bersama kepimpinan ulamak




Akan Datang




Friday, April 1, 2016

KHUTBAH JUMAAT - 23 JAMADIL AKHIR 1437 / 1 APRIL 2016



BEKERJA SEBAGAI SATU TUNTUTAN AMANAH DAN TANGGUNGJAWAB

Khutbah Pertama

الْحَمْدُ لِلَّهِ الْذِي نَحْمَدُهُ وَنَسْتَعِينُهُ وَنَسْتَغْفِرُهُ، وَنُؤْمِنُ بِهِ وَنَتَوَكَّلُ عَلَيْهِ، وَنَعُوذُ بِاللهِ مِنْ شُرُورِ أَنْفُسِنَا وَمِنْ سَيِّئَاتِ أَعْمَالِنَا، مَنْ يَهْدِهِ اللهُ فَلَا مُضِلَّ لَهُ، وَمَنْ يُضْلِلْ فَلَا هَادِيَ لَهُ، وَاَشْهَدُ اَنْ لاَ ِالــهَ اِلاَّ الله وَحْدَهُ لاَشَرِيْكَ لَهُ، وَاَشْهَدُ اَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ، اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ. أَمَّا بَعْدُ، فَيَا أًيُّهَا الْمُسْلِمُوْنَ  الْمُؤْمِنُونَ، اِتَّقُوْا اللهَ اُوْصِيْكُمْ وَاِيّايَ بِتَقْوَى اللهِ وَطَاعَتِهِ فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَقَالَ اللهُ تَعَالَى فِى كِتَابِهِ الْعَزِيزِ:
.... وَسَيَرَى اللَّهُ عَمَلَكُمْ وَرَسُولُهُ ثُمَّ تُرَدُّونَ إِلَى عَالِمِ الْغَيْبِ وَالشَّهَادَةِ فَيُنَبِّئُكُمْ بِمَا كُنْتُمْ تَعْمَلُونَ ﴿٩٤﴾

Ayat yang dibacakan tadi dipetik dari Surah At-Taubah Ayat 94 yang bermaksud: "Dan Allah serta rasul-Nya akan melihat amal kamu (sama ada kamu kembali beriman atau tetap kufur), kemudian kamu akan dikembalikan kepada (Allah) yang Maha Mengetahui perkara-perkara yang ghaib dan nyata (untuk menerima balasan), lalu Dia menyatakan kepada kamu apa yang telah kerjakan".

Sidang jamaah yang dimuliakan,

Terlebih dahulu, saya ingin berpesan kepada diri saya sendiri dan sidang jamaah sekalian, marilah sama-sama kita mempertingkatkan ketaqwaan kita kepada Allah سبحانه وتعالى dengan sebenar-benar taqwa, iaitu dengan mengerjakan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya dan janganlah kita mati melainkan dalam keadaan Islam dan beriman kepada Allah سبحانه وتعالى. Mudah-mudahan dengan sifat itu kita mendapat keberkatan dan keredhaan dari Allah سبحانه وتعالى di dunia lebih-lebih lagi di akhirat. Mimbar pada hari ini akan membicarakan khutbah yang bertajuk; "Bekerja Sebagai Satu Tuntutan Amanah dan Tanggungjawab".

Sidang jamaah yang dirahmati,

Manusia dijadikan oleh Allah سبحانه وتعالى mempunyai beberapa tanggungjawab. Tanggungjawab manusia dengan Allah dan tanggungjawab manusia sebagai Khalifah di muka bumi. Begitu juga juga tanggungjawab sebagai pekerja kepada majikan, tanggungjawab suami kepada isteri dan anak-anak dan tangungjawab-tanggungjawab lain yang perlu dilaksanakan. Allah سبحانه وتعالى telah menjadikan bumi ini sebagai tempat yang mudah untuk mencari rezeki sebagaimana firman Allah سبحانه وتعالى dalam Surah Al-Mulk Ayat 15:

هُوَ الَّذِي جَعَلَ لَكُمُ الْأَرْضَ ذَلُولًا فَامْشُوا فِي مَنَاكِبِهَا وَكُلُوا مِنْ رِزْقِهِ وَإِلَيْهِ النُّشُورُ ﴿١٥﴾

Maksudnya: "Dialah yang menjadikan bumi untuk kamu yang mudah dijelajahi, maka jelajahilah di merata-rata ceruk rantau dan makanlah daripada rezeki yang dikurniakan Allah. (Ingatlah) kepada Allah jualah (tempat kembali kamu sesudah) dibangkitkan hidup semula".

Namun ada di kalangan kita menganggap tugas mencari rezeki bukan sebagai satu ibadah. Mereka hanya memahami ibadah itu dengan amalan-amalan khusus sahaja. Sebenarnya ibadah adalah nama yang menggabungkan setiap perkara yang disukai dan diredhai oleh Allah سبحانه وتعالى dari jenis perkataan atau perbuatan zahir dan batin. Setiap perbuatan atau kerja yang dilakukan oleh seorang muslim akan dianggap ibadah selagi ia mematuhi garis panduan yang dikehendaki oleh syara'. Justeru itu, terdapat hubungan langsung di antara kerja dan ibadah kerana kerana kedua-duanya perlu dilakukan untuk mencapai redha Allah سبحانه وتعالى. Di antara tuntutan penting dalam menjadikan kerja sebagai ibadah ialah:

1. Pekerjaan yang disertakan dengan niat ikhlas untuk mendapat keredhaan Allah.
2. Benar. Menurut Al-Imam Al-Ghazali ada beberapa jenis sifat benar. Di antaranya ialah:

a) Benar pada lidah: Menyampaikan sesuatu kenyataan atau berita menepati berita yang sebenarnya.
b) Benar pada niat: Membuat satu amal atau perbuatan kerana Allah سبحانه وتعالى.
c) Benar pada azam: Tekad melakukan kebajikan seperti apa yang telah diazamkan.
d) Benar pada janji dan benar pada amal: Berusaha bersungguh-sungguh supaya amalan zahirnya menepati apa yang tersembunyi dalam dirinya.

3. Amanah tanpa ada sedikitpun khianat.

Sidang jamaah yang dirahmati Allah,

Konsep kerja, ibadah dan amanah adalah merupakan tanggungjawab untuk meraih pendapatan yang dilakukan oleh seorang muslim juga mencari keredhaan Allah سبحانه وتعالى tanpa ada niat untuk kerana yang lainnya. Ianya adalah berkait dengan perkara; apa yang boleh dan apa yang tidak boleh dilakukan, halal dan haram serta berkait sama dengan syurga dan neraka. Nilai utama dan perlu ada dalam etika kerja kita untuk menjadikan ianya sebagai ibadah adalah amanah iaitu satu sifat tanggungjawab melaksanakan tugas tanpa menyalahgunakan kuasa dan kedudukan. Seseorang yang amanah akan mendapat kepercayaan orang lain. Manakala mereka yang khianat akan mendapat laknat dan kehinaan. Antara amalan orang yang amanah ialah:

1. Sentiasa menjalankan tugas dengan penuh tanggungjawab tanpa menyeleweng dan cuai.
2. Bersikap jujur dan setia kepada organisasi tanpa menyalahgunakan kuasa.
3. Menggunakan masa dengan sebaik-baiknya dan menyiapkan kerja dalam tempoh yang ditetapkan.
4. Berdisiplin dan mengawal diri dan tidak melakukan sesuatu yang boleh menghilangkan kepercayaan orang lain terhadap dirinya.
5. Menjaga amanah Allah سبحانه وتعالى yang utama antaranya ialah solat.

Peringatan buat diri saya dan tuan-tuan sidang jamaah sekalian dalam masa kita melaksanakan amanah kerja, janganlah kita cuai sehingga mengabaikan solat kepada Allah سبحانه وتعالى. Kerja yang dilakukan dengan meminggirkan hak Allah سبحانه وتعالى akan menyebabkan rezeki yang diperolehi tidak ada keberkatan, hati pula sentiasa rasa gelisah dan keluh kesah. Apakah gunanya usaha dan kerja di dunia sekiranya ia tidak membuahkan apa-apa hasil di akhirat.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بالقُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ، وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ الْأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالْأَمْوَاتِ، فَاسْتَغْفِرُوْهُ، فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ.


Khutbah Kedua

اَلْحَمْدُ لِلَّهِ الْقَائِلِ،
وَقُلِ اعْمَلُوا فَسَيَرَى اللَّهُ عَمَلَكُمْ وَرَسُولُهُ وَالْمُؤْمِنُونَ وَسَتُرَدُّونَ إِلَى عَالِمِ الْغَيْبِ وَالشَّهَادَةِ فَيُنَبِّئُكُمْ بِمَا كُنْتُمْ تَعْمَلُونَ ﴿١٠٥﴾
أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا  مُحَمَّدًا  عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ، اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أًجْمَعِينَ. أَمَّا بَعْدُ، فَيَاعِبَادَ الله، اتَّقُوا اللَّهَ، اُوْصِيْكُمْ وَاِيّايَ بِتَقْوَى اللهِ وَطَاعَتِهِ فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ.

Ayat yang dibacakan tadi dipetik dari Surah At-Taubah Ayat 105 yang bermaksud: "Dan katakanlah; Bekerjalah kamu maka Allah akan melihat perlakuanmu, begitu juga rasul-Nya dan orang-orang yang beriman, dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) yang Maha Mengetahui yang ghaib dan yang nyata, lalu Dia memberitahu kamu apa yang telah kamu lakukan".

Sidang jamaah sekalian,

Islam mengajar umatnya agar sentiasa berusaha mengamalkan kerja yang cemerlang dengan bertunjangkan iman dan akhlak. Bagi yang menyedari hakikat ini, mereka akan sentiasa berusaha meningkatkan kualiti kerja pada setiap masa tanpa rasa jemu. Mereka juga sedar bahawa bekerja itu bukan hanya sekadar tanggungjawab terhadap diri sendiri, keluarga, masyarakat dan negara, tetapi ianya merupakan amanah Allah سبحانه وتعالى. Justeru, marilah kita bermuhasabah dan istiqamah pada niat semasa kita melangkah keluar dari rumah, agar semua kerja yang dilaksanakan mendapat ganjaran pahala dari Allah سبحانه وتعالى. Mudah-mudahan setiap gerak kerja kita dikira sebagai ibadah dan dikurniakan rezeki yang penuh keberkatan.

أَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ ۚ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا ﴿٥٦﴾

Bermaksud: "Sesungguhnya Allah dan malaikat berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad SAW), wahai orang-orang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucaplah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya". (Al-Ahzab: 56)

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ والْمُؤمِنَاتِ، وَأَصْلِحْ ذَاتَ بَيْنِهِمْ وَأَلِّفْ بَيْنَ قُلُوْبِهِمْ وَاجْعَلْ فِيْ قُلُوْبِهِمُ اْلإِيْمَانَ وَاْلحِكْمَةَ وَثَبِّتْهُمْ عَلَى مِلَّةِ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى اللهِ عَلَيهِ وَسَلَّم.

Ya Allah, bukakanlah hati kami untuk melaksanakan ibadat zakat sebagaimana yang telah Engkau fardhukan. Berkatilah hidup hamba-Mu yang melaksanakan tuntutan zakat dan para pewakaf yang telah menginfaqkan harta mereka ke jalan-Mu. Sucikanlah harta dan jiwa mereka, lindungilah golongan fuqara dan masakin daripada kekufuran dan kefakiran yang berpanjangan.

Ya Allah, kurniakanlah sepenuh taufiq dan hidayah-Mu terhadap Raja kami, Duli Yang Maha mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Al-Marhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah al-Maghfurulahu dan Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan Tuanku Zara Salim serta kerabat dan seluruh rakyat jelata sekalian.

رَبَّنَا ءَاتنِاَ فِى الدُّنْياَ حَسَنَةً وَفِى الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ،
اِنَّ الله يَأْمُرُ بِاْلعَدْلِ وَالأِحْسَانِ وَإِيْتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَاْلمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُوْنَ. فَاذْكُرُوْا اللهَ الْعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ وَاشْكُرُوْهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ وَلَذِكْرُاللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ. 


Teks asal khutbah ini boleh juga dimuat turun dari laman Google Drive. Klik sini.

No comments:

Post a Comment

KULIAH SETIAP AHAD MINGGU KEDUA




Kempen Tiga B