bersama kepimpinan ulamak




Ucapan Eidul Fitri 1438 Dari Dewan Ulamak PAS Negeri Perak




Ucapan Ramadhan Al-Mubarak Dari Dewan Ulamak PAS Negeri Perak




Friday, August 28, 2015

KHUTBAH JUMAAT 28 OGOS 2015 / 13 ZULQAEDAH 1436



SEHATI SEJIWA

Khutbah Pertama

الْحَمْدُ لِلَّهِ الْقَائِلِ:
وَلَقَدْ آتَيْنَا لُقْمَانَ الْحِكْمَةَ أَنِ اشْكُرْ لِلَّهِ وَمَنْ يَشْكُرْ فَإِنَّمَا يَشْكُرُ لِنَفْسِهِ وَمَنْ كَفَرَ فَإِنَّ اللَّهَ غَنِيٌّ حَمِيدٌ ﴿١٢﴾
أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا  مُحَمَّدًا  عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ، 
اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أًجْمَعِينَ .
أَمَّا بَعْدُ، فَيَاعِبَادَ الله، اِتَّقُوْا اللهَ اُوْصِيْكُمْ وَاِيّايَ بِتَقْوَى اللهِ وَطَاعَتِهِ فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Saya berpesan kepada diri saya dan tuan-tuan sekalian, marilah kita memperbanyakkan rasa syukur dan mempertingkatkan ketakwaan kepada Allah SWT dengan sebenar-benar takwa. Minbar pada hari ini akan menyampaikan khutbah yang bertajuk: "Sehati Sejiwa."

Sidang Jumaat dirahmati Allah,

Sempena dengan kemerdekaan tanah air kita, saya ingin mengajak sidang Jumaat sekalian untuk sama-sama memerdekakan diri kita dari sebarang fahaman, pemikiran dan pengamalan yang tersasar daripada garis panduan Islam yang sebenar agar kita mendapat kemenangan hidup di dunia dan Akhirat. Kedatangan Islam membawa sifat kemerdekaan, iaitu menyeru manusia supaya membebaskan diri daripada sebarang bentuk amalan dan kepercayaan yang menyimpang dari ajaran Islam. Oleh sebab itulah kemerdekaan umat Islam bermula daripada roh tauhid atau akidah dengan kalimah syahadah iaitu:

أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدً رَسُولُ اللهُ

Dalam mendepani arus kemodenan dunia sekarang, kecanggihan teknologi maklumat dan media baru memainkan peranan yang amat penting kerana semua maklumat yang diterima hanya di hujung jari sahaja. Maklumat atau berita yang diperoleh itu ada kalanya benar ataupun palsu yang disebarkan secara berleluasa melalui aplikasi media sosial dengan begitu cepat kepada masyarakat. Namun secara pasti, limpahan maklumat yang diperoleh itu sudah tidak lagi mampu untuk ditapis dan dipastikan kebenarannya.

Minbar menyeru supaya umat Islam berhati-hati dalam menerima dan menyebarkan berita yang diterima. Umat Islam diseru supaya tabaiyun iaitu menyiasat, meneliti dan dipastikan terlebih dahulu kebenaran pekata dan ketepatan maklumat bagi mengelakkan sebarang agenda atau perkara yang tidak baik berlaku seperti memfitnah, menipu dan memburukkan seseorang yang lain berlandaskan hawa nafsu dan sifat kebencian sebagaimana firman Allah dalam Surah Al-Hujurat Ayat 6:

يَاأَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنْ جَاءَكُمْ فَاسِقٌ بِنَبَإٍ فَتَبَيَّنُوا أَنْ تُصِيبُوا قَوْمًا بِجَهَالَةٍ فَتُصْبِحُوا عَلَى مَا فَعَلْتُمْ نَادِمِينَ ﴿٦﴾

Bermaksud: "Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidiklah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (menanganinya) sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan."

Imam Ibnu Kasir berkata:"Allah memerintahkan agar kita benar-benar menyemak berita dari orang fasik dengan mewaspadainya supaya tidak berlaku sebarang pendustaan dan kekeliruan." Jangan mudah terpengaruh dengan berita yang tidak sahih yang disebarkan lebih-lebih lagi sebaran di alam maya. Maklumat yang tepat dapat menjadikan kita sebagai seorang yang mampu untukmenilai, berfikir dan paling utama adalah bertindak di atas asas kebenaran yang kukuh dan menepati kehendak umum. Perselisihan yang berlaku akibat daripada kekaburan maklumat atau berita yang diperoleh menjadikan seluruh masyarakat hidup dalam keadaan syak wasangka terhadap sesama sendiri. Jauhilah berprasangka buruk, kerana ianya boleh membawa kepada perpecahan. Dan ingatlah bahawa "Fitnah Itu Lebih Bahaya Daripada Pembunuhan." Hendaklah kita sentiasa ingat dan takutkan balasan Allah SWT yang sangat pedih di Akhirat kelak akibat dari perbuatan dosa tersebut. Sedarlah bahawa terdapat undang-undang di negara kita yang memantau penyebaran maklumat palsu yang belum disahkan, dan adalah salah di sisi undang-undang jika maklumat itu dimuat naik dan disebarkan kepada umum. Oleh sebab itu, minbar menyeru sama-sama kita mematuhi undang-undang negara supaya hidup kita aman makmur tanpa persengketaan dan perpecahan.

Sidang Jumaat yang dimuliakan sekalian,

Mutaakhir ini akan banyak didedahkan dengan isu jihad di bumi Syria dan juga Iraq lebih-lebih lagi wujudnya Islamic State Of Iraq and Levant (ISIL) yang telah menubuhkan khilafah Islamiyah di Iraq dan Syria. Satu laporan menyebut lebih kurang 30,000 sukarelawan dari seluruh dunia telah menyertai kumpulan militan Islamic State (IS) serta beberapa kumpulan militan di Syria. Majlis keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu juga menyatakan sekurang-kurangnya 15,000 militan dari negara asing menyertai pertempuran di Syria.

Kecenderungan dan keghairahan umat Islam untuk berjihad atas nama IS adalah berpunca daripada kekeliruan dalam memahami konsep jihad dan mati syahid yang sebenar menurut hukum syarak. Seruan jihad dan mati syahid yang dipegang oleh mereka adalah bercanggah dengan Islam dan boleh membawa kepada kekufuran kerana menghalalkan darah sesama umat Islam.

Hadirin sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Kemerdekaan ialah suatu nikmat dan usaha untuk mengekalkan perpaduan dan persefahaman yang bermaksud menjalin hubungan sesama manusia dengan tujuan saling memahami dan menghormati antara satu sama lain. Penciptaan mansia dengan kreteria dan watak yang berbeza dan terdiri daripada  pelbagai bangsa dan keturunan sudah tentulah berbeza dari segi cara hidup, adat dan budaya serta amalan keagamaan.

Oleh itu, bagi memastikan kepelbagaian ini dapat dilangsungkan di negara kita dengan murni dan bebas, maka kita perlulah saling memahami kehendak dan kewajipan masing-masing. Allah SWT memerintahkan kita untuk bersatu dan berpegang teguh dengan Agama Allah SWT sebagaimana firman-Nya dalam Surah Ali-Imran Ayat 103:

وَاعْتَصِمُوا بِحَبْلِ اللَّهِ جَمِيعًا وَلَا تَفَرَّقُوا وَاذْكُرُوا نِعْمَتَ اللَّهِ عَلَيْكُمْ إِذْ كُنْتُمْ أَعْدَاءً فَأَلَّفَ بَيْنَ قُلُوبِكُمْ فَأَصْبَحْتُمْ بِنِعْمَتِهِ إِخْوَانًا .... ﴿١٠٣﴾


Maksudnya: "Dan berpegang teguhlah kamu sekalian dengan tali Allah (Agama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai; dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka jadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang Islam yang bersaudara."

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Pendekatan yang dibawa oleh Nabi SAW yang unik bagi mewujudkan kesatuan umat dengan menyeru umat Islam mengukuhkan perpaduan dan persefahaman antara satu sama lain. Rasulullah SAW telah menunjukkan contoh dan cara menunaikan kewajipan terhadap agama, masyarakat dan negara dengan memperkukuhkan persefahaman dan perpaduan penduduk Madinah yang terdiri daripada pelbagai kaum, bangsa, agama, dan keturunan yang termeterai melalui Piagam Madinah. Abu Sufian RA ketika diutus Rasulullah SAW ke Farsi, telah menghadap Raja Herkulis (Herculis). Herkulis (Herculis) bertanya kepada Abu Sufian apa yang diperintahkan oleh Nabi SAW, Abu Sufian menyatakan: "Sembahlah Allah yang Maha Esa, jangan mensyirikkan Tuhan, Islam adalah Agama Tuhan, menyuruh kami melaksanakan solat, bersifat jujur, meninggalkan perbuatan buruk dan menyambung silatur rahim." (Muttafaqun 'alaih)

Berdasarkan penjelasan Abu Sufian RA kepada pemimpin bukan Islam tersebut jelas bahawa amalan saling memahami dan menghormati adalah dasar penting yang berperanan untuk menangani isu kemasyarakatan dalam sesebuah negara.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Persoalan utama yang timbul ialah apakah faktor utama yang menjadi penyebab kepada terwujudnya persefahaman antara kita? Berdasarkan pemerhatian minbar, sikap kesederhanaan dan keseimbangan merupakan asas bagi mewujudkan persefahaman. Kesederhanaan merujuk kepada pelaksanaan sesuatu perkara itu secara berhikmah bagi mengelakkan berlaku kekerasan dan kezaliman ke atas hak asasi kaum dan agama, dan pada masa yang sama agama Islam dapat dimartabatkan.


Sidang Jumaat yang dimuliakan,

Persefahaman adalah roh kekuatan Islam kerana ia mewujudkan perasaan kasih sayang, persaudaraan, kedamaian dalam hubungan kekeluargaan dan masyarakat serta saling membantu antara satu sama lain. Ia juga merupakan nikmat yang dapat mengeratkan lagi hubungan sesama manusia dan dapat menghimpunkan perasaan serta semangat sehati sejiwa untuk sama-sama kita berganding bahu bagi memakmurkan sesebuah masyarakat dan negara. Sabda Rasulullah SAW:

وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ لَا تَدْخُلُونَ الْجَنَّةَ حَتَّى تُؤْمِنُوا وَلَا تُؤْمِنُوا حَتَّى تَحَابُّوا أَوَلَا أَدُلُّكُمْ عَلَى شَيْءٍ إِذَا فَعَلْتُمُوهُ تَحَابَبْتُمْ أَفْشُوا السَّلَامَ بَيْنَكُمْ


Bermaksud: "Dan demi nyawaku dalam genggaman-Nya, kamu tidak akan masuk syurga sehingga kamu beriman sepenuhnya dan kamu tidak beriman sehingga kamu sayang-menyayangi antara kamu, apakah kamu suka aku tunjukkan sesuatu yang mana jika kamu membuatnya nescaya kamu akan berkasih-sayang, ia adalah memberi salam di kalangan kamu." (Hadis riwayat Muslim)

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بالقُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ إنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ


Khutbah Kedua

اَلْحَمْدُ لِلَّهِ الْقَائِلِ،
أَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
لَقَدْ كَانَ لِسَبَإٍ فِي مَسْكَنِهِمْ آيَةٌ جَنَّتَانِ عَنْ يَمِينٍ وَشِمَالٍ كُلُوا مِنْ رِزْقِ رَبِّكُمْ وَاشْكُرُوا لَهُ بَلْدَةٌ طَيِّبَةٌ وَرَبٌّ غَفُورٌ ﴿١٥﴾
أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا  مُحَمَّدًا  عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ،

اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أًجْمَعِينَ 
أَمَّا بَعْدُ، فَيَاعِبَادَ الله، اِتَّقُوْا اللهَ اُوْصِيْكُمْ وَاِيّايَ بِتَقْوَى اللهِ وَطَاعَتِهِ فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ.

Firman Allah SWT yang dibacakan tadi dipetik daripada Surah Saba' Ayat 15 yang bermaksud: "Demi sesungguhnya bagi penduduk negeri Saba', satu tanda (yang membuktikan kemurahan Allah) yang terdapat di tempat tinggal mereka, iaitu dua kumpulan kebun (yang luas lagi subur), yang terletak di sebelah kanan dan sebelah kiri (qaryah mereka). (Lalu dikatakan kepada mereka:) Makanlah dari rezeki pemberian Tuhan kamu dan bersyukurlah kepada-Nya, (negeri kamu ini adalah) negeri yang baik (aman dan makmur) dan (Tuhan kamu adalah) Tuhan yang Maha Pengampun!"

Sidang Jumaat sekalian,

Mengakhiri khutbah minggu ini, beberapa rumusan boleh kita ambil sebagai pengajaran, iaitu:

1. Umat Islam diseru supaya tidak menyalahgunakan kecanggihan teknologi.
2. Setiap berita yang diterima hendaklah dipastikan terlebih dahulu kebenarannya sebelum dipercayai atau menyebarkannya kepada orang lain.
3. Kecenderungan dan keghairahan umat Islam untuk berjihad adalah berpunca daripada kekeliruan dan salah faham terhadap konsep jihad dan mati syahid yang sebenar menurut hukum syarak.
4. Untuk mengekalkan keharmonian dan kemakmuran dalam masyarakat, kita hendaklah saling memahami dan bersatu padu serta berpegang teguh kepada ajaran Islam.
5. Hendaklah kita sentiasa bersyukur di atas segala nikmat Allah.

اَللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ والْمُؤمِنَاتِ، وَأَصْلِحْ ذَاتَ بَيْنِهِمْ وَأَلِّفْ بَيْنَ قُلُوْبِهِمْ وَاجْعَلْ فِيْ قُلُوْبِهِمُ اْلإِيْمَانَ وَاْلحِكْمَةَ وَثَبِّتْهُمْ عَلَى مِلَّةِ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى اللهِ عَلَيهِ وَسَلَّم،
اَللَّهُمَّ أَعِزَّ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ اَللَّهُمَّ انْصُرِ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ اَللَّهُمَّ انْصُرِ الدُّعَاةَ وَالْمُجَاهِدِيْنَ
اَللَّهُمَّ دَمِّرِ اْلكَفَرَةَ وَاْلُمشْرِكِيْنَ وَأَهْلِكْ أَعْدَائَكَ أَعْدَاءَ الدِّيْنِ .
اَللَّهُمَّ عَذِّبِ اْلكَفَرَةَ الَّذِيْنَ يَصُدُّوْنَ عَنْ سَبِيْلِكَ وَيُكَذِّبُوْنَ رُسُلَكَ وَيُقَاتِلُوْنَ أَوْلِيَائَكَ.
 اَللَّهُمَّ بَدِّدْ شَمْلَهُمْ وَفَرِّقْ جَمْعَهُمْ وَزَلْزِلْ أَقْدَامَهُمْ وَسَلِّطْ عَلَيْهِمْ كَلْبًا مِنْ كِلاَبِكَ اَللَّهُمَّ يَا مُنْزِلَ اْلكِتَابِ وَيَا مُجْرِيَ السَّحَابِ وَيَا هَازِمَ الأَحْزَابِ إِهْزِمْهُمْ وَانْصُرْنَا عَلَيْهِمْ

Ya Allah berilah petunjuk kepada kami agar tidak kami terpedaya dengan perancangan dan tipu helah musuh-musuh agama-Mu, berilah kekuatan kepada kami bagi menghapuskan keganasan dan kezaliman mereka, satukanlah hati-hati kami bagi membebaskan saudara-saudara kami dari penindasan mereka.

Ya Allah kurniakanlah sepenuh taufik dan hidayah-Mu terhadap Raja kami Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan Sultan Nazrin Mu'izzuddin Shah Ibni Al-Marhum Sultan Azlan Muhibuddin Shah Al-Maghfurulahu serta Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan Tuanku Zara Salim.

رَبَّنَا ءَاتنِاَ فِى الدُّنْياَ حَسَنَةً وَفِى الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ، وَصَلَّى الله عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى ءَالِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِيْنَ، وَالْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِيْنَ.
اِنَّ الله يَأْمُرُ بِاْلعَدْلِ وَالأِحْسَانِ وَإِيْتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَاْلمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُوْنَ. فَاذْكُرُوْا اللهَ الْعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ وَاشْكُرُوْهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ وَلَذِكْرُاللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ.




Teks asal khutbah ini boleh juga dimuat turun dari laman sesawang www.4shared.com

KULIAH SETIAP AHAD MINGGU KEDUA




Kempen Tambah Keahlian Baharu