Thursday, December 24, 2015

KHUTBAH JUMAAT - 14 RABI'UL AWWAL 1437 / 25 DISEMBER 2015



TANGGUNGJAWAB DAKWAH UMAT ISLAM

Khutbah Pertama


الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي أَرْسَلَ رَسُولَهُ بِالْهُدَى وَدِينِ الْحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّينِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ الْمُشْرِكُونَ، أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا  مُحَمَّدًا  عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ، اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْعَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْن، أَمَّا بَعْدُ، فَيَاعِبَادَ 
الله، اتَّقُوا اللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنتُم مُّسْلِمُونَ
قَالَ اللهُ تَعَالَى فِى كِتَابِهِ الْعَزِيزِ:   
   وَلَا تَسُبُّوا الَّذِينَ يَدْعُونَ مِنْ دُونِ اللَّهِ فَيَسُبُّوا اللَّهَ عَدْوًا بِغَيْرِ عِلْمٍ كَذَلِكَ زَيَّنَّا لِكُلِّ أُمَّةٍ عَمَلَهُمْ ثُمَّ إِلَى رَبِّهِمْ مَرْجِعُهُمْ فَيُنَبِّئُهُمْ بِمَا كَانُوا يَعْمَلُونَ ﴿١٠٨﴾

Maksudnya: "Dan janganlah kamu menghina apa yang mereka sembah selain dari Allah, kerana mereka kelak akan mencaci Allah secara melampaui batas tanpa ilmu pengetahuan. Demikianlah Kami memperelokkan pada pandangan tiap-tiap umat akan amal perbuatan mereka, kemudian kepada Tuhan merekalah tempat kembali mereka, lalu Dia menerangkan kepada mereka apa yang mereka telah lakukan." (Surah Al-An'aam: Ayat 108)

Sidang Jumaat sekalian,

Saya berpesan kepada diri saya sendiri dan menyeru kepada sidang Jumaat yang dikasihi sekalian, marilah sama-sama kita meningkatkan ketaqwaan kepada Allah سبحانه وتعلى dengan mengerjakan segala perintah-Nya serta menjauhi segala larangan-Nya. Mudah-mudahan Allah سبحانه وتعلى memberkati kehidupan ini dengan nikmat, taufiq dan hidayah yang berpanjangan serta beroleh kejayaan di dunia dan di akhirat.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah sekalian,

Di negara kita, masyarakat majmuk masih dapat mengekalkan keharmonian dan kerjasama si antara kaum. Walaupun kebebasan beragama dibenarkan di negara kita, namun ianya dilindungi oleh Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan Islam sebagai agama persekutuan atau agama negara. Bagaimanapun agama lain masih boleh diamalkan dengan aman dan damai. Dalam usaha mengukuhkan Islam, Perlembagaan telah memperuntukkan dalam Perkara (11) (4) bahaya dakyah (seruan) agama lain kepada umat Islam adalah dilarang. Walaupun demikian, agama Islam turut mengajar kita bagaimana untuk menghormati dan melindungi hak penganut agama lain. Pengajaran paling penting adalah kita dilarang berlaku tidak adil terhadap mereka hanya disebabkan perbezaan agama. Sebaliknya jika hak Islam digugat, kedudukan Islam dipertikai, umat Islam diperkotak-katikkan, maka barulah Islam mengizinkan umatnya bertindak mengikut lunas-lunas sebagaimana yang digariskan oleh syarak. Dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Abu Daud:

مَنْ آذَى ذِمِّيًا فَقَدْ آذَانِي وَمَنْ آذَانِي فَقَدْ آذَى اللهَ

Maksudnya: "Barangsiapa yang menyakiti orang bukan Islam yang berada di bawah perlindungan Islam, maka ia telah menyakiti aku, dan barangsiapa yang menyakiti aku, maka ia telah menyakiti Tuhanku."

Begitu juga hadith yang diriwayatkan daripada Jabir bin Abdullah رضي الله عنه katanya:

مَرَّ بِنَا جَناَزَةً فَقَامَ لَهَا النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَقُمْنَا بِهِ فَقُلْنَا يَا رَسُولَ الله إِنَّهَا جَنَازَةً يَهُودِيَ قَالَ إِذَا رَأَيْتُمْ الْجَنَازَةَ فَقُوْمُواْ

Bermaksud: "Satu jenazah lalu di hadapan kami (para sahabat), maka Rasulullah صلى الله عليه وسلم berdiri. Lalu kamipun turut berdiri.Kami berkata kepada Rasulullah, ya Rasulullah, itu adalah jenazah yahudi. Sabda Rasulullah; Apabila kamu melihat jenazah, maka berdirilah." (HR Al-Bukhari)

Hadith ini memberi isyarat bahawa Islam menggalakkan umatnya menghormati semua agama dan kaum kerana Islam menuntut kita supaya saling hormat menghormati sesama manusia. Akan tetapi harus diingat bahawa jangan sampai mencampur adukkan perbuatan yang melibatkan keagamaan sehingga mereka menganggap agama Islam mengiktiraf agama mereka setaraf dengan agama Islam yang suci ini. Firman Allah سبحانه وتعلى dalam Surah Ali-imran Ayat 19:

إِنَّ الدِّينَ عِنْدَ اللَّهِ الْإِسْلَامُ... ﴿١٩﴾

Bermaksud: "Sesungguhnya agama yang benar di sisi Allah hanyalah Islam,"

Agama Islam Islam mengajar umatnya agar bertoleransi terhadap agama lain akan tetapi kita perlu berhati-hati supaya toleransi ini tidak membuatkan kita tergelincir pegangan aqidah dengan cara menghormati patung berhala yang mereka sembah.

Ingatlah wahai kaum Muslimin, para tetamu Allah di hari yang penuh keberkatan ini, sejarah nabi Muhammad صلى الله عليه وسلم ketika mana pembesar kaum Quraisy pada ketika itu memikirkan cara untuk menghentikan dakwah baginda Nabi صلى الله عليه وسلم sehingga pada suatu ketika mereka akhirnya menemukan suatu cara iaitu dengan cara toleransi beragama.

Namun toleransi beragama yang dimaksudkan oleh para kafir Quraisy itu pada saat mereka menyembah berhala, mereka mengajak kaum Muslimin untuk ikut bersama menyembah berhala mereka. Sebaliknya bila kaum Muslimin solat Jumaat mereka juga akan ikut sekali solat Jumaat. Lalu Nabi صلى الله عليه وسلم merenuk sejenak dan kemudian turunlah Surah Al-Kafirun yang isinya menolak ajakan kaum kafir Quraisy. Firman Allah dalam Surah Al-Kafirun Ayat 1 hingga 6:
  
قُلْ يَا أَيُّهَا الْكَافِرُونَ ﴿١﴾ لَا أَعْبُدُ مَا تَعْبُدُونَ ﴿٢﴾ وَلَا أَنْتُمْ عَابِدُونَ مَا أَعْبُدُ ﴿٣﴾ وَلَا أَنَا عَابِدٌ مَا عَبَدْتُمْ ﴿٤﴾ وَلَا أَنْتُمْ عَابِدُونَ مَا أَعْبُدُ ﴿٥﴾ لَكُمْ دِينُكُمْ وَلِيَ دِينِ ﴿٦﴾

Bermaksud: "Katakanlah (wahai Muhammad) wahai orang-orang kafir. Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah. Dan kamu bukan penyembah Tuhan yang aku sembah. Dan aku tidak pernah menjadi penyembah apa yang kamu sembah. Dan kamu tidak pernah (pula) menjadi penyembah apa yang aku sembah. Untukmu agamamu dan untukku agamaku."

Sidang Jumaat yang dimuliakan,

Dalam situasi masyarakat yang berada dalam kejahilan terhadap Islam, usaha dakwah mesti dipergiatkan bukan sahaja kepada masyakat muslim bahkan juga kepada bukan muslim. Semua pihak mesti memainkan peranan dakwah kepada masyarakat. Jika kita hanya membataskan dakwah kepada masyarakat muslim sahaja, apakah jawapan kita nanti jika di akhirat seorang bukan Islam membela dirinya dari dihumban ke neraka dengan mengadu kepada Allah سبحانه وتعلى bahawa dia sememangnya tidak pernah mendengar mengenai Islam? Apa lagi alasan yang mampu  kita berikan?

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بالقُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ، وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ الْأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالْأَمْوَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ، فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ . 


Khutbah Kedua

الْحَمْدُ لِلَّهِ الْقَائِلِ:

لَا إِكْرَاهَ فِي الدِّينِ قَدْ تَبَيَّنَ الرُّشْدُ مِنَ الْغَيِّ فَمَنْ يَكْفُرْ بِالطَّاغُوتِ وَيُؤْمِنْ بِاللَّهِ فَقَدِ اسْتَمْسَكَ بِالْعُرْوَةِ الْوُثْقَى لَا انْفِصَامَ لَهَا وَاللَّهُ سَمِيعٌ عَلِيمٌ ﴿٢٥٦﴾

Bermaksud:"Tidak ada paksaan dalam agama (Islam), kerana sesungguhnya telah nyata kebenaran (Islam) dari kesesatan (kufur). Oleh itu, sesiapa yang tidak percayakan taghut dan ia pula beriman kepada Allah, maka sesungguhnya ia telah berpegang kepada simpulan (tali agama) yang teguh yang tidak akan putus dan (ingatlah), Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui." (Surah Al-Baqarah Ayat 256)

أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا  مُحَمَّدًا  عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ،اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ
أَمَّا بَعْدُ، فَيَاعِبَادَ الله، اتَّقُوا اللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنتُم مُّسْلِمُونَ. 

Para jamaah yang dirahmati Allah سبحانه وتعلى,

Ayat yang telah dibacakan tadi memperlihatkan kepada kita bahawa Islam bukan agama yang memaksa. Seseorang yang tidak beragama Islam, kita tidak boleh memaksa mereka agar menerima Islam, tetapi tugas yang Allah berikan kepada kita adalah berbincang, berwacana, menyeru dan mengajak mereka kepada Islam dengan bijaksana yang ada atas nama Dakwah Islamiyyah.

Seharusnya umat Islam terutamanya pemimpin setiap negara Islam memahami tuntutan mengharmonikan masyarakat dan toleransi dalam kehidupan.Namun perlu diingat, toleransi yang diingat, toleransi yang dimaksudkan bukanlah bererti kita mengakui doktrin keyakinan mereka kerana di dalam persoalan aqidah, Islam tidak sama sekali berkompromi dengan kekufuran atau kesyirikan. Toleransi yang dimaksudkan oleh Islam ialah tidak melampaui batas dalam perkara yang telah sama-sama kita persetujui.

إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ ۚ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا ﴿٥٦﴾

Bermaksud: "Sesungguhnya Allah dan malaikat berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad SAW), wahai orang-orang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucaplah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya." (Al-Ahzab: 56)

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ والْمُؤمِنَاتِ، وَأَصْلِحْ ذَاتَ بَيْنِهِمْ وَأَلِّفْ بَيْنَ قُلُوْبِهِمْ وَاجْعَلْ فِيْ قُلُوْبِهِمُ اْلإِيْمَانَ وَاْلحِكْمَةَ وَثَبِّتْهُمْ عَلَى مِلَّةِ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى اللهِ عَلَيهِ وَسَلَّم.

اَللَّهُمَّ أَعِزَّ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ، اَللَّهُمَّ انْصُرِ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ، اَللَّهُمَّ انْصُرِ الدُّعَاةَ وَالْمُجَاهِدِيْنَ، اَللَّهُمَّ انْصُرِ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ فِي بِلَادِنَا هَذَا وَفِي الْعِرَاقِ وَفِي فَلَسْطِينِ وَفِي كُلِّ مَكَانٍ وَفِي كُلِّ زَمَانٍ، اَللَّهُمَّ دَمِّرِ اْلكَفَرَةَ وَاْلُمشْرِكِيْنَ وَأَهْلِكْ أَعْدَائَكَ أَعْدَاءَ الدِّيْنِ.

 اَللَّهُمَّ بَدِّدْ شَمْلَهُمْ وَفَرِّقْ جَمْعَهُمْ وَزَلْزِلْ أَقْدَامَهُمْ وَسَلِّطْ عَلَيْهِمْ كَلْبًا مِنْ كِلاَبِكَ اَللَّهُمَّ يَا مُنْزِلَ اْلكِتَابِ وَيَا مُجْرِيَ السَّحَابِ وَيَا هَازِمَ الأَحْزَابِ إِهْزِمْهُمْ وَانْصُرْنَا عَلَيْهِمْ، بِقُدْرَتِكَ وَقُوَّتِكَ يَا رَبَّ الْعَالَمِينَ.

Ya Allah! Muliakanlah Islam dan pendokong-pendokongnya, bantulah Islam dan perkembangannya, bantulah pendakwah-pendakwah Islam dan para mujahidinnya. Ya Allah, hancurkanlah kekufuran serta golongan munafiq dan musyrikin, binasalakanlah musuh-musuh agama-Mu dan segala sekutunya, Engkau eratkanlah hubungan kami sesama Islam. Elakkanlah kami dari permusuhan yang boleh menyebabkan terlerainya persaudaraan Islam.

Ya Allah, bukakanlah hati kami untuk melaksanakan ibadat zakat sebagaimana yang telah Engkau fardhukan. Berkatilah hidup hamba-Mu yang melaksanakan tuntutan zakat dan para pewakaf yang telah menginfaqkan harta mereka ke jalan-Mu. Sucikanlah harta dan jiwa mereka, lindungilah golongan fuqara dan masakin daripada kekufuran dan kefakiran yang berpanjangan.

Ya Allah, kurniakanlah sepenuh taufiq dan hidayah-Mu terhadap Raja kami, Duli Yang Maha mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Al-Marhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah al-Maghfurulahu dan Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan Tuanku Zara Salim serta kerabat dan seluruh rakyat jelata sekalian.

رَبَّنَا ءَاتنِاَ فِى الدُّنْياَ حَسَنَةً وَفِى الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ، وَصَلَّى الله عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى ءَالِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِيْنَ، وَالْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِيْنَ.
عِبَادَ الله، اِنَّ الله يَأْمُرُ بِاْلعَدْلِ وَالأِحْسَانِ وَإِيْتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَاْلمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُوْنَ. فَاذْكُرُوْا اللهَ الْعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ وَاشْكُرُوْهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ وَلَذِكْرُاللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ.


Teks asal khutbah ini boleh juga dimuat turun dari lama Google Drive. Klik sini.

Friday, December 18, 2015

KHUTBAH JUMAAT - 6 RABI'UL AWWAL 1437 / 18 DISEMBER 2015


MENELADANI RASULULLAH SEBAGAI TOKOH PENYATUAN

Khutbah Pertama

الْحَمْدُ لِلَّهِ الْقَائِلِ:
لَقَدْ جَاءَكُمْ رَسُولٌ مِنْ أَنْفُسِكُمْ عَزِيزٌ عَلَيْهِ مَا عَنِتُّمْ حَرِيصٌ عَلَيْكُمْ بِالْمُؤْمِنِينَ رَءُوفٌ رَحِيمٌ ﴿١٢٨﴾
أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلهَ إِلاَّ اللَّهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا  مُحَمَّدًا  عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ،

اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَاعِبَادَ الله، اتَّقُوا اللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنتُم مُّسْلِمُونَ.

Ayat yang dibacakan tadi dipetik dari Surah At-Taubah Ayat 128 yang bermaksud: "Sesungguhnya telah datang kepada kamu seorang rasul dari golongan kamu sendiri (iaitu Nabi Muhammad صلى الله عليه وسلم), yang menjadi sangat berat kepadanya sebarang kesusahan yang ditanggung oleh kamu yang sangat lobakan (inginkan) kebaikan bagi kamu dan dia pula menumpahkan perasaan belas serta kasih sayangnya kepada orang-orang yang beriman."

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah, 

Marilah kita pada kesempatan yang penuh keberkatan dan kemuliaan ini, kita tingkatkan keimanan dan ketakwaan kepada Allah سبحانه وتعالى dengan melaksanakan segala suruhan dan titah perintah-Nya dan meninggalkan segala larangannya. Mudah-mudahaan kita tergolong dalam golongan orang-orang yang berjaya di dunia dan akhirat. Mimbar pada hari ini akan membicarakan khutbah yang bertajuk, "Meneladani Rasulullah Sebagai Tokoh Penyatuan."

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah, 

Rasulullah صلى الله عليه وسلم adalah manusia pilihan, kekasih Allah yang juga pembimbing manusia ke jalan yang benar. Baginda memimpin umat, pembawa rahmat, penunjuk ke jalan kebenaran, membawa sinar yang menerangi kegelapan. Kehadiran baginda  صلى الله عليه وسلم mengubah kehidupan jahiliyyah kepada kehidupan beragama yang lurus, penindasan dan kezaliman kepada keamanan dan keadilan, perpecahan dan pertelingkahan kepada penyatuan dan persaudaraan. Berkata Imam Ibnu Kathir dalam tafsir Al-Quranul 'Azim berkenaan Ayat tadi:

حَرِيصٌ عَلَيْكُمْ بِالْمُؤْمِنِينَ رَءُوفٌ رَحِيمٌ

Bermaksud, Rasulullah صلى الله عليه وسلم sangat bersungguh-sungguh berharap agar Allah memberi hidayah ke atas hamba-Nya dan menghendaki manfaat dunia juga akhirat.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Sempena ketibaan hari ulang tahun kelahiran baginda Rasulullah صلى الله عليه وسلم, marilah sama-sama kita menghayati inti pati ajaran Nabi صلى الله عليه وسلم yang meliputi keseluruhan kehidupan manusia. Namun, fokus mimbar pada hari ini berkisar tentang manhaj Nabi صلى الله عليه وسلم menyatukan manusia atas aqidah yang satu dengan meng-Esa kan Allah.

Nabi  صلى الله عليه وسلم telah menyatukan dua suku Aus dan Khazraj yang sebelumnya telah sekian lama berbalah dan berperang. Baginda  صلى الله عليه وسلم telah menyemarakkan perasaan kasih sayang dan kekitaan antara Muhajirin dan Anshar. Bahkan baginda sentiasa mencari jalan perdamaian andainya terdapat perselisihan pendapat antara para sahabat bagina. Firman Allah سبحانه وتعالى dalam Surah Al-Fath Ayat 29:

مُحَمَّدٌ رَسُولُ اللَّهِ وَالَّذِينَ مَعَهُ أَشِدَّاءُ عَلَى الْكُفَّارِ رُحَمَاءُ بَيْنَهُمْ ﴿٢٩﴾

Bermaksud: "Muhammad ialah pesuruh Allah dan orang-orang yang bersama dengannya bersikap keras dan tegas terhadap orang-orang kafir (musuh Islam) dan (sebaliknya) bersikap kasih sayang serta belas kasihan sesama sendiri (umat Islam)."

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah sekalian,

Umat Islam adalah bersaudara. Persaudaraan sesama muslim adalah benteng kekuatan Islam. Manakala perpecahan adalah kemusnahan. Menyedari peluang untuk melemahkan Islam melalui perpecahan, musuh Islam sejak awal lagi sehingga kini sentiasa berusaha mencari jalan agar kita tidak bersatu. Semakin kita berpecah, semakin mereka kuat dan berkuasa. Bagi kita pula, berusaha mendamaikan antara dua kumpulan muslim yang bertelagah adalah tugas bersama. Tiada siapa yang terlepas dari tanggungjawab melainkan ada golongan yang melakukannya. Firman Allah سبحانه وتعالى dalam Surah Al-Hujurat Ayat 10:

إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ إِخْوَةٌ فَأَصْلِحُوا بَيْنَ أَخَوَيْكُمْ وَاتَّقُوا اللَّهَ لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُونَ ﴿١٠﴾

Bermaksud: "Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelagah) itu dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat."

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah سبحانه وتعالى,

Sama ada kita menyedari atau tidak, umat Islam terbahagi kepada beberapa kumpulan besar yang berbeza-beza. Negara Islam juga diperintah oleh penguasa Islam mengikut cara yang berbeza-beza. Amat jarang umat Islam dapat disatukan dalam menghadapi apa-apa isu yang melanda. Dalam sebuah laporan Yayasan Pengkaji Barat RAND iaitu sebuah yayasan yang ditubuhkan bagi mengkaji umat Islam semasa, mereka telah merumuskan untuk meletakkan umat Islam pada beberapa keadaan yang boleh menguntungkan mereka. Kumpulan yang bergerak untuk menjayakan Islam secara syumul akan diusahakan mempunyai pemikiran yang keras seterusnya dilabelkan dengan label ekstremis, pengganas dan seumpamanya. Manakala kumpulan yang lain akan diracuni pemikiran mereka dengan kesederhanaan mengikut acuan mereka dan dinamakan kumpulan muslim aliran sederhana Muslim Moderate. Di satu sisi, kumpulan yang boleh dilekakan dengan budaya hiburan melampau Hedonisme, akan terus dilekakan dengan keduniaan tanpa mengambil peduli apa yang terjadi kepada Islam dan umatnya.

Kebanyakan dari kita tidak menyedari, bahkan merasa selesa dengan keadaan tersebut. Bagi kumpulan yang keras, mereka merasa yakin dengan tindakan mereka yang kononnya bertujuan membela umat Islam. Mereka menggunakan dalil agama bagi menghalalkan tidakan keras mereka. Manakala kumpulan Muslim Moderate pula, mengambil fahaman Islam atas kefahaman yang dibentuk oleh barat. Mereka menjadi golongan yang terkehadapan apabila membicarakan soal syariat Islam.Mereka menggunakan agama bagi mencari alasan untuk tidak melaksanakan syariat Islam.

Wahai umat Islam yang dirahmati Allah,

Marilah kita kembali kepada ajaran Nabi صلى الله عليه وسلم yang mengajak kepada kesatuan atas aqidah yang satu. Islam yang sebenar adalah bersifat wasatiyyah dan sejagat. Islam mengajar untuk tegas pada keadaan yang tertentu, manakala bertolak ansur pada keadaaan yang lain. Panduan Nabi صلى الله عليه وسلم , bersederhana juga mengikut acuan Nabi صلى الله عليه وسلم.

Sebagai contoh, apabila kita berhadapan dengan perbezaan pada perkara cabang (furu') dalam agama, pendapat yang berbeza hendaklah diraikan. Sebuah kisah yang menjadi pengajaran, semasa menuju untuk memerangi Bani Quraizah, Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda:

لَا يُصَلِّيَنَّ أَحَدٌ الْعَصْرَ إِلَّا فِي بَنِي قُرَيْظَةَ

Bermaksud: "Jangan seseorang solat Asar melainkan di Bani Quraizah". (HR Al-Bukhari)

Sebahagian sahabat memahami arahan Nabi صلى الله عليه وسلم untuk bersegera menuju ke Bani Quraizah lalu mentakkhirkan solat Asar sehingga hampir luput waktu. Manakala sebahagian yang lain berbeza memahaminya dengan mengerjakan solat di awalwaktu. Kedua-dua pandangan ini dibenarkan oleh Nabi صلى الله عليه وسلم dan mendapat pahala. Mereka merasa berpuas hati dan saling berlapang dada dengan keputusan tersebut. Persaudaraan mereka terus terpelihara.

Perbezaan ini berterusan berlaku sepanjang zaman. Apa yang penting bagaimana kita menghadapinya. Imam Az-Zahabi menceritakan dalam kitabnya Siyaru A'alami Nubalak daripada Yunus Asy-Syadafi katanya, "Aku belum pernah melihat orang yang berakal tinggi lebih dari Imam Syafi'e. Aku pernah berdebat dengannya mengenai satu masalah, kemudian kamipun berpisah dan tidak lama selepas itu kami bertemu semula, lalu dia memegang tanganku, seraya berkata: Kita tetap bersaudara, walaupun kita tidak bersetuju di dalam sesuatu masalah."

Imam Ahmad bin Hanbal pernah berselisih pendapat dengan gurunya, Ishak bin Rohawaih, namun sedikitpun tidak menghalangnya daripada memuliakan dan menghormati gurunya itu. Imam Asy-Syafi'e dilaporkan pernah berkata:

رَأْيِي صَوَابٌ يَحْتَمِلُ الْخَطَأَ، وَرَأَيُ غَيْرِي خَطَأٌ يَحْتَمِلُ الْصَوَابَ

Bermaksud: "Pendapatku benar namun mungkin ada tersalah, pendapat mereka salah namun mungkin terdapat kebenarannya".

Perbezaan seumpama inilah yang selalu menjadi api dalam sekam antara kumpulan yang menggelar diri mereka salafi dengan majoriti umat Islam Malaysia yang beraliran Asy'irah. Buanglah sengketa pada perkara furu' ini kerana persaudaraan jauh lebih utama untuk di dahulukan.

Wahai umat Islam sekalian,

Apabila kita diserang dengan pelbagai aliran pemikiran yang salah, sesat dan merosakkan, hendaklah kita bersatu hati bersama-sama mencegahnya. Aliran inilah yang sebenarnya masuk dan cuba merosakkan umat Islam dalam beragama. Antara aliran sesat dan berbahaya adalah ajaran Syi'ah yang berterusan cuba meracuni pemikiran kita dengan kekeliruan dasar agama, pemikiran liberal dan plural yang bermudah-mudah dengan agama, kristianisasi yang berusaha memurtadkan umat Islam. Kumpulan liberal seperti G25, Sisters In Islam dan seumpamanya yang membawa aliran liberal dan juga mengajak masyarakat menolak institusi agama dengan pelbagai alasan, kononnya mereka berdalilkan Al-Quran dan hadith bagi membenarkan hujjah mereka yang dangkal. Kononnya institusi agama sudah tidak relevan, undang-undang khalwat mencabuli hak asasi manusia, undang-undang hudud dilabel undang-undang rimba. Sedarlah! Mari kita bersama bersatu hati menentang aliran yang menyesatkan ini.

Keterlibatan dengan kumpulan-kumpulan sesat ini boleh menyebabkan umat Islam tergelincir aqidah. Bahaya ini juga telah diperingatkan oleh Nabi صلى الله عليه وسلم melalui sabda baginda:

لَتَفْتَرِقَنَّ أُمَّتِي عَلَى ثَلَاثٍ وَسَبْعِينَ فِرْقَةً وَاحِدَةٌ فِي الْجَنَّةِ وَثِنْتَانِ وَسَبْعُونَ فِي النَّارِ قِيلَ يَا رَسُولَ اللَّهِ مَنْ هُمْ قَالَ الْجَمَاعَةُ وَفِي رِوَايَةٍ الَّذِينَ هُمْ عَلَى مَا أَنَا عَلَيْهِ وَأَصْحَابِي

Bermaksud: "Akan berpecah umat ini kepada 73 golongan, semuanya di neraka kecuali satu golongan. Ada yang bertanya, siapakah golongan yang terselamat itu ya Rasulullah? Maka jawab Rasulullah صلى الله عليه وسلم : Iaitu Jama'ah atau dalam riwayat lain disebut kumpulan yang mengikuti jalan aku dan para sahabatku." (Hadith shahih riwayat Abu Daud, At-Tirmizi, Ibnu Majah dan Al-Hakim)

Bagi menghadapi serangan pemikiran kumpulan ini, hendaklah kita bersatu bersama-sama kembali kepada jalan Nabi صلى الله عليه وسلم yang jelas dan tepat. Jauhi sikap mengambil mudah menafsirkan agama mengikut kehendak sendiri mahupun kumpulan yang diikuti. Carilah kefahaman agama melalui tafsiran para ulamak yang benar lagi ikhlas. Ulamak yang dikenali keilmuannya dan keikhlasannya  melalui kesungguhan mereka menyebarkan kefahaman Islam yang tepat.

Sabda Nabi صلى الله عليه وسلم yang berbunyi:

فَإِنَّهُ مَنْ يَعِشْ مِنْكُمْ بَعْدِي فَسَيَرَى اخْتِلَافًا كَثِيرًا فَعَلَيْكُمْ بِسُنَّتِي وَسُنَّةِ الْخُلَفَاءِ الْمَهْدِيِّينَ الرَّاشِدِينَ تَمَسَّكُوا بِهَا وَعَضُّوا عَلَيْهَا بِالنَّوَاجِذِ وَإِيَّاكُمْ وَمُحْدَثَاتِ الْأُمُورِ فَإِنَّ كُلَّ مُحْدَثَةٍ بِدْعَةٌ وَكُلَّ بِدْعَةٍ ضَلَالَةٌ

Bermaksud: "Sesungguhnya sesiapa yang masih hidup di antara kalian selepasku akan melihat perselisihan yang banyak, maka berpegang teguhlah dengan sunnahku dan sunnah Khulafaur Rasyidin yang mendapat petunjuk. Peganglah erat-erat dan gigitlah dia dengan gigi geraham kalian dan jauhilah oleh kalian setiap perkara yang baru (dalam agama), kerana sesungguhnya setiap perkara yang baru itu adalah bid'aah, dan setiap bid'aah itu adalah sesat". (HR Abu Daud)

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بالقُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ، أَقُولُ قَوْلِي هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ الْأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالْأَمْوَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ، إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ.


Khutbah Kedua

الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي جَعَلَنَا مِنَ الْمُسْلِمِينَ، وَرَزَقَنَا مِنَ الطَّيِّبَاتِ، أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا  مُحَمَّدًا  عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ، اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ. 
أَمَّا بَعْدُ، فَيَاعِبَادَ الله، اتَّقُوا اللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنتُم مُّسْلِمُونَ.

لَقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِمَنْ كَانَ يَرْجُو اللَّهَ وَالْيَوْمَ الْآخِرَ وَذَكَرَ اللَّهَ كَثِيرًا ﴿٢١﴾

Bermaksud: "Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri tauladan yang baik bagimu (iaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan dia banyak menyebut Allah". (Surah Al-Ahzab Ayat 27)

Sidang jamaah yang dirahmati Allah,

Untuk mengelakkan perpecahan yang semakin ketara, mimbar ingin mengingatkan kita semua beberapa perkara:

Pertama: Berpegang teguhlah kepada Al-Quran dan Hadith sebagai sumber rujukan dan sumber hukum setiap sesuatu. Elakkan banyak bergantung kepada sumber-sumber lain seperti cerita, mimpi dan ilham kerana sumber-sumber ini jika tidak disandarkan kepada kedua sumber tadi, telah menyebabkan ramai yang tersesat jalan. Sabda Nabi صلى الله عليه وسلم :

تَرَكْتُ فِيكُمْ أَمْرَيْنِ لَنْ تَضِلُّوا مَا تَمَسَّكْتُمْ بِهِمَا كِتَابَ اللَّهِ وَسُنَّةَ نَبِيِّهِ

Bermaksud: "Aku tinggalkan kepada kamu semua dua perkara, kamu tidak akan sesat selama mana kamu berpegang teguh kepada keduanya iaitu Al-Quran dan sunnahku". (HR Imam Malik)

Kedua: Berlapang dada dalam menerima perbezaan pendapat. Perbezaan ini biasanya berlaku kerana para ulamak berbeza memahami dalil, berbeza manhaj atau aliran dalam disiplin ilmu, berbeza memilih yang mana lebih afdhal diamalkan, berbeza dalampenetapan hukum, berbeza menentukan taraf sesuatu hadith, bebrbeza dalam kaedah dakwah, berbeza menilai makna bid'aah dan seumpamanya. Perbezaan ini hakikatnya masih dalam lingkungan persamaan yang sangat kuat iaitu beriman kepada Allah, meng-Esa kan-Nya, menyucikan-Nya dari segala sesuatu yang lemah. Kita semua beriman kepada Nabi yang terakhir Nabi Muhammad صلى الله عليه وسلم, mencintainya dan memelihara ajaran dan pegangannya.

Ketiga: Mengutamakan persaudaraan sesama muslim berbanding kepentingan individu mahupun kumpulan. Seandainya perlu berdebat atau berdialog, buatlah demi mencari kebenaran bukannya mencari kemenangan. Peliharalah etika perdebatan.

Keempat: Para asatizah, didiklah masyarakat ke arah mengamalkan Islam dengan baik dan tepat. Berikan didikan kepada masyarakat sebelum menghukum.

Kelima: Tidak menerima dan menyebarkan berita-berita yang tidak pasti. Umat Islam mesti berhati-hati menerima berita atau perkhabaran demi memelihara persaudaraan Islam. Berita palsu seringkali mencetuskan perbalahan dan kekecohan.

إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ ۚ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا ﴿٥٦﴾

Bermaksud: "Sesungguhnya Allah dan malaikat berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad SAW), wahai orang-orang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucaplah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya." (Al-Ahzab: 56)

اَللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ والْمُؤمِنَاتِ، وَأَصْلِحْ ذَاتَ بَيْنِهِمْ وَأَلِّفْ بَيْنَ قُلُوْبِهِمْ وَاجْعَلْ فِيْ قُلُوْبِهِمُ اْلإِيْمَانَ وَاْلحِكْمَةَ وَثَبِّتْهُمْ عَلَى مِلَّةِ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى اللهِ عَلَيهِ وَسَلَّم.

اَللَّهُمَّ أَعِزَّ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ، اَللَّهُمَّ انْصُرِ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ، اَللَّهُمَّ انْصُرِ الدُّعَاةَ وَالْمُجَاهِدِيْنَ، اَللَّهُمَّ انْصُرِ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ فِي بِلَادِنَا هَذَا وَفِي الْعِرَاقِ وَفِي فَلَسْطِينِ وَفِي كُلِّ مَكَانٍ وَفِي كُلِّ زَمَانٍ، اَللَّهُمَّ دَمِّرِ اْلكَفَرَةَ وَاْلُمشْرِكِيْنَ وَأَهْلِكْ أَعْدَائَكَ أَعْدَاءَ الدِّيْنِ.

 اَللَّهُمَّ بَدِّدْ شَمْلَهُمْ وَفَرِّقْ جَمْعَهُمْ وَزَلْزِلْ أَقْدَامَهُمْ وَسَلِّطْ عَلَيْهِمْ كَلْبًا مِنْ كِلاَبِكَ اَللَّهُمَّ يَا مُنْزِلَ اْلكِتَابِ وَيَا مُجْرِيَ السَّحَابِ وَيَا هَازِمَ الأَحْزَابِ إِهْزِمْهُمْ وَانْصُرْنَا عَلَيْهِمْ، بِقُدْرَتِكَ وَقُوَّتِكَ يَا رَبَّ الْعَالَمِينَ.


Ya Allah, bukakanlah hati kami untuk melaksanakan ibadat zakat sebagaimana yang telah Engkau fardhukan. Berkatilah hidup hamba-Mu yang melaksanakan tuntutan zakat dan para pewakaf yang telah menginfaqkan harta mereka ke jalan-Mu. Sucikanlah harta dan jiwa mereka, lindungilah golongan fuqara dan masakin daripada kekufuran dan kefakiran yang berpanjangan.

Ya Allah, kurniakanlah sepenuh taufiq dan hidayah-Mu terhadap Raja kami, Duli Yang Maha mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Al-Marhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah al-Maghfurulahu dan Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan Tuanku Zara Salim serta kerabat dan seluruh rakyat jelata sekalian.

عِبَادَ الله، اِنَّ الله يَأْمُرُ بِاْلعَدْلِ وَالأِحْسَانِ وَإِيْتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَاْلمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُوْنَ. فَاذْكُرُوْا اللهَ الْعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ وَاشْكُرُوْهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ وَلَذِكْرُاللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ.



Teks asal khutbah ini boleh juga dimuat turun dari laman Google Drive. Klik sini.