Friday, September 2, 2016

KHUTBAH JUMAAT - 30 ZULQAEDAH 1437 / 2 SEPTEMBER 2016


PAGI YANG DIBERKATI SIRI DUA

Khutbah Pertama

الْحَمْدُ لِلَّهِ الْقَائِلِ:
أَقِمِ الصَّلَاةَ لِدُلُوكِ الشَّمْسِ إِلَىٰ غَسَقِ اللَّيْلِ وَقُرْآنَ الْفَجْرِ ۖ إِنَّ قُرْآنَ الْفَجْرِ كَانَ مَشْهُودًا ﴿٧٨﴾

Bermaksud: "Dirikanlah olehmu solat ketika gelincir matahari hingga waktu gelap malam dan (dirikanlah) solat Subuh, sesungguhnya solat Subuh itu adalah disaksikan (oleh para malaikat)". (Surah Al-Isra': Ayat 78)

اَشْهَدُ اَنْ لاَ ِالــهَ اِلاَّ الله وَحْدَهُ لاَشَرِيْكَ لَهُ، وَاَشْهَدُ اَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ. اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ رَسُلِكَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أًجْمَعِينَأَمَّا بَعْدُ، فَيَاعِبَادَ اللهِ، اتَّقُوا اللَّهَ، اُوْصِيْكُمْ وَاِيّايَ بِتَقْوَى اللهِ وَطَاعَتِهِ فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah sekalian,

Saya berpesan kepada sidang jamaah sekalian lebih-lebih lagi diri saya sendiri, marilah sama-sama kita bertaqwa kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa dengan melaksanakan segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Sebelum meneruskan khutbah, saya ingin berpesan kepada sidang Jumaat sekalian agar menumpukan perhatian terhadap khutbah yang akan disampaikan. Mudah-mudahan kita akan beroleh kebahagiaan di dunia lebih-lebih lagi di akhirat.

Sidang hadirin yang dimuliakan,

Mensyukuri nikmat tidak cukup sekadar lafaz semata-mata. Mensyukuri kemerdekaan tidak cukup sekadar dengan teriakan merdeka!... Mensyukuri sesuatu perlu disertai tindakan. Syukur nikmat Allah perlu diikuti dengan amalan soleh yang berterusan. Syukur nikmat kemerdekaan perlu diikuti dengan usaha memelihara dan mempertahankannya sepanjang zaman. Usaha berterusan mempertahankan kemerdekaan melibatkan aspek rohani dan jasmani. Memelihara dari rasuah, salah guna kuasa, memastikan pentadbiran yang telus dan bijaksana, adalah faktor kekuatan jasmani. 

Manakala memelihara solat adalah lambang pembinaan rohani yang kuat dan kukuh. Tanpa solat, rohani umat Islam rapuh dan mudah diruntuh. Tanpa solat hilanglah jati diri, lemahlah semangat cintakan negara.

Solat berjamaah adalah lambang perpaduan umat Islam. Solat Subuh berjamaah pula merupakan lambang kekuatan umat Islam. Kehadiran ahli jamaah Subuh yang ramai pasti menggerunkan musuh. Sebaliknya bilangan yang sedikit melambangkan keadaan kita yang sangat lemah. Banyak nas-nas syariat daripada Allah سبحانه وتعالى dan Rasulullah صلى الله عليه وسلم yang amat menekankan solat Subuh dan melarang kita dari bermalas-malasan serta meremehkannya. Diantara perbezaan sorang muslim yang sejati dan munafik adalah solat Subuh mereka. Firman Allah سبحانه وتعالى dalam Surah An-Nisa' Ayat 142:

إِنَّ الْمُنَافِقِينَ يُخَادِعُونَ اللَّهَ وَهُوَ خَادِعُهُمْ وَإِذَا قَامُوا إِلَى الصَّلَاةِ قَامُوا كُسَالَىٰ يُرَاءُونَ النَّاسَ وَلَا يَذْكُرُونَ اللَّهَ إِلَّا قَلِيلًا ﴿١٤٢﴾

Bermaksud: "Sesungguhnya orang munafik itu melakukan tipu daya (terhadap agama) Allah (dengan perbuatan pura-pura beriman sedang mereka kafir pada batinnya) dan Allah pula tetap membalas tipu daya mereka (dengan membiarkan mereka dalam keadaan munafik). Mereka pula apabila berdiri hendak solat, mereka berdiri dengan malas. Mereka (hanya bertujuan) riya' (memperlihatkan solatnya) kepada manusia (supaya disangka bahawa mereka orang yang beriman) dan mereka pula tidak mengingati Allah (dengan mengerjakan solat) melainkan sedikit sekali (jarang-jarang)".

Sidang Jumaat yang berbahagia,

Maha Suci Allah yang telah menjadikan keindahan Subuh bukan sekadar pada cantiknya suasana, lembutnya udara tetapi pada kekuatan roh yang tiada tandingannya. Tatakala kita masih dalam semangat jihad memboikot hasil tangan dan pemikiran zionis, hedonisme, hasad dengki, degil, zalim dan segala macam perbuatan mazmumah bersarang dalam diri mereka, apakah amalan yang boleh menggerunkan musuh-musuh Islam? Mampukah kita mengatasi mereka yang lumpuh tidak berdaya dalam keadaan kita tiada tenaga? Kita telah lama menghadapi penindasan oleh musuh-musuh Islam, khususnya saudara-saudara kita di bumi Palestin. Musuh-musuh Islam bukan sahaja merampas dan menceroboh kehormatan umat Islam di bumi suci tersebut tetapi mereka sentiasa melebarkan pengaruh mereka ke serata dunia dengan pelbagai cara. Untuk menceritakan mengenai penguasaan musuh-musuh Islam ini, sesungguhnya ianya satu yang panjang dan menyakitkan hati kita.

Doktor Roghib As-Sirjani dalam bukunya ; Misteri Solat Subuh, menulis tentang seorang penguasa yahudi berkata; "Kami takut kalau bilangan umat Islam melaksanakan solat Subuh berjamaah menyamai atau melebihi umat Islam melaksanakan solat Jumaat". Inilah sebaik-baik demonstrasi untuk menunjukkan kebencian terhadap zionis dengan bangun solat Subuh berjamaah. Inilah peperangan sebenar kita, bukan mudah untuk bangun dari tidur, bersuci dan kemudian bergerak menuju ke masjid bagi menunaikan solat Subuh secara berjamaah. Bayangkan, seseorang terpaksa berperang dengan gejolak nafsu dan godaan syaitan sejak awal-awal pagi lagi bagi mematuhi perintah Allah. Peperangan dalam diri itu diperjelaskan oleh junjungan besar Nabi Muhammad صلى الله عليه وسلم daripada Abu Hurairah رضي الله عنه :

يَعْقِدُ الشَّيْطَانُ عَلَى قَافِيَةِ رَأْسِ أَحَدِكُمْ إِذَا هُوَ نَامَ ثَلَاثَ عُقَدٍ يَضْرِبُ كُلَّ عُقْدَةٍ عَلَيْكَ لَيْلٌ طَوِيلٌ فَارْقُدْ فَإِنْ اسْتَيْقَظَ فَذَكَرَ اللَّهَ انْحَلَّتْ عُقْدَةٌ فَإِنْ تَوَضَّأَ انْحَلَّتْ عُقْدَةٌ فَإِنْ صَلَّى انْحَلَّتْ عُقْدَةٌ فَأَصْبَحَ نَشِيطًا طَيِّبَ النَّفْسِ وَإِلَّا أَصْبَحَ خَبِيثَ النَّفْسِ كَسْلَانَ

Bermaksud: "Apabila kamu tidur, syaitan membuat tiga ikatan di tengkukmu. Di setiap ikatan syaitan akan mengatakan; Malam masih panjang, tidurlah! Jika ia bangun lalu berzikir kepada Allah, lepaslah satu ikatan. Kemudian jika ia berwudhuk, lepas lagi satu ikatan berikutnya. Kemudian jika ia mengerjakan solat, lepaslah ikatan terakhir. Di pagi hari dia akan bersemangat dan bergembira. Jika tidak melakukan seperti ini, jiwanya jadi kotor dan malas". (Hadith riwayat Imam Al-Bukhari).

Apabila kita perhatikan hadith itu hadith ini, selalu kita dengar tetapi adakah amalan yang dianggap mudah ini kita lakukan setiap hari?

Sidang hadirin sekalian,

Hari ini, jika kita berat kaki untuk melangkah ke masjid untuk solat berjamaah, apatah lagi solat Subuh berjamaah, maka bagaimana kita impikan untuk menewaskan kejahatan musuh-musuh Islam? Orang Islam ramai yang tidak menunaikan solat kerana leka dengan hiburan. Tambahan pula, dengan kehangatan sukan Olimpik yang baharu sahaja melabuhkan tirainya, kita berjaga malam menyaksikan sukan sehingga larut malam. Malangnya, menjelang pagi kita ditewaskan oleh syaitan dengan rasa mengantuk sehingga tidak mampu untuk hadir solat Subuh berjamaah.

Namun, persoalan yang perlu kita tanya, apakah kita orang Islam yang benar-benar mentaati perintah-Nya? Kitakah ... padahal di kala azan Subuh dilaungkan, kita masih menarik selimut membalut badan? Kitakah ... padahal di kala iqamah dilafazkan kita masih payah meninggalkan pembaringan? Lalu setelah imam memberi salam kedua, baru kita turun dari katil. Kita bangun kerana di sana ada tuntutan dunia sedang berbisik. Kita perlu datang bekerja di awal pagi, panggilan dunia kita sahut walaupun payah. Namun, panggilan daripada Allah سبحانه وتعالى kita biarkan pekak sehingga sinar fajar shodiq kelihatan. Kitakah ... muslim yang bakal membunuh musuh-mush Islam yang durjana, kalau demikian keadaan kita?

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بالقُرْآنِ العَظِيْمِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ، أَقُولُ قَوْلِي هَذَا وَأَسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ، فَاسْتَغْفِرُوْهُ، فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ.


Khutbah Kedua

الْحَمْدُ لِلَّهِ حَمْدًا كَثِيْرًا كَمَا أَمَرَ. أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا  وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدًا  عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ. اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ رَسُلِكَ سَيِّدِنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أًجْمَعِينَ
أَمَّا بَعْدُ، فَيَاعِبَادَ اللهِ، اِتَّقُوْا اللهَ وَكُنُواْ مَعَ الصَّادِقِينَ. وَاعْلَمُواْ أَنَّ اللهَ سُبْحَانَهُ وَتَعَالَى أَمَرَكُمْ بِأَمْرٍ بَدَأَ فِيهِ بِنَفْسِهِ وَثَنَّى بِمَلآئِكَتِهِ الْمُسَبِّحَةِ بِقُدْسِهِ. فَقَالَ اللهُ تَعَالَى:
أَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ ۚ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا ﴿٥٦﴾ 

Bermaksud: "Sesungguhnya Allah dan malaikat berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad SAW), wahai orang-orang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucaplah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya". (Surah Al-Ahzab: Ayat 56)

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَبَارِكْ عَلى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا بَارَكْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ فِي الْعَالَمِينَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ. 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Mimbar menyeru marilah sama-sama kita menunaikan solat-solat fardhu secara berjamaah. Sesungguhnya solat secara berjamaah itu adalah lebih baik daripada solat secara bersendirian sepertimana sabda Rasulullah صلى الله عليه وسلم :

عَنْ ابْنِ عُمَرَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُمَا أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ صَلَاةُ الْجَمَاعَةِ أَفْضَلُ مِنْ صَلَاةِ الْفَذِّ بِسَبْعٍ وَعِشْرِينَ دَرَجَةً.

Bermaksud: "Daripada 'Abdullah bin 'Umar رضي الله عنهما, telah menceritakan bahawa Rasulullah صلى الله عليه وسلم pernah bersabda: Solat berjamaah lebih utama dua puluh tujuh bahagian daripada solat bersendirian". (Muttafaqun 'alaih)

Sabda Rasulullah صلى الله عليه وسلم :

وَلَوْ يَعْلَمُونَ مَا فِي الْعَتَمَةِ وَالصُّبْحِ لَأَتَوْهُمَا وَلَوْ حَبْوًا.

Bermaksud: "Seandainya mereka mengetahui apa yang terkandung dalam Solatul 'Atamah (yakni solat Isyak) dan Subuh, nescaya mereka akan mendatanginya meskipun dengan merangkak". (Hadith riwayat Al-Bukhari)

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ والْمُؤمِنَاتِ، وَأَصْلِحْ ذَاتَ بَيْنِهِمْ وَأَلِّفْ بَيْنَ قُلُوْبِهِمْ وَاجْعَلْ فِيْ قُلُوْبِهِمُ اْلإِيْمَانَ وَاْلحِكْمَةَ وَثَبِّتْهُمْ عَلَى مِلَّةِ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى اللهِ عَلَيهِ وَسَلَّم.
اَللَّهُمَّ أَعِزَّ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ، اَللَّهُمَّ انْصُرِ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ، اَللَّهُمَّ انْصُرِ الدُّعَاةَ وَالْمُجَاهِدِيْنَ، اَللَّهُمَّ دَمِّرِ اْلكَفَرَةَ وَاْلُمشْرِكِيْنَ وَأَهْلِكْ أَعْدَائَكَ أَعْدَاءَ الدِّيْنِ.

Ya Allah, bukakanlah hati kami untuk melaksanakan ibadat zakat sebagaimana yang telah Engkau fardhukan. Berkatilah hidup hamba-Mu yang melaksanakan tuntutan zakat dan para pewakaf yang telah menginfaqkan harta mereka ke jalan-Mu. Sucikanlah harta dan jiwa mereka, lindungilah golongan fuqara dan masakin daripada kekufuran dan kefakiran yang berpanjangan.

Ya Allah, kurniakanlah sepenuh taufiq dan hidayah-Mu terhadap Raja kami, Duli Yang Maha mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Al-Marhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah al-Maghfurulahu dan Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan Tuanku Zara Salim serta kerabat dan seluruh rakyat jelata sekalian.

رَبَّنَا ءَاتنِاَ فِى الدُّنْياَ حَسَنَةً وَفِى الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.
عِبَادَ اللهِ، اِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِاْلعَدْلِ وَالأِحْسَانِ وَإِيْتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَاْلمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُوْنَ. فَاذْكُرُوْا اللهَ الْعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ وَاشْكُرُوْهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ وَلَذِكْرُاللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ.


Teks asal khutbah ini boleh juga dimuat turun dari laman sesawang Google Drive. Klik sini.

No comments:

Post a Comment