bersama kepimpinan ulamak




Thursday, April 7, 2016

KHUTBAH JUMAAT - 30 JAMADIL AKHIR 1437 / 8 APRIL 2016


MEMPERKUKUH EKONOMI UMMAH

Khutbah Pertama

الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي أَرْسَلَ رَسُولَهُ بِالْهُدَى وَدِينِ الْحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّينِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ الْمُشْرِكُونَ، أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلهَ إِلاَّ اللَّهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا  مُحَمَّدًا  عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ، اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ.  أَمَّا بَعْدُ، فَيَاعِبَادَ الله، اتَّقُوا اللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنتُم مُّسْلِمُونَ. قَالَ اللهُ تَعَالَى فِى كِتَابِهِ الْعَزِيزِ:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُمْ بَيْنَكُمْ بِالْبَاطِلِ إِلَّا أَنْ تَكُونَ تِجَارَةً عَنْ تَرَاضٍ مِنْكُمْ وَلَا تَقْتُلُوا أَنْفُسَكُمْ إِنَّ اللَّهَ كَانَ بِكُمْ رَحِيمًا ﴿٢٩﴾

Maksudnya: "Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu dan janganlah kamu berbunuh-bunuhan sesama sendiri. Sesungguhnya Allah sentiasa mengasihani kamu". (Surah An-Nisa' Ayat 29)

Muslimin yang dikasihi sekalian,

Saya berpesan kepada sidang Jumaat sekalian apatah lagi diri saya sendiri, marilah sama-sama kita bertaqwa kepada Allah سبحانه وتعالى dengan sebenar-benar taqwa. Ketahuilah bahawa sesungguhnya tidak ada sesuatu yang lebih tinggi nilainya di sisi Allah سبحانه وتعالى selain daripada ketaqwaan seseorang hamba kepada-Nya. Mudah-mudahan kita akan beroleh kebahagiaan hidup di dunia dan juga akhirat.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Agama Islam menuntut umatnya agar sentiasa meningkatkan taraf ekonomi, kerana ekonomi adalah bidang utama yang mesti diberi penekanan oleh umat Islam pada hari ini. Selain daripada bidang pengetahuan, teknologi dan maklumat, penguasaan terhadap ekonomi juga merupakan antara syarat dalam usaha untuk memajukan dan meningkatkan martabat umat Islam dalam sesebuah negara.

Dalam Al-Quran dinyatakan bahawa Nabi Muhammad صلى الله عليه وسلم diutuskan adalah rahmat bagi semesta alam dengan memberi tumpuan kepada usaha membangunkan diri, masyarakat dan negara agar memperoleh kemajuan dalam pelbagai aspek kehidupan sehingga wujudnya sebuah masyarakat yang berperadaban tinggi. Islam juga menggalakkan umatnya bekerja bersungguh-sungguh untuk meningkatkan kekuatan ekonomi dan kekayaan. Firman Allah سبحانه وتعالى dalam Surah Al-Qasas Ayat 77:

وَابْتَغِ فِيمَا آتَاكَ اللَّهُ الدَّارَ الْآخِرَةَ وَلَا تَنْسَ نَصِيبَكَ مِنَ الدُّنْيَا وَأَحْسِنْ كَمَا أَحْسَنَ اللَّهُ إِلَيْكَ وَلَا تَبْغِ الْفَسَادَ فِي الْأَرْضِ إِنَّ اللَّهَ لَا يُحِبُّ الْمُفْسِدِينَ ﴿٧٧﴾

Bermaksud: "Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) dari dunia dan berbuat baiklah (kepada hamba-hamba Allah) sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu (dengan pemberian nikmat-Nya yang melimpah-limpah) dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi, sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan".

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Mimbar yakin dan percaya kesan daripada rezeki yang diusahakan mengikut acuan syariat dan tadbir urus berdasarkan perundangan Allah akan mendapat keberkatan, limpahan rezeki dan kurniaan dari Allah. Firman Allah سبحانه وتعالى dalam Surah Al-Israk Ayat 30:

إِنَّ رَبَّكَ يَبْسُطُ الرِّزْقَ لِمَنْ يَشَاءُ وَيَقْدِرُ إِنَّهُ كَانَ بِعِبَادِهِ خَبِيرًا بَصِيرًا ﴿٣٠﴾

Maksudnya: "Sesungguhnya Tuhan-mulah yang meluaskan rezeki bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut undang-undang peraturan-Nya) dan Dia juga yang menyempitkannya (menurut yang demikian). Sesungguhnya Dia Maha Mendalam Pengetahuan-Nya lagi Maha Melihat akan hamba-hamba-Nya".

Sidang Jumaat yang dikasihi,

Kegiatan ekonomi adalah fardhu kifayah ke atas setiap muslim. Dalam usaha melonjakkan imej umat Islam, maka dituntut umatnya bekerja bersungguh-sungguh meningkatkan ekonomi dan kekayaan negara sejajar tuntutan meningkatkan kualiti dan kesejahteraan hidup. Sabda Rasulullah صلى الله عليه وسلم :

إِنَّ اللهَ يُحِبُّ إِذَا عَمِلَ أَحَدُكُمْ أَنْ يُتْقِنَهُ

Bermaksud: "Sesungguhnya Allah suka apabila seseorang itu melakukan sesuatu pekerjaan dia melakukan dengan tekun". (Hadith riwayat Al-Baihaqi)

Agama Islam menganjurkan umatnya berusaha mencapai kebahagiaan dengan cara yang selari menurut syariat dan meninggalkan segala perkara yang bertentangan ajarannya. Bagi memastikan pencarian rezeki itu mendatangkan pahala, As-Syeikh Said Sabiq telah menyatakan bahawa unsur-unsur kekuatan ekonomi Islam ialah dengan memenuhi dua syarat:

1. Tidak lalai daripada melaksanakan hak Allah dan berpegang kepada nilai-nilai akhlak yang soleh yang dianjurkan Islam. Ini bertepatan dengan Firman Allah سبحانه وتعالى dalam Surah Al-Munafiqun Ayat 9:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تُلْهِكُمْ أَمْوَالُكُمْ وَلَا أَوْلَادُكُمْ عَنْ ذِكْرِ اللَّهِ وَمَنْ يَفْعَلْ ذَلِكَ فَأُولَئِكَ هُمُ الْخَاسِرُونَ ﴿٩﴾

Maksudnya: "Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu dilalaikan oleh (urusan) harta benda kamu dan anak-pinak kamu daripada mengingati Allah (dengan menjalankan perintahnya). Dan (ingatlah), sesiapa yang melakukan demikian maka mereka itulah orang-orang yang rugi".

2. Sumber rezeki itu bertepatan dengan syara' dan tidak memudharatkan orang lain serta tidak melanggar undang-undang yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa.

Dengan sebab itu, amalan seperti riba, monopoli harta, hasil rezeki yang merosakkan akal seperti penjualan arak dan dadah, menipu dalam timbangan dan sukatan, merompak serta memakan harta secara batil adalah sama sekali dilarang dan diharamkan. Oleh itu dalam usaha mencari rezeki dan mempertingkatkan ekomomi, perlulah bagi seorang mukmin itu menitik beratkan soal keberkatan, ini kerana harta yang diberkati akan terus berkekalan dan mencukupi membiayai hidup walaupun jumlahnya kecil.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بالقُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ، وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ الْأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالْأَمْوَاتِ، فَاسْتَغْفِرُوْهُ، فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ.


Khutbah Kedua

اَلْحَمْدُ لِلَّهِ الْقَائِلِ،
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ وَلْتَنْظُرْ نَفْسٌ مَا قَدَّمَتْ لِغَدٍ وَاتَّقُوا اللَّهَ إِنَّ اللَّهَ خَبِيرٌ بِمَا تَعْمَلُونَ ﴿١٨﴾
أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلهَ إِلاَّ اللَّهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا  مُحَمَّدًا  عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ، اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ. أَمَّا بَعْدُ، فَيَاعِبَادَ الله، اتَّقُوا اللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنتُم مُّسْلِمُونَ.

Ayat yang dibacakan tadi dipetik dari Surah Al-Hashr Ayat 18 yang bermaksud: "Wahai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kepada Allah (dengan mengerjakan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya), dan hendaklah tiap-tiap diri melihat dan memerhatikan apa yang ia telah sediakan (dari amal-amalnya) untuk hari esok (hari akhirat). Dan (sekali lagi diingatkan) bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah itu amat meliputi pengetahuan-Nya akan segala yang kamu kerjakan".

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah sekalian,

Khatib ingin berpesan pada diri yang lemah ini dan sidang Jumaat sekalian, marilah sama-sama kita meningkatkan peratus amalan kita kepada Allah سبحانه وتعالى sementara nyawa masih dikandung badan. Moga-moga dengan amalan yang kita laksanakan ketika masih di dunia ini bakal menjadi bekalan apabila kita bertemu dengan Allah سبحانه وتعالى di akhirat nanti. Marilah sama-sama kita amati firman Allah سبحانه وتعالى dalam Surah Al-Kahf Ayat 49:

وَوُضِعَ الْكِتَابُ فَتَرَى الْمُجْرِمِينَ مُشْفِقِينَ مِمَّا فِيهِ وَيَقُولُونَ يَا وَيْلَتَنَا مَالِ هَذَا الْكِتَابِ لَا يُغَادِرُ صَغِيرَةً وَلَا كَبِيرَةً إِلَّا أَحْصَاهَا وَوَجَدُوا مَا عَمِلُوا حَاضِرًا وَلَا يَظْلِمُ رَبُّكَ أَحَدًا ﴿٤٩﴾

Bermaksud: "Dan (kitab-kitab amal) juga tetap akan dibentangkan maka engkau akan melihat orang-orang yang berdosa itu merasa takut akan apa yang tersurat di dalamnya dan mereka akan berkata; Aduhai celakanya kami, mengapa kitab ini demikian keadaannya? Ia tidak meninggalkan yang kecil atau yang besar melainkan semua dihitungnya! Dan mereka dapati segala yang mereka kerjakan itu sedia (tertulis di dalamnya) dan (ingatlah) Tuhanmu tidak berlaku zalim kepada seseorangpun".

أَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ ۚ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا ﴿٥٦﴾

Bermaksud: "Sesungguhnya Allah dan malaikat berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad SAW), wahai orang-orang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucaplah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya". (Al-Ahzab: 56)

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ والْمُؤمِنَاتِ، وَأَصْلِحْ ذَاتَ بَيْنِهِمْ وَأَلِّفْ بَيْنَ قُلُوْبِهِمْ وَاجْعَلْ فِيْ قُلُوْبِهِمُ اْلإِيْمَانَ وَاْلحِكْمَةَ وَثَبِّتْهُمْ عَلَى مِلَّةِ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى اللهِ عَلَيهِ وَسَلَّم.

Ya Allah, bukakanlah hati kami untuk melaksanakan ibadat zakat sebagaimana yang telah Engkau fardhukan. Berkatilah hidup hamba-Mu yang melaksanakan tuntutan zakat dan para pewakaf yang telah menginfaqkan harta mereka ke jalan-Mu. Sucikanlah harta dan jiwa mereka, lindungilah golongan fuqara dan masakin daripada kekufuran dan kefakiran yang berpanjangan.

Ya Allah, kurniakanlah sepenuh taufiq dan hidayah-Mu terhadap Raja kami, Duli Yang Maha mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Al-Marhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah al-Maghfurulahu dan Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan Tuanku Zara Salim serta kerabat dan seluruh rakyat jelata sekalian.

رَبَّنَا ءَاتنِاَ فِى الدُّنْياَ حَسَنَةً وَفِى الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ،
عِبَادَ الله، اِنَّ الله يَأْمُرُ بِاْلعَدْلِ وَالأِحْسَانِ وَإِيْتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَاْلمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُوْنَ. فَاذْكُرُوْا اللهَ الْعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ وَاشْكُرُوْهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ وَلَذِكْرُاللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ. 


Teks asal khutbah ini boleh juga dimuat turun dari laman Google Drive. Klik sini.


No comments:

Post a Comment

KULIAH SETIAP AHAD MINGGU KEDUA




Kempen Tiga B