Friday, November 4, 2016

KHUTBAH JUMAAT - 4 SAFAR 1438 / 4 NOVEMBER 2016



RAJA MEMAYUNGI RAKYAT

Khutbah Pertama

الْحَمْدُ لِلَّهِ الْقَائِلِ:
الَّذِينَ إِن مَّكَّنَّاهُمْ فِي الْأَرْضِ أَقَامُوا الصَّلَاةَ وَآتَوُا الزَّكَاةَ وَأَمَرُوا بِالْمَعْرُوفِ وَنَهَوْا عَنِ الْمُنكَرِ ۗ وَلِلَّهِ عَاقِبَةُ الْأُمُورِ ﴿٤١﴾

Bermaksud: "Mereka yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar dan bagi Allah jualah kesudahan segala urusan". (Surah Al-Hajj Ayat 41)

أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، لَهُ إِقْرَارًا بِهِ وَتَوْحِيْدًا، وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا  عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ. اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدٍ خَاتَمِ الْأَنْبِيَاءِ وَالْمُرْسَالِينَ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أًجْمَعِينَ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَاعِبَادَ اللهِ! اِتَّقُوْا اللهَ اُوْصِيْكُمْ وَاِيّايَ بِتَقْوَى اللهِ وَطَاعَتِهِ  لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُوْنَ.  

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Saya berpesan kepada diri saya sendiri dan kepada sidang jamaah sekalian, marilah sama-sama kita meningkatkan ketaqwaan kepada Allah سبحانه وتعالى dengan melaksanakan segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Sebelum meneruskan khutbah, saya ingin berpesan kepada sidang Jumaat sekalian agar menumpukan perhatian terhadap khutbah yang bakal disampaikan. Mudah-mudahan kita sentiasa berada di dalam rahmat serta mendapat perlindungan Allah سبحانه وتعالى di dunia mahupun di akhirat. Mimbar pada hari ini akan membicarakan khutbah yang bertajuk "Raja Memayungi Rakyat".

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Setiap hari Jumaat minggu pertama bulan November setiap tahun telah ditetapkan bagi sambutan keputeraan Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan. Hari keputeraan ini bukanlah semata-mata hari bagi meraikan individu raja atau sultan yang memerintah sesebuah negeri. Lebih jauh dari itu ianya melambangkan kesetiaan dan kasih sayang rakyat jelata terhadap institusi kesultanan yang menaungi serta memayungi mereka. Institusi kesultanan itu, bukan sekadar satu cermin lama untuk melihat satu institusi yang telah tua. Sebaliknya, institusi kesultanan itu tidak kan usang, malah tetap diterima oleh rakyat jelata dari segi peranan dan relevannya di era moden ini, kekal menjadi lambang kebesaran bangsa melayu khususnya dan warga Malaysia keseluruhannya.

Al-Marhum Sultan Azlan Muhibuddin Syah pernah mengungkapkan mutiara kata tatkala menerima penganugerahan persuratan (kehormat) oleh Universiti Malaya dalam tahun 1979, bahawa negara Malaysia adalah berteraskan kepada sejarah melayu, evolusi politik melayu, nasionalisme melayu yang hidup subur dalam kepulauan melayu yang mempunyai sejarah kebudayaan melayu.

Sidang hadirin yang dimuliakan,

Semenjak abad kedua hinggalah ke abad lima belas, kerajaan melayu telah wujud di rantau ini, merangkumi kawasan dan wilayah selatan Thailand, Langkasuka, Kedah Tua, Kalimantan Timur, Sriwijaya, Majapahit hingga kepada kegemilangan Kerajaan Melayu Islam Melaka. Pada hari ini, tiga negara di dunia masih dikuasai oleh pemerintahan melayu, sebuah kesultanan d Brunei, sebuah republik di Indonesia serta sebuah kerajaan raja berperlembagaan di Malaysia. Sesungguhnya kehadiran raja-raja melayu itu merupakan institusi negara-bangsa, institusi berkerajaan dan bernegara yang mempertahankan ketuanan melayu.

Saudara kaum muslimin yang berbahagia,

Tanggal 28 Mei 2014, dewan negeri Perak telah mencapai kata sepakat menamakan Sultan Nazrin Syah sebagai sultan Perak ke-35 dengan gelaran Sultan Nazrin Mu'izzuddin Syah bermaksud pemerkasa agama. Ini menunjukkan bahawa agama Islam adalah merupakan identiti yang tidak dapat dipisahkan dengan raja-raja melayu dan raja melayu menjunjung satu tanggungjawab besar sebagai penjaga terhadap agama Islam. Ini juga disusuli dengan lafaz sumpah jawatan yang mengandungi kalimah berikut:

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَـٰنِ الرَّحِيمِ

Adalah kita Raja Nazrin Syah Ibni Al-Marhum Sultan Azlan Syah bersumpah dengan وَتَاللهِ - وَبِاللهِ - وَاللهِ - bahawa kita mengaku memerintah negeri Perak Darul Ridzuan dan sekalian takluk jajahannya menurut perlembagaan negeri Perak dengan adil mengikut hukum Allah.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Raja wajib menjunjung menjunjung amanah pemerintahan dengan melaksanakan keadilan untuk kesejahteraan rakyat mengikut hukum yang telah ditetapkan oleh Allah. Sifat adil memerlukan raja memberi payung naungan secara saksama kepada semua lapisan rakyat termasuk yang menganut agama-agama lain. Agama-agama lain telah diamalkan di bumi ini sebelum dan selepas kedatangan Islam. Tidak pernah ada sejarah yang mencatatkan bahawa pemerintahan Islam memaksa penganut agama lain bagi menerima Islam. Namun sebaliknya, sejarah telah membuktikan ribuan umat Islam yang dipaksa, dianiaya dan dibunuh kerana berpegang teguh dengan ajaran Islam. Allah سبحانه وتعالى berfirman dalam Surah An-Nisa' Ayat 58 dan 59:

۞ إِنَّ اللَّهَ يَأْمُرُكُمْ أَن تُؤَدُّوا الْأَمَانَاتِ إِلَىٰ أَهْلِهَا وَإِذَا حَكَمْتُم بَيْنَ النَّاسِ أَن تَحْكُمُوا بِالْعَدْلِ ۚ إِنَّ اللَّهَ نِعِمَّا يَعِظُكُم بِهِ ۗ إِنَّ اللَّهَ كَانَ سَمِيعًا بَصِيرًا ﴿٥٨﴾ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَطِيعُوا اللَّهَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ وَأُولِي الْأَمْرِ مِنكُمْ ۖ فَإِن تَنَازَعْتُمْ فِي شَيْءٍ فَرُدُّوهُ إِلَى اللَّهِ وَالرَّسُولِ إِن كُنتُمْ تُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ ۚ ذَ‌ٰلِكَ خَيْرٌ وَأَحْسَنُ تَأْوِيلًا ﴿٥٩﴾

Bermaksud: "Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada yang berhak menerimanya dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, hendaklah kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar lagi sentiasa Melihat. Wahai orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada Ulil Amri (orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (kitab) Allah dan (As-Sunnah) rasul-Nya jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu) dan lebih elok pula kesudahannya".

Sidang kaum muslimin yang dirahmati Allah,

Daulat dan darjat seseorang raja tidaklah ibarat pipis datang melayang, tidaklah ibarat bulat datang bergolek. Kedudukan dan darjat turut disertai dengan peranan dan tanggungjawab. Oleh itu adalah menjadi tanggungjawab raja-raja melukiskan secantik gambaran, mewarnakan akan institusi kesultanan hingga disegani lagi dihormati, dimuliakan lagi berdaulat. Ianya akan hanya tercapai dengan memperlihatkan contoh teladan yang baik lagi luhur melalui perlakuan yang beradab lagi bersopan, baik secara perkataan mahupun secara perbuatan.

Muslimin yang berbahagia,

Sebagai raja yang berperlembagaan, pihak-pihak di sekeliling raja juga amat penting dan berpengaruh. Pernah suatu masa kerajaan Melaka merupakan simbol kegemilangan tamaddun melayu yang tercatat dalam sejarah. Malang sekali, kegemilangan Melaka tidak kekal selamanya. Kini ia tinggal sebagai cermin lama untuk memperlihatkan wajah tua. Setelah berada di singgahsana kejayaan, pelbagai kepincangan berlaku. Kepincangan yang menjejaskan keharmonian rakyat dan menggugat kestabilan negara. Ianya berpunca dari kalangan para pembesar yang memiliki kuasa dan pengaruh yang dikuasai hasad dengki, tamak haloba dan kepentingan diri. Raja menjadi leka setelah dipagari oleh individu yang tidak memiliki kekuatan sejati. Budaya mengampu menjadi subur. Kebenaran tidak dihargai. Lalu raja mendapat nasihat yang salah. Maka tenggelamlah keadilan dalam arus kepura-puraan. Apabila rakyat mentafsirkan takhta mengamalkan sikap "beraja di mata bersultan di hati", maka terputuslah talian kesetiaan di antara raja dengan rakyat dan terungkailah ikatan perpaduan di antara rakyat sesama rakyat. Raja dan rakyat semakin terpisah. Rakyat pula berpecah belah berdasarkan kesetiaan kekelompokkan. Fikiran dan tenaga lebih terhala untuk menjatuhkan sesama sendiri. Urusan negara, urusan bangsa makin tersisih. Akhirnya takhta jatuh, bumi hilang, bangsa tergadai.

Telah tercatat dalam hikayat, betapa Hang Nadim dihukum bunuh kerana kepintaran menyembahkan cadangan untuk menangani masalah serangan "todak" di Singapura. Raja disembahkan nasihat yang salah dari kalangan pembesar istana yang memagari raja. Para pembesar yang memiliki kepentingan, bersifat cemburu dan iri hati, para pembesar yang tidak mempunyai kekuatan lalu gentar kepada insan yang lebih pintar. Kisah Hang Nadim perlu direnung. Pemikir dan ilmuan tidak mungkin lahir dan dewasa dalam budaya pemerintahan dan alam kehidupan sedemikian. Mungkin kisah Hang Nadim masih berlaku. Berapa ramai lagi cerdik pandai bangsa yang telah tersingkir kerana kepintaran, kerana kelainan pandangan, kerana perbezaan pendapat, kerana keberanian menzahirkan yang benar, baik di desa dan di kota, di bilik darjah dan di dewan kuliah, dalam kalangan pengurus dan dalam kalangan pentadbir.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بالقُرْآنِ العَظِيْمِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ، أَقُولُ قَوْلِي هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ الْأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالْأَمْوَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ، إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ.


Khutbah Kedua

الْحَمْدُ لِلَّهِ الْقَائِلِ:
قُلِ اللَّهُمَّ مَالِكَ الْمُلْكِ تُؤْتِي الْمُلْكَ مَن تَشَاءُ وَتَنزِعُ الْمُلْكَ مِمَّن تَشَاءُ وَتُعِزُّ مَن تَشَاءُ وَتُذِلُّ مَن تَشَاءُ ۖ بِيَدِكَ الْخَيْرُ ۖ إِنَّكَ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ ﴿٢٦﴾

Bermaksud: "Katakanlah (wahai Muhammad); Wahai Tuhan yang Mempunyai Kuasa Pemerintahan! Engkaulah yang memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau Kehendaki, dan Engkaul;ah yang Mencabut kuasa pemerintahan dari sesiapa yang Engkau Kehendaki. Engkaulah juga yang Memuliakan sesiapa yang Engkau Kehendaki dan Engkaulah yang Menghina seiapa yang Engkau Kehendaki. Dalam Kekuasaan Engkaulah sahaja adanya segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu". (Surah Ali-'Imran Ayat 26)

اَشْهَدُ اَنْ لاَ ِالــهَ اِلاَّ الله وَحْدَهُ لاَشَرِيْكَ لَهُ، وَاَشْهَدُ اَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ، اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلىَ الــِهِ وَصَحْبِهِ اَجْمَعِيْنَ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَاعِبَادَ اللهِ، اِتَّقُوْا اللهَ وَكُنُواْ مَعَ الصَّادِقِينَ. 

Saudara kaum muslimin yang dimuliakan,

Hubungan raja-raja dan rakyat terikat dengan satu perjanjian yang sudah termeterai. Tun Seri Lanang telah mengungkapkan kata-kata berikut dalam As-Sulalatus Salatin:

Maka sembah Demang Lebar Daun, "Tuanku, segala anak cucu patik sedia akan jadi hambalah ke bawah duli Yang Dipertuan. Hendaklah ia diperbaiki oleh anak cucu tuan hamba. Syahadan jikalau ia berdosa besar, besar dosanya sekalipun jangan ia difadhihatkan dan dinista dengan kata-kata jahat-jahat. Jikalau besar dosanya dibunuh, itu pun jikalau patut pada hukum syar'ie."

Demikian perjanjian yang dijadikan magna carta bangsa melayu. Ikatan perakuan hubungan antara raja dengan rakyat yang wajar dijadikan pedoman akan hubungan pemimpin dengan yang dipimpin di dalam budaya melayu. Bahawa bangsa itu sama sekali tidak harus dinista, jauh sekali dihina oleh pemimpin. Malah pemimpin bertanggung jawab untuk memperbaiki kesejahteraan hidup yang dipimpin.

Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Syah seawal tahun 1980, ketika menerima ijazah kehormat doktor undang-undang dari Universiti Sains Malaysia telah memperingatkan bahawa selagi rakyat menaruh keprcayaan terhadap raja dan menghormati institusi beraka, selama itulah takhta tidak akan dipindahkan dari istana ke muzium.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Mimbar menyeru marilah sama-sama kita menunaikan solat-solat fardhu secara berjamaah. Sesungguhnya solat secara berjamaah itu adalah lebih baik daripada solat solat secara bersendirian sepertimana sabda Rasulullah صلى الله عليه وسلم :

عَنْ ابْنِ عُمَرَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُمَا أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ صَلَاةُ الْجَمَاعَةِ أَفْضَلُ مِنْ صَلَاةِ الْفَذِّ بِسَبْعٍ وَعِشْرِينَ دَرَجَةً.

Bermaksud: "Daripada 'Abdullah bin 'Umar رضي الله عنهما, telah menceritakan bahawa Rasulullah صلى الله عليه وسلم pernah bersabda: Solat berjamaah lebih utama dua puluh tujuh bahagian daripada solat bersendirian". (Muttafaqun 'alaih)

Sabda Rasulullah صلى الله عليه وسلم :

وَلَوْ يَعْلَمُونَ مَا فِي الْعَتَمَةِ وَالصُّبْحِ لَأَتَوْهُمَا وَلَوْ حَبْوًا

Bermaksud: "Seandainya mereka mengetahui apa yang terkandung dalam Solatul 'Atamah (yakni solat Isyak) dan Subuh, nescaya mereka akan mendatanginya meskipun dengan merangkak". (Hadith riwayat Al-Bukhari)
أَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ ۚ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا ﴿٥٦﴾

Bermaksud: "Sesungguhnya Allah dan malaikat berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad SAW), wahai orang-orang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucaplah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya". (Surah Al-Ahzab: Ayat 56)

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَبَارِكْ عَلى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا بَارَكْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ فِي الْعَالَمِينَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ. 

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ والْمُؤمِنَاتِ، وَأَصْلِحْ ذَاتَ بَيْنِهِمْ وَأَلِّفْ بَيْنَ قُلُوْبِهِمْ وَاجْعَلْ فِيْ قُلُوْبِهِمُ اْلإِيْمَانَ وَاْلحِكْمَةَ وَثَبِّتْهُمْ عَلَى مِلَّةِ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى اللهِ عَلَيهِ وَسَلَّم.

Ya Allah, Ya Rahman Ya Rahim, kurniakanlah sepenuh taufiq dan hidayah-Mu terhadap Raja kami, Duli Yang Maha mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Al-Marhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah al-Maghfurulahu dan Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan Tuanku Zara Salim serta kerabat dan seluruh rakyat jelata sekalian. Kurniakanlah kebijaksanaan kepada baginda dalam membuat keputusan dan tindakan.

Ya Allah, bantulah sultan dan raja pemerintah kami membentengi agama-Mu di negeri ini. Kurniakanlah kepada baginda sekalian penasihat-penasihat yang jujur lagi amanah. Tundukkanlah hati baginda sekalian agar lebih tawadhuk dan merendah diri serta sentiasa mendampingi dan memahami isi hati rakyat jelata. Demi Allah, kami rakyat jelata mengikat janji setia akan menjadi tulang belakang kepada duli-duli tuanku selama mana baginda sekalian mendapati kami dalam mempertahankan agama Islam di bumi bertuah ini.

رَبَّنَا ءَاتنِاَ فِى الدُّنْياَ حَسَنَةً وَفِى الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.
عِبَادَ اللهِ، اِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِاْلعَدْلِ وَالأِحْسَانِ وَإِيْتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَاْلمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُوْنَ. فَاذْكُرُوْا اللهَ الْعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ وَاشْكُرُوْهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ وَلَذِكْرُاللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ. 


Teks asal khutbah ini boleh juga dimuat turun dari laman sesawang Google Drive. Klik sini.

No comments:

Post a Comment