bersama kepimpinan ulamak




Friday, November 20, 2015

KHUTBAH JUMAAT - 8 SAFAR 1437 / 20 NOVEMBER 2015



HARI KEPUTERAAN DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI SULTAN PERAK

Khutbah Pertama

الْحَمْدُ لِلَّهِ الْقَائِلِ:
يَا دَاوُودُ إِنَّا جَعَلْنَاكَ خَلِيفَةً فِي الْأَرْضِ فَاحْكُم بَيْنَ النَّاسِ بِالْحَقِّ وَلَا تَتَّبِعِ الْهَوَىٰ فَيُضِلَّكَ عَن سَبِيلِ اللَّهِ ۚ إِنَّ الَّذِينَ يَضِلُّونَ عَن سَبِيلِ اللَّهِ لَهُمْ عَذَابٌ شَدِيدٌ بِمَا نَسُوا يَوْمَ الْحِسَابِ ﴿٢٦﴾
أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا  مُحَمَّدًا  عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ، اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلىَ رَسُلِكَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أًجْمَعِينَ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَاعِبَادَ الله، اتَّقُوا اللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنتُم مُّسْلِمُون

Ayat yang dibacakan tadi dipetik dari Surah Shad Ayat 26 yang bermaksud: "Wahai Daud! Sesungguhnya Kami menjadikan kamu penguasa di muka bumi, maka tetapkanlah keputusan di antara manusia dengan adil dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu kerana ia akan menyesatkan kamu dari jalan Allah. Sesungguhnya orang-orang yang sesat dari jalan Allah akan mendapat azab yang berat kerana mereka melupakan hari perhitungan."

Wahai hamba-hamba Allah sekalian,

Marilah kita bersyukur atas nikmat Islam dan Iman yang telah kita kecapi selama ini dengan berusaha menambahkan ilmu dan amal. Meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah SWT dengan melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Marilah kita turut memperbanyakkan zikir kepada Allah SWT, selawat dan salam ke atas Rasulullah SAW serta berusaha mengamalkan segala sunnah baginda, mudah-mudahan ia akan memberikan manfaat kepada kita di dunia dan di akhirat.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Kita semakin menghampiri tarikh 27 November 2015 versamaan 15 Safar 1437 hijrah, hari keputeraan Duli yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan sebagai Raja dan Pemerintah Negeri Perak. Hari yang penuh bersejarah, bersempena sambutan pertama selepas baginda Sultan ditabalkan sebagai Sultan dan pemerintah negeri yang kita cintai ini.

Institusi kesultanan adalah amat penting dalam negara yang mengamalkan prinsip raja berpelembagaan. Ia adalah benteng terakhir dalam mempertahankan kedaulatan Islam di bumi bertuah ini. Tanpa institusi kesultanan, benteng ketuanan Islam lebih mudah diroboh oleh musuh-musuh Islam.

Sultan, raja atau khalifah adalah pemerintah sesebuah kerajaan Islam bermula selepas kefawatan Nabi SAW. Sultan adalah penyambung kepada risalah kenabian dalam memelihara agama dan mentadbir negara. Allah SWT memberi gambaran berkenaan dua golongan pemerintah yang mendapat redha atau sebaliknya. Firman Allah SWT dalam Surah Al-Anbiya' Ayat 73:

وَجَعَلْنَاهُمْ أَئِمَّةً يَهْدُونَ بِأَمْرِنَا وَأَوْحَيْنَا إِلَيْهِمْ فِعْلَ الْخَيْرَاتِ وَإِقَامَ الصَّلَاةِ وَإِيتَاءَ الزَّكَاةِ ۖ وَكَانُوا لَنَا عَابِدِينَ ﴿٧٣﴾

Bermaksud: "Dan Kami jadikan mereka pemerintah yang memimpin (manusia ke jalan yang benar) dengan perintah Kami dan kami wahyukan kepada mereka mengerjakan kebaikan dan mendirikan solat serta mengeluarkan zakat dan mereka pula sentiasa beribadah kepada Kami."

Seterusnya, di dalam Ayat yang lain Allah menempelak golongan pemerintah yang rugi.

وَجَعَلْنَاهُمْ أَئِمَّةً يَدْعُونَ إِلَى النَّارِ ۖ وَيَوْمَ الْقِيَامَةِ لَا يُنصَرُونَ ﴿٤١﴾ وَأَتْبَعْنَاهُمْ فِي هَـٰذِهِ الدُّنْيَا لَعْنَةً ۖ وَيَوْمَ الْقِيَامَةِ هُم مِّنَ الْمَقْبُوحِينَ ﴿٤٢﴾

Bermaksud: "Dan Kami jadikan mereka pemerintah yang mengajak rakyatnya ke neraka dan pada hari kiamat pula mereka tidak diberi sebarang pertolongan. Dan Kami timpakan kepada mereka dengan laknat di dunia ini pada hari kiamat pula adalah mereka dari orang-orang yang tersingkir (dari rahmat Kami) dengan keadaan sehina-hinanya." (Surah Al-Qasas Ayat 41 dan 42)

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Sultan yang adil dan bijaksana pasti dapat mengharmonikan rajyat yang terdiri daripada segenap lapisan masyarakat, berbilang kaum dan budaya. Sultan yang mempunyai keperihatinan yang tinggi terhadap segenap lapisan rakyat yang tua atau muda, yang kecil atau besar, yang miskin atau kaya tanpa mengira perbezaan mahupun kekurangan pasti akan membina kesetiaan dan ketaatan rakkyat jelata. Peristiwa yang berlaku ke atas Nabi Sulaiman dan bala tenteranya digambarkan oleh Al-Quran dengan sifat kebijaksanaan dan keperihatinan baginda terhadap rakyatnya. Firman Allah SWT dalam Surah An-Naml Ayat 18 dan awal Ayat 19:

حَتَّىٰ إِذَا أَتَوْا عَلَىٰ وَادِ النَّمْلِ قَالَتْ نَمْلَةٌ يَا أَيُّهَا النَّمْلُ ادْخُلُوا مَسَاكِنَكُمْ لَا يَحْطِمَنَّكُمْ سُلَيْمَانُ وَجُنُودُهُ وَهُمْ لَا يَشْعُرُونَ ﴿١٨﴾ فَتَبَسَّمَ ضَاحِكًا مِّن قَوْلِهَا....  ﴿١٩﴾

Bermaksud: "Hingga apabila mereka sampai di lembah semut berkatalah (ratu) semut: Hai semut-semut masuklah ke dalam sarang-sarangmu agar kamu tidak dipijak oleh Sulaiman dan bala tenteranya sedangkan mereka tidak menyedarinya. Maka baginda tersenyum kerana (mendengar) perkataan (ratu) semut itu."

Nabi Sulaiman telah dianugerahkan Allah kerajaan yang hebat meliputi daratan, lautan dan udara termasuk manusia, jin dan haiwan. Kerajaan sehebat dan sebesar ini tidak pernah dimiliki oleh mana-mana pemerintah selainnya. Namun, disebalik kehebatan sebagai seorang raja dan kemuliaan seorang rasul, baginda tidak pernah bersifat sombong mahupun takabbur. Baginda sentiasa bersyukur dengan segala nikmat, mentaati segala perintah, berterusan melakukan amal soleh dan bertakwa kepada-Nya. hayati doa baginda yang dirakamkan di dalam Surah An-Naml Ayat 19:

رَبِّ أَوْزِعْنِي أَنْ أَشْكُرَ نِعْمَتَكَ الَّتِي أَنْعَمْتَ عَلَيَّ وَعَلَىٰ وَالِدَيَّ وَأَنْ أَعْمَلَ صَالِحًا تَرْضَاهُ وَأَدْخِلْنِي بِرَحْمَتِكَ فِي عِبَادِكَ الصَّالِحِينَ ﴿١٩﴾

Bermaksud: "Ya Tuhanku berilah aku ilham untuk tetap mensyukuri nikmat-Mu yang telah Engkau anugerahkan kepadaku dan kepada dua ibu bapaku dan untuk mengerjakan amal soleh yang Engkau redhai dan masukkanlah aku dengan rahmat-Mu ke dalam golongan hamba-hamba-Mu yang soleh."

Muslimin yang dirahmati Allah,

Kehebatan seorang raja lazimnya didampingi penasihat yang ikhlas. Penasihat yang ikhlas sentiasa mendahulukan kebenaran bukannya kebatilan yang diperhiaskan, mendahulukan kepentingan rakyat berbanding kepentingan individu, mengutamakan ganjaran akhirat berbanding keuntungan duniawi.

Mari kita imbau sejarah yang berlaku pada zaman kerajaan Turki Uthmaniah ketika kejayaan Muhammad Al-Fateh menakluk Kota Konstantinopel pada usia baginda baru mencapai 21 tahun. Baginda berjaya menjatuhkan Empayar Byzantin. Siapakah disebalik kejayaan tersebut? Sejarah mencatatkan baginda dinasihati oleh penasihat-penasihat yang hebat dan ukhlas termasuk golongan ulamak seperti As-Syeikh Shamsuddin Al-Wali, As-Syeikh Bairam dan lain-lain.

Di samping itu, para alim ulamak memainkan peranan penting membentuk keperibadian, mendidik dan mencurahkan ilmu kepada sultan. Di negeri Terengganu sebagai contoh Sultan Zainal Abidin III sentiasa mendampingi seorang alim yang terkenal dengan gelaran Tokku Paloh. Baginda sering berulang alik ke pusat pengajian Tokku Paloh untuk mendalami ilmu agama dan nasihat-nasihat.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Akhir kata mimbar juga ingin menegaskan semua pihak hendaklah melaksanakan tanggungjawab dengan baik dan ikhlas, mudah-mudahan negeri ini akan menjadi sebuah negeri yang aman damai, maju dan hebat di bawah pemerintahan seorang sultan yang dinaungi rahmat Allah SWT. Kita berdoa mudah-mudahan sempena tarikh bersejarah 27 November, keputeraan Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan sebagai raja dan pemerintah negeri Perak darul Ridzuan yang tercinta ini menjadi titik tolak kepada sebuah negeri yang bercirikan Baldatun Toyyibatun wa Robbun Ghofur iaitu "Negeri Yang Baik dan DiAmpuni Tuhan."

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بالقُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ، وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ الْأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالْأَمْوَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ، فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ . 


Khutbah Kedua

الْحَمْدُ لِلَّهِ الْقَائِلِ:
وَعَدَ اللَّهُ الَّذِينَ آمَنُوا مِنكُمْ وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ لَيَسْتَخْلِفَنَّهُمْ فِي الْأَرْضِ كَمَا اسْتَخْلَفَ الَّذِينَ مِن قَبْلِهِمْ وَلَيُمَكِّنَنَّ لَهُمْ دِينَهُمُ الَّذِي ارْتَضَىٰ لَهُمْ وَلَيُبَدِّلَنَّهُم مِّن بَعْدِ خَوْفِهِمْ أَمْنًا ۚ يَعْبُدُونَنِي لَا يُشْرِكُونَ بِي شَيْئًا ۚ وَمَن كَفَرَ بَعْدَ ذَ‌ٰلِكَ فَأُولَـٰئِكَ هُمُ الْفَاسِقُونَ ﴿٥٥﴾
أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا  مُحَمَّدًا  عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ، اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ أًجْمَعِينَ.
عِبَادَ الله، اتَّقُوا اللَّهَ، اُوْصِيْكُمْ وَاِيّايَ بِتَقْوَى اللهِ وَطَاعَتِهِ فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ.

Ayat yang dibacakan tadi dipetik dari Surah An-Nur Ayat 55 yang bermaksud: "Dan Allah telah berjanji kepada orang yang beriman di antara kamu dan mengerjakan amal-amal soleh bahawa Dia akan menjadikan mereka berkuasa di muka bumi sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang sebelum mereka berkuasa dan sesungguhnya Dia akan meneguhkan bagi mereka agama yang telah diredhai-Nya untuk mereka dan Dia benar-benar akan menukar (keadaan) mereka sesudah mereka dalam mereka dalam ketakutan menjadi aman sentosa. Mereka tetap menyembah-Ku dengan tiada mempersekutukan sesuartu apapun dengan Aku. Barangsiapa yang (tetap) kafir sesudah (janji) itu maka mereka itulah orang-orang yang fasik."

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Kita rakyat negeri Perak darul Ridzuan merasa bertuah dan berbangga dianugerahkan seorang Sultan yang berjiwa rakyat, berwawasan dan berpendidikan tinggi. Baginda sering kali memberi peringatan yang bernas lagi tegas demi memelihara kesucian agama, keutuhan bangsa dan keharmonian bersama. Moga baginda sentiasa dalam peliharaan Allah dan diberi kekuatan melaksanakan ketaatan dan meninggalkan kemungkaran. Rakyat jelata sentiasa mentaati, menyayangi dan mendoakan kesejahteraan baginda serta keluarga.

أَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ ۚ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا ﴿٥٦﴾

Bermaksud: "Sesungguhnya Allah dan malaikat berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad SAW), wahai orang-orang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucaplah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya." (Al-Ahzab: 56)

اَللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ والْمُؤمِنَاتِ، وَأَصْلِحْ ذَاتَ بَيْنِهِمْ وَأَلِّفْ بَيْنَ قُلُوْبِهِمْ وَاجْعَلْ فِيْ قُلُوْبِهِمُ اْلإِيْمَانَ وَاْلحِكْمَةَ وَثَبِّتْهُمْ عَلَى مِلَّةِ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى اللهِ عَلَيهِ وَسَلَّم. 

Allahumma ya Rahman, yang Maha Pemurah lagi Maha Ihsan, kurniakanlah sepenuh taufiq dan hidayah-Mu terhadap Raja kami, Duli Yang Maha mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Al-Marhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah al-Maghfurulahu dan Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan Tuanku Zara Salim. Lanjutkanlah usianya dalam peliharaan-Mu dengan sepenuh kesejahteraan. Kekalkanlah pemerintahannya dengan penuh keadilan dan kesaksamaan. Limpahkanlah rahmat kemakmuran dan keberkatan kepada seluruh rakyat jelata sekalian. Rakyat yang beriman yang jujur dan taat setia. Kekalkanlah negara dan negeri kami dalam suasana aman sentosa, makmur bahagia, berdaulat dan mulia, dengan keredhaan-Mu wahai Tuhan yang Maha Esa.

رَبَّنَا ءَاتنِاَ فِى الدُّنْياَ حَسَنَةً وَفِى الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ،  
عِبَادَ الله، اِنَّ الله يَأْمُرُ بِاْلعَدْلِ وَالأِحْسَانِ وَإِيْتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَاْلمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُوْنَ. فَاذْكُرُوْا اللهَ الْعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ وَاشْكُرُوْهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ وَلَذِكْرُاللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ.


Teks asal khutbah ini boleh juga dimuat turun dari lama Google Drive. Klik sini.


No comments:

Post a Comment

KULIAH SETIAP AHAD MINGGU KEDUA




Kempen Tiga B