bersama kepimpinan ulamak




Thursday, January 21, 2016

KHUTBAH JUMAAT - 12 RABIUL AKHIR 1437 / 22 JANUARI 2016


AKHLAK MULIA: TARIKAN DAKWAH YANG BERKESAN

Khutbah Pertama

الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي أَرْسَلَ رَسُولَهُ بِالْهُدَى وَدِينِ الْحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّينِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ الْمُشْرِكُونَ، أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا  وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدًا  عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ، اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أًجْمَعِينَأَمَّا بَعْدُ، فَيَاعِبَادَ الله، اتَّقُوا اللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنتُم مُّسْلِمُونَ.

 قَالَ اللهُ تَعَالَى فِى كِتَابِهِ الْعَزِيزِ:

وَعِبَادُ الرَّحْمَنِ الَّذِينَ يَمْشُونَ عَلَى الْأَرْضِ هَوْنًا وَإِذَا خَاطَبَهُمُ الْجَاهِلُونَ قَالُوا سَلَامًا ﴿٦٣﴾

Ayat yang dibacakan tadi dipetik daripada Surah Al-Furqan Ayat 63 yang bermaksud: "Adapun hamba-hamba Tuhan Yang Maha Pengasih itu adalah mereka yang berjalan di bumi dengan rendah hati dan apabila orang bodoh menyapa mereka (dengan kata-kata menghina), mereka mengucapkan salam."

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah sekalian,

Saya berpesan kepada diri saya dan sidang Jumaat sekalian, marilah kita bersama-sama tingkatkan keimanan dan ketaqwaan kita kepada Allah سبحانه وتعلى dengan penuh keyakinan iaitu dengan melaksanakan segala perintah-Nya dan berusaha bersungguh-sungguh meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan setiap usaha yang kita lakukan di dunia yang sementara ini akan dinilai di sisi Allah سبحانه وتعلى sebagai ganjaran pahala di akhirat kelak, seterusnya terselamat daripada azab api neraka Allah سبحانه وتعلى. Sebelum memulakan khutbah, saya ingin berpesan kepada sidang Jumaat sekalian agar menumpukan perhatian terhadap khutbah yang bakal disampaikan. Fahami dan hayati isi kandungan serta jangan bercakap-cakap dan membuat bising. Mimbar pada hari ini akan membicarakan khutbah yang bertajuk: "Akhlak Mulia: Tarikan Dakwah Yang Berkesan".

Sidang Jumaat yang dimuliakan,

Akhlak adalah cermin bagi agama Islam itu sendiri. Seorang mukmin yang benar-benar berpegang teguh pada agama akan mencerminkan akhlak mulia sebagai bukti kesungguhan menjalankan syariat Islam. Daripada Abu Hurairah رضي الله عنه katanya, Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda:

أَكْمَلُ الْمُؤْمِنِينَ إِيمَانًا أَحْسَنُهُمْ خُلُقًا

"Orang yang paling sempurna imannya ialah mereka yang paling baik akhlaknya". (HR Ahmad)

Rasulullah صلى الله عليه وسلم adalah contoh ikutan yang terbaik. Semua muslimin wajib meneladani Rasulullah dalam setiap hal yang baginda ajarkan. Terutama dalam masalah akhlak dan adab-adab seorang muslim. Firman Allah سبحانه وتعلى dalam Surah Al-Ahzab Ayat 21;

لَقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِمَنْ كَانَ يَرْجُو اللَّهَ وَالْيَوْمَ الْآخِرَ وَذَكَرَ اللَّهَ كَثِيرًا﴿٢١﴾

Bermaksud: "Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri tauladan yang baikbagimu (iaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan banyak mengingati Allah".

Keluarga dan sahabat yang bersama baginda juga menyatakan yang demikian. Anas bin Malik رضي الله عنه berkata: 

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَحْسَنَ النَّاسِ خُلُقًا

Bermaksud: "Rasulullah صلى الله عليه وسلم orang yang paling baik akhlaknya". (HR Muttafaqun 'alaih)

Di antara akhlak mulia Rasulullah ialah pemaaf dan berkasih sayang sesama Islam, bahkan juga kepada bukan Islam. Diceritakan satu kisah penangkapan seorang kafir yang bernama Sumamah oleh sahabat baginda. Beliau adalah seorang ketua di kota Yamamah. Baginda hanya mengarahkan beliau diikat di tiang dan dibiarkan hidup. Pada hari pertama baginda menghampiri Sumamah dan berkata, "Apa khabar wahai Sumamah?" Jawab Sumamah, "Baik wahai Muhammad". Kemudian Rasulullah berkata, "Masuk Islamlah wahai Sumamah". Dia menjawab, "Kalau engkau ingin membunuhku, maka bunuhlah aku. Kalau engkau mengampuniku, maka aku berterima kasih kepadamu. Tetapi kalau engkau memintaku untuk masuk Islam, maka aku enggan wahai Muhammad". Rasulullah tersenyum mendengar jawapan Sumamah, kemudian baginda berlalu meninggalkannya. Sehinggalah kali yang ketiga Rasulullah bertanyakan hal yang sama, Sumamah masih enggan memeluk Islam. Rasulullah terus melepaskan ikatannya. Setelah itu, Sumamah sedar akan keluhuran budi pekerti Rasulullah yang sudi memaafkannya yang telah membunuh ramai para sahabat baginda. Dengan ikhlas dan tulus hati, Sumamah mengucapkan dua kalimah syahadah.

Sidang Jumaat yang dikasihi Allah,

Kita boleh merujuk kepada buku-buku sejarah untuk mengetahui bagaimana Islam masuk ke Asia Tenggara antaranya Indonesia dan Tanah Melayu terbukti bahawa sebab Raja dan penduduk di rantau ini khususnya masuk Islam adalah dengan "senjata" unik, iaitu melalui akhlak yang baik. Akhlak mulia, tutur kata dan tingkah laku yang hebat inilah yang digunakan oleh Rasulullah صلى الله عليه وسلم dalam menggerakkan dakwahnya kepada orang-orang arab di Makkah, sebagaimana firman Allah سبحانه وتعلى dalam Surah Al-A'araf Ayat 199:

خُذِ الْعَفْوَ وَأْمُرْ بِالْعُرْفِ وَأَعْرِضْ عَنِ الْجَاهِلِينَ ﴿١٩٩﴾

Bermaksud: "Jadilah pemaaf dan suruhlah orang mengerjakan yang ma'aruf serta jangan mempedulikan orang-orang yang bodoh".

Allah سبحانه وتعلى turut mengajar kita bahawa cara yang paling mudah untuk sampai ke lubuk hati manusia adalah melalui lemah lembut, akhlak yang baik, memaafkan, memohon keampunan, merendah diri kepada manusia dan membuang sifat ego. Inilah yang kita dapat fahami daripada firman Allah سبحانه وتعلى dalam Surah Ali-Imran Ayat 159:

فَبِمَا رَحْمَةٍ مِنَ اللَّهِ لِنْتَ لَهُمْ وَلَوْ كُنْتَ فَظًّا غَلِيظَ الْقَلْبِ لَانْفَضُّوا مِنْ حَوْلِكَ فَاعْفُ عَنْهُمْ وَاسْتَغْفِرْ لَهُمْ وَشَاوِرْهُمْ فِي الْأَمْرِ فَإِذَا عَزَمْتَ فَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُتَوَكِّلِينَ ﴿١٥٩﴾

Bermaksud: "Dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu. Oleh itu maafkanlah mereka (mengenai kesalahan yang mereka lakukan) terhadapmu dan pohonkanlah ampun bagi mereka dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan hal-hal keduniaan) itu. Kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyaurat untuk membuat sesuatu), maka bertawakkallah kepada Allah, sesungguhnya Allah Mengasihi orang-orang yang bertawakkal kepada-Nya".

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بالقُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ، وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ الْأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالْأَمْوَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ، فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ . 


Khutbah Kedua

اَلْحَمْدُ لِلَّهِ الْقَائِلِ،
ادْعُ إِلَى سَبِيلِ رَبِّكَ بِالْحِكْمَةِ وَالْمَوْعِظَةِ الْحَسَنَةِ وَجَادِلْهُمْ بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ إِنَّ رَبَّكَ هُوَ أَعْلَمُ بِمَنْ ضَلَّ عَنْ سَبِيلِهِ وَهُوَ أَعْلَمُ بِالْمُهْتَدِينَ ﴿١٢٥﴾
أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ،
اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّينِ،
أَمَّا بَعْدُ، فَيَاعِبَادَ الله، اتَّقُوا اللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنتُم مُّسْلِمُونَ. 

Para jama'ah yang dirahmati Allah,

Allah menyatakan dalam Ayat yang dibacakan tadi daripada Surah An-Nahl Ayat 125 yang bermaksud: "Serulah (manusia) ke jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pengajaran yang baik dan berdebatlah dengan mereka dengan cara yang baik. Sesungguhnya Tuhanmu yang lebih mengetahui siapa yang sesat dari jalan-Nya dan Dialah yang lebih Mengetahui siapa yang mendapat petunjuk".

Sidang jama'ah yang dikasihi Allah,

Betapa indahnya cara atau metodologi dakwah Nabi kita Muhammad صلى الله عليه وسلم untuk membawa manusia ke arah kebenaran. Sesungguhnya Rasulullah صلى الله عليه وسلم telahpun menunjukkan kepada kita betapa pentingnya peranan berakhlak mulia mengajak manusia ke jalan yang benar. Nilai murni seperti kesabaran dan bersangka baik itulah akhlak Rasulullah صلى الله عليه وسلم. Justeru itu, jagalah akhlak kita. Jangan banyak memberi alasan kerana Rasulullah sudah memberi contoh kepada kita. Ingatlah! Akhlak mencerminkan agama Islam itu sendiri.

إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ ۚ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا ﴿٥٦﴾

Bermaksud: "Sesungguhnya Allah dan malaikat berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad SAW), wahai orang-orang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucaplah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya". (Al-Ahzab: 56)

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ والْمُؤمِنَاتِ، وَأَصْلِحْ ذَاتَ بَيْنِهِمْ وَأَلِّفْ بَيْنَ قُلُوْبِهِمْ وَاجْعَلْ فِيْ قُلُوْبِهِمُ اْلإِيْمَانَ وَاْلحِكْمَةَ وَثَبِّتْهُمْ عَلَى مِلَّةِ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى اللهِ عَلَيهِ وَسَلَّم.

Ya Allah, bukakanlah hati kami untuk melaksanakan ibadat zakat sebagaimana yang telah Engkau fardhukan. Berkatilah hidup hamba-Mu yang melaksanakan tuntutan zakat dan para pewakaf yang telah menginfaqkan harta mereka ke jalan-Mu. Sucikanlah harta dan jiwa mereka, lindungilah golongan fuqara dan masakin daripada kekufuran dan kefakiran yang berpanjangan.

Ya Allah, kurniakanlah sepenuh taufiq dan hidayah-Mu terhadap Raja kami, Duli Yang Maha mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Al-Marhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah al-Maghfurulahu dan Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan Tuanku Zara Salim serta kerabat dan seluruh rakyat jelata sekalian.

رَبَّنَا ءَاتنِاَ فِى الدُّنْياَ حَسَنَةً وَفِى الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ،
اِنَّ الله يَأْمُرُ بِاْلعَدْلِ وَالأِحْسَانِ وَإِيْتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَاْلمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُوْنَ. فَاذْكُرُوْا اللهَ الْعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ وَاشْكُرُوْهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ وَلَذِكْرُاللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ.


Teks asal khutbah ini boleh juga dimuat turun dari laman Google Drive. Klik sini.

No comments:

Post a Comment

KULIAH SETIAP AHAD MINGGU KEDUA




Kempen Tiga B