Friday, April 22, 2016

KHUTBAH JUMAAT - 14 REJAB 1437 / 22 APRIL 2016


PERANCANGAN DAN PENGURUSAN HARTA MENURUT PERSPEKTIF ISLAM

Khutbah Pertama

الْحَمْدُ لِلَّهِ الْذِي هَدَانَا لِدِيْنِهِ الْقَوِيْمِ، وَبَيْنَ صِرَاطَهُ الْمُسْتَقِيْمَ بِالْأَيَاتِ وَالذِّكْرِ الْحَكِيْمِ وَسُنَّةِ رَسُوْلِهِ الْكَرِيْمِاَشْهَدُ اَنْ لاَ ِالــهَ اِلاَّ الله وَحْدَهُ لاَشَرِيْكَ لَهُ، وَاَشْهَدُ اَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ، اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ عَبْدِكَ وَرَسُلِكَ سَيِّدِنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أًجْمَعِينَ. أَمَّا بَعْدُ، فَيَاعِبَادَ الله، اتَّقُوا اللَّهَ، اُوْصِيْكُمْ وَاِيّايَ بِتَقْوَى اللهِ وَطَاعَتِهِ فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ.

Sidang Jumaat sekalian,

Saya ingin berpesan kepada diri saya sendiri dan sidang jamaah sekalian, marilah sama-sama kita mempertingkatkan ketaqwaan kita kepada Allah سبحانه وتعالى dengan sebenar-benar  taqwa iaitu dengan mengerjakan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan dengan sifat taqwa kita mendapat keberkatan dan keredhaan dari Allah سبحانه وتعالى di dunia lebih-lebih lagi di akhirat. Mimbar pada hari ini akan membicarakan khutbah yang bertajuk; "Perancangan dan Pengurusan Harta Menurut Perspektif Islam".

Sidang Jumaat sekalian,

Pengurusan dan perancangan adalah aspek terpenting dalam kehidupan. Kegagalan merancang dan mengurus dalam kehidupan merupakan salah satu penyebab kegagalan dalam kehidupan. Lebih-lebih lagi berkaitan dengan harta dan kewangan yang merupakan punca kepada seseorang itu terperangkap dalam pelbagai masalah dalam kehidupan. Gagal merancang sebenarnya merancang untuk gagal. Islam mengajar umatnya agar sentiasa mempunyai perancangan dalam menguruskan hal-ehwal kehidupan mereka. Hal ini dapat dilihat menerusi Ayat-Ayat Suci Al-Quran dan sunnah Rasulullah صلى الله عليه وسلم. Antara firman Allah سبحانه وتعالى dalam Surah Yusuf Ayat 67:

وَقَالَ يَا بَنِيَّ لَا تَدْخُلُوا مِنْ بَابٍ وَاحِدٍ وَادْخُلُوا مِنْ أَبْوَابٍ مُتَفَرِّقَةٍ وَمَا أُغْنِي عَنْكُمْ مِنَ اللَّهِ مِنْ شَيْءٍ إِنِ الْحُكْمُ إِلَّا لِلَّهِ عَلَيْهِ تَوَكَّلْتُ وَعَلَيْهِ فَلْيَتَوَكَّلِ الْمُتَوَكِّلُونَ ﴿٦٧﴾

Bermaksud: "Berkata Yaakub; Wahai anak-anakku, janganlah kamu masuk (ke Mesir) dari satu pintu, masuklah melalui beberapa pintu yang berasingan. Aku tidak dapat mempertahankan kamu dari siksaan Allah sedikitpun. Segala ketetapan (hukum) itu hanya bagi Allah. Kepada-Nya aku bertawakkal (menyerah diri) dan hendaklah kepada-Nya sahaja orang yang bertawakkal berserah diri".

Firman Allah تعالى ini cukup jelas menyentuh tentang kepentingan perancangan dalam kehidupan kerana masa depan bergantung kepada perancangan kita hari ini selain daripada ketentuan Allah تعالى.

Begitu juga seseorang yang mempunyai perancangan dalam pengurusan harta dan kewangan akan memperolehi gambaran yang jelas tentang kedudukan kewangan terkini, memberi hala tuju yang tepat mengenai matlamat kewangan yang ingin dicapai yang akhirnya akan membolehkan seseorang itu mencapai matlamat yang diharapkan secara lebih efektif.

Dalam Islam, mengurus dan membelanjakan harta adalah antara amanah Allah. Ia adalah satu keperluan yang bertujuan mencapai kehidupan yang diberkati. Perspektif yang tepat terhadap harta akan memastikan seseorang itu mencapai bahagia di dunia dan di akhirat menerusi hartanya.

Sidang Jumaat sekalian,

Di dalam ajaran Islam, dunia adalah tempat sementara yang hanya sebagai jambatan untuk ke akhirat. Dunia sebagai tempat bercucuk tanam dan akhiratlah tempat untuk menuainya. Walaupun dunia ini bersifat sementara, Islam dengan pelbagai kaedah dan pendekatan mengajar umat manusia supaya mempunyai status ekonomi yang baik.

Oleh yang demikian, Islam memerintahkan supaya harta dan kehidupan diuruskan dengan baik dan bijaksana. Jika sebaliknya ia akan menjadi faktor keruntuhan manusia dan murka Allah.

Sidang Jumaat sekalian,

Secara ringkasnya perancangan kewangan Islam itu ialah satu proses di mana matlamat kewangan keseluruhan individu digunakan untuk membangun dan melaksanakan pelan menyeluruh untuk mencapai matlamatnya yang mematuhi syariat dan akhirnya mendapat keberkatan daripada Allah سبحانه وتعالى. Secara umumnya ada lima aspek atau elemen utama pengurusan harta secara Islam. 

Pertama: Berkaitan dengan penghasilan harta. Sebagai seorang muslim yang sejati, Islam menggalakkan umatnya mencari harta dan kekayaan dan tidak hanya pasrah dengan qada' dan qadar.

Kedua: Berkaitan dengan pengumpulan harta. Pengumpulan harta dengan erti yang lain bermaksud pengembangan harta. Adalah tidak wajar jika harta yang kita simpan begitu sahaja tanpa mengembangkannya. Pengembangan harta boleh dilakukan melalui simpanan dan pelaburan di institusi kewangan. Malahan Islam menggalakkan umatnya untuk membuat simpanan serta melaburkannya.

Ketiga: Berkaitan perlindungan harta. Setiap manusia harus mempunyai matlamat dalam kehidupan dan pasti salah satu daripadanya ialah untuk dapat kehidupan yang selesa dan terjamin dari segi kewangan sepanjang hidup. Sebagai jaminan hidup di dunia ini selain mempunyai simpanan dan harta yang mencukupi, diri kita dan harta kita juga harus dijaga dari sebarang musibah dan perkara-perkara yang tidak diingini. Di antara kaedah perlindungan yang ada dalam pasaran pada hari ini adalah melalui kaedah perlindungan takaful.

Keempat: Berkaitan dengan pengagihan harta. Islam memperuntukkan beberapa cara atau kaedah untuk pengagihan harta seseorang Islam sebelum atau selepasa mati. Antara instrumen perancangan harta adalah wakaf, wasiat, hibah dan sebagainya.

Dan yang kelima: Berkaitan dengan penyucian harta. Harta adalah satu amanah yang dipertanggungjawabkan kepada kita umat Islam. Sebagai seorang muslim kita tidak sewenang-senangnya membelanjakan atau mempergunakan harta mengikut kehendak dan hawa nafsu kerana setiap harta ada hak-hak yang tertentu untuk dibahagikan iaitu untuk Allah سبحانه وتعالى dengan membayar zakat yakni kerananya juga datangnya segala rezeki di muka bumi ini dan untuk yang memerlukan seperti fakir miskin dan sebagainya melalui pembayaran zakat dan amal jariah kita seperti sedekah.

Benarlah jika kita katakan bahawa pengurusan kewangan yang bijak itu sebenarnya adalah pengurusan yang dapat mengimbangi perbelanjaan dan pengurusan hutang, pelaburan yang mengikut syariah,perlindungan menerusi pelan takaful yang komprehensif dan harta yang mendapat keberkatan. Perlu diingatkan bahawa merancang dan mengurus ini merupakan sunnah atau jalan para Rasul.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بالقُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ، أَقُولُ قَوْلِي هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ الْأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالْأَمْوَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ، إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ.


Khutbah Kedua

الْحَمْدُ لِلَّهِ الْذِي نَحْمَدُهُ وَنَسْتَعِينُهُ وَنَسْتَغْفِرُهُ، وَنُؤْمِنُ بِهِ وَنَتَوَكَّلُ عَلَيْهِ، وَنَعُوذُ بِاللهِ مِنْ شُرُورِ أَنْفُسِنَا وَمِنْ سَيِّئَاتِ أَعْمَالِنَا، مَنْ يَهْدِهِ اللهُ فَلَا مُضِلَّ لَهُ، وَمَنْ يُضْلِلْ فَلَا هَادِيَ لَهُ، أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا  وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدًا  عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ سَيِّدُ الْخَلَائِقِ وَالْبَشَرِ. اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أًجْمَعِينَأَمَّا بَعْدُ، فَيَاعِبَادَ الله، اتَّقُوا اللَّهَ، اُوْصِيْكُمْ وَاِيّايَ بِتَقْوَى اللهِ وَطَاعَتِهِ فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ.

Sidang Jumaat yang berbahagia,

Mengakhiri khutbah pada hari ini, beberapa kesimpulan yang dapat kita ambil adalah seperti berikut:

1. Perancangan adalah suatu yang sangat penting dalam kehidupan kita khususnya perancangan berkaitan harta atau kewangan.

2. Islam sangat menggalakkan umatnya mempunyai perancangan yang mantap dalam setiap lapangan kehidupan khususnya yang berkaitan dengan pengurusan harta atau kewangan.

3. Dalam perancangan harta atau kewangan Islam aspek yang dititik beratkan ialah berkaitan bagaimana harta itu diperolehi dan dibelanjakan. Sabda Rasulullah صلى الله عليه وسلم yang berbunyi:

لَا تَزُوْلُ قَدَمَا ابْنِ آدَمَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ مِنْ عِنْدِ رَبِّهِ حَتَى يُسْأَلَ عَنْ خَمْسٍ عَنْ عُمْرِهِ فِيْمَا أَفْنَاهُ وَعَنْ شَبَابِهِ فِيْمَا أَبْلَاهُ وَعَنْ مَالِهِ مِنْ أَيْنَ اكْتَسَبَهُ وَفِيْمَا أَنْفَقَهُ وَمَاذَا عَمِلَ فِيْمَا عَلِمَ.

Bermaksud: "Tidak akan berganjak kedua-dua kaki Anak Adam pada hari kiamat sehingga ditanya tentang umurnya pada apa ianya dihabiskan, tentang usia mudanya pada apa digunakan dan tentang hartanya dari mana ia diperolehi dan bagaimana ianya dibelanjakan dan ilmunya pada apa ia diamalkan?" (Hadith riwayat At-Tirmidzi)

4. Keberkatan adalah matlamat utama yang digariskan untuk dicapai dalam perancangan kewangan Islam. Harta yang tidak diberkati akan memberi mudarat kepada pemiliknya malah boleh menjadi fitnah, menjadikan seseorang itu sentiasa berasa tidak cukup sehingga sanggup melakukan apa sahaja termasuklah rasuah, penyelewengan dan sebagainya.

5. Keberkatan dalam harta atau kewangan boleh dicapai dengan kita mematuhi serta mentaati setiap perintah Allah سبحانه وتعالى dalam hal-ehwal berkaitan perancangan harta atau kewangan seperti menjauhi semua perkara yang mengandungi unsur riba, penipuan, penyelewengan, rasuah dan sebagainya.

6. Kaedah mudah untuk merancang harta atau kewangan ialah melalui fasiliti atau produk yang disediakan oleh institusi perbankan Islam dan pengendali takaful yang sah.

أَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ ۚ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا ﴿٥٦﴾

Bermaksud: "Sesungguhnya Allah dan malaikat berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad SAW), wahai orang-orang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucaplah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya". (Al-Ahzab: 56)

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ والْمُؤمِنَاتِ، وَأَصْلِحْ ذَاتَ بَيْنِهِمْ وَأَلِّفْ بَيْنَ قُلُوْبِهِمْ وَاجْعَلْ فِيْ قُلُوْبِهِمُ اْلإِيْمَانَ وَاْلحِكْمَةَ وَثَبِّتْهُمْ عَلَى مِلَّةِ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى اللهِ عَلَيهِ وَسَلَّم.

Ya Allah, bukakanlah hati kami untuk melaksanakan ibadat zakat sebagaimana yang telah Engkau fardhukan. Berkatilah hidup hamba-Mu yang melaksanakan tuntutan zakat dan para pewakaf yang telah menginfaqkan harta mereka ke jalan-Mu. Sucikanlah harta dan jiwa mereka, lindungilah golongan fuqara dan masakin daripada kekufuran dan kefakiran yang berpanjangan.

Ya Allah, kurniakanlah sepenuh taufiq dan hidayah-Mu terhadap Raja kami, Duli Yang Maha mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Al-Marhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah al-Maghfurulahu dan Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan Tuanku Zara Salim serta kerabat dan seluruh rakyat jelata sekalian.

رَبَّنَا ءَاتنِاَ فِى الدُّنْياَ حَسَنَةً وَفِى الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ، 
عِبَادَ الله، اِنَّ الله يَأْمُرُ بِاْلعَدْلِ وَالأِحْسَانِ وَإِيْتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَاْلمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُوْنَ. فَاذْكُرُوْا اللهَ الْعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ وَاشْكُرُوْهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ وَلَذِكْرُاللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ.


Teks asal khutbah ini boleh juga dimuat turun dari laman sesawang Google Drive. Klik sini.


Thursday, April 7, 2016

KHUTBAH JUMAAT - 30 JAMADIL AKHIR 1437 / 8 APRIL 2016


MEMPERKUKUH EKONOMI UMMAH

Khutbah Pertama

الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي أَرْسَلَ رَسُولَهُ بِالْهُدَى وَدِينِ الْحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّينِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ الْمُشْرِكُونَ، أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلهَ إِلاَّ اللَّهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا  مُحَمَّدًا  عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ، اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ.  أَمَّا بَعْدُ، فَيَاعِبَادَ الله، اتَّقُوا اللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنتُم مُّسْلِمُونَ. قَالَ اللهُ تَعَالَى فِى كِتَابِهِ الْعَزِيزِ:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُمْ بَيْنَكُمْ بِالْبَاطِلِ إِلَّا أَنْ تَكُونَ تِجَارَةً عَنْ تَرَاضٍ مِنْكُمْ وَلَا تَقْتُلُوا أَنْفُسَكُمْ إِنَّ اللَّهَ كَانَ بِكُمْ رَحِيمًا ﴿٢٩﴾

Maksudnya: "Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu dan janganlah kamu berbunuh-bunuhan sesama sendiri. Sesungguhnya Allah sentiasa mengasihani kamu". (Surah An-Nisa' Ayat 29)

Muslimin yang dikasihi sekalian,

Saya berpesan kepada sidang Jumaat sekalian apatah lagi diri saya sendiri, marilah sama-sama kita bertaqwa kepada Allah سبحانه وتعالى dengan sebenar-benar taqwa. Ketahuilah bahawa sesungguhnya tidak ada sesuatu yang lebih tinggi nilainya di sisi Allah سبحانه وتعالى selain daripada ketaqwaan seseorang hamba kepada-Nya. Mudah-mudahan kita akan beroleh kebahagiaan hidup di dunia dan juga akhirat.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Agama Islam menuntut umatnya agar sentiasa meningkatkan taraf ekonomi, kerana ekonomi adalah bidang utama yang mesti diberi penekanan oleh umat Islam pada hari ini. Selain daripada bidang pengetahuan, teknologi dan maklumat, penguasaan terhadap ekonomi juga merupakan antara syarat dalam usaha untuk memajukan dan meningkatkan martabat umat Islam dalam sesebuah negara.

Dalam Al-Quran dinyatakan bahawa Nabi Muhammad صلى الله عليه وسلم diutuskan adalah rahmat bagi semesta alam dengan memberi tumpuan kepada usaha membangunkan diri, masyarakat dan negara agar memperoleh kemajuan dalam pelbagai aspek kehidupan sehingga wujudnya sebuah masyarakat yang berperadaban tinggi. Islam juga menggalakkan umatnya bekerja bersungguh-sungguh untuk meningkatkan kekuatan ekonomi dan kekayaan. Firman Allah سبحانه وتعالى dalam Surah Al-Qasas Ayat 77:

وَابْتَغِ فِيمَا آتَاكَ اللَّهُ الدَّارَ الْآخِرَةَ وَلَا تَنْسَ نَصِيبَكَ مِنَ الدُّنْيَا وَأَحْسِنْ كَمَا أَحْسَنَ اللَّهُ إِلَيْكَ وَلَا تَبْغِ الْفَسَادَ فِي الْأَرْضِ إِنَّ اللَّهَ لَا يُحِبُّ الْمُفْسِدِينَ ﴿٧٧﴾

Bermaksud: "Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) dari dunia dan berbuat baiklah (kepada hamba-hamba Allah) sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu (dengan pemberian nikmat-Nya yang melimpah-limpah) dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi, sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan".

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Mimbar yakin dan percaya kesan daripada rezeki yang diusahakan mengikut acuan syariat dan tadbir urus berdasarkan perundangan Allah akan mendapat keberkatan, limpahan rezeki dan kurniaan dari Allah. Firman Allah سبحانه وتعالى dalam Surah Al-Israk Ayat 30:

إِنَّ رَبَّكَ يَبْسُطُ الرِّزْقَ لِمَنْ يَشَاءُ وَيَقْدِرُ إِنَّهُ كَانَ بِعِبَادِهِ خَبِيرًا بَصِيرًا ﴿٣٠﴾

Maksudnya: "Sesungguhnya Tuhan-mulah yang meluaskan rezeki bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut undang-undang peraturan-Nya) dan Dia juga yang menyempitkannya (menurut yang demikian). Sesungguhnya Dia Maha Mendalam Pengetahuan-Nya lagi Maha Melihat akan hamba-hamba-Nya".

Sidang Jumaat yang dikasihi,

Kegiatan ekonomi adalah fardhu kifayah ke atas setiap muslim. Dalam usaha melonjakkan imej umat Islam, maka dituntut umatnya bekerja bersungguh-sungguh meningkatkan ekonomi dan kekayaan negara sejajar tuntutan meningkatkan kualiti dan kesejahteraan hidup. Sabda Rasulullah صلى الله عليه وسلم :

إِنَّ اللهَ يُحِبُّ إِذَا عَمِلَ أَحَدُكُمْ أَنْ يُتْقِنَهُ

Bermaksud: "Sesungguhnya Allah suka apabila seseorang itu melakukan sesuatu pekerjaan dia melakukan dengan tekun". (Hadith riwayat Al-Baihaqi)

Agama Islam menganjurkan umatnya berusaha mencapai kebahagiaan dengan cara yang selari menurut syariat dan meninggalkan segala perkara yang bertentangan ajarannya. Bagi memastikan pencarian rezeki itu mendatangkan pahala, As-Syeikh Said Sabiq telah menyatakan bahawa unsur-unsur kekuatan ekonomi Islam ialah dengan memenuhi dua syarat:

1. Tidak lalai daripada melaksanakan hak Allah dan berpegang kepada nilai-nilai akhlak yang soleh yang dianjurkan Islam. Ini bertepatan dengan Firman Allah سبحانه وتعالى dalam Surah Al-Munafiqun Ayat 9:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تُلْهِكُمْ أَمْوَالُكُمْ وَلَا أَوْلَادُكُمْ عَنْ ذِكْرِ اللَّهِ وَمَنْ يَفْعَلْ ذَلِكَ فَأُولَئِكَ هُمُ الْخَاسِرُونَ ﴿٩﴾

Maksudnya: "Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu dilalaikan oleh (urusan) harta benda kamu dan anak-pinak kamu daripada mengingati Allah (dengan menjalankan perintahnya). Dan (ingatlah), sesiapa yang melakukan demikian maka mereka itulah orang-orang yang rugi".

2. Sumber rezeki itu bertepatan dengan syara' dan tidak memudharatkan orang lain serta tidak melanggar undang-undang yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa.

Dengan sebab itu, amalan seperti riba, monopoli harta, hasil rezeki yang merosakkan akal seperti penjualan arak dan dadah, menipu dalam timbangan dan sukatan, merompak serta memakan harta secara batil adalah sama sekali dilarang dan diharamkan. Oleh itu dalam usaha mencari rezeki dan mempertingkatkan ekomomi, perlulah bagi seorang mukmin itu menitik beratkan soal keberkatan, ini kerana harta yang diberkati akan terus berkekalan dan mencukupi membiayai hidup walaupun jumlahnya kecil.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بالقُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ، وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ الْأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالْأَمْوَاتِ، فَاسْتَغْفِرُوْهُ، فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ.


Khutbah Kedua

اَلْحَمْدُ لِلَّهِ الْقَائِلِ،
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ وَلْتَنْظُرْ نَفْسٌ مَا قَدَّمَتْ لِغَدٍ وَاتَّقُوا اللَّهَ إِنَّ اللَّهَ خَبِيرٌ بِمَا تَعْمَلُونَ ﴿١٨﴾
أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلهَ إِلاَّ اللَّهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا  مُحَمَّدًا  عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ، اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ. أَمَّا بَعْدُ، فَيَاعِبَادَ الله، اتَّقُوا اللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنتُم مُّسْلِمُونَ.

Ayat yang dibacakan tadi dipetik dari Surah Al-Hashr Ayat 18 yang bermaksud: "Wahai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kepada Allah (dengan mengerjakan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya), dan hendaklah tiap-tiap diri melihat dan memerhatikan apa yang ia telah sediakan (dari amal-amalnya) untuk hari esok (hari akhirat). Dan (sekali lagi diingatkan) bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah itu amat meliputi pengetahuan-Nya akan segala yang kamu kerjakan".

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah sekalian,

Khatib ingin berpesan pada diri yang lemah ini dan sidang Jumaat sekalian, marilah sama-sama kita meningkatkan peratus amalan kita kepada Allah سبحانه وتعالى sementara nyawa masih dikandung badan. Moga-moga dengan amalan yang kita laksanakan ketika masih di dunia ini bakal menjadi bekalan apabila kita bertemu dengan Allah سبحانه وتعالى di akhirat nanti. Marilah sama-sama kita amati firman Allah سبحانه وتعالى dalam Surah Al-Kahf Ayat 49:

وَوُضِعَ الْكِتَابُ فَتَرَى الْمُجْرِمِينَ مُشْفِقِينَ مِمَّا فِيهِ وَيَقُولُونَ يَا وَيْلَتَنَا مَالِ هَذَا الْكِتَابِ لَا يُغَادِرُ صَغِيرَةً وَلَا كَبِيرَةً إِلَّا أَحْصَاهَا وَوَجَدُوا مَا عَمِلُوا حَاضِرًا وَلَا يَظْلِمُ رَبُّكَ أَحَدًا ﴿٤٩﴾

Bermaksud: "Dan (kitab-kitab amal) juga tetap akan dibentangkan maka engkau akan melihat orang-orang yang berdosa itu merasa takut akan apa yang tersurat di dalamnya dan mereka akan berkata; Aduhai celakanya kami, mengapa kitab ini demikian keadaannya? Ia tidak meninggalkan yang kecil atau yang besar melainkan semua dihitungnya! Dan mereka dapati segala yang mereka kerjakan itu sedia (tertulis di dalamnya) dan (ingatlah) Tuhanmu tidak berlaku zalim kepada seseorangpun".

أَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ ۚ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا ﴿٥٦﴾

Bermaksud: "Sesungguhnya Allah dan malaikat berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad SAW), wahai orang-orang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucaplah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya". (Al-Ahzab: 56)

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ والْمُؤمِنَاتِ، وَأَصْلِحْ ذَاتَ بَيْنِهِمْ وَأَلِّفْ بَيْنَ قُلُوْبِهِمْ وَاجْعَلْ فِيْ قُلُوْبِهِمُ اْلإِيْمَانَ وَاْلحِكْمَةَ وَثَبِّتْهُمْ عَلَى مِلَّةِ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى اللهِ عَلَيهِ وَسَلَّم.

Ya Allah, bukakanlah hati kami untuk melaksanakan ibadat zakat sebagaimana yang telah Engkau fardhukan. Berkatilah hidup hamba-Mu yang melaksanakan tuntutan zakat dan para pewakaf yang telah menginfaqkan harta mereka ke jalan-Mu. Sucikanlah harta dan jiwa mereka, lindungilah golongan fuqara dan masakin daripada kekufuran dan kefakiran yang berpanjangan.

Ya Allah, kurniakanlah sepenuh taufiq dan hidayah-Mu terhadap Raja kami, Duli Yang Maha mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Al-Marhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah al-Maghfurulahu dan Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan Tuanku Zara Salim serta kerabat dan seluruh rakyat jelata sekalian.

رَبَّنَا ءَاتنِاَ فِى الدُّنْياَ حَسَنَةً وَفِى الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ،
عِبَادَ الله، اِنَّ الله يَأْمُرُ بِاْلعَدْلِ وَالأِحْسَانِ وَإِيْتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَاْلمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُوْنَ. فَاذْكُرُوْا اللهَ الْعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ وَاشْكُرُوْهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ وَلَذِكْرُاللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ. 


Teks asal khutbah ini boleh juga dimuat turun dari laman Google Drive. Klik sini.


Friday, April 1, 2016

KHUTBAH JUMAAT - 23 JAMADIL AKHIR 1437 / 1 APRIL 2016



BEKERJA SEBAGAI SATU TUNTUTAN AMANAH DAN TANGGUNGJAWAB

Khutbah Pertama

الْحَمْدُ لِلَّهِ الْذِي نَحْمَدُهُ وَنَسْتَعِينُهُ وَنَسْتَغْفِرُهُ، وَنُؤْمِنُ بِهِ وَنَتَوَكَّلُ عَلَيْهِ، وَنَعُوذُ بِاللهِ مِنْ شُرُورِ أَنْفُسِنَا وَمِنْ سَيِّئَاتِ أَعْمَالِنَا، مَنْ يَهْدِهِ اللهُ فَلَا مُضِلَّ لَهُ، وَمَنْ يُضْلِلْ فَلَا هَادِيَ لَهُ، وَاَشْهَدُ اَنْ لاَ ِالــهَ اِلاَّ الله وَحْدَهُ لاَشَرِيْكَ لَهُ، وَاَشْهَدُ اَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ، اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ. أَمَّا بَعْدُ، فَيَا أًيُّهَا الْمُسْلِمُوْنَ  الْمُؤْمِنُونَ، اِتَّقُوْا اللهَ اُوْصِيْكُمْ وَاِيّايَ بِتَقْوَى اللهِ وَطَاعَتِهِ فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَقَالَ اللهُ تَعَالَى فِى كِتَابِهِ الْعَزِيزِ:
.... وَسَيَرَى اللَّهُ عَمَلَكُمْ وَرَسُولُهُ ثُمَّ تُرَدُّونَ إِلَى عَالِمِ الْغَيْبِ وَالشَّهَادَةِ فَيُنَبِّئُكُمْ بِمَا كُنْتُمْ تَعْمَلُونَ ﴿٩٤﴾

Ayat yang dibacakan tadi dipetik dari Surah At-Taubah Ayat 94 yang bermaksud: "Dan Allah serta rasul-Nya akan melihat amal kamu (sama ada kamu kembali beriman atau tetap kufur), kemudian kamu akan dikembalikan kepada (Allah) yang Maha Mengetahui perkara-perkara yang ghaib dan nyata (untuk menerima balasan), lalu Dia menyatakan kepada kamu apa yang telah kerjakan".

Sidang jamaah yang dimuliakan,

Terlebih dahulu, saya ingin berpesan kepada diri saya sendiri dan sidang jamaah sekalian, marilah sama-sama kita mempertingkatkan ketaqwaan kita kepada Allah سبحانه وتعالى dengan sebenar-benar taqwa, iaitu dengan mengerjakan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya dan janganlah kita mati melainkan dalam keadaan Islam dan beriman kepada Allah سبحانه وتعالى. Mudah-mudahan dengan sifat itu kita mendapat keberkatan dan keredhaan dari Allah سبحانه وتعالى di dunia lebih-lebih lagi di akhirat. Mimbar pada hari ini akan membicarakan khutbah yang bertajuk; "Bekerja Sebagai Satu Tuntutan Amanah dan Tanggungjawab".

Sidang jamaah yang dirahmati,

Manusia dijadikan oleh Allah سبحانه وتعالى mempunyai beberapa tanggungjawab. Tanggungjawab manusia dengan Allah dan tanggungjawab manusia sebagai Khalifah di muka bumi. Begitu juga juga tanggungjawab sebagai pekerja kepada majikan, tanggungjawab suami kepada isteri dan anak-anak dan tangungjawab-tanggungjawab lain yang perlu dilaksanakan. Allah سبحانه وتعالى telah menjadikan bumi ini sebagai tempat yang mudah untuk mencari rezeki sebagaimana firman Allah سبحانه وتعالى dalam Surah Al-Mulk Ayat 15:

هُوَ الَّذِي جَعَلَ لَكُمُ الْأَرْضَ ذَلُولًا فَامْشُوا فِي مَنَاكِبِهَا وَكُلُوا مِنْ رِزْقِهِ وَإِلَيْهِ النُّشُورُ ﴿١٥﴾

Maksudnya: "Dialah yang menjadikan bumi untuk kamu yang mudah dijelajahi, maka jelajahilah di merata-rata ceruk rantau dan makanlah daripada rezeki yang dikurniakan Allah. (Ingatlah) kepada Allah jualah (tempat kembali kamu sesudah) dibangkitkan hidup semula".

Namun ada di kalangan kita menganggap tugas mencari rezeki bukan sebagai satu ibadah. Mereka hanya memahami ibadah itu dengan amalan-amalan khusus sahaja. Sebenarnya ibadah adalah nama yang menggabungkan setiap perkara yang disukai dan diredhai oleh Allah سبحانه وتعالى dari jenis perkataan atau perbuatan zahir dan batin. Setiap perbuatan atau kerja yang dilakukan oleh seorang muslim akan dianggap ibadah selagi ia mematuhi garis panduan yang dikehendaki oleh syara'. Justeru itu, terdapat hubungan langsung di antara kerja dan ibadah kerana kerana kedua-duanya perlu dilakukan untuk mencapai redha Allah سبحانه وتعالى. Di antara tuntutan penting dalam menjadikan kerja sebagai ibadah ialah:

1. Pekerjaan yang disertakan dengan niat ikhlas untuk mendapat keredhaan Allah.
2. Benar. Menurut Al-Imam Al-Ghazali ada beberapa jenis sifat benar. Di antaranya ialah:

a) Benar pada lidah: Menyampaikan sesuatu kenyataan atau berita menepati berita yang sebenarnya.
b) Benar pada niat: Membuat satu amal atau perbuatan kerana Allah سبحانه وتعالى.
c) Benar pada azam: Tekad melakukan kebajikan seperti apa yang telah diazamkan.
d) Benar pada janji dan benar pada amal: Berusaha bersungguh-sungguh supaya amalan zahirnya menepati apa yang tersembunyi dalam dirinya.

3. Amanah tanpa ada sedikitpun khianat.

Sidang jamaah yang dirahmati Allah,

Konsep kerja, ibadah dan amanah adalah merupakan tanggungjawab untuk meraih pendapatan yang dilakukan oleh seorang muslim juga mencari keredhaan Allah سبحانه وتعالى tanpa ada niat untuk kerana yang lainnya. Ianya adalah berkait dengan perkara; apa yang boleh dan apa yang tidak boleh dilakukan, halal dan haram serta berkait sama dengan syurga dan neraka. Nilai utama dan perlu ada dalam etika kerja kita untuk menjadikan ianya sebagai ibadah adalah amanah iaitu satu sifat tanggungjawab melaksanakan tugas tanpa menyalahgunakan kuasa dan kedudukan. Seseorang yang amanah akan mendapat kepercayaan orang lain. Manakala mereka yang khianat akan mendapat laknat dan kehinaan. Antara amalan orang yang amanah ialah:

1. Sentiasa menjalankan tugas dengan penuh tanggungjawab tanpa menyeleweng dan cuai.
2. Bersikap jujur dan setia kepada organisasi tanpa menyalahgunakan kuasa.
3. Menggunakan masa dengan sebaik-baiknya dan menyiapkan kerja dalam tempoh yang ditetapkan.
4. Berdisiplin dan mengawal diri dan tidak melakukan sesuatu yang boleh menghilangkan kepercayaan orang lain terhadap dirinya.
5. Menjaga amanah Allah سبحانه وتعالى yang utama antaranya ialah solat.

Peringatan buat diri saya dan tuan-tuan sidang jamaah sekalian dalam masa kita melaksanakan amanah kerja, janganlah kita cuai sehingga mengabaikan solat kepada Allah سبحانه وتعالى. Kerja yang dilakukan dengan meminggirkan hak Allah سبحانه وتعالى akan menyebabkan rezeki yang diperolehi tidak ada keberkatan, hati pula sentiasa rasa gelisah dan keluh kesah. Apakah gunanya usaha dan kerja di dunia sekiranya ia tidak membuahkan apa-apa hasil di akhirat.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بالقُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ، وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ الْأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالْأَمْوَاتِ، فَاسْتَغْفِرُوْهُ، فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ.


Khutbah Kedua

اَلْحَمْدُ لِلَّهِ الْقَائِلِ،
وَقُلِ اعْمَلُوا فَسَيَرَى اللَّهُ عَمَلَكُمْ وَرَسُولُهُ وَالْمُؤْمِنُونَ وَسَتُرَدُّونَ إِلَى عَالِمِ الْغَيْبِ وَالشَّهَادَةِ فَيُنَبِّئُكُمْ بِمَا كُنْتُمْ تَعْمَلُونَ ﴿١٠٥﴾
أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا  مُحَمَّدًا  عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ، اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أًجْمَعِينَ. أَمَّا بَعْدُ، فَيَاعِبَادَ الله، اتَّقُوا اللَّهَ، اُوْصِيْكُمْ وَاِيّايَ بِتَقْوَى اللهِ وَطَاعَتِهِ فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ.

Ayat yang dibacakan tadi dipetik dari Surah At-Taubah Ayat 105 yang bermaksud: "Dan katakanlah; Bekerjalah kamu maka Allah akan melihat perlakuanmu, begitu juga rasul-Nya dan orang-orang yang beriman, dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) yang Maha Mengetahui yang ghaib dan yang nyata, lalu Dia memberitahu kamu apa yang telah kamu lakukan".

Sidang jamaah sekalian,

Islam mengajar umatnya agar sentiasa berusaha mengamalkan kerja yang cemerlang dengan bertunjangkan iman dan akhlak. Bagi yang menyedari hakikat ini, mereka akan sentiasa berusaha meningkatkan kualiti kerja pada setiap masa tanpa rasa jemu. Mereka juga sedar bahawa bekerja itu bukan hanya sekadar tanggungjawab terhadap diri sendiri, keluarga, masyarakat dan negara, tetapi ianya merupakan amanah Allah سبحانه وتعالى. Justeru, marilah kita bermuhasabah dan istiqamah pada niat semasa kita melangkah keluar dari rumah, agar semua kerja yang dilaksanakan mendapat ganjaran pahala dari Allah سبحانه وتعالى. Mudah-mudahan setiap gerak kerja kita dikira sebagai ibadah dan dikurniakan rezeki yang penuh keberkatan.

أَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ ۚ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا ﴿٥٦﴾

Bermaksud: "Sesungguhnya Allah dan malaikat berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad SAW), wahai orang-orang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucaplah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya". (Al-Ahzab: 56)

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ والْمُؤمِنَاتِ، وَأَصْلِحْ ذَاتَ بَيْنِهِمْ وَأَلِّفْ بَيْنَ قُلُوْبِهِمْ وَاجْعَلْ فِيْ قُلُوْبِهِمُ اْلإِيْمَانَ وَاْلحِكْمَةَ وَثَبِّتْهُمْ عَلَى مِلَّةِ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى اللهِ عَلَيهِ وَسَلَّم.

Ya Allah, bukakanlah hati kami untuk melaksanakan ibadat zakat sebagaimana yang telah Engkau fardhukan. Berkatilah hidup hamba-Mu yang melaksanakan tuntutan zakat dan para pewakaf yang telah menginfaqkan harta mereka ke jalan-Mu. Sucikanlah harta dan jiwa mereka, lindungilah golongan fuqara dan masakin daripada kekufuran dan kefakiran yang berpanjangan.

Ya Allah, kurniakanlah sepenuh taufiq dan hidayah-Mu terhadap Raja kami, Duli Yang Maha mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Al-Marhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah al-Maghfurulahu dan Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan Tuanku Zara Salim serta kerabat dan seluruh rakyat jelata sekalian.

رَبَّنَا ءَاتنِاَ فِى الدُّنْياَ حَسَنَةً وَفِى الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ،
اِنَّ الله يَأْمُرُ بِاْلعَدْلِ وَالأِحْسَانِ وَإِيْتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَاْلمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُوْنَ. فَاذْكُرُوْا اللهَ الْعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ وَاشْكُرُوْهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ وَلَذِكْرُاللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ. 


Teks asal khutbah ini boleh juga dimuat turun dari laman Google Drive. Klik sini.