bersama kepimpinan ulamak




Thursday, July 14, 2016

KHUTBAH JUMAAT - 10 SYAWAL 1437 / 15 SYAWAL 2016



MENCEGAH LEBIH BAIK DARI MENGUBATI

Khutbah Pertama

الْحَمْدُ لِلَّهِ الْذِي نَحْمَدُهُ وَنَسْتَعِينُهُ وَنَسْتَغْفِرُهُ، وَنَعُوذُ بِاللهِ مِنْ شُرُورِ أَنْفُسِنَا وَمِنْ سَيِّئَاتِ أَعْمَالِنَا، مَنْ يَهْدِهِ اللهُ فَلَا مُضِلَّ لَهُ، وَمَنْ يُضْلِلْ فَلَا هَادِيَ لَهُ. أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا  مُحَمَّدًا  عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ. 
أَمَّا بَعْدُ، فَيَاعِبَادَ الله! اِتَّقُوْا اللهَ اُوْصِيْكُمْ وَاِيّايَ بِتَقْوَى اللهِ فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ. 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah sekalian,

Saya berpesan kepada diri saya sendiri dan menyeru kepada sidang jamaah yang dikasihi sekalian, marilah sama-sama kita meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah سبحانه وتعالى dengan sebenar-benar taqwa serta melaksanakan segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Sebelum memulakan khutbah, saya ingin berpesan kepada sidang Jumaat sekalian agar menumpukan perhatian terhadap khutbah yang bakal disampaikan. Mudah-mudahan kita sentiasa berada di dalam rahmat serta mendapat perlindungan Allah سبحانه وتعالى demi mencari keredhaan-Nya di dunia mahupun di akhirat. Mimbar pada hari ini akan membicarakan khutbah yang bertajuk "Mencegah Labih Baik Daripada Mengubati".

Sidang Jumaat yang dimuliakan,

Islam merupakan agama yang syumul dan memberikan panduan kepada umat manusia sejagat dalam semua aspek kehidupan termasuk yang berkait dengan kesihatan. Allah سبحانه وتعالى berfirman di dalam Surah Al-Israk Ayat 82:

وَنُنَزِّلُ مِنَ الْقُرْآنِ مَا هُوَ شِفَاءٌ وَرَحْمَةٌ لِّلْمُؤْمِنِينَ.... ﴿٨٢﴾

Bermaksud: "Dan Kami turunkan daripada Al-Quran itu sesuatu yang menjadi penawar dan rahmat bagi orang yang beriman".

Sememangnya penyakit dan rawatan tidak dapat dipisahkan kerana setiap penyakit memerlukan rawatan penyembuhan. Malah kita mendapati bahawa Al-Quran sendiri merupakan penawar kepada pelbagai penyakit yang zahir dan batin. Tambahan pula, Rasulullah صلى الله عليه وسلم pernah melakukan rawatan melihat kepada punca penyakit dan kesesuaiannya dengan ubatnya. Imam Muslim meriwayatkan daripada Jabir رضي الله عنه bahawa baginda صلى الله عليه وسلم bersabda: 

عَنْ جَابِرٍ عَنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنَّهُ قَالَ لِكُلِّ دَاءٍ دَوَاءٌ فَإِذَا أُصِيبَ دَوَاءُ الدَّاءِ بَرَأَ بِإِذْنِ اللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ

Maksudnya: "Daripada Jabir, daripada Rasulullah صلى الله عليه وسلم, baginda bersabda: Setiap penyakit ada ubatnya, maka apabila ubat itu serasi digunakan untuk menyembuhkan sesuatu penyakit, ia akan sembuh dengan izin Allah عَزَّ وَجَلَّ." (Riwayat Imam Muslim)

Sidang jamaah yang dimuliakan,

Mutaakhir ini, kaedah rawatan semakin berkembang pesat seiring dengan kemunculan penyakit berjangkit yang semakin membimbangkan. Justeru, muncul pelbagai kaedah pencegahan penyakit bagi mengekalkan kesihatan masyarakat. Malaysia pada amnya memperkenalkan kaedah pencegahan penyakit melalui pelalian vaksin atau imunisasi bagi mengekang masyarakat daripada terdedah kepada penyakit-penyakit merbahaya yang mengancam nyawa.

Namun, baru-baru ini ada dalam kalangan kita masyarakat yang masih mempersoalkan adakah kaedah perubatan atau pencegahan yang dilaksanakan sehingga kini betul-betul mengikut kehendak syarak atau sebaliknya? Kebimbangan ini berlaku ekoran daripada berita-berita dan khabar angin yang tersebar luas di media baharu yang mengatakan bahawa vaksin ini mengandungi bahan-bahan haram dan membahayakan yang boleh mengancam kesihatan dan nyawa manusia.

Hakikatnya, imunisasi atau suntikan vaksin pelalian adalah bertujuan untuk menguatkan anti-bodi atau daya tahan badan manusia terhadap penyakit. Ia dapat melindungi diri daripada dijangkiti penyakit cegahan vaksin, mengelakkan diri daripada mendapat penyakit yang teruk dan komplikasi dari penyakit tersebut seperti campak, tibi dan lain-lain. Sejarah telah membuktikan bahawa dunia Islam telah menggunakan vaksin untuk mencegah penyakit semasa zaman pemerintahan Kerajaan Uthmaniah di Turki pada abad ke-17.

Sidang hadirin yang berbahagia,

Ramai para ulamak Islam bersetuju bahawa vaksinasi adalah dibenarkan. Namun, jika vaksin tersebut dibuktikan secara perubatan boleh menyebabkan kemudharatan kepada tubuh badan atau kesan buruk vaksin tersebut melebihi kebaikan yang diberi oleh vaksin bagi melindungi manusia dari mendapat penyakit, maka vaksin ini adalah dilarang. Ini bertepatan dengan hadith Nabi صلى الله عليه وسلم yang telah diriwayatkan oleh Imam Ahmad di dalam musnadnya dari Ibnu Abbas رضي الله عنه :

لَا ضَرَرَ وَلَا ضِرَارَ

Bermaksud: "Tidak merosakkan dengan apa cara sekalipun kepada orang lain mahupun diri sendiri juga saling tidak membahayakan orang lain".

Vaksin tidak mengandungi bahan-bahan yang boleh merosakkan tubuh manusia. Bahkan kesemua vaksin yang digunakan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia adalah berdaftar dengan pihak berkuasa kawalan dadah dan telah dinilai mengikut keperluan peyawaian antarabangsa termasuk Pertubuhan Kesihatan Sedunia dari aspek kualiti, keselamatan dan keberkesanannya.

Muslimin yang dirahmati Allah,

Imunisasi adalah satu pelalian adalah satu pelaburan yang berharga untuk kesihatan generasi masa hadapan dan menjadi tanggungjawab masyarakat untuk memastikan semua anak-anak kita sihat. Di sisi syarak, imunisasi merupakan satu jalan pencegahan yang amat dituntut dalam Islam sesuai dengan kaedah usul feqah iaitu الذَّرَائِع (Az-Zara'ik). Dalam isu ini, vaksin bukan lagi merupakan kehendak seseorang, tetapi bahan pencegah ini kini menjadi keperluan kepada masyarakat secara umumnya. Keharusan ini adalah berdasarkan kepada firman Allah سبحانه وتعالى dalam Surah Al-Baqarah Ayat 195:

.... وَلَا تُلْقُوا بِأَيْدِيكُمْ إِلَى التَّهْلُكَةِ .... ﴿١٩٥﴾

Maksudnya: "Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam kebinasaan".

Jelasnya, tindakan segelintir masyarakat yang enggan mengambil imunisasi boleh dianggap mendekatkan diri dalam bahaya penyakit. Perbuatan ini bukan sahaja merbahaya kepada anak-anak, tetapi juga boleh menjadi punca merebaknya jangkitan penyakit-penyakit merbahaya tersebut.

Sidang jamaah yang berbahagia sekalian,

Pada dasarnya Islam menegah penggunaan ubat dari sumber yang haram untuk mengubati sesuatu penyakit berdasarkan maksud hadith Rasulullah صلى الله عليه وسلم, dari Abu Dardak رضي الله عنه, Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda: "Sesungguhnya Allah telah menurunkan penyakit dan penawar dan Dia telah menjadikan bagi tiap-tiap penyakit itu penawar, maka kamu semua berubatlah dan janganlah kamu semua berubat dengan (perkara-perkara) yang haram".

Menurut pandangan Dr. Yusuf Al-Qardhawi, berkenaan hukum pemberian vaksin kepada anak-anak kecil dengan bertujuan mencegah dari penyakit, katanya: "Ini (mengambil vaksin) adalah suatu yang fadhu. Kefardhuan yang bersifat agama, bahkan ia suatu kewajiban yang bersifat Islami. Jika tidak dilakukan, anaknya akan tertimpa bahaya". Dalam keadaan darurat di mana tiada ubat lain yang boleh digunakan secara berkesan untuk mengubati sesuatu penyakit, sedangkan sesuatu penyakit itu perlu dicegah dan dirawat untuk memelihara kesihatan diri dan nyawa, ubat yang bersumberkan perkara-perkara yang ditegah adalah diharuskan selama mana tiada ubat lain dari sumber yang halal ditemui dan ianya dilakukan mengikut kadar yang diperlukan sahaja. Islam amat menitik beratkan soal kebersihan dan kesihatan. Oleh itu, pencegahan vaksin ini dilakukan sebagai usaha untuk mencegah daripada merebaknya penyakit berjangkit yang dibawa terutamanya daripada luar negara. Namun begitu, harus diingat bahawa setiap penyakit itu datangnya daripada Allah سبحانه وتعالى. Kita hanya berusaha untuk mencegahnya namun segala-galanya mengikut ketentuan Allah سبحانه وتعالى yang Maha Mengetahui.

Mengakhiri khutbah pada minggu ini, hayatilah firman Allah سبحانه وتعالى dalam Surah Ali-Imran Ayat 54:

وَمَكَرُوا وَمَكَرَ اللَّهُ ۖ وَاللَّهُ خَيْرُ الْمَاكِرِينَ ﴿٥٤﴾

Bermaksud: "Dan orang-orang (yahudi yang kafir itu) pun merancangkan tipu daya (hendak membunuh Nabi Isa), dan Allah pula membalas tipu daya (mereka), dan (ingatlah) Allah sebijak-bijak yang membalas (dan menggagalkan segala jenis) tipu daya".

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بالقُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ، أَقُولُ قَوْلِي هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ الْأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالْأَمْوَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ، إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ.


Khutbah Kedua

الْحَمْدُ لِلَّهِ حَمْدًا كَمَا أَمَرَ. أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا  مُحَمَّدًا  عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ. اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أًجْمَعِينَأَمَّا بَعْدُ، فَيَاعِبَادَ الله، اِتَّقُوْا اللهَ وَكُنُواْ مَعَ الصَّادِقِينَ. وَاعْلَمُواْ أَنَّ اللهَ سُبْحَانَهُ وَتَعَالَى أَمَرَكُمْ بِأَمْرٍ بَدَأً فِيهِ بِنَفْسِهِ وَثَنَّى بِمَلآئِكَتِهِ الْمُسَبِّحَةِ بِقُدْسِهِ. فَقَالَ اللهُ تَعَالَى:
أَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ ۚ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا ﴿٥٦﴾

Bermaksud: "Sesungguhnya Allah dan malaikat berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad SAW), wahai orang-orang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucaplah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya". (Al-Ahzab: 56)

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَبَارِكْ عَلى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا بَارَكْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ فِي الْعَالَمِينَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ. 
اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ والْمُؤمِنَاتِ، وَأَصْلِحْ ذَاتَ بَيْنِهِمْ وَأَلِّفْ بَيْنَ قُلُوْبِهِمْ وَاجْعَلْ فِيْ قُلُوْبِهِمُ اْلإِيْمَانَ وَاْلحِكْمَةَ وَثَبِّتْهُمْ عَلَى مِلَّةِ رَسُوْلِ اللهِ.  

Ya Allah, bukakanlah hati kami untuk melaksanakan ibadat zakat sebagaimana yang telah Engkau fardhukan. Berkatilah hidup hamba-Mu yang melaksanakan tuntutan zakat dan para pewakaf yang telah menginfaqkan harta mereka ke jalan-Mu. Sucikanlah harta dan jiwa mereka, lindungilah golongan fuqara dan masakin daripada kekufuran dan kefakiran yang berpanjangan.

Ya Allah, kurniakanlah sepenuh taufiq dan hidayah-Mu terhadap Raja kami, Duli Yang Maha mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Al-Marhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah al-Maghfurulahu dan Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan Tuanku Zara Salim serta kerabat dan seluruh rakyat jelata sekalian.

رَبَّنَا ءَاتنِاَ فِى الدُّنْياَ حَسَنَةً وَفِى الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.
عِبَادَ الله، اِنَّ الله يَأْمُرُ بِاْلعَدْلِ وَالأِحْسَانِ وَإِيْتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَاْلمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُوْنَ. فَاذْكُرُوْا اللهَ الْعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ وَاشْكُرُوْهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ وَلَذِكْرُاللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ.


Teks asal khutbah ini boleh juga dimuat turun dari laman Google Drive. Klik sini.

No comments:

Post a Comment

KULIAH SETIAP AHAD MINGGU KEDUA




Kempen Tiga B