Tuesday, March 22, 2016

KHUTBAH JUMAAT - 16 JAMADIL AKHIR 1437 / 25 MAC 2016


KEBERSIHAN: SATU TUNTUTAN AGAMA

Khutbah Pertama

الْحَمْدُ لِلَّهِ الْقَائِلِ:
.... إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ التَّوَّابِينَ وَيُحِبُّ الْمُتَطَهِّرِينَ ﴿٢٢٢﴾
أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا  وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدًا  عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ، اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أًجْمَعِينَأَمَّا بَعْدُ، فَيَاعِبَادَ الله، اِتَّقُوْا اللهَ، اُوْصِيْكُمْ وَاِيّايَ بِتَقْوَى اللهِ، فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ.

Muslimin yang dirahmati Allah,

Saya berpesan kepada tuan-tuan dan diri saya sendiri, marilah sama-sama kita bertaqwa kepada Allah سبحانه وتعالى dengan memperkukuhkan pengabdian diri kita kepada-Nya dengan melaksanakan segala perintah dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan pada hari yang penuh berkah ini menjadikan kita insan yang berjaya di dunia dan akhirat. Tajuk khutbah pada hari ini ialah, "Kebersihan: Satu Tuntutan Agama".

Muslimin yang dirahmati Allah,

Dalam Islam menjaga kebersihan dan mewujudkan suasana yang bersih serta selesa menjadi satu tuntutan kerana ia berkait rapat dengan menjaga kesihatan. Kebersihan asas kepada kesihatan. Islam amat menyukai orang yang cintakan kebersihan serta sentiasa menjaga kebersihan diri kerana sihat adalah suatu nikmat Allah سبحانه وتعالى yang amat besar nilainya yang perlu dijaga dan dipelihara. Firman Allah سبحانه وتعالى dalam Surah Al-Baqarah Ayat 222:

.... إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ التَّوَّابِينَ وَيُحِبُّ الْمُتَطَهِّرِينَ ﴿٢٢٢﴾

Maksudnya: "Sesungguhnya Allah mengasihi orang yang banyak bertaubat dan mengasihi orang yang sentiasa mensucikan diri".

Sabda Rasulullah صلى الله عليه وسلم :

الطُّهُورُ شَطْرُ الْإِيمَانِ

Bermaksud: "Kebersihan itu sebahagian daripada iman". (Hadith riwayat Muslim)

Oleh yang demikian untukmenjaga kebersihan diri dan membina persekitaran serta suasana yang bersih, maka menjadi keutamaan kepada kita sebagaimana yang dititikberatkan dalam sabda Rasulullah صلى الله عليه وسلم :

حَقٌّ لِلَّهِ عَلَى كُلِّ مُسْلِمٍ أَنْ يَغْتَسِلَ فِي كُلِّ سَبْعَةِ أَيَّامٍ يَغْسِلُ رَأْسَهُ وَجَسَدَهُ

Bermaksud: "Mandi itu adalah wajib ke atas setiap orang Islam yang mana pada setiap tujuh hari, satu hari daripadanya wajib membasuh kepala dan jasmaninya". (Hadith riwayat Muslim)

Dan sabdanya lagi:

الْفِطْرَةُ خَمْسٌ الْخِتَانُ وَالِاسْتِحْدَادُ وَقَصُّ الشَّارِبِ وَتَقْلِيمُ الْأَظْفَارِ وَنَتْفُ الْآبَاطِ

Bermaksud: "Lima perkara yang menjadi fitrah manusia iaitu berkhitan, mencukur bulu ari-ari, menggunting misai, memotong kuku dan mencabut bulu ketiak". (Hadith riwayat At-Tabrani)

Para ulamak juga telah memberikan perhatian yang penting tentang kebersihan apabila memulakan perbincangan dalam kitab fiqh dengan bab toharoh iaitu kebersihan. Ini membuktikan bahawa Islam, para Nabi dan para alim ulamak telah mengambil berbagai insentif untuk memberikan kefahaman bahawa menjaga dan mengamalkan kebersihan adalah penting dan sangat dituntut oleh agama kita yang mana suci.

Muslimin yang dirahmati Allah, 

Islam sangat menggalakkan umatnya menbersihkan diri sebelum melakukan apa-apa ibadat. Apabila seseorang yang hendak mendirikan solat perlulah terlebih terlebih dahulu memastikan diri, pakaian dan tempat solatnya bersih dan terhindar dari segala najis. Sekiranya soal tersebut diabaikan sudah tentulah solatnya tidak sempurna ataupun tidak sah. Umat Islam juga hendaklah peka dan bertanggungjawab untuk menjadikan tempat-tempat ibadat seperti masjid dan surau agar sentiasa dalam keadaan bersih, begitu juga dengan segala kemudahan yang disediakan seperti tandas perlulah dijaga supaya sentiasa dalam keadaan baik, kelihatan bersih atau tidak pula dirosakkan oleh orang yang tidak bertanggungjawab.Oleh kerana masjid atau surau merupakan tempat untuk mendirikan solat, maka ia perlu dijaga dan tidak dicemari dengan kekotoran atau bau busuk sebagaimana sabda Rasulullah صلى الله عليه وسلم :

إِنَّ هَذِهِ الْمَسَاجِدَ لَا تَصْلُحُ لِشَيْءٍ مِنْ هَذَا الْبَوْلِ وَلَا الْقَذَرِ إِنَّمَا هِيَ لِذِكْرِ اللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ وَالصَّلَاةِ وَقِرَاءَةِ الْقُرْآنِ

Bermaksud: "Bahawasanya masjid ini tidak boleh dicemari oleh najis dan kekotoran kerana kerana ia adalah tempat untuk berzikir kepada Allah سبحانه وتعالى dan membaca Al-Quran". (Hadith riwayat Muslim)

Berdasarkan pemerhatian mimbar didapati masih ramai dari kalangan umat Islam tidak menghayati tuntutan menjaga kebersihan, sama ada kebersihan diri sendiri atau kebersihan persekitaran. Tanggungjawab tersebut selalunya diserahkan kepada pihak lain, sedangkan Islam telah menetapkan menjaga kebersihan merupakan tanggungjawab bersama yang patut diamalkan oleh setiap orang Islam yang beriman. Al-Imam Ibnu Taimiyah رحمه الله menyatakan bahawa: "Sunnah Rasulullah datang dengan membawa ajaran untuk menghindari kekotoran yang ada pada tubuh badan manusia, sebagaimana dia juga datang dengan membawa ajaran bagi menghindari kekotoran rohani".

Muslimin yang dirahmati Allah,

Lambang kebersihan seseorang selain daripada diri dan pakaiannya juga dapat dilihat dari keadaan persekitaran kediaman. Sebuah kediaman yang bahagia ialah yang sentiada menjaga keindahan dan kebersihan di dalam dan diluar rumah agar ia kelihatan cantik dan menarik serta dapat memberi ketenteraman dan kenikmatan kepada penghuni rumah. Amalan menjaga keindahan dan kebersihan persekitaran rumah adalah satu amalan yang baik dan mulia. Sabda Rasulullah صلى الله عليه وسلم :

طَهَّرُوْا أَفْنِيَتَكُمْ ، فَإِنَّ الْيَهُودَ لَا تُطَهِّرُ أَفْنِيَتَهَا

Bermaksud: "Bersihkan halaman-halaman rumah kamu kerana sesungguhnya orang yahudi tidak membersihkan halaman-halaman rumahnya". (Hadith riwayat At-Tabrani)

Mengabaikan amalan kebersihan akan menyebabkan mudahnya tersebar pelbagai penyakit seperti kolera, cirit birit, denggi, keracunan makanan, penyakit kulit dan sebagainya. Ia juga akan menyumbang kepada suasana alam sekitar yang tidak sihat. Kita digalakkan untuk menjaga kebersihan alam sekitar dari pencemaran dan kemusnahan, berusaha untuk menjadikan alam sekitar berada dalam keadaan bersih sepanjang masa disamping mengekalkan keindahan alam semula jadi negara kita untuk menarik minat orang ramai dan pelancong.

Muslimin sidang jamaah yang dirahmati Allah,

Mimbar ingin memperingatkan sidang jamaah berhubung dengan menjaga kebersihan tandas-tandas masjid. Seringkali disebut tandas masjid kotor. Adalah amat mendukacitakan kerana dikaitkan kotor itu dengan sebuah institusi ibadat. Tandas adalah lambang ketamadunan dan pemikiran manusia. Di negara-negara maju bukan Islam malah di rumah-rumah ibadat bukan Islam, kebersihan tandas menjadi keutamaan, dijaga dengan bersih, cantik, kemas sedangkan keadaab itu tidak berlaku di masjid atau tempat-tempat ibadat Islam dan mendukacitakan, ianya sudah lari dari kehendak agama yangmeletakkan kebersihan itu separuh daripada iman dan yang lebih malang, kekotoran itu datangnya daripada masjid yang merupakan tempat penyebaran ilmu-ilmu agama termasuklah perkara-perkara berhubung dengan kebersihan atau toharoh. Isu ini tidak harus dipertanggungjawabkan semata-mata kepada pihak pengurusan masjid, namun ianya menuntut perubahan sikap, mentaliti pengguna tandas, khususnya umat Islam. Mimbar mengharapkan agar setiap umat Islam menyedari tanggungjawab ini demi kepentingan Islam agama kita anuti. Sikap tidak suka kebersihan ini bukanlah ajaran agama namun sekiranya kekotoran itu sering dilihat, seolah-olah ajaran Islam membiarkan dan tidak menitikberatkan kebersihan. Islam, agama yang murni dan maha tinggi tetapi dilindungi oleh sikap negatif umatnya.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بالقُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ، وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ الْأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالْأَمْوَاتِ، فَاسْتَغْفِرُوْهُ، فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ.


Khutbah Kedua

الْحَمْدُ لِلَّهِ حَمْدًا كَمَا أَمَرَ. اَشْهَدُ اَنْ لاَ ِالــهَ اِلاَّ الله وَحْدَهُ لاَشَرِيْكَ لَهُ، وَاَشْهَدُ اَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ، اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أًجْمَعِينَ. أَمَّا بَعْدُ، فَيَاعِبَادَ الله، اتَّقُوا اللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنتُم مُّسْلِمُونَ. 
أَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ ۚ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا ﴿٥٦﴾

Bermaksud: "Sesungguhnya Allah dan malaikat berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad SAW), wahai orang-orang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucaplah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya". (Al-Ahzab: 56)

اَللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ والْمُؤمِنَاتِ، وَأَصْلِحْ ذَاتَ بَيْنِهِمْ وَأَلِّفْ بَيْنَ قُلُوْبِهِمْ وَاجْعَلْ فِيْ قُلُوْبِهِمُ اْلإِيْمَانَ وَاْلحِكْمَةَ وَثَبِّتْهُمْ عَلَى مِلَّةِ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى اللهِ عَلَيهِ وَسَلَّم. 

Ya Allah, bukakanlah hati kami untuk melaksanakan ibadat zakat sebagaimana yang telah Engkau fardhukan. Berkatilah hidup hamba-Mu yang melaksanakan tuntutan zakat dan para pewakaf yang telah menginfaqkan harta mereka ke jalan-Mu. Sucikanlah harta dan jiwa mereka, lindungilah golongan fuqara dan masakin daripada kekufuran dan kefakiran yang berpanjangan.

Ya Allah, kurniakanlah sepenuh taufiq dan hidayah-Mu terhadap Raja kami, Duli Yang Maha mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Al-Marhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah al-Maghfurulahu dan Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan Tuanku Zara Salim serta kerabat dan seluruh rakyat jelata sekalian.

رَبَّنَا ءَاتنِاَ فِى الدُّنْياَ حَسَنَةً وَفِى الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ،
اِنَّ الله يَأْمُرُ بِاْلعَدْلِ وَالأِحْسَانِ وَإِيْتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَاْلمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُوْنَ. فَاذْكُرُوْا اللهَ الْعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ وَاشْكُرُوْهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ وَلَذِكْرُاللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ.


Teks asal khutbah ini boleh juga dimuat turun dari laman sesawang Google Drive. Klik sini.


No comments:

Post a Comment