bersama kepimpinan ulamak




Thursday, May 12, 2016

KHUTBAH JUMAAT 6 SYAABAN 1437 / 13 MEI 2016


GURU: PEMBINA NEGARA BANGSA

Khutbah Pertama

الْحَمْدُ لِلَّهِ الْقَائِلِ:
... قُلْ هَلْ يَسْتَوِي الَّذِينَ يَعْلَمُونَ وَالَّذِينَ لَا يَعْلَمُونَ ۗ إِنَّمَا يَتَذَكَّرُ أُولُو الْأَلْبَابِ ﴿٩﴾
 اَشْهَدُ اَنْ لاَ ِالــهَ اِلاَّ الله وَحْدَهُ لاَشَرِيْكَ لَهُ، وَاَشْهَدُ اَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ، اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّينِ، أَمَّا بَعْدُ، فَيَا أًيُّهَا الْمُسْلِمُوْنَ  الْمُؤْمِنُونَ، اِتَّقُوْا اللهَ اُوْصِيْكُمْ وَاِيّايَ بِتَقْوَى اللهِ وَطَاعَتِهِ فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Marilah kita bertaqwa kepada Allah سبحانه وتعالى dengan melaksanakan segala perintah-Nya dan menjauhkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita akan termasuk dalam kalangan orang-orang yang dikasihi oleh Allah dan seterusnya mendapat kejayaan di dunia dan di akhirat. Tajuk khutbah kita pada hari ini, "Guru : Pembina Negara Bangsa" yang merupakan tema sambutan Hari Guru tahun 2016 Masihi bersamaan 1437 Hijri. Sebelum memulakan khutbah, saya ingin berpesan kepada sidang Jumaat agar menumpukan perhatian terhadap khutbah yang bakal disampaikan. Fahami dan hayati isi kandungannya serta janganlah bercakap-cakap dan membuat bising. Mudah-mudahan kita memperolehi keredhaan daripada Allah سبحانه وتعالى.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Tanggal 16 Mei setiap tahun, telah diadakan sambutan Hari Guru peringkat kebangsaan. Ini bagi mengingati jasa dan pengorbanan seorang insan bergelar guru. Ingatlah, walau apapun kedudukan kita sekarang, pastinya bermula daripada didikan seorang guru. Guru merupakan murabbi, pendakwah yang diiktiraf sangat mulia di sisi agama dan masyarakat, kerana mereka mewarisi tugas-tugas para Rasul, dalam membimbing manusia ke jalan kebenaran dan membentuk tamaddun manusia melalui pendidikan dan penyebaran ilmu. Betapa besarnya peranan guru ini, mereka diibaratkan seperti bintang di langit yang menjadi petunjuk jalan, menerangi laluan sama ada di desa atau di bandar, di darat atau di lautan. Anas bin Malik رضي الله عنه meriwayatkan Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda:

إِنَّ مَثَلَ الْعُلَمَاءِ فِي الْأَرْضِ كَمَثَلِ النُّجُومِ فِي السَّمَاءِ يُهْتَدَى بِهَا فِي ظُلُمَاتِ الْبَرِّ وَالْبَحْرِ فَإِذَا انْطَمَسَتْ النُّجُومُ أَوْشَكَ أَنْ تَضِلَّ الْهُدَاةُ

Bermaksud: "Sesungguhnya perumpaan orang yang berilmu pengetahuan di muka bumi ini seperti bintang-bintang di langit, yang menjadi petunjuk dan menerangi di dalam kegelapan, sama ada di daratan mahupun di lautan, apabila ia terbenam atau hilang dikhuatiri  akan hilang arah tujuan". (Riwayat Imam Ahmad)

Saiyidina Umar رضي الله عنه pernah berkata: "Kematian seribu ahli ibadat adalah sedikit kesannya berbanding kematian seorang alim (ahli ilmu) yang mahir ilmu halal haram dalam syariat Allah".

Imam Asy-Syafi'ie amat menghormati gurunya, beliau pernah berkata; "Malik bin Anas adalah guruku, seandainya tidak ada Imam Malik dan guruku seperti Ibnu 'Uyainah, maka hilangah ilmu ulamak-ulamak seluruh negeri Hijjaz ini".

Saiyina Ali رضي الله عنه juga pernah berkata: "Barangsiapa yang mengajar aku walaupun satu huruf maka dia adalah guruku".

Imam Al-Ghazali dalam kitabnya Ihya' Ulumuddin memetik nasihat Luqman Al-Hakim kepada anaknya supaya menghormati guru, katanya: "Wahai anakku, pergaulilah para guru dan rapatilah mereka dengan kedua lututmu, kerana Allah سبحانه وتعالى menghidupkan hati dengan nur (cahaya) hikmah, sebagaimana Allah menghidupkan bumi dengan hujan dari langit".

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Profesyen seorang guru bukan sahaja suatu pekerjaan yang murni dan baik, malah menjadi seorang guru perlu menggalas suatu tugas dan cabaran yang hebat, untuk mendidik, membimbing dan menunjuk ajar dalam proses membentuk seorang manusia, agar menjadi modal insan yang berguna untuk agama, bangsa dan negara.

Dalam mengharungi proses sistem pendidikan tersebut khususnya di negara kita, seorang guru sering menghadapi pelbagai cabaran dalam melaksanakan tugasnya di bilik darjah dan sekolah. Antara cabaran yang sering dihadapi oleh guru ialah berhadapan dengan pelbagai latar belakang masyarakat dan salah faham terhadap peranan guru.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Dalam mendepani cabaran-cabaran tersebut, pihak Kementerian Pendidikan Malaysia memandang serius berkaitan dengan peranan ibu-bapa dan komuniti terhadap pendidikan dengan mewujudkan e-sarana seperti yang terkandung dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013 - 2025.

E-sarana merupakan satu usaha bagi meningkatkan penglibatan ibu-bapa dalam pembelajaran anak-anak di dalam dan di luar sekolah. Kemahiran dan kepakaran yang ada pada ibu-bapa dikongsi bersama dalam membina pendidikan anak-anak. Oleh itu, amatlah penting penglibatan ibu-bapa bersama anak-anak dan mengambil tindakan yang sewajarnya bagi membantu mereka mendapat kejayaan pada masa hadapan. Bagi membuktikan matlamat itu tercapai, ibu-bapa juga perlu bekerjasama dan berperanan sebagai guru di rumah. Sepertimana firman Allah سبحانه وتعالى dalam Surah Al-Maidah Ayat 2:

وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَىٰ ۖ وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ ۚ وَاتَّقُوا اللَّهَ ۖ إِنَّ اللَّهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ ﴿٢﴾ 

Bermaksud: "Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertaqwalah kepada Allah kerana sesungguhnya Allah amat berat azab siksa-Nya (bagi sesiapa yang melanggar perintah-Nya)".

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Pada zaman yang mencabar ini, anak-anak lebih terdedah dengan pelbagai anasir negatif yang boleh menyebabkan mereka lalai dan leka, sebagai contoh leka dengan telefon pintar, leka dengan internet dan leka dengan pelbagai jenis bentuk hiburan.

Akhirnya, peranan guru sebagai pembimbing sebenar telah dipinggirkan, mereka lebih percaya kepada maklumat yang diambil daripada internet yang belum pasti kesahihannya. Budaya ini boleh menyebabkan kekeliruan dan salah faham berlaku dalam perkara ibadat, akhlak dan lebih membimbangkan lagi jika melibatkan akidah.

Kita juga dikejutkan dengan pelbagai berita berkaitan penyertaan rakyat Malaysia dalam kumpulan militan Islamic State dan lebih mengejutkan lagi, apabila ada murid sekolah yang terlibat sama. Menurut sumber berita, strategi licik cubaan merekrut pelajar sekolah itu menggunakan medium facebook sebelum membiayai perjalanan pelajar tersebut ke negara tertentu dengan memberikan tafsiran sempit terhadap erti jihad sebenar semata-mata ingin mendapat balasan syurga.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Al-Quran telah mengingatkan kita tentang kepentingan masa. Maka sebagai umat Islam, masa berkualiti amat penting khususnya kepada anak-anak pelajar. Hasil kajian yang telah dibuat, masa anak-anak berada di sekolah hanya 15% manakala masa untuk tidur 33% sementara 52% pula masa anak-anak berada di rumah dan bersama komuniti masyarakat.

Marilah kita bersama-sama memastikan kualiti masa anak-anak dijaga dan diuruskan dengan baik, agar tidak menyesal dikemudian hari, sebagaimana sabda junjungan Nabi Muhammad صلى الله عليه وسلم :

اغْتَنِمْ خَمْسًا قَبْلَ خَمْسٍ: شَبَابَكَ قَبْلَ هِرَمِكَ، وَصِحَّتَكَ قَبْلَ سَقَمِكَ، وَغِنَاءَكَ قَبْلَ فَقْرِكَ، وَفَرَاغَكَ قَبْلَ شُغْلِكَ، وَحَيَاتَكَ قَبْلَ مَوْتِكَ

Bermaksud: "Rebutlah peluang lima keadaan sebelum datangnya lima yang lain, keadaan mudamu sebelum datangnya masa tuamu dan keadaan sihatmu sebelum datangnya masa sakitmu dan keadaan kayamu sebelum datangnya masa fakirmu, keadaan lapangmu sebelum datangnya masa sibukmu dan keadaan hidupmu sebelum datangnya masa matimu". (Riwayat Imam Termizi)

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بالقُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ، وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ الْأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالْأَمْوَاتِ، فَاسْتَغْفِرُوْهُ، فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ.


Khutbah Kedua

اَلْحَمْدُ لِلَّهِ الْقَائِلِ،
هُوَ الَّذِي بَعَثَ فِي الْأُمِّيِّينَ رَسُولًا مِّنْهُمْ يَتْلُو عَلَيْهِمْ آيَاتِهِ وَيُزَكِّيهِمْ وَيُعَلِّمُهُمُ الْكِتَابَ وَالْحِكْمَةَ وَإِن كَانُوا مِن قَبْلُ لَفِي ضَلَالٍ مُّبِينٍ ﴿٢﴾ 

Bermaksud: "Dialah yang telah mengutuskan dalam kalangan orang-orang (arab) yang umiyyin, seorang Rasul (Nabi Muhammad صلى الله عليه وسلم) dari bangsa mereka sendiri, yang membacakan kepada mereka Ayat-Ayat Allah (yang membuktikan keesaan Allah dan kekuasaan-Nya), dan membersihkan mereka (dari iktiqad yang sesat), serta mengajarkan mereka Kitab Allah (Al-Quran) dan hikmah (pengetahuan yang mendalam mengenai hukum-hukum syarak). Dan sesungguhnya mereka sebelum (kedatangan Nabi Muhammad) itu adalah dalam kesesatan yang nyata". (Surah Al-Jumu'ah Ayat 2)

أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلهَ إِلاَّ اللَّهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا  مُحَمَّدًا  عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ، اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ عَبْدِكَ وَرَسُلِكَ سَيِّدِنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أًجْمَعِينَ. أَمَّا بَعْدُ، فَيَاعِبَادَ الله، اتَّقُوا اللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنتُم مُّسْلِمُونَ.  

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Mengakhiri khutbah pada hari ini, mimbar ingin mengajak sidang Jumaat sekalian untuk menghayati inti-pati khutbah yang disampaikan, sebagai pedoman di dalam kehidupan kita. Antaranya:

Pertama: Guru merupakan insan yang perlu dihormati dan dihargai jasanya, bukan diperlekeh apatah lagi dihina.

Kedua: Ibu-bapa dan masyarakat juga perlu berperanana sebagai seorang guru di luar sekolah,

Ketiga: Pengurusan masa yang berkualiti penting bagi melahirkan anak-anak yang cemerlang akademik dan akhlaknya.

Keempat: Negara amat memerlukan modal insan yang berkelakuan baik dan mempunyai kemahiran yang tinggi dan...

Kelima: Semua pihak perlu berganding bahu dalam memartabat pendidikan demi mencapai kebahagiaan dunia dan akhirat.

Ingatlah, negara cemerlang terhasil daripada umat cemerlang, umat cemerlang terhasil daripada keluarga yang cemerlang, keluarga cemerlang terhasil dari individu cemerlang manakala individu cemerlang terhasil daripada didikan cemelang bergelar guru.

أَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ ۚ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا ﴿٥٦﴾

Bermaksud: "Sesungguhnya Allah dan malaikat berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad SAW), wahai orang-orang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucaplah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya". (Al-Ahzab: 56)

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ والْمُؤمِنَاتِ، وَأَصْلِحْ ذَاتَ بَيْنِهِمْ وَأَلِّفْ بَيْنَ قُلُوْبِهِمْ وَاجْعَلْ فِيْ قُلُوْبِهِمُ اْلإِيْمَانَ وَاْلحِكْمَةَ وَثَبِّتْهُمْ عَلَى مِلَّةِ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى اللهِ عَلَيهِ وَسَلَّم.

Ya Allah, bukakanlah hati kami untuk melaksanakan ibadat zakat sebagaimana yang telah Engkau fardhukan. Berkatilah hidup hamba-Mu yang melaksanakan tuntutan zakat dan para pewakaf yang telah menginfaqkan harta mereka ke jalan-Mu. Sucikanlah harta dan jiwa mereka, lindungilah golongan fuqara dan masakin daripada kekufuran dan kefakiran yang berpanjangan.

Ya Allah, kurniakanlah sepenuh taufiq dan hidayah-Mu terhadap Raja kami, Duli Yang Maha mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Al-Marhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah al-Maghfurulahu dan Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan Tuanku Zara Salim serta kerabat dan seluruh rakyat jelata sekalian.

رَبَّنَا ءَاتنِاَ فِى الدُّنْياَ حَسَنَةً وَفِى الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ، 
عِبَادَ الله، اِنَّ الله يَأْمُرُ بِاْلعَدْلِ وَالأِحْسَانِ وَإِيْتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَاْلمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُوْنَ. فَاذْكُرُوْا اللهَ الْعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ وَاشْكُرُوْهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ وَلَذِكْرُاللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ.


Teks asal khutbah ini boleh juga dimuat turun dari laman sesawang Google Drive. Klik sini.

No comments:

Post a Comment

KULIAH SETIAP AHAD MINGGU KEDUA




Kempen Tiga B