Wednesday, January 27, 2016

KHUTBAH JUMAAT - 19 RABI'UL AKHIR 1427 / 29 JANUARI 2016


JAHILIYYAH MODEN

Khutbah Pertama

الْحَمْدُ لِلَّهِ الْقَائِلِ:
وَإِنْ تُطِعْ أَكْثَرَ مَنْ فِي الْأَرْضِ يُضِلُّوكَ عَنْ سَبِيلِ اللَّهِ إِنْ يَتَّبِعُونَ إِلَّا الظَّنَّ وَإِنْ هُمْ إِلَّا يَخْرُصُونَ ﴿١١٦﴾
أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلهَ إِلاَّ اللَّهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا  مُحَمَّدًا  عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ،  اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ. أَمَّا بَعْدُ، فَيَاعِبَادَ الله، اتَّقُوا اللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنتُم مُّسْلِمُونَ.

Ayat yang dibacakan tadi dipetik daripada Surah Al-An'aam Ayat 116 yang bermaksud: "Dan jika engkau menurut kebanyakan orang yang ada di muka bumi, nescaya mereka akan menyesatkanmu dari jalan Allah, tiadalah yang mereka ikut melainkan sangkaan semata-mata dan mereka tidak lain hanyalah berdusta".

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Saya berpesan kepada diri saya dan sidang Jumaat sekalian, marilah kita mempertingkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan mentaati segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Sebelum memulakan khutbah saya ingin berpesan kepada sidang Jumaat sekalian agar menumpukan perhatian terhadap khutbah yang bakal disampaikan. Fahami dan hayati isi kandungan serta jangan bercakap-cakap dan membuat bising. Mudah-mudahan kita memperolehi keberkatan dan keredhaan serta perlindungan Allah سبحانه وتعالى di dunia dan di akhirat. Mimbar pada hari ini akan membicarakan khutbah yang bertajuk "Jahiliyyah Moden".

Hadirin yang saya kasihi sekalian,

Apabila mendengar perkataan jahiliyyah seringkali kita akan membayangkan kembali sejarah diutusnya Nabi Muhammad صلى الله عليه وسلم kepada bangsa arab yang digelar jahiliyyah atas kedegilan dan kebodohan mereka. Antara amalan mereka yang sering kita dengar ialah membunuh anak perempuan, berjudi, berzina, minum arak, menyembah berhala, berperang, meletakkan wanita sebagai barang yang boleh diperdagangkan dan diwarisi serta lain-lain lagi. Persoalannya, benarkah bangsa arab pada waktu itu adalah masyarakat yang bodoh? Dalam sejarah bangsa arab, mereka mahir dalam bidang perdagangan, politik, penyusunan strategi perang, seni dan budaya, mempunyai rasa persaudaraan yang sangat kuat, ilmu pengetahuan dan teknologi yang amat maju. Penduduk Yaman mencipta satu sistem perparitan yang hebat sehingga penghasilan pertanian dan perkebunan sangat maju dan efektif seperti Kerajaan Sabak yang amat makmur dan kaya dengan ekonomi dan pertaniannya.

Di sebalik kehebatan dalam menciptakan hasil karya seni, budaya dan pengurusan pemerintahan, tetapi masyarakat arab adalah penyembah berhala, sedangkan itu adalah benda mati yang merupakan hasil buatannya, berhala-berhala tersebut tidak berupaya berbuat apa-apa, mengapa mereka menyembah berhala, memuja dan meminta pertolongan kepadanya? Ketika mereka ditanya mengapa menyembah berhala, jawab mereka bahawa mereka hanya berusaha untuk mendekatkan diri kepada Allah.

Namun begitu, hampir kesemua amalan yang telah dilakukan oleh orang pada zaman jahiliyyah masih dilakukan oleh manusia yang hidup pada zaman moden ini, malahan kadang-kadang perbuatan atau jenayah yang dilakukan oleh manusia pada zaman moden ini lebih teruk dan dahsyat daripada zaman jahiliyyah dahulu. Oleh itu kita namakan zaman sekarang dengan zaman jahiliyyah moden. Iaitu moden di sudut kemajuan sains dan teknologi (pembangunan fizikal) tetapi mundur, ketinggalan atau jahil di sudut rohani. Manusia pada zaman sekarang mementingkan kesenangan dunia semata-mata (materialistik) yang menyebabkan otak mereka tidak dapat berfikir secara waras.

Muslimin yang dirahmati Allah,

Menurut Muhammad Qutub dalam bukunya "جَاهِلِيَّةُ الْقَرْنِ الْعِشْرِينَ" (Jahiliyyah Abad 20), jahiliyyah moden merupakan satu daripada beberapa bentuk kejahiliyyahan masa lampau dengan tambahan berbagai sudut sesuai dengan perkembangan zaman. Jahiliyyah moden tidak timbul secara mendadak melainkan telah melalui kurun waktu panjang.

Dewasa ini, kita hidup di era jahiliyyah kebendaan yang telah jauh dari panduan syariat yang dibawa oleh Rasulullah صلى الله عليه وسلم. Nilai-nilai agama dan kerohaniannya telah dicampakkan begitu sahaja. Akibatnya kerosakan dan keruntuhan moral dan etika melanda kebanyakan manusia akhir-akhir ini.

Kejahiliyyahan menurut hawa nafsu iaitu manusia yang hidup mengikuti dorongan hawa nafsu semata-mata dan tidak mahu mematuhi apa yang ditetapkan Allah, mereka itulah manusia yang berada dalam kejahiliyyahan. Satu-satunya yang membuat seseorang menjadi manusia jahiliyyah adalah penolakan mereka terhadap hidayah Ilahi. Malah bukan hanya orang-orang arab pra-Islam sahaja yang berada dalam suasana kejahiliyyahan, tetapi juga setiap masyarakat yang hidupnya menyimpang dari petunjuk hidayah dan menuruti hawa nafsu sahaja termasuk dalam kategori ini.

Akhir-akhir ini kita sedar bahawa zaman jahiliyyah moden ini berkembang begitu pesat kerana didokong dengan adanya media dan alat penyebar informasi canggih yang setiap saat, siapa yang menyebarkan wabak perosak akhlak yang mampu bergerak sangat pantas dan memasuki ke rumah-rumah bahkan menyelinap ke bilik-bilik tidur melalui kaca televisyen yang sasarannya adalah generasi muda kita.

Muslimin yang dirahmati Allah,

Di antara ciri-ciri jahiliyyah moden adalah:

1. Tidak mengikut petunjuk Allah سبحانه وتعالى. Tidak berhukum dengan hukum Allah سبحانه وتعالى yang telah ditetapkan di dalam Al-Quran. Manusia lebih percaya dan yakin dengan hukum yang direka cipta oleh manusia sendiri yang mempunyai kemampuan akal (kognetif) yang terhad dan terbatas. Seperti mana firman Allah سبحانه وتعالى dalam Surah Al-Maidah Ayat 49 dan 50 yang berbunyi:

وَأَنِ احْكُمْ بَيْنَهُمْ بِمَا أَنْزَلَ اللَّهُ وَلَا تَتَّبِعْ أَهْوَاءَهُمْ وَاحْذَرْهُمْ أَنْ يَفْتِنُوكَ عَنْ بَعْضِ مَا أَنْزَلَ اللَّهُ إِلَيْكَ فَإِنْ تَوَلَّوْا فَاعْلَمْ أَنَّمَا يُرِيدُ اللَّهُ أَنْ يُصِيبَهُمْ بِبَعْضِ ذُنُوبِهِمْ وَإِنَّ كَثِيرًا مِنَ النَّاسِ لَفَاسِقُونَ ﴿٤٩﴾ أَفَحُكْمَ الْجَاهِلِيَّةِ يَبْغُونَ وَمَنْ أَحْسَنُ مِنَ اللَّهِ حُكْمًا لِقَوْمٍ يُوقِنُونَ ﴿٥٠﴾

Bermaksud: "Dan hendaklah engkau menjalankan hukum di antara mereka dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah dan janganlah engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka, dan berjaga-jagalah supaya mereka tidak memesongkanmu dari sesuatu hukum yang telah Allah turunkan kepadamu. Kemudian jika mereka berpaling (enggan menerima hukum Allah itu), maka ketahuilah, hanya sanya Allah mahu menyeksa mereka dengan sebab sebahagian daripada dosa-dosa. Sesungguhnya kebanyakan umat manusia itu adalah orang-orang yang fasik. Sesudah itu, patutkah mereka berkehendak lagi kepada hukum-hukum jahiliyyah? Padahal, kepada orang-orang yang penuh keyakinan tidak ada sesiapa yang boleh membuat hukum yang lebih baik daripada Allah".

2. Hidup mengikut hawa nafsu. Sepatutnya nafsu manusia itu dikawal oleh syariat Allah سبحانه وتعالى dengan bantuan akal fikiran tetapi nafsu mereka telah berkuasa di atas segalanya yang menyebabkan segala tindak-tanduk mereka berlandaskan hawa nafsu semata-mata. Daripada Syadad bin Aus, baginda Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda:

الْكَيِّسُ مَنْ دَانَ نَفْسَهُ وَعَمِلَ لِمَا بَعْدَ الْمَوْتِ وَالْعَاجِزُ مَنْ أَتْبَعَ نَفْسَهُ هَوَاهَا وَتَمَنَّى عَلَى اللَّهِ

Bermaksud: "Orang yang paling bijak ialah seorang yang menghitung dirinya dan beramal untuk kehidupan setelah kematian. Dan orang yang paling lemah ialah barangsiapa yang mengikuti hawa nafsunya dan berangan-angan (diampuni) Allah سبحانه وتعالى". (HR At-Tirmidzi)

3. Adanya golongan pemusnah Islam. Kadang-kadang golongan inilah yang mendakwa mereka memperjuangkan Islam tetapi segala tindak-tanduk, akhlak dan asas perjuangan jelas bertentangan dengan prinsip Islam yang sebenarnya. Kita berjuang semata-mata untuk menegakkan kalimah Allah di atas muka bumi ini. Segala perjuangan yang bertujuan selain daripada untuk memartabatkan agama Allah سبحانه وتعالى adalah pejuangan yang batil. Firman Allah سبحانه وتعالى dalam Surah Al-Anfal Ayat 25:

وَاتَّقُوا فِتْنَةً لَا تُصِيبَنَّ الَّذِينَ ظَلَمُوا مِنْكُمْ خَاصَّةً وَاعْلَمُوا أَنَّ اللَّهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ ﴿٢٥﴾

Bermaksud: "Dan jagalah diri kamu daripada (berlakunya) dosa (yang membawa bala bencana) yang bukan sahaja akan menimpa orang-orang yang zalim di antara kamu secara khusus  (tetapi akan menimpa kamu secara umum). Dan ketahuilah bahawa Allah Maha Berat azab seksanya".

4. Gejala keruntuhan akhlak berleluasa. Kadar jenayah dan maksiat pada zaman moden ini lebih kronik dan hebat daripada zaman jahiliyyah dahulu. Apabila manusia mula sudah tidak malu dan tidak menyedari kuasa Allah سبحانه وتعالى maka Allah akan mula menunjukkan kuasa-Nya dengan mendatangkan berbagai-bagai bala seperti tanah runtuh, tsunami, banjir besar, taufan dan sebagainya supaya manusia itu sedar bahawa kita ada yang punya dan berkuasa di atas segalanya.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بالقُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ، وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ الْأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالْأَمْوَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ، فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ . 


Khutbah Kedua

اَلْحَمْدُ لِلَّهِ الْقَائِلِ،
اللَّهُ وَلِيُّ الَّذِينَ آمَنُوا يُخْرِجُهُمْ مِنَ الظُّلُمَاتِ إِلَى النُّورِ وَالَّذِينَ كَفَرُوا أَوْلِيَاؤُهُمُ الطَّاغُوتُ يُخْرِجُونَهُمْ مِنَ النُّورِ إِلَى الظُّلُمَاتِ أُولَئِكَ أَصْحَابُ النَّارِ هُمْ فِيهَا خَالِدُونَ ﴿٢٥٧﴾

Bermaksud: "Allah pelindung (yang mengawal dan menolong) orang-orang yang beriman. Dia mengeluarkan mereka dari kegelapan (kufur) kepada cahaya (iman). Dan orang-orang kafir, penolong-penolong mereka ialah taghut yang mengeluarkan mereka daripada cahaya (iman) kepada kegelapan (kufur). Mereka itulah ahli neraka, mereka kekal di dalamnya". (Surah Al-Baqarah Ayat 257)

أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا  مُحَمَّدًا  عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ، اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أًجْمَعِينَ، أَمَّا بَعْدُ، فَيَاعِبَادَ الله، اتَّقُوا اللَّهَ، اُوْصِيْكُمْ وَاِيّايَ بِتَقْوَى اللهِ فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Mengakhiri khutbah pada hari ini, mimbar ingin mengingatkan bahawa elakkanlah diri jadi hamba kepada jahiliyyah moden. Perbanyakkanlah menghitung serta bermuhasabah diri kita setiap hari agar kita tidak tersesat jauh dari jalan yang dibawa oleh Rasulullah صلى الله عليه وسلم dan jalan yang diredhai Allah سبحانه وتعالى. Semoga kita tidak menyesal di hari kemudian yakni di akhirat kelak. Banyakkanlah juga mengingati mati. Mohonlah perlindungan kepada Allah سبحانه وتعالى dari fitnah api neraka jahannam, fitnah kubur, fitnah kehidupan dan kematian serta dari fitnah Al-Masihid Dajjal.

إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا ﴿٥٦﴾

Bermaksud: "Sesungguhnya Allah dan malaikat berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad SAW), wahai orang-orang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucaplah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya". (Al-Ahzab: 56)

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ والْمُؤمِنَاتِ، وَأَصْلِحْ ذَاتَ بَيْنِهِمْ وَأَلِّفْ بَيْنَ قُلُوْبِهِمْ وَاجْعَلْ فِيْ قُلُوْبِهِمُ اْلإِيْمَانَ وَاْلحِكْمَةَ وَثَبِّتْهُمْ عَلَى مِلَّةِ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى اللهِ عَلَيهِ وَسَلَّم.

Ya Allah! Muliakanlah Islam dan pendokong-pendokongnya, bantulah Islam dan perkembangannya, bantulah pendakwah-pendakwah Islam dan para mujahidinnya. Ya Allah, hancurkanlah kekufuran serta golongan munafiq dan musyrikin, binasalakanlah musuh-musuh agama-Mu dan segala sekutunya, Engkau eratkanlah hubungan kami sesama Islam. Elakkanlah kami dari permusuhan yang boleh menyebabkan terlerainya persaudaraan Islam.

Ya Allah, bukakanlah hati kami untuk melaksanakan ibadat zakat sebagaimana yang telah Engkau fardhukan. Berkatilah hidup hamba-Mu yang melaksanakan tuntutan zakat dan para pewakaf yang telah menginfaqkan harta mereka ke jalan-Mu. Sucikanlah harta dan jiwa mereka, lindungilah golongan fuqara dan masakin daripada kekufuran dan kefakiran yang berpanjangan.

Ya Allah, kurniakanlah sepenuh taufiq dan hidayah-Mu terhadap Raja kami, Duli Yang Maha mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Al-Marhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah al-Maghfurulahu dan Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan Tuanku Zara Salim serta kerabat dan seluruh rakyat jelata sekalian.

رَبَّنَا ءَاتنِاَ فِى الدُّنْياَ حَسَنَةً وَفِى الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ، 
عِبَادَ الله، اِنَّ الله يَأْمُرُ بِاْلعَدْلِ وَالأِحْسَانِ وَإِيْتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَاْلمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُوْنَ. فَاذْكُرُوْا اللهَ الْعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ وَاشْكُرُوْهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ وَلَذِكْرُاللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ.


Teks asal khutbah ini boleh juga dimuat turun dari laman Google Drive. Klik sini.

Thursday, January 21, 2016

KHUTBAH JUMAAT - 12 RABIUL AKHIR 1437 / 22 JANUARI 2016


AKHLAK MULIA: TARIKAN DAKWAH YANG BERKESAN

Khutbah Pertama

الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي أَرْسَلَ رَسُولَهُ بِالْهُدَى وَدِينِ الْحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّينِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ الْمُشْرِكُونَ، أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا  وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدًا  عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ، اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أًجْمَعِينَأَمَّا بَعْدُ، فَيَاعِبَادَ الله، اتَّقُوا اللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنتُم مُّسْلِمُونَ.

 قَالَ اللهُ تَعَالَى فِى كِتَابِهِ الْعَزِيزِ:

وَعِبَادُ الرَّحْمَنِ الَّذِينَ يَمْشُونَ عَلَى الْأَرْضِ هَوْنًا وَإِذَا خَاطَبَهُمُ الْجَاهِلُونَ قَالُوا سَلَامًا ﴿٦٣﴾

Ayat yang dibacakan tadi dipetik daripada Surah Al-Furqan Ayat 63 yang bermaksud: "Adapun hamba-hamba Tuhan Yang Maha Pengasih itu adalah mereka yang berjalan di bumi dengan rendah hati dan apabila orang bodoh menyapa mereka (dengan kata-kata menghina), mereka mengucapkan salam."

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah sekalian,

Saya berpesan kepada diri saya dan sidang Jumaat sekalian, marilah kita bersama-sama tingkatkan keimanan dan ketaqwaan kita kepada Allah سبحانه وتعلى dengan penuh keyakinan iaitu dengan melaksanakan segala perintah-Nya dan berusaha bersungguh-sungguh meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan setiap usaha yang kita lakukan di dunia yang sementara ini akan dinilai di sisi Allah سبحانه وتعلى sebagai ganjaran pahala di akhirat kelak, seterusnya terselamat daripada azab api neraka Allah سبحانه وتعلى. Sebelum memulakan khutbah, saya ingin berpesan kepada sidang Jumaat sekalian agar menumpukan perhatian terhadap khutbah yang bakal disampaikan. Fahami dan hayati isi kandungan serta jangan bercakap-cakap dan membuat bising. Mimbar pada hari ini akan membicarakan khutbah yang bertajuk: "Akhlak Mulia: Tarikan Dakwah Yang Berkesan".

Sidang Jumaat yang dimuliakan,

Akhlak adalah cermin bagi agama Islam itu sendiri. Seorang mukmin yang benar-benar berpegang teguh pada agama akan mencerminkan akhlak mulia sebagai bukti kesungguhan menjalankan syariat Islam. Daripada Abu Hurairah رضي الله عنه katanya, Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda:

أَكْمَلُ الْمُؤْمِنِينَ إِيمَانًا أَحْسَنُهُمْ خُلُقًا

"Orang yang paling sempurna imannya ialah mereka yang paling baik akhlaknya". (HR Ahmad)

Rasulullah صلى الله عليه وسلم adalah contoh ikutan yang terbaik. Semua muslimin wajib meneladani Rasulullah dalam setiap hal yang baginda ajarkan. Terutama dalam masalah akhlak dan adab-adab seorang muslim. Firman Allah سبحانه وتعلى dalam Surah Al-Ahzab Ayat 21;

لَقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِمَنْ كَانَ يَرْجُو اللَّهَ وَالْيَوْمَ الْآخِرَ وَذَكَرَ اللَّهَ كَثِيرًا﴿٢١﴾

Bermaksud: "Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri tauladan yang baikbagimu (iaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan banyak mengingati Allah".

Keluarga dan sahabat yang bersama baginda juga menyatakan yang demikian. Anas bin Malik رضي الله عنه berkata: 

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَحْسَنَ النَّاسِ خُلُقًا

Bermaksud: "Rasulullah صلى الله عليه وسلم orang yang paling baik akhlaknya". (HR Muttafaqun 'alaih)

Di antara akhlak mulia Rasulullah ialah pemaaf dan berkasih sayang sesama Islam, bahkan juga kepada bukan Islam. Diceritakan satu kisah penangkapan seorang kafir yang bernama Sumamah oleh sahabat baginda. Beliau adalah seorang ketua di kota Yamamah. Baginda hanya mengarahkan beliau diikat di tiang dan dibiarkan hidup. Pada hari pertama baginda menghampiri Sumamah dan berkata, "Apa khabar wahai Sumamah?" Jawab Sumamah, "Baik wahai Muhammad". Kemudian Rasulullah berkata, "Masuk Islamlah wahai Sumamah". Dia menjawab, "Kalau engkau ingin membunuhku, maka bunuhlah aku. Kalau engkau mengampuniku, maka aku berterima kasih kepadamu. Tetapi kalau engkau memintaku untuk masuk Islam, maka aku enggan wahai Muhammad". Rasulullah tersenyum mendengar jawapan Sumamah, kemudian baginda berlalu meninggalkannya. Sehinggalah kali yang ketiga Rasulullah bertanyakan hal yang sama, Sumamah masih enggan memeluk Islam. Rasulullah terus melepaskan ikatannya. Setelah itu, Sumamah sedar akan keluhuran budi pekerti Rasulullah yang sudi memaafkannya yang telah membunuh ramai para sahabat baginda. Dengan ikhlas dan tulus hati, Sumamah mengucapkan dua kalimah syahadah.

Sidang Jumaat yang dikasihi Allah,

Kita boleh merujuk kepada buku-buku sejarah untuk mengetahui bagaimana Islam masuk ke Asia Tenggara antaranya Indonesia dan Tanah Melayu terbukti bahawa sebab Raja dan penduduk di rantau ini khususnya masuk Islam adalah dengan "senjata" unik, iaitu melalui akhlak yang baik. Akhlak mulia, tutur kata dan tingkah laku yang hebat inilah yang digunakan oleh Rasulullah صلى الله عليه وسلم dalam menggerakkan dakwahnya kepada orang-orang arab di Makkah, sebagaimana firman Allah سبحانه وتعلى dalam Surah Al-A'araf Ayat 199:

خُذِ الْعَفْوَ وَأْمُرْ بِالْعُرْفِ وَأَعْرِضْ عَنِ الْجَاهِلِينَ ﴿١٩٩﴾

Bermaksud: "Jadilah pemaaf dan suruhlah orang mengerjakan yang ma'aruf serta jangan mempedulikan orang-orang yang bodoh".

Allah سبحانه وتعلى turut mengajar kita bahawa cara yang paling mudah untuk sampai ke lubuk hati manusia adalah melalui lemah lembut, akhlak yang baik, memaafkan, memohon keampunan, merendah diri kepada manusia dan membuang sifat ego. Inilah yang kita dapat fahami daripada firman Allah سبحانه وتعلى dalam Surah Ali-Imran Ayat 159:

فَبِمَا رَحْمَةٍ مِنَ اللَّهِ لِنْتَ لَهُمْ وَلَوْ كُنْتَ فَظًّا غَلِيظَ الْقَلْبِ لَانْفَضُّوا مِنْ حَوْلِكَ فَاعْفُ عَنْهُمْ وَاسْتَغْفِرْ لَهُمْ وَشَاوِرْهُمْ فِي الْأَمْرِ فَإِذَا عَزَمْتَ فَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُتَوَكِّلِينَ ﴿١٥٩﴾

Bermaksud: "Dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu. Oleh itu maafkanlah mereka (mengenai kesalahan yang mereka lakukan) terhadapmu dan pohonkanlah ampun bagi mereka dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan hal-hal keduniaan) itu. Kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyaurat untuk membuat sesuatu), maka bertawakkallah kepada Allah, sesungguhnya Allah Mengasihi orang-orang yang bertawakkal kepada-Nya".

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بالقُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ، وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ الْأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالْأَمْوَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ، فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ . 


Khutbah Kedua

اَلْحَمْدُ لِلَّهِ الْقَائِلِ،
ادْعُ إِلَى سَبِيلِ رَبِّكَ بِالْحِكْمَةِ وَالْمَوْعِظَةِ الْحَسَنَةِ وَجَادِلْهُمْ بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ إِنَّ رَبَّكَ هُوَ أَعْلَمُ بِمَنْ ضَلَّ عَنْ سَبِيلِهِ وَهُوَ أَعْلَمُ بِالْمُهْتَدِينَ ﴿١٢٥﴾
أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ،
اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّينِ،
أَمَّا بَعْدُ، فَيَاعِبَادَ الله، اتَّقُوا اللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنتُم مُّسْلِمُونَ. 

Para jama'ah yang dirahmati Allah,

Allah menyatakan dalam Ayat yang dibacakan tadi daripada Surah An-Nahl Ayat 125 yang bermaksud: "Serulah (manusia) ke jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pengajaran yang baik dan berdebatlah dengan mereka dengan cara yang baik. Sesungguhnya Tuhanmu yang lebih mengetahui siapa yang sesat dari jalan-Nya dan Dialah yang lebih Mengetahui siapa yang mendapat petunjuk".

Sidang jama'ah yang dikasihi Allah,

Betapa indahnya cara atau metodologi dakwah Nabi kita Muhammad صلى الله عليه وسلم untuk membawa manusia ke arah kebenaran. Sesungguhnya Rasulullah صلى الله عليه وسلم telahpun menunjukkan kepada kita betapa pentingnya peranan berakhlak mulia mengajak manusia ke jalan yang benar. Nilai murni seperti kesabaran dan bersangka baik itulah akhlak Rasulullah صلى الله عليه وسلم. Justeru itu, jagalah akhlak kita. Jangan banyak memberi alasan kerana Rasulullah sudah memberi contoh kepada kita. Ingatlah! Akhlak mencerminkan agama Islam itu sendiri.

إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ ۚ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا ﴿٥٦﴾

Bermaksud: "Sesungguhnya Allah dan malaikat berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad SAW), wahai orang-orang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucaplah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya". (Al-Ahzab: 56)

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ والْمُؤمِنَاتِ، وَأَصْلِحْ ذَاتَ بَيْنِهِمْ وَأَلِّفْ بَيْنَ قُلُوْبِهِمْ وَاجْعَلْ فِيْ قُلُوْبِهِمُ اْلإِيْمَانَ وَاْلحِكْمَةَ وَثَبِّتْهُمْ عَلَى مِلَّةِ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى اللهِ عَلَيهِ وَسَلَّم.

Ya Allah, bukakanlah hati kami untuk melaksanakan ibadat zakat sebagaimana yang telah Engkau fardhukan. Berkatilah hidup hamba-Mu yang melaksanakan tuntutan zakat dan para pewakaf yang telah menginfaqkan harta mereka ke jalan-Mu. Sucikanlah harta dan jiwa mereka, lindungilah golongan fuqara dan masakin daripada kekufuran dan kefakiran yang berpanjangan.

Ya Allah, kurniakanlah sepenuh taufiq dan hidayah-Mu terhadap Raja kami, Duli Yang Maha mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Al-Marhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah al-Maghfurulahu dan Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan Tuanku Zara Salim serta kerabat dan seluruh rakyat jelata sekalian.

رَبَّنَا ءَاتنِاَ فِى الدُّنْياَ حَسَنَةً وَفِى الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ،
اِنَّ الله يَأْمُرُ بِاْلعَدْلِ وَالأِحْسَانِ وَإِيْتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَاْلمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُوْنَ. فَاذْكُرُوْا اللهَ الْعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ وَاشْكُرُوْهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ وَلَذِكْرُاللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ.


Teks asal khutbah ini boleh juga dimuat turun dari laman Google Drive. Klik sini.

Friday, January 15, 2016

KHUTBAH JUMAAT - 5 RABIUL AKHIR / 15 JANUARI 2016



TEMAN BERTAQWA MEMBAWA KE SYURGA

Khutbah Pertama

اَلْحَمْدُ لِلَّهِ الْقَائِلِ،
يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُمْ مِنْ ذَكَرٍ وَأُنْثَى وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوبًا وَقَبَائِلَ لِتَعَارَفُوا إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِنْدَ اللَّهِ أَتْقَاكُمْ إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ ﴿١٣﴾
أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلهَ إِلاَّ اللَّهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا  مُحَمَّدًا  عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ، اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ. أَمَّا بَعْدُ، فَيَاعِبَادَ الله، اتَّقُوا اللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنتُم مُّسْلِمُونَ.

Ayat yang dibacakan tadi dipetik daripada Surah Al-Hujurat Ayat 13 yang bermaksud: "Wahai manusia! Sesungguhnya Kami telah mencipta kamu dari lelaki dan perempuan. Dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan suku kaum supaya kamu saling berkenalan. Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya".

Muslimin yang dirahmati Allah,

Saya berpesan kepada diri saya dan sidang Jumaat sekalian, marilah kita mempertingkatkan ketaqwaan kepada Allah سبحانه وتعلى dengan mentaati segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Sebelum memulakan khutbah, saya ingin berpesan kepada sidang Jumaat sekalian agar menumpukan perhatian terhadap khutbah yang bakal disampaikan. Fahami dan hayati isi kandungan serta jangan bercakap-cakap dan membuat  bising. Mudah-mudahan kita memperolehi keberkatan dan keredhaan Allah سبحانه وتعلى di dunia dan di akhirat. Mimbar pada hari ini akan membicarakan khutbah yang bertajuk: "Teman Bertaqwa membawa Ke Syurga".

Sidang Jumaat sekalian, 

Allah menciptakan makhluk di muka bumi ini berpasang-pasangan, begitu juga manusia tidak akan hidup bersendirian. Kita tidak boleh mengelak daripada berkawan dan berteman. Jika ada manusia yang tidak berkawan atau melarang orang lain daripada berkawan, mereka dianggap ganjil dan tidak memenuhi ciri-ciri sebagai seorang manusia yang normal.

Islam menggalakkan umatnya saling bersahabat kerana Allah. Rasulullah صلى الله عليه وسلم menyatakan bahawa apabila ingin mencari sahabat, maka carilah sahabat yang selalu mendekatkan diri kepada agama, budi pekerti dan berakhlak baik, tidak fasik dan tidak sekadar melihat pada hal keduniaan sahaja. Jika dia seorang yang berpegang teguh kepada agama maka kita juga akan menjadi sepertinya. Namun jika sebaliknya, rugilah kehidupan kita di dunia lebih-lebih lagi di akhirat. Daripada Abu Hurairah رضي الله عنه daripada Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda:

الْمَرْءُ عَلَى دِينِ خَلِيلِهِ فَلْيَنْظُرْ أَحَدُكُمْ مَنْ يُخَالِلْ

Bermaksud: "Seseorang itu mengikut agama sahabat karibnya. Oleh itu, hendaklah seorang daripada kamu memikirkan siapa yang akan dijadikan sebagai sahabat karibnya." (Riwayat Al-Imam Ahmad)

Natijah memilih sahabat ini dapat kita fahami pula di dalam hadith yang lain yang diriwayatkan oleh Ima Al-Bukhari رحمة الله عليه daripada Abdullah bin Qais, Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda:

الْجَلِيسِ الصَّالِحِ وَالسَّوْءِ كَحَامِلِ الْمِسْكِ وَنَافِخِ الْكِيرِ فَحَامِلُ الْمِسْكِ إِمَّا أَنْ يُحْذِيَكَ وَإِمَّا أَنْ تَبْتَاعَ مِنْهُ وَإِمَّا أَنْ تَجِدَ مِنْهُ رِيحًا طَيِّبَةً وَنَافِخُ الْكِيرِ إِمَّا أَنْ يُحْرِقَ ثِيَابَكَ وَإِمَّا أَنْ تَجِدَ رِيحًا خَبِيثَةً

Bermaksud: "Teman yang baik dan teman yang buruk ibarat seorang penjual minyak wangi dan seorang tukang besi. Penjual minyak wangi mungkin akan memberimu minyak wangi atau kamu dapat membeli minyak wangi darinya, dan jika tidak engkau tetap mendapatkan bau harum darinya. Sedangkan (berteman) tukang besi boleh jadi (percikan apinya) membakar pakaianmu, dan jika pun tidak, engkau tetap mendapatkan bau asapnya yang kurang enak". (HR Al-Bukhari)

Di dalam kitab Fathul Bari, Imam Ibnu Hajar Al-Asqolani رحمه الله mengatakan: "Hadith ini menunjukkan larangan berteman dengan mereka yang dapat merosakkan agama mahupun dunia kita. Hadith ini juga mendorong seseorang agar bergaul dengan mereka yang dapat memberikan manfaat dalam agama dan dunia".

Islam juga memberi perhatian kepada persoalan persaudaraan dengan menyuruh umatnya sentiasa menjaga dan memelihara ukhuwwah. Hal ini kerana ukhuwwah merupakan asas kekuatan, keimanan dan ketaqwaan umat Islam. Sebagai umat Islam kita hendaklah sentiasa berkasih sayang sesama manusia khususnya umat Islam. Perkara ini merupakan landasan ke arah mewujudkan masyarakat yang harmoni, bersatu padu dan saling bekerjasama antara satu sama lain. Sabda Nabi صلى الله عليه وسلم dalam hadith riwayat Al-Bukhari:

الْمُسْلِمُ أَخُو الْمُسْلِمِ لَا يَظْلِمُهُ وَلَا يُسْلِمُهُ وَمَنْ كَانَ فِي حَاجَةِ أَخِيهِ كَانَ اللَّهُ فِي حَاجَتِهِ وَمَنْ فَرَّجَ عَنْ مُسْلِمٍ كُرْبَةً فَرَّجَ اللَّهُ عَنْهُ كُرْبَةً مِنْ كُرُبَاتِ يَوْمِ الْقِيَامَةِ وَمَنْ سَتَرَ مُسْلِمًا سَتَرَهُ اللَّهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ

Bermaksud: "Seseorang muslim adalah saudara kepada muslim yang lain, ia tidak boleh menzalimi dan menghinanya. Barangsiapa yang membantu memenuhi keperluan saudaranya, nescaya Allah akan membantunya dalam memenuhi keperluannya. Barangsiapa yang membantu meringankan kesusahan seseorang muslim, nescaya Allah akan meringankan kesusahan pada hari kiamat nanti. Barangsiapa yang menutup keaiban seorang muslim, nescaya Allah akan menutup keaibannya pada hari kiamat nanti".

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Antara kemanisan hidup ini adalah apabila seseorang memiliki sahabat yang setia tanpa sebarang kepentingan. Namun, hal yang seperti ini amat sukar untuk diperolehi di dunia ini. Sekalipun ramai yang mendakwa dia adalah sahabat setia kita. Tetapi terbukti berhubung apabila ujian datang melanda. Memiliki teman yang jujur dalam erti kata yang sebenar adalah nikmat kehidupan. Bahkan baginda Nabi صلى الله عليه وسلم menjamin bahawa sesiapa yang mempunyai teman tanpa kepentingan tertentu melainkan kerana Allah semata-mata, maka dia akan mencapai kemanisan iman. Sabda baginda dalam hadith riwayat Al-Bukhari dan Muslim:

ثَلَاثٌ مَنْ كُنَّ فِيهِ وَجَدَ حَلَاوَةَ الْإِيمَانِ أَنْ يَكُونَ اللَّهُ وَرَسُولُهُ أَحَبَّ إِلَيْهِ مِمَّا سِوَاهُمَا وَأَنْ يُحِبَّ الْمَرْءَ لَا يُحِبُّهُ إِلَّا لِلَّهِ وَأَنْ يَكْرَهَ أَنْ يَعُودَ فِي الْكُفْرِ كَمَا يَكْرَهُ أَنْ يُقْذَفَ فِي النَّارِ

Bermaksud: "Tiga perkara yang sesiapa memilikinya, dia akan mendapat kemanisan iman. (Pertama) Hendaklah Allah dan Rasul-Nya lebih dicintai mengatasi selain kedua-duanya. (Kedua) Hendaklah dia mencintai seseorang kerana Allah. (Ketiga) Hendaklah dia benci untuk kembali kepada kekufuran sepertimana dia benci untuk dicampakkan ke dalam neraka".

Manisnya madu kelulut tidak dapat digambarkan oleh perkataan buat sesiapa yang tidak pernah merasa kemanisannya. Manakala manisnya iman, hanya pemiliknya yang dapat mengecapi kenikmatan dan kehebatannya. Antara tiga ciri tersebut, baginda صلى الله عليه وسلم menyatakan bahawa dengan mencintai seseorang hanya kerana Allah akan terasalah kemanisan iman.

Sidang Jumaat sekalian,

Kita selalu mendengar cerita berkenaan pengkhianatan sesama sahabat dalam perniagaan, pekerjaan dan politik. Amat rapuhnya persahabatan jika dibina atas dasar kepentingan diri masing-masing. Tanpa iman, maka tiada kasih sayang hakiki dalam persahabatan. Carilah teman dan sahabat atas dasar iman. Jika kita pernah merasai kemanisan iman dan persahabatan yang dibina atas dasar iman, maka kita akan tahu bahawa persahabatan palsu itu rasanya amat pahit dan meloyakan. Firman Allah سبحانه وتعلى dalam Surah Az-Zukhruf Ayat 67:

الْأَخِلَّاءُ يَوْمَئِذٍ بَعْضُهُمْ لِبَعْضٍ عَدُوٌّ إِلَّا الْمُتَّقِينَ ﴿٦٧﴾

Bermaksud: "Sahabat handai pada hari tersebut yakni hari kiamat akan bermusuhan antara satu sama lain kecuali golongan yang bertaqwa".

Ayat ini menyatakan bahawa pada hari akhirat nanti, mereka yang pernah bersahabat bukan atas dasar taqwa akan bermusuhan sesama sendiri apabila melihat azab Tuhan yang terhasil daripada dosa persahabatan dan pakatan yang pernah mereka lakukan di dunia. Sebab itulah kita sering diingatkan supaya berhati-hati dalam memilih kawan. Kawan yang baik akan membawa kebaikan, sebaliknya yang jahat membawa kemudharatan.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بالقُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ، وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ الْأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالْأَمْوَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ، فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ . 


Khutbah Kedua

الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي أَرْسَلَ رَسُولَهُ بِالْهُدَى وَدِينِ الْحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّينِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ الْمُشْرِكُونَ، أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا  مُحَمَّدًا  عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ، وَحَبِيْبُهُ وَخَلِيْلُهُ سَيِّدُ الْإِنْسِ وَالْبَشَرِ.  اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَسَلِّمْ تَسْلِمًا كَثِيْرًا. فَيَاعِبَادَ الله، اتَّقُوا اللَّهَ، اُوْصِيْكُمْ وَاِيّايَ بِتَقْوَى اللهِ وَطَاعَتِهِ فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ.

Sidang Jumaat sekalian,

Mengakhiri khutbah pada hari ini, marilah kita sama-sama menghayati firman Allah سبحانه وتعلى di dalam Surah Al-Kahfi Ayat 28:

وَاصْبِرْ نَفْسَكَ مَعَ الَّذِينَ يَدْعُونَ رَبَّهُمْ بِالْغَدَاةِ وَالْعَشِيِّ يُرِيدُونَ وَجْهَهُ وَلَا تَعْدُ عَيْنَاكَ عَنْهُمْ تُرِيدُ زِينَةَ الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَلَا تُطِعْ مَنْ أَغْفَلْنَا قَلْبَهُ عَنْ ذِكْرِنَا وَاتَّبَعَ هَوَاهُ وَكَانَ أَمْرُهُ فُرُطًا ﴿٢٨﴾

Bermaksud: "Dan jadikanlah dirimu sentiasa berdamping rapat dengan orang-orang yang beribadat kepada Tuhan mereka pada waktu pagi dan petang, yang mengharapkan keredhaan Allah semata-mata dan janganlah engkau memalingkan pandanganmu daripada mereka hanya kerana engkau mahukan kesenangan hidup di dunia dan janganlah engkau mematuhi orang yang Kami ketahui hatinya lalai daripada mengingati dan mematuhi pengajaran Kami di dalam Al-Quran serta ia menurut hawa nafsunya dan tingkah lakunya pula adalah melampaui kebenaran".

إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ ۚ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا ﴿٥٦﴾

Bermaksud: "Sesungguhnya Allah dan malaikat berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad SAW), wahai orang-orang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucaplah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya". (Al-Ahzab: 56)

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ والْمُؤمِنَاتِ، وَأَصْلِحْ ذَاتَ بَيْنِهِمْ وَأَلِّفْ بَيْنَ قُلُوْبِهِمْ وَاجْعَلْ فِيْ قُلُوْبِهِمُ اْلإِيْمَانَ وَاْلحِكْمَةَ وَثَبِّتْهُمْ عَلَى مِلَّةِ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى اللهِ عَلَيهِ وَسَلَّم.

Ya Allah, bukakanlah hati kami untuk melaksanakan ibadat zakat sebagaimana yang telah Engkau fardhukan. Berkatilah hidup hamba-Mu yang melaksanakan tuntutan zakat dan para pewakaf yang telah menginfaqkan harta mereka ke jalan-Mu. Sucikanlah harta dan jiwa mereka, lindungilah golongan fuqara dan masakin daripada kekufuran dan kefakiran yang berpanjangan.

Ya Allah, kurniakanlah sepenuh taufiq dan hidayah-Mu terhadap Raja kami, Duli Yang Maha mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Al-Marhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah al-Maghfurulahu dan Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan Tuanku Zara Salim serta kerabat dan seluruh rakyat jelata sekalian.

رَبَّنَا ءَاتنِاَ فِى الدُّنْياَ حَسَنَةً وَفِى الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ،
اِنَّ الله يَأْمُرُ بِاْلعَدْلِ وَالأِحْسَانِ وَإِيْتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَاْلمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُوْنَ. فَاذْكُرُوْا اللهَ الْعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ وَاشْكُرُوْهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ وَلَذِكْرُاللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ. 


Teks asal khutbah ini boleh juga dimuat turun dari laman Google Drive. Klik sini.


Thursday, January 7, 2016

KHUTBAH JUMAAT - 27 RABI'UL AWWAL 1437 / 8 JAUNARI 2016



BUDAYA ILMU ASAS KECEMERLANGAN GENERASI

Khutbah Pertama

الْحَمْدُ لِلَّهِ الْقَائِلِ:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا قُوا أَنْفُسَكُمْ وَأَهْلِيكُمْ نَارًا وَقُودُهَا النَّاسُ وَالْحِجَارَةُ عَلَيْهَا مَلَائِكَةٌ غِلَاظٌ شِدَادٌ لَا يَعْصُونَ اللَّهَ مَا أَمَرَهُمْ وَيَفْعَلُونَ مَا يُؤْمَرُونَ ﴿٦﴾
أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا  مُحَمَّدًا  عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ، اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ. أَمَّا بَعْدُ، فَيَاعِبَادَ الله، اتَّقُوا اللَّهَ، اُوْصِيْكُمْ وَاِيّايَ بِتَقْوَى اللهِ وَطَاعَتِهِ فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ.

Sidang Jumaat yang berbahagia,

Di kesempatan berada pada hari Jumaat yang mulia ini, saya berpesan kepada diri saya dan kepada sidang Jumaat sekalian marilah sama-sama kita meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah سبحانه وتعلى dengan bersungguh-sungguh melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Sebelum memulakan khutbah, saya ingin berpesan kepada sidang Jumaat sekalian agar menumpukan perhatian terhadap khutbah yang bakal disampaikan, fahami dan hayati isi kandungan serta jangan bercakap-cakap dan membuat bising. Mudah-mudahan kita memperolehi keberkatan dan keredhaan serta perlindungan Allah سبحانه وتعلى di dunia dan di akhirat. Mimbar pada hari ini akan membicarakan khutbah yang bertajuk: "Budaya Ilmu Asas Kecemerlangan Generasi".

Muslimin yang dirahmati Allah,

Minggu ini adalah minggu pertama anak-anak kita kembali ke alam persekolahan. Berbagai ragam dapat kita lihat pada diri anak-anak kita setelah berbulan mereka bercuti dari alam persekolahan. Namun inilah rutin biasa yang mereka perlu tempuhi dan membudayakannya demi membina generasi yang cemerlang di masa akan datang.

Dalam usaha membina insan yang cemerlang, maka hendaklah dihubungkait dengan ilmu pengetahuan dan pendidikan. Dalam proses ini kesepaduan peranan pihak berwajib iaitu sekolah dan ibu-bapa mestilah saling bekerjasama dan mengambil tanggungjawab dengan sebaik mungkin. Firman Allah سبحانه وتعلى dalam Surah At-Tahrim Ayat 6:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا قُوا أَنْفُسَكُمْ وَأَهْلِيكُمْ نَارًا وَقُودُهَا النَّاسُ وَالْحِجَارَةُ عَلَيْهَا مَلَائِكَةٌ غِلَاظٌ شِدَادٌ لَا يَعْصُونَ اللَّهَ مَا أَمَرَهُمْ وَيَفْعَلُونَ مَا يُؤْمَرُونَ ﴿٦﴾

Maksudnya: "Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari api neraka yang bahan bakarnya manusia dan batu, penjaganya malaikat-malaikat yang keras kasar: tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkan-Nya kepada mereka dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan."

Berdasarkan kepada pemerhatian mimbar, terdapat perkaitan yang sangat kuat bahawa penglibatan ibu-bapa dalam memajukan pendidikan anak-anak. Dengan demikian ibu-bapa tidak boleh menyerah secara bulat-bulat kepada pihak sekolah dan guru-guru sahaja dalam menentukan kejayaan dan kecemerlangan anak-anak mereka. Ibu-bapa hendaklah memainkan peranan dan kerjasama rapat dengan pihak sekolah.

Ibu-bapa adalah asas kepada menentukan dasar pembinaan akhlak dan kecemerlangan anak-anak, Bila tumpuan ibu-bapa terhadap anak-anak berkurangan, maka kadar keciciran anak-anak semakin meningkat. Anak pada peringkat awal pembesaran dan pendewasaan memerlukan ibu-bapa sebagai orang terawal menunjukkan tauladan yang bauk. Menurut prinsip pendidikan Islam, sangat kritikal dalam membina teras nilai murni, akhlak mulia, kasing sayang dan komunikasi yang mesra sebenarnya bermula dari dalam rahim ibu lagi sehinggalah anak itu mencapai usia baligh. Dengan demikian itu mimbar menasihatkan diri dalam mendidik anak-anak walau dalam apa keadaan sekalipun.

Rasulullah صلى الله عليه وسلم telah menggariskan empat tahap pendidikan kepada anak-anak iaitu:

Tahap pertama: Anak yang baru lahir sehingga mumaiyyiz (6 tahun) hendaklah kita banyak bergurau dan membelai mereka dengan penuh kasih sayang.

Tahap kedua: Anak berumur tujuh tahun sehinggalah baligh (14 tahun) hendaklah kita mendidik mereka dengan arahan, disiplin dan memberi tanggungjawab kepada mereka.

Tahap ketiga: Anak berumur 15 tahun hingga dewasa (21 tahun) hendaklah ddidikan dengan cara berkawan, bertukar pendapat dan hormati pendapat mereka selagi tidak bertentangan dengan syariat.

Tahap keempat: Anak berumur lebih 21 tahun, hendaklah para ibu-bapa memberikan kebebasan bertindak selagi tidak bertentangan dengan syariat. Ibu-bapa hanya perlu bertindak sebagai penasihat agar segala tindakan mereka terkawal.

Jika kita tidak mengambil berat, maka anak-anak akan terdedah dengan gejala rosak akidah, hilang kemuliaan akhlak dan maruah juga ketinggalan dalam pendidikan. Kita tidak mahu anak-anak menjadi keliru, tidak tahu memilih yang buruk atau yang baik dalam kehidupan mereka. Menurut Prof. Dr. Yusuf Al-Qardhawi, bahawa kesan yang paling menonjol akibat kelemahan kualiti keibu-bapaan hari ini adalah terpisahnya atau tercabutnya akhlak anak-anak yang memudahkan dan mendedahkan mereka dalam krisis gejala sosial.

Satu kisah pada zaman Rasulullah صلى الله عليه وسلم, seorang sahabat yang berjamaah bersama baginda kerap keluar dari jamaah awal sebelum sempat berdoa.Baginda bertanyakan kenapa balik tergesa-gesa sebelum sempat berdoa. Sahabat itu menerangkan dia mempunyai anak kecil yang ibunya baru meninggal dunia. Dia takut anaknya mengambil dan memakan buah tamar jiran yang gugur di halaman rumahnya dan ditakuti akan menjadi darah dagingnya. Sahabat itu menjelaskan daging yang disuburkan dari benda yang haram itu tidak layak masuk syurga. Mendengarkan penjelasan itu, baginda diam dan tidak berkata apa-apa, hanya memperhatikannya sahaja pulang ke rumah.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Pencapaian prestasi anak-anak kita dalam pelajaran bergantung kepada perancangan dan penilaian bersungguh-sungguh ibu-bapa sendiri. Dalam hal ini ibu-bapa perlulah membudayakan ilmu dan akhlak dalam kehidupan seharian anak-anak. Dalam menjamin keberkesanan fungsi ibu-bapa menentukan kejayaan pendidikan anak-anak, maka mimbar menasihatkan ibu-bapa sekalian menetapkan sekurang-kurangnya 6 petunjuk sebagai ukuran bagi menentukan hala tuju dan tindakan yang mesti dilaksanakan oleh anak-anak kita antaranya seperti berikut -

Pertama: Memastikan anak-anak menunaikan solat fardhu 5 kali sehari semalam secara konsisten,
Kedua: Memastikan anak-anak mempelajari dan memahami Al-Quran setiap hari,
Ketiga: Memastikan anak-anak mendapat makanan yang halal, berzat dan memenuhi keperluan vitamin setiap hari,
Keempat: Menyemak buku-buku latihan dan kerja setiap mata pelajaran sekurang-kurangnya sekali dalam seminggu,
Kelima: Menetapkan sasaran setiap mata pelajaran anak-anak sekurang-kurangnya mencapai 80%, dan
Keenam: Mengadakan perjumpaan dengan guru kelas sekurang-kurangnya sekali dalam setiap semester atau penggal bagi mendapat maklum balas prestasi pembelajaran dan tahap sakhsiyah anak-anak ketika di sekolah.

Muslimin yang dirahmati Allah,

Sebagai ibu-bapa kita tidak boleh mengambil sikap lepas tangan. Jangan kita beranggapan bahawa kita telah menunaikan kewajipan dan hak anak-anak apabila anak-anak telah dihantar ke sekolah. Ingatlah tanggungjawab kita bukan hanya memastikan agar mereka akan hidup selesa pada masa akan datang, tanggungjawab kita juga memastikan agar mereka mempunyai prinsip yang teguh dan jatidiri yang kuat walaupun kadang kala berlaku ketegangan hebat antara guru-guru dengan ibu-bapa yang nyata menjejaskan kualiti pendidikan di sebuah sekolah. Namun, sebagai langkah positif, maka ibu-bapa dan masyarakat hendaklah memberi penghormatan yang besar kepada guru-guru untuk membimbing dan mendisiplinkan pelajar-pelajar mereka.

Oleh itu mimbar berharap janganlah kita mudah melenting, jangan hilang kewarasan dan hendaklah bersifat berlapang dada apabila guru-guru mengambil tindakan disiplin ke atas pelajar mereka. Kita yakin tindakan guru dalam mendisiplinkan pelajar adalah untuk memberi pengajaran dan memulihkan akhlak agar sedia berubah menjadi insan yang berguna.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بالقُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ، أَقُولُ قَوْلِي هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ الْأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالْأَمْوَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ، إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ.


Khutbah Kedua

الْحَمْدُ لِلَّهِ الْقَائِلِ:
إِنَّا عَرَضْنَا الْأَمَانَةَ عَلَى السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ وَالْجِبَالِ فَأَبَيْنَ أَنْ يَحْمِلْنَهَا وَأَشْفَقْنَ مِنْهَا وَحَمَلَهَا الْإِنْسَانُ إِنَّهُ كَانَ ظَلُومًا جَهُولًا ﴿٧٢﴾
أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا  مُحَمَّدًا  عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ، اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ. أَمَّا بَعْدُ، فَيَا أًيُّهَا الْمُسْلِمُوْنَ  الْمُؤْمِنُونَ، اِتَّقُوْا اللهَ اُوْصِيْكُمْ وَاِيّايَ بِتَقْوَى اللهِ فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ.

Ayat yang dibacakan tadi dipetik daripada Surah Al-Ahzab Ayat 72 yang bermaksud: "Sesungguhnya Kami telah kemukakan amanah kepada langit dan bumi serta gunung-ganang, maka mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakannya dan manusia sanggup memikulnya. Sesungguhnya manusia itu amat zalim dan jahil."

Sidang hadirin sekalian,

Marilah kita sama-sama syukuri nikmat dikurniakan zuriat sebagai penyambung generasi akan datang. Di antara cara mensyukuri nikmat tersebut ialah dengan melaksanakan amanah mendidik mereka sebaik mungkin. Mimbar menyeru marilah sama-sama kita menjaga dan mendidik anak-anak yang diamanahkan oleh Allah سبحانه وتعلى kepada kita. Didiklah mereka dengan kehidupan beragama, agar mereka dapat berbakti kepada keluarga, masyarakat, negara dan bakal penerus penerus perjuangan Islam. Budayakanlah kehidupan mereka dengan perkara-perkara yang boleh memberi manfaat kepada diri mereka.

Dalam masa yang sama mimbar juga menyeru para jamaah sekalian marilah sama-sama kita tunaikan tanggungjawab sosial kita dengan membantu dan membela nasib pelajar-pelajar daripada kalangan anak-anak yatim dan anak-anak saudara mara kita yang susah, supaya mereka juga dapat menghadapi sesi persekolahan yang baru ini dengan selesa dan sempurna.

إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا ﴿٥٦﴾

Bermaksud: "Sesungguhnya Allah dan malaikat berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad SAW), wahai orang-orang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucaplah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya." (Al-Ahzab: 56)

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ والْمُؤمِنَاتِ، وَأَصْلِحْ ذَاتَ بَيْنِهِمْ وَأَلِّفْ بَيْنَ قُلُوْبِهِمْ وَاجْعَلْ فِيْ قُلُوْبِهِمُ اْلإِيْمَانَ وَاْلحِكْمَةَ وَثَبِّتْهُمْ عَلَى مِلَّةِ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى اللهِ عَلَيهِ وَسَلَّم.

Ya Allah, bukakanlah hati kami untuk melaksanakan ibadat zakat sebagaimana yang telah Engkau fardhukan. Berkatilah hidup hamba-Mu yang melaksanakan tuntutan zakat dan para pewakaf yang telah menginfaqkan harta mereka ke jalan-Mu. Sucikanlah harta dan jiwa mereka, lindungilah golongan fuqara dan masakin daripada kekufuran dan kefakiran yang berpanjangan.

Ya Allah, kurniakanlah sepenuh taufiq dan hidayah-Mu terhadap Raja kami, Duli Yang Maha mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Al-Marhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah al-Maghfurulahu dan Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan Tuanku Zara Salim serta kerabat dan seluruh rakyat jelata sekalian.

رَبَّنَا ءَاتنِاَ فِى الدُّنْياَ حَسَنَةً وَفِى الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ، وَصَلَّى الله عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى ءَالِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِيْنَ، وَالْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِيْنَ.
عِبَادَ الله، اِنَّ الله يَأْمُرُ بِاْلعَدْلِ وَالأِحْسَانِ وَإِيْتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَاْلمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُوْنَ. فَاذْكُرُوْا اللهَ الْعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ وَاشْكُرُوْهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ وَلَذِكْرُاللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ.


Teks asal khutbah ini boleh juga dimuat turun dari laman Google Drive. Klik sini.