bersama kepimpinan ulamak




Akan Datang




Friday, March 18, 2016

KHUTBAH JUMAAT - 9 JAMADIL AKHIR 1437 / 18 MAC 2016



SUMBER AIR KHAZANAH ALLAH YANG TIDAK TERNILAI

Khutbah Pertama

الْحَمْدُ لِلَّهِ الْقَائِلِ:
وَنَزَّلْنَا مِنَ السَّمَاءِ مَاءً مُبَارَكًا فَأَنْبَتْنَا بِهِ جَنَّاتٍ وَحَبَّ الْحَصِيدِ ﴿٩﴾
أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا  وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدًا  عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ، اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أًجْمَعِينَ. أَمَّا بَعْدُ، فَيَاعِبَادَ الله، اتَّقُوا اللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنتُم مُّسْلِمُونَ.

Ayat yang dibacakan tadi dipetik daripada Surah Qaf Ayat 9 yang bermaksud: "Dan juga Kami telah menurunkan dari langit air (hujan) yang banyak faedahnya, lalu Kami tumbuhkan dengan air itu pokok-pokok tanaman (buah-buahan) dan biji-bijian yang dituai".

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Pada hari Jumaat yang berkat dan di dalam masjid yang mulia ini, saya berpesan kepada diri saya dan kepada sidang Jumaat yang menjadi tetamu Allah sekalian, marilah sama-sama kita meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan bersungguh-sungguh melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita menjadi umat yang terbaik, umat contoh dan memperoleh kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Mimbar pada hari ini akan membicarakan khutbah yang bertajuk; "Sumber Air Khazanah Allah Yang Tidak Ternilai".

Muslimin yang dirahmati Allah, 

Manusia diciptakan Allah untuk menghuni alam semesta yang sekaligus bertindak sebagai khalifah bagi mentadbir dan memelihara kelangsungan alam yang terbentang luas ini. Kerana itulah, manusia dibekalkan oleh Allah سبحانه وتعالى dengan kelebihan akal fikiran agar manusia dapat mengurus dan mentadbir alam ini serta mengambil manfaat sebanyak mungkin. Sebagai renungan kita semua, penciptaan alam semesta yang terbentang luas ini juga adalah sebahagian daripada tanda-tanda kebesaran dan kekuasaan Allah سبحانه وتعالى dan untuk mendekatkan diri seseorang hamba kepada Penciptanya. Firman Allah dalam Surah Yunus Ayat 101:

قُلِ انْظُرُوا مَاذَا فِي السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ وَمَا تُغْنِي الْآيَاتُ وَالنُّذُرُ عَنْ قَوْمٍ لَا يُؤْمِنُونَ ﴿١٠١﴾

Bermaksud: "Katakankanlah (wahai Muhammad); Perhatikanlah dan fikirkanlah apa yang ada di langit dan di bumi (dari segala kejadian yang menakjubkan, yang membuktikan keesaan Allah dan kekuasaan-Nya). Dalam pada itu, segala tanda dan bukti (yang menunjukkan kekuasaan Allah), dan segala Rasul (yang menyampaikan perintah-perintah Allah dan memberi amaran), tidak akan memberi faedah kepada orang-orang yang tidak menaruh kepercayaan kepada-Nya".

Agama Islam juga melarang umatnya daripada melakukan sebarang bentuk kerosakan di atas muka bumi. Ini termasuk kerosakan jiwa, harta benda dan alam sekitar. Bahkan umat Islam wajib mencontohi akhlak junjungan besar Nabi صلى الله عليه وسلم dalam memastikan hubungan dengan alam terus terpelihara. Berdasarkan sifat rahmah yang dibawa oleh baginda adalah untuk sekalian alam, maka apa sahaja kehidupan di atas alam ini wajib diberikan hak kehidupannya mengikut Sunnatullah. Manusia yang bijak mengguna akal fikiran akan bertambah mulia martabat mereka sekiranya dapat memanfaatkan khazanah alam dengan baik.

Muslimin yang dirahmati Allah,

Antara khazanah alam yang tidak ternilai harganya ialah air. Air menjadi unsur penting yang diperlukan oleh manusia dan seluruh kehidupan ciptaan Allah سبحانه وتعالى. Tanpa air, bumi akan tandus dan gersang serta tidak ada sesuatupun yang boleh hidup. Kepentingan air ini menjadi lebih nyata di mana dalam Al-Quran telah termaktub bahawa tiap-tiap makhluk yang hidup bergantung kepada air. Firman Allah dalam Surah Al-Anbiya' Ayat 30:

أَوَلَمْ يَرَ الَّذِينَ كَفَرُوا أَنَّ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ كَانَتَا رَتْقًا فَفَتَقْنَاهُمَا وَجَعَلْنَا مِنَ الْمَاءِ كُلَّ شَيْءٍ حَيٍّ أَفَلَا يُؤْمِنُونَ ﴿٣٠﴾

Bermaksud: "Dan tidakkah orang kafir itu memikirkan dan mempercayai bahawa sesungguhnya langit dan bumi itu pada asal mulanya bercantum lalu Kami pisahkan antara keduanya? Dan Kami jadikan dari air, tiap-tiap benda yang hidup. Maka mengapa mereka tidak mahu beriman?".

Pada zaman pra-Islam, telaga zam-zam merupakan satu-satunya sumber air bersih dari bawah tanah di kota Makkah. Umat Islam sangat mengambil berat tentang air zam-zam ini untuk kehidupan sebagai minuman, berwudhuk dan perubatan. Kerana itulah dikatakan datuk kepada Nabi Muhammad صلى الله عليه وسلم iaitu Abdul Muttalib telah menjaga, mengurus serta mengawal keselamatan sumber air di kota Makkah pada zaman itu. Menurut Abu Zar Al-Ghifari semasa beliau mula-mula sampai ke Makkah, beliau hidup dengan meminum air zam-zam selama sebulan.

Sejarah Islam sewaktu hijrah menyatakan bahawa hanya terdapat dua telaga air di Madinah. Telaga tersebut dikuasai oleh orang yahudi yang mengenakan syarat tertentu kepada sesiapa yang ingin menggunakannya. Dengan itu Nabi صلى الله عليه وسلم telah menawarkan kepada sesiapa di kalangan kaum muslimin yang ingin membeli salah satu telaga tersebut untuk diwakafkan kepada umat Islam. Saiyidina Uthman bin 'Affan menyahut seruan tersebut dengan membeli telaga yang kemudiannya diwakafkan kepada umat Islam dan penduduk seluruhnya. Terbukti peristiwa tersebut adalah antara peristiwa yang telah meningkatkan persaudaraan sesama umat Islam dan menguatkan dakwah syi'ar Islam kerana melihatkan pengorbanan umat Islam dalam meluaskan syi'ar Islam.

Sidang Jumaat yang dikasihi,

Dengan air kita dapat melakukan ibadah kepada Allah. Kita dapat membersihkan anggota-anggota badan yang sentiasa terdedah kepada pencemaran kerana tidak ditutupi pakaian dan juga boleh menghilangkan jangkitan kuman. Adalah lebih wajar bagi kita untuk membersihkan anggota badan sebelum bertemu dengan Allah ketika bersolat. Air mempunyai peranan yang sangat berkesan bukan sahaja bagi menghindari kekotoran fizikal malah juga kekotoran rohani. Al-Imam Ibnu Taimiyah menyatakan bahawa: "Sunnah Rasulullah datang dengan membawa ajaran untuk menghindari kekotoran yang ada pada tubuh manusia, sebagaimana dia juga datang membawa ajaran bagi menghindari kekotoran rohani". Sabda Rasulullah صلى الله عليه وسلم :

إِذَا اسْتَيْقَظَ أُرَاهُ أَحَدُكُمْ مِنْ مَنَامِهِ فَتَوَضَّأَ فَلْيَسْتَنْثِرْ ثَلَاثًا فَإِنَّ الشَّيْطَانَ يَبِيتُ عَلَى خَيْشُومِهِ

Bermaksud:"Ketika salah seorang daripada kamu bangun dari tidur berwudhuklah dan hiruplah air ke hidung dan mengeluarkannya kembali sebanyak tiga kali. Sesungguhnya syaitan bermalam di batang hidungnya". (Hadith riwayat Al-Bukhari)

Sebagai umat Islam umat Islam di negara ini seharusnya kita bersyukur dengan sumber air melalui rahmat curahan hujan yang tinggi yang telah dikurniakan oleh Allah سبحانه وتعالى , pemilik dan pentadbir sekalian alam. Mengikut laporan Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia, negara kita dianggarkan menerima purata hujan tahunan sekitar 3000mm dengan jumlah kuantiti yang lebih tiga kali ganda purata global. Dengan ini negara kita dikategorikan sebagai negara yang kaya dengan sumber air bagi memenuhi semua keperluan domestik, pertanian, industri dan alam sekitar.

Namun pada ketika kita berada di dalam keadaan nikmat ini, kita tidak harus lupa bahawa semua yang berlaku adalah dengan kehendak Allah سبحانه وتعالى dan mempunyai kaitan terus dengan amalan umat Islam. Sekiranya amalan umat Islam itu secara umum mengikut kehendak Allah dan menepati sunnah baginda Rasulullah, maka natijahnya daripada amalan manusia itu diterjemahkan oleh Allah kepada keadaan dan persekitaran yang baik. Intensiti dan lebat hujan yang tidak menyebabkan banjir dan keadaan kering dan panas yang tidak melampau.

Berdasarkan perhatian mimbar, kesan daripada tabiat buruk masyarakat serta sikap tamak haloba telah banyak menjejaskan alam sekitar dan ekosistem dan secara langsung telah memberi kesan buruk kepada masyarakat. Kesan ini kita dapat lihat bukan sahaja di peringkat negara malah di peringkat serantau atau global. Lihat sahaja apa yang berlaku beberapa bulan yang lalu di mana keadaan jerebu yang menyelubungi negara adalah dari negara jiran. Begitu juga dengan keadaan peningkatan suhu global dan paras air laut yang disebabkan oleh pelepasan berlebihan asap oleh negara-negara maju. Bahkan kita juga sedang menghadapi cuaca panas luar biasa yang melanda seluruh negara. Kepada Allah سبحانه وتعالى kita mengadu.

Sidang Jumaat yang dimuliakan,

Di dalam negara kita juga kini terdapat kawasan tadahan sumber air di kawasan gunung-ganang, hutan rimba, sungai-sungai dan telaga air bumi yang telah dicemari. Meskipun sumber jumlah air masih tidak begitu terjejas, tetapi kesan pencemaran air daripada amalan buruk tabiat manusia telah menimbulkan isu kesihatan di mana saluran bekalan air kepada masyarakat terpaksa dihentikan. Justeru itu mimbar ingin berpesan bahawa segala nikmat itu tidak mustahil untuk ditarik balik oleh Allah dengan pelbagai cara sekiranya manusia terutama umat Islam tidak menghargainya kerana sumber air hujan yang banyak tidak menjamin sumber air mencukupi sepanjang masa.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بالقُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ، أَقُولُ قَوْلِي هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ الْأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالْأَمْوَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ، إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ.


Khutbah Kedua

اَلْحَمْدُ لِلَّهِ الْقَائِلِ،
وَأَنْزَلْنَا مِنَ السَّمَاءِ مَاءً بِقَدَرٍ فَأَسْكَنَّاهُ فِي الْأَرْضِ وَإِنَّا عَلَى ذَهَابٍ بِهِ لَقَادِرُونَ ﴿١٨﴾
أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا  وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدًا  عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ، اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أًجْمَعِينَ. أَمَّا بَعْدُ، فَيَاعِبَادَ الله، اتَّقُوا اللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنتُم مُّسْلِمُونَ.

Ayat yang dibacakan tadi dipetik daripada Surah Al-Mukminun Ayat 18 yang bermaksud: "Dan Kami turunkan hujan dari langit dengan sukatan tertentu, serta Kami tempatkan akannya di bumi dan sesungguhnya Kami berkuasa melenyapkannya".

Muslimin yang dirahmati Allah,

Mengambil kesempatan bersempena dengan sambutan Hari Air Sedunia yang diadakan pada 22 Mac setiap tahun, mimbar ingin berpesan marilah sama-sama kita mengambil tanggungjawab sebagai khalifah di muka bumi yang mana Allah سبحانه وتعالى telah mengamanahkan kepada kita semua dengan berusaha untuk menjaga khazanah alam ini dengan sebaik mungkin. Sedarlah bahawa Allah Yang Maha Mengetahui, Maha Melihat dan Mentadbir seluruh alam ini tahu setiap amalan dan niat manusia.

Mimbar yakin sekiranya semua manusia kembali kepada matlamat kehidupan yang sebenar muka bumi yang kita diami ini akan kembali aman dan tenang serta tiada lagi kegelisahan, ketakutan dan kebimbangan. Marilah sama-sama kita mengurus sumber air dengan rasa tanggungjawab, beramanah dan jujur bagi mengelak berlakunya kesan buruk terhadap kehidupan, ekonomi dan sosial negara. Ingatlah, anugerah Allah ini akan menjadi rahmat kepada kita dan dalam masa yang sama boleh menjadi asbab bala bencana serta azab yang menyiksa. Dengan itu, seharusnya umat Islam mengambil manfaat dan menambahkan ketaqwaan atas kebesaran kejadian Allah سبحانه وتعالى ini serta bertaubat dari segala dosa agar rahmat Allah berterusan. Mengakhiri khutbah pada minggu ini marilah sama-sama kita merenung firman Allah dalam Surah Ar-Rum Ayat 41:

ظَهَرَ الْفَسَادُ فِي الْبَرِّ وَالْبَحْرِ بِمَا كَسَبَتْ أَيْدِي النَّاسِ لِيُذِيقَهُمْ بَعْضَ الَّذِي عَمِلُوا لَعَلَّهُمْ يَرْجِعُونَ ﴿٤١﴾

Bermaksud: "Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan buruk mereka supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat)".

اَللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ والْمُؤمِنَاتِ، وَأَصْلِحْ ذَاتَ بَيْنِهِمْ وَأَلِّفْ بَيْنَ قُلُوْبِهِمْ وَاجْعَلْ فِيْ قُلُوْبِهِمُ اْلإِيْمَانَ وَاْلحِكْمَةَ وَثَبِّتْهُمْ عَلَى مِلَّةِ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى اللهِ عَلَيهِ وَسَلَّم. 

Ya Allah, bukakanlah hati kami untuk melaksanakan ibadat zakat sebagaimana yang telah Engkau fardhukan. Berkatilah hidup hamba-Mu yang melaksanakan tuntutan zakat dan para pewakaf yang telah menginfaqkan harta mereka ke jalan-Mu. Sucikanlah harta dan jiwa mereka, lindungilah golongan fuqara dan masakin daripada kekufuran dan kefakiran yang berpanjangan.

Ya Allah, kurniakanlah sepenuh taufiq dan hidayah-Mu terhadap Raja kami, Duli Yang Maha mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Al-Marhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah al-Maghfurulahu dan Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan Tuanku Zara Salim serta kerabat dan seluruh rakyat jelata sekalian.

رَبَّنَا ءَاتنِاَ فِى الدُّنْياَ حَسَنَةً وَفِى الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ،
اِنَّ الله يَأْمُرُ بِاْلعَدْلِ وَالأِحْسَانِ وَإِيْتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَاْلمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُوْنَ. فَاذْكُرُوْا اللهَ الْعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ وَاشْكُرُوْهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ وَلَذِكْرُاللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ. 


Teks asal khutbah ini boleh juga dimuat turun dari laman sesawang Google Drive. Klik sini.

No comments:

Post a Comment

KULIAH SETIAP AHAD MINGGU KEDUA




Kempen Tiga B