Friday, March 4, 2016

KHUTBAH JUMAAT - 24 JAMADIL AWAL 1437 / 4 MAC 2016


UMRAH ANTARA TUNTUTAN IBADAH DAN TANGGUNGJAWAB MENCEGAH PENIPUAN

Khutbah Pertama

الْحَمْدُ لِلَّهِ الْذِي خَلَقَ الْمَوْتَ وَالْحَيَاةَ لِيَبْلُوَكُمْ أَيُّكُمْ أَحْسَنُ عَمَلًا، أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، أَلاَ لَهُ الْخَلْقُ وَالْأَمْرُ تَبَارَكَ اللهُ رَبُّ الْعَالَمِيْنَ، وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا  عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ، بَعَثَهُ شَاهِدًا وَمُبَشِّرًا وَنَذِيرًا، وَدَاعِيًا إِلَى اللَّهِ بِإِذْنِهِ وَسِرَاجًا مُنِيرًا، اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ. أَمَّا بَعْدُ، فَيَاعِبَادَ الله، اتَّقُوا اللَّهَ، اُوْصِيْكُمْ وَاِيّايَ بِتَقْوَى اللهِ وَطَاعَتِهِ فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَقَالَ اللهُ تَعَالَى، أَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
 يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ وَلْتَنْظُرْ نَفْسٌ مَا قَدَّمَتْ لِغَدٍ وَاتَّقُوا اللَّهَ إِنَّ اللَّهَ خَبِيرٌ بِمَا تَعْمَلُونَ ﴿١٨﴾

Bermaksud: "Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah (dengan mengerjakan suruhan-Nya dan meninggalkan larangan-Nya), dan hendaklah setiap kamu melihat (memikirkan) apa yang telah kamu sediakan untuk menghadapi hari esok (hari akhirat) dan bertaqwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah amat Mengetahui akan apa yang kamu kerjakan". (Surah Al-Hashr Ayat 18)

Sidang jamaah yang dirahmati Allah,

Alangkah ruginya hidup tanpa disinari taqwa kepada Allah سبحانه وتعالى. Kehidupan di dunia menjadi sia-sia, malah di akhirat bakal binasa dalam neraka. Justeru, carilah keberkatan di dunia serta kemenangan di akhirat dengan menyerlahkan ketaqwaan sebenar melalui kesungguhan mentaati segala perintah Allah dan menjauhi larangan-Nya. Hanya dengan taqwa dapat menjamin keselamatan perjalanan kita menuju akhirat yang kekal dan dalam keadaan Allah redha kepada kita sebagai hamba-Nya.

Sidang jamaah yang dirahmati Allah,

Setelah berakhirnya 10 Zulhujjah maka berakhir sudah musim haji yang lalu. Maka dengan itu telah bermulalah musim umrah sesi 2016 yang dijangka akan melibatkan lebih 250,000 jamaah umrah dari Malaysia. Bersempena dengan musim umrah pada tahun ini, mimbar mengambil kesempatan untuk membicarakan khutbah yang bertajuk; "Umrah Antara Tuntutan Ibadah Dan Tanggungjawab Mencegah Penipuan".

Umrah dari sudut bahasa bermaksud ziarah manakala dari sudut istilah ialah menziarahi Baitullahil Haram bagi mengerjakan ibadat tertentu mengikut syarat-syaratnya pada bila-bila masa. Umrah adalah ibadah yang sangat dituntut oleh سبحانه وتعالى. Hukum mengerjakan ibadah umrah adalah wajib mengikut pendapat jumhur ulama' ke atas setiap umat Islam yang mekallaf dan berkemampuan dari sudut kewangan serta sihat tubuh badan. Kewajiban mengerjakan umrah perlu dilakukan sekurang-kurangnya sekali seumur hidup. Dalil kewajiban melaksanakan ibadah umrah ini ialah melalui firman Allah SWT dalam Surah Al-Baqarah Ayat 196:

وَأَتِمُّوا الْحَجَّ وَالْعُمْرَةَ لِلَّهِ... ﴿١٩٦﴾

Maksudnya: "Dan sempurnakanlah ibadah haji dan umrah kerana Allah".

Antara fadhilat mengerjakan umrah ialah dapat menghapuskan dosa-dosa sepertimana dalam dalam hadith yang meriwyatkan oleh Imam Al-Bukhari dan Imam Muslim daripada Abu Hurairah رضي الله عنه bahawa Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda:

الْعُمْرَةُ إِلَى الْعُمْرَةِ كَفَّارَةٌ لِمَا بَيْنَهُمَا

Bermaksud: "Mengerjakan umrah ke satu umrah yang lain menjadi penghapus dosa yang dilakukan di antara kedua umrah tersebut".

Melalui ibadah umrah juga jamaah akan berpeluang untuk menunaikan solat di Masjidil Haram yang mana pahalanya adalah seratus ribu gandaan daripada tempat lain. Jamaah juga akan dapat menelusuri perjalanan hidup Nabi صلى الله عليه وسلم dan para sahabat dalam memperjuangkan Islam.

Sidang jamaah yang dirahmati Allah, Ibadah umrah secara relatifnya lebih mudah ditunaikan berbanding haji kerana tiada kekangan kuota dan peraturan yang ketat. Saban tahun jamaah umrah dari Malaysia menunjukkan peningkatan yang sangat ketara. Bagi tahun 2014 sahaja seramai 250,000 orang telah mengerjakan umrah berbanding kuota haji hanya sebanyak 22,320. Jamaah umrah dari Malaysia dijangka meningkat untuk sesi 2015/2016 ini hingga mencecah 290,000 orang.

Sidang Jumaat yang berbahagia,

Di dalam konteks Malaysia, pengelolaan, perlesenan dan pengendalian umrah secara langsung adalah di bawah bidang kuasa Kementerian Pelancungan dan Kebudayaan Malaysia (KPK). Tidak ada mana-mana syarikat atau individu pun dibenarkan menjalankan pelancungan umrah / menjual pakej umrah / mengendalikan jamaah umrah Malaysia kecuali dilesenkan dibawah akta industri pelancungan dan peraturan-peraturan industri pelancungan (perniagaan pelancungan dan perniagaan agensi pengembaraan) 1992. Ini kerana pakej umrah adalah salah satu aktiviti yang dijalankan oleh perniagaan pelancumgam luar negeri (Outbound Tour Operating Business).

Kerajaan Arab Saudi selaku penjaga dua tanah suci juga turut meletakkan syarat bagi mengawal bilangan jamaah yang berada di tanah suci dari seluruh negara. Antaranya berlesen yang berdaftar dengan Muassasah Kerajaan Arab Saudi sahaja. Di samping itu syarikat pengendali umrah juga dikehendaki mengadakan perjanjian kerjasama dengan hotel dan syarikat pengangkutan di Arab Saudi yang diiktiraf oleh Muassasah Kerajaan Arab Saudi.

Permohonan visa umrah hanya diluluskan oleh kerajaan Arab Saudi setelah jamaah mempunyai pengesahan penginapan dan pengangkutan sepanjang di tanah suci yang diuruskan oleh syarikat yang berdaftar dengan Muassasah Kerajaan Arab Saudi serta membuktikan mempunyai tiket dua hala pergi dan balik. Kerajaan Arab Saudi juga tidak lagi membenarkan permohonan visa umrah secara individu. Daripada lebih 2000 syarikat berlesen outbound di Malaysia sehingga Oktober 2015, didapati hanya 61 syarikat sahaja yang berdaftar dengan Muassasah Kerajaan Arab Saudi. Syarikat ini sahaja yang layak memohon visa umrah dengan Kerajaan Arab Saudi.

Sidang Jumaat yang dikasihi sekalian,

Hakikat inilah yang masih tidak disedari oleh ramai umat Islam di Malaysia. Berikutan dengan keghairahan dan permintaan yang tinggi untuk mengerjakan umrah, jamaah leka dan alpa terhadap tanggungjawab untuk menyelidik dan menyiasat syarikat dan pakej sebelum sewenangnya membuat bayaran. Ramai jamaah yakin dan percaya terhadap penampilan warak segelintir manusia yang mengambil kesempatan terhadap kejahilan jamaah itu sendiri. Jahil dalam erti kata kurangnya ilmu dalam memilih pakej dan mengenali syarikat pengendali umrah yang sah berlesen. Inilah keadaan yang mengakibatkan umat Islam ditipu jutaan ringgit serta gagal atau terkandas sewaktu menunaikan umrah.

Dari tahun 2012 sehingga Ogos 2015, sebanyak 2761 kes yang melibatkan tuntutan kerugian sebanyak RM15,753,832.00 telah direkodkan oleh Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TPPM). Statistik yang dikeluarkan oleh Polis Diraja Mlaysia pula mencatatkan 189 kes dengan kerugian terkumpul berjumlah RM9.86 juta bagi tempoh yang sama. Ini menjadikan jumlah keseluruhan kerugian terkumpul sebanyak RM25.61 juta ringgit telah ditipu. Jumlah ini bukanlah jumlah yang kecil serta merupakan dari kes yang dilaporkan sahaja.

Pelbagai cara dan kaedah untuk memerangkap mangsa pakej umrah. Tiga kategori utama penipuan adalah menipu secara mutlak iaitu mengutip bayaran tetapi perkhidmatan tidak langsung diberikan, menipu dengan cara perkhidmatan tidak sama seperti yang dijanjikan, serta pelbagai kaedah penipuan termasuklah gores dan menang, cabutan bertuah serta kad seumur hidup. Taktik yang digunakan juga dipelbagaikan termasuk dengan menggunakan selebriti dan orang kenamaan, menyatakan kos pakej ditanggung sebahagian oleh dermawan, promosi melalui internet, Whatsapp dan sms serta harga pakej yang murah.

Benarlah firman Allah dalam Surah Al-Baqarah Ayat 195 yang telah memperingatkan manusia agar jangan mencampakkan diri dalam kebinasaan:

وَأَنْفِقُوا فِي سَبِيلِ اللَّهِ وَلَا تُلْقُوا بِأَيْدِيكُمْ إِلَى التَّهْلُكَةِ وَأَحْسِنُوا إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُحْسِنِينَ ﴿١٩٥﴾

Bermaksud: "Dan belanjakanlah (apa yang ada pada kamu) kerana (menegakkan) agama Allah dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan dan baikilah (dengan sebaik-baiknya segala usaha dan) perbuatan kamu kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya".

Maha Suci Allah yang telah murunkan peringatan ini pada satu Ayat awal sebelum dalil wajib haji dan umrah yang berada di dalam satu Ayat 196. Ayat ini memberi pengajaran kepada kedua-dua pihak iaitu syarikat dan jamaah umrah. Dalam konteks umrah, tiada halangan terhadap kos dan perbelanjaan pakej umrah kepada mereka yang mempunyai kemampuan.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بالقُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ، أَقُولُ قَوْلِي هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ الْأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالْأَمْوَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ، إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ.


Khutbah Kedua

اَلْحَمْدُ لِلَّهِ الْقَائِلِ،
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنْ جَاءَكُمْ فَاسِقٌ بِنَبَإٍ فَتَبَيَّنُوا أَنْ تُصِيبُوا قَوْمًا بِجَهَالَةٍ فَتُصْبِحُوا عَلَى مَا فَعَلْتُمْ نَادِمِينَ ﴿٦﴾

Bermaksud: "Wahai orang-orang beriman! Jika datang kepada kamu seorang yang fasiq membawa suatu berita maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya supaya kamu tidak menimpakan suatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang telah kamu lakukan". (Surah Al-Hujurat Ayat 6)

أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا  مُحَمَّدًا  عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ، اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أًجْمَعِينَأَمَّا بَعْدُ، فَيَاعِبَادَ الله، اتَّقُوا اللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنتُم مُّسْلِمُونَ.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah sekalian,

Ingatlah, dalam usaha mengejar ibadah umrah, pastikan diri dilindung dari penipuan dan penganiyaan. Usaha ini memerlukan kita sebagai pengguna untuk mempunyai ilmu bagi membeli pakej umrah yang sah dari syarikat yang berlesen. Tugas dan tanggungjawab jamaah sebagai pengguna juga turut meliputi memahami terma dan syarat seperti yang termaktub di dalam jadual keempat peraturan-peraturan industri pelancungan, memilih pengelola umrah yang diiktiraf oleh Majlis Kawal Selia Umrah (MKSU) sama ada berstatus Muassasah atau berlesen Outbound yang sah serta menyelidik latar belakang agensi serta pengalaman agensi mengelola umrah dan urusan visa.

Adalah menjadi tanggungjawab umat Islan untuk mencegah penipuan dan menjauhkan diri dari kebinasaan. Sesungguhnya inilah tanggungjawab yang telah diingatkan oleh baginda melalui hadithnya yang berbunyi:

مَنْ رَأَى مُنْكَرًا فَلْيُغَيِّرْهُ بِيَدِهِ فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِلِسَانِهِ فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِقَلْبِهِ وَذَلِكَ أَضْعَفُ الْإِيمَانِ

Maksudnya: "Barangsiapa di antara kamu yang melihat kemungkaran hendaklah ia mencegahnya dengan tangannya (kekuasaannya), jika tidak mampu, maka dengan lidahnya (secara lisan), dan jika tidak mampu maka dengan hatinya (merasakan tidak senang dan tidak setuju). Dan itu adalah selemah-lemah iman". (Hadith riwayat Abu Daud)

Sebagai kesimpulan, semoga peringatan yang dibawakan mimbar pada hari ini mampu dijadikan panduan untuk kita sama-sama mencegah penipuan pakej serta berusaha mendapatkan umrah yang mabrur. Sesungguhnya umrah itu adalah ibadah dan ibadah itu merupakan ujian oleh Allah سبحانه وتعالى bagi menilai hamba-hambanya yang soleh.

أَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ ۚ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا ﴿٥٦﴾

Bermaksud: "Sesungguhnya Allah dan malaikat berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad SAW), wahai orang-orang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucaplah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya". (Al-Ahzab: 56)

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ والْمُؤمِنَاتِ، وَأَصْلِحْ ذَاتَ بَيْنِهِمْ وَأَلِّفْ بَيْنَ قُلُوْبِهِمْ وَاجْعَلْ فِيْ قُلُوْبِهِمُ اْلإِيْمَانَ وَاْلحِكْمَةَ وَثَبِّتْهُمْ عَلَى مِلَّةِ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى اللهِ عَلَيهِ وَسَلَّم.

Ya Allah, bukakanlah hati kami untuk melaksanakan ibadat zakat sebagaimana yang telah Engkau fardhukan. Berkatilah hidup hamba-Mu yang melaksanakan tuntutan zakat dan para pewakaf yang telah menginfaqkan harta mereka ke jalan-Mu. Sucikanlah harta dan jiwa mereka, lindungilah golongan fuqara dan masakin daripada kekufuran dan kefakiran yang berpanjangan.

Ya Allah, kurniakanlah sepenuh taufiq dan hidayah-Mu terhadap Raja kami, Duli Yang Maha mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Al-Marhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah al-Maghfurulahu dan Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan Tuanku Zara Salim serta kerabat dan seluruh rakyat jelata sekalian.

رَبَّنَا ءَاتنِاَ فِى الدُّنْياَ حَسَنَةً وَفِى الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ، وَصَلَّى الله عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى ءَالِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِيْنَ، وَالْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِيْنَ.
عِبَادَ الله، اِنَّ الله يَأْمُرُ بِاْلعَدْلِ وَالأِحْسَانِ وَإِيْتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَاْلمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُوْنَ. فَاذْكُرُوْا اللهَ الْعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ وَاشْكُرُوْهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ وَلَذِكْرُاللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ.


Teks asal khutbah ini boleh juga dimuat turun dari laman sesawang Google Drive. Klik sini.

No comments:

Post a Comment