Thursday, March 10, 2016

KHUTBAH JUMAAT - 2 JAMADIL AKHIR 1437 / 11 MAC 2016


AL-QURAN SEBAGAI PENAWAR PENYAKIT UMAT

Khutbah Pertama

الْحَمْدُ لِلَّهِ الْقَائِلِ:
الم ﴿١﴾ ذَ‌ٰلِكَ الْكِتَابُ لَا رَيْبَ ۛ فِيهِ ۛ هُدًى لِّلْمُتَّقِينَ ﴿٢﴾
أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا  مُحَمَّدًا  عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ، الرَّحْمَةُ الْمُهْدَاةُ، وَالنِّعْمَةُ الْمُسْدَاةُ وَالسِّرَاجُ الْمُنِيرُ. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ حَبِيْبِنَا وَشَفِيعِنَا وَقُدْوَتِنَا نَبِيِّ الرَّحْمَة وَشَفِيعِ الْأُمَّةِ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُ وَنَصَرَهُ وَوَلَاهُ. أَمَّا بَعْدُ، فَيَاعِبَادَ الله، اتَّقُوا اللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنتُم مُّسْلِمُونَ.

Wahai hamba-hamba Allah,

Marilah sama-sama kita meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah سبحانه  وتعالى dengan melakukan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan apa yang menjadi kesamaran dan kekeliruan kepada kita, akan dapat diterangkan dengan ilmu pengetahuan.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Ayat yang dibacakan di awal khutbah tadi menyentuh tentang kelebihan Al-Quran yang tidak patut bagi kita meraguinya. Firman Allah سبحانه  وتعالى yang bermaksud: "Alif Lam Mim, kitab Al-Quran ini tidak ada sebarang syak wasangka (tentang datang-Nya dari Allah dan tentang kesempurnaan-Nya), Ia pula menjadi petunjuk bagi orang-orang yang (hendak) bertaqwa". (Surah Al-Baqarah Ayat 1 dan 2)

Inilah dalil bagi jaminan Allah bahawa Al-Quran adalah panduan kehidupan kehidupan yang sebenar. Di waktu manusia tercari-cari penyelesaian kemelut dalaman dan luaran dirinya, maka kasih sayang Allah menurunkan Al-Quran sebagai jalan keluar dari setiap masalah yang mengandung kegelisahan jiwa manusia. Namun begitu, penerimaan manusia terhadap petunjuk Al-Quran mengikut tahap ketaqwaan masing-masing. Yang sempurna iman dan taqwanya, mengambil Al-Quran secara keseluruhan dan mengamalkan isi Al-Quran dalam seluruh kehidupan hariannya. Halal haram, dosa pahala cukup diawasi agar selari dengan redha Allah. Inilah jiwa seorang hamba yang taat. Manusia yang jauh dari panduan Al-Quran, hidupnya dalam keraguan. Mungkin hidupnya kaya raya tetapi tidak berkat. Mungkin pangkatnya besar tetapi dalam kegelisahan. Alangkah malangnya manusia ini, di dunia dia disanjung tetapi di akhirat dia meraung-raung dalam penyesalan. Semua bermula dengan pembacaan Al-Quran. Barangkali inilah hikmah kenapa Al-Quran mula-mula diturunkan dengan perintah Iqra' (إقراء) iaitu Bacalah seperti firman Allah سبحانه  وتعالى dalam Surah Al-'Alaq Ayat 1 hingga 5:

اقْرَأْ بِاسْمِ رَبِّكَ الَّذِي خَلَقَ ﴿١﴾ خَلَقَ الْإِنسَانَ مِنْ عَلَقٍ ﴿٢﴾ اقْرَأْ وَرَبُّكَ الْأَكْرَمُ ﴿٣﴾ الَّذِي عَلَّمَ بِالْقَلَمِ ﴿٤﴾ عَلَّمَ الْإِنسَانَ مَا لَمْ يَعْلَمْ ﴿٥﴾ 

Bermaksud: "Bacalah dengan (menyebut) nama Tuhan-mu yang Menciptakan. Dia telah menciptakan manusia dari segumpal darah. Bacalah dan Tuhan-mulah yang Maha Pemurah yang mengajar (manusia) dengan perantaraan kalam. Dia mengajar kepada manusia apa yang tidak diketahuinya".

Allah تعالى memulakan wahyu-Nya kepada Rasulullah صلى الله عليه وسلم dengan kalimah إقراء (bacalah) menyuruh manusia membaca Al-Quran. Kalimah إقراء diulang dua kali menyuruh manusia melazimi membaca Al-Quran dan jangan ditinggal. Bermula dengan pembacaan Al-Quran manusia tahu apa kehendak Allah pada dirinya yang mesti dia buat dan mesti dia tinggalkan. Bermula dengan membaca Al-Quran barulah dia memahami-Nya siapa Penciptanya dan asal-usul dirinya yang dicipta dari segumpal darah akhirnya menjadi manusia. Bermula dari membaca Al-Quran dan memahami-Nya, akalnya pasti terpaut dengan benarnya Kalam Allah. 

Sidang jamaah sekalian,

Malangnya umat Islam hari ini ramai yang meringan-ringankan pembacaan Al-Quran. Berapa ramai umat Islam yang masih buta Al-Quran. Dari jumlah yang celik Al-Quran pula berapa ramai yang bacaannya fasih bertajwid dan betul. Dari jumlah umat Islam yang fasih berapa ramai yang melazimi hariannya dengan membaca Al-Quran. Itu belum dikira berapa ramai yang memahami apa yang dibaca. Bahkan berapa ramai pula yang mengamalkannya. Ternyata bilangan semakin mengecil membuktikan kita benar-benar jauh dari Al-Quran.

Renunglah dalam hati masing-masing apakah kita termasuk golongan yang jauh dari Al-Quran? Wahai anak muda, nikmat tangan yang Allah berikan lebih kerap kita memegang telefon bimbit dari memegang Al-Quran. Nikmat mata yang Allah berikan lebih kerap kita melayari internet, membaca buku-buku hiburan dan menonton televisyen lebih dari membaca Al-Quran. Nikmat mulut yang Allah beri lebih kerap kita mengalunkan nyanyian lagu-lagu artis yang diminati lebih dari membaca Al-Quran.

Sidang Jumaat yang berbahagia,

Janganlah pula di saat kita terbaring lemah di atas katil, menanti saat ajal datang, kita mengalir air mata menyuruh kaum kerabat dan sahabat handai datang membaca Al-Quran untuk kita. Saat itu, kita sudah tiada daya. Kita ingin mendengar bacaan Al-Quran. Kita ingin menyentuh Al-Quran. Kita ingin memeluk Al-Quran bahkan kita ingin membaca Al-Quran. Barulah kita sedar betapa berharganya Al-Quran yang selama ini ianya hanya disimpan di rak buku kita tanpa dibaca. Alangkah bertuahnya jika nyawa diambil ketika membaca Al-Quran. Di dalam kubur Al-Quran sebagai peneman. Di akhirat kita mendapat syafaat Al-Quran. Semuanya bermula dengan membaca Al-Quran. Baginda صلى الله عليه وسلم bersabda:

اقْرَأُوا الْقُرْآنَ، فَإِنَّهُ يَأْتِي شَافِعًا لأَصْحَابِهِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ

Maksudnya: "Bacalah Al-Quran kerana sesungguhnya pada hari kiamat ia datang memberi syafaat kepada pembaca-pembacanya". (Hadith riwayat At-Tabrani)

Oleh itu, peluang umur yang masih tersisa, saya mengajak diri saya dan sidang Jumaat sekalian, perbaiki kualiti bacaan Al-Quran kita. Jika kita di tahap yang lemah bergurulah. Mungkin hari ini susahnya menyebut Ayat Al-Quran dengan betul, inshaAllah satu hari nanti, Allah perelokkan bacaan kita. Alangkah indahnya usaha ini mengundang rahmat Allah dipermudahkan-Nya melafazkan kalimah syahadah di saat nyawa diambil. Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda:

الَّذِي يَقْرَأُ الْقُرْآنَ وَهُوَ مَاهِرٌ بِهِ مَعَ السَّفَرَةِ الْكِرَامِ الْبَرَرَةِ، وَالَّذِي يَقْرَأُ الْقُرْآنَ وَيَتَتَعْتَعُ فِيهِ وَهُوَ عَلَيْهِ شَاقٌّ لَهُ أَجْرَانِ

Bermaksud: "Orang yang mahir membaca Al-Quran, akan berkumpul bersama malaikat-malaikat yang mulia lagi taat sedangkan orang yang tergagap-gagap dan bersusah payah jika membaca Al-Quran mendapat pahala dua kali ganda". (Hadith riwayat Imam Bukhari dan Imam Muslim)

Hadith ini membawa maksud bahawa orang yang membaca Al-Quran tetapi sulitnya atau payah hingga tergagap-gagap, merangkak-rangkak, dia tetap mendapat dua pahala. Pertama, pahala membaca Al-Quran. Kedua, pahala mencuba membaca Al-Quran walaupun sukar.

Sidang Jumaat yang dirahamati Allah,

Hari ini kita sering bertanya kenapa kerap terjadi musibah di kalangan umat Islam di sekeliling kita. Rosak akhlak, anak-anak kian derhaka kepada ibu-bapa, kecurian, pembunuhan, perzinaan, penindasan dan macam-macam lagi. Jawapannya kerana umat semakin jauh dari Al-Quran dan Allah mencabut roh Al-Quran dari jiwa umat Islam. Maka penawarnya kembali kepada Al-Quran. Pastikan diri kita, ahli keluarga kita dan orang yang berada di bawah tanggungan kita bukan sahaja celik Al-Quran bahkan menjadi orang yang yang sentiasa membaca Al-Quran. Mudah-mudahan inilah pembawa cahaya kebahagiaan di dunia dan akhirat. Firman Allah di dalam Surah Fushshilat Ayat 44:

وَلَوْ جَعَلْنَاهُ قُرْآنًا أَعْجَمِيًّا لَّقَالُوا لَوْلَا فُصِّلَتْ آيَاتُهُ ۖ أَأَعْجَمِيٌّ وَعَرَبِيٌّ ۗ قُلْ هُوَ لِلَّذِينَ آمَنُوا هُدًى وَشِفَاءٌ ۖ وَالَّذِينَ لَا يُؤْمِنُونَ فِي آذَانِهِمْ وَقْرٌ وَهُوَ عَلَيْهِمْ عَمًى ۚ أُولَـٰئِكَ يُنَادَوْنَ مِن مَّكَانٍ بَعِيدٍ ﴿٤٤﴾

Maksudnya: "Dan jikalau Kami jadikan Al-Quran itu suatu bacaan dalam bahasa selain arab, tentulah mereka mengatakan; Mengapa tidak dijelaskan ayat-ayatnya? Apakah (patut Al-Quran) dalam bahasa asing sedangkan (Rasul adalah orang) arab? Katakanlah; Al-Quran itu adalah petunjuk dan penawar bagi orang yang beriman. Dan orang-orang yang tidak beriman pada telinga mereka ada sumbatan, sedang Al-Quran itu suatu kegelapan bagi mereka (tidak memberi petunjuk bagi mereka). Mereka adalah (seperti) yang dipanggil dari tempat yang jauh".

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بالقُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ، وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ الْأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالْأَمْوَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ، فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ . 


Khutbah Kedua

الْحَمْدُ لِلَّهِ الْذِي أَرْسَلَ رَسُولَهُ بِالْهُدَىٰ وَدِينِ الْحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّينِ كُلِّهِ ۚ وَكَفَىٰ بِاللَّهِ شَهِيدًا، أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، لَهُ إِقْرَارًا بِهِ وَتَوْحِيْدًا، وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا  عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَسَلَّمَ تَسْلِيْمًا مَزِيْدًا. أَمَّا بَعْدُ، فَيَاعِبَادَ الله، اتَّقُوا اللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنتُم مُّسْلِمُونَ.

Hadirin sidang Jumaat sekalian,

Kitab Suci umat Islam iaitu Al-Quran mempunyai 30 juzuk 114 Surah dan 6236 Ayat. Bukan jumlah yang sedikit apabila kita boleh menghafaznya. Hal ini tidak boleh dilakukan oleh semua orang, para hafiz Al-Quran dibandingkan dengan seluruh umat Islam di dunia sangatlah sedikit. Tetapi tahukah anda keutamaan yang Allah janjikan untuk para hafiz Al-Quran di antaranya adalah:

1. Allah akan memberikan kepada hafiz Al-Quran mahkota kehormatan. Sesuai dengan yang terdapat di dalam sebuah hadith dari Abu Hurairah رضي الله عنه bersabda Rasulullah صلى الله عليه وسلم: "Orang yang hafaz Al-Quran kelak akan datang dan Al-Quran akan berkata; Wahai Tuhan, pakaikanlah dia dengan pakaian yang baik lagi baru. Maka orang tersebut diberi mahkota kehormatan. Al-Quran berkata lagi; Wahai Tuhan tambahkanlah pakaiannya. Kemudian orang itu diberi pakaian kehormatannya. Al-Quran berkata lagi; Wahai Tuhan redhalah dia. Maka kepadanya dikatakan; Baca dan naiklah. Dan setiap Ayat, ia diberi tambahan satu kebajikan". (Hadith riwayat At-Tirmidzi)

2. Akan dikumpulkan bersama malaikat yang mulia lagi taat; "Dan perumpaan orang yang membaca Al-Quran sedangkan ia hafaz Ayat-Ayat-Nya bersama para malaikat yang mulia dan taat". (Muttafaqun 'Alaih)

3. Orang tuanya memprolehi pahala khusus jika anak mereka penghafaz Al-Quran. Sabda Rasulullah صلى الله عليه وسلم: "Pada hari kiamat nanti, Al-Quran akan menemui penghafaznya ketika penghafaz itu keluar kuburnya. Al-Quran akan berdialog seseorang dan ia bertanya kepada penghafaznya; Apakah kamu mengenaliku? Penghafaz tadi menjawab; Aku tidak mengenal kamu. Al-Quran berkata; Aku adalah kawanmu, Al-Quran yang membuatmu kehausan di tengahari yang panas dan membuatmu tidak tidur pada malam hari. Sesungguhnya setiap pedagang akan mendapat keuntungan dagangannya dan kamu pada hari ini di belakang semua dagangan. Maka penghafaz Al-Quran tadi diberi kekuasaan di tangan kanannya dan diberi kekekalan di tangan kirinya, serta di atas kepalanya di pasang mahkota perkasa. Sedang kedua orang tuanya diberi dua pakaian baru lagi bagus yang harganya tidak dapat dibayar oleh penghuni dunia keseluruhannya. Kedua orang tua itu lalu bertanya; Kenapa kami diberi dengan pakaian begini? Kemudian dijawab; Kerana anakmu hafiz Al-Quran. Kemudian kepada penghafaz Al-Quran tadi diperintahkan; Bacalah dan naiklah ke tingkat-tingkat syurga dan kamar-kamarnya. Maka ia pun terus naik selagi ia tetap membaca, baik bacaan itu cepat atau perlahan (tartil)". (Hadith riwayat Al-Hakim)

Sidang jamaah yang berbahagia,

Itu baru sebahagian kecil dari kelebihan-kelebihan penghafaz Al-Quran dan bersempena dengan itu pihak Ma'ahad Tahfiz Al-Quran wal Qiraat Negeri Perak di bawah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) mempelawa lepasan SPM yang berkelayakan untuk memohon melanjutkan pelajaran di Ma'ahad Tahfiz Al-Quran wal Qiraat Negeri Perak dalam bidang diploma tahfiz wal qiraat dari Darul Quran Jakim. Tawaran dibuka untuk anak-anak Perak yang berkelayakan. Borang boleh didapati di Institut Tadbiran Islam Perak (INTIM). Borang boleh dihantar sebelum tarikh tutup 31 Mac 2016.

أَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ ۚ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا ﴿٥٦﴾

Bermaksud: "Sesungguhnya Allah dan malaikat berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad SAW), wahai orang-orang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucaplah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya". (Al-Ahzab: 56)

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ والْمُؤمِنَاتِ، وَأَصْلِحْ ذَاتَ بَيْنِهِمْ وَأَلِّفْ بَيْنَ قُلُوْبِهِمْ وَاجْعَلْ فِيْ قُلُوْبِهِمُ اْلإِيْمَانَ وَاْلحِكْمَةَ وَثَبِّتْهُمْ عَلَى مِلَّةِ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى اللهِ عَلَيهِ وَسَلَّم.

Ya Allah, bukakanlah hati kami untuk melaksanakan ibadat zakat sebagaimana yang telah Engkau fardhukan. Berkatilah hidup hamba-Mu yang melaksanakan tuntutan zakat dan para pewakaf yang telah menginfaqkan harta mereka ke jalan-Mu. Sucikanlah harta dan jiwa mereka, lindungilah golongan fuqara dan masakin daripada kekufuran dan kefakiran yang berpanjangan.

Ya Allah, kurniakanlah sepenuh taufiq dan hidayah-Mu terhadap Raja kami, Duli Yang Maha mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Al-Marhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah al-Maghfurulahu dan Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan Tuanku Zara Salim serta kerabat dan seluruh rakyat jelata sekalian.

رَبَّنَا ءَاتنِاَ فِى الدُّنْياَ حَسَنَةً وَفِى الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ،
إِنَّ الله يَأْمُرُ بِاْلعَدْلِ وَالأِحْسَانِ وَإِيْتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَاْلمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُوْنَ. فَاذْكُرُوْا اللهَ الْعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ وَاشْكُرُوْهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ وَلَذِكْرُاللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ.


Teks asal khutbah ini boleh juga dimuat turun dari laman sesawang Google Drive. Klik sini.

No comments:

Post a Comment