Thursday, February 25, 2016

KHUTBAH JUMAAT - 17 JAMADIL AWAL 1437 / 26 FEBRUARI 2016



ISLAM CINTAKAN KEAMANAN DAN PERSAUDARAAN

Khutbah Pertama

الْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِيْنَ، وَالْعَاقِبَةُ لِلْمُتَّقِيْنَ، وَلَا عُدْوَانَ عَلَى الظَّالِمِيْنَ، وَلَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا بِاللهِ الْعَلِيِّ الْعَظِيْمِأَشْهَدُ أَنْ لآ إِلهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، الْمَلِكُ الْحَقُّ الْمُبِيْنُ. أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، الْمَلِكُ الْحَقُّ الْمُبِيْنُ.  وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا  مُحَمَّدًا  عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ، الصَّادِقُ الْوَعْدُ الْاَمِيْنُ. اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ أَفْضَلِ الْمَخْلُوْقِيْنَ، وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أًجْمَعِينَ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَاعِبَادَ الله، اتَّقُوا اللَّهَ، اُوْصِيْكُمْ وَاِيّايَ بِتَقْوَى اللهِ فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ.

Muslimin sidang Jumaat yang berbahagia,

Bertaqwalah kepada kita Allah سبحانه وتعالى kerana taqwa itulah sebaik-baik bekalan untuk dipersembahkan kepada Allah. Hanya taqwa sahajalah yang menjadi penentu sama ada kita akan bahagia atau sengsara di akhirat nanti.

Para jama'ah yang dikasihi sekalian,

Sesungguhnya Islam, agama yang amat mementingkan keamanan dan perpaduan. Perpaduanlah yang akan membuahkan keamanan. Islam tidak hanya sekadar membina hubungan manusia dengan Allah semata-mata, tetapi lebih luas daripada itu, tuntutannya mengcakupi juga hubungan baik sesama manusia dan makhluk-makhluk yang lain. Hal ini ditegaskan oleh Allah di dalam Surah Ali-Imran Ayat 112:

ضُرِبَتْ عَلَيْهِمُ الذِّلَّةُ أَيْنَ مَا ثُقِفُوا إِلَّا بِحَبْلٍ مِنَ اللَّهِ وَحَبْلٍ مِنَ النَّاسِ وَبَاءُوا بِغَضَبٍ مِنَ اللَّهِ وَضُرِبَتْ عَلَيْهِمُ الْمَسْكَنَةُ ذَلِكَ بِأَنَّهُمْ كَانُوا يَكْفُرُونَ بِآيَاتِ اللَّهِ وَيَقْتُلُونَ الْأَنْبِيَاءَ بِغَيْرِ حَقٍّ ذَلِكَ بِمَا عَصَوْا وَكَانُوا يَعْتَدُونَ ﴿١١٢﴾

Bermaksud: "Mereka diliputi kehinaan di mana sahaja mereka berada, kecuali jika mereka berpegang kepada tali (agama) Allah dan tali (perjanjian) dengan manusia dan mereka kembali mendapat kemurkaan dari Allah dan mereka diliputi kerendahan (martabat). Yang demikian itu kerana mereka kufur dengan Ayat-Ayat Allah dan membunuh para nabi tanpa alasan yang benar. Yang demikian itu disebabkan mereka derhaka dan melampaui batas".

Muslimin sidang Jumaat yang berbahagia,

Untuk membina perpaduan dan keamanan, Allah memerintahkan kita umat Islam agar benar-benar bersaudara antara satu sama lain. Asas persaudaraan dalam Islam bukanlah sekadar hubungan kekeluargaan atau suku sakat sesuatu bangsa sahaja, bahkan ia merupakan satu ikatan akidah yang cukup kukuh dan utuh, firman Allah dalam Surah Al-Hujurat Ayat 10:

إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ إِخْوَةٌ فَأَصْلِحُوا بَيْنَ أَخَوَيْكُمْ وَاتَّقُوا اللَّهَ لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُونَ ﴿١٠﴾

Bermaksud: "Sesungguhnya orang beriman itu bersaudara, oleh itu damaikanlah antara kedua saudaramu dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu mendapat rahmat".

Di samping Ayat tersebut, terdapat juga beberapa Ayat Al-Quran yang menjelaskan tentang hak yang perlu dipelihara oleh seorang muslim terhadap saudara seagama. Bukan sekadar memelihara dari segi pergaulan dan tutur bicara sahaja malah merangkumi segala aspek dalam kehidupan ini.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Sukalah ditegaskan bahawa syariat Islam menuntut kita agar bersatu padu, saling bantu membantu dan bekerjasama dalam melaksanakan perkara-perkara yang membawa kebaikan bersama di atas muka bumi ini dengan matlamat mencari keredhaan Allah سبحانه وتعالى. Jika kita mengkaji sejarah, dalam aspek pembinaan masyarakat Islam, kita dalam melihat dengan jelas bagaimana baginda Rasulullah صلى الله عليه وسلم berusaha bersungguh-sungguh menjalin hubungan sesama Islam tanpa mengira latar belakang keturunan, warna kulit dan kedudukan mereka. Sejarah telah membuktikan bahawa belum pernah berlaku penyatuan umat sehebat kejayaan yang telah dilakukan oleh Rasulullah صلى الله عليه وسلم. Baginda Rasulullah صلى الله عليه وسلم telah berjaya membina ketamadunan umat dalam tempoh yang singkat dan menggabungkan pelbagai fahaman agama yang berbeza di bawah panji Islam. Malah belum pernah berlaku dalam mana-mana sejarah penyatuan kehidupan manusia, di mana orang-orang dari golongan bangsawan dipersaudarakan dengan golongan hamba. Mereka sanggup berkorban harta, jiwa dan raga, hasil perasaan kasih sayang yang dipupuk, sehingga benar-benar menusuk dalam sanubari para sahabat. Seperti yang ditunjukkan oleh Saiyidina Abu Bakar As-Shiddiq dengan Saiyidina Bilal bin Rabah رضي الله عنهما. Malah setiap sahabat dapat merasai akan nikmat dari persaudaraan serta perpaduan yang dibina berteraskan agama Allah. Hal ini dapat dilihat dari hadith baginda صلى الله عليه وسلم :

الْمُؤْمِنُ لِلْمُؤْمِنِ كَالْبُنْيَانِ يَشُدُّ بَعْضُهُ بَعْضًا

Bermaksud: "Seorang mukmin terhadap seorang mukmin yang lain adalah seperti sebuah bangunan di mana sebahagiannya menguatkan sebahagian yang lain". (Hadith riwayat Imam Muslim)

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Kita perlu sama-sama berwaspada terhadap faktor-faktor dalaman atau sifat-sifat mazmumah yang bersarang dalam diri seperti sangka buruk, cemburu, hasad dengki, riak, takbur, keras kepala, tidak boleh ditegur dan seumpamanya. Kesemua sifat inilah yang menjadi punca dan mendorong kepada terjejasnya perpaduan dan keamanan dalam masyarakat, negara dan sejagat. Sifat-sifat seperti ini merupakan sindrom umat masa kini yang semakin parah. Akibatnya umat Islam kini menderita dan gagal bersaing dengan bangsa yang lain, sehingga terus dibelenggu perpecahan dan kehinaan. Baginda Rasulullah صلى الله عليه وسلم pernah bersabda: 

إِيَّاكُمْ وَالْحَسَدَ فَإِنَّ الْحَسَدَ يَأْكُلُ الْحَسَنَاتِ كَمَا تَأْكُلُ النَّارُ الْحَطَبَ أَوْ قَالَ الْعُشْبَ

Bermaksud: "Jauhilah kamu akan sifat dengki kerana sifat dengki akan memakan kebaikan kamu sepertimana api memakan kayu atau sabdanya memakan rumput". (Hadith riwayat Abu Dawud)

Sidang Jumaat yang berbahagia,

Selain daripada itu jika dilihat faktor luaran pula, bahawa musuh-musuh Islam sentiasa berusaha mencari jalan bagi menggagalkan persaudaraan dan perpaduan yang dibina sehingga keamanan yang kita cita-citakan hancur lebur lenyap dalam kehidupan ini. Sebagai contoh umat Islam dilemparkan dengan pelbagai tohmahan dan fitnah agar bersengketa dan bermusuhan sesama sendiri. Akibatnya umat Islam menjadi kacau bilau, huru hara dan mudah dikuasai. Di manakah silapnya sehingga dakwaan mengatakan Islam yang sempurna tidak lagi membawa apa-apa kesan yang utuh dan ampuh kepada penganut-penganut agama lain? Marilah kita bermuhasabah dan sama-sama berusaha untuk meleraikan kemelut yang melanda umat ini, mudah-mudahan akan muncul sinar terang-benderang untuk kita.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بالقُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ، أَقُولُ قَوْلِي هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ الْأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالْأَمْوَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ، إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ.


Khutbah Kedua

اَلْحَمْدُ لِلَّهِ الْقَائِلِ،
وَالْمُؤْمِنُونَ وَالْمُؤْمِنَاتُ بَعْضُهُمْ أَوْلِيَاءُ بَعْضٍ يَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنْكَرِ وَيُقِيمُونَ الصَّلَاةَ وَيُؤْتُونَ الزَّكَاةَ وَيُطِيعُونَ اللَّهَ وَرَسُولَهُ أُولَئِكَ سَيَرْحَمُهُمُ اللَّهُ إِنَّ اللَّهَ عَزِيزٌ حَكِيمٌ ﴿٧١﴾
أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا  مُحَمَّدًا  عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ، اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أًجْمَعِينَ. أَمَّا بَعْدُ، فَيَاعِبَادَ الله، اتَّقُوا اللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنتُم مُّسْلِمُونَ. 

Ayat yang dibacakan tadi dipetik dari Surah At-Taubah Ayat 71 yang bermaksud: "Dan orang-orang yang beriman lelaki dan perempuan setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain, mereka menyuruh berbuat kebaikan dan melarang daripada berbuat kejahatan dan mereka mendirikan solat dan memberi zakat serta taat kepada Allah dan Rasul-Nya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa lagi Maha Bijaksana".

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah sekalian,

Hakikat yang terjadi, kebanyakan negara umat Islam dibelenggu kemunduran dan menghadapi pelbagai masalah. Tidak ada jalan lain untuk mengatasi kemelut ini dalam usaha mengembalikan kegemilangan umat Islam, marilah kita mengukuhkan lagi persaudaraan demi keamanan sejagat. Janganlah kita berbalah sesama sendiri dalam perkara-perkara yang remeh-temeh, agar kita tidak mudah diperkotak-katikkan oleh musuh-musuh Islam. Allah سبحانه وتعالى berfirman dalam Surah Al-Anfal Ayat 46:

وَأَطِيعُوا اللَّهَ وَرَسُولَهُ وَلَا تَنَازَعُوا فَتَفْشَلُوا وَتَذْهَبَ رِيحُكُمْ وَاصْبِرُوا إِنَّ اللَّهَ مَعَ الصَّابِرِينَ ﴿٤٦﴾

Bermaksud: "Dan taatlah kamu kepada Allah dan RasulNya, dan janganlah kamu berbantah-bantahan; kalau tidak nescaya kamu menjadi lemah semangat dan hilang kekuatan kamu, dan sabarlah (menghadapi segala kesukaran dengan cekal hati); sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar".

Oleh sebab itulah kita perlu berwasapada dan berkorban, menggembeling pemikiran serta tenaga untuk memastikan dunia ini sentiasa aman dan damai. Kita tanamkan azam dalam diri kita dengan bertekad untuk mengembalikan kekuatan umat Islam.

أَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ ۚ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا ﴿٥٦﴾

Bermaksud: "Sesungguhnya Allah dan malaikat berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad SAW), wahai orang-orang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucaplah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya". (Al-Ahzab: 56)

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ والْمُؤمِنَاتِ، وَأَصْلِحْ ذَاتَ بَيْنِهِمْ وَأَلِّفْ بَيْنَ قُلُوْبِهِمْ وَاجْعَلْ فِيْ قُلُوْبِهِمُ اْلإِيْمَانَ وَاْلحِكْمَةَ وَثَبِّتْهُمْ عَلَى مِلَّةِ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى اللهِ عَلَيهِ وَسَلَّم.

Ya Allah, bukakanlah hati kami untuk melaksanakan ibadat zakat sebagaimana yang telah Engkau fardhukan. Berkatilah hidup hamba-Mu yang melaksanakan tuntutan zakat dan para pewakaf yang telah menginfaqkan harta mereka ke jalan-Mu. Sucikanlah harta dan jiwa mereka, lindungilah golongan fuqara dan masakin daripada kekufuran dan kefakiran yang berpanjangan.

Ya Allah, kurniakanlah sepenuh taufiq dan hidayah-Mu terhadap Raja kami, Duli Yang Maha mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Al-Marhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah al-Maghfurulahu dan Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan Tuanku Zara Salim serta kerabat dan seluruh rakyat jelata sekalian.

رَبَّنَا ءَاتنِاَ فِى الدُّنْياَ حَسَنَةً وَفِى الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ،.
عِبَادَ الله، اِنَّ الله يَأْمُرُ بِاْلعَدْلِ وَالأِحْسَانِ وَإِيْتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَاْلمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُوْنَ. فَاذْكُرُوْا اللهَ الْعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ وَاشْكُرُوْهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ وَلَذِكْرُاللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ.

Teks asal khutbah ini boleh juga dimuat turun dari laman Google Drive. Klik sini.

Friday, February 19, 2016

KHUTBAH JUMAAT - 10 JAMADIL AWWAL 2437 / 19 FEBRUARI 2016



PERANAN PENDIDIKAN ISLAM DI DALAM MEMPERBAIKI MASYARAKAT

Khutbah Pertama

الْحَمْدُ لِلَّهِ الْذِي عَلَّمَ بِالْقَلَمِ، عَلَّمَ الْإِنْسَانَ مَا لَمْ يَعْلَمْ، وَجَعَلَ الْعِلْمَ وَنُوْرًا يُضِئُ الْبَصَائِرَـ أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، جَعَلَ الْقُرْآنَ وَسِيْلَةً لِكَسْبِ الْعِلْمِ وَالْمعْرِفَةَ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا  مُحَمَّدًا  عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ، بَعَثَهُ اللهُ رَحْمَةً لِلْعَلَمِيْنَ يُخْرِجُهُمْ مِنَ الظُّلُمَاتِ إِلَى النُّورِـ اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ الَّذِينَ يَسْتَمِعُوْنَ الْقَوْل، فَيَتَّبِعُوْنَ أَحْسَنَهُ، أُوْلَئِكَ الَّذِيْنَ هَدَاهُمُ الله، وَأُوْلَئِكَ هُمْ أُوْلُوْا الْأَلْبَابِ، أَمَّا بَعْدُ، فَيَاعِبَادَ الله، اتَّقُوا اللَّهَ، اُوْصِيْكُمْ وَاِيّايَ بِتَقْوَى اللهِ وَطَاعَتِهِ فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ، قَالَ اللهُ تَعَالَى: 
قُلْ هَلْ يَسْتَوِي الَّذِينَ يَعْلَمُونَ وَالَّذِينَ لَا يَعْلَمُونَ إِنَّمَا يَتَذَكَّرُ أُولُو الْأَلْبَابِ ﴿٩﴾

Ayat yang dibacakan tadi dipetik dari Surah Az-Zumar Ayat 9 yang bermaksud: "Katakanlah; Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui? Sesungguhnya orang yang dapat mengambil pelajaran dan peringatan hanyalah orang-orang yang berakal sempurna".

Sidang Jumaat yang dikasihi sekalian,

Marilah sama-sama kita meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah سبحانه وتعالى dengan melakukan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan apa yang menjadi kesamaran dan kekeliruan kepada kita, akan dapat diterangkan dengan ilmu pengetahuan. Kerana hanya dengan ilmu sahajalah kita dapat membezakan di antara yang baik dengan yang buruk, di antara yang berakhlak dengan yang jahat, di antara yang benar dengan yang batil. Semoga kita tergolong di kalangan orang-orang yang mendapat hidayah Allah di dunia ini serta mendapat keampunan dan dikurniakan oleh Allah dengan nikmat syurga-Nya di akhirat. Tajuk khutbah kita pada hari ini ialah; "Peranan Pendidikan Islam Di Dalam Memperbaiki Akhlak Masyarakat".

Muslimin yang dirahmati Allah,

Sesungguhnya ilmu pengetahuan adalah suatu yang sangat penting dalam kehidupan manusia. Oleh sebab itu, Allah سبحانه وتعالى telah mewajibkan kita menuntut ilmu sebagaimana yang diriwayatkan oleh Ibnu Majah bahawa Rasulullah صلى الله عليه وسلم telah bersabda:

طَلَبُ الْعِلْمِ فَرِيْضَةٌ عَلَى كُلِّ مُسْلِمِيْنَ

Bermaksud: "Menuntut ilmu adalah satu kefardhuan ke atas setiap Muslim".

Islam telah menetapkan bahawa ilmu agama adalah ilmu yang paling utama untuk dipelajari. Menurut Syeikh Muhammad Al-Khidhir Hussain di dalam kitabnya As-Sa'adah al-'Uzma berkata: "Bahawa adalah suatu kebodohan dan dianggap sebagai tidak mempunyai perasaan bagi seorang bapa yang sanggup melihat anaknya meningkat dewasa tanpa ada bekal sedikitpun dari ilmu agama yang disuntikkan ke dalam pemikiran anaknya, bagi menempuh kehidupan di dunia ini. Sesungguhnya pendidikan agama itu akan mencorakkan diri seseorang anak menjadi manusia yang sebenarnya".

Kaum Muslimin yang berbahagia,

Islam telah mengingatkan umatnya, mengenai pentingnya ilmu agama atau ilmu pendidikan Islam itu sebagai satu-satunya cara di dalam memelihara akhlak dan peribadi mulia. Melalui pendidikan Islam, umat Islam tidak dibenarkan sama sekali melakukan sebarang bentuk kemungkaran, kemaksiatan, perkara keji dan seumpamanya kerana ia merupakan perbuatan-perbuatan yang merosakkan nilai akhlak manusia. Sesungguhnya para Nabi dan Rasul yang mulia telah diutuskan oleh Allah untuk mendidik umat manusia dengan manhaj pendidikan Islam agar umat mereka memiliki akhlak yang mulia dan sentiasa beramal dengannya. Sebagaimana firman Allah سبحانه وتعالى dalam Surah Ibrahim Ayat 4:

وَمَا أَرْسَلْنَا مِنْ رَسُولٍ إِلَّا بِلِسَانِ قَوْمِهِ لِيُبَيِّنَ لَهُمْ فَيُضِلُّ اللَّهُ مَنْ يَشَاءُ وَيَهْدِي مَنْ يَشَاءُ وَهُوَ الْعَزِيزُ الْحَكِيمُ ﴿٤﴾

Bermaksud: "Dan Kami tidak mengutuskan seseorang rasul melainkan dengan bahasa kaumnya supaya ia menjelaskan (hukum-hukum Allah) kepada mereka. Maka Allah menyesatkan sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut undang-undang peraturan-Nya) dan Dialah jua yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana".

Sidang jamaah yang dirahmati Allah,

Sejak akhir-akhir ini sebahagian umat Islam di negara kita cenderung memilih pendidikan Islam sebagai pilihan utama dalam pendidikan anak-anak. Ini adalah kerana persepsi ibu bapa telah berubah. Pada hari ini ibu bapa mempunyai suatu kesedaran, bahawa hanya dengan pendidikan agama sahajalah anak-anak mereka selamat daripada terjerumus ke kancah maksiat dan kejahatan.

Kebanjiran anak-anak orang Islam di sekolah agama ini juga adalah berpunca daripada pemerhatian masyarakat kepada kejayaan anak-anak mereka yang belajar di sekolah agama di dalam peperiksaan. Begitu juga dengan kemenjadian anak-anak di dalam bidang masing-masing yang menjadikan mereka manusia berjaya di dalam hidup mereka.

Perubahan set minda di kalangan ibu bapa ini dapat kita ketahui melalui pemerhatian yang dibuat iaitu wujudnya peningkatan yang banyak terhadap permintaan ibu bapa untuk memasukkan anak-anak mereka ke sekolah-sekolah agama, baik yang bantuan kerajaan (SABK) mahupun yang berada di bawah kerajaan negeri seperti sekolah menengah agama negeri (SMAN) dan sekolah menengah tahfiz kerajaan negeri.

Sidang Jumaat yang dikasihi Allah,

Permohonan ke sekolah aliran agama ini semakin bertambah setiap tahun, sehingga ianya telah menggalakkan pembinaan sekolah agama swasta ataupun sekolah tahfiz swasta bagi menampung permintaan ibu bapa yang mempunyai impian dan harapan agar anak mereka mendalami ilmu agama, menjadi orang agama, berjaya dengan disiplin agama.

Maka kita lihat timbulnya pelbagai institusi pengajian swasta bermula dari sekolah rendah Islam (SRAR) sepenuh masa sehinggalah ke sekolah menengah agama rakyat (SMAR) di peringkat menengah yang menawarkan kurikulum agama dan tahfiz. Perkembangan penubuhan sekolah dan pusat tahfiz ini semakin rancak, serancak permintaan ibu dan bapa yang inginkan anak-anak mereka berjaya di dalam bidang agama.

Namun perlu diingat, Kerajaan Negeri Perak telah menetapkan bahawa penubuhan sekolah-sekolah yang berkaitan pendidikan agama Islam dan mempunyai murid yang lebih daripada 20 orang hendaklah terlebih dahulu mendapat kelulusan pendaftar sekolah-sekolah agama. Penubuhan dan pendaftaran sekolah-sekolah ini termaktub di dalam Enakmen Kawalan Sekolah-Sekolah Agama Rakyat Islam 1996 dan Kaedah-Kaedah Kawalan Sekolah-Sekolah Agama Islam 1997.

Mana-mana pihak yang menubuhkan sekolah tanpa kelulusan pendaftar atau melaksanakan pendidikan di sekolah tanpa didaftarkan adalah melakukan satu kesalahan dan boleh dikenakan tindakan berdasarkan peruntukan undang-undang di bawah enakmen tersebut. Peraturan ini bukanlah untuk menyusahkan mana-mana pihak yang berniat baik bagi memajukan pendidikan Islam di negeri Perak ini tetapi hanya merupakan bentuk kawalan bagi menjaga kebajikan pelajar dan juga ibu bapa. Ia juga bertujuan membantu pihak pentadbir sekolah di dalam mengemaskinikan segala hal berkaitan dengan perjalanan sekolah.

Peraturan enakmen ini juga adalah bertujuan sebagai kawalan daripada berlakunya perkara-perkara seperti berikut:

1. Kurikulum yang tidak selari dan sesuai dalam pembinaan insan untuk kepentingan agama dan negara.
2. Pengurusan kewangan yang tidak telus yang mengakibatkan berlakunya penyelewengan.
3. Pengaruh ajaran yang ekstremis dan ajaran sesat.
4. Keselamatan dan kesesuaian bangunan yang akan dijadikan sekolah atau penempatan.
5. Mengambil kesempatan bagi tujuan komersial atas minat ibu bapa dan anak-anak terhadap pendidikan agama.

Mimbar ingin juga mengingatkan para jamaah dan pihak pengurusan masjid agar berhati-hati ketika memberikan sumbangan ataupun memberi ruang kepada pengutip-pengutip derma yang bertujuan untuk membina sekolah agama atau pusat tahfiz hendaklah memastikan mereka telah mendapat kebenaran mengutip derma daripada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk). Ini adalah kerana mimbar merasa bimbang terhadap kewujudan golongan tertentu yang mengambil kesempatan daripada kemurahan sikap menderma umat Islam sehingga derma atau sumbangan itu digunakan bagi kepentingan peribadi yang menyimpang dari tujuan pendidikan.

Mereka ini juga tidak segan silu menggunakan tenaga anak-anak yang sepatutnya dilindungi dan diberikan pendidikan bukannya menjadi peminta derma. Mereka menggunakan kanak-kanak dengan alasan latihan berniaga dan sebagainya. Wajarkah latihan bermula dari pagi hingga ke larut malam dengan kanak-kanak terbabit berdiri dan meminta-minta dari orang ramai tanpa ada jaminan keselamatan diri mereka dari dirompak dan dianiaya? Bilakah waktu mereka belajar? Bilakah waktu menghafaz Al-Quran? Alangkah sedihnya apabila mereka dibiarkan berkeliaran di stesyen-stesyen minyak, gerai-gerai makan, di hadapan bank dan sebagainya. 

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بالقُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ، أَقُولُ قَوْلِي هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ الْأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالْأَمْوَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ، إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ.


Khutbah Kedua

اَلْحَمْدُ لِلَّهِ الْقَائِلِ،
وَلْتَكُنْ مِنْكُمْ أُمَّةٌ يَدْعُونَ إِلَى الْخَيْرِ وَيَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنْكَرِ وَأُولَئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ ﴿١٠٤﴾
أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا  مُحَمَّدًا  عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ، اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أًجْمَعِينَـ
أَمَّا بَعْدُ، فَيَاعِبَادَ الله، اتَّقُوا اللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنتُم مُّسْلِمُونَ.

Ayat yang dibacakan tadi dipetik daripada Surah Ali-Imran Ayat 104 yang bermaksud: "Hendaklah ada suatu golongan dari kalangan kamu yang menyeru manusia kepada kebaikan dan mereka menyuruh manusia yang lain untuk melakukan yang ma'aruf dan mencegah kemungkaran. Maka mereka itulah orang-orang yang berjaya".

Sidang Jumaat yang dikasihi Allah,

Islam amat menggalakkan umatnya untuk melakukan sesuatu perkara itu dengan cara yang terbaik. Kerana itulah di dalam suatu riwayat ada dinyatakan:

عَنْ أُمُ الْمُؤْمِنِيْنَ، عَنْ عَائِشَةَ بِنْتُ أَبِي بَكْرَ الصِّدِّقَ رضي الله عنها، عَنْ أَبِيهَا أَنَّهَا قَالَتْ : قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : " إِنَّ اللَّهَ تَعَالَى يُحِبُّ إِذَا عَمِلَ أَحَدُكُمْ عَمَلاً أَنْ يُتْقِنَهُ "

Bermaksud: "Daripada Ummul Mukminin 'Aisyah binti Abu Bakar As-Shiddiq رضي الله عنها daripada bapanya berkata: Sesungguhnya Allah itu amat menyintai seseorang yang apabila dia melakukan sesuatu pekerjaan itu dia akan melakukannya dengan bersungguh-sungguh". (Hadith riwayat Imam Al-Baihaqi)

Maka sesungguhnya kerja atau usaha yang bersungguh-sungguh di dalam memelihara kemashlahatan umat yang melibatkan masa depan anak-anak orang Islam yang belajar di sekolah-sekolah agama adalah penting dan tidak boleh dipandang ringan. Ini adalah kerana tujuan membina dan menjalankan sekolah agama mahupun tahfiz Al-Quran mestilah bersifat murni dan telus tanpa ada apa-apa agenda keuntungan peribadi di sebalik penubuhannya.

Sidang Jumaat yang berbahagia,

Adalah diharapkan semoga perjalanan sekolah agama dan institusi tahfiz yang wujud di negeri Perak ini akan berjalan dengan baik sehingga pendidikan agama Islam dapat membentuk nilai-nilai akhlak yang mulia bagi anak-anak umat Islam kita di negeri Perak ini, sehingga akhlak yang mulia itu akan menjadi panduan dalam hidup mereka di kemudian hari.

Sidang Jumaat sekalian,

Pada tahun ini, negeri Perak telah dipilih menjadi tuan rumah bagi Majlis Menghafaz Al-Quran Peringkat Kebangsaan Kali ke-37 tahun 2016 M / 1437 H.Majlis ini telah berlangsung pada 20 Februari 2016 (Sabtu) bermula jam 8.00 malam yang akan disempurnakan oleh Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazri Mu'izzuddin Shah. Justeru muslimin dan ,uslimat dijemput bersama-sama menjayakan majlis tersebut bertempat di Pusat Konvensyen Amanjaya, Casuarina @ Meru, Bandar Meru Raya, Ipoh.

أَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ ۚ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا ﴿٥٦﴾

Bermaksud: "Sesungguhnya Allah dan malaikat berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad SAW), wahai orang-orang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucaplah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya". (Al-Ahzab: 56)

اَللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ والْمُؤمِنَاتِ، وَأَصْلِحْ ذَاتَ بَيْنِهِمْ وَأَلِّفْ بَيْنَ قُلُوْبِهِمْ وَاجْعَلْ فِيْ قُلُوْبِهِمُ اْلإِيْمَانَ وَاْلحِكْمَةَ وَثَبِّتْهُمْ عَلَى مِلَّةِ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى اللهِ عَلَيهِ وَسَلَّم.

Ya Allah, bukakanlah hati kami untuk melaksanakan ibadat zakat sebagaimana yang telah Engkau fardhukan. Berkatilah hidup hamba-Mu yang melaksanakan tuntutan zakat dan para pewakaf yang telah menginfaqkan harta mereka ke jalan-Mu. Sucikanlah harta dan jiwa mereka, lindungilah golongan fuqara dan masakin daripada kekufuran dan kefakiran yang berpanjangan.

Ya Allah, kurniakanlah sepenuh taufiq dan hidayah-Mu terhadap Raja kami, Duli Yang Maha mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Al-Marhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah al-Maghfurulahu dan Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan Tuanku Zara Salim serta kerabat dan seluruh rakyat jelata sekalian.

رَبَّنَا ءَاتنِاَ فِى الدُّنْياَ حَسَنَةً وَفِى الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ، 
عِبَادَ الله، اِنَّ الله يَأْمُرُ بِاْلعَدْلِ وَالأِحْسَانِ وَإِيْتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَاْلمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُوْنَ. فَاذْكُرُوْا اللهَ الْعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ وَاشْكُرُوْهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ وَلَذِكْرُاللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ.

Teks asal khutbah ini boleh juga dimuat turun dari laman Google Drive. Klik sini.

Thursday, February 11, 2016

KHUTBAH JUMAAT - 3 JAMADIL AWWAL 1426 / 12 FEBRUARI 2016


GELAP DALAM SULUHAN CAHAYA

Khutbah Pertama

الْحَمْدُ لِلَّهِ الْقَائِلِ:
۞ اللَّهُ نُورُ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ ۚ مَثَلُ نُورِهِ كَمِشْكَاةٍ فِيهَا مِصْبَاحٌ ۖ الْمِصْبَاحُ فِي زُجَاجَةٍ ۖ الزُّجَاجَةُ كَأَنَّهَا كَوْكَبٌ دُرِّيٌّ يُوقَدُ مِن شَجَرَةٍ مُّبَارَكَةٍ زَيْتُونَةٍ لَّا شَرْقِيَّةٍ وَلَا غَرْبِيَّةٍ يَكَادُ زَيْتُهَا يُضِيءُ وَلَوْ لَمْ تَمْسَسْهُ نَارٌ ۚ نُّورٌ عَلَىٰ نُورٍ ۗ يَهْدِي اللَّهُ لِنُورِهِ مَن يَشَاءُ ۚ وَيَضْرِبُ اللَّهُ الْأَمْثَالَ لِلنَّاسِ ۗ وَاللَّهُ بِكُلِّ شَيْءٍ عَلِيمٌ ﴿٣٥﴾
أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا  مُحَمَّدًا  عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ،  اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أًجْمَعِينَ. أَمَّا بَعْدُ، فَيَاعِبَادَ الله، اتَّقُوا اللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنتُم مُّسْلِمُونَ.

Ayat yang dibacakan tadi dipetik daripada Surah An-Nur Ayat 35 yang bermaksud: "Allah (Pemberi) cahaya (kepada) langit dan bumi. Perumpaan cahaya-Nya adalah seperti sebuah lubang yang tidak tembus yang di dalamnya ada pelita besar. Pelita itu di dalam kaca (dan) kaca itu seakan-akan bintang (yang bercahaya) seperti mutiara yang dinyalakan dengan dari pohon yang berkah, (iaitu) pohon zaitun yang tumbuh tidak di sebelah timur (sesuatu) dan tidak pula di sebelah baratnya yang minyaknya (sahaja) hampir-hampir menerangi walaupun tidak disentuh api. Cahaya di atas cahaya (berlapis-lapis), Allah membimbing kepada cahaya-Nya sesiapa yang Dia kehendaki dan Allah memperbuat perumpaan-perumpaan bagi manusia dan Allah Maha Mengetahui segala sesuatu".

Sidang Jumaat yang berbahagia,

Saya berpesan kepada kepada diri saya dan sidang Jumaat sekalian, marilah kita bersama-sama meningkatkan keimanan dan ketaqwaan kita kepada Allah سبحانه وتعالى dengan penuh keyakinan iaitu dengan melaksanakan segala perintah-Nya dan berusaha bersungguh-sungguh meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan setiap usaha yang kita lakukan di dunia yang sementara ini akan dinilai di sisi Allah سبحانه وتعالى sebagai ganjaran pahala di akhirat kelak, seterusnya terselamat daripada azab api neraka Allah سبحانه وتعالى. Sebelum memulakan khutbah, saya ingin berpesan kepada sidang Jumaat sekalian agar menumpukan perhatian terhadap khutbah yang bakal disampaikan. Fahami dan hayati isi kandungan serta jangan bercakap-cakap dan membuat bising. Mimbar pada hari ini akan membicarakan khutbah yang bertajuk: "Gelap Dalam Suluhan Cahaya".

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah sekalian,

Salah satu langkah penting ke arah memajukan diri sendiri ialah dengan memantapkan kefahaman tentang Islam. Perkara ini amat perlu dititik beratkan memandangkan pelbagai tafsiran tentang Islam wujud pada masakini dan menyebabkan ada orang Islam yang telah terseret dengan kumpulan-kumpulan radikal seperti Pertubuhan Angkatan Sabiyullah, kumpulan Jundullah, kumpulan Arqam, Syi'ah, kumpulan Al-Ma'unah, kumpulan Mujahidin Malaysia (KMM), Jema'ah Islamiyyah (JI), Militan Darul Islam dan Al-Qaedah. Terbaru pada tahun 2014, timbul pula kumpulan Islamic State (IS) atau Da'ish yang mempunyai perkaitan rapat dengan konflik Syria yang sedang berlaku dan aktiviti militan di Timur Tengah yang cuba mengganggu-gugat kestabilan dan mengancam keselamatan negara. Secara sedar ataupun sebaliknya unsur-unsur ini sangat merbahaya jika dibiarkan berleluasa dalam masyarakat.

Oleh yang demikian, mimbar menyeru kepada sidang Jumaat sekalian, jika mempelajari agama Islam hendaklah merujuk kepada entiti yang berwibawa dan ada autoriti. Penerimaan dan pegangan kita kepada mazhab Ahli Sunnah Wal Jama'ah membuahkan cahaya yang membawa perpaduan dan keamanan di kalangan kita. Namun sebaliknya, kumpulan-kumpulan tersebut telah menyalah-gunakan nama Islam untuk menggulingkan kerajaan sekali-gus mencapai matlamat menubuhkan sebuah negara Islam mengikut acuan mereka sendiri. Allah سبحانه وتعالى telah menjelaskan di dalam Surah An-Nur Ayat 35:

نُّورٌ عَلَىٰ نُورٍ ۗ يَهْدِي اللَّهُ لِنُورِهِ مَن يَشَاءُ ۚ وَيَضْرِبُ اللَّهُ الْأَمْثَالَ لِلنَّاسِ ۗ وَاللَّهُ بِكُلِّ شَيْءٍ عَلِيمٌ ﴿٣٥﴾

Bermaksud: ".... cahaya berlapis cahaya. Allah memimpin sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut undang-undang dan peraturan-Nya) kepada nur hidayah-Nya itu dan Allah mengemukakan berbagai-bagai misal perbandingan untuk umat manusia dan Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu".

Kita dapat menyaksikan betapa gerakan militan IS ini begitu fanatik dan ekstrim dengan ideologi yang kononnya berpaksikan "Salafi Jihadi" serta mudah melabelkan orang yang menentang perjuangannya sebagai keluar dari Islam, murtad dan halal darah untuk dibunuh. Tindakan ekstrim yang dilakukan jelas melanggar hukum syariat. Mereka bukan setakat menyiksa tawanan, malah memenggal kepala, menembak hidup-hidup, menjerut kepala, membakar, menggilis dengan jentera berat, mengebom serta melakukan serangan bersenjata. Kemudian perlakuan kejam ini dirakam dan disebarkan ke media sosial untuk menimbulkan ketakutan dan kegerunan kepada masyarakat dunia dan amaran kepada sesiapa yang menentang gerakan mereka. Akibatnya, wujud suatu persepsi negatif orang bukan Islam kepada Islam sehingga melahirkan sistem Islamophobia di kalangan mereka.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah sekalian,

Menurut statistik tangkapan daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), cawangan khas Counter-Terrorism, Bukit Aman; sehingga hari ini seramai 157 orang warga Malaysia dan warga asing telah ditangkap di bawah beberapa peruntukan undang-undang seperti Akta Kesalahan Keselamatan Langkah-Langkah Khas 2012 (SOSMA), POCA 1959. SMATA (Akta 770) dan Akta POTA 2015 sebagai usaha mengekang keterlibatan rakyat Malaysia menyertai militan IS di Malaysia mahupun luar negara.

Justeru, muzakarah khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan bagi hal ehwal agama Malaysia bilangan 2015/1 yang bersidang pada 20 April 2015 memutuskan bahawa haram bagi umat Islam menyertai kumpulan militan IS yang bercanggah dengan prinsip ajaran Islam dan menggugat kestabilan dan keselamatan negara. Kecenderungan dan keghairahan umat Islam untuk berjihad atas nama IS di bumi Syria adalah berpunca daripada kekeliruan dalam memahami konsep jihad dan mati syahid yang sebenar mengikut syarak. Mereka juga mudah terpedaya dengan propaganda kumpulan pengganas IS melalui media massa dan sosial seperti aplikasi Whatsapp, Telegram, Instagram, WeChat, Facebook, Twitter dan sebagainya. Inilah antara modus operandi uatama mereka untuk pengkaderan dan merekrut golongan sasar seperti golongan dewasa, remaja sama ada lelaki mahupun wanita untuk berpegang kepada ideologi perjuangan mereka.

Persoalan besar timbul ialah mengapa umat Islam masih keliru dengan ajaran Islam dan fahaman ekstremis yang di bawa IS? Tidak lain ialah kerana mereka mendakwa negara Islam yang sedia ada merupakan sebuah kerajaan taghut dan sekular. Hakikatnya, mereka tidak mendapat gambaran yang tepat mengenai konflik di Syria sehingga melabelkan usaha pihak berkuasa dalam menentang dan menangkap militan IS sebagai pro-syi'ah malah mengancam untuk melakukan jihad qitali (perang) kerana mendakwa pemerintah tidak menegakkan Al-Quran dan As-Sunnah sepertimana acuan dan kehendak hawa nafsu mereka iaitu menubuhkan Daulah Islamiyyah yang dipimpin oleh khalifah dalam kalangan mereka.

Mereka teraba-raba di dalam suluhan cahaya disebabkan sistem kepercayaan diri yang lemah, amal ibadah dan akhlak yang bertentangan dengan Al-Quran, As-Sunnah, Ijma' dan Qiyas. Malah, mereka mudah melabelkan golongan yang tidak sealiran sebagai taghut, sekular, syirik, sesat, murtad dan kafir serta bersifat radikal. Allah سبحانه وتعالى telah menjelaskan di dalam Surah Al-Fatihah Ayat 6 dan 7:

اهْدِنَا الصِّرَاطَ الْمُسْتَقِيمَ ﴿٦﴾ صِرَاطَ الَّذِينَ أَنْعَمْتَ عَلَيْهِمْ غَيْرِ الْمَغْضُوبِ عَلَيْهِمْ وَلَا الضَّالِّينَ ﴿٧﴾

Bermaksud: "Tunjukilah kami jalan yang lurus. Iaitu jalan orang-orang yang Engkau telah kurniakan nikmat kepada mereka, bukan (jalan) orang-orang yang Engkau telah murkai dan bukan pula (jalan) orang-orang yang sesat".

Sidang Jumaat yang dikasihi sekalian,

Daripada realiti ini, dapat kita katakan bahawa antara ciri-ciri fahaman Salafi Jihadi yang dipromosikan oleh IS bertentangan dengan akidah Ahli Sunnah wal Jama'ah iaitu menolak dan tidak meraikan ulamak muktabar, fanatik kepada ulamak dari kalangan mereka sahaja, memahami Ayat-Ayat Al-Quran secara literal dan logik semata-mata, mentafsirkan Ayat Al-Quran tanpa kaedah yang tepat, mengingkari kedudukan hadith Nabi dan para sahabat sebagai sumber ajaran Islam, tidak meraikan fatwa dalam negara, mengubah asas-asas ibadah yang telah ditetapkan syarak dan mengkafirkan sesama muslim tanpa dalil syar'ie kerana tidak sealiran dengan fahaman mereka.

Berdasarkan ciri-ciri tadi, mimbar ingin menegaskan bahawa fahaman ini jika tidak dibendung dari awal akan terus berkembang dan menghasilkan tindakan radikal dan ekstremis. Ini bertepatan dengan hadith Rasulullah صلى الله عليه وسلم yang diriwayatkan oleh Imam Muslim yang berbunyi:

مَنْ خَرَجَ مِنْ الطَّاعَةِ وَفَارَقَ الْجَمَاعَةَ فَمَاتَ مَاتَ مِيتَةً جَاهِلِيَّةً وَمَنْ قَاتَلَ تَحْتَ رَايَةٍ عِمِّيَّةٍ يَغْضَبُ لِعَصَبَةٍ أَوْ يَدْعُو إِلَى عَصَبَةٍ أَوْ يَنْصُرُ عَصَبَةً فَقُتِلَ فَقِتْلَةٌ جَاهِلِيَّةٌ

Maksudnya: "Barangsiapa keluar dari ketaatan dan menyalahi jama'ah lalu dia mati, maka matinya seperti mati jahiliyyah. Barangsiapa yang mati di bawah bendera kefanatikan, marah kerana ashobiyyah atau kerana menolong ashobiyyah kemudian dia mati, maka matinya seperti mati jahiliyyah".

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Mimbar sekali lagi ingin berpesan bahawa Islam mengajar umatnya supaya bersikap sederhana dalam setiap amalan dan tindakan. Pada masa yang sama, kita juga diminta supaya menjauhi sebarang bentuk fahaman atau perbuatan ekstremis yang kesannya akan menjejaskan keharmonian, perpaduan, kestabilan serta keselamatan umat dan negara. Justeru, boleh memberikan tanggapan negatif terhadap kesucian dan kemuliaan agama Islam. Oleh itu, kita dituntut agar menampilkan kemuliaan akhlak, sikap dan keperibadian tinggi sebagai muslim sejati selari dengan tujuan pengutusan Rasulullah صلى الله عليه وسلم yang membawa rahmat bagi seluruh umat dan sekalian alam.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بالقُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ، وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ الْأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالْأَمْوَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ، فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ . 


Khutbah Kedua

الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي جَعَلَنَا مِنَ الْمُسْلِمِينَ، وَرَزَقَنَا مِنَ الطَّيِّبَاتِ، أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا  مُحَمَّدًا  عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ، اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ. أَمَّا بَعْدُ، فَيَاعِبَادَ الله، اتَّقُوا اللَّهَ، اُوْصِيْكُمْ وَاِيّايَ بِتَقْوَى اللهِ فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ.

Sidang jama'ah yang dirahmati Allah sekalian,

Mengakhiri khutbah pada hari ini, khatib ingin mengajak sidang jama'ah sekalian untuk menghayati beberapa perkara berikut sebagai panduan dan pedoman bersama:

Pertama: Fahaman tentang ajaran Islam yang sebenar sangat penting bagi mengelakkan tafsiran yang salah tentang Islam.

Kedua: Lakukan dakwah dalam berjihad secara hikmah dan bijaksana serta berlemah-lembut, bukan kekerasan dan keganasan.

Ketiga: Taksub dengan pandangan sempit yang bermotif kepentingan peribadi dan menafikan pandangan orang lain adalah tanda bermulanya aliran seorang ekstremis.

أَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا ﴿٥٦﴾

Bermaksud: "Sesungguhnya Allah dan malaikat berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad SAW), wahai orang-orang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucaplah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya". (Al-Ahzab: 56)

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ والْمُؤمِنَاتِ، وَأَصْلِحْ ذَاتَ بَيْنِهِمْ وَأَلِّفْ بَيْنَ قُلُوْبِهِمْ وَاجْعَلْ فِيْ قُلُوْبِهِمُ اْلإِيْمَانَ وَاْلحِكْمَةَ وَثَبِّتْهُمْ عَلَى مِلَّةِ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى اللهِ عَلَيهِ وَسَلَّم.

Ya Allah, bukakanlah hati kami untuk melaksanakan ibadat zakat sebagaimana yang telah Engkau fardhukan. Berkatilah hidup hamba-Mu yang melaksanakan tuntutan zakat dan para pewakaf yang telah menginfaqkan harta mereka ke jalan-Mu. Sucikanlah harta dan jiwa mereka, lindungilah golongan fuqara dan masakin daripada kekufuran dan kefakiran yang berpanjangan.

Ya Allah, kurniakanlah sepenuh taufiq dan hidayah-Mu terhadap Raja kami, Duli Yang Maha mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Al-Marhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah al-Maghfurulahu dan Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan Tuanku Zara Salim serta kerabat dan seluruh rakyat jelata sekalian.

رَبَّنَا ءَاتنِاَ فِى الدُّنْياَ حَسَنَةً وَفِى الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ،
اِنَّ الله يَأْمُرُ بِاْلعَدْلِ وَالأِحْسَانِ وَإِيْتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَاْلمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُوْنَ. فَاذْكُرُوْا اللهَ الْعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ وَاشْكُرُوْهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ وَلَذِكْرُاللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ.

Teks asal khutbah ini boleh juga dimuat turun dari laman Google Drive. Klik sini.


Thursday, February 4, 2016

KHUTBAH JUMAAT - 26 RABI'UL AKHIR 1437 / 5 FEBRUARI 2016



KEBENARAN MEMBAWA KEMULIAAN

Khutbah Pertama

الْحَمْدُ لِلَّهِ الْقَائِلِ:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنْ جَاءَكُمْ فَاسِقٌ بِنَبَإٍ فَتَبَيَّنُوا أَنْ تُصِيبُوا قَوْمًا بِجَهَالَةٍ فَتُصْبِحُوا عَلَى مَا فَعَلْتُمْ نَادِمِينَ ﴿٦﴾
أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلهَ إِلاَّ اللَّهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا  مُحَمَّدًا  عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ،  اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ عَبْدِكَ وَرَسُلِكَ سَيِّدِنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أًجْمَعِينَ. أَمَّا بَعْدُ، فيا أَيُّهَا الْمُؤْمِنُونَ اِتَّقُوْا اللهَ اُوْصِيْكُمْ وَاِيّايَ بِتَقْوَى اللهِ وَطَاعَتِهِ  لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُوْنَ.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Marilah sama-sama kita meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah سبحانه وتعالى dengan penuh ketaatan, keyakinan dan keikhlasan iaitu dengan melaksanakan segala suruhan-Nya serta meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang bertaqwa seterusnya berjaya di dunia dan di akhirat. Sebelum memulakan khutbah, saya ingin berpesan kepada sidang Jumaat sekalian agar menumpukan perhatian terhadap khutbah yang bakal disampaikan. Fahami dan hayati isi kandungan serta jangan bercakap-cakap dan membuat bising. Mimbar pada hari yang mulia ini akan membicarakan khutbah yang bertajuk, "Kebenaran Membawa Kemuliaan".

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah sekalian,

Pembinaan masyarakat yang kukuh dan kuat sebagaimana disarankan oleh Islam bukanlah satu usaha yang mudah dan tidak ada jalan pintas. Oleh yang demikian, Islam sentiasa menyeru umatnya ke arah agenda perpaduan termasuk menyampaikan berita yang benar. Menyampaikan berita yang benar bukan sahaja menyentuh soal kredibiliti peribadi individu tetapi lebih penting, ia mencakupi soal keselamatan negara. Justeru, perbuatan ini merupakan salah satu akhlak dan sifat yang terpuji di dalam Islam dan menjadi amanah yang wajib dijaga sebaik-baiknya oleh setiap umat Islam. Bahkan mereka yang mengamalkan sikap ini tergolong sebagai orang yang mempunyai keluhuran budi yang tinggi dan adab yang sangat baik dengan Allah سبحانه وتعالى.

Namun sejak kebelakangan ini terdapat satu trend dalam kalangan sebahagian masyarakat yang suka berkongsi apa sahaja cerita tanpa terlebih dahulu menyelidiki kesahihannya. Ini menyebabkan ada pihak yang telah mengambil kesempatan untuk menyalahgunakannya lalu menyebarkannya kepada umum. Sikap ini nyata tidak menepati kehendak Al-Quran apabila setiap khabar yang diterima baik melalui surat menyurat, lafaz mulut, sms, e-mail yang disampaikan, tulisan yang diposkan di ruang siber dan bermacam lagi tidak diselidiki dan lebih parah disebar-sebarkan pula. Allah سبحانه وتعالى menjelaskan di dalam Surah Al-Hujurat Ayat 6:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنْ جَاءَكُمْ فَاسِقٌ بِنَبَإٍ فَتَبَيَّنُوا أَنْ تُصِيبُوا قَوْمًا بِجَهَالَةٍ فَتُصْبِحُوا عَلَى مَا فَعَلْتُمْ نَادِمِينَ ﴿٦﴾

Bermaksud: "Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasiq membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan".

Berdasatkan Ayat ini, Allah سبحانه وتعالى menuntut agar sesiapa yang mendengar sesuatu maklumat, maka hendaklah mereka menyelidiki terlebih dahulu kesahihan sumber maklumat tersebut. Ayat ini mengandungi garis panduan berguna kepada pengguna internet dalam mendapatkan maklumat yang tidak dikenal pasti keboleh percayaannya. Meskipun internet dianggap khazanah maklumat yang menyajikan beraneka jenis maklumat, namun masih ada yang perlu diproses terlebih dahulu sebelum disampaikan.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah sekalian,

Imam Al-Ghazali di dalam kitabnya Ihya 'Ulumuddin menjelaskan, perbuatan membocorkan rahsia dan menyebarkan maklumat palsu tentang orang lain boleh menjejaskan maruah individu tersebut. Perbuatan ini dianggap sebagai mengadu-domba dan fitnah. Hari ini kita dapat saksikan pelbagai berita dari dalam dan luar negara yang didedahkan berbaur politik, agama dan perkauman yang tidak tepat dan memberi kesan yang amat buruk jika ada yang terus mempercayainya.

Dalam konteks ini, suka mimbar mengingatkan bahawa setiap muslim wajib menjaga maruah dirinya dan orang lain dengan tidak menyebarkan berita yang boleh mencemarkan nama baik dan menjatuhkan kehormatan orang lain. Islam amat menitik beratkan soal kepentingan menjaga maruah diri bagi tujuan menjaga kemuliaan agama, bangsa dan negara. Apa yang jelas, umat yang bermaruah ialah umat yang memiliki jati diri dengan berpegang teguh kepada ajaran Islam dan tidak terpengaruh dengan unsur-unsur negatif yang merosakkan. Firman Allah سبحانه وتعالى dalam Surah Al-Hujurat Ayat 11:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا يَسْخَرْ قَوْمٌ مِنْ قَوْمٍ عَسَى أَنْ يَكُونُوا خَيْرًا مِنْهُمْ وَلَا نِسَاءٌ مِنْ نِسَاءٍ عَسَى أَنْ يَكُنَّ خَيْرًا مِنْهُنَّ وَلَا تَلْمِزُوا أَنْفُسَكُمْ وَلَا تَنَابَزُوا بِالْأَلْقَابِ بِئْسَ الِاسْمُ الْفُسُوقُ بَعْدَ الْإِيمَانِ وَمَنْ لَمْ يَتُبْ فَأُولَئِكَ هُمُ الظَّالِمُونَ ﴿١١﴾

Bermaksud: "Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) barangkali puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) barangkali puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka dan janganlah kamu mencela setengahnya yang lain dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. (Maka) amatlah buruknya nama fasiq (kepada seseorang) sesudah dia beriman. Dan (ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiqnya) maka mereka itulah orang-orang yang zalim".

Sidang Jumaat yang berbahagia,

Sesungguhnya perbuatan membuka rahsia, mengaibkan, mengumpat, mencari kesalahan orang dan bermusuh-musuhan adalah dilarang dalam Islam. Ini terkandung di dalam sabda Rasulullah صلى الله عليه وسلم yang diriwayatkan oleh Imam Malik, Al-Bukhari, Muslim, dan Abu Dawud yang berbunyi:

إِيَّاكُمْ وَالظَّنَّ فَإِنَّ الظَّنَّ أَكْذَبُ الْحَدِيثِ وَلَا تَجَسَّسُوا وَلَا تَحَسَّسُوا وَلَا تَنَافَسُوا وَلَا تَحَاسَدُوا وَلَا تَبَاغَضُوا وَلَا تَدَابَرُوا وَكُونُوا عِبَادَ اللَّهِ إِخْوَانًا

Bermaksud: "Jauhilah kamu daripada sangkaan kerana ia sedusta-dusta bisikan hati, janganlah kamu mencari-cari kesalahan dan keaiban orang, janganlah kamu mendengar-dengar cerita orang, jangan kamu berlumba-lumba untuk menunjukkan kekuatan di antara satu sama lain, jangan kamu dengki-mendengki, benci membenci, bermusuh-musuhan dan jadilah kamu semua hamba Allah yang bersaudara".

Akibat daripada melakukan perbuatan ini, seseorang itu boleh terhindar daripada mendapat keberkatan hidayah Allah سبحانه وتعالى. Sekiranya mereka tidak bertaubat dan masih mengulangi kesalahan yang sama, hidupnya mungkin akan terpinggir di sisi rakan-rakan dan masyarakat. Apa yang membimbangkan lagi, ia berpotensi mendorong seseorang itu melakukan jenayah sehingga mengkucar-kacirkan masyarakat dan menjejaskan keselamatan negara. Sebagai rakyat, amat penting untuk kita memainkan peranan dalam mempertahankan kedaulatan negara kerana ia akan membawa implikasi terhadap memperkasa ketaatan yang tidak berbelah bagi demi menjamin keselamatan terhadap negara. Lebih penting lagi, ia merupakan usaha membawa konsep perpaduan yang lebih jitu ke arah pembentukan sebuah negara bangsa yang benar-benar utuh.

Sidang jama'ah yang berbahagia,

Sikap suka mereka-reka cerita, mendakwa atau memperkatakan sesuatu dengan berita palsu atau berbohong adalah salah satu daripada tanda-tanda orang munafik. Awasilah diri kita daripada menyebarkan maklumat yang tidak benar dengan bertanya dan merujuk segala perkara yang tidak diketahui kepada ahlinya. Sikap ini mampu mengelakkan kekeliruan, salah faham, penyelewengan dan kesesatan. Selain itu, sikap merendah diri, bertolak ansur, saling memaafkan hormat menghormati, bersikap adil dan berlapang dada dapat memadamkan api fitnah dan mengekalkan keselamatan dan menjaga kehormatan semua pihak.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بالقُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ، أَقُولُ قَوْلِي هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ الْأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالْأَمْوَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ، إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ.


Khutbah Kedua

الْحَمْدُ لِلَّهِ الْقَائِلِ:
إِنَّ الَّذِينَ يُحِبُّونَ أَنْ تَشِيعَ الْفَاحِشَةُ فِي الَّذِينَ آمَنُوا لَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ فِي الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ وَاللَّهُ يَعْلَمُ وَأَنْتُمْ لَا تَعْلَمُونَ ﴿١٩﴾
أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا  مُحَمَّدًا  عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ، اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أًجْمَعِينَ. أَمَّا بَعْدُ، فَيَاعِبَادَ الله، اتَّقُوا اللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنتُم مُّسْلِمُونَ.

Ayat yang dibacakan tadi dipetik daripada Surah An-Nur Ayat 19 yang bermaksud: "Sesungguhnya orang-orang yang suka terhebahnya tuduh-tuduhan yang buruk dalam kalangan orang-orang beriman, mereka akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya di dunia dan di akhirat dan (ingatlah) Allah Mengetahui (segala perkara) sedang kamu tidak mengetahui (yang demikian)".

Kaum muslimin yang dirahmati Allah sekalian,

Mengakhiri khutbah pada hari ini, mimbar ingin mengajak sidang jama'ah sekalian untuk menghayati inti pati khutbah yang disampaikan pada hari ini, antaranya ialah:

1. Mengamalkan sikap terpuji dengan budaya kasih sayang dan tidak mengaibkan orang lain. Sikap tersebut memudahkan seseorang mendapat keberkatan hidup dan petunjuk Allah سبحانه وتعالى.

2. Selain memperoleh pahala di sisi Allah سبحانه وتعالى, rakan-rakan dan masyarakat juga akan menyayangi dan menyanjungi mereka.

3. Amalan sentiasa merujuk, menyelidik dan meneliti maklumat sebelum disebarkan mampu membendung kejadian jenayah yang boleh menghancurkan negara dan melahirkan negara bangsa yang bersatu padu, sejahtera dan aman.

إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا ﴿٥٦﴾

Bermaksud: "Sesungguhnya Allah dan malaikat berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad SAW), wahai orang-orang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucaplah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya". (Al-Ahzab: 56)

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ والْمُؤمِنَاتِ، وَأَصْلِحْ ذَاتَ بَيْنِهِمْ وَأَلِّفْ بَيْنَ قُلُوْبِهِمْ وَاجْعَلْ فِيْ قُلُوْبِهِمُ اْلإِيْمَانَ وَاْلحِكْمَةَ وَثَبِّتْهُمْ عَلَى مِلَّةِ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى اللهِ عَلَيهِ وَسَلَّم.

Ya Allah, bukakanlah hati kami untuk melaksanakan ibadat zakat sebagaimana yang telah Engkau fardhukan. Berkatilah hidup hamba-Mu yang melaksanakan tuntutan zakat dan para pewakaf yang telah menginfaqkan harta mereka ke jalan-Mu. Sucikanlah harta dan jiwa mereka, lindungilah golongan fuqara dan masakin daripada kekufuran dan kefakiran yang berpanjangan.

Ya Allah, kurniakanlah sepenuh taufiq dan hidayah-Mu terhadap Raja kami, Duli Yang Maha mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Al-Marhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah al-Maghfurulahu dan Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan Tuanku Zara Salim serta kerabat dan seluruh rakyat jelata sekalian.

رَبَّنَا ءَاتنِاَ فِى الدُّنْياَ حَسَنَةً وَفِى الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ،
عِبَادَ الله، اِنَّ الله يَأْمُرُ بِاْلعَدْلِ وَالأِحْسَانِ وَإِيْتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَاْلمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُوْنَ. فَاذْكُرُوْا اللهَ الْعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ وَاشْكُرُوْهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ وَلَذِكْرُاللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ.

Teks asal khutbah ini boleh juga dimuat turun dari Google Drive. Klik sini.