Friday, December 9, 2016

KHUTBAH JUMAAT - 9 RABI'UL AWWAL 1438 / 9 DISEMBER 2016


MENELADANI RASULULLAH صلى الله عليه وسلم MEMBANGUNKAN UMMAH

Khutbah Pertama

الْحَمْدُ لِلَّهِ الْذِي أَرْسَلَ رَسُولَهُ بِالْهُدَىٰ وَدِينِ الْحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّينِ كُلِّهِ ۚ وَلَوْ كَرِهَ الْمُشْرِكُونَ. أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا  مُحَمَّدًا  عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ. 
أَمَّا بَعْدُ، فَيَاعِبَادَ اللهِ، اتَّقُوا اللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنتُم مُّسْلِمُونَ. 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah sekalian,

Saya menyeru kepada diri saya sendiri dan kepada sidang Jumaat sekalian, marilah sama-sama kita memperbaiki diri dengan meningkatkan ketaqwaan kepada Allah سبحانه وتعالى dengan melakukan segala titah perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Sebelum meneruskan khutbah, saya ingin berpesan kepada sidang jamaah sekalian agar menumpukan perhatian terhadap khutbah yang akan disampaikan. Mudah-mudahan kita akan beroleh manfaat untuk kebaikan di dunia dan di akhirat. Khutbah pada hari ini akan membicarakan tajuk, "Meneladani Rasulullah صلى الله عليه وسلم Membangunkan Ummah".

Sidang hadirin yang dirahmati Allah,

Saban tahun kita menyambut Maulidur Rasul atau peristiwa keputeraan baginda junjungan besar Nabi Muhammad صلى الله عليه وسلم. Sambutan ini bertujuan untuk kita menghayati sirah keagungan Nabi Muhammad صلى الله عليه وسلم di samping mempelajari dan meneladani seluruh kehidupan baginda. Jika dikaji dan diperhalusi seluruh aspek kehidupan Rasulullah صلى الله عليه وسلم, dipenuhi dengan segala kebaikan yang berbentuk ibadah kepada Allah سبحانه وتعالى mahupun hubungan sesama makhluk. Contoh kesempurnaan kehidupan Rasulullah صلى الله عليه وسلم merangkumi keperibadian, kekeluargaan, kemasyarakatan, sosio ekonomi mahupun politik, pendidikan dan lain-lain. Firman Allah سبحانه وتعالى dalam Surah Al-Ahzab Ayat 21:

لَّقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِّمَن كَانَ يَرْجُو اللَّهَ وَالْيَوْمَ الْآخِرَ وَذَكَرَ اللَّهَ كَثِيرًا ﴿٢١﴾

Bermaksud: "Demi sesungguhnya! Adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredhaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang)".

Sidang Jumaat yang berbahagia,

Berikut adalah beberapa contoh keperibadian Rasulullah صلى الله عليه وسلم yang boleh diteladani:

Pertama: Meneladani Rasulullah صلى الله عليه وسلم dalam kehidupan seharian. Rasulullah صلى الله عليه وسلم meletakkan sifat taqwa sebagai keutamaan kemuliaan dirinya di sisi Allah dan manusia. Kehidupan baginda yang serba sederhana menjadi asas keperibadian Rasulullah صلى الله عليه وسلم yang menjadi contoh kepada ummat. Baginda mempunyai akhlak yang sangat mulia, penyabar, pemurah, pemaaf, berlemah-lembut dan sangat beramanah sehingga kaumnya menggelar baginda صلى الله عليه وسلم dengan gelaran Al-Amin. Kejayaan baginda dalam menguruskan perniagaan Saiyidatuna Khadijah binti Khuwailid juga, terhasil daripada sikap amanah, jujur dan bersungguh-sungguh.

Kedua: Meneladani Rasulullah صلى الله عليه وسلم dalam kehidupan berkeluarga. Rasulullah صلى الله عليه وسلم merupakan teladan terbaik terhadap keluarga dan kaum kerabat baginda. Sabda Rasulullah صلى الله عليه وسلم: 

خَيْرُكُمْ خَيْرُكُمْ لِأَهْلِهِ وَأَنَا خَيْرُكُمْ لِأَهْلِي

Bermaksud: "Sebaik-baik kamu adalah yang berbuat baik terhadap keluarganya dan aku adalah yang terbaik dalam kalangan kamu pada urusan menyantuni keluargaku". (Hadits riwayat Termidzi)

Kebaikan Rasulullah صلى الله عليه وسلم ini diakui sendiri oleh isteri baginda sebagaimana hadits yang bermaksud: "Ibnu Hajar pernah berkata bahawa 'Aisyah meriwayatkan, katanya: Baginda Nabi yang menjahit kainnya, menjahit kasutnya, dan mengerjakan apa yang biasa dikerjakan lelaki di rumah mereka". (Hadits riwayat Imam Ahmad dan Imam Ibnu Hibban)

Ketiga: Meneladani Rasulullah صلى الله عليه وسلم dalam hidup berjiran. Rasulullah صلى الله عليه وسلم sangat prihatin dan menyantuni jirannya. Sabda Nabi صلى الله عليه وسلم:

مَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ فَلْيُكْرِمْ جَارَهُ

Bermaksud: "Barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaklah ia memuliakan jirannya". (Hadits riwayat Imam Al-Bukhari dan Imam Muslim)

Antara hak-hak jiran yang mesti dipelihara adalah kehormatannya, keselesaannya, ruang udara mahupun cahaya yang memasuki rumahnya, menziarahinya ketika sakit mahupun meninggal dunia serta menerima jemputan kenduri. Secara umumnya, dari kefahaman ini, baginda صلى الله عليه وسلم amat melarang umat Islam menyakiti jiran tetangganya.

Keempat: Meneladani Rasulullah صلى الله عليه وسلم dalam memelihara ukhuwwah Islamiyyah. Persaudaraan Aus dan Khazraj, Muhajirin dan Anshar, kecintaan para sahabat sesama mereka apatah lagi kepada Rasulullah صلى الله عليه وسلم sendiri. Walaupun, kadangkala berlaku perbezaan pendapat, perbezaan kedudukan, ikatan ukhuwwah tetap kukuh terpelihara diikat dengan keimanan dan ketaqwaan. Contohilah sikap ini, agar umat Islam dapat kembali kuat dan kukuh sebagaimana yang pernah kita kecapi. Kurangkan jurang perbezaan yang membawa kepada pertelingkahan dan persengketaan yang tiada kesudahan.

Kelima: Meneladani Rasulullah صلى الله عليه وسلم dalam bergaul dengan orang bukan Islam. Walaupun baginda Nabi صلى الله عليه وسلم diutuskan sebagai pemberi peringatan antara kebenaran dan kebatilan, baginda tidak menunjukkan sikap memusuhi orang bukan Islam pada setiap ketika. Pada kebiasaan, baginda صلى الله عليه وسلم tetap menghormati orang bukan Islam, tidak menyakiti, bersopan santun dan memberi hak kepada mereka. Nabi صلى الله عليه وسلم dan para sahabat berjual beli dengan mereka, bermasyarakat dan bergaul dengan mereka. Sikap membenci orang bukan Islam tanpa sebab yang benar-benar selari dengan kehendak ajaran Islam adalah berlawanan dengan apa yang dibawa oleh Nabi صلى الله عليه وسلم. Kebencian yang meluap-luap kadangkala melupakan kepada tugas kita umat Islam untuk menyampaikan kebenaran dan keindahan Islam kepada mereka. Dekati mereka sebagaimana kesungguhan Rasulullah صلى الله عليه وسلم menyelamatkan ummat baginda dari kesesatan dan azab api neraka Allah yang amat dahsyat.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah sekalian,

Keenam: Meneladani Rasulullah صلى الله عليه وسلم dalam membangunkan negara. Sejarah membuktikan kejayaan Rasulullah صلى الله عليه وسلم membangunkan kerajaan Islam Madinah dengan pelan strategi bermula daripada peristiwa hijrah Rasulullah صلى الله عليه وسلم dengan sahabatnya Saiyidina Abu Bakr. Bermula dengan penyatuan puak Aus dan Khazraj yang telah bersengketa sekian lama atas nama Anshar. Kebijaksanaan Rasulullah mengadakan penjanjian 'Aqobah dan seterusnya mewujudkan piagam Madinah menjadikan proses perkembangan syi'ar dan dakwah Islam semakin berjaya. Begitu juga pelan strategi Rasulullah mengadakan perjanjian Hudaibiyyah dengan kafir Quraisy membuka lembaran untuk kembali membuka kota Makkah.

Sejarah telah membuktikan bahawa method yang digunakan oleh Rasulullah صلى الله عليه وسلم dalam membangunkan ummat dan negara sejak di awal ketamaddunan Islam telah berjaya meletakkan Islam dalam kegemilangan sama ada kejayaan berbentuk fizikal mahupun spiritual, malah berjaya mengatasi kerajaan-kerajaan lain yang wujud termasuk Rom dan Parsi. Kejayaan-kejayaan ini bukan tercatat di dalam sejarah Islam sahaja, malah diakui oleh penulis-penulis barat seperti Michael H. Hart (1978) iaitu Rasulullah merupakan manusia yang paling berpengaruh dalam kepimpinan. Firman Allah سبحانه وتعالى dalam Surah Al-An'aam Ayat 153:

وَأَنَّ هَـٰذَا صِرَاطِي مُسْتَقِيمًا فَاتَّبِعُوهُ ۖ وَلَا تَتَّبِعُوا السُّبُلَ فَتَفَرَّقَ بِكُمْ عَن سَبِيلِهِ ۚ ذَ‌ٰلِكُمْ وَصَّاكُم بِهِ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ ﴿١٥٣﴾

Bermaksud: "Dan bahawa sesungguhnya inilah jalan-Ku (agama Islam) yang betul lurus, maka hendaklah kamu menurutinya dan janganlah kamu menurut jalan-jalan (yang lain dari Islam) kerana jalan-jalan (yang lain) itu mencerai-beraikan kamu dari jalan Allah. Dengan demikian itulah Allah perintahkan kamu supaya kamu bertaqwa".

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بالقُرْآنِ العَظِيْمِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ، أَقُولُ قَوْلِي هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ الْأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالْأَمْوَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ، إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ.


Khutbah Kedua

الْحَمْدُ لِلَّهِ حَمْدًا كَمَا أَمَرَ.  اَشْهَدُ اَنْ لاَ ِالــهَ اِلاَّ الله وَحْدَهُ لاَشَرِيْكَ لَهُ، وَاَشْهَدُ اَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ، اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلىَ الــِهِ وَأَصْحَابِهِ اَجْمَعِيْنَ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله! اِتَّقُوْا اللهَ وَكُنُواْ مَعَ الصَّادِقِينَ.

Sidang jamaah yang berbahagia,

Kita perlu meneladani Rasulullah sepertimana firman Allah سبحانه وتعالى dalam Surah Ali-'Imran Ayat 31:

قُلْ إِن كُنتُمْ تُحِبُّونَ اللَّهَ فَاتَّبِعُونِي يُحْبِبْكُمُ اللَّهُ وَيَغْفِرْ لَكُمْ ذُنُوبَكُمْ ۗ وَاللَّهُ غَفُورٌ رَّحِيمٌ ﴿٣١﴾

Bermaksud: "Katakanlah (wahai Muhammad); Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu dan (ingatlah) Allah amat Pengampun lagi amat Mengasihani".

Dengan kita meneladani Rasulullah kita bukan setakat menzahirkan cinta kita kepada baginda bahkan kita akan memperolehi kasih sayang, keampunan dan kerahmatan dari Allah سبحانه وتعالى.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Teladanilah Rasulullah صلى الله عليه وسلم dalam menunaikan solat berjamaah. Baginda dan para sahabat tidak pernah meninggalkan solat fardhu berjamaah. Mimbar menyeru marilah sama-sama kita memakmurkan masjid-masjid dan surau-surau dengan menunaikan solat-solat fardhu secara berjamaah. Sesungguhnya solat secara berjamaah itu adalah lebih baik daripada solat solat secara bersendirian sepertimana sabda Rasulullah صلى الله عليه وسلم :

عَنْ ابْنِ عُمَرَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُمَا أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ صَلَاةُ الْجَمَاعَةِ أَفْضَلُ مِنْ صَلَاةِ الْفَذِّ بِسَبْعٍ وَعِشْرِينَ دَرَجَةً.

Bermaksud: "Daripada 'Abdullah bin 'Umar رضي الله عنهما, telah menceritakan bahawa Rasulullah صلى الله عليه وسلم pernah bersabda: Solat berjamaah lebih utama dua puluh tujuh bahagian daripada solat bersendirian". (Muttafaqun 'alaih)

Sabda Rasulullah صلى الله عليه وسلم :

وَلَوْ يَعْلَمُونَ مَا فِي الْعَتَمَةِ وَالصُّبْحِ لَأَتَوْهُمَا وَلَوْ حَبْوًا

Bermaksud: "Seandainya mereka mengetahui apa yang terkandung dalam Solatul 'Atamah (yakni solat Isyak) dan Subuh, nescaya mereka akan mendatanginya meskipun dengan merangkak". (Hadith riwayat Al-Bukhari)

أَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ ۚ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا ﴿٥٦﴾

Bermaksud: "Sesungguhnya Allah dan malaikat berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad SAW), wahai orang-orang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucaplah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya". (Surah Al-Ahzab: Ayat 56)

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَبَارِكْ عَلى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا بَارَكْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ فِي الْعَالَمِينَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ.
اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ والْمُؤمِنَاتِ، وَأَصْلِحْ ذَاتَ بَيْنِهِمْ وَأَلِّفْ بَيْنَ قُلُوْبِهِمْ وَاجْعَلْ فِيْ قُلُوْبِهِمُ اْلإِيْمَانَ وَاْلحِكْمَةَ وَثَبِّتْهُمْ عَلَى مِلَّةِ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى اللهِ عَلَيهِ وَسَلَّم.
اَللَّهُمَّ أَعِزَّ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ، اَللَّهُمَّ انْصُرِ الدُّعَاةَ وَالْمُجَاهِدِيْنَ،   اَللَّهُمَّ انْصُرِ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ فِي كُلِّ مَكَانٍ وَفِي كُلِّ زَمَانٍ.  

Ya Allah, berkatilah hidup hamba-Mu yang melaksanakan tuntutan zakat dan kurniakanlah rezeki yang berlipat ganda kepada para pewakaf serta sucikanlah harta dan jiwa mereka, kurniakanlah ketaqwaan dan kebijaksanaan serta keadilan kepada para pentadbir zakat, lindungilah golongan fuqara dan masakin daripada kekufuran dan kefakiran yang berpanjangan.

Ya Allah, kurniakanlah sepenuh taufiq dan hidayah-Mu terhadap Raja kami, Duli Yang Maha mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Al-Marhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah al-Maghfurulahu dan Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan Tuanku Zara Salim serta kerabat dan seluruh rakyat jelata sekalian.

رَبَّنَا ءَاتنِاَ فِى الدُّنْياَ حَسَنَةً وَفِى الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.
عِبَادَ اللهِ، اِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِاْلعَدْلِ وَالأِحْسَانِ وَإِيْتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَاْلمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُوْنَ. فَاذْكُرُوْا اللهَ الْعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ وَاشْكُرُوْهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ وَلَذِكْرُاللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ. 


Teks asal khutbah ini boleh juga dimuat turun dari laman Google Drive. Klik sini.

No comments:

Post a Comment