikir dan perkembangan nasib umat Islam seluruh dunia bahkan di negara kita sendiri. Sebelum meneruskan khutbah, saya ingin berpesan kepada sidang Jumaat sekalian agar menumpukan perhatian terhadap khutbah yang bakal disampaikan. Semoga kita tidak tergolong dalam kalangan umat yang lalai dan beroleh kejayaan di dunia mahupun di akhirat. Mimbar pada hari ini akan menyampaikan khutbah yang bertajuk "Peranan Ibu Bapa Terhadap Kecemerlangan Anak-Anak".

Sidang Jumaat yang berbahagia,

Anak adalah anugerah yang tidak ternilai bagi mereka yang telah berumah tangga. Sedetik kedengaran tangisan bayi yang dilahirkan, sejuta kesyukuran yang tidak terhingga kerana telah diberi nikmat dan peluang oleh Allah سبحانه وتعالى untuk bergelar sebagai ibu dan bapa. Azan dan iqamah dilaungkan agar kalimah pertama yang didengari oleh si bayi adalah kalimah tauhid yang suci. Mudah-mudahan anak yang telah dikandungkan isteri menjadi anak yang teguh ikatan aqidahnya.

Namun, tanggungjawab mendidik tidak terhenti setakat itu sahaja kerana anak-anak sentiasa memerlukan bimbingan. Jangan biarkan mereka merintih untuk dibimbing kerana sebenarnya itulah tanggungjawab ibu bapa. Ibarat nakhoda yang bijak mengemudi kapal supaya selamat tiba ke destinasi, begitulah cabaran melayari samudera kehidupan dalam membina institusi kekeluargaan. Firman Allah سبحانه وتعالى dalam Surah At-Tahrim Ayat 6:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا قُوا أَنفُسَكُمْ وَأَهْلِيكُمْ نَارًا وَقُودُهَا النَّاسُ وَالْحِجَارَةُ عَلَيْهَا مَلَائِكَةٌ غِلَاظٌ شِدَادٌ لَّا يَعْصُونَ اللَّهَ مَا أَمَرَهُمْ وَيَفْعَلُونَ مَا يُؤْمَرُونَ ﴿٦﴾

Bermaksud: "Wahai orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarnya manusia dan batu (berhala), neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya), mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkan kepada mereka dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan".

Sidang Jumaat yang dimuliakan,

Ibu bapa perlu berperanan sebagai guru di rumah iaitu membimbing dan menggalakkan anak-anak untuk mengulangkaji pelajaran dan menyiapkan kerja-kerja sekolah. Ibu bapa wajar memberikan perhatian sepenuh masa bersama anak-anak. Janganlah pula kita mengganggu pembelajaran anak-anak dengan aktiviti-aktivi melalaikan seperti menonton televisyen, melayari internet, berbual kosong dan sebagainya. Dorongan dan bimbingan di rumah akan membentuk daya tahan anak-anak dalam menghadapi cabaran pendidikan yang kompleks.

Ibu bapa perlu insaf bahawa tahap pencapaian pendidikan anak-anak kita masih lagi rendah berbanding dengan bangsa-bangsa lain. Setiap kali keputusan peperiksaan UPSR, PT3, SPM, STPM dan STAM dikeluarkan, anak-anak kita masih lagi ketinggalan, terutamanya dalam kursus-kursus sains dan professional. Mudah-mudahan pengembelingan usaha sama antara ibu bapa dan guru-guru serta umat di sekelilingnya akan mengangkat kembali martabat pendidikan dalam kalangan anak-anak kita untuk lebih berjaya.

Hadirin sidang Jumaat yang berbahagia,

Dalam kita terlalu memberi penekanan terhadap kecemerlangan akademik anak-anak, jangan pula kita abaikan pendidikan agama dan peribadinya. Ibu bapa perlu komited dengan perintah Allah سبحانه وتعالى terutamanya solat. Perintah ini perlu disertakan dengan konsep dakwah bilhal oleh ibu bapa sendiri. Pembudayaan ibu bapa terhadap amalan solat berjamaah, membaca Al-Quran, membelek buku-buku agama, insha Allah akan dapat menyuburkan iman dan taqwa dalam diri anak-anak.

Amat malang, apabila kita dapati ramai anak-anak yang tidak menunaikan solat hanya kerana lebih sibuk melayani rakan-rakan dan urusan mereka sahaja. Lebih malang lagi, ada di kalangan anak-anak remaja yang hanya pulang ke rumah untuk tidur dan makan semata-mata. Sepatutnya di rumah menjadi benteng pertahanan terakhir keluarga daripada anasir-anasir yang bertentangan dengan Islam, tetapi benteng ini telah runtuh dan musnah akibat kita bertindak sambil lewa serta lalai dalam mendidik anak-anak.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Bersempena musim peperiksaan awam akan berlangsung 7 November ini, terutamanya Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), mimbar menyeru agar semua pihak bersama-sama memberi semangat kepada anak-anak yang terlibat. Berilah tumpuan yang sepenuhnya agar anak-anak merasai kebersamaan dalam mengharungi peperiksaan ini nanti. Semua pelajar dan anak-anak adalah berpotensi untuk cemerlang. Pelajar yang cemerlang tidak semestinya datang daripada keluarga yang berpendidikan tinggi atau berlatar belakangkan sosio-ekonomi yang baik, tetapi usaha yang berterusan untuk meningkatkan kecemerlangan diri menjadi penyumbang utama kepada kejayaan.

Mimbar menasihati pelajar-pelajar yang akan menghadapi peperiksaan ini, haruslah bersedia dari segi fizikal, mental, emosi dan rohani. Kesihatan yang baik perlu diberi perhatian bermula daripada persediaan mengulangkaji hinggalah ke dewan peperiksaan di samping menjauhkan diri dari aktiviti lasak yang boleh membawa kecelakaan. Tetapkan iman, minda dengan fikiran positif dan jangan ada perasaan menyerah kalah sebelum berjuang. Justeru, laksanakanlah formula mengecapi kejayaan merangkumi usaha, ikhtiar, doa dan bertawakkal kepada Allah سبحانه وتعالى secara istiqamah agar kelak memperolehi kejayaan cemerlang untuk agama, keluarga, bangsa dan negara. Mari sama-sama kita hayati firman Allah سبحانه وتعالى dalam Surah Ali Imran Ayat 159:

فَإِذَا عَزَمْتَ فَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ ۚ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُتَوَكِّلِينَ ﴿١٥٩﴾

Bermaksud: "Kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat untuk membuat sesuatu) maka bertawakkallah kepada Allah kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang yang bertawakkal kepada-Nya".

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بالقُرْآنِ العَظِيْمِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ، أَقُولُ قَوْلِي هَذَا وَأَسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ، فَاسْتَغْفِرُوْهُ، فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ.


Khutbah Kedua

الْحَمْدُ لِلَّهِ حَمْدًا كَثِيْرًا كَمَا أَمَرَ. اَشْهَدُ اَنْ لاَ ِالــهَ اِلاَّ الله وَحْدَهُ لاَشَرِيْكَ لَهُ، وَاَشْهَدُ اَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ. اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ عَبْدِكَ وَرَسُلِكَ سَيِّدِنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أًجْمَعِينَ
أَمَّا بَعْدُ، فَيَاعِبَادَ اللهِ، اِتَّقُوْا اللهَ وَكُنُواْ مَعَ الصَّادِقِينَ. فَقَالَ اللهُ تَعَالَى
أَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ ۚ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا ﴿٥٦﴾

Bermaksud: "Sesungguhnya Allah dan malaikat berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad SAW), wahai orang-orang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucaplah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya". (Surah Al-Ahzab: Ayat 56)

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَبَارِكْ عَلى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا بَارَكْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ فِي الْعَالَمِينَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ. 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Mimbar menyeru marilah sama-sama kita menunaikan solat-solat fardhu secara berjamaah. Sesungguhnya solat secara berjamaah itu adalah lebih baik daripada solat solat secara bersendirian sepertimana sabda Rasulullah صلى الله عليه وسلم :

عَنْ ابْنِ عُمَرَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُمَا أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ صَلَاةُ الْجَمَاعَةِ أَفْضَلُ مِنْ صَلَاةِ الْفَذِّ بِسَبْعٍ وَعِشْرِينَ دَرَجَةً.

Bermaksud: "Daripada 'Abdullah bin 'Umar رضي الله عنهما, telah menceritakan bahawa Rasulullah صلى الله عليه وسلم pernah bersabda: Solat berjamaah lebih utama dua puluh tujuh bahagian daripada solat bersendirian". (Muttafaqun 'alaih)

Sabda Rasulullah صلى الله عليه وسلم :

وَلَوْ يَعْلَمُونَ مَا فِي الْعَتَمَةِ وَالصُّبْحِ لَأَتَوْهُمَا وَلَوْ حَبْوًا

Bermaksud: "Seandainya mereka mengetahui apa yang terkandung dalam Solatul 'Atamah (yakni solat Isyak) dan Subuh, nescaya mereka akan mendatanginya meskipun dengan merangkak". (Hadith riwayat Al-Bukhari)

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ والْمُؤمِنَاتِ، وَأَصْلِحْ ذَاتَ بَيْنِهِمْ وَأَلِّفْ بَيْنَ قُلُوْبِهِمْ وَاجْعَلْ فِيْ قُلُوْبِهِمُ اْلإِيْمَانَ وَاْلحِكْمَةَ وَثَبِّتْهُمْ عَلَى مِلَّةِ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى اللهِ عَلَيهِ وَسَلَّم.
اَللَّهُمَّ أَعِزَّ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ، اَللَّهُمَّ انْصُرِ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ، اَللَّهُمَّ انْصُرِ الدُّعَاةَ وَالْمُجَاهِدِيْنَ. اَللَّهُمَّ انْصُرِ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ فِي كُلِّ مَكَانٍ وَفِي كُلِّ زَمَانٍ. 

Ya Allah, bukakanlah hati kami untuk melaksanakan ibadat zakat sebagaimana yang telah Engkau fardhukan. Berkatilah hidup hamba-Mu yang melaksanakan tuntutan zakat dan para pewakaf yang telah menginfaqkan harta mereka ke jalan-Mu. Sucikanlah harta dan jiwa mereka, lindungilah golongan fuqara dan masakin daripada kekufuran dan kefakiran yang berpanjangan.

Ya Allah, permudahkanlah anak-anak kami yang menduduki peperiksaan, kurniakanlah ketenangan di hati mereka, kurniakanlah kekuatan agar mereka terus bersemangat mengulangkaji pelajaran dalam masa yang berbaki. Ingatkanlah perkara yang mereka terlupa, ilhamkanlah ke hati mereka untuk menjawab yang terbaik. Ya Allah, berkatilah guru-guru yang berjuang mendidik dan membimbing mereka. Semoga mereka berjaya di dunia dan di akhirat.

Ya Allah, kurniakanlah sepenuh taufiq dan hidayah-Mu terhadap Raja kami, Duli Yang Maha mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Al-Marhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah al-Maghfurulahu dan Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan Tuanku Zara Salim serta kerabat dan seluruh rakyat jelata sekalian.

رَبَّنَا ءَاتنِاَ فِى الدُّنْياَ حَسَنَةً وَفِى الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.
عِبَادَ اللهِ، اِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِاْلعَدْلِ وَالأِحْسَانِ وَإِيْتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَاْلمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُوْنَ. فَاذْكُرُوْا اللهَ الْعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ وَاشْكُرُوْهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ وَلَذِكْرُاللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ. 


Teks asal khutbah ini boleh juga dimuat turun dari laman sesawang Google Drive. Klik sini.

Friday, October 21, 2016

KHUTBAH JUMAAT - 20 MUHARRAM 1438 / 21 OKTOBER 2016


LIBERALISME PEROSAK AGAMA, BANGSA DAN NEGARA

Khutbah Pertama

الْحَمْدُ لِلَّهِ الْذِي أَرْسَلَ رَسُولَهُ بِالْهُدَىٰ وَدِينِ الْحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّينِ كُلِّهِ ۚ وَلَوْ كَرِهَ الْمُشْرِكُونَ. أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا  وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدًا  عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ. اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدٍ خَاتَمِ الْأَنْبِيَاءِ وَالْمُرْسَالِينَ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أًجْمَعِينَ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَاعِبَادَ اللهِ، اِتَّقُوْا اللهَ اُوْصِيْكُمْ وَاِيّايَ بِتَقْوَى اللهِ وَطَاعَتِهِ  لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُوْنَ. 
 Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Saya berpesan kepada diri saya sendiri dan kepada sidang jamaah sekalian, marilah sama-sama kita meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah سبحانه وتعالى dengan sebenar-benar taqwa dengan melaksanakan segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Sebelum meneruskan khutbah saya ingin berpesan kepada sidang Jumaat sekalian agar menumpukan perhatian terhadap khutbah yang bakal disampaikan. Mudah-mudahan kita sentiasa berada di dalam rahmat serta mendapat perlindungan Allah سبحانه وتعالى di dunia mahupun di akhirat. Mimbar pada hari ini akan membicarakan khutbah yang bertajuk; "Liberalisme Perosak Agama, Bangsa dan Negara".

Sidang Jumaat yang dimuliakan,

Islam adalah agama tauhid dan ajaran kepatuhan kepada Allah سبحانه وتعالى dan rasul-Nya, Islam agama yang mengajarkan kebenaran dan kebaikan kepada umat manusia. Islam secara khusus bermakna menyerah diri kepada Allah سبحانه وتعالى, namun hakikat maknanya yang lebih luas juga mencakupi segala bentuk nilai kebaikan dan kesempurnaan. Seiring dengan Islam yang mewakili segala bentuk nilai kebaikan, maka ia tentu juga mencakupi nilai kebebasan iaitu kebebasan dalam makna yang lebih sesuai dan benar menurut ukuran Islam, bukan kebebasan dalam makna yang tanpa batas, kerana kebebasan yang tanpa batas tidak sesuai kepada makhluk apatah lagi bersifat hamba kepada Penciptanya. Kebebasan secara mutlak hanya sesuai kepada Tuhan yang Maha Berkuasa.

Kebebasan menurut Islam adalah kemerdekaan dalam memilih sesuatu selama mana pilihan tersebut masih berada dalam ruang lingkup kebenaran syarak iaitu kebenaran yang dikehendaki oleh Allah سبحانه وتعالى sebagaimana yang terkandung di dalam Al-Quran dan As-Sunnah. Kebebasan memilih jalan hidup, selama mana tidak memilih perkara yang dilarang. Pada dasarnya, umat Islam diberi hak dasar berupa kebebasan dalam memilih jalan hidup masing-masing, dengan pedoman wahyu atas keterbatasan akal. Firman Allah سبحانه وتعالى dalam Surah Al-Maidah Ayat 3:

الْيَوْمَ أَكْمَلْتُ لَكُمْ دِينَكُمْ وَأَتْمَمْتُ عَلَيْكُمْ نِعْمَتِي وَرَضِيتُ لَكُمُ الْإِسْلَامَ دِينًا ۚ

Bermaksud: "Pada hari ini, telah Aku sempurnakan bagi kamu agama kamu, dan telah Aku cukupkan nikmat-Ku kepada kamu dan Aku telah redha akan Islam itu menjadi agama untuk kamu".

Sidang hadirin yang berbahagia,

Antara fahaman yang berbahaya dalam kalangan umat Islam sekarang ini ialah fahaman Liberalisme. Fahaman Liberalisme adalah satu fahaman yang menuntut kebebasan berfikir dan bertindak serta menolak prinsip berpegang kepada kebenaran berpandukan agama serta mengambil jalan mudah dalam beragama. Melalui fahaman Liberal ini, pemikiran umat Islam diadun dengan acuan kebebasan tanpa batasan iaitu bebas melakukan apa sahaja tanpa sekatan dan kongkongan agama atau diskriminasi peraturan mahupun undang-undang yang dianggap sebagai menyekat kebebasan asasi manusia. Sekiranya disekat, dihalang atau didakwa, maka golongan ini dengan pantas mencanang satu dunia bahawa hak kebebasan mereka telah dicabuli.

Pejuang fahaman Liberal juga mendakwa bahawa agama Islam mengikat, jumud, membataskan kemajuan. Fahaman ini jelas berlawanan dengan apa yang diturunkan oleh Allah سبحانه وتعالى yang Maha Mengetahui, lengkap meliputi peraturan, undang-undang yang mengatur kehidupan manusia dalam semua aspek untuk kesejahteraan hidup manusia. Firman Allah سبحانه وتعالى dalam Surah Ali-'Imran Ayat 83:

أَفَغَيْرَ دِينِ اللَّهِ يَبْغُونَ وَلَهُ أَسْلَمَ مَن فِي السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ طَوْعًا وَكَرْهًا وَإِلَيْهِ يُرْجَعُونَ ﴿٨٣﴾

Bermaksud: "Patutkah sesudah (mengakui dan menerima perjanjian) itu mereka mencari lain daripada agama Allah? Padahal kepada-Nyalah tunduk taat sekalian makhluk yang ada di langit dan di bumi, sama ada dengan sukarela ataupun terpaksa dan kepada-Nyalah mereka dikembalikan".

Saudara-saudara kaum muslimin yang dimuliakan,

Baru-baru ini, kita sekali lagi digemparkan dengan isu Saturday Reformist Jumu'ah. Kumpulan ini telah membuat kenyataan berunsur provokatif kononnya mahu mengubah fahaman agama yang sudah sekian lama diyakini. Mereka kononnya mahu solat Jumaat diubah kepada hari Sabtu. Gerakan ini dilakukan di United Kingdom dengan alasan untuk memudahkan orang awam bersolat kerana hari Jumaat hari bekerja. Benih-benih pemikiran Liberal yang membimbangkan inilah mula menjalar dalam masyarakat Islam dunia mahupun di Malaysia khususnya.

Sebagai seorang Islam, hak asasi bukan lesen untuk kebebasan mutlak. Hak asasi masih terikat dengan agama, peraturan dan undang-undang. Hak asasi laungan Liberal adalah hak asasi menurut nafsu yang berselindung di bawah konsep hak asasi. Menurut nafsu adalah kegagalan. Nafsu tidak mahu dibatasi dan tidak pernah puas. Nafsu juga tidak mahu tunduk kepada sebarang peraturan dan undang-undang termasuk hukum Islam melainkan nafsu yang berjaya dididik menurut dan patuh kepada perintah Allah سبحانه وتعالى dan Rasulullah صلى الله عليه وسلم. Firman Allah سبحانه وتعالى dalam Surah Yusuf Ayat 53:

۞ وَمَا أُبَرِّئُ نَفْسِي ۚ إِنَّ النَّفْسَ لَأَمَّارَةٌ بِالسُّوءِ إِلَّا مَا رَحِمَ رَبِّي ۚ إِنَّ رَبِّي غَفُورٌ رَّحِيمٌ ﴿٥٣﴾

Bermaksud: "Dan tiadalah aku berani membersihkan diriku, sesungguhnya nafsu manusia itu sangat menyuruh melakukan kejahatan, kecuali yang telah diberi rahmat oleh Tuhanku (maka terselamatlah ia dari hasutan nafsu itu). Sesungguhnya Tuhanku amat Pengampun lagi Maha Mengasihani".

Hadirin yang berbahagia,

Di dalam Islam, hukum hakam dibina dengan matlamat yang penting untuk kehidupan manusia iaitu menjaga agama, nyawa, akal, harta, keturunan dan maruah. Tiada suatu hukum dan undang-undang Islam pun yang terdapat di dalam Al-Quran dan hadith melainkan semua itu demi menjaga semua lima maqasid tersebut. Keyakinan kita sebagai umat Islam, semua perintah Allah dan Rasul terkandung di dalamnya kebaikan, manakala semua larangan Allah dan Rasul terkandung di dalamnya keburukan.

Kemampuan manusia membezakan kebenaran sangatlah terbatas. Terkandung dengan logik akal dalam semua perkara adalah kesilapan besar yang menjurus kepada kesesatan. Terlalu banyak contoh yang boleh menjadi pedoman bahawa akal manusia sangat terbatas. Keterbatasan membezakan antara hak dan keinginan, kebenaran dan kebatilan, maka manusia memerlukan panduan dan peraturan dari wahyu yang diturunkan Allah Maha Pencipta kepada manusia.

Kumpulan Liberal juga seringkali cuba mengelirukan masyarakat Islam dengan menolak autoriti dalam agama. Menurut mereka, semua orang berhak berbicara tentang Islam dan amalannya, semua orang berhak membuat tafsiran memahami agama, semua orang berhak menentukan cara hidup tanpa perlu terikat dengan panduan agama yang digariskan oleh para ulamak. Menurut mereka, ulamak ibarat candu dalam masyarakat yang sering menipu demi keuntungan sendiri. Racun-racun ini amat berbahaya andainya diterima oleh umat Islam. Hilang autoriti bermakna menghilangkan hak ke atas sesuatu bidang kepakaran.

Apakah kumpulan Liberal juga menolak pakar dalam bidang-bidang lain? Ternyata jawapannya tidak. Ini menunjukkan agenda pembohongan mereka lebih tertumpu untuk meruntuhkan fahaman dan amalan Islam yang diajarkan oleh para ulamak. Meruntuhkan autoriti ulamak membuka ruang kesesatan yang lebih luas. Inilah tipu daya iblis laknatullah sepertimana janjinya yang disebut Allah سبحانه وتعالى dalam Surah Al-Hijr Ayat 39:

قَالَ رَبِّ بِمَا أَغْوَيْتَنِي لَأُزَيِّنَنَّ لَهُمْ فِي الْأَرْضِ وَلَأُغْوِيَنَّهُمْ أَجْمَعِينَ ﴿٣٩﴾

Bermaksud: "Iblis berkata; Wahai Tuhanku! Kerana Engkau telah menjadikan daku sesat, (maka) demi sesungguhnya aku akan memperelokkan segala jenis maksiat kepada Adam dan zuriatnya di dunia ini, dan aku akan menyesatkan mereka kesemuanya".

Sidang jamaah yang dirahmati Allah,

Mengakhiri khutbah Jumaat pada hari ini, mimbar menyeru agar umat Islam kembali kepada petunjuk Al-Quran dan As-Sunnah di samping menghormati dan merujuk ulamak-ulamak yang muktabar. Dalam pada itu juga, umat Islam diingatkan agar tidak terpedaya dengan pemikiran Liberalisme yang boleh merosakkan Islam secara dalaman. Apa yang penting bagi kita ialah untuk menghayati Islam dan memenuhi perintah Allah سبحانه وتعالى. Kita perlu melihat ajaran Islam secara menyeluruh kepada semua aspek agama ini. Kita juga perlu mempelajari hukum hakam agama ini dengan melihat kepada semua nas Al-Quran dan hadith-hadith Rasulullah صلى الله عليه وسلم. Bukan dengan hanya membaca beberapa Ayat dan melihat beberapa hadith, lalu kita sudah membuat kesimpulan yang bertentangan dengan ruh dan matlamat agama ini seluruhnya. Kita perlu menyedari bahawa kita diseru oleh Allah سبحانه وتعالى supaya sentiasa berpegang pada agama-Nya dan tidak terikut-ikut ajaran dan pemikiran yang lain. Semoga kita dilindungi oleh Allah سبحانه وتعالى daripada sebarang anasir-anasir yang boleh mengganggu gugat umat Islam dalam menegakkan syariat islam di muka bumi Allah ini.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بالقُرْآنِ العَظِيْمِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ، أَقُولُ قَوْلِي هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ الْأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالْأَمْوَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ، إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ.


Khutbah Kedua

الْحَمْدُ لِلَّهِ حَمْدًا كَمَا أَمَرَ. اَشْهَدُ اَنْ لاَ ِالــهَ اِلاَّ الله وَحْدَهُ لاَشَرِيْكَ لَهُ، وَاَشْهَدُ اَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ. اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ عَبْدِكَ وَرَسُلِكَ سَيِّدِنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أًجْمَعِينَ
أَمَّا بَعْدُ، فَيَاعِبَادَ اللهِ، اِتَّقُوْا اللهَ وَكُنُواْ مَعَ الصَّادِقِينَ. وَاعْلَمُواْ أَنَّ اللهَ سُبْحَانَهُ وَتَعَالَى أَمَرَكُمْ بِأَمْرٍ بَدَأَ فِيهِ بِنَفْسِهِ وَثَنَّى بِمَلآئِكَتِهِ الْمُسَبِّحَةِ بِقُدْسِهِ. فَقَالَ اللهُ تَعَالَى
أَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ ۚ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا ﴿٥٦﴾

Bermaksud: "Sesungguhnya Allah dan malaikat berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad SAW), wahai orang-orang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucaplah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya". (Surah Al-Ahzab: Ayat 56)

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَبَارِكْ عَلى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا بَارَكْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ فِي الْعَالَمِينَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ. 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Mimbar menyeru marilah sama-sama kita menunaikan solat-solat fardhu secara berjamaah. Sesungguhnya solat secara berjamaah itu adalah lebih baik daripada solat solat secara bersendirian sepertimana sabda Rasulullah صلى الله عليه وسلم :

عَنْ ابْنِ عُمَرَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُمَا أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ صَلَاةُ الْجَمَاعَةِ أَفْضَلُ مِنْ صَلَاةِ الْفَذِّ بِسَبْعٍ وَعِشْرِينَ دَرَجَةً.

Bermaksud: "Daripada 'Abdullah bin 'Umar رضي الله عنهما, telah menceritakan bahawa Rasulullah صلى الله عليه وسلم pernah bersabda: Solat berjamaah lebih utama dua puluh tujuh bahagian daripada solat bersendirian". (Muttafaqun 'alaih)

Sabda Rasulullah صلى الله عليه وسلم :

وَلَوْ يَعْلَمُونَ مَا فِي الْعَتَمَةِ وَالصُّبْحِ لَأَتَوْهُمَا وَلَوْ حَبْوًا

Bermaksud: "Seandainya mereka mengetahui apa yang terkandung dalam Solatul 'Atamah (yakni solat Isyak) dan Subuh, nescaya mereka akan mendatanginya meskipun dengan merangkak". (Hadith riwayat Al-Bukhari)

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ والْمُؤمِنَاتِ، وَأَصْلِحْ ذَاتَ بَيْنِهِمْ وَأَلِّفْ بَيْنَ قُلُوْبِهِمْ وَاجْعَلْ فِيْ قُلُوْبِهِمُ اْلإِيْمَانَ وَاْلحِكْمَةَ وَثَبِّتْهُمْ عَلَى مِلَّةِ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى اللهِ عَلَيهِ وَسَلَّم.
اَللَّهُمَّ أَعِزَّ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ، اَللَّهُمَّ انْصُرِ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ، اَللَّهُمَّ انْصُرِ الدُّعَاةَ وَالْمُجَاهِدِيْنَ، اَللَّهُمَّ دَمِّرِ اْلكَفَرَةَ وَاْلُمشْرِكِيْنَ وَأَهْلِكْ أَعْدَائَكَ أَعْدَاءَ الدِّيْنِ.

Ya Allah, bukakanlah hati kami untuk melaksanakan ibadat zakat sebagaimana yang telah Engkau fardhukan. Berkatilah hidup hamba-Mu yang melaksanakan tuntutan zakat dan para pewakaf yang telah menginfaqkan harta mereka ke jalan-Mu. Sucikanlah harta dan jiwa mereka, lindungilah golongan fuqara dan masakin daripada kekufuran dan kefakiran yang berpanjangan.

Ya Allah, kurniakanlah sepenuh taufiq dan hidayah-Mu terhadap Raja kami, Duli Yang Maha mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Al-Marhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah al-Maghfurulahu dan Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan Tuanku Zara Salim serta kerabat dan seluruh rakyat jelata sekalian.

رَبَّنَا ءَاتنِاَ فِى الدُّنْياَ حَسَنَةً وَفِى الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.
عِبَادَ اللهِ، اِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِاْلعَدْلِ وَالأِحْسَانِ وَإِيْتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَاْلمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُوْنَ. فَاذْكُرُوْا اللهَ الْعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ وَاشْكُرُوْهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ وَلَذِكْرُاللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ. 


Teks asal khutbah ini boleh juga dimuat turun dari laman sesawang Google Drive. Klik sini.

Thursday, October 13, 2016

KHUTBAH JUMAAT - 14 OKTOBER 2016 / 13 MUHARRAM 1438


“KEBERSAMAAN MEMERANGI RASUAH”

Khutbah Pertama

الْحَمْدُ لِلَّهِ الْقَائِلِ:
وَلَا تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُم بَيْنَكُم بِالْبَاطِلِ وَتُدْلُوا بِهَا إِلَى الْحُكَّامِ لِتَأْكُلُوا فَرِيقًا مِّنْ أَمْوَالِ النَّاسِ بِالْإِثْمِ وَأَنتُمْ تَعْلَمُونَ ﴿١٨٨﴾  (Surah Al-Baqarah: Ayat 188)
اَشْهَدُ اَنْ لاَ ِالــهَ اِلاَّ الله وَحْدَهُ لاَشَرِيْكَ لَهُ، وَاَشْهَدُ اَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ، اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلىَ الــِهِ وَصَحْبِهِ اَجْمَعِيْنَ. أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله! اِتَّقُوْا الله اُوْصِيْكُمْ وَاِيـَّايَ بِتَقْوَى الله فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Saya mengingatkan diri saya dan tuan-tuan sekalian, marilah sama-sama kita tingkatkan keimanan dan ketaqwaan kepada Allah سبحانه وتعالى dengan cara melaksanakan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya di samping berusaha mencari kehidupan yang diberkati dan diredhai berbekalkan sumber rezeki yang halal. Mudah-mudahan kita berjaya menjadi insan yang beruntung di dunia dan akhirat. Bersempena dengan sambutan Ulangtahun BPR / Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Ke-49, mimbar pada hari ini akan memperkatakan khutbah bertajuk: "Kebersamaan Memerangi Rasuah".

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Ajaran Islam telah menetapkan bahawa menjadi tanggungjawab dan kebersamaan umat Islam untuk melaksanakan aktiviti amar makruf (menyuruh melakukan kebaikan) dan nahi munkar (mencegah melakukan kejahatan). Dalam hal ini kita berperanan untuk menyeru, mengajak atau memanggil manusia agar beriman dan mentaati segala perintah Allah سبحانه وتعالى dalam memastikan lima perkara asas (al-Kuliyaat as-Syar’iah al-Khams) iaitu agama, jiwa, akal, keturunan dan harta dipelihara dengan sebaik mungkin.

Yang perlu kita pastikan ialah pelaksanaan tanggungjawab ini hendaklah dilakukan dengan penuh amanah. Jika tidak, maka segala bentuk kemungkaran dan kemaksiatan akan berleluasa serta kebenaran tidak dapat ditegakkan. Firman Allah سبحانه وتعالى di dalam surah al-Anfal ayat 27:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَخُونُوا اللَّهَ وَالرَّسُولَ وَتَخُونُوا أَمَانَاتِكُمْ وَأَنتُمْ تَعْلَمُونَ ﴿٢٧﴾

Maksudnya: “Wahai orang yang beriman! Janganlah kamu mengkhianati (amanah) Allah dan Rasul-Nya, dan (janganlah) kamu mengkhianati amanah-amanah kamu, sedang kamu mengetahui (salahnya).”

Sidang Jumaat Yang Di Rahmati Allah,

Masalah rasuah yang dibincangkan oleh masyarakat ini adalah sebahagian daripada perkara mungkar malah merupakan satu jenayah yang membimbangkan semua pihak. Apatahlagi, ia telah menular dan menjadi darah daging dalam kehidupan masyarakat manusia di semua tempat persis penyakit barah yang sedang merebak dalam tubuh negara. Andaikan perkara ini berlanjutan, sudah pasti ia semakin membesar, memakan dan mereput tonggak-tonggak utama negara sekaligus menggugat keimanan dan menggoncang ketetapan hati sehingga mengakibatkan bencana yang besar kepada negara.

Cetusnya kegelisahan ini adalah kerana rasuah yang berleluasa boleh menghakis sistem keadilan, nilai-nilai murni, dan menggugat pemerintahan secara demokratik. Seterusnya, akan lahir anggota masyarakat yang berperibadi buruk lagi hina kerana rela menggadai maruah agama dan diri demi mengejar wang ringgit, pekerjaan, jawatan, pangkat, hadiah dan sebagainya.

Berdasarkan laporan, lazimnya penglibatan rasuah dalam politik, sektor perkhidmatan awam, swasta dan orang awam adalah meliputi perbuatan meminta dan menerima suapan, menawar dan memberi suapan, membuat tuntutan palsu dan menyalahguna kedudukan jawatan untuk tujuan suapan. Barangkali kita terlupa bahawa Allah سبحانه وتعالى telah menegaskan di dalam surah al-Baqarah ayat 188:

وَلَا تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُم بَيْنَكُم بِالْبَاطِلِ وَتُدْلُوا بِهَا إِلَى الْحُكَّامِ لِتَأْكُلُوا فَرِيقًا مِّنْ أَمْوَالِ النَّاسِ بِالْإِثْمِ وَأَنتُمْ تَعْلَمُونَ ﴿١٨٨﴾

Maksudnya: “Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah, dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian dari harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya).”

Kenyataan ini ditegaskan lagi oleh Rasulullah صلى الله عليه وسلم sebagaimana yang diriwayatkan oleh at-Tabrani:

عَنْ ابْنِ عُمَرَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُمَا، قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ:"الرَّاشِي وَالْمُرْتَشِي فِي النَّارِ".

Mafhumnya: “Daripada Ibnu Umar رضي الله عنه bahawa Nabi صلى الله عليه وسلم bersabda: Pemberi rasuah dan penerima rasuah akan masuk ke dalam api neraka”. (Hadith riwayat at-Tabrani)

Sidang Jumaat Yang Di Rahmati Allah,

Persoalan besar timbul ialah mengapa amalan jenayah rasuah ini berlaku? Ya, berdasarkan laporan antara lain ia berpunca daripada kegagalan individu dalam mengawal nafsu yang besar, bersifat tamak haloba, sikap mahu hidup mewah, memburu kekayaan dengan cepat, tidak bersyukur serta terikut-ikut dengan rakan-rakan sekerja. Sememangnya ini bertepatan dengan pesanan Rasulullah صلى الله عليه وسلم dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Ka’ab bin ’Iyadh رضي الله عنه:

عَنْ كَعْبِ بْنِ عِيَاضٍ قَالَ سَمِعْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ إِنَّ لِكُلِّ أُمَّةٍ فِتْنَةً وَفِتْنَةُ أُمَّتِي الْمَالُ

Mafhumnya: "Daripada Ka’ab bin ’Iyadh رضي الله عنه belia mendengar Nabi صلى الله عليه وسلم bersabda: Sesungguhnya setiap umat ditimpa fitnah (ujian); dan fitnah bagi umatku ialah harta". (Hadith riwayat At-Tirmidzi)

Dalam nada yang sama, Imam Ibnu al-Qayyim menegaskan bahawa antara perkara yang menjadi penghalang bagi umat Islam ialah terjadinya fitnah syubhat (kekeliruan) dan fitnah syahwat (dorongan hawa nafsu). Secara tuntas, mereka yang terlibat dengan jenayah ini membawa implikasi buruk terhadap sistem pembahagian kekayaan negara yang tertumpu kepada orang tertentu sahaja, meningkatkan kadar inflasi dan berleluasanya kezaliman dalam masyarakat. Lebih malang lagi, ia merugikan golongan yang berpenat lelah mencari rezeki halal menggunakan tulang empat kerat yang tidak terlibat secara langsung dengan pengurusan harta negara.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Dengan adanya agensi yang dipertanggungjawabkan untuk mengendalikan kes jenayah rasuah seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), mimbar yakin lebih banyak manfaat akan dapat diraih oleh masyarakat dan negara. Namun, perjuangan ini tidak membawa apa-apa kesan sekiranya tiada kebersamaan dari pelbagai pihak dan masyarakat untuk memastikan rasuah dibanteras. Justeru, kesedaran, sokongan dan peranan semua pihak amat diperlukan bagi menyokong segala aktiviti dan usaha mencapai matlamat.

Ingatlah! Isu rasuah adalah isu rakyat. Untuk itu, setiap rakyat perlu benar-benar merasai kehadiran SPRM seolah-olah ia kepunyaan kita bersama. Di samping itu, SPRM juga akan mengekalkan nilai integriti dan sentiasa menjalin kemesraan dengan rakyat di sebalik ketegasannya dalam membela rakyat memerangi perasuah secara habis-habisan. Mimbar berharap keseriusan kita memerangi jenayah rasuah ini secara bersama dapat melahirkan urus tadbir yang baik dalam perkhidmatan kerajaan mahu pun swasta sebagaimana yang dituntut oleh syarak dan menepati hasrat kerajaan. Firman Allah سبحانه وتعالى dalam surah al-Maidah ayat 2:

... وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَىٰ ۖ وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ ۚ وَاتَّقُوا اللَّهَ ۖ إِنَّ اللَّهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ ﴿٢﴾

Maksudnya: “Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertakwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertakwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksa-Nya (bagi sesiapa yang melanggar perintahNya).”

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Sebagai mengakhiri khutbah pada hari ini, mimbar ingin mengajak sidang Jumaat sekelian untuk menghayati intipati khutbah yang disampaikan sebagai pedoman di dalam kehidupan kita, antaranya:

Pertama: Nilai integriti dan sifat amanah dapat menjadi benteng kepada sebarang perilaku negatif termasuk gejala rasuah.

Kedua: Menjadi golongan yang menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran akan menambahkan kemakmuran bumi Allah سبحانه وتعالى dengan benih-benih kebaikan.

Ketiga: Prinsip ketelusan, kebertanggungjawaban dan integriti hendaklah diserapkan ke dalam ketetapan minda (mind set) masyarakat agar wujud rasa tanggungjawab dalam diri di samping meningkatkan tahap motivasi, kecekapan dan mutu kerja.

أَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

وَلْتَكُن مِّنكُمْ أُمَّةٌ يَدْعُونَ إِلَى الْخَيْرِ وَيَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ ۚ وَأُولَـٰئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ ﴿١٠٤﴾ 

Maksudnya: “Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang yang berjaya.” (Surah Ali Imran: 104)

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بالقُرْآنِ العَظِيْمِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ، أَقُولُ قَوْلِي هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ الْأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالْأَمْوَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ، إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ.


Khutbah Kedua

الْحَمْدُ لِلَّهِ الْذِي نَحْمَدُهُ وَنَسْتَعِينُهُ وَنَسْتَغْفِرُهُ، وَنُؤْمِنُ بِهِ وَنَتَوَكَّلُ عَلَيْهِ، وَنَعُوذُ بِاللهِ مِنْ شُرُورِ أَنْفُسِنَا وَمِنْ سَيِّئَاتِ أَعْمَالِنَا، مَنْ يَهْدِهِ اللهُ فَلَا مُضِلَّ لَهُ، وَمَنْ يُضْلِلْ فَلَا هَادِيَ لَهُ. أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا  وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدًا  عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ، سَيِّدُ الْخَلَائِقِ وَالْبَشَرِ. اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ عَبْدِكَ وَرَسُلِكَ سَيِّدِنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أًجْمَعِينَ.

أَمَّا بَعْدُ، فَيَاعِبَادَ اللهِ، اِتَّقُوْا اللهَ وَكُنُواْ مَعَ الصَّادِقِينَ. وَاعْلَمُواْ أَنَّ اللهَ سُبْحَانَهُ وَتَعَالَى أَمَرَكُمْ بِأَمْرٍ بَدَأَ فِيهِ بِنَفْسِهِ وَثَنَّى بِمَلآئِكَتِهِ الْمُسَبِّحَةِ بِقُدْسِهِ. فَقَالَ اللهُ تَعَالَى مُخْبِرًا وَآمِرًا:

أَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ ۚ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا ﴿٥٦﴾

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَبَارِكْ عَلى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا بَارَكْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ فِي الْعَالَمِينَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ.

وَارْضَ اللَّهُمَّ عَنِ الْأَرْبَعَةِ الْحُلَفَاءِ الرَّشِدِينَ، سَادَاتِنَا أَبِى بَكْرٍ وَعُمَرَ وَعُثْمَانَ وَعَلِيِّ بْنِ أَبِى طَالِبٍ، وَعَنْ أَزْوَاجِ نَبِيِّنَا الْمُطَهَّرَاتِ مِنَ الْأَدْنَاسِ، وَعَنْ أَهْلِ بَيْتِهِ وَقَرَابَتِهِ وَسَائِرِ الصَّحَابَةِ وَالتَّابِعِينَ وَمَنْ تَبِعَهُمْ إِلَى يَوْمِ الدِّينِ، وَارْضَ عَنَّا بِرَحْمَتِكَ يَا أَرْحَمَ الرَّحِمِينَ.

اَللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ والْمُؤمِنَاتِ، الأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالْأَمْوَات، إِنَّكَ سَمِيعٌ قَرِيبٌ مُجِيبُ الدَّعَوَات، وَيَا قَاضِيَ الْحَاجَات.


اَللَّهُمَّ أَنْزِلِ الرَّحْمَةَ عَلَى السَّلَاطِيْنِ الْكِرَامِ، وَجَمِيْعِ الْمُسْلِمِيْنَ الْعِظَامِ، الَّذِيْنَ قَضَوْا بِالْحَقِّ وَبِهِ وَكَانُوْا يَعْدِلُوْنَ. اَللَّهُمَّ أَنْزِلِ الرَّحْمَةَ وَالسَّكِيْنَةَ وَالسَّلَامَةَ وَالْعَافِيَةَ عَلَى مَلِكِنَا وَ سُلْطَانَنَا السُّلْطَانُ نَزْرِين معزالدين شاه ابن المرحوم سلطان أزلن محب الدين شاه المغفورله وَكَذَلِكَ راج فرمايسوري فيراق دار الرضوان توانكو زَارَ سَالِم وَعَلَى كُلِّ بَنَاتِهِ وَقَرَابَتِهِ. كَمَا نَسْأَلُكَ اللَّهُمَّ أَنْ تُصْلِحَ أَئِمَّتَنَا وَوُلَاتَ أُمُوْرِنَا، وَاجْعَلْ وِلَايَتَنَا فِيْمَنْ خَافَكَ وَاتَّقَاكَ يَا رَبَّ الْعَالَمِيْنَ. اللَّهُمَّ اجْعَلْ بِلَادِنَا الْمُسْلِمِيْنَ طَيِّبَةً آمِنَةً مُطْمَئِنَّةً رَخِيِّةً. اللَّهُمَّ سَلِّمْ بِلَادَنَا مِنَ الْمُفْسِدِيْنَ، وَطَهِّرْهَا مِنَ الْمُتَطَرِّفِيْنَ، وَوَفِّقْنِا جِميْعًا لِطَاعَتِكَ وَطَاعَتِ رَسُلِكَ مُحَمَّدٍ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَطَاعَةِ مَنْ أَمَرْتَنَا بِطَاعَتِهِ.

Ya Allah Ya Tuhan Kami. Kami memohon agar dengan rahmat dan perlindungan-Mu, negara kami ini dan seluruh rakyatnya dikekalkan dalam keamanan dan kesejahteraan. Tanamkanlah rasa kasih sayang di antara kami, kekalkanlah perpaduan di kalangan kami. Semoga dengannya kami sentiasa hidup aman damai, makmur dan selamat sepanjang zaman.

رَبَّنَا لَا تُزِغْ قُلُوبَنَا بَعْدَ إِذْ هَدَيْتَنَا وَهَبْ لَنَا مِنْ لَدُنْكَ رَحْمَةً إِنَّكَ أَنْتَ الْوَهَّابُ، رَبَّنَا ءَاتنِاَ فِى الدُّنْياَ حَسَنَةً وَفِى الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.


عِبَادَ اللهِ، اِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِاْلعَدْلِ وَالأِحْسَانِ وَإِيْتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَاْلمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُوْنَ. فَاذْكُرُوْا اللهَ الْعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ وَاشْكُرُوْهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ وَلَذِكْرُاللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ. 


Teks asal khutbah ini boleh dimuat turun dari laman Google Drive. Klik sini.

Saturday, October 1, 2016

Bicara IT 2: BYOD: Gaya perkomputeran kerja kini.


Bring Your Own Device (BYOD) atau membawa peranti anda sendiri merupakan satu gaya pengkomputeran di mana para pekerja membawa sendiri peranti mudah alih atau komputer dalam pelbagai bentuk sama ada komputer tablet, komputer riba atau telefon pintar ke tempat kerja untuk melaksanakan tugas kerja masing-masing. Di samping itu, komputer kepunyaan peribadi tersebut digunakan untuk mencapai sumber-sumber teknologi maklumat sesebuah organisasi seperti perisian, sistem maklumat, internet, e-mel, rangkaian komputer dalaman dan sebagainya.

Pengkomputeran BYOD ini menjadi gaya atau kaedah baru ditempat kerja disebabkan oleh perkembangan aspek pengindividuan peranti elektronik atau personalization dan harga peranti-peranti mudah alih ini berada pada tahap mampu milik pengguna yang tinggi. Pengkomputeran BYOD ini boleh disekat amalannya oleh sesebuah organisasi tetapi ia berkemungkinan akan menyekat produktiviti dan kreativiti bagi seseorang pekerja.

Jadi, apa yang perlu dilakukan oleh sesebuah organisasi adalah melaksanakan polisi-polisi, garis-garis panduan dan pendidikan bagi mengurus perlaksanaan pengkomputeran BYOD dalam sesebuah organisasi. Masalah yang kritikal adalah keselamatan dan kerahsiaan data dan harta intelek bagi sesebuah organisasi yang berada dalam peranti mudah alih atau komputer kepunyaan para pekerja.
Perkara paling penting bagi sesebuah organisasi menghadapi gaya pengkomputeran BYOD ini adalah ia perlu menyediakan satu pelantar pengkomputeran yang cekap, selamat dan mesra peranti mudah alih. Pelantar pengkomputeran ini perlu merangkumi keseluruhan infrastruktur teknologi maklumat kepunyaan sesebuah organisasi seperti internet, rangkaian komputer, sistem maklumat, perkakasan, perisian, pangkalan data, sistem pengoperasian dan data.

Pelantar yang sesuai untuk perlaksanaan pengkomputeran BYOD ini adalah pengkomputeran maya atau pengkomputeran awanan. Ini kerana, apa sahaja peranti mudah alih yang digunakan oleh pekerja untuk mencapai infrastruktur teknologi maklumat sesebuah organisasi akan dicapai menerusi komputer peribadi atau aplikasi secara maya dengan talian rangkaian setempat atau internet. Ia boleh diandaikan seperti komputer stesen kerja atau workstation mencapai sebuah komputer kerangka utama atau mainframe.

Pelantar pengkomputeran maya atau pengkomputeran awanan ini akan memudahkan pengurusan perlaksanaan pengkomputeran BYOD bagi pekerja dalam sesebuah organisasi. Para pekerja akan mencapai infrastruktur teknologi maklumat organisasi secara jauh dan terkawal. Apa yang paling penting adalah data yang merupakan aset kritikal bagi sesebuah organisasi dapat diurus dengan baik, selamat dan cekap dalam persekitaran pengkomputeran BYOD ini.

Beberapa persoalan dari sudut pandang penggunaan infrastrukur teknologi maklumat organisasi oleh para pekerja dalam pengkomputeran BYOD ini perlu dikaji dan ditangani dengan baik dan cekap. Antara persoalan-persoalannya adalah seperti berikut:-

1. Adakah peluang untuk para pekerja menggunakan apa-apa data atau harta intelek hak milik organisasi dalam peranti mudah alih hak peribadi mereka?

2. Adakah dibenarkan jenis-jenis capaian di buat kepada infrasruktur teknologi maklumat organisasi dan sekiranya ada yang tidak dibenarkan, bagaimana ia ditangani?

3. Apakah bentuk dan kadar kawalan yang diperlukan oleh organisasi terhadap peranti-peranti mudah alih peribadi ini dari sudut pandang pengurusan organisasi dan para pekerja?

4. Apakah bentuk-bentuk ancaman keselamatan yang berkemungkinan wujud dalam penggunaan peranti-peranti mudah alih ini dan bagaimana untuk menanganinya?

5. Adakah infrastruktur teknologi maklumat organisasi sedia ada berupaya untuk menangani penggunaan peranti-peranti mudah alih peribadi terutama dari segi keperluan jalur lebar dan kekangan-kekangan fizikal yang akan timbul? Bagaimana untuk mengatasinya?

6. Bagaimana pula dari segi bentuk sokongan, penyelenggaraan dan pengurusan infrastruktur teknologi maklumat yang diperlukan dalam pengkomputeran BYOD?

Konsep pengkomputeran BYOD ini sudah lama wujud dalam sesebuah organisasi tetapi bezanya adalah peranti mudah alih yang digunakan seperti komputer riba adalah hak milik organisasi dan para pekerja yang terlibat juga adalah terhad kepada bilangan dan jabatan yang tertentu seperti jabatan pemasaran dan jualan, sokongan dan lain-lain. Mereka ini perlu mencapai data atau sistem maklumat dari jarak jauh dan dikenali sebagai perkerja yang sentiasa buat kerja di luar pejabat atau mobile worker.

Gaya pengkomputeran BYOD ini sudah menjadi satu gaya kerja kini yang membolehkan produktiviti, inovasi dan kreativiti sesorang pekerja dikembangkan. Walau bagaimana pun, perlu ada polisi-polisi untuk mengawal dan mengurus perlaksanaannya. Dari sudut pandang sesebuah organisasi, perkara utama yang perlu dikaji adalah kesan kos-kos tambahan yang akan wujud dalam perlaksanaan pengkomputeran BYOD ini. Aspek keselamatan teknologi maklumat juga perlu dikaji semula dalam perlaksanaan pengkomputeran BYOD ini bagi menangani bentuk-bentuk ancaman baru yang perlu ditadbir urus dengan baik dan cekap.

Sumber :

  1. Digital Services Advisory Group and Federal Chief Information Officers Council (2012) Bring Your Own Device: A Toolkit to Support Federal Agencies Implementing Bring Your Own Device (BYOD) Programs. Retrieved from http://www.whitehouse.gov/digitalgov/bring-your-own-device
  2. Gartner (2012) Bring Your Own Device: New Opportunities, New Challenges. Retrieved from http://www.gartner.com/DisplayDocument?doc_cd=238131&ref=g_reghm
  3. Good Technology (2012) Bring Your Own Devices Best Practices Guide. Retrieved from http://www1.good.com/resources/whitepapers-form?lsrc=Website&ltyp=Whitepaper&cid=7010000000060O2
  4. Littler Mendelson (2012) The "Bring Your Own Device" to Work Movement: Engineering Practical Employment and Labor Law Compliance Solutions. Retrieved from http://www.littler.com/publication-press/publication/bring-your-own-device-work-movement
  5. Microsoft (2011) Strategies for Embracing Consumerization. Retrieved from http://go.microsoft.com/?linkid=9768753



Yang Benar,
Sarfaraz Ahmad Bin Khalid Maqsood
Timbalan Ketua Lajnah IT & Media baru Dewan Ulamak PAS Perak



KULIAH SETIAP AHAD MINGGU KEDUA




Kempen Tambah Keahlian Baharu