bersama kepimpinan ulamak




Sedang Berlangsung Sekarang




Ucapan Eidul Fitri 1438 Dari Dewan Ulamak PAS Negeri Perak




Ucapan Eidul Fitri 1438 Dari Dewan Ulamak PAS Negeri Perak




Thursday, September 22, 2016

KHUTBAH JUMAAT - 21 ZULHIJJAH 1437 / 23 SEPTEMBER 2016


KEHARMONIAN ASAS PEMBANGUNAN NEGARA

Khutbah Pertama

الْحَمْدُ لِلَّهِ الْذِي نَحْمَدُهُ وَنَسْتَعِينُهُ وَنَسْتَغْفِرُهُ، وَنَعُوذُ بِاللهِ مِنْ شُرُورِ أَنْفُسِنَا وَمِنْ سَيِّئَاتِ أَعْمَالِنَا، مَنْ يَهْدِهِ اللهُ فَلَا مُضِلَّ لَهُ، وَمَنْ يُضْلِلْ فَلَا هَادِيَ لَهُ. أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا  وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدًا  عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ الَّذِيْ أَرْسَلَهُ كَافَّةً لِلنَّاسِ بَشِيْرًا وَنَذِيْرًا، وَهَادِيًا إِلَى الْحَقِّ وَسِرَاجًا مُنِيْرًا. اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ عَبْدِكَ وَرَسُلِكَ سَيِّدِنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أًجْمَعِينَ
أَمَّا بَعْدُ، فَيَاعِبَادَ اللهِ، اِتَّقُوْا اللهَ، اُوْصِيْكُمْ وَاِيّايَ بِتَقْوَى اللهِ وَطَاعَتِهِ فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ.

Sidang jamaah yang dirahmati Allah sekalian,

Saya berpesan kepada diri saya sendiri dan menyeru kepada sidang jamaah yang dikasihi sekalian, marilah sama-sama kita meningkatkan ketaqwaan kepada Allah سبحانه وتعالى dengan sebenar-benar taqwa dengan melaksanakan segala perintah-Nya dan menjauhi degala larangan-Nya. Sebelum meneruskan khutbah, saya ingin berpesan kepada sidang Jumaat sekalian agar menumpukan perhatian terhadap khutbah yang akan disampaikan. Mudah-mudahan kita sentiasa berada di dalam rahmat serta mendapat keredhaan Allah سبحانه وتعالى demi mencari keredhaan-Nya di dunia mahupun di akhirat. Mimbar pada hari ini akan membicarakan khutbah yang bertajuk; "Keharmonian Asas Pembangunan Negara".

Sidang jamaah yang dirahmati Allah,

Islam merupakan agama petunjuk yang diturunkan oleh Allah سبحانه وتعالى kepada manusia dengan tujuan membawa manusia ke arah keharmonian dan kesejahteraan hidup di dunia dan di akhirat. Nilai agama bertunjangkan kepada Tauhid dan bersendikan akidah dan syariat. Bagi penganut agama Islam, nilai yang dipegang adalah ajaran dan panduan dari Al-Quran dan As-Sunnah. Sesungguhnya Islam adalah Ad-Din yang merangkumi fitrah manusia, naluri, jasad, roh, akal, individu, masyarakat dan hubungan manusia dengan makhluk-makhluk lain. Firman Allah سبحانه وتعالى dalam Surah Al-Baqarah Ayat 213:

كَانَ النَّاسُ أُمَّةً وَاحِدَةً فَبَعَثَ اللَّهُ النَّبِيِّينَ مُبَشِّرِينَ وَمُنذِرِينَ وَأَنزَلَ مَعَهُمُ الْكِتَابَ بِالْحَقِّ لِيَحْكُمَ بَيْنَ النَّاسِ فِيمَا اخْتَلَفُوا فِيهِ ۚ وَمَا اخْتَلَفَ فِيهِ إِلَّا الَّذِينَ أُوتُوهُ مِن بَعْدِ مَا جَاءَتْهُمُ الْبَيِّنَاتُ بَغْيًا بَيْنَهُمْ ۖ فَهَدَى اللَّهُ الَّذِينَ آمَنُوا لِمَا اخْتَلَفُوا فِيهِ مِنَ الْحَقِّ بِإِذْنِهِ ۗ وَاللَّهُ يَهْدِي مَن يَشَاءُ إِلَىٰ صِرَاطٍ مُّسْتَقِيمٍ ﴿٢١٣﴾

Bermaksud: "Pada mulanya manusia itu ialah umat yang satu (menurut agama Allah yang satu, tetapi setelah mereka berselisihan), maka Allah mengutuskan nabi-nabi sebagai pemberi khabar gembira (kepada orang yang beriman dengan balasan syurga) dan pemberi amaran (kepada orang yang ingkar dengan balasan azab neraka) dan Allah menurunkan nabi-nabi itu kitab-kitab suci yang (mengandungi keterangan yang) tidak ada yang melakukan perselisihan melainkan orang yang telah diberi kepada mereka kitab-kitab suci itu iaitu sesudah datang kepada mereka keterangan yang jelas nyata, mereka berselisih semata-mata kerana hasad dengki sesama sendiri. Maka Allah memberikan petunjuk kepada orang yang beriman ke arah kebenaran yang diperselisihkan oleh merek (yang derhaka itu) dengan izin-Nya. Dan Allah sentiasa memberi petunjuk hidayah-Nya kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya ke jalan yang betul lurus (menurut undang-undang peraturan-Nya)".

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Allah سبحانه وتعالى menciptakan manusia sebagai hamba dan sebagai khalifah di muka bumi ini. Semakin tinggi rasa atau perasaan kehambaan maka semakin layak seseorang hamba itu bergelar khalifah (penguasa, pentadbir dan pengatur) yang memakmurkan muka bumi ini dengan syariat Islam. Dengan syariat Islam itu pula, pastinya akan menghasilkan kehidupan manusia bersifat harmoni, aman damai, bahagia dan sejahtera di dunia dan di akhirat. Ini bererti, agama yang di dalamnya terdapat syariat daripada Tuhan adalah untuk keperluan mengharmonikan kehidupan manusia. Itulah agama Islam, yang membawa maksud selamat dan menyelamatkan.

Jelasnya, dengan mengamalkan syariat Islam, maka keadaan aman dan damai akan dapat menjamin kebahagiaan dan keselamatan rakyat sesebuah negara. Akhirnya, agenda perpaduan yang diamalkan membawa kemajuan dengan mudah. Kayu ukur perpaduan amat mustahak kerana ia dapat mengekalkan keharmonian dan kedamaian di negara ini. Firman Allah سبحانه وتعالى dalam Surah Al-Hujurat Ayat 13:

يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُم مِّن ذَكَرٍ وَأُنثَىٰ وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوبًا وَقَبَائِلَ لِتَعَارَفُوا ۚ إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِندَ اللَّهِ أَتْقَاكُمْ ۚ إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ ﴿١٣﴾

Bermaksud: "Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan suku puak, supaya berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha mendalam pengetahuan-Nya (akan keadaan dan amalan kamu)."

Berdasarkan Ayat itu, kita mendapati bahwa risalah Nabi Muhammad صلى الله عليه وسلم itu membahagikan manusia kepada dua kumpulan iaitu ummatun dakwah yang merangkumi seluruh manusia, sama ada Islam dan bukan Islam dan yang kedua, ummatun ijabah iaitu manusia yang sudah masuk Islam. Apa pun pembahagiannya, kedua-duanya adalah tetap umat Nabi Muhammad صلى الله عليه وسلم yang dikenali sebagai majmuk berlandaskan kepelbagaian kaum dan agama sesebuah negara. Apa yang jelas, Allah سبحانه وتعالى telah menjadikan manusia itu pada dasarnya satu keluarga walaupun mereka itu berbeza bangsa dan bahasa.

Sidang jamah yang dirahmati Allah,

Mengakhiri khutbah pada minggu ini, marilah kita bersama-sama membina kekuatan secara jama'ei. Mengambil ibarat kata pepatah, bagaikan aur dengan tebing, Ya, kita tidak mampu untuk menghadapi kehidupan secara bersendirian. Adapun kesatuan bermasyarakat merupakan kunci dalam mempertahankan kedaulatan negara dari sebarang ancaman dari dalam mahupun dari luar. Perpaduan, persefahaman dan keharmonian yang terbina akan menjadikan bangsa Malaysia dapat bersama-sama membawa Malaysia menjadi sebuah negara contoh yang disegani dunia. Oleh itu, sangat penting kita menunjukkan kesempurnaan dan kekuatan Islam yang sebenar.

Di samping itu, kita juga perlu membersihkan diri dari sifat kebencian sesama sendiri dan berprasangka buruk terhadap orang lain. Marilah kita mencontohi akhlak luhur Rasulullah صلى الله عليه وسلم yang membalas setiap kejahatan dengan kebaikan, bahkan sentiasa berlapang dada untuk memaafkan musuh-musuhnya. Benih-benih perpaduan dan kebersamaan itu perlu sentiasa dibajai supaya ia terus bercambah dan menyuburi rakyat di negara ini dengan kesatuan dan perpaduan yang utuh. Mari sama-sama kita hayati firman Allah سبحانه وتعالى dalam Surah Al-Hajj Ayat 32:

ذَ‌ٰلِكَ وَمَن يُعَظِّمْ شَعَائِرَ اللَّهِ فَإِنَّهَا مِن تَقْوَى الْقُلُوبِ ﴿٣٢﴾

Bermaksud: "Demikianlah (ajaran Allah) dan sesiapa yang menghormati syiar-syiar agama Allah maka (dialah orang yang bertaqwa) kerana sesungguhnya perbuatan itu satu kesan dari sifat-sifat taqwa hati orang mukmin".

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بالقُرْآنِ العَظِيْمِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ، أَقُولُ قَوْلِي هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ الْأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالْأَمْوَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ، إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ.


Khutbah Kedua

الْحَمْدُ لِلَّهِ حَمْدًا كَمَا أَمَرَ. اَشْهَدُ اَنْ لاَ ِالــهَ اِلاَّ الله وَحْدَهُ لاَشَرِيْكَ لَهُ، وَاَشْهَدُ اَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ. اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ عَبْدِكَ وَرَسُلِكَ سَيِّدِنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أًجْمَعِينَ
أَمَّا بَعْدُ، فَيَاعِبَادَ اللهِ، اِتَّقُوْا اللهَ وَكُنُواْ مَعَ الصَّادِقِينَ. وَاعْلَمُواْ أَنَّ اللهَ سُبْحَانَهُ وَتَعَالَى أَمَرَكُمْ بِأَمْرٍ بَدَأَ فِيهِ بِنَفْسِهِ وَثَنَّى بِمَلآئِكَتِهِ الْمُسَبِّحَةِ بِقُدْسِهِ. فَقَالَ اللهُ تَعَالَى
أَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ ۚ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا ﴿٥٦﴾

Bermaksud: "Sesungguhnya Allah dan malaikat berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad SAW), wahai orang-orang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucaplah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya". (Surah Al-Ahzab: Ayat 56)

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَبَارِكْ عَلى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا بَارَكْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ فِي الْعَالَمِينَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ. 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Mimbar menyeru marilah sama-sama kita menunaikan solat-solat fardhu secara berjamaah. Sesungguhnya solat secara berjamaah itu adalah lebih baik daripada solat solat secara bersendirian sepertimana sabda Rasulullah صلى الله عليه وسلم :

عَنْ ابْنِ عُمَرَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُمَا أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ صَلَاةُ الْجَمَاعَةِ أَفْضَلُ مِنْ صَلَاةِ الْفَذِّ بِسَبْعٍ وَعِشْرِينَ دَرَجَةً.

Bermaksud: "Daripada 'Abdullah bin 'Umar رضي الله عنهما, telah menceritakan bahawa Rasulullah صلى الله عليه وسلم pernah bersabda: Solat berjamaah lebih utama dua puluh tujuh bahagian daripada solat bersendirian". (Muttafaqun 'alaih)

Sabda Rasulullah صلى الله عليه وسلم :

وَلَوْ يَعْلَمُونَ مَا فِي الْعَتَمَةِ وَالصُّبْحِ لَأَتَوْهُمَا وَلَوْ حَبْوًا

Bermaksud: "Seandainya mereka mengetahui apa yang terkandung dalam Solatul 'Atamah (yakni solat Isyak) dan Subuh, nescaya mereka akan mendatanginya meskipun dengan merangkak". (Hadith riwayat Al-Bukhari)

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ والْمُؤمِنَاتِ، وَأَصْلِحْ ذَاتَ بَيْنِهِمْ وَأَلِّفْ بَيْنَ قُلُوْبِهِمْ وَاجْعَلْ فِيْ قُلُوْبِهِمُ اْلإِيْمَانَ وَاْلحِكْمَةَ وَثَبِّتْهُمْ عَلَى مِلَّةِ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى اللهِ عَلَيهِ وَسَلَّم.
اَللَّهُمَّ أَعِزَّ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ، اَللَّهُمَّ انْصُرِ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ، اَللَّهُمَّ انْصُرِ الدُّعَاةَ وَالْمُجَاهِدِيْنَ، اَللَّهُمَّ دَمِّرِ اْلكَفَرَةَ وَاْلُمشْرِكِيْنَ وَأَهْلِكْ أَعْدَائَكَ أَعْدَاءَ الدِّيْنِ.

Ya Allah, bukakanlah hati kami untuk melaksanakan ibadat zakat sebagaimana yang telah Engkau fardhukan. Berkatilah hidup hamba-Mu yang melaksanakan tuntutan zakat dan para pewakaf yang telah menginfaqkan harta mereka ke jalan-Mu. Sucikanlah harta dan jiwa mereka, lindungilah golongan fuqara dan masakin daripada kekufuran dan kefakiran yang berpanjangan.

Ya Allah, kurniakanlah sepenuh taufiq dan hidayah-Mu terhadap Raja kami, Duli Yang Maha mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Al-Marhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah al-Maghfurulahu dan Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan Tuanku Zara Salim serta kerabat dan seluruh rakyat jelata sekalian.

Ya Allah ya Tuhan kami, kami memohon agar dengan rahmat dan perlindungan-Mu, negara kami ini dan seluruh rakyatnya dikekalkan dalam keamanan dan kesejahteraan. Tanamkanlah rasa kasih sayang di antara kami, kekalkanlah perpaduan di kalangan kami. Semoga dengannya kami sentiasa hidup aman damai, makmur bahagia dan selamat sejahtera sepanjang zaman.

رَبَّنَا ءَاتنِاَ فِى الدُّنْياَ حَسَنَةً وَفِى الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.
عِبَادَ اللهِ، اِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِاْلعَدْلِ وَالأِحْسَانِ وَإِيْتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَاْلمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُوْنَ. فَاذْكُرُوْا اللهَ الْعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ وَاشْكُرُوْهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ وَلَذِكْرُاللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ. 


Teks asal khutbah ini boleh juga dimuat turun dari laman sesawang Google Drive. Klik sini.

No comments:

Post a Comment

KULIAH SETIAP AHAD MINGGU KEDUA




Kempen Tiga B