Thursday, May 26, 2016

KHUTBAH JUMAAT - 20 SYAABAN 1437 / 27 MEI 2016


MUHASABAH DIRI SEBELUM MENJELANG RAMADHAN

Khutbah Pertama

اَلْحَمْدُ لِلَّهِ الْقَائِلِ،
قَدْ نَرَىٰ تَقَلُّبَ وَجْهِكَ فِي السَّمَاءِ ۖ فَلَنُوَلِّيَنَّكَ قِبْلَةً تَرْضَاهَا ۚ فَوَلِّ وَجْهَكَ شَطْرَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ ۚ وَحَيْثُ مَا كُنتُمْ فَوَلُّوا وُجُوهَكُمْ شَطْرَهُ ۗ وَإِنَّ الَّذِينَ أُوتُوا الْكِتَابَ لَيَعْلَمُونَ أَنَّهُ الْحَقُّ مِن رَّبِّهِمْ ۗ وَمَا اللَّهُ بِغَافِلٍ عَمَّا يَعْمَلُونَ ﴿١٤٤﴾

Bermaksud: "Kerapkali Kami melihat engkau (wahai Muhammad), berulang-ulang mengadah (mendongak) ke langit, maka Kami benarkan engkau berpaling mengadap kiblat yang engkau sukai. Oleh itu palingkanlah mukamu ke arah Masjidil Haram (tempat letaknya Ka'abah) dan di mana sahaja kamu berada maka hadapkanlah muka kamu ke arahnya. Dan sesungguhnya orang-orang (yahudi dan nasrani) yang telah diberikan kitab, mereka mengetahui bahawa perkara (berkiblat ke Ka'abah) itu adalah perintah yang benar dari Tuhan mereka dan Allah tidak sekali-kali lalai akan apa yang mereka lakukan". (Surah Al-Baqarah Ayat 144)

أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلهَ إِلاَّ اللَّهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا  مُحَمَّدًا  عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ، اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أًجْمَعِينَ. أَمَّا بَعْدُ، فَيَاعِبَادَ الله، اتَّقُوا اللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنتُم مُّسْلِمُونَ. 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Saya berpesan kepada diri saya sendiri dan sidang Jumaat sekalian, marilah sama-sama kita bertaqwa kepada Allah سبحانه وتعالى dengan melaksanakan segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Sebelum memulakan khutbah, saya ingin berpesan kepada sidang Jumaat sekalian agar menumpukan perhatian terhadap khutbah yang bakal disampaikan. Fahami dan hayatilah isi kandungan serta jangan bercakap-cakap dan membuat bising. Mudah-mudahan kita memperolehi keredhaan di sisi Allah سبحانه وتعالى. Mimbar pada hari ini akan membicarakan khutbah yang bertajuk; "Muhasabah Diri Sebelum Menjelang Ramadhan".

Sidang hadirin sekalian,

Ayat yang dibacakan di awal khutbah tadi dipetik dari Surah Al-Baqarah Ayat 144 berkisar tentang bagaimana Allah سبحانه وتعالى menurunkan wahyu supaya memalingkan kiblat kaum Muslimin dari Masjidil Aqsa ke Masjidil Haram. Peristiwa ini terjadi pada bulan Sya'aban di mana Rasulullah صلى الله عليه وسلم sering berdoa kepada سبحانه وتعالى agar kiblat kaum Muslimin kembali ke Masjidil Haram di Makkah. Antara amalan-amalan yang sangat dituntut pada bulan ini adalah dengan memperbanyakkan berpuasa sepertimana yang diriwayatkan dari Usamah bin Zaid رضي الله عنه dia berkata:

قُلْتُ يَا رَسُولَ اللهُ لَمْ أَرَكَ تَصُومُ مِنْ شَهْرٍ مِنَ الشُّهُورُ مَا تَصُومُ مِنْ شَعْبَانٍ قَالَ ذَلِكَ شَهْرٌ يُغْفَلُ النَّاسَ عَنْهُ بَيْنَ رَجَبٍ وَرَمَضَانٍ وَهُوَ شَهْرٌ تُرْفَعُ فِيهِ الْاَعْمَالِ إِلَى رَبِّ الْعَالَمِيْنَ فَأَحَبُّ أَنْ يُرْفَعَ عَمَلِي وَأَنَا صَائِمٌ

"Aku berkata; Ya Rasulullah, saya tidak pernah melihatmu berpuasa dalam suatu bulan dari bulan-bulan yang ada seperti puasamu di bulan Sya'aban. Baginda bersabda; Itulah bulan yang manusia lalai darinya antara Rejab dan Ramadhan. Dan merupakan bulan yang di dalamnya diangkat amalan-amalan kepada Rabbul 'Alamin. Dan saya menyukai amal saya diangkat, sedangkan saya dalam keadaan berpuasa". (Hadith riwayat Imam An-Nasa'ie)

Apa yang mimbar ingin sampaikan di sini mengenai kelebihan bulan Sya'aban yang mana masih ramai umat Islam tidak mengetahui seperti peristiwa dan amalan di atas betapa mulianya bulan Sya'aban di sisi Allah dan Rasul-Nya. Hadith di atas juga mengingatkan kita bahawa bulan Sya'aban seolah-olah menjadi bulan untuk kita semakin giat menyediakan jiwa, rohani dan fizikal kita untuk melangkah masuk ke dalam bulan tarbiyah iaitu Ramadhan Al-Mubarak.

Bulan Ramadhan merupakan bulan pahala, rahmat dan kebaikan dicurahkan oleh Allah سبحانه وتعالى tanpa ada sempadan. Oleh itu kita perlulah menyediakan diri agar layak menjadi hamba yang dikurniakan Allah سبحانه وتعالى dengan kemuliaan. Jiwa kita ini ibarat pakaian yang perlu disucikan dan dibersihkan daripada dosa agar ia kemudian selayaknya mendapat tempat curahan rahmat dan kemuliaan Allah سبحانه وتعالى ke dalamnya. Bagaimana kita boleh mengharapkan keredhaan Allah sedangkan diri kita masih lagi bergelumang dengan dosa, hati kita masih lagi dipenuhi dengan sifat kebencian, kesombongan, keangkuhan serta penyakit hati yang lain. Bagaimana kita boleh mengharapkan Allah menjadikan kita orang yang dibebaskan daripada api neraka pada bulan Ramadhan nanti jika kita ini masih lagi melakukan perkara yang boleh menghalang kita daripada Syurga Allah?

Justeru, mimbar ingin berpesan kepada diri sendiri dan sidang jama'ah sekalian agar sama-sama kita kembali bermuhasabah diri. Masih belum terlewat untuk kita memperbaiki jiwa yang sememangnya jika tidak dipupuk dari awal akan menyebabkan nafsu amarah menguasai diri. Ini sesuai dengan firman Allah سبحانه وتعالى di dalam Surah Yusuf Ayat 53:

۞ وَمَا أُبَرِّئُ نَفْسِي ۚ إِنَّ النَّفْسَ لَأَمَّارَةٌ بِالسُّوءِ إِلَّا مَا رَحِمَ رَبِّي ۚ إِنَّ رَبِّي غَفُورٌ رَّحِيمٌ ﴿٥٣﴾

Maksudnya: "Dan tiadalah aku berani membersihkan diriku, sesungguhnya nafsu manusia itu sangat menyuruh melakukan kejahatan, kecuali orang-orang yang telah diberi rahmat oleh Tuhanku (maka terselamatlah ia dari hasutan nafsu itu). Sesungguhnya Tuhanku maha Pengampun lagi Maha Mengasihani".

Muslimin yang dirahmati Allah,

Sememangnya menundukkan hawa nafsu merupakan suatu proses yang berterusan dan memerlukan mujahadah yang tinggi. Manusia yang lalai akan membiarkan nafsunya menguasai dirinya. Maka di dalam memastikan nafsu kita ini dapat dikawal dengan baik, pastikanlah kita tidak lalai daripada berzikir mengingati Allah سبحانه وتعالى. Ketika mana nafsu mula membisikkan kemahuan bermaksiat, maka bersegeralah kita mengingati Allah. Ini kerana hati yang sentiasa mengingati Allah akan menghasilkan ketenangan dan kedamaian dalam diri kita. Rasulullah صلى الله عليه وسلم pernah mengajarkan doa iaitu:

يَا حَيُّ يَا قَيُّومُ بِرَحْمَتِكَ أَسْتَغِيثُ أَصْلِحْ لِي شَأْنِي كُلَّهُ وَلَا تَكِّلْنِي إِلَى نَفْسِي طَرْفَةَ عَيْنٍ

Bermaksud: "Wahai Tuhan yang Maha Hidup dan Maha Berdiri dengan sendiri-Nya, dengan rahmat-Mu aku memohon bantuan, perbaikilah segala urusanku dan jangan Engkau tinggalkan aku untuk diriku walau sekelip mata". (Hadith riwayat Imam An-Nasa'ie dan Al-Baihaqi)

Sidang Jumaat yang dikasihi sekalian, 

Mengakhiri khutbah pada minggu ini, beberapa amalan tambahan di dalam bulan Sya'aban untuk kita sama-sama melaziminya bagi persediaan sebelum menjelangnya Ramadhan. Antaranya:

1. Menjaga solat lima waktu secara berjamaah. Ini jelas disebut dalam beberapa hadith Nabi صلى الله عليه وسلم tentang kelebihan menjaga solat berjamaah dan ancaman orang yang meninggalkannya padahal ia berkemampuan melaksanakannya.

2. Memperbanyakkan membaca, menghafaz dan mengulang kaji Al-Quran. Amalan ini adalah sebesar-besar pintu kebaikan kerana di dalamnya terkandung keutamaan dan pahala yang besar di sisi Allah سبحانه وتعالى.

3. Sentiasa menghidupkan qiyamullail. Lazimilah qiyamullail secara berterusan tidak hanya dilakukan pada bulan Ramadhan sahaja tetapi juga bulan-bulan yang lain.

4. Menghubungkan silaturrahim. Inilah antara tang sewajarnya diperhatikan oleh umat Islam di bulan Sya'aban ini supaya kita berusaha mengamalkan sebaik-baik ketaatan sebelum dihisab amalan kita di hadapan Allah kelak.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بالقُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ، وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ الْأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالْأَمْوَاتِ، فَاسْتَغْفِرُوْهُ، فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ.



Khutbah Kedua


الْحَمْدُ لِلَّهِ الْذِي نَحْمَدُهُ وَنَسْتَعِينُهُ وَنَسْتَغْفِرُهُ، وَنُؤْمِنُ بِهِ وَنَتَوَكَّلُ عَلَيْهِ، وَنَعُوذُ بِاللهِ مِنْ شُرُورِ أَنْفُسِنَا وَمِنْ سَيِّئَاتِ أَعْمَالِنَا، مَنْ يَهْدِهِ اللهُ فَلَا مُضِلَّ لَهُ، وَمَنْ يُضْلِلْ فَلَا هَادِيَ لَهُ، أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا  وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدًا  عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ سَيِّدُ الْخَلَائِقِ وَالْبَشَرِ. اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أًجْمَعِينَ. أَمَّا بَعْدُ، فَيَاعِبَادَ الله، اِتَّقُوْا اللهَ وَكُنُواْ مَعَ الصَّادِقِينَ. وَاعْلَمُواْ أَنَّ اللهَ سُبْحَانَهُ وَتَعَالَى أَمَرَكُمْ بِأَمْرٍ بَدَأً فِيهِ بِنَفْسِهِ وَثَنَّى بِمَلآئِكَتِهِ الْمُسَبِّحَةِ بِقُدْسِهِ. فَقَالَ اللهُ تَعَالَى مُخْبِرًا وَآمِرًا:
أَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ ۚ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا ﴿٥٦﴾

Bermaksud: "Sesungguhnya Allah dan malaikat berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad SAW), wahai orang-orang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucaplah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya". (Al-Ahzab: 56)

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ والْمُؤمِنَاتِ، وَأَصْلِحْ ذَاتَ بَيْنِهِمْ وَأَلِّفْ بَيْنَ قُلُوْبِهِمْ وَاجْعَلْ فِيْ قُلُوْبِهِمُ اْلإِيْمَانَ وَاْلحِكْمَةَ وَثَبِّتْهُمْ عَلَى مِلَّةِ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى اللهِ عَلَيهِ وَسَلَّم.
اَللَّهُمَّ أَعِزَّ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ، اَللَّهُمَّ انْصُرِ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ، اَللَّهُمَّ انْصُرِ الدُّعَاةَ وَالْمُجَاهِدِيْنَ، اَللَّهُمَّ دَمِّرِ اْلكَفَرَةَ وَاْلُمشْرِكِيْنَ وَأَهْلِكْ أَعْدَائَكَ أَعْدَاءَ الدِّيْنِ.

Ya Allah, ya Tuhan kami, kami memohon agar dengan rahmat dan perlindungan-Mu, negara dan negeri kami ini dan seluruh rakyatnya dikekalkan dalam keamanan dan kesejahteraan, tanamkanlah rasa kasih sayang di antara kami, kekalkanlah perpaduan di kalangan kami, semoga dengannya kami sentiasa hidup aman damai, makmur dan selamat sepanjang zaman.

Ya Allah, bukakanlah hati kami untuk melaksanakan ibadat zakat sebagaimana yang telah Engkau fardhukan. Berkatilah hidup hamba-Mu yang melaksanakan tuntutan zakat dan para pewakaf yang telah menginfaqkan harta mereka ke jalan-Mu. Sucikanlah harta dan jiwa mereka, lindungilah golongan fuqara dan masakin daripada kekufuran dan kefakiran yang berpanjangan.

Ya Allah, kurniakanlah sepenuh taufiq dan hidayah-Mu terhadap Raja kami, Duli Yang Maha mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Al-Marhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah al-Maghfurulahu dan Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan Tuanku Zara Salim serta kerabat dan seluruh rakyat jelata sekalian.

رَبَّنَا ءَاتنِاَ فِى الدُّنْياَ حَسَنَةً وَفِى الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ،
عِبَادَ الله، اِنَّ الله يَأْمُرُ بِاْلعَدْلِ وَالأِحْسَانِ وَإِيْتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَاْلمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُوْنَ. فَاذْكُرُوْا اللهَ الْعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ وَاشْكُرُوْهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ وَلَذِكْرُاللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ.


Teks asal khutbah ini boleh juga dimuat turun dari laman sesawang Google Drive. Sila klik di sini.

No comments:

Post a Comment