Friday, December 30, 2016

KHUTBAH JUMAAT - 30 RABIUL AWWAL 1438 / 30 DISEMBER 2016


SOLIDARITI UNTUK SYRIA

Khutbah Pertama

الْحَمْدُ لِلَّهِ الْذِي أَرْسَلَ رَسُولَهُ بِالْهُدَىٰ وَدِينِ الْحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّينِ كُلِّهِ ۚ وَلَوْ كَرِهَ الْمُشْرِكُونَ. أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا  عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ. بَلَّغَ الرِّسَالَةَ وَأَدَّى الْأَمَنَةَ وَنَصَحَ لِلْأُمَّةَ وَجَهَدَ فِى اللهِ حَقَّ جِهَادِهِ وَتَرَكْنَا عَلَى الْمَحَجَّةِ الْبَيْضَآءِ لَيْلُهَا كَنَهَارِهَا لَا يَزِيْغُ عَنْهَا إِلَّا هَالِكٌ. اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أًجْمَعِينَ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَاعِبَادَ اللهِ، اتَّقُوا اللَّهَ، اُوْصِيْكُمْ وَاِيّايَ بِتَقْوَى اللهِ فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ. قَالَ اللهُ تَعَالَى:
الَّذِينَ قَالَ لَهُمُ النَّاسُ إِنَّ النَّاسَ قَدْ جَمَعُوا لَكُمْ فَاخْشَوْهُمْ فَزَادَهُمْ إِيمَانًا وَقَالُوا حَسْبُنَا اللَّهُ وَنِعْمَ الْوَكِيلُ ﴿١٧٣﴾

Bermaksud: "Ada dalam kalangan mereka berkata sesungguhnya di sana terdapat musuh-musuh yang telah berkumpul untuk memerangi kita, maka ada yang merasa gerun dan takut, tetapi orang yang beriman, bertambahlah keimanan mereka kepada Allah dan mereka berkata: Cukuplah kami dengan Allah dan kepada-Nya kami berserah". (Surah Ali-'Imran Ayat 173)

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah sekalian,

Saya menyeru kepada diri saya sendiri dan kepada sidang Jumaat sekalian, marilah sama-sama kita perbaiki diri dengan meningkatkan ketaqwaan kepada Allah سبحانه وتعالى yakni dengan melakukan segala titah perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Sebelum meneruskan khutbah, saya ingin berpesan kepada sidang jamaah sekalian agar menumpukan perhatian terhadap khutbah yang akan disampaikan. Mudah-mudahan kita akan beroleh manfaat untuk kebaikan di dunia dan di akhirat. Khutbah pada hari ini akan membicarakan tajuk, "Solidariti Untuk Syria".

Sidang hadirin yang berbahagia,

Pada hari ini 30 Rabiul Awwal 1438 hijrah merupakan hari terakhir dalam bulan Rabiul Awwal kerana bulan ini adalah bulan kelahiran Nabi junjungan besar Nabi Muhammad صلى الله عليه وسلم. Malah, dalam bulan ini juga dunia umat Islam sedih dan suram kerana saudara seIslam kita ditindas, disiksa, dihalau, dibantai dan dibunuh dengan kejam seolah-olah tiada nilai kemanusiaan di Myanmar dan baru-baru ini di Halab, Syria.

Hakikat yang perlu disedari, Syria merupakan sebahagian daripada "Tanah Yang Diberkati" sebagaimana yang dinyatakan oleh Allah سبحانه وتعالى dalam Surah Al-Anbiya' Ayat 71:

وَنَجَّيْنَاهُ وَلُوطًا إِلَى الْأَرْضِ الَّتِي بَارَكْنَا فِيهَا لِلْعَالَمِينَ ﴿٧١﴾

Bermaksud: "Dan Kami selamatkan dia dan (sepupunya) Nabi Luth ke negeri yang Kami limpahkan berkat padanya untuk umat manusia".

Baginda Nabi صلى الله عليه وسلم pernah berdoa yang bermaksud: "Ya Allah, berkatilah bumi Syam". (Shahih Imam Al-Bukhari). Sabda baginda lagi yang bermaksud: "Apabila telah musnah penduduk Syam, maka tiadalah lagi kebaikan kepadamu dan sentiasalah daripada umatku akan mendapat pertolongan dan tiadalah dapat menewaskan mereka oleh mereka yang menghina mereka hingga berlakunya kiamat". (Sunan Imam At-Tirmidzi)

Muslimin yang berbahagia,

Syria dipanggil Syam. Merupakan bumi anbiya' dan umat Islam yang penting di dalam lipatan sejarah. Bumi perjuangan menegakkan aqidah yang suci ini merupakan  tempat yang melihatkan pertembungan antara hak dan batil semenjak dahulu lagi. Kemenangan di dalam perang Muktah dan Yarmuk menunjukkan kekuatan dan kekentalan umat Islam dahulu yang bersungguh-sungguh menegakkan agama Islam. Sehingga kini perjuangan itu berterusan dengan darah para syuhada' demi membebaskan bumi Syam. Namun, umat Islam di Malaysia secara khususnya kini perlu bangkit dari lena yang berpanjangan dengan kesenangan dan kemewahan kesihatan, masa dan harta yang diberi oleh Allah سبحانه وتعالى kepada menghidupkan jiwa dan ruh mukmin sebenar yang sentiasa berkorban, berjihad dan meneropong pintu-pintu kebaikan dan amal soleh sebagai persediaan bekalan yang secukupnya di hari tiada lagi gunanya harta, pangkat dan anak pinak. Firman Allah سبحانه وتعالى dalam Surah As-Syu'arak Ayat 87 hingga 89:

وَلَا تُخْزِنِي يَوْمَ يُبْعَثُونَ ﴿٨٧﴾ يَوْمَ لَا يَنفَعُ مَالٌ وَلَا بَنُونَ ﴿٨٨﴾ إِلَّا مَنْ أَتَى اللَّهَ بِقَلْبٍ سَلِيمٍ ﴿٨٩﴾

Bermaksud: "Dan janganlah engkau menghinaku pada hari dibangkitkan. Iaitu hari yang tiada guna harta dan anak pinak kecuali mereka yang datang kepada Allah dengan hati yang sejahtera".

Sidang jamaah yang berbahagia,

Penderitaan dan penindasan yang berlaku ke atas umat Islam dan di negara umat Islam perlu direnungi dan difikirkan secara mendalam. Apakah dunia ini telah berada di penghujungnya? Apakah semua ini adalah bahana dan mala petaka kerana kealpaan dan kelalaian kita? Apakah semua ini adalah tanda kemurkaan Allah kepada hamba-hamba-Nya yang sering melakukan maksiat dan dosa-dosa besar yang dilakukan oleh manusia? Meninggalkan solat, tidak berzakat, melakukan zina, memakan rasuah, menipu dan berdusta, yang kesemua itu mengundang kemurkaan Allah سبحانه وتعالى.

Islam sentiasa dimusuhi dan tidak oleh musuh-musuhnya sama ada secara terbuka atau secara halus. Kadang kala kita disibukkan dengan masalah khilafiyah. Kadang kala kita disibukkan dengan mengejar cita-cita yang tidak berkesudahan dan hanyut dalam kemewahan dunia. Kadang kala kita leka dalam dunia Facebook, What'sapp, Telegram, Instagram dan sebagainya. Kadang kala kita disibukkan oleh kehendak dan melayan anak cucu sehingga melupakan realiti kehidupan umat Islam yang lain. Musuh-musuh Islam kini hampir berjaya menjauhkan kita terutama anak muda daripada berpegang kepada Al-Quran dan As-Sunnah dengan menyuntik hiburan yang melalaikan melalui telefon dan televisyen, fesyen-fesyen yang mengghairahkan, cerita dongeng dan cinta fantasi yang mengkhayalkan sehingga menutup mata dan minda anak muda daripada berfikir secara rasional. Apatah lagi berfikir tentang krisis perang dan penderitaan yang melanda saudara seagama mereka. Mimbar ingin menyeru agar kita semua muhasabah kembali, di manakah kita ketika saudara kita di Syria dihentam bertubi-tubi? Di amankah kita ketika Islam dan perundangannya di Malaysia diserang oleh golongan Liberal dan sekutunya? Di manakah Solahuddin Al-Ayubi masa kini? Di manakah Saiyidina Umar Al-Khattab dan Sultan Muhammad Al-Fateh? Apakah kisah perjuangan mereka ini hanya berada di dalam buku-buku yang termaktub di dalam lipatan sejarah sahaja? Atau adakah kita telah menjadi singa yang dijinakkan dan terikat dengan kehidupan dunia kita? Sedarlah kita mengenai peringatan Nabi صلى الله عليه وسلم:

فَقَالَ قَائِلٌ يَا رَسُولَ اللَّهِ وَمَا الْوَهْنُ قَالَ حُبُّ الدُّنْيَا وَكَرَاهِيَةُ الْمَوْتِ.

Bermaksud: "Para sahabat bertanya: Wahai Rasulullah, apa yang dimaksudkan dengan Al-Wahan? Rasulullah menjawab: Cintakan dunia dan takut mati". (Sunan Abi Dawud)

Saudara kaum muslimin yang berbahagia,

Mengakhiri khutbah pada hari ini, mimbar ingin mengajak sidang Jumaat sekalian untuk menghayati dan mengambil 'ibrah serta pengajaran daripada apa yang disampaikan sebagai pedoman di dalam kehidupan kita, antaranya:

Pertama: Syria adalah isu umat secara keseluruhannya dan wajib bagi kita untuk mengambil tahu dan berusaha membantu saudara kita di Syria dengan memberikan sumbangan seperti wang, pakaian dan menyebarkan di media sosial berkenaan keadaan di Syria dan usaha memberikan sumbangan melalui NGO-NGO yang ada. Kini mereka berhadapan dengan penyiksaan dan pembunuhan, penderitaan dan kemusnahan (tiada rumah untuk didiami), kelaparan, kedinginan di musim sejuk. Panjatkan doa dan munajat tuan-tuan kepada mereka agar mereka diberi ketabahan iman dan jalan keluar.

Kedua: Masyarakat Islam perlu membuka minda dan cara berfikir secara matang iaitu ke arah memperteguh dan memperkuat ikatan dan binaan sesama muslim. Oleh itu, neraca dan timbangan yang perlu diguna pakai adalah neraca Al-Quran dan As-Sunnah. Kesatuan dan perpaduan utuh dalam kalangan masyarakat Islam merupakan anak kunci utama kepada penegakkan syariat Islam di tanah air. Lihatlah betapa seia dan sekata mereka dalam kalangan orang bukan Islam apabila berdepan dengan isu-isu yang melibatkan kepentingan orang Islam.

Ketiga: Umat Islam di Malaysia perlu menolak pemikiran, ajaran dan NGO yang sesat seperti Liberal, Sekular, Syi'ah dan lain-lain yang difatwakan sesat. Fahaman-fahaman ini jelas bertentangan dengan ajaran Islam dan boleh merosakkan aqidah umat Islam. Mengembalikan kehidupan dan sosio budaya kita berpandukan pedoman Ilahi. Didik dan bangunkan keperibadian anak-anak kita dengan didikan agama yang berteraskan tauhid kepada Allah سبحانه وتعالى dan akhlak-akhlak terpuji sebagai bukti kecintaan dan penerusan risalah baginda Nabi Muhammad صلى الله عليه وسلم.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بالقُرْآنِ العَظِيْمِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ، أَقُولُ قَوْلِي هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ الْأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالْأَمْوَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ، إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ.


Khutbah Kedua

الْحَمْدُ لِلَّهِ حَمْدًا كَمَا أَمَرَ.  اَشْهَدُ اَنْ لاَ ِالــهَ اِلاَّ الله وَحْدَهُ لاَشَرِيْكَ لَهُ، وَاَشْهَدُ اَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ، اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلىَ الــِهِ وَأَصْحَابِهِ اَجْمَعِيْنَ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله! اِتَّقُوْا اللهَ وَكُنُواْ مَعَ الصَّادِقِينَ.
أَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ ۚ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا ﴿٥٦﴾

Bermaksud: "Sesungguhnya Allah dan malaikat berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad SAW), wahai orang-orang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucaplah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya". (Surah Al-Ahzab: Ayat 56)

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَبَارِكْ عَلى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا بَارَكْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ فِي الْعَالَمِينَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ. 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Mimbar tidak pernah berhenti menyeru marilah sama-sama kita menunaikan solat-solat fardhu secara berjamaah. Sesungguhnya solat secara berjamaah itu adalah lebih baik daripada solat secara bersendirian sepertimana sabda Rasulullah صلى الله عليه وسلم :

عَنْ ابْنِ عُمَرَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُمَا أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ صَلَاةُ الْجَمَاعَةِ أَفْضَلُ مِنْ صَلَاةِ الْفَذِّ بِسَبْعٍ وَعِشْرِينَ دَرَجَةً.

Bermaksud: "Daripada 'Abdullah bin 'Umar رضي الله عنهما, telah menceritakan bahawa Rasulullah صلى الله عليه وسلم pernah bersabda: Solat berjamaah lebih utama dua puluh tujuh bahagian daripada solat bersendirian". (Muttafaqun 'alaih)

Sabda Rasulullah صلى الله عليه وسلم :

وَلَوْ يَعْلَمُونَ مَا فِي الْعَتَمَةِ وَالصُّبْحِ لَأَتَوْهُمَا وَلَوْ حَبْوًا

Bermaksud: "Seandainya mereka mengetahui apa yang terkandung dalam Solatul 'Atamah (yakni solat Isyak) dan Subuh, nescaya mereka akan mendatanginya meskipun dengan merangkak". (Hadith riwayat Al-Bukhari)

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ والْمُؤمِنَاتِ، وَأَصْلِحْ ذَاتَ بَيْنِهِمْ وَأَلِّفْ بَيْنَ قُلُوْبِهِمْ وَاجْعَلْ فِيْ قُلُوْبِهِمُ اْلإِيْمَانَ وَاْلحِكْمَةَ وَثَبِّتْهُمْ عَلَى مِلَّةِ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى اللهِ عَلَيهِ وَسَلَّم.
اَللَّهُمَّ أَعِزَّ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ، اَللَّهُمَّ انْصُرِ الدُّعَاةَ وَالْمُجَاهِدِيْنَ،   اَللَّهُمَّ انْصُرِ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ فِي كُلِّ مَكَانٍ وَفِي كُلِّ زَمَانٍ.  

Ya Allah, bantulah saudara Islam kami di Palestin, Syria, Myanmar dan negara umat Islam yang lain. Ya Allah, saudara kami itu dalam keadaan lemah maka kuatkanlah, mereka itu lapar maka kenyangkanlah, aurat mereka dicemari maka tutupkanlah, mereka dizalimi maka bantulah, bantulah segala kekurangan mereka, permudahkanlah segala urusan mereka. Tepatkanlah lemparan serangan mereka kepada musuh-musuh-Mu ya Allah يَا ذَاالْجَلَالِ وَالْإِكْرَامِ.

Ya Allah, berkatilah hidup hamba-Mu yang melaksanakan tuntutan zakat dan kurniakanlah rezeki yang berlipat ganda kepada para pewakaf serta sucikanlah harta dan jiwa mereka, kurniakanlah ketaqwaan dan kebijaksanaan serta keadilan kepada para pentadbir zakat, lindungilah golongan fuqara dan masakin daripada kekufuran dan kefakiran yang berpanjangan.

Ya Allah, kurniakanlah sepenuh taufiq dan hidayah-Mu terhadap Raja kami, Duli Yang Maha mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Al-Marhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah al-Maghfurulahu dan Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan Tuanku Zara Salim serta kerabat dan seluruh rakyat jelata sekalian.

رَبَّنَا ءَاتنِاَ فِى الدُّنْياَ حَسَنَةً وَفِى الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.
عِبَادَ اللهِ، اِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِاْلعَدْلِ وَالأِحْسَانِ وَإِيْتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَاْلمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُوْنَ. فَاذْكُرُوْا اللهَ الْعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ وَاشْكُرُوْهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ وَلَذِكْرُاللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ. 


Teks asal khutbah ini boleh juga dimuat turun dari laman Google Drive. Klik sini.

No comments:

Post a Comment