bersama kepimpinan ulamak




Sedang Berlangsung Sekarang




Ucapan Eidul Fitri 1438 Dari Dewan Ulamak PAS Negeri Perak




Ucapan Eidul Fitri 1438 Dari Dewan Ulamak PAS Negeri Perak




Thursday, February 11, 2016

KHUTBAH JUMAAT - 3 JAMADIL AWWAL 1426 / 12 FEBRUARI 2016


GELAP DALAM SULUHAN CAHAYA

Khutbah Pertama

الْحَمْدُ لِلَّهِ الْقَائِلِ:
۞ اللَّهُ نُورُ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ ۚ مَثَلُ نُورِهِ كَمِشْكَاةٍ فِيهَا مِصْبَاحٌ ۖ الْمِصْبَاحُ فِي زُجَاجَةٍ ۖ الزُّجَاجَةُ كَأَنَّهَا كَوْكَبٌ دُرِّيٌّ يُوقَدُ مِن شَجَرَةٍ مُّبَارَكَةٍ زَيْتُونَةٍ لَّا شَرْقِيَّةٍ وَلَا غَرْبِيَّةٍ يَكَادُ زَيْتُهَا يُضِيءُ وَلَوْ لَمْ تَمْسَسْهُ نَارٌ ۚ نُّورٌ عَلَىٰ نُورٍ ۗ يَهْدِي اللَّهُ لِنُورِهِ مَن يَشَاءُ ۚ وَيَضْرِبُ اللَّهُ الْأَمْثَالَ لِلنَّاسِ ۗ وَاللَّهُ بِكُلِّ شَيْءٍ عَلِيمٌ ﴿٣٥﴾
أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا  مُحَمَّدًا  عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ،  اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أًجْمَعِينَ. أَمَّا بَعْدُ، فَيَاعِبَادَ الله، اتَّقُوا اللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنتُم مُّسْلِمُونَ.

Ayat yang dibacakan tadi dipetik daripada Surah An-Nur Ayat 35 yang bermaksud: "Allah (Pemberi) cahaya (kepada) langit dan bumi. Perumpaan cahaya-Nya adalah seperti sebuah lubang yang tidak tembus yang di dalamnya ada pelita besar. Pelita itu di dalam kaca (dan) kaca itu seakan-akan bintang (yang bercahaya) seperti mutiara yang dinyalakan dengan dari pohon yang berkah, (iaitu) pohon zaitun yang tumbuh tidak di sebelah timur (sesuatu) dan tidak pula di sebelah baratnya yang minyaknya (sahaja) hampir-hampir menerangi walaupun tidak disentuh api. Cahaya di atas cahaya (berlapis-lapis), Allah membimbing kepada cahaya-Nya sesiapa yang Dia kehendaki dan Allah memperbuat perumpaan-perumpaan bagi manusia dan Allah Maha Mengetahui segala sesuatu".

Sidang Jumaat yang berbahagia,

Saya berpesan kepada kepada diri saya dan sidang Jumaat sekalian, marilah kita bersama-sama meningkatkan keimanan dan ketaqwaan kita kepada Allah سبحانه وتعالى dengan penuh keyakinan iaitu dengan melaksanakan segala perintah-Nya dan berusaha bersungguh-sungguh meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan setiap usaha yang kita lakukan di dunia yang sementara ini akan dinilai di sisi Allah سبحانه وتعالى sebagai ganjaran pahala di akhirat kelak, seterusnya terselamat daripada azab api neraka Allah سبحانه وتعالى. Sebelum memulakan khutbah, saya ingin berpesan kepada sidang Jumaat sekalian agar menumpukan perhatian terhadap khutbah yang bakal disampaikan. Fahami dan hayati isi kandungan serta jangan bercakap-cakap dan membuat bising. Mimbar pada hari ini akan membicarakan khutbah yang bertajuk: "Gelap Dalam Suluhan Cahaya".

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah sekalian,

Salah satu langkah penting ke arah memajukan diri sendiri ialah dengan memantapkan kefahaman tentang Islam. Perkara ini amat perlu dititik beratkan memandangkan pelbagai tafsiran tentang Islam wujud pada masakini dan menyebabkan ada orang Islam yang telah terseret dengan kumpulan-kumpulan radikal seperti Pertubuhan Angkatan Sabiyullah, kumpulan Jundullah, kumpulan Arqam, Syi'ah, kumpulan Al-Ma'unah, kumpulan Mujahidin Malaysia (KMM), Jema'ah Islamiyyah (JI), Militan Darul Islam dan Al-Qaedah. Terbaru pada tahun 2014, timbul pula kumpulan Islamic State (IS) atau Da'ish yang mempunyai perkaitan rapat dengan konflik Syria yang sedang berlaku dan aktiviti militan di Timur Tengah yang cuba mengganggu-gugat kestabilan dan mengancam keselamatan negara. Secara sedar ataupun sebaliknya unsur-unsur ini sangat merbahaya jika dibiarkan berleluasa dalam masyarakat.

Oleh yang demikian, mimbar menyeru kepada sidang Jumaat sekalian, jika mempelajari agama Islam hendaklah merujuk kepada entiti yang berwibawa dan ada autoriti. Penerimaan dan pegangan kita kepada mazhab Ahli Sunnah Wal Jama'ah membuahkan cahaya yang membawa perpaduan dan keamanan di kalangan kita. Namun sebaliknya, kumpulan-kumpulan tersebut telah menyalah-gunakan nama Islam untuk menggulingkan kerajaan sekali-gus mencapai matlamat menubuhkan sebuah negara Islam mengikut acuan mereka sendiri. Allah سبحانه وتعالى telah menjelaskan di dalam Surah An-Nur Ayat 35:

نُّورٌ عَلَىٰ نُورٍ ۗ يَهْدِي اللَّهُ لِنُورِهِ مَن يَشَاءُ ۚ وَيَضْرِبُ اللَّهُ الْأَمْثَالَ لِلنَّاسِ ۗ وَاللَّهُ بِكُلِّ شَيْءٍ عَلِيمٌ ﴿٣٥﴾

Bermaksud: ".... cahaya berlapis cahaya. Allah memimpin sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut undang-undang dan peraturan-Nya) kepada nur hidayah-Nya itu dan Allah mengemukakan berbagai-bagai misal perbandingan untuk umat manusia dan Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu".

Kita dapat menyaksikan betapa gerakan militan IS ini begitu fanatik dan ekstrim dengan ideologi yang kononnya berpaksikan "Salafi Jihadi" serta mudah melabelkan orang yang menentang perjuangannya sebagai keluar dari Islam, murtad dan halal darah untuk dibunuh. Tindakan ekstrim yang dilakukan jelas melanggar hukum syariat. Mereka bukan setakat menyiksa tawanan, malah memenggal kepala, menembak hidup-hidup, menjerut kepala, membakar, menggilis dengan jentera berat, mengebom serta melakukan serangan bersenjata. Kemudian perlakuan kejam ini dirakam dan disebarkan ke media sosial untuk menimbulkan ketakutan dan kegerunan kepada masyarakat dunia dan amaran kepada sesiapa yang menentang gerakan mereka. Akibatnya, wujud suatu persepsi negatif orang bukan Islam kepada Islam sehingga melahirkan sistem Islamophobia di kalangan mereka.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah sekalian,

Menurut statistik tangkapan daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), cawangan khas Counter-Terrorism, Bukit Aman; sehingga hari ini seramai 157 orang warga Malaysia dan warga asing telah ditangkap di bawah beberapa peruntukan undang-undang seperti Akta Kesalahan Keselamatan Langkah-Langkah Khas 2012 (SOSMA), POCA 1959. SMATA (Akta 770) dan Akta POTA 2015 sebagai usaha mengekang keterlibatan rakyat Malaysia menyertai militan IS di Malaysia mahupun luar negara.

Justeru, muzakarah khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan bagi hal ehwal agama Malaysia bilangan 2015/1 yang bersidang pada 20 April 2015 memutuskan bahawa haram bagi umat Islam menyertai kumpulan militan IS yang bercanggah dengan prinsip ajaran Islam dan menggugat kestabilan dan keselamatan negara. Kecenderungan dan keghairahan umat Islam untuk berjihad atas nama IS di bumi Syria adalah berpunca daripada kekeliruan dalam memahami konsep jihad dan mati syahid yang sebenar mengikut syarak. Mereka juga mudah terpedaya dengan propaganda kumpulan pengganas IS melalui media massa dan sosial seperti aplikasi Whatsapp, Telegram, Instagram, WeChat, Facebook, Twitter dan sebagainya. Inilah antara modus operandi uatama mereka untuk pengkaderan dan merekrut golongan sasar seperti golongan dewasa, remaja sama ada lelaki mahupun wanita untuk berpegang kepada ideologi perjuangan mereka.

Persoalan besar timbul ialah mengapa umat Islam masih keliru dengan ajaran Islam dan fahaman ekstremis yang di bawa IS? Tidak lain ialah kerana mereka mendakwa negara Islam yang sedia ada merupakan sebuah kerajaan taghut dan sekular. Hakikatnya, mereka tidak mendapat gambaran yang tepat mengenai konflik di Syria sehingga melabelkan usaha pihak berkuasa dalam menentang dan menangkap militan IS sebagai pro-syi'ah malah mengancam untuk melakukan jihad qitali (perang) kerana mendakwa pemerintah tidak menegakkan Al-Quran dan As-Sunnah sepertimana acuan dan kehendak hawa nafsu mereka iaitu menubuhkan Daulah Islamiyyah yang dipimpin oleh khalifah dalam kalangan mereka.

Mereka teraba-raba di dalam suluhan cahaya disebabkan sistem kepercayaan diri yang lemah, amal ibadah dan akhlak yang bertentangan dengan Al-Quran, As-Sunnah, Ijma' dan Qiyas. Malah, mereka mudah melabelkan golongan yang tidak sealiran sebagai taghut, sekular, syirik, sesat, murtad dan kafir serta bersifat radikal. Allah سبحانه وتعالى telah menjelaskan di dalam Surah Al-Fatihah Ayat 6 dan 7:

اهْدِنَا الصِّرَاطَ الْمُسْتَقِيمَ ﴿٦﴾ صِرَاطَ الَّذِينَ أَنْعَمْتَ عَلَيْهِمْ غَيْرِ الْمَغْضُوبِ عَلَيْهِمْ وَلَا الضَّالِّينَ ﴿٧﴾

Bermaksud: "Tunjukilah kami jalan yang lurus. Iaitu jalan orang-orang yang Engkau telah kurniakan nikmat kepada mereka, bukan (jalan) orang-orang yang Engkau telah murkai dan bukan pula (jalan) orang-orang yang sesat".

Sidang Jumaat yang dikasihi sekalian,

Daripada realiti ini, dapat kita katakan bahawa antara ciri-ciri fahaman Salafi Jihadi yang dipromosikan oleh IS bertentangan dengan akidah Ahli Sunnah wal Jama'ah iaitu menolak dan tidak meraikan ulamak muktabar, fanatik kepada ulamak dari kalangan mereka sahaja, memahami Ayat-Ayat Al-Quran secara literal dan logik semata-mata, mentafsirkan Ayat Al-Quran tanpa kaedah yang tepat, mengingkari kedudukan hadith Nabi dan para sahabat sebagai sumber ajaran Islam, tidak meraikan fatwa dalam negara, mengubah asas-asas ibadah yang telah ditetapkan syarak dan mengkafirkan sesama muslim tanpa dalil syar'ie kerana tidak sealiran dengan fahaman mereka.

Berdasarkan ciri-ciri tadi, mimbar ingin menegaskan bahawa fahaman ini jika tidak dibendung dari awal akan terus berkembang dan menghasilkan tindakan radikal dan ekstremis. Ini bertepatan dengan hadith Rasulullah صلى الله عليه وسلم yang diriwayatkan oleh Imam Muslim yang berbunyi:

مَنْ خَرَجَ مِنْ الطَّاعَةِ وَفَارَقَ الْجَمَاعَةَ فَمَاتَ مَاتَ مِيتَةً جَاهِلِيَّةً وَمَنْ قَاتَلَ تَحْتَ رَايَةٍ عِمِّيَّةٍ يَغْضَبُ لِعَصَبَةٍ أَوْ يَدْعُو إِلَى عَصَبَةٍ أَوْ يَنْصُرُ عَصَبَةً فَقُتِلَ فَقِتْلَةٌ جَاهِلِيَّةٌ

Maksudnya: "Barangsiapa keluar dari ketaatan dan menyalahi jama'ah lalu dia mati, maka matinya seperti mati jahiliyyah. Barangsiapa yang mati di bawah bendera kefanatikan, marah kerana ashobiyyah atau kerana menolong ashobiyyah kemudian dia mati, maka matinya seperti mati jahiliyyah".

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Mimbar sekali lagi ingin berpesan bahawa Islam mengajar umatnya supaya bersikap sederhana dalam setiap amalan dan tindakan. Pada masa yang sama, kita juga diminta supaya menjauhi sebarang bentuk fahaman atau perbuatan ekstremis yang kesannya akan menjejaskan keharmonian, perpaduan, kestabilan serta keselamatan umat dan negara. Justeru, boleh memberikan tanggapan negatif terhadap kesucian dan kemuliaan agama Islam. Oleh itu, kita dituntut agar menampilkan kemuliaan akhlak, sikap dan keperibadian tinggi sebagai muslim sejati selari dengan tujuan pengutusan Rasulullah صلى الله عليه وسلم yang membawa rahmat bagi seluruh umat dan sekalian alam.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بالقُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ، وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ الْأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالْأَمْوَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ، فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ . 


Khutbah Kedua

الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي جَعَلَنَا مِنَ الْمُسْلِمِينَ، وَرَزَقَنَا مِنَ الطَّيِّبَاتِ، أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا  مُحَمَّدًا  عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ، اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ. أَمَّا بَعْدُ، فَيَاعِبَادَ الله، اتَّقُوا اللَّهَ، اُوْصِيْكُمْ وَاِيّايَ بِتَقْوَى اللهِ فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ.

Sidang jama'ah yang dirahmati Allah sekalian,

Mengakhiri khutbah pada hari ini, khatib ingin mengajak sidang jama'ah sekalian untuk menghayati beberapa perkara berikut sebagai panduan dan pedoman bersama:

Pertama: Fahaman tentang ajaran Islam yang sebenar sangat penting bagi mengelakkan tafsiran yang salah tentang Islam.

Kedua: Lakukan dakwah dalam berjihad secara hikmah dan bijaksana serta berlemah-lembut, bukan kekerasan dan keganasan.

Ketiga: Taksub dengan pandangan sempit yang bermotif kepentingan peribadi dan menafikan pandangan orang lain adalah tanda bermulanya aliran seorang ekstremis.

أَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا ﴿٥٦﴾

Bermaksud: "Sesungguhnya Allah dan malaikat berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad SAW), wahai orang-orang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucaplah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya". (Al-Ahzab: 56)

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ والْمُؤمِنَاتِ، وَأَصْلِحْ ذَاتَ بَيْنِهِمْ وَأَلِّفْ بَيْنَ قُلُوْبِهِمْ وَاجْعَلْ فِيْ قُلُوْبِهِمُ اْلإِيْمَانَ وَاْلحِكْمَةَ وَثَبِّتْهُمْ عَلَى مِلَّةِ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى اللهِ عَلَيهِ وَسَلَّم.

Ya Allah, bukakanlah hati kami untuk melaksanakan ibadat zakat sebagaimana yang telah Engkau fardhukan. Berkatilah hidup hamba-Mu yang melaksanakan tuntutan zakat dan para pewakaf yang telah menginfaqkan harta mereka ke jalan-Mu. Sucikanlah harta dan jiwa mereka, lindungilah golongan fuqara dan masakin daripada kekufuran dan kefakiran yang berpanjangan.

Ya Allah, kurniakanlah sepenuh taufiq dan hidayah-Mu terhadap Raja kami, Duli Yang Maha mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Al-Marhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah al-Maghfurulahu dan Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan Tuanku Zara Salim serta kerabat dan seluruh rakyat jelata sekalian.

رَبَّنَا ءَاتنِاَ فِى الدُّنْياَ حَسَنَةً وَفِى الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ،
اِنَّ الله يَأْمُرُ بِاْلعَدْلِ وَالأِحْسَانِ وَإِيْتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَاْلمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُوْنَ. فَاذْكُرُوْا اللهَ الْعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ وَاشْكُرُوْهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ وَلَذِكْرُاللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ.

Teks asal khutbah ini boleh juga dimuat turun dari laman Google Drive. Klik sini.


No comments:

Post a Comment

KULIAH SETIAP AHAD MINGGU KEDUA




Kempen Tiga B