Thursday, July 21, 2016

KHUTBAH JUMAAT - 17 SYAWAL 1437 / 22 JULAI 2016


SAYANGKAN NEGARA TUNTUTAN AGAMA

Khutbah Pertama

الْحَمْدُ لِلَّهِ الْذِي نَحْمَدُهُ وَنَسْتَعِينُهُ وَنَسْتَغْفِرُهُ، وَنَعُوذُ بِاللهِ مِنْ شُرُورِ أَنْفُسِنَا وَمِنْ سَيِّئَاتِ أَعْمَالِنَا، مَنْ يَهْدِهِ اللهُ فَلَا مُضِلَّ لَهُ، وَمَنْ يُضْلِلْ فَلَا هَادِيَ لَهُ. اَشْهَدُ اَنْ لاَ ِالــهَ اِلاَّ الله وَحْدَهُ لاَشَرِيْكَ لَهُ، وَاَشْهَدُ اَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ. اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ رَسُلِكَ سَيِّدِنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أًجْمَعِينَ
أَمَّا بَعْدُ، فَيَاعِبَادَ الله! اِتَّقُوْا اللهَ، اُوْصِيْكُمْ وَاِيّايَ بِتَقْوَى اللهِ فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Saya ingin berpesan kepada diri saya dan sidang Jumaat sekalian, marilah kita sama-sama mempertingkatkan ketaqwaan kita kepada Allah سبحانه وتعالى dengan sebenar-benar taqwa iaitu dengan mengerjakan segala seruan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Sebelum memulakan khutbah, saya ingin berpesan kepada sidang Jumaat sekalian agar menumpukan perhatian terhadap khutbah yang akan disampaikan. Mudah-mudahan kita mendapat keredhaan Allah سبحانه وتعالى. 

Sidang jamaah yang dirahmati Allah,

Bagi seorang muslim, negara adalah sangat penting dalam kehidupannya. Ini disebabkan beberapa perkara yang sangat berkaitan dengan urusan dunia dan akhiratnya. Sayangkan negara bukan setakat dilihat sebagai kewajipan seorang warganegara bahkan lebih penting daripada itu, ia adalah tuntutan agama.

Dengan hidup di dalam sesebuah negara yang aman damai dan memberikan ruang yang selesa kepada kita untuk melaksanakan tuntutan agama, sebenarnya ia adalah nikmat yang besar kepada kita. Bayangkan saudara muslim kita di Myanmar, bagaimana mereka sentiasa diburu ketakutan dan sentiasa tertekan dengan kerakusan ekstremis Buddha yang melakukan pembunuhan kejam dan merobohkan masjid-masjid milik umat Islam. Hak sebagai warganegara dinafikan walaupun negara itu telah melahirkan "wirawati" pemenang nobel keamanan antarabangsa. Walaupun mempunyai tanahair tempat berteduh, tetapi tidak selesa melaksanakan tanggungjawab agama! Begitu juga saudara-saudara muslim kita di Palestin dan banyak lagi negara tanah-tanah umat Islam yang lain.

Hadirin yang berbahagia sekalian, 

Rasulullah صلى الله عليه وسلم sendiri sangat sayang kepada kampung halaman baginda sendiri. Namun, usaha baginda صلى الله عليه وسلم untuk menjadikan kampung halaman baginda sendiri sebagai tapak pengabdian diri dan masyarakat kepada Allah secara total telah ditentang oleh penduduk Makkah sendiri. Baginda صلى الله عليه وسلم meletakkan garis ukur sayang kepada kampung halaman ialah sejauh mana kampung halamannya menjadi tapak pengabdian hamba-hamba Allah kepada Allah سبحانه وتعالى. Hibanya baginda tatkala meninggalkan kampung tempat kelahiran baginda صلى الله عليه وسلم. Diriwayatkan dalam hadith hasan shahih riwayat Imam At-Tirmidzi:

عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ قَالَ : قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لِمَكَّةَ : مَا أَطْيَبَكِ مِنْ بَلَدٍ وَأَحَبَّكِ إِلَيَّ وَلَوْلَا أَنَّ قَوْمِي أَخْرَجُونِي مِنْكِ مَا سَكَنْتُ غَيْرَكِ. 

Bermaksud: "Dari Ibnu Abbas رضي الله عنه dia berkata Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda tatkala menoleh meninggalkan Kota Makkah: Alangkah bagusnya dirimu wahai Makkah dan alangkah cintanya diriku terhadap dirimu, seandainya kaumku tidak menghalauku darimu, nescaya aku tidak akan menetap di tempat lain".

Muslimin yang dihormati sekalian,

Hijrah baginda صلى الله عليه وسلم ke Madinah membuktikan Islam perlu ada tapak dan tempat untuk dilaksanakan segala ajarannya bahkan Islam bukanlah agama individu tetapi ia adalah agama yang mengatur masyarakat dan bernegara. Inilah nilai sebenar sebuah negara iaitu satu tempat yang sentiasa subur dengan aktiviti pengabdian kepada Allah meliputi sistem bermasyarakatnya, politiknya, ekonominya, budayanya, pendidikannya dan semua sudut kehidupan.

Sejarah juga mengajar kepada kita, usaha menjadikan sesuatu tempat, kampung, negeri dan negara sebagai tempat pengabdian masyarakat kepada Allah serta mentauhidkan-Nya pasti mendapat tentangan oleh golongan yang berpengaruh lagi jahat sepertimana firman Allah سبحانه وتعالى dalam Surah Al-An'aam Ayat 123:

وَكَذَ‌ٰلِكَ جَعَلْنَا فِي كُلِّ قَرْيَةٍ أَكَابِرَ مُجْرِمِيهَا لِيَمْكُرُوا فِيهَا ۖ وَمَا يَمْكُرُونَ إِلَّا بِأَنفُسِهِمْ وَمَا يَشْعُرُونَ ﴿١٢٣﴾

Bermaksud: "Dan demikianlah Kami adakan dalam tiap-tiap negeri orang-orang besar yang jahat supaya mereka melakukan tipu daya di negeri itu, padahal tiadalah mereka memperdayakan selain dirinya sendiri (kerana merekalah yang akan menerima akibatnya yang buruk), sedang mereka tidak menyedarinya".

Ia berlaku berulang kali dalam sejarah klasik dan moden. Negara Turki yang pernah menjadi pusat Khilafah Uthmaniyah menghadapi krisis kekeliruan identiti muslimnya hasil serangan dahsyat sekularisasi yang sudah diketahui umum sampai ke peringkat syiar Islam pun disekat apatah lagi pengamalan syariat Islam. Perkembangan mutaakhir politik di Turki telah berjaya sedikit sebanyak mengembalikan rakyat negara Turki kepada identiti Islam dengan menghidupkan kembali syiar-syiar Islam dan penerapan syariat Islam secara beransur-ansur. Ditambah lagi dengan dasar luar negara Turki yang seakan mirip zaman Khilafah Uthmaniyah dahulu sebagai pelindung umat Islam seluruh dunia. Azan kembali berkumandang di masjid Aya Sophia buat pertama kalinya selepas 85 tahun apabila ia ditukar menjadi sebuah muzium pada tahun 1935 oleh Mustafa Kamal Atarturk, Presiden Republik pertama Turki. Sepertimana sifir pertembungan hak dan batil, aura rakyat Turki yang semakin menemui jati diri Islam mula mengundang kejengkelan pejuang sekular. Maka percubaan rampasan kuasa yang sangat tidak demokratik berlaku tetapi dipatahkan oleh majoriti tentera dan rakyat yang lebih selesa untuk kembali kepada jati diri Islam daripada kembali kepada sekular. Kemenangan itu tidak disambut dengan nyanyian dan pesta tetapi disambut dengan menunaikan solat Subuh berjamaah.

Sidang Jumaat yang dimuliakan, 

Kita rakyat Malaysia perlu mengambil iktibar dan menginsafi bahawa sayangnya kita kepada negara ini yang paling utamanya adalah negara ini sudah mempunyai tapak untuk pengabdian diri kepada Allah سبحانه وتعالى. Dari sudut perlembagaan, dari sudut komposisi majoriti penduduknya yang muslim dan kita mempunyai peluang untuk melebarkan lagi tuntutan agama agar semakin luas dalam kehidupan kita di negara ini jika umat Islam bersatu dan merasa izzah dengan Islam. Atas alasan inilah kita jangan sekali-kali menyetujui gerakan-gerakan yang cuba memisahkan Sarawak dan Sabah dari Malaysia kerana tanah-tanah di sana juga berhak untuk dimakmurkan dengan pengabdian penduduknya kepada Allah سبحانه وتعالى.

Bagi penduduk negara ini yang bukan Islam, mereka tiada sebab untuk gusar kerana bukanlah ajaran Islam memerangi orang yang tidak sama kepercayaan selama mana mereka tidak memerangi Islam dan saling hidup secara harmoni.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بالقُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ، وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ الْأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالْأَمْوَاتِ، فَاسْتَغْفِرُوْهُ، فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ.


Khutbah Kedua

الْحَمْدُ لِلَّهِ الْذِي أَرْسَلَ رَسُولَهُ بِالْهُدَىٰ وَدِينِ الْحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّينِ كُلِّهِ ۚ وَلَوْ كَرِهَ الْمُشْرِكُونَ. اَشْهَدُ اَنْ لاَ ِالــهَ اِلاَّ الله وَحْدَهُ لاَشَرِيْكَ لَهُ، وَاَشْهَدُ اَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ حَبِيْبِنَا وَأُسْوَتِنَا سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ إِمَامِ الْمُتَّقِينَ وَقَائِدِ الدُّعَاةِ الْمُجَاهِدِينَ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ سَارَ عَلَى نَهْجِهِ وَجَاهَدَ جِهَادَهُ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ. 

أَمَّا بَعْدُ، فَيَاعِبَادَ الله، اِتَّقُوْا اللهَ، اُوْصِيْكُمْ وَاِيّايَ بِتَقْوَى اللهِ وَطَاعَتِهِ، فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَقَالَ اللهُ تَعَالَى : 
أَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ ۚ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا ﴿٥٦﴾ 

Bermaksud: "Sesungguhnya Allah dan malaikat berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad SAW), wahai orang-orang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucaplah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya". (Al-Ahzab: 56)

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَبَارِكْ عَلى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا بَارَكْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ فِي الْعَالَمِينَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ.
اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ والْمُؤمِنَاتِ، وَأَصْلِحْ ذَاتَ بَيْنِهِمْ وَأَلِّفْ بَيْنَ قُلُوْبِهِمْ وَاجْعَلْ فِيْ قُلُوْبِهِمُ اْلإِيْمَانَ وَاْلحِكْمَةَ وَثَبِّتْهُمْ عَلَى مِلَّةِ رَسُوْلِ اللهِ. 

Ya Allah, ampunilah dosa-dosa kami atas kecuaian kami menjaga agama kami sehingga sehari demi sehari ia cuba dipermain-mainkan. Ya Allah, kembalikanlah sikap tegas dan berani kepada kami. Ya Allah, kami memohon ampun kepada-Mu atas kecuaian menjaga saudara-saudara Islam kami sehingga anak-anak mereka dimurtadkan semula. Apa yang kami ingin jawab di hadapan-Mu apabila anak-anak ini mengadu di hadapan Mu nanti, ya Allah.

Ya Allah, kami memohon ampun kepada-Mu atas kecuaian kami menjaga saudara-saudara Islam kami sehingga darah mereka mengalir setiap hari sedangkan kami bersenang lenang dan bersuka ria. Kami tidak sanggup lagi melihat dan mendengar tangisan dan raungan anak-anak mereka yang sebaya dengan anak-anak kami, isteri-isteri mereka memerlukan perlindungan sepertimana isteri-isteri kami. Ya Allah, hentikanlah segala kezaliman ini dengan kekuatan dan kudrat-Mu, ya Allah.

Ya Allah, bukakanlah hati kami untuk melaksanakan ibadat zakat sebagaimana yang telah Engkau fardhukan. Berkatilah hidup hamba-Mu yang melaksanakan tuntutan zakat dan para pewakaf yang telah menginfaqkan harta mereka ke jalan-Mu. Sucikanlah harta dan jiwa mereka, lindungilah golongan fuqara dan masakin daripada kekufuran dan kefakiran yang berpanjangan.

Ya Allah, kurniakanlah sepenuh taufiq dan hidayah-Mu terhadap Raja kami, Duli Yang Maha mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Al-Marhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah al-Maghfurulahu dan Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan Tuanku Zara Salim serta kerabat dan seluruh rakyat jelata sekalian.

رَبَّنَا ءَاتنِاَ فِى الدُّنْياَ حَسَنَةً وَفِى الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.
عِبَادَ الله، اِنَّ الله يَأْمُرُ بِاْلعَدْلِ وَالأِحْسَانِ وَإِيْتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَاْلمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُوْنَ. فَاذْكُرُوْا اللهَ الْعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ وَاشْكُرُوْهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ وَلَذِكْرُاللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ.


Teks asal khutbah ini boleh juga dimuat turun dari laman Google Drive. Klik sini.


No comments:

Post a Comment